Friday, May 30, 2014

Jangan tidur selepas waktu Asar

Hari Sabtu minggu lepas....
Sebaik tersedar kelihatan sudah terang benderang. Keluar bilik kelihatan dua anak daraku masih terlena di depan televisyen. Sayu hati kerana anak-anak tidur tidak berselimut dan tilam. Menuju ke depan tolak sliding door. Cerah. Dalam hati berdetik "Masya-Allah satu rumah dah terlewat tak solat subuh". Bergegas melihat jam menunjukkan pukul 5:20. Mula membayangkan tanda hari kiamat tetapi aku belum bersolat begitu juga anak-anak. "Kenapa abang pergi surau tidak kejutkan kami". Itu yang terdetik dalam hati aku. Hairan sebab tidak pernah en hubby begini. Terus ke bilik air. Sebab sudah terlewat lupakan soal mandi dulu. Niat di hati mahu solat subuh dulu baru mandi.

Sebaik selesai berwudhuk, keluar bilik air baru sedar aku sebenarnya mamai. Mujur tersedar kalau tidak sah-sah aku solat subuh dan pergi kerja. Terlena sewaktu menonton cerita hindustan. Sehinggakan waktu petang aku sangkakan aku sudah terlewat subuh. Sedangkan en hubby sebenarnya pergi servis kereta. Anak-anak pula sebenarnya semua juga terlena sebab menonton tv. Mudahnya syaitan menggoda sehingga aku rasakan sudah terlalu lama aku terlena bagaikan tidur di waktu malam. Sewaktu menonton sementara menanti iklan aku pejamkan mata tetapi terus terlena sehingga azan Asar pun tidak aku dengar.
Malam - Tidur sekejap sebelum tiba giliran mengaji macam anakanda Aqil ini tidak mengapa. Letih seharian di sekolah malam pula kena mengaji. Bagi peluang dia tidur sekejap. Kasihan... Ini kalau mak/ayahnya tahu mesti kena marah.Tapi aku tidak sampai hati.

Sebenarnya tidur sedikit di waktu tengahari tidaklah mengapa. Baginda rasulullah sallallahu alaihi wasallam juga melakukannya kerana dikatakan bagi mengimbangi kekuatan tubuh badan kita setelah bertahajjud di malam hari. Tetapi bukan selepas waktu Asar. Menurut Ibnu Qayyim; "Tidur di siang hari sangatlah dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakan (muka sembab dan tidak berseri), malapetaka, merosakkan warna kulit, radang limpa, lemah urat saraf dan melemahkah syahwat. Sekeji-keji tidur adalah ketika matahari terbit dan lagi keji tidur selepas Asar."

Ada juga alim ulama' mengatakan; " Sesiapa yang tidur selepas Asar sehingga terganggu kewarasannya maka janganlah ia mencaci selain dari dirinya sendiri."

~~Jadikan pengajaran walau tidurku tidak sengaja tetapi sebaiknya bila sudah menghampiri Asar jangan cuba berbaring sehingga boleh membuat mata terus telena.~~

Thursday, May 29, 2014

Pilihlah sayang mana satu pilihan hati

Persediaan biasa buat anak-anak yang bertandang ke rumah saban hari. Kasihan bila letih mulut membaca tidak ada apa sekurang-kurangnya dengan air ini pun jadilah. Balang biskut dan kekacang sudah biasa ada terletak di atas meja dan tahu itu semua untuk mereka makan bersama-sama.

Sejuk - Empat warna empat citarasa. Ada sarsi, air sejuk biasa, sirap ros dan oren. Oren dan sarsi bancuh dari kordial tapi sirap biasa aku buat sendiri, apa lagi pandan pun banyak. Masak gula dengan perisa ros dan pandan, letak warna merah - jadi sirap ros. Bila hendak buat bancuh saja.
Tidak sejuk - Semuanya air masak. Siapa yang batuk atau selsema biasa tidak dibenarkan untuk minum air di dalam peti ais. Tetapi sebenarnya kalau mereka curi-curi aku pun tidak tahu sebab mereka ke dapur mengambil sendiri.
Walau banyak disediakan kalau nama anak-anak tetap riuh di dapur bila masing-masing mahu mengambil botol yang sama. Kalaulah mereka semua itu anak aku memang meriah:)

~~ Sembah takzim atas kemangkatan almarhum Sultan Azlan Shah, moga roh baginda dicucuri rahmat Allah. Al-fatihah.~~


Wednesday, May 28, 2014

Tat Bengkulu

Cuti sekolah pergi ke Sabah 
Gunung Kinabalu mahu di daki 
Acik Erna mengirim hadiah 
kuih bengkulu idaman hati 

Terkejut - Balik kerja tidak masuk rumah sebaliknya terus angkut anak keluar menuju ke Aeon Kulaijaya kerana mengejar waktu mahu menukar simcard telefonnya yang rosak.
Bungkusan yang sempurna - Membeli saja makan malam di Secret Receipe terus bawa balik sebab waktu sudah hampir maghrib. Tiba di rumah terus mandi dan solat maghrib. Sedang menadah tangan berdoa anak-anak mengaji sudah tiba. Tapi anak dara kecil aku biasalah sudah tidak sabar menghulur bungkusan ini. Sudah biasa anak-anak tidak akan membuka apa jua yg bukan miliknya. Bila nampak nama Acik Erna detik hati sudah tahu pasti kuih idaman hatiku TAT BENGKULU! Terpaksa tangguh dulu membuka sebab anak-anak mengaji sudah ada di depan mata.
Tat Bengkulu  - Allah hu robbi!  begitu Acik Erna ini pemurah betul. Sungguh tidak disangka bagaimana Acik Erna boleh mengirim ini buat aku. Dari mana beliau mendapat alamat tidak aku pasti
Isi di dalam - Ibarat kalau mengidam sewaktu mengandung sebaik dapat menikmatinya terasa enaknya Allah saja yang tahu. Doa kami sekeluarga moga kemurahan hati Acik Erna mendapat balasan Allah jua.

Cuti sekolah pergi ke Mekah
beribadah sujud di Baitullah
moga rezeki Acik Erna terus murah
dari keluarga kami jazakallah

Bahan-bahan ( 75biji )

  • 1kg tepung
  • *1/2 kg gula-kisar halus,ayak
  • *3 biji telur
  • *1/2 kg santan pati
  • 2 sudu teh baking powder
  • kuning telur+minyak
  • inti= 1 1/2 biji kelapa parut
  • gula merah& garam ikut rasa

Cara-cara

  1. INTI= masukan 1 cawan air dalam kuali dan campurkan gula merah dan garam.didihkan.masukkan kelapa parut kacau hingga kering.
  2. untuk kulit tat= tepung disanga dalam 5 minit dengan api perlahan.(sejukkan)
  3. bila tepung dah sejuk ayak tepung tadi dgn baking powder.
  4. pukul telur dengan gula dan masukkan santan.
  5. masukkan tepung yang dah diayak.gaul sehingga sebati
  6. biarkan setengah jam
  7. bulat-bulatkan inti sebesar guli.balutkan inti dengan kulitnya.bentukkan seperti daun.
  8. kepit-kepitkan kulitnya supaya berjalur seperti urat daun.
  9. sapukan kuning telur yang sudah dicampur dengan minyak .
  10. bakar setengah jam dengan 160 C.bakar hingga masak kalau belum masak 
Note: Resepi di atas ini aku dapat dari my resepi.

~~ Belum sempat mencuba tapi sudah merasa. Terima kasih Acik Erna.~~


Tuesday, May 27, 2014

Memperingati peristiwa Israq & Mikraj

Peristiwa bagaimana perjalanan baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam melebihi 1400 tahun dulu mengambil masa sehari dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ke Sidratulmuntaha membuat ramai yang menganggap itu tidak dapat diterima akal. Kalau Abu Jahal memperlekehkan peristiwa tersebut, namun Saidina Abu Bakar apabila dikhabarkan oleh baginda rasulullah berkata "Andai ada peristiwa yang lebih besar dari itu pun aku percaya". Lihatlah bagaimana ajaran baginda rasulullah sudah meresap sebati dalam sanubari sahabat baginda Saidina Abu Bakar.  Peristiwa ini juga berlaku setelah baginda dihalau oleh kaum Quraisy dari Taif. Namun sebagai utusan Allah baginda tidak pernah lelah untuk mendidik umatnya ke jalan yang diredhai. Rasulullah guru agung kepada kita seluruh umat yang tidak ada tolok bandingnya.

Penghargaan - Oleh itu tidak salah menghargai guru-guru kita sebagaimana adik menghargai guru-gurunya sewaktu menyambut Hari Guru tempohari. Hadiah ini tidak setimpal dgn didikan yang diberikan tetapi sebagai simbol menghargai dan terima kasih adik kepada cikgunya.
Hadiah - Dari salah seorang anak yang mengaji di rumah. Baginda rasulullah dulu mengajar, menyeru umat tidak ada siapa pun yang memberikannya hadiah.
Kain pasang - Pemberian salah satu anak yang mengaji dua hari lepas. Katanya " Hadiah buat mama sempena Hari Guru". Aku pasti ini ibu-bapanya yang memberi. Terima kasih dariku tidak terhingga. Terharu sebab aku bukanlah guru sebenarnya.

Kalau kasih kita kepada guru yang mengajar dengan memberikan hadiah, apa salahnya kita berselawat dan salam buat junjungan kita baginda nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Itu tanda kasih kita kepadanya bahkan moga mendapat syafaat baginda di akhirat kelak. Bersamalah kita memperingati peristiwa Israq & Mikraj dan mengambil iktibar dari kisah bagaimana balasan kepada mereka yang mungkar dan balasan baik yang ditunjukkan sewaktu perjalanan baginda sepanjang malam tersebut. Betapa sayangnya baginda memohon kepada Allah diberikan kepada umatnya untuk menunaikan solat lima waktu saja sehari. Bayangkan kalau kena 50 waktu!

~~ Sebaiknya peritiwa Israq & Mikraj baginda diambil iktibarnya untuk mengukuhkan keimanan kita bukan sekadar bercuti kerana menyambutnya. Menyambut dan mengambil iktibar peristiwa adalah dua perkara yang jauh berbeza.~~
 


Monday, May 26, 2014

Menikmati air kelapa laut

Kelapa laut - Kali pertama buat keluarga kami melihat dari dekat. Dulu pernah melihat di satu exibition tetapi sekadar membeli airnya saja. Kelapa ini pemberian salah satu staff hubby. Kali ini kami membuat sendiri air kelapa laut.
Hancur! - Kali pertama mengapak habis hancur buah kelapa hubby buat hahaha...
Berjelly - Isinya kecil saja.
Putih - Bau seperti buah kelapa biasa.
Isi kelapa laut - Banyak ini yang kami dapat. Cuci dan bersihkan lapisan kuning yang menyelaputinya.
Mendidih - Kelapa yang dibersihkan, potong kecil, blend dan rebus bersama air biasa + gula melaka dan dua helai daun pandan.
Air kelapa laut - Siap di rebus dan ditapis akan jadi begini.
Segelas - Sedia untuk diminum
~~Kami sekeluarga menikmati bukan kerana untuk mengubati batuk, tetapi untuk melegakan dahaga.~~

Friday, May 23, 2014

Wasiat Imam Al-Ghazali R.A

Sementara menanti burger yang ditempah siap, aku masuk ke dalam kedai buku kepunyaannya. Isteri menjaga kedai buku dan stationery manakala si suami berniaga burger, pau dan jagung kukus. Satu strategi bijak. Walau isterinya berniqap tetapi dari apa yang aku lihat mereka bijak mengatur kerjaya. Ramai pengunjung tidak berhenti. Siap disediakan buku untuk dibaca sementara menanti burger yang ditempah siap.

Wasiat Imam Al-Ghazali - Aku membeli buku ini. Beli  juga jus kurma, jus delima dan kismis.


Petikan - Betapa banyak kitab dikarang hanya sekitar 50 saja di pasaran. Aku pula dari 50 itu satu darinya pun tidak ada. Memalukan..
Sekadar menitip sedikit wasiat dari Imam Al-Ghazali r.a melalui kitab Ihya Al-Ulum. Pesannya orang yang hendak berjalan kepada jalan Allah wajiblah kepadanya empat perkara:-

1. Iktikad yang sahih dan tidak bercampur dengan bidaah
2. Taubat nasuha yang tidak akan mengulang kesalahan
3. Memohon maaf dengan manusia sehingga tiada apa-apa tuntutan orang lain
4. Menuntut ilmu agama mengikut kadar yang diperlukan dalam melaksanakan perintah Allah.
~~ Mampukah kita? Bersama kita renungkan wasiat ini.~~

Thursday, May 22, 2014

Fotosintesis dan gandingan pernafasan kita

Biar pun semua pasu berasak antara satu-sama lain namun aku tetap usahakan juga apa yang boleh hidup di tanah sekangkang kera kediaman kami. Sementara cuaca tidak panas dan pasu baru pula sudah dibeli jadi usahakanlah mana yang patut. Cantas sana, cantas sini, alih sana, alih sini bagi membuat sedap mata memandang. Mana yang boleh ditukar baru, pokok lama dibuang (kesian dia).
Sambung hayat - Dari mana dapat nama ini aku pun tidak tahu.  Makan raw dengan sambal belacan. Ada mint, aroma special dan rangup itu yang menambah selera makan. Semua pucuk aku petik dan sulam kembali untuk mendapat pokok yang baru.
Pucuk bebuas - Keluarga aku memanggilnya daun singkel. Bukan sikil - salah pronounce sangat jauh beza maknanya. Masak dalam hidangan ikan asam pedas pun sedap sebab ada aroma yang sukar digambarkan. Buat botok-botok salah satu daun ramuan inilah dia.
Sisa pokok - Sulam baru untuk pokok sambung hayat tadi. Semua tanaman aku memang di dalam pasu sebab rumah kami punya tanah secoet kecil saja. Sangat mudah untuk kembali bercambah pokok ini seperti ros jepun juga, cantas dan cacak mesti hidup subur.
Daun Kari - Cantas bagi menghalang pokok menjadi tinggi.  Maklumlah tanam pun di dalam pasu. Bila pokok mula melebihi ketinggian kita kenalah cantas.
Menanam pokok di kawasan rumah kita sekurang-kurangnya dapat menyumbangkan oksigen keperluan kita sebagai manusia. Tidak dapat menyumbangkan banyak, dapat sedikit pun sudah memadai. Maha kaya Allah dihidupkan kita dengan adanya oksigen untuk pernafasan dan karbon diaoksida untuk fotosintesis dedaun pokok. Mari kawan-kawan kita bercucuk-tanam mana yang kita mampu.

~~ Bayangkan andai proses pernafasan atau fotesintesis Allah hentikan.~~ 


Wednesday, May 21, 2014

Dari dapur hingga ke pejabat

Di dapur
Buat anak-anak
Buat teman-teman
 ~~ Bila sudah terlalu banyak agihkan kepada yang suka.~~


Tuesday, May 20, 2014

Bila mata memandang yang cantik

Sebaik turun dari kereta, mata sudah galak dengan bibir senyum puas. Dari pintu masuk hingga ke bahagian dalam satu pun tidak dipilih lagi bila semuanya memikat hati. Mata terasa puas tetapi tidak tahu mana satu menjadi pilihan. Banyak sungguh pasu-pasu bunga yang berlonggok di banyak tempat.

Berukir - Cantik dan memikat mata
Licin - Walau licin tapi warnanya memikat hati
Banyak saiz - Pilih saja mana satu yang dikehendaki. Ada yang sesuai untuk bunga kektus, bunga pokok besar, pokok kecil dan sebagainya
Salah satu pilihanku - Menggantikan pasu untuk pokok kenangaku yang sudah pecah pasunya. Selesa mata memandang bila sudah dialihkan ke dalam pasu baru. Lihatlah ada batang daun kesum anak dara kecik aku menanam. Biasanya untuk menghalang dari tanah terkeluar aku tanam pokok bunga ros jepun tapi tidak sempat lagi. Lihatlah hari minggu ini.
Alhamdulillah - Nasib baik tidak terencat walau pada mulanya agak layu.
Minggu lepas aku ke nursery bagi mencari keperluan taman mini di rumah. Membeli baja untuk pokok orkid dan pasu bunga yang sudah tidak sesuai. Mana pokok yang sudah besar perlu dialih ke pasu lebih besar. Santai-santai membuang masa bila sendirian di rumah. 

~~ Bunga kenanga zaman kanak-kanak aku dulu dijadikan sebagai salah satu ramuan untuk minyak rambut yang akan di pakai setiap hari sebelum ke sekolah - sedihnya.~~

Monday, May 19, 2014

Menjahit baju kurung teluk belanga

Buat anak-anak semua di sini makcik cuba memberi serba-sedikit cara menjahit baju kurung teluk belanga. Hari Raya sudah kian hampir (pastikan hutang-hutang puasa gantikan segera). Jangan membazir duit membayar upah. Duit upah boleh digunakan untuk membeli kain pasang sehelai lagi. 

1. Badan - ukur saja berapa lebar dari bahu kiri ke kanan. Kemudian ukur panjang/labuh dikehendaki dari bahu ke bawah lutut. Terpulang berapa panjang dan lebar yang anak-anak mahu. Rasanya tidak perlulah makcik tunjuk sayang sebab terlalu mudah.

2. Tangan - ini juga terpulang kepada anak-anak berapa panjang tangan dan lebar yang dikehendaki. Mudah sebab ianya lurus saja. Apa yang penting kanan dan kiri kenalah gunting sekali. Bermakna sewaktu menggunting lapiskan dua. Ukur dari bahu hingga ke hujung pergelangan tangan.

3. Kekek - tahukah anak-anak apa itu kekek? Bukan ikan ye sayang. Kekek ini terletak di bawah ketiak. Bentuk segi empat sama. Lihat bagaimana makcik mengukur dan mengguntingnya.
Kekek 4.5" x 4.5" - Ini ukuran untuk baju anak makcik. Biasa untuk size ini sesuai untuk remaja hingga dewasa. Semua ukuran yang makcik gunakan di sini juga sudah termasuk basi untuk menjahit. Basi itu maknanya bila dijahit ianya menjadi bahagian dalam baju. Bukan basi macam nasi yang lama tersimpan itu hihi...
Penjurukan - Tujuannya agar mendapat size sama untuk keempat-empat side. Lapiskan kain supaya bila mengunting terus mendapat sepasang kekek
Sepasang kekek - Siap untuk kiri dan kanan
4. Membuat pesak - Untuk memudahkan bentang kain yang digunting untuk badan dan tangan tadi. Susun kedudukannya, kemudian ukur panjang/labuh dari bawah ketiak hingga ke bawah badan. Lihat gambar di bawah.

Pesak - Ukur dulu jarak ketiak ke bawah/labuh baju untuk membuat pesak pula. Contohnya 33" kena ingat bermakna panjang pesak 33".
Ukur lebar pesak - Kemudiah lihat pula berapa lebar pesak atas dan bawah. Contoh di sini makcik ambil 8"lebar keseluruhan. Jadi 5" untuk lebar di bawah baju dan 3" untuk lebar di ketiak yang akan dicantum pada kekek dan lengan.  Bermakna kain akan digunting 33"(panjang) x 8" (lebar)
Bahagian atas 3" - Lihat 3" ini untuk bahagian ketiak. Untuk yang masih baru belajar. Bila sudah mendapat size di atas (33"- panjang x 8" -lebar) anak-anak tanda setiap hujung ukuran bersilang. Ukuran bersilang bermakna satu bahagian 3" di kiri dan 5" di kanan dan satu lagi sebaliknya.  Lihat gambar di bawah.

Pesak yang siap di potong - Lihat sebelah kiri dan kanan. Ini yang makcik maksudkan ukuran bersilang. Bahagian yang tegak akan dicantumkan ke badan dan yang menyerong untuk tepi. Bahagian yang kecil 3" itu akan berada di kedudukan bawah ketiak (untuk dicantumkan dengan kekek dan lengan).
Sedia untuk dijahit - Sekarang lihat semua sudah siap dipotong tinggal saja untuk mencantumkannya dengan mesin jahit. Anak-anak ada dua pilihan samada menjahit dulu baru tebuk lubang leher atau buat terus lubang leher sebelum menjahit.
Bulan leher - Gunakan kertas untuk mendapat bulatan yang sempurna. Bulatan ini makcik sebut bulan. Jangan dibuang sisa bulatan ini sebab boleh dijadikan alas kaki/alas duduk dalam kereta dan sebagainya bila sudah banyak boleh dicantum-cantumkan.
Tanda - Lipat dua secara semetri bahagian badan untuk mencari titik tengah. Boleh gunting sedikit seperti makcik tunjuk dengan pen seperti gambar di atas sebgai tanda titik tengah.
Begini - Kemudian, lipat dua bulan kertas tersebut. Letakkan ke bahagian tengah yang telah ditanda tadi. Lihat makcik letak bulan itu lebihkan sedikit ke atas dari tanda sebab leher kita bulat. Kenalah lebih sedikit dari titik tengah (lihat gambar makcik tunjuk dengan pen) ini untuk bahagian belakang leher. Kalau tepat dari tanda kecil itu baju akan terjongket bila dipakai. Bila sudah begini guntinglah mengikut tepi bulan kertas tersebut.
Caruk - Ukur pula berapa panjang dikehendaki. Jangan panjang sangat bimbang nampak pula alur dada kurang manis dipandang mata. Memang tertutup tudung tetapi jimat sikit kalau mahu menyembat bila tidak panjang sangat. Apa yang penting pastikan kepala boleh masuk.
Siap - Sekarang semua sudah siap tinggal saja kerja menjahit untuk mencantum semuanya. Mudah bukan:)
Leher yang siap - Makcik buat hendak cepat jadi makcik jugakan jarum kait dan benang bola. Kalau tulang belut/sembat lebih cantik dan halus tetapi agak mengambil masa. Sebenarnya tulang belut/sembat adalah cara baju kurung teluk belanga yang betul.


Jadi makcik harap sedikit-sebanyak bolehlah membantu anak-anak mencuba untuk menjahit sendiri. Sebagai permulaan belilah kain cotton yang tidak licin agar mudah digunting dan menjahitnya. Mana tahu hari Raya tahun ini anak-anak memakai baju kurung hasil jahitan tangan sendiri.

~Selamat mencuba anak-anak sayang.~~ 

Saturday, May 17, 2014

Liebster Award di sana-sini

Tanpa di duga setelah genap setahun hari ini aku menjawab tag yang lebih kurang sama seperti di sini. Tag untuk Liebster Award di berikan oleh adindaku dan sahabatku yang di sini dan sini.


11 Soalan adinda Hainom OKje:
  1. Nama panggilan yang korang suka OKje panggil dan kenapa? (Panggil kanda pun tak apa)
  2.  Entri korang yang paling best yang korang nak OKje baca? (Tak ada yg special pun)
  3.  Satu kebaikan yang ada pada diri korang yang patut OKje tahu? (Hmm... tidak pandai marah kepada budak-budak tapi ini sebenarnya satu kelemahan.)
  4.  Satu sikap buruk korang yang patut OKje tahu?(Kalau penat saja malas untuk masak)
  5.  Bahagian tubuh korang yang korang rasa cantik?(Kena tanya hubby baru tahu hihi...)
  6.  Siapakah orang yang ingin korang jumpa kalau diberi peluang? (Nak jumpa balik dengan arwah mak )
  7.  Peristiwa paling best dalam hidup korang?(Hari menjadi isteri seorang lelaki)
  8.  Impian korang yang masih belum tercapai?(Banyak benar kalau mahu disenaraikan)
  9.  Makanan dan minuman yang selalu korang order kalau makan luar?(Lemon tea dan nasi berlauk sayur brokoli)
  10.  Kalau korang jadi kaya?(Mohon dijauhkan jadi lupa daratan - moga tidak)
  11.  OKje di mata korang? Nak kritik pun OK ..... mak OK jer! (Seorg yg pandai menghormati dan menghargai sesama umat)
11 Soalan sahabatku Acik Idah:
  1. Berikan sedikit pengenalan tentang diri anda? (Seorang mama dan punya 3 anak dara)
  2. Makanan yang paling anda suka?(Tidak kisah apa pun di makan janji halal)
  3. Siapakah idola anda di dalam Malaysia ini?(siapa lagi kalau bukan TGNA)
  4. Apakah channel televisyen yang sering anda tonton? (SBC channel 5 & channel News Asia)
  5. Apakah yang anda suka lakukan diwaktu lapang? (Baca buku atau menjahit)
  6. Masakan apakah yang anda master menyediakannya? (Oh... ini kena tanya anak-anak dan en hubby)
  7. Berapakah umur anda pada tahun ini? (Lama sudah menjadi nenek)
  8. Siapakah Acikidah yang anda kenali? (Seorang yg suka bermasyarakat)
  9. Apakah yang wajib anda lakukan sebelum tidur? (Tutup pintu bilik dan pakai setokin)
  10. Apakah kategori blog anda? (Macam-macam ada cuma ilmu berblog tiada)
  11. Apakah pendapat anda tentang blog acikidah ini? (Banyak pengisian terutama hal kemasyarakatan)
Sedikit tentang diriku seperti yg pernah di tulis di sini.
  1. Walau nama Zakie tapi aku ini wanita, mama dan hamba Allah (moga jadi Muslimah terbaik).
  2. Anak Hj Purvit (bapak) dan Allahyarhamah Hjh Neema (Al-fatehah buat mak)
  3. Membahasakan diri kakak. Semua mereka yang mengenali aku tidak kira mak-bapak-nenek-atok-moyang-pakcik-makcik-abang-kakak semua memanggil aku kakak. Anak-anak jangan pula panggil kakak ye sayang - panggil auntie, makcik atau nenek.
  4.  Mama kepada tiga anak dara dan isteri kepada papa anak-anak dara yang tiga itu.
  5.  Kerjaya awal menjadi cikgu. Telah banyak kali bertukar kerjaya dan akhirnya tersadai jadi kuli mengetuk calculator dan computer hingga kini.
  6. Tidak pandai memasak walau boleh dikatakan setiap hari memasak (tapi hari cuti dapur pun cuti).
  7.  Hari-hari memandu pergi-balik kerja dari zaman anak dara sampai sudah ada anak dara masih lagi tidak mampu menggaji pemandu.
  8. Menjahit baju tidak pernah upah sebab dilahirkan dalam keluarga miskin - sedih. Masa anak dara dulu mengambil upah menjahit baju dan knitting untuk menambah pendapatan itu yang buat sekarang sudah letih mahu mengambil upah lagi.
  9. Menjadi tempat anak-anak merujuk untuk musabaqah dan berzanji walau suara bagai itik serati.
  10. Menanam pokok bunga bagaikan terapi tapi kebanyakan pokok tidak simpati. Hasilnya daun saja yang banyak tanpa bunga.
  11. Paling suka melihat keletah anak-anak, sebab itu blog yang memaparkan kisah anak-anak comel menjadi terjahan utama perempuan bernama Kak Zakie ini.
 Tugasan seterusnya memberikan sebelas soalan pula:-
  1.       Apa yang membuat anda berblog?
  2.       Apa keindahan berblog yang anda rasa?
  3.       Waktu bila anda berblog?
  4.       N3 bagaimana pilihan anda?
  5.       Sejauh mana eratnya teman-teman blog anda?
  6.       Mana keutamaan anda -  blog/FB/Twitter atau yang seangkatan..
  7.       Pengisian blog yang bagaimaa pilihan anda?
  8.       Anda lapar, tidak sihat tetapi masih duduk mengadap blog mengapa?
  9.       Apa jadi kalau semua ahli keluarga anda berblog?
  10.       Apa tindakan bila terasa malas untuk berblog?
  11.       Bila hendak berhenti berblog?
Selesai semua satu tugasan lain tag 11 teman teman. Sebaiknya biarlah aku tag ke semua 1140 orang teman Titisan Nurani yang disayangi. Silalah jangan malu dan segan. 

~~ Pakai kasut tali merah, 
baju jingga jadi pilihannya, 
sahabat semua janganlah marah, 
semua ini hiburan sahaja.~~

Friday, May 16, 2014

Murahnya rezeki ada di laut dan di bumi

Daripada Abi Dhibah berkata: Usman Ibnu Affan r.a berkata, Sesungguhnya saya perintah kepada mereka supaya membaca surah Al-Waaqiah setiap malam. Sesungguhnya saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa membaca surah Al-Waaqiah tidak akan jadi miskin selama-lamanya.” 

Selain itu memperbanyak beristighfar, memohon keampunan kepada Allah adalah salah satu cara untuk memperolehi rahmat dan diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka. Hadis Nabi s.a.w. bermaksud: “Barangsiapa tekun beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka.” (H.R. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim).

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti kamu diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (H.R Umar bin al-Khattab dari Imam Ahmad, At-Tirmizi dll.) 

Bagaikan epal - Bulat-bulat dan kian ranum. Melimpah-ruah memenuhi ruang dapur rumah kami
Dua jenis - Tidak kurang yang ini turut memenuhi ruang dapur. Bila tidak tahu kemana mahu dibawa lalu diagih kepada mereka yang rajin ke surau.
Jeruk - Untuk mangga yang jenis kecil-kecil ini sudah siap aku jadikan jeruk. Masam-manis-sejuk sebab aku simpan di dalam fridge. Kupas, cuci dengan air panas, rendam air kapur, cuci lagi (dgn air biasa), rendam air garam sekejap kemudian rendam air gula dan simpan dalam fridge.
Telah dinyatakan "Siapakah yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya" (Surah Al-Mulk, ayat 21). Oleh itu kongsikanlah apa juga rezeki yang kita perolehi kepada siapa saja yang sudi untuk menerimanya. Umpama mereka yang bertugas sebagai guru yang sentiasa memberikan ilmu bagaikan rezeki kepada yang memerlukan. Selamat Hari Guru buat semua yang menggalas tugas sebagai guru.

~~ Betapa bumi kita terlalu subur hinggakan di sana-sini melimpah-ruah rezeki diperolehi.~~