Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dikatakan dalam keadaan serba-salah dalam menangani Adun DAP dan PAS yang memegang jawatan kerajaan negeri. – Gambar fail
Kemelut perpecahan Pakatan Rakyat (PR) bakal memberi impak besar kepada Selangor, dan exco PAS di negeri tersebut kini berdepan dipecat, manakala Mohamed Azmin Ali ketika ini dihimpit tekanan.
Walaupun tiada keputusan diumum selepas mesyuarat biro politik PKR semalam, The Malaysian Insider difahamkan perbincangan itu lebih menjurus kepada memilih untuk bersama-sama DAP berbanding PAS.
Namun, mesyuarat yang dianggap penting itu tidak dihadiri Azmin, yang berada di Kelantan atas urusan kerja walaupun PKR sudah memaklumkan kepadanya mengenai mesyuarat itu.
Beberapa pertimbangan sedang diambil kira sebelum PKR mengeluarkan sebarang pendirian berkenaan kemelut itu, antara situasi tersebut kemungkinan besar adalah exco PAS Selangor bakal dipecat atau disuruh letak jawatan sukarela.
Dalam situasi ini, Azmin berada dalam keadaan serba salah membuat keputusan kerana beliau berjaya menjadi menteri besar Selangor selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertindak membantah keputusan DAP dan PKR menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan itu.
"Belum ada kenyataan daripada Azmin, rundingan mungkin sedang berjalan.
"Dalam keadaan sekarang, Azmin terhimpit dan pilihan yang bakal dibuat akan memberi kesan kepada parti dan juga kerajaan yang diperintahnya ketika ini," kata sumber itu.
Keadaan akan memaksa Azmin berbuat demikian (pecat Exco PAS) kerana DAP pastinya akan beri tekanan kepadanya mengambil langkah sedemikian. Walaupun DAP tidak menyatakan secara terbuka kerana masih menunggu keputusan PKR, situasi itu dijangka bakal berlaku memandangkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sudah meminta ahli PAS yang memegang jawatan dalam pentadbirannya melepaskan jawatan.
Situasi itu menyebabkan Azmin dihimpit tekanan, jika kekal bersama DAP maka beliau perlu memecat exco PAS tersebut.
Lebih-lebih lagi sikap ahli PAS yang berdegil tidak mahu melepaskan jawatan seperti berlaku di Pulau Pinang bakal menambah kesukaran kepada Azmin berbuat demikian, malah disebabkan perkara ini juga, DAP sudah memberi teguran awal mengatakan terpulang kepada menteri besar Selangor bagaimana mahu membentuk kerajaan negeri dengan parti sekular itu.
Membentuk kerajaan bersama DAP bukan sesuatu yang mudah disebabkan sumber mendedahkan pihak Istana mungkin akan campur tangan dalam kemelut yang sedang berjalan ini.
Difahamkan, pihak istana sedang memerhati secara dekat perkembangan politik di Selangor.
Campur tangan mungkin berlaku sekali lagi sekiranya kerajaan negeri yang dibentuk hanya membabitkan PKR dan DAP sahaja, menyebabkan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melayu tidak lagi majoriti dalam pentadbiran negeri sebagaimana dikehendaki istana.
Jika PKR dan DAP bekerjasama, bermakna Adun Melayu hanya 10 orang berbanding Adun bukan Melayu sebanyak 18 orang (3 Adun PKR bukan Melayu, 15 Adun DAP bukan Melayu).
Perkara itu akan menjadi pertimbangan pihak istana sekiranya PKR memilih bersama DAP dan bukannya bersama PAS di Selangor. Memecat exco PAS pula memerlukan kelulusan Sultan Selangor kerana pembentukan kabinet negeri adalah atas perkenan baginda. Jika Azmin tidak melakukan sebagaimana dituntut DAP, daripada satu aspek, kestabilan kerajaan Selangor sudah tidak lagi berjalan.
Oleh yang demikian, saranan pemerhati politik dan pakar undang-undang, Dr Abdul Aziz Bari mengenai pilihan raya negeri adalah jalan penyelesaian terbaik mendapatkan pengakhiran kepada kemelut yang melanda antara PAS dan DAP, serta PKR.
"Ini adalah jalan terbaik yang saya rasa ketika ini," katanya. - 17 Jun, 2015.