Ahad, 5 September 2010

Sikap membazir di kalangan umat Islam cemari roh Ramadan

KETIKA banyak negara kekurangan makanan akibat dilanda pelbagai musibah, rakyat Malaysia melakukan pembaziran dengan membuang sisa makanan mencecah sehingga 9,000 tan sehari. Ini termasuk makanan yang dibeli untuk tujuan berbuka puasa tidak habis dimakan dan terpaksa dibuang. Keadaan ini bertentangan dengan Islam yang mementingkan soal berjimat cermat yang menjadi asas kesejahteraan kehidupan, lebih-lebih lagi ketika dalam Ramadan dan bakal menerima kedatangan Syawal tidak lama lagi. Islam amat menggalakkan umatnya berjimat cermat sama ada ketika membeli pakaian, penggunaan elektrik serta air dan juga dalam penyediaan juadah berbuka serta hidangan untuk Aidilfitri. Berjimat cermat atau bersederhana dalam segala hal amat dituntut agama kerana Islam menegah umatnya berbelanja berlebih-lebihan. Kita akui perbelanjaan untuk menyediakan juadah berbuka dan menyambut hari raya memang diperlukan. Tetapi, kita juga perlu menilai pengertian puasa iaitu menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa, selain mengelak godaan hawa nafsu dalam berbelanja sehingga sampai ke tahap membazir dan boros kerana ia adalah perbuatan syaitan. Ramai yang asyik dengan persiapan menyambut Syawal dengan membeli perabot dan langsir baru, peralatan elektrik dan sebagainya walaupun ia tidak perlu. Selain menambah beban hutang, unsur menunjuk-nunjuk ini juga jelas bertentangan dengan roh Ramadan.

Agak memeranjatkan apabila jumlah sisa makanan berbuka dan juadah Aidilfitri ini dianggarkan 45 peratus daripada 20,000 tan keseluruhan sisa pepejal yang dikutip di seluruh negara dalam sehari. Laporan disiarkan Berita Minggu semalam juga menunjukkan jumlah sisa pepejal atau sampah yang dikutip pada 2001 adalah sebanyak 17,000 tan sehari dan meningkat kepada 19,000 tan pada 2005. Terkini, jumlah kutipan harian dianggarkan lebih 20,000 tan dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara menjangka ia bertambah kepada 30,000 tan sehari menjelang 2020. Peningkatan kutipan harian ini bukan saja meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk melupuskannya, ia turut mencemar persekitaran dan menyumbang kepada peningkatan kes pelbagai jenis penyakit, terutama di bandar yang dikenal pasti secara ketara penduduknya suka membazir dan membuang sisa makanan berbanding mereka di pedalaman atau kampung. Tabiat suka membazir ini perlu kita perbaiki. Umat Islam perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang mempunyai peranan penting dalam membentuk peribadi dan akhlak agar dapat mencapai tahap ketakwaan kepada Allah. Bagi memenuhi hasrat itu, kita hendaklah benar-benar memahami bahawa puasa itu sebagai ibadat. Kita perlu bersikap sederhana dan mempertingkatkan amal ibadat sepanjang Ramadan. Antara ciri-ciri insan yang bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan dan mencegah perkara yang boleh membatalkan puasa. Ibadat ini berjaya melahirkan manusia yang berdisiplin, berdedikasi, berminda bersih dan berdaya tahan, sekali gus dapat menghindari amalan menjadikan Ramadan itu bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan. Perlu diingat, makan dan membeli secara berlebih-lebihan hanya membawa kepada pembaziran dan mengurangkan pahala amalan yang dilakukan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 4 September 2010

Langkah Menangani Kemalangan Menjelang Lebaran

Oleh AHMAD ZAKI MOHD. HASSAN

Seperti saban tahun yang lalu, hari Lebaran pasti menjelang tiba pada setiap 1 Syawal. Kampung-kampung akan meriah menerima kunjungan anak perantauan yang pulang ke desa. Pesta balik kampung berulang kembali.

Rata-rata sambutan 1 Syawal di Malaysia sentiasa meriah. Hakikatnya, tidak semua suasana ini dirasai khususnya kepada mereka yang keluarganya terlibat dengan kecelakaan jalan raya, lebih-lebih lagi yang mengundang maut.

Telah menjadi trend apabila bermulanya musim perayaan dan diikuti dengan aktiviti pulang ke kampung, maka perkara ini akan berulang. Banyak bicara daripada pelbagai peringkat masyarakat memberi pandangan dan pendapat, bermula daripada menteri sendiri sehinggalah perbincangan di kedai-kedai kopi. Namun yang nyata apabila menghampiri Syawal, akan terpampang di dada-dada akhbar berita-berita kemalangan yang menyayat hati.

Berdasarkan anggaran yang dibuat oleh Environmental and Prognosis Institute, Heidelberg Jerman, dianggarkan sebanyak 50 juta penduduk dunia akan mati dan 1.1 bilion akan mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya iaitu antara tahun 1995 hingga 2030 sekiranya masalah ini tidak ditangani segera.

Sebanyak 138,889 purata kematian berpunca daripada kemalangan jalan raya setiap tahun akan dicatatkan di seluruh dunia. Ini termasuklah negara kita sendiri yang menyumbang sebanyak 6,232 kematian setiap tahun secara purata bermula dari tahun 2000 hingga 2009 (maklumat dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan mengakibatkan negara kita kerugian kira-kira RM9 bilion setiap tahun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa, punca kematian disebabkan kemalangan jalan raya di negara kita berada pada kedudukan kesembilan dalam senarai 100 penyebab kematian. Ia akan meningkat ke kedudukan keenam menjelang tahun 2020 sekiranya masalah ini tidak ditangani secara serius.

Kajian yang dijalankan oleh Transport and Road Research Laboratory (TRRL) menunjukkan bahawa peratusan punca kemalangan disebabkan pengguna jalan raya adalah sebanyak 94.75 peratus (%). Di Malaysia, kajian menunjukkan 95% kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian pemandu dan statistik menunjukkan bahawa lebih daripada 50% mangsa kemalangan terdiri daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun.

Mereka ini merupakan golongan peringkat usia yang paling produktif dan berpotensi dari segi tenaga kerja. Mereka mempunyai tempoh masa antara 20 hingga 35 tahun lagi untuk menyumbang khidmat bakti kepada negara dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Prihatin dengan situasi ini, kerajaan telah menubuhkan JKJR dengan misi menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai tahap keselamatan jalan raya setaraf dengan negara maju menjelang 2010 iaitu 10 kematian setiap 100,000 penduduk, dua kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan 10 kematian setiap satu bilion kilometer perjalanan kenderaan.

Jabatan ini diwujudkan dengan objektif sebagai 'One Stop Agency' bagi memantau dan menyelaras program keselamatan jalan raya dari aspek Pendidikan, Penguatkuasaan, Kejuruteraan dan Persekitaran. Penubuhan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 3 Januari 2007 juga memberi sumbangan dari segi kajian untuk penjanaan dan penyebaran maklumat tentang keselamatan jalan raya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula telah melaksanakan pelbagai modus operandi dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya pada musim perayaan. Pelbagai Ops telah dibuat termasuklah Ops Pacak, Ops Sikap dan Ops Statik.

Berdasarkan statistik PDRM, purata 18 kes kematian sehari dicatatkan pada hari-hari biasa, berbanding purata kematian semasa Ops Sikap 1 yang mula dilancarkan pada 9 Disember 2001 sehingga Ops Sikap ke-21 yang berakhir pada 20 Februari 2010 kepada 13.4 kematian sehari.

Ini membuktikan bahawa kempen keselamatan jalan raya pada musim perayaan dan usaha kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani masalah ini telah membawa impak yang positif. Ini kerana purata kematian sehari semasa musim perayaan dapat diturunkan walaupun kepadatan trafik meningkat dua kali ganda semasa musim perayaan.

Pelbagai kaedah turut diimplimentasikan, antaranya penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran poster dan kempen kesedaran termasuk penguatkuasaan dijalankan bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa selamat ketika berada di jalan raya.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pernah menyarankan agar kaedah pemberian mata 'demerit' kepada pesalah jalan raya dihidupkan semula bagi memastikan pemandu kenderaan yang banyak menerima saman disenaraihitamkan.

Melalui kaedah yang diperkenalkan di bawah Sistem Keselamatan Jalan Raya (Kejara) pada 1997 itu, rekod pesalah diwujudkan melalui notis saman berkaitan dengan kesalahan terjadual dan mata 'demerit' akan dikira. Penggunaan kaedah berkenaan dilihat antara kaedah berkesan dalam menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya. Menurut Nooryah, jumlah kematian akibat kemalangan di Perancis hanya 50 orang setahun dan hal ini amat memeranjatkan, serta terbukti sistem demerit berkesan dalam mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya pada musim perayaan.

Selain usaha kerajaan mengekang kemalangan jalan raya, langkah yang paling tepat untuk dilaksanakan adalah melalui pendidikan. Pujangga pernah berkata 'Kenyataan hari ini adalah impian semalam, impian hari ini adalah kenyataan hari esok'. Jika kita berhasrat melahirkan pemandu-pemandu yang berhemah dan berakhlak pada masa akan datang, inilah masanya untuk bertindak bermula dari akar.

Pendidikan jalan raya perlu diterap seawal usia. Memang diakui kaedah ini akan mengambil masa, namun semua pihak harus bersabar dan berlapang dada kerana hasilnya akan kita tuai pada masa akan datang. Menyahut cabaran ini, Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) yang telah diperkenalkan di 7,601 sekolah rendah terpilih dianggap tepat dan diharap ia akan dapat membantu memberi kesedaran dan pandu arah untuk melahirkan pemandu yang berhemah dan berakhlak di peringkat yang lebih awal lagi.

Tidak terhenti di situ, program keselamatan jalan raya juga dilaksana melalui komuniti yang membabitkan majikan, pemimpin, ahli politik, ketua agama, pendidik, badan profesional, sukarelawan dan belia. Ini menunjukkan keprihatinan pelbagai pihak bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan dan seluruh warganegara.

Diharapkan agar slogan 'Anda Mampu Mengubahnya' menjadi pemangkin dan peringatan kepada semua pengguna jalan raya menjelang Aidilfitri ini.

Penulis ialah Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Kemahiran, Kolej Komuniti Gerik, Perak.

Sumber : http : //www. utusan .com.my/

Buang bayi : Busung luka-luka lama


- ABU ABDILLAH RIDUAN KHAIRI

Isu membuang dan membunuh bayi semakin menjadi-jadi. Yang dilaporkan media sahaja sudah hampir setiap hari. Laporan media adalah ibarat ‘ice berg’, yang tersembunyi jauh lebih besar dari yang nampak.

Masalah membuang bayi bukan masalah sehari atau seminggu. Membuang bayi adalah busung yang terpendam sekian lama dari luka-luka yang lain. Busung membuang bayi bermula dari luka lahirnya anak zina. Adalah sangat pelik atau ajaib anak yang halal dibuang sedemikian rupa. Anak zina lahir dari ‘luka’ perzinaan. Perzinaan lahir dari pergaulan bebas antara lain jantina.

Kata Allah dalam Kitabnya, “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32)

Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala : “Janganlah kamu mendekati zina”, maknanya lebih dalam daripada perkataan : “Janganlah kamu berzina” yang ertinya : Dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina (Tafsir Al-Qurthubiy). Yakni : Janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan membawa kepada zina apalagi sampai berzina (Tafsir Ruhul Ma’aaniy).


Anak luar nikah dan zina

Kelahiran anak zina bukan lagi satu fenomena yang luar biasa. Menurut rekod Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2000 hingga 2008 lebih dari 250,000 kelahiran tanpa nama bapa dicatatkan. Tiada nama bapa bukanlah akibat bapa yang mati perang atau isteri ditinggalkan suami, sebaliknya hasil hubungan haram.

Seorang pentadbir di sebuah sekolah di kawasan luar bandar menceritakan, pada setiap tahun guru-guru di situ akan mendapat gelaran ‘datuk’ kerana ‘meraikan’ pelajar yang melahirkan anak zina. Bayangkan, sebuah sekolah luar bandar dan perkara ini berlaku saban tahun.

Manakala situasi di beberapa buah pulau peranginan lebih tragik. Anak gadis tempatan sudah boleh memilih untuk meniduri siapa yang mereka ingin. Lelaki-lelaki tempatan dipandang sebelah mata sahaja, dengan kehadiran pelancong-pelancong asing.

Beberapa kes ini menunjukkan bahawa isu besar yang mendalangi kisah buang bayi ini ialah perzinaan dan pergaulan bebas.

Baru-baru ini sebuah institusi pengajian mengenakan peraturan untuk mengawal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Pelajar lelaki tidak dibenarkan berdua-duaan dalam kereta dan larangan pelajar wanita membonceng pelajar lelaki. Tindakan ini wajar dipuji untuk menjauhi jalan-jalan menarik kepada perzinaan. Namun, sayang sekali tindakan ini mendapat reaksi sebaliknya daripada pihak atasan.


Solusi undang-undang!


Lantas kita tertanya-tanya apakah solusi atau tindakan yang boleh diambil untuk mengekang barah ini daripada merebak. Tidak sedikit jumlah wang sudah dibelanjakan kerajaan untuk melaksanakan bermacam-macam program dan kempen. Namun kesannya masih sangat minimum.

Nanti ada yang bertempik, “tukar kerajaan!”. Atas alasan pihak kerajaan kurang komited dengan isu-isu sosial. Benarkah begitu? Benarkan begitu mudah menangani permasalahan umat dengan hanya menukar parti yang memerintah?

Sejarah moden Amerika mencatatkan, kempen besar-besar terhadap bahaya arak telah pun dilakukan pada awal kurun ke-19. Arak diwartakan haram, dan hukuman penjara dikenakan kepada sesiapa yang meminumnya. Hasilnya, penjara penuh sedangkan masalah arak tidak diselesaikan.

Penguatkuasaan undang-undang atau menggubal undang-undang yang tegas bukanlah jalan pintas untuk membaiki situasi ini. Ini bukan metode yang ditunjukkan dalam sejarah tamadun manusia. Juga bukan metode yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad ketika merubah orang Arab yang bukan siapa-siapa menjadi bangsa yang kuat lagi dihormati.


Solusi metode kenabian

Sejarah Arab pasca Islam mencatatkan kerosakan akhlak dan sosial yang sangat teruk. Tidak kalah bandingnya dengan apa berlaku pada kita hari ini. Semuanya terakam dalam kitab-kitab sirah seperti ‘Raheeq al-Makhtum’ karangan Syaikh Sofiurrahman Mubarakfuri (telah diterjemahkan oleh Yadim)

Ketika al-Quran mula diturunkan di Mekah, orang-orang Arab bergelumang dengan macam-macam kerosakan. Di sebalik arak, zina, judi dan jenayah yang lain, Allah memerintahkan Rasulnya untuk ‘sekadar’ membaca. Melalui lisan Jibrail, Nabi Muhammad disuruh membaca. Bahkan 5 ayat pertama hanya menyebutkan tentang membaca, segumpal darah dan pen (qalam).

Prinsip yang pertama dapat diambil dari situasi ini ialah, setiap situasi perlu ditangani dengan pendekatan ilmiah dan kefahaman yang benar. Kata Allah, “Ketahuilah (fa’lam), Tiada Tuhan layak disembah melainkan Allah” (Surah Muhammad: 19). Untuk beriman sahaja, perlu kepada ilmu dan pengetahuan. Sebesar-besar urusan pun tetap dimulai dengan pengetahuan, apatah lagi menangani situasi sosial. Ia tidak akan berjaya selamanya, selagi kempen dan program sekadar berlegar poster yang emosional atau sambil berkonsert sambil beramal (konon).

Nanti akan ada pula yang tertanya-tanya, yang bobrok akhlak dan sosialnya bukankah sebahagiannya golongan terpelajar. Sebelum menghukum, nanti dulu. Jawapannya ada di sini.


Mentauhidkan Allah

Perintah membaca atau berilmu dalam al-Quran tidak berhenti sebatas 5 ayat. Sunnah mencatatkan ayat-ayat al-Quran berikutnya yang turun di Mekkah membawa satu mesej yang sepunya. Semuanya mengajak umat mentauhidkan Allah dan menjauhi syirik. Lantas bagaimana pula dengan arak, zina, buang bayi dan urusan lain. Adakah Tuhan terlupa, atau Jibrail yang salah memilih bingkisan? Tentu sekali tidak, Allah Maha Sempurna tidak pernah lupa dan lalai walau setengah saat pun. Dan Jibrail tidak pernah ingkar walau pada satu perintah Allah pun.

Sejarah mencatatkan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Mekah mengutamakan isu akidah yakni memurnikan keyakinan umat dari sebarang bentuk perbuatan syirik. Mesej Allah jelas, jernihkan semula hubungan Allah dan hambanya, nanti Allah akan bantu membaiki masalah-masalah yang lain.

Proses memurnikan tauhid umat ibarat memasang pasak atau cerucuk dalam mendirikan sebuah bangunan. 13 tahun adalah masa yang diambil oleh Rasul untuk menanamkan cerucuk tauhid di dalam dada-dada sahabat. Sehingga mereka sanggup mengorbankan harta dan nyawa untuk melafazkan iman. Kemuncaknya berlaku apabila mereka ‘diusir’ dari kampung halaman, meninggalkan keluarga dan harta. Semuanya adalah kesan dari akidah yang benar.

Ini terlihat di Madinah. Selepas akidah dan keyakinan umat bulat bergantung kepada Allah, setiap perintah-perintah lain ditaati tanpa bantah. Manakala setiap larangan Allah dijauhi tanpa keluh-kesah.

Ketika ayat mengharamkan arak diturunkan di Madinah, umat Islam dengan rela hati pulang ke rumah terus memecahkan tempayan-tempayan arak di dapur-dapur mereka. Sehinggakan ahli sejarawan mencatatkan tanah-tanah kering Kota Madinah seakan-akan banjir dengan limpahan arak yang ditumpahkan. Inilah kesan tauhid dan akidah yang benar.

Jawapan kepada terlibatnya golongan terpelajar dalam masalah akhlak dan sosial ialah ilmu mereka pelajari tidak bertunjangkan akidah yang benar. Tidak memadai dengan hanya menghafal Rukun Iman yang enam atau menilik sifat 20 yang diragui kesahihannya sahaja.

Semoga Allah mengurniakan generasi kita ilmu bermanfaat seperti doa yang diajarkan Nabi,

“Ya Allah, berikan kami ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima” (Hisnul Muslim, Dr Said bin Ali Wahf Al-Qahthani).

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Selasa, 31 Ogos 2010

Anugerah kemerdekaan perlu dihayati, dihargai


Oleh Muhamad Razak Idris


KEMERDEKAAN ialah sebuah anugerah terbesar daripada Tuhan kepada manusia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus insaf dan bersyukur dengan anugerah kemerdekaan ini. Dengan takdir Tuhan, negara kita telah memperoleh kemerdekaan sejak 53 tahun lalu.

Kita harus mensyukuri sepenuhnya kurniaan ini kerana di dalam sejarah kehidupan hari ini, masih kedapatan banyak lagi kelompok manusia sedang bertarung memperoleh anugerah kemerdekaan.

Memandangkan negara kita sudah memperoleh anugerah kemerdekaan, maka seharusnya kita mengambil peluang dan kesempatan untuk menikmati nikmat ini. Persoalan penting di dalam hal ini ialah, bagaimanakah caranya untuk menikmati anugerah kemerdekaan ini?

Bagi saya, cara terbaik menikmati anugerah kemerdekaan ialah dengan mengamalkannya. Ada beberapa cara untuk kita mengamalkan kemerdekaan.

Cara pertama ialah dengan meningkatkan daya usaha bagi memajukan diri. Anugerah kemerdekaan memberi peluang luas kepada kita sebagai rakyat untuk mengambil peluang meningkatkan kemajuan di dalam pelbagai aspek kehidupan. Dalam hal ini, aspek paling utama tentu sekali di bidang ilmu dan pendidikan.

Kita harus menggunakan ruang kemerdekaan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan di dalam pelbagai bidang menerusi pendidikan secara formal atau tidak formal. Peluang meningkatkan kesedaran dan keterampilan diri di pelbagai bidang ilmu adalah satu peluang keemasan yang tidak mungkin diperoleh bagi rakyat yang berada di negara terjajah.

Cara kedua dengan berusaha meningkatkan rasa bangga terhadap jati diri, sejarah dan warisan negara kita. Kemerdekaan ialah satu peluang untuk kita menunjukkan jati diri kita sebagai satu kelompok masyarakat yang unik dan tersendiri di pentas ketamadunan dunia yang rencam. Jati diri umat Melayu dan kaum serta etnik yang pelbagai tergabung sebagai satu keluarga besar berteraskan peradaban timur dan peranan Islam sebagai agama teras harus diketengahkan secara meluas dan berterusan kepada masyarakat dunia. Penonjolan peradaban ini boleh kita jelmakan menerusi tulisan, ucapan dan perwatakan peribadi kita apabila saling berhubung antara satu dengan lain di dalam atau luar negara.

Cara ketiga menerusi usaha memanfaatkan ruang kebebasan yang dimiliki bagi membina ketahanan negara mendepani cabaran hari kini dan masa depan. Seperti yang kita sedia tahu, cabaran yang sedang dihadapi negara kita amat pelbagai terutama di era baru yang dikenal sebagai globalisasi dan masyarakat terbuka. Bagi mendepani cabaran ini, negara kita harus membina daya tahan yang utuh dari pelbagai aspek terutama dalam bidang persaingan ekonomi dan sistem sosial dan politik.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita harus mengambil kesempatan dari ruang kemerdekaan ini dengan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara menerusi meningkatkan produktiviti kerja serta membangunkan inovasi dan kreativiti di dalam perusahaan yang diceburi. Seluruh rakyat harus saling berkongsi sumber bagi memastikan pembangunan dan pengagihan ekonomi dapat dinikmati oleh seluruh rakyat jelata.

Keupayaan ketahanan negara banyak bergantung juga kepada kesejahteraan sosial. Semangat persefahaman sesama rakyat harus ditingkatkan secara berterusan. Ruang kemerdekaan harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh warga masyarakat bagi tujuan membangunkan kesatuan negara. Ini boleh dijayakan dengan kita memperluaskan dan mengamalkan budaya berdialog sesama warga. Pendekatan dialog adalah saluran paling berkesan bagi meleraikan perseteruan dan salah faham antara individu atau kumpulan masyarakat.

Bagi tujuan ini, kita harus mengelakkan diri dari terjebak dengan perbuatan yang boleh menimbulkan salah faham atau meningkatkan sikap bersangka buruk antara satu dengan lain. Selamat Menyambut Hari Merdeka.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 28 Ogos 2010

BUDAYAKAN BM TANDA PATRIOTIK

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my

MEMARTABATKAN bahasa Melayu (BM) bukan setakat dalam sistem pendidikan, kata pensyarah bahasa, Dr. Mashudi Bahari kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, penggunaan Bahasa Kebangsaan itu perlu diperluaskan di luar lingkungan pendidikan mencakupi semua urusan sama ada rasmi dan tidak rasmi tanpa kompromi.

"Dasar Memartabatkan BM dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) merupakan bukti kesungguhan kerajaan menjulang bahasa itu ke tahap yang tertinggi," katanya.

Malangnya masih terdapat urusan yang menggunakan bahasa Inggeris seperti dalam bidang pengiklanan, perundangan khususnya yang melibatkan perjanjian sewa beli dan juga dalam komunikasi awam.

"Senario ini membayangkan seolah-olah tiada kesinambungan antara ilmu yang dipelajari di sekolah dengan penggunaannya dalam kehidupan seharian,"jelasnya.

Malah dalam perbualan sesama orang Melayu pun, mereka 'selesa' berbahasa Inggeris atau berbahasa rojak. Apatah lagi jika ada kaum lain dalam kumpulan perbualan itu.

Lebih mendukacitakan, terdapat juga agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengagungkan bahasa asing itu terutamanya dalam pembentangan kertas kerja, mesyuarat atau penyediaan cadangan perniagaan. Urusan surat menyurat dan dokumentasi juga kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.

Selalunya, tiada terma yang tepat dalam bahasa Melayu dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan tersebut. Ia menjurus kepada bidang baru yang berkaitan sains dan teknologi.

Hakikatnya, menurut Mashudi, negara kita mempunyai ramai pakar rujuk untuk menterjemah dan mencari istilah yang sesuai.

"Selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), setiap institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan juga mempunyai pakar bahasa masing-masing untuk dijadikan rujukan," ujar beliau.

Dalam banyak keadaan, bukan istilah atau perkataan yang tiada tetapi jati diri telah meluntur dari sanubari rakyat negara ini. Malah, perkataan yang digunakan bukan canggih pun!

Sekadar kosa kata biasa sahaja. Untuk kepastian, sila amati dialog dalam drama dan rancangan bual bicara di televisyen atau teliti perbualan pemanggil dengan penyampai di stesen radio.

Penggunaan bahasa penjajah itu lebih kepada pernyataan status atau untuk menunjukkan tahap pendidikan penuturnya.

Natijahnya, apabila golongan ini memegang jawatan penting dalam sesebuah organisasi, mereka cenderung mengutamakan bahasa Inggeris.

Misalnya dalam pengangkutan awam, pengumuman dibuat dalam bahasa Inggeris walaupun majoriti penumpangnya adalah rakyat tempatan. Memadai dan munasabah jika ia dibuat untuk kenderaan awam yang melibatkan laluan dari dan ke lapangan terbang.

Bukan menidakkan kepentingan bahasa Inggeris tetapi hubungan komuniti masyarakat Malaysia harus mengutamakan bahasa Melayu. Rakyat Jepun boleh, kita pun boleh.

Ayuh, kita mulakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 dengan memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 24 Ogos 2010

Tragedi, kecelakaan akibat mercun perlu dihentikan

APAKAH tragedi yang menimpa seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang mayatnya tercampak dan tersangkut pada sebatang pokok, manakala otaknya bersepai akibat letupan mercun boleh memberi keinsafan kepada semua pemain mercun dan bunga api di Malaysia?

Tragedi menyayat hati itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Seberang Baruh Cabang Tiga, Kuala Terengganu diharap menjadi titik mula untuk masyarakat mengubah sikap terhadap bahan terlarang itu.

Tetapi ternyata, adalah sukar untuk masyakat kita berubah sekelip mata. Biarpun tragedi seumpama ini berlaku pada bulan Ramadan saban tahun, tetapi ia masih berulang lagi.

Sepatutnya untuk sekian kalinya, perlu ada kempen besar-besaran untuk memisahkan mercun dengan Ramadan. Ini kerana kedua-dua unsur ini seolah-olah sudah tidak dapat dipisahkan.

Kita berasa sedih dan pilu apabila melihat setiap hari terpapar di dada akhbar kes-kes kecederaan akibat bermain mercun. Apakah kejadian ini bagaikan tidak ada noktah dan tiada jalan penyelesaian?

Mulai sekarang, masyarakat kena belajar daripada bencana akibat bermain mercun. Kecederaan kekal seperti putus jari tangan dan buta pada usia masih muda, patut membina semangat semua pihak untuk memberhentikan aktiviti yang berbahaya ini.

Pun begitu cabaran untuk menghentikan kegiatan bermain mercun dan bunga api mestilah didahului dengan menyekat kemasukan dan penjualan bahan terlarang itu.

Janganlah seperti sekarang, di mana ia mudah diperoleh di merata-rata tempat seperti di bazar Ramadan dan pasar malam.

Kita percaya, pihak polis, kastam dan Unit Pencegahan Penyeludupan telah pun memainkan tanggungjawab masing-masing.

Tetapi kita menyeru usaha itu dilipat gandakan dengan memantau penjualan mercun dan bunga api di mana-mana bagi mengelak bahan terlarang itu terus dijual secara berleluasa.

Setakat memberi amaran keras akan mengenakan tindakan kepada mana-mana individu yang mengedar, menyimpan atau bermain mercun termasuk buatan sendiri di dalam media, tidak akan berkesan.

Rakyat tertanya-tanya bagaimana rampasan besar terhadap penyeludupan mercun dan bunga api dilakukan oleh pihak berkuasa tetapi bahan itu masih mudah diperoleh. Siapa yang membekal dan menjualnya.

Selagi pihak berkuasa memejamkan sebelah mata terhadap penjualan mercun di bazar Ramadan atau pasar malam, sampai bila-bila pun masalah ini tidak akan selesai. Kita perlu cari jalan mengatasi isu ini secara menyeluruh. Hentikanlah musibah yang kita sendiri cari.

Sampai bila kita harus berpura-pura dan terus bersimpati apabila mengira jumlah kanak-kanak yang cedera dan maut akibat mercun.

Ada juga yang persoalkan, kenapa susah sangat pihak berkuasa untuk bertindak tegas ke atas penjual mercun yang berniaga secara terbuka?

Pun begitu, pihak berkuasa tidak patut dipersalahkan, kerana ia juga adalah tanggungjawab utama ibu bapa. Terserah kepada ibu bapa sama ada tergamak melihat jari tangan anak-anak mereka menjadi putus dan kaki kudung serta mata buta.

Elok ikut pesanan ini, kalau sayangkan anak, jangan beli dan membakar mercun serta bunga api di sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Haramkan semua jenis mercun, bunga api untuk elak musibah

MUSIBAH yang mengorbankan kanak-kanak malang selepas kepalanya hancur akibat letupan stor bunga api dan mercun di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga, Kuala Terengganu, kelmarin memberi isyarat jelas kepada pihak berkuasa agar bertindak lebih tegas untuk membanteras pengedaran, penjualan dan pembakaran bahan itu. Mangsa, Khairul Arif Ayub, 6, mati dengan mayatnya tersangkut di atas pokok setinggi 15 meter selepas terpelanting akibat letupan kuat yang boleh didengar pada jarak empat kilometer. Selepas lebih 20 tahun import mercun dan bunga api diharamkan di negara ini berkuat kuasa 1991, berikutan kebakaran kilang mercun Bright Sparklers di Sungai Buluh, mengorbankan 22 nyawa dan mencederakan 103 yang lain, ternyata pengharaman itu tidak memberi kesan ketara. Dalam perbahasan di Dewan Rakyat pernah dinyatakan, sejumlah 353 kes tangkapan dilakukan pada 2005 kerana melanggar Seksyen 42 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika disabitkan kesalahan kerana mengilang, memiliki atau mengimport kedua-dua bahan itu boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Walaupun hukuman itu berat dan dianggap setimpal, namun pembakaran mercun dan bunga api masih terus berlaku, malah makin berleluasa sama ada ketika sambutan Tahun Baru Cina, Chap Goh Meh, Hari Raya Puasa, Deepavali, Krismas mahupun sambutan tahun baru. Lebih memeranjatkan, bunga api dan mercun kini dijual secara terbuka, bukan saja di kedai, malahan di kebanyakan bazar Ramadan. Apakah ini petanda undang-undang kita perlu diperketat dan penguatkuasaan serta pemantauan harus dipertingkat? Korban dan kecederaan akibat letupan stor di Kuala Terengganu kelmarin juga wajar mendorong pihak berkuasa mengharamkan terus penjualan dan pembakaran semua jenis bunga api dan mercun di negara ini.

Pembakaran mercun dan bunga api di segenap ceruk seluruh negara setiap kali tiba musim perayaan membuktikan bahan yang dirampas pihak berkuasa cuma dalam kuantiti yang kecil. Sebaliknya, sebahagian besar lagi bahan letupan itu memasuki pasaran gelap dan masih sampai ke tangan pengguna. Akibatnya, pada setiap Ramadan sebelum menjelang perayaan, pasti ramai kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa termasuk melecur muka, badan, buta, putus jari atau tangan kudung, gara-gara letupan bahan yang diubah suai atau berpunca daripada kecuaian. Kejadian ini turut membuktikan pihak berkuasa kekurangan maklumat yang disalurkan orang ramai mengenai kegiatan penjualan mercun dan bunga api. Namun tanggungjawab membanteras pembakaran mercun dan bunga api harus dipikul bersama masyarakat setempat, ibu bapa dan keluarga. Dengan memastikan anak tidak membeli dan bermain mercun, sebahagian risiko kecederaan sudah dapat diatasi. Lagi pun membakar mercun bukanlah budaya Melayu, malah Islam turut melarang umatnya melakukan perbuatan sia-sia, membazir, membahayakan diri serta harta benda. Malangnya masih ramai termasuk mereka yang berjawatan tinggi apabila balik ke kampung pada musim perayaan, mereka turut membawa mercun dan bunga api sebagai ole-ole, kononnya untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri, walaupun mereka tahu risikonya. Justeru, sudah sampai masanya pihak berkuasa bertindak tegas menguatkuasakan undang-undang dan meningkatkan kempen kesedaran agar orang ramai tidak terus menjual atau membeli bunga api dan mercun, yang tidak mendatangkan sebarang faedah.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/