Thursday, August 05, 2010

Kahwin B/Umur: Dosa Perasuah Besar Dari Penzina


KL, 5 Ogos 10: Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pendekatan kahwin awal tidak harus dihalang kerana ia tidak bertentangan dengan lunas agama Islam, malah perlu jika seseorang itu sudah insaf dan mampu.

Mengulas mengenai keputusan Majlis Agama Islam Melaka membenarkan pelajar bawah umur berkahwin, Asri tidak menyatakan bantahan, malah memberitahu tiada had umur berkahwin dalam Islam kecuali seseorang itu sudah matang atau akil baligh serta tahu membezakan baik dan buruk.

“Tujuan had umur berkahwin adalah untuk elakkan eksploitasi tapi harus ada kes-kes khas dari sudut pentadbiran. Bila sudah mengandung, siapa nak bertanggungjawab?” ujar beliau. Malah katanya, adalah lebih adil membenarkan seseorang itu berkahwin atas dasar keinsafan daripada menghalang mereka.

“Semasa di Perlis, saya pernah fatwakan, boleh dinasabkan anak itu kalau gadis yang mengandung berkahwin dengan orang yang berzina dengannya” katanya.

Mengulas mengenai stigma masyarakat Malaysia terhadap penzina, Asri memberitahu, dosa perasuah adalah lebih besar berbanding orang berzina kerana penzina hanya melakukan dosa terhadap diri sendiri sedangkan perasuah menzalimi hak orang lain. Beliau turut menyokong penuh keputusan Melaka untuk membuka sekolah khas bagi pelajar hamil di Jasin.

“Itu satu pendekatan Islam yang baik. Yang penting pendidikan,” ujar beliau.

“Di Malaysia, kita sensitif dengan zina, tapi bukan rasuah. Orang yang bersalah rasuah pun di sini orang masih sambut dan sokong,” tegas beliau.

“Kita kena perbaiki keadaan. Masyarakat mesti pandang serong perasuah lebih dari penzina” katanya.

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Abdul Ghani Shamsuddin menganggap pendekatan “mencegah lebih baik dari mengubati” adalah jalan terbaik dalam mengatasi masalah zina dan keruntuhan moral di kalangan remaja masa kini.

Beliau menganggap isu kahwin awal kerana mengandung merupakan natijah daripada cara hidup tidak mengikut hukum agama. “Jika kita lihat dari sudut (akses) bahan lucah, rencana seks, pendedahan, sekolah bercampur dan galakkan pergaulan bebas memang berlaku,” katanya.

Beliau juga tidak ada masalah dengan resolusi Majlis Agama Islam Melaka yang menggalakkan remaja yang mampu untuk berkahwin kerana tidak melanggar syarak tetapi keputusan ini harus dilihat secara menyeluruh dan meliputi semua aspek. (AK)

Sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails