Showing posts with label Anugerah cemerlang. Show all posts
Showing posts with label Anugerah cemerlang. Show all posts

Monday, January 9, 2017

Anugerah PBSM dan tanggungjawab

Punyalah lama dari sebelum masuk IPTA sampai sudah keluar baru dapat sijil yang satu ini.

Ucapan - Sebelum majlis penyampaian sijil dimulakan dengan ucapan presiden PBSM Johor dan diikuti oleh ucapan presiden PBSM Pontian.
Semua - Bergambar kenangan bersama mereka yang dianugerahkan
Penyampaian - Alhamdulillah akan sentiasa di praktikkan
Banyak sijil Kak Reen berkaitan dgn PBSM (Persatuan Bulan Sabit Merah) kerana dari dulu dia mempunyai wawasan mahu bersama-sama dengan NGO yang terlibat dengan misi membantu saudara di Palestine tetapi sehingga kini masih belum kesampaian. Kini sudah mula bekerja pun. Belajar undang-undang tapi kerja lain dari yang diimpikan. "Sementara belum bertemu yang dituju duduk dululah bagi meraih pengalaman". Itu kata aku. Mama dia pun dulu bukanlah mengambil bidang PA tetapi melompat dari satu syarikat ke satu syarikat akhirnya begini jadinya. Tetap menjadi kuli sehingga pencen mungkin sebab sudah malas mahu melompat lagi. Biarlah anak-anak pula belajar melompat.

Siang hari bekerja jadi kuli orang lain malam hari jadi kuli papa pula. Siapa lagi yang mahu membuat quotation, delivery order dan invoice yang papa mahu. Dapat juga papa mengurangkan kos membayar gaji. Dulu mama kena buat sekarang ada anak sendiri yang buat boleh bayar ikut suka tidak perlu EPF/Socso😉

~~ Selagi masih bernafas ada tanggungjawab yang perlu digalas.~~

Tuesday, May 24, 2016

Sekadar menjadi wakil

Pada hari Sabtu lepas aku dengan hubby sengaja melewat-lewatkan untuk hadir ke majlis anugerah cemerlang di Sekolah Agama adik. Sekadar menjadi wakil memandangkan pada hari khamis ini sudah hari akhir persekolahan di Johor jadi tidaklah perlu mengambil adik balik untuk majlis ini. Kali ini adik mendapat anugerah cemerlang untuk keputusan peperiksaan akhir tahun 2015 di kelas dan SDEA (Sijil Darjah Enam Agama - di bawah Kementerian Pendidikan Agama Johor) tahun 2015.

Hadirin - Rata-rata ibu-bapa yang hadir adalah untuk sama-sama merakam detik indah anak-anak mengambil hadiah masing-masing. Apa yang menakjubkan ramai kalangan mereka yang cemerlang lahir dari ibu-bapa bukan warga Malaysia. Nasib baik adik tidak tewas dengan mereka semua.
Papa - Mahu tak mahu kena juga papa naik pentas menjadi wakil adik untuk kali pertama. Pemberi hadiah wakil kepada ADUN kawasan.  Aku guna kamera telefon zoom dari tempat duduk. Malu.
Kawan - Lagi lucu untuk kedua kali naik pentas yg memberi hadiah adalah kawan sendiri yang merupakan pengerusi badan kebajikan sekolah agama adik. Sebenarnya sebelum ini sudah cuba meminta kebenaran pihak sekolah untuk mengambil saja di belakang pentas tanpa di umumkan tapi cikgu mohon kerjasama kami untuk naik ke pentas juga.
Hadiah adik - Inilah hadiah terakhir adik untuk pembelajaran tahun 2015. Satu untuk hadiah keputusan dalam kelas dan satu lagi SDEA (Sijil Darjah Enam Agama). Sjilnya ada di dalam kereta hubby lagi lupa mahu keluarkan. 
Tahun ini adik akan menduduki peperiksaan SDKA (Sijil Darjah Khas Agama) pula. Sambung belajar untuk sekolah agamanya di MRSM belajar sekarang. Jabatan Pendidikan Agama Johor memberi kebenaran dan kelonggaran dalam hal ini - belajar di tempat terdekat dengan sekolah kebangsaan tetapi peperiksaan di ambil di tempat terdekat dengan rumah sebab peperiksaan dijalankan ketika cuti sekolah hujung tahun. Tetapi untuk peperiksaan hafazan dan bertulis tetap di JB di sekolah yang sama di sini. Hafazan tahun ini suroh Yasin dan Suroh Ar-Rohman; senang sedikit. Itu yang memudahkan untuk semua murid-murid termasuklah adik. 

~~ Jangan sesekali menganak-tirikan pembelajaraan sekolah agama anak-anak. Dunia dinikmati akhirat dijunjung tinggi.~~ 



Tuesday, April 12, 2016

Sekali melangkah usah berundur

Masa: Pagi Sabtu lepas
Tempat: Sekolah kebangsaan adik 

Lebih kurang jam 10:00 pagi dengan bertemankan mama/papa, adik sudah berada di dewan terbuka sekolah kebangsaannya yang lepas. Bertambah ceria bertemu dengan semua teman-teman sewaktu sama-sama belajar untuk peperiksaan UPSR yang mereka duduki pada tahun 2015. Pertemuan pagi itu sebagai memenuhi jemputan pihak sekolah untuk mengambil hadiah. Pada kami pula sebagai ibubapa kami mahu menghargai setiap titik peluh para kakitangan sekolah yang telah memberi kejayaan kepada anak-anak kami semua.

Hadirin - Pada hari tersebut juga berlangsungnya mesyuarat PIBG sekolah
Adik - Alhamdulillah penghargaan pihak sekolah diberikan tetapi buat kami sesungguhnya kami lebih-lebih lagi berterima kasih kepada seluruh warga pendidik di atas segala keringat tercurah buat adik.
Bertemu - Tidak disangka dipertemukan aku dengan anak-anak ini. TIba-tiba saja datang mengambil tangan aku untuk bersalam. Terkejut aku bila melihatnya. Mereka masih lagi ingat pada mama Zakie mereka ini. Anak-anak ini dulu menyewa tinggal bersebelahan rumahku. Selalu keluar masuk rumah kami bermain sehari suntuk selagi bundanya tidak datang memanggil memang tidak baliklah. Manja lagi dengan aku. 
Penghargaan - Inilah yang diberikan oleh pihak PIBG buat adik dan teman-temannya.
Sebelum majlis berakhir dengan cabutan nombor bertuah, kami sudah terpaksa meninggalkan dewan. Adik perlu bersiap untuk pulang ke asrama. Selepas solat zuhor saja kami bertolak. Singgah sebentar di shopping kompleks membelikan adik air mineral kerana di asrama dispenser air selalu kehabisan air. Tiba di sana singgah makan untuk mengisi perut. Lebih kurang jam 5:45 petang mama/papa tinggalkan adik dengan rasa sayu. Kalau papa pun selepas mencium dipeluknya adik lama-lama apalah lagi aku sebagai mamanya ini. Rasa sayang mahu melepaskan ciuman dan pelukan buat adik. Namun demi kehendak adik selepas peluk-cium dan bacaan Al-Insyirah di ubun-ubunnya kami berpisah sementara. Minggu depan mama/papa akan ke sana lagi.

~~ Sungguh masalah air benar-benar menguji penghuni asrama sekolah adik buat masa ini. ~~


Tuesday, April 5, 2016

Panas, air dan keluhan

Sabtu, Ahad dan Isnin melayan adik. Ujian seketika yang kami pasti akan ada keindahan dihujungnya. Teruskan berdoa dan tawakkal kerana kita tidak ada kemampuan tanpa izin dan kasih-sayangNya. Cuaca di Mersing agak panas berbanding JB. Asrama manalah ada pendingin hawa. Sabar dan redhalah demi mahu meraih kejayaan di masa depan. Adik kira beuntung duduk di asrama penempatan satu bilik hanya empat pelajar berbanding kakak-kakak dulu satu bilik berkongsi 10 sahabat. Ingatan Allah berikan buat kita seluruh hambaNya kerana semakin ramai yang lalai.

Cari air-cond - Pagi lagi kami bawa adik makan di Chicken Rice Shop cari yang ada pendingin hawa. Bagi keselesaan. Malamnya kami tidur di hotel berkekatan untuk bagi sejuk juga.  Makan di tepi pantai Mersing - sejuk udara pantai malam. Siang tengahari makan di KFC bagi suasana sejuk juga sebelum balik asrama semula.
Chicken roast - Makan nasi ayam dengan chicken roast ini.
Pie tie - Tidak pernah tinggal untuk membeli set ini setiap kali masuk
Panas - Betullah kalau di JB Mimik pun tidak tahan panas mencari sink untuk merehatkan diri apa lagi adik di Mersing suhunya agak lebih panas.
Ceria - Ini yang mama mahu.  
Adik boleh -  Kalau kawan-kawan boleh mengapa tidak adik.

Redha - Catuan air kenalah dihadapi dengan rasa rendah diri.
Peace - Itu lebih baik dari mengeluh. 
Khamis ini papa akan jemput adik balik kerana pada hari Sabtu ini ada anugerah cemerlang untuk murid UPSR 2015 di sekolah rendah adik yang lama. Balik rumah bolehlah menikmati suasana sejuk seketika sebelum kena balik semula pada petangnya. Begitulah selagi masih bergelar seorang pelajar. Ingat pesanan allahyarhamah nenek "Bila panas jangan mengeluh banyakkan istighfar." 

~~ Setiap apa juga ujian yang Allah berikan pasti ada hikmahnya. Catuan air satu yang sangat sinonim bila musim panas.~~

Tuesday, November 24, 2015

Indahnya berkasih sayang

"Mama tengok Danish bawa apa?". Itu yang diucapkan sebaik memberi salam dan masuk ke bilik tanpa disedarinya aku belum selesai lagi berwirid. Budak kalau sudah exited menerobos masuk tanpa fikir apa lagi. Perasaan tidak sabar mahu menunjukkan pada mama apa yang dia bawa lebih mengatasinya. Aku senyum, angguk kepala sambil tunjuk untuk dia letak dulu di atas katil. Sebaik mendengar aku membaca taqobbalallahuminkum dan meraup dua tapak tangan ke muka dia sudah suakan semuanya yang dibawa tadi. 

1 - Gambar dia konvo tadika. Mestilah bangga membayangkan macam remaja yang konvo di universiti. Panggil jurukamera luar juga katanya. Kalau boleh mahu mama tengok lama-lama. Itulah dikatakan anak belum matang.

2 - Gambar kelasnya (sayang tidak jelas pula aku mengambilnya). Siap dikenalkan kepada mama satu-satu nama yang ada. Rata-rata nama sangat sweet yang sedap didengar telinga. Bila mama usik "Maisarah ni girl friend Danish ke?" Cepat saja dia menjawab " Bukan. Danish tak ada girlfriend lagi". Gelihati aku mendengar jawapannya. Jujur dah luhur seorang anak kecil..
3 - Selak pada keputusan yang diperolehi. Padanya sudah terbaik sebab sebelum ini dapat nombor 9. Kali ini dapat nombor 4.  Bila mama kata "Wah.. pandai Danish". Bangga dan senyum bukan main lagi.  "Tahun depan Danish nak dapat nombor satu" Ada azam yang tinggi.
4. Sebelah kanan inilah budaknya. Sudah semakin cerdik. Berbadan sasa berbanding kawan-kawan walau usia baru 5 tahun. Lihat kawan sebelah itu sudah 9 tahun.
Anak belum matang bila kita berikan kasih sayang yang sedikit pun dia akan curahkan kasih sayang lebih dari yang kita berikan. Kalau boleh ikan yang baru dibeli yang dikatakan berwarna biru dan oren pun mahu dibawa dan ditunjukkan pada mama ini. Melayan kerenah anak-anak boleh menjadi terapi minda sebenarnya.

~~ Kasih dan sayang salah satu anugerah terindah Allah berikan buat kita semua .~~




Wednesday, November 18, 2015

Langkah adik baru bermula

Semalam setengah hari aku berada di sekolah adik. Orang lain yang jadi cikgu dan murid aku pun turut sama merasa debarannya. Sambil menanti keputusan UPSR dibawa balik oleh pengetua sekolah dari PPD kami yang di sekolah meneruskan dengan acara anugerah kecemerlangan untuk keputusan peperiksaan dan ko-kurikulum sepanjang 2015.
Bersama papa sekejap sebab papa ada urusan lain.
Sebelum keputusan diumumkan - Semua ini bagai anak-anak ku kerana rumah ku sudah menjadi rumah mereka juga. Masing-masing memanggil aku mama juga - tertinggal satu (Balqis) sebab kena bersiap untuk calon anugerah tokoh pelajar.
Berharap dapat ke sekolah yang sama di tahun hadapan. Mengharap juga semoga kejayaan diraih bersama sehingga masa-masa akan datang
Kali ke tiga memakai jubah begini dan mengambil scroll - dulu tadika 5 dan 6 tahun. Kini UPSR
Selepas keputusan - Adik bersama teman rapat dan cikgu kesayangan mereka, cikgu Siti Zaidah. Dalam gambar ini semua 'anak mama' ada termasuk Balqis berkain pink sebab dia dapat anugerah tokoh pelajar tidak memakai baju pengawas. 
Orang tidak ada adik -  "Mie tengok kakak dapat 5A" . Tunjuk slip keputusan kepada 'adik' kesayangannya sebaik balik dari sekolah semalam.
Alhamdulillah aku bersujud syukur kepadamu Ya Allah. Terima kasih juga buat semua guru-guru sekolah adik yang tidak pernah mengenal erti jemu mendidik anak-anak sehingga hari terakhir persekolahan dan tahniah buat 'anak-anak mama' semua. 

~~ Langkah adik baru bermula. Perjuangan belum selesai. ~~


Friday, May 29, 2015

Bila ibu-mama-emak-umi-mummy teruja

Lupa diri. Malu untuk ke hadapan semua di tolak tepi demi kerana anak. Tanpa rasa segan-silu lorong pemisah antara kerusi hadirian kaum wanita dan lelaki diredah cepat dan serta-merta sesak. Masing-masing teruja mahu melihat anak-anak membuat persembahan. Kalau setakat mengambil gambar tidak ada masalah sebab klik sekali sudah habis. Tetapi apabila terujanya masing-masing mahu merakam video persembahan dari mula anak menaiki pentas sehingga persembahan berakhir beginilah jadinya. Bahagian hadapan pentas dipenuhi oleh wanita yang sedia dengan gadjet untuk merakam. Penonton di belakang melihat bahagian belakang mereka.

Menutup pandangan - Teruja merakam persembahan lupa di belakang mereka ada ramai penonton melihat bahagian belakang masing-masing yang size kebanyakkannya jika duduk di kerusi penuh satu kerusi. (Waktu ini adalah persembahan anak-anak TAJ - Tadika Agama Johor membuat persembahan nasyid). 
Begitulah bila sudah teruja lupa kanan-kiri-depan-belakang. Lihatlah anak-anak betapa seorang wanita yang kamu panggil mak-ibu-mama-mummy-umi ini mampu berbuat apa saja demi anak yang dikasihi. Lupa seketika yang dibelakang mereka ramai insan bergelar ayah/papa/daddy/abuya/abi melihat belakang mereka. Kami terperanjat kerana tiba-tiba ramai wanita berduyun ke hadapan pentas. Sungguh waktu itu kami langsung tidak dapat melihat persembahan anak-anak mereka dari mula sehingga akhir persembahan hanya kerana masing-masing mahu merakam video. Mungkin tidak puas merakam dari tempat duduk. Aku saja mengambil gambar adik mengambil hadiah dari tempat duduk yang aku zoom tapi memang kurang jelas.

~~ Rasululllah SAW bersabda yang bermaksud:  Malu sentiasa seiring dengan iman, bila salah satunya tercabut hilanglah yang lainnya. (Riwayat al-Hakim). ~~




Tuesday, May 26, 2015

Biarlah cemerlang dunia dan akhirat

Hari Sabtu baru lepas sebagaimana yang telah disenaraikan dalam susunan tanggungjawab sebagai mama/papa yang satu ini pun kena tunaikan juga. Tidak boleh bermalas-malasan kena ke sekolah adik sebelum jam 8:00 pagi. Selesai pendaftaran jam sembilan pagi lagi sudah berada di dalam perut dewan sekolah adik. Anugerah kecemerlangan untuk tahun 2014 bagi sekolah agama adik diberikan pada tahun ini. Satu-satunya anak mama yang masih bersekolah rendah. Memandangkan tahun ini adik berada di dalam darjah 6, tahun depan kalau bernasib baik adalah peluang sekali lagi selepas itu tiadalah lagi.

Gembira - Alhamdulillah masih diberi peluang untuk adik naik ke pentas lagi. Untuk peperiksaan tahun 2014 adik mendapat dua anugerah.

Musuh tapi rakan karib - Inilah kawan karib adik aka musuh peperiksaan. Dari darjah satu lagi adik tidak dapat menewaskan kawan baiknya ini. Tetap adik nombor dua dari dulu hinggalah kini. Hanya UPKK saja mereka sama keputusan 8A (mungkin sebab markah tidak nampak hanya bergantung 'A' saja kalau ada markah pun rasanya adik tertinggal sedikit seperti selalu - biarpun kadang tidak sampai 1%).

Tokoh pelajar - Mohd. Ilham dinobatkan tokoh pelajar kerana mendapat pangkat satu dengan 10 aggregat dalam SDKA tahun lepas. Ketua murid. Anak yang gigih. Aku tidak terperanjat dia mendapat anugerah ini. Anak yang baik dan rajin. Sewaktu mahu memasuki ujian musabaqah dan perujian berzanji  pun dia sanggup berulang-alik ke rumah aku selepas solat isyak. Siap rakam apa yang aku baca ke dalam telefon bimbitnya. Beruntunglah mak-ayahnya.

Hadiah - Inilah yang adik dapat. Satu hadiah kerana dapat nombor dua dalam kelas dan satu lagi UPKK adik mendapat straight 8A. Alhamdulillah semuanya anugerah Allah.
Biar apa pun anugerah diperolehi ini semuanya adalah duniawi semata. Sebagai mama-papa tetap mengharap anak-anak cemerlang juga untuk dunia yang satu lagi yang kekal abadi. Mampu mendoakan mama-papa bila mama-papa sudah tiada di dunia ini. Itulah harapan setiap ibu-bapa pastinya.

~~ Kalau sebelum ini rakyat dikatakan tidak perlu percaya isu kanak-kanak di culik untuk dijadikan pengemis, berita semalam sahih isu itu sebenarnya memang ada.~~


Wednesday, November 19, 2014

Anugerah Kecemerlangan 2014

~~ Mengharap kecemerlangan ini untuk dunia dan akhirat juga. ~~

Monday, July 14, 2014

Eh... papa konvo lagi?

Senyum lebar kami berdua apabila pihak sekolah mahu diantara kami berdua berbincang siapa yang akan naik ke pentas mewakili pihak Kak Reen. Anugerah Cemerlang di Maahad bekas sekolah tempat Kak Reen belajar menganjurkan majlis tersebut hari Sabtu lepas. Papa tolak mama, mama sorong papa. Mama punya alasan besar mengatakan yang memberi hadiah lelaki sebaiknya papalah menjadi wakil. Mudah sikit untuk bersalam. Kami sebenarnya malu bila pihak maahad mahu setiap yang mengambil hadiah tersebut memakai jubah macam konvo dulu-dulu.
Pelajar - Salah seorang pelajar yang mengambil hadiah. Rata-rata yang naik ke atas pentas untuk SPM 2013 tuan empunya badan tidak dapat menghadirkan diri. Samada mewakilkan ibu-bapa atau kakak/abang kerana kebanyakan sudah berada di IPTA yang jauh dari sini.
Senyum - Papa senyum lebar terkenang dulu-dululah agaknya. Adik pula kalau memakai jubah ini labuh dan besar,  itulah yang terpaksa papa juga yang menjadi wakil

Semoga kemerlangan anak-anak yang terlibat bukan cemerlang di bidang akademik sahaja. Sepertimana harapan pihak sekolah dan ibu-bapa semua, kami mengharapkan mereka cemerlang dengan sahsiah diri selaras dengan kejayaan akademiknya. Mampu menjadi hamba Allah yang cemerlang di dunia dan akhirat. 

~~ Insya-Allah jika ada izin Allah Kak Reen akan berpeluang untuk naik ke pentas ini andai keputusan MUET yang diduduki tahun ini membuahkan kejayaan kerana peperiksaan tempohari diambil di sini.~~
 

Tuesday, July 1, 2014

Bagi anak-anak menikmati keindahan Ramadhan

Selamat berpuasa dan beribadah di bulan yang mulia. Aku agak kesibukan dengan tugasan sekembali ke pejabat hari ini. Bercuti sejak hari Jumaat hingga semalam blog pun terabai sama. Sepatutnya aku bercuti pada hari Khamis tetapi oleh kerana telah ter'pergi' kerja akhirnya aku teruskan juga dan ganti pada hari Jumaat terus hingga semalam. Dapatlah membuat beberapa aktiviti dengan keluarga.

Sehari sebelum berpuasa - Di sebabkan hari Khamis cuti umum buat kerajaan Johor (JDT menang) majlis dijalankan pada hari Jumaat. Pantas dan cepat mengejar masa sebab kena selesai sebelum tiba solat Jumaat.
Jiran lama - Anak-anak ini semua memanggil aku mama lagi sebab dulu mereka adalah jiran kami. Juga mendapat anugerah cemerlang. Kedua mereka mendapat tempat pertama walau markah agak terkebelakang sedikit dari adik sebab semua mereka tidak duduk satu kelas. Masa inilah adik mula berkata mahu duduk kelas ke dua aau ke tiga boleh dapat nombor satu. Nama pun budak yang dikejarnya adalah hadiah.
Kisah Rasulullah - Ada 60 kisah yang boleh dibaca dan boleh membuat adik terleka. Walau ada cerita yang sudah diketahui tatapi bila membaca kisah di dalam buku ini boleh re-fresh kembali ingatan. Sangat sesuai buat anak-anak seusia adik. Pandai ustaz/ustazah memilih buku ini. Lagi menggembirakan tidak perlu lagi aku mencari novel buatnya di bulan Ramadhan ini.
Tambahan - Semalam belikan juga dia buku-buku ini. Tidak adalah masa senggang kata masa iftar lambat benar. Bagi adik semua ini agar tanpa sedar masa iftar sudah tiba.
Pagi semalam - Semua buku latihan adik di atas tidak sampai RM50/- selepas diskaun berbanding kalau membeli novel agaknya baru dapat dua buah saja. Jimat duit mama:)
Tidak perlulah lagi mama membeli novel baru. Cukuplah semua itu untuk melayan masa adik berlalu selama sebulan berpuasa bila ada masa lapang. Buku-buku latihan juga pilihannya sendiri. Tidak ada alasan untuk membuat adik berkata bosan. 

~~ Sebagai ibu-bapa macam-macam cara dibuat bagi membuat anak-anak lebih selesa ketika berpuasa sementara menanti masa iftar. Carilah jalan yang mana mereka suka.~~

Saturday, November 16, 2013

Cuti sekolah sudah bermula

Hari ini cuti sekolah hujung tahun sudah bermula. Hari ini juga tidak kelihatan lagi anak-anak yang selalu bangun pagi terus mandi, solat dan bersiap ke sekolah. Sebaliknya bangun pagi masuk ke bilik air bukan mandi tetapi sekadar berus gigi, berwuduk dan solat subuh. Habis solat menuju semula ke bilik, sambung mengulek mimpi. Melupakan kisah sekolah untuk seketika. Tahun hadapan kelas lain akan diduduki pula.

Kereta Kuda - Anak-anak paling gembira dapat menaiki kereta kuda ini. Aku rasa selain memancing ikan, kereta kuda inilah yang paling menarik tumpuan anak-anak.
Dua hari lepas sekolah adik mengadakan majlis anugerah cemerlang. Adik tidak cemerlang tahun ini sekadar sama-sama memeriahkan suasana. Berbagai acara diadakan seperti tarian, jualan amal, permainan dan sebagainya.

Contingent - Dalam pada tidak dapat naik pentas untuk mengambil hadiah tahun ini kerana keputusan yang merudum, dapat pula jadi ketua contingent perbarisan. Gelihati mama/papa dibuatnya sebab biasa ketua dilantik dari kalangan murid tahun 5 atau 6. Ligat juga adik sebenarnya hingga gelap muka kerana seminggu berlatih.
~~ Bukan semua yang kita mahu akan dapat diraih dengan mudah. Ada kala ujian datang tanpa diduga mungkin untuk mengembalikan kesedaran diri yang terlalai seketika.~~

Tuesday, June 18, 2013

World Blood Donor Day - 2013

Mengikut hubby ke majlis anugerah dan makan malam di LC Sangkar Kristel. Majlis anjuran pihak Hospital Sultanah Aminah sebagai menghargai penganjur dan penderma darah yang aktif sepanjang tahun 2008-2013. Rata-rata yang pergi semuanya bos-bos, penderma darah dan kakitangan hospital. Syarikat hubby sering menganjurkan kempen derma darah itu yang dijemput sama. Aku dan adik menempel sama untuk menikmati upacara majlis malam itu. 

Zapin - Majlis dimulakan dengan persembahan anak-anak menari zapin. Adik walau malam itu sakit perut masih sempat menjeling sebab adik suka tarian-tarian seperti ini.
Hidangan - Sebahagian makanan terhidang. Aku malu untuk mengeluarkan kamera mengambil gambar setiap kali makanan keluar. Teman-teman meja kami ramai big-big bos.
Adik - Dalam pada sakit perut masih lagi boleh tersenyum menempel di sebelah papa. Adik tidak makan banyak malam itu sebab dia sakit perut sebaik balik dari sekolah agama.
Anugerah - Hubby menerima anugerah buat syarikat bukan untuk diri sebab hubby pun tidak layak untuk menderma darah. Jadi penganjur bolehlah. Tetapi aku tabik ada dua pakcik sudah berusia lebih 60 tahun telah menderma lebih 100 kali. Kedua mereka mendapat anugerah khas. Nampak keduanya amat sihat dan segak walau sudah bercucu.
Cenderahati - Setiap pengunjung diberi satu beg yang di dalamnya ada semua ini. Adik suka voucher McD sebab validity sehingga tahun depan. Boleh digunakan bila kakak-kakak balik
Sijil - Siap sudah berframe. Pasti akan digantung di pejabatnya.
Hadiah - Malam itu juga ada acara cabutan nombor bertuah. Nombor 098 memberi tuah kepada adik. Dapat tabung tajaan dari Public Bank.
~~ Motto "Give the Gift of Life" amat bersesuaian bila melihat slide yang dipertontonkan pada hadirin. Tersedar betapa setiap hari ramainya pesakit yang memerlukan darah.~~