Wednesday, June 18, 2014
Sanggup Minum Air Lombong Buktikan Selamat -Dr Ahmad Yunus
Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi bersedia menerima cabaran untuk minum air dari tasik lombong bagi membuktikan ianya selamat untuk kegunaan orang ramai. Beliau berkata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini juga telah mengesyorkan kepada beliau untuk minum air tersebut.
"Insya-Allah kita boleh uruskan untuk minum sebab itu hari pun MB dah beritahu, kalau tak percaya sangat kita boleh minum air lombong tu," katanya ketika ditemui di lobi DUN Selangor hari ini.
Cabaran tersebut disuarakan semalam oleh NGO anti rasuah, Pusat Penggempur Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa anggota exco Selangor membuat demonstrasi berkenaan. Pengarah C4 Cynthia Gabriel berkata ia bagi meyakinkan pengguna ekoran kenyataan bercanggah yang timbul berhubung kandungan logam berat dalam tasik lombong berkenaan.
Ahmad Yunus yang dipertanggungjawabkan mengenai hal air negeri sekali lagi mengulangi jaminan air kolam lombong yang dipamkan ke empengan Sungai Selangor adalah selamat.
Pembenihan awam
Sebelum ini Khalid berkata kerajaan negeri telah menyediakan 20 pam yang diletakkan di sembilan kolam sumber air di dua sungai yang mampu menyediakan bekalan air mentah sebanyak 800 juta liter sehari.
Sementara itu, Ahmad Yunus menyatakan terdapat sedikit kesulitan dalam soal kerjasama antara kerajaan negeri dan 'Bureau of Royal Rainmaking and Agricultural Aviation of Thailand' untuk melakukan proses pembenihan awan. Ini kerana, katanya yang juga ADUN Sijangkang, negara jiran itu turut menghadapi masalah kemarau dan cuaca terik buat masa ini.
"Setakat ini yang saya dapat maklumat melalui surat balas dari Thailand, mereka (biro itu) juga sedang sibuk dengan waktu kemarau di sana.
"Kita juga membuat proses pembenihan awan pada waktu kering ini jadi kita cuba melihat sejauh mana kita boleh, kita pergi dan lihat sejauh mana kita boleh usahakan," kata beliau.
Teknik pembenihan hujan dan pengepaman air kolam lombong adalah usaha Selangor memastikan bekalan air berjalan seperti biasa tanpa perlu catuan bagi menghadapi fenomena 'El Nino' dalam beberapa bulan ini. (MK)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment