Saturday, September 01, 2007

Wajah Tok Guru Halang Calun PAS Dibeli..



Ibnu Hasyim: CATATAN SANTAI

(Gambar Tuan Adam Ahid: atas tengah di depan markas PAS Serawak & bawah di dalam markas.)


MERDEKA Palace, sebuah hotel di bandar Kucing. Hotel yang dihiasi dan dipenuhi dengan gambar-gambar bersejarah menyambut kemerdekaan. Itulah yang menarik. Di situlah saya menginap hampir seminggu. Di situ saya bertemu ramai pemimpin-pemimpin politik Semenanjung dari parti pembangkang dengan tidak secara langsung, walaupun kadang-kadang mereka tidak menginap di situ. Ada juga yang dari Sarawak sendiri.

“PAS Sarawak akan bertanding merebut 2 kerusi parlimen di negeri ini, dalam pilihan raya umum ke 12 akan datang.” Kata Ustaz Usman Mustafa, Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak yang saya temui di situ. “Bolehjadi pilihan raya umum akan diadakan selewat-lewatnya antara Oktober atau November ini.”

Beliau selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak yang juga anak jati Sarawak, datang menjemput pemimpin-pemimpin PAS Negeri Kelantan di hotel tersebut ke majlis anjurannya ‘Liqa Muhabbah Bersama YB Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan Haji Ahmad Yaakob’ pada 18 Ogos lepas, di sebuah dewan di bandar Kuching..

“PAS sudah bertapak di Sarawak kira-kira 10 tahun lalu dan cawangannya pun sudah memulai proses percambahan ke seluruh negeri.. Kalau anda ada ruang, sila hadir ke majlis proses penubuhan tersebut.” Sambil membelek-belek catatan, katanya lagi, “Dalam minggu ini, hampir setiap hari ada program. Ada waktu siang, ada waktu malam. Anda boleh pilih, bila tarikhnya, kalau nak ikutserta dan melihatnya!”

Sambut pula Timbalannya Tuan Adam Ahid, juga anak jati Sarawak yang berada bersama-sama kami di lobi hotel tersebut, “Dengan bertandingnya PAS di dua kerusi parlimen, seolah-olah PAS mengisytiharkan kepada umum bahawa PAS sedia menghadapi sebarang kemungkinan demi menegakkan keadilan berasaskan Islam di bumi Kenyalang ini..”

Tuan Adam Ahid pula pernah dua kali menjadi calun dalam pilihan raya. Pertama bertanding merebut kerusi ADUN Serawak pada tahun 2001 dan kedua bertanding merebut kerusi parlimen Sarawak tahun 2004.

“Pada tahun 2001 saya dipilih sebagai calun PAS bertanding di DUN (N18) Sadong Jaya, di mana berlaku pertandingan 3 penjuru antara BN/PBB, PAS dan Bebas. Jumlah yang keluar mengundi sebanyak 71.34% dan undi rosak 91 undi. Pertandingan yang berakhir kemenangan BN diwakili oleh Wan Abdul Wahab bin Wan Sanusi mendapat 3,888, dengan undi majoriti sebanyak 2,901 undi. Saya dapat undi sebanyak 987 dan calun Bebas Shapee Hj Lahat beroleh 388 undi sahaja.” Jelas Tuan Adam Ahid lagi.

Pilihanraya ADUN 2001 pula memaparkan gabungan 4 Parti Kompenen BN iaitu Parti Pesaka Bumi Putera Bersatu (PBB), Sarawak United People Party (SUPP), Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) dan Sarawak National Party (SNAP). Parti Pembangkang pula terdiri dari Democratic Action Party (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS).

“Namun saya dari PAS masih tidak hilang wang pertaruhan, dan kalau hilang wang pertaruhan pun, saya masih menganggap menang .. kerana dalam perjuangan tiada ada erti kalah!” Tegas Tuan Adam lagi.

“Bagaimana pula dengan pertandingan merebut kerusi parlimen?” Saya bertanya.

Jika dilihat keputusan pilihan raya parlimen Negeri Sarawak pembangkang cuma menang 1 kerusi sahaja dari 28 kerusi parlimen yang dipertandingkan pada tahun 1995. Dalam pilihan raya 1999 sebelumnya tiada satu pun kerusi parlimen dapat pada pembangkang. Dalam pilihan raya 2004 yang baru lalu, pembangkang cuma dapat satu saya kerusi parlimen dari 28 kerusi yang dipertandingkan.

“Dalam pilihanraya parlimen 2004 tersebut, saya dipilih sekali lagi bertanding. Tetapi kali ini berlawan dengan tokoh bertaraf Menteri iaitu Dato’ Sri Adenan Satem.” Tegas Tuan Adam. Di sinilah saya digoncang hebat dengan ujian kebendaan.. Walaupun saya dikatakan kalah, hilang wang pertaruhan, tetapi saya tetap menang, tiada kalah dalam beristiqamah kepada perjuangan!”

“Digoncang hebat dengan ujian kebendaan? Apa yang berlaku sebenarnya?”

“Ya! Beberapa hari sebelum dan selepas penamaan calun, ada pihak-pihak tertentu cuba mendesak saya jangan bertanding atau menarik diri dari pertandingan.. Tegasnya cuba membeli saya supaya tiada bertanding melawan mereka..” Jelas Tuan Adam dengan tenang. “Mulanya cuba ditawarkan kepada saya sendiri tetapi saya menolak. Lepas itu kepada anak saya dan seterusnya isteri saya, tidak berjaya juga.. Akhirnya kepada ibu saya yang sudah tua. Hingga ibu saya menangis-nangis merayu kepada saya tidak mahu jadi susah.. apabila ditunjukkan wang tawaran sebanyak RM350,000 kepadanya!!”

“Masya Allah! Apa perasaan anda waktu itu??”

“Menggeletar jiwa dan perasaan saya apabila mendapat tahu hal itu. Terasa seolah-olah Tok Guru Nik Aziz Menteri Besar Kelantan sedang merenung tajam melihat istiqamah saya yang diuji ini. Beliau seolah-olah berada di hadapan saya. Terasa istiqamah saya semakin kuat dengan tiupan renungan Tok Guru itu. Wang tawaran terasa jijik bagaikan longgokan sampah-sarap yang tiada berguna langsung buat saya. Saya berkeputusan tetap menolah tawaran itu, walau apapun yang akan terjadi. Saya sanggup hadapi!!” Kata Adam sambil mengetap gigi dan tangannya menggenggam penumbuk. “Akhirnya saya bersyujud syukur kepada Allah SWT yang menyelamatkan saya dari belenggu nafsu dunia..”

“Alhamdulillah, kini anda sudah lepas ujian melonggarkan istiqamah anda kepada perjuangan Islam. Anda sudah bebas merdeka dari belenggu nafsu dunia! Inilah merdeka sebenarnya, hadiah kepada saya sebagai kenangan 50 tahun merdeka, semasa berada di hotel Merdeka Palace ini.” Kata saya.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL. Sempena 31 Ogos 2007.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails