Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran. - Foto NSTP
1. PRU-15: MIC sedia tampil calon India Muslim
KUALA LUMPUR: MIC bersedia menampilkan calon India Muslim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika diperlukan.
Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran, berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti, baru-baru ini.
"Kita memang tiada masalah. Jika ada tempat yang kita mempunyai tekanan, harus ada calon Islam atas sebab-sebab tertentu, kita bersedia kerana kita ada calon India Muslim yang boleh bertanding.
"Asalkan kerusi-kerusi (tradisi) MIC ini kita yang bertanding dan kita yang buat keputusan siapa yang bertanding," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Presiden MIC di sini malam ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan. Vigneswaran turut berikrar selain memastikan hak kaum India, parti itu akan terus menjaga dan membela nasib masyarakat India Muslim di negara ini.
Utusan Khas Perdana Menteri ke India dan Asia Selatan itu berkata, parti berusia 76 tahun terbabit tidak pernah meminggirkan masyarakat India Muslim seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.
Beliau juga memberi jaminan bahawa anak India Muslim akan menerima hak sama rata dalam pemberian biasiswa dan pinjaman Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), entiti milik MIC.
Katanya, beliau juga akan berusaha menyelesaikan isu kewarganegaraan India Muslim yang masih tidak memiliki kad pengenalan.
Menyentuh keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ingin bergerak secara solo pada PRU-15, Vigneswaran berkata setakat ini, MIC bersetuju malah sedia menerima kerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya itu jika ada yang berhasrat menyertai BN.
Pada PRU-14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak, Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).
Parti itu hanya memenangi dua kerusi iaitu Parlimen Tapah dan Cameron Highlands. - BERNAMA
Komen Weblog Ibnu Hasyim: MIC Muslim sama dengan UMNO India? Atau dalam politik Malaysia perlu ada MCA Muslim sebagai saingan kepada DAP tak beragama?
2. Agensi Islam jadi harapan masyarakat jaga kesucian Islam
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, masyarakat meletakkan sepenuh harapan kepada semua agensi Islam untuk menjaga kesucian Islam dan ummah.
Sehubungan itu, ujarnya warga agensi hal ehwal Islam hendaklah melaksanakan Amanah itu semampu mungkin.
Beliau menyatakan demikian dalam Majlis Perhimpunan Dwi-Bulanan Agensi bagi April 2022 dan Iftar bersama warga agensi hal ehwal Islam di Masjid Wilayah Persekutuan, petang semalam.
Pada perhimpunan yang diurus setiakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu, Idris merakamkan sekalung tahniah kepada semua agensi yang aktif turun padang membantu masyarakat asnaf dan golongan memerlukan dengan semangat kerja satu pasukan Menteri Agama.
Tambahnya, juga menjadi sejarah apabila Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menerbitkan Dokumen Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera yang telah dirasmikan Perdana Menteri, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, dokumen itu adalah terjemahan kepada kesungguhan warga agensi untuk membina masyarakat yang bersatu padu dan saling hormat menghormati.
Beliau juga menekankan agar aensi Islam perlu terus melakar kejayaan demi kejayaan dengan bekerja sebaik mungkin untuk memudahkan urusan umat Islam dan masyarakat seluruhnya.
“Masyarakat meletakkan sepenuh harapan kepada semua agensi Islam untuk menjaga kesucian Islam dan ummah.
“Ini adalah amanah yang mesti kita laksanakan semampu mungkin,” katanya dalam catatan di laman sosial beliau, malam tadi.
Beliau juga menyeru diri dan semua terus memburu Lailatul Qadr di akhir-akhir Ramadhan tahun ini.
“Saya berpesan kepada seluruh warga agensi agar sentiasa memperkukuh amalan ruhiyyah.
“Kita selaku pejuang agama, kekuatan dalaman menjadi benteng kukuh,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 27/4/2022
1 comment:
Tak kisah bangsa apa jadi wakil rakyat. Asalkan patuh kepada perlembagaan yg memaktubkan Islam sebagai agama persekutuan. Hanya seorang Islam sahaja yang diyakini dapat mempertahankan peruntukan perlembagaan persekutuan.
Manakala parti legasi komunis sangat biadab terhadap agama asal penduduk negara ini. Berkuasa 22 bulan sudah nak menyebarkan kristian secara terbuka. Parti liberal pun ikut biadap terhadap Islam bila secara terbuka menyokong seorang yang menghina mahkamah syariah.
Post a Comment