Dewan Pemuda Pas menyelar tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendedahkan hasrat Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang masih mahu mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor dalam pertemuan Presiden Pas itu dengan sayap pemuda pakatan pembangkang Jumaat lalu.
Exconya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendedahan yang dibuat oleh Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad kelmarin adalah amat tidak wajar dalam ketika isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu sudah memasuki fasa terakhir.
“Saya cukup kesal dengan langkah Nik Nazmi yang mengeluarkan kenyataan sebegini di saat ini. Saya yakin dan menghormati komitmen teman-teman AMK dalam menjaga keutuhan pakatan rakyat (pembangkang).
“Namun, kenyataan Nik Nazmi yang terbaharu ini saya sifatkan akan mengeruhkan kembali keadaan. Pandangan-pandangan yang dilontarkan dalam pertemuan tertutup tidak semuanya perlu dikongsi kepada khalayak terutama apabila ia tidak mendatangkan apa-apa faedah,” katanya dalam laman sosial Facebook miliknya, semalam.
Nik Nazmi dalam blognya sebelum itu mendakwa Abdul Hadi memberi jawapan kepada jalan penyelesaian berhubung kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor adalah dengan mengekalkan Abdul Khalid.
Menurut Nik Nazmi, pandangan Abdul Hadi itu bertentangan dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor terhadap Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selain berbeza pandangan dengan keputusan Pas sendiri sedangkan Abdul Khalid hanyalah ADUN Bebas yang kini hanya bertindak sebagai Menteri Besar peralihan yang telah diperkenankan Sultan Selangor.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan berkata, walaupun hasrat Abdul Hadi bukan satu-satunya isi perbincangan dalam pertemuan itu, pendedahan sedemikian telah membuka dimensi persoalan baharu kepada umum.