Sunday, May 09, 2010

Perkeso, Batalkan Pelaburan Carlsberg -DPP

KL, 9 Mei 10: Dewan Pemuda PAS mendesak Perkeso, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan 5.5 juta pencarum supaya menarik balik pelaburannya dalam syarikat minuman keras Carlsberg selaras dengan pematuhan prinsip syariah.

Sayap pemuda PAS itu mahu Perkeso membuat keputusan segera dengan membatalkan pelaburannya memandangkan 90 peratus kakitangannya dan sebahagian besar pencarum merupakan penganut agama Islam.

Oleh itu Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi mendakwa hasil keuntungan diperoleh Perkeso sebagai pemegang saham dalam syarikat pengeluar miniman keras tersebut amat diragui.

Kata beliau, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia supaya tidak mengekalkan Perkeso sebagai pemegang saham dalam syarikat berkenaan.

“Kalau hendak melabur cari syarikat lain, banyak lagi syarikat di Malaysia... mengapa mesti pilih syarikat arak?” katanya lagi.

“Ini kerana 90 peratus kakitangan Perkeso terdiri daripada orang Islam dan duit potongan daripada pekerja juga turut melibatkan orang Islam dan dilaburkan ke dalam syarikat arak tersebut.

“Kemudian hasil keuntungan saham tersebut diberikan kepada kakitangan Perkeso sebagai gaji dan kita tidak tahu sama ada wang tersebut halal ataupun tidak,” katanya ketika dihubungi.

Perkeso dianggarkan kini mempunyai 5.5 juta pencarum melibatkan 380,000 majikan.

Beliau berkata, Perkeso membuat keuntungan dengan syarikat arak tersebut hasil caruman pekerja setiap bulan.

“Perkeso potong dari wang pekerja (pendapatan) dan ia menjadi harta Perkeso dan kemudiannya dilaburkan ke syarikat arak (pemegang saham), hasil keuntungan tersebut diagihkan semula kepada kakitangan mereka yang majoritinya adalah orang Islam.

“Jadi di sini kita boleh lihat bahawa pelaburan yang dibuat Perkeso diragui kerana mereka buat untung dengan perniagaan yang haram,” katanya.

Nasrudin berkata perkara ini melibatkan maruah dan kebajikan orang Islam juga berkaitan dengan isu halal dan haram.

“Bagaimana sumber yang diragui halal dan haram diberikan kepada kakitangan mereka?

“Jika halal itu tidak mengapa tetapi jika haram bagaimana? Ia akan menjadi sebahagian daripada darah daging mereka nanti,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, perkara tersebut sukar untuk dijelaskan kerana tidak tahu sama ada pelaburan yang dibuat itu benar ataupun tidak.

“Saya tidak berapa jelas mengenai perkara ini dan ia sepatutnya dirujuk kepada pihak Perkeso.

“Tetapi saya juga berharap supaya satu penjelasan dibuat mengenai perkara ini oleh Perkeso,” kata beliau. MTUC mempunyai wakil dalam Perkeso.

Komen Blog Ibnu Hasyim: Fikir tutup saja kilang arak itu, samada jangka pendek atau jangka panjang. Dalam Islam, sudah jelas larangan kepada 8 golongan termasuk peminum, pemerah atau pekerja yang melibatkan penghasilan, termasuk Menteri yang meluluskan dan parti yang menghalalkan dalam bentuk tindakan.

Bagaimana pula arak dalam agama Kristian? Apakah yang dikatakan oleh Kitab Injil mengenai perbuatan minum arak/wain? Adakah seorang Kristian berdosa jika dia minum arak/wain?

Beberapa ayat suci menggalakkan manusia supaya jangan minum arak (Imamat 10:9; Bilangan 6:3; Ulangan 14:26; 29:6; Hakim-hakim 13:4,7,14; 1 Samuel 1:15; Amsal 20:1; 31:4,6; Yesaya 5:11,22; 24:9; 28:7; 29:9; 56:12; Mikha 2:11; Lukas 1:15). Walau bagaimanapun, Kitab Injil tidak sepenuhnya menghalang Kristian daripada minum bir, wain atau sebarang minuman yang mengandungi alkohol.

Kristian diarah supaya jangan menjadi mabuk (Efesus 5:18). Kitab Injil menyalahkan perbuatan mabuk dan kesan buruknya (Amsal 23:29-35). Kristian juga diarahkan supaya tidak membenarkan badan mereka dikawal oleh sesuatu yang bukan daripada Tuhan (1 Korintus 6:12; 2 Petrus 2:19). Kitab juga menghalang seorang Kristian melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan Kristian yang lain atau menyebabkan mereka berdosa (1 Korintus 8:9-13).

Mengikut prinsip-prinsip ini, maka adalah susah untuk menyatakan bahawa Kristian minum arak untuk memuliakan nama Tuhan (1 Korintus 10:31). Yesus menukar air kepada wain. Nampaknya Yesus juga minum wain semasa kenduri (Yohanes 2:1-11, Matius 26:29). Dalam Perjanjian Baru, air tidak bersih. Tanpa kaedah sanitasi moden, air dicemari oleh bakteria, virus dan bahan-bahan lain. Keadaannya sama seperti yang berlaku di dunia ketiga sekarang.

Oleh itu, ramai orang minum lebih banyak wain daripada air pada zaman Yesus memandangkan wain adalah lebih bersih dan sihat. Dalam 1 Timotius 5:23, Paulus menyuruh Timotius supaya jangan minum air sahaja (yang menyebabkan sakit perut) dan minum sedikit wain. Pada masa itu, wain diawet, tetapi tahapnya tidak seperti sekarang. Wain bukannya jus anggur tetapi juga tidak serupa dengan wain hari ini.

Sekali lagi, Kitab juga tidak menghalang Kristian daripada minum bir, wain atau sebarang minuman yang mengadungi alkohol. Perbuatan minum alkohol itu bukan dosa. Apa yang salah ialah perbuatan mabuk dan ketagih arak yang patut dielakkan oleh Kristian (Efesus 5:18, 1 Korintus 6:12). Mengikut prinsip dalam Kitab Injil, adalah susah untuk berdebat dan mengatakan bahawa Kristian yang minum arak boleh menggembirakan Tuhan. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails