Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Thursday, January 12, 2017

Berurut, berbekam dan akupuntur

Tuan empunya kedai mempunyai dua lot kedai yang berhampiran adalah strategi mereka yang pandai kerana memudahkan pelanggan. Satu kedai perkhidmatan untuk kaum lelaki dan satu lagi untuk perempuan. Tetapi untuk perkhidmatan mata hanya di lot kedai yang diusahakan oleh si lelaki. Aku berurut di kedai yang perempuan ditemani Kak Meen manakala papa ke kedai untuk lelaki bertemankan Kak Reen sebab di sini boleh membuat therapy mata. Sementara menanti mama dan papa berurut kak Reen membuat perkhidmatan mata. 

Kak Reen - Sedang dipasang alat bagaikan google (bukan google internet ye😁). Ini google cerminmata. 
Pejamkan mata -  Sedang dalam rawatan. Power mata sudah mencecah 500 memang agak susah tapi hendak buat macam mana, terpaksa juga memakai cermin mata. Bukan boleh buat selalu di sini. 
Macam-macam - Banyak jenis perkhidmatan diberikan terpulang kepada pelanggan  mahu memilih yang mana satu. Sebenarnya aku pergi ke Bandar Baru Uda pada asalnya tetapi kerana sudah terlalu ramai dia minta datang keesokan  hari. Memandangkan tidak ada masa di hari lain itulah akhirnya kami ke sini. Harga lebih kurang saja. 
Cendol - Balik dari berurut makan cendol. Sedap juga sebab sejak ramadhan, baru ini kami semua menikmati kembali makan cendol.  Boleh pilih mahu tambahan apa. Aku pilih pulut dan jagung. Ada juga kacang dan lain-lain.
Mungkin aku akan mencuba perkhidmatan berbekamnya. Belum pernah berbekam seumur hidup walaupun berbekam sangat baik. Aku takut melihat darah tetapi mungkin sudah sampai masanya untuk aku mencuba. Mana tahu itu salah satu perubatan yang boleh mengubat belikat kanan aku dan ibu jari kanan yang tidak selesa. Akupuntur aku masih takut lagi bila melihat banyak jarum tercucuk sana-sini😅. Berubat sekadar usaha sebab penyembuhan tetap atas redha Allah juga.

~~  Berbekamlah. Jangan membiarkan darah yang berlebihan melimpah, maka ia akan membunuhmu - Hadith riwayat Bukhari dan Muslim. ~~


Wednesday, January 11, 2017

Physiotherapy ibu-jari

Physiotherapy ibu-jari tangan kanan kini sudah menjadi rutin yang terpaksa aku hadapi setiap dua minggu sekali. Bertemu dengan insan yang sabar dan teliti dalam menjalankan tugas setiap kali bertemu dengan makcik yang satu ini. Bertemu mengikut temujanji yang sudah disusun-atur. Sekiranya aku atau dia yang tidak dapat memenuhi tarikh dan waktu ditetapkan, kami akan berhubung semula. Tetapi setelah dua bulan menjalani physiotherapy masih belum ada perkembangan yang positif. 

Senaman 1 - Boleh buat seperti gambar di atas selalu ketika berada di rumah mahupun pejabat. Tetapi jika di pejabat memanglah tidak ada masa panjang.

Senaman 2 - Ini juga satu cara yang boleh diikut. Ada juga membeli alat seperti plaster yang doktor anjurkan di phamacy tetapi aku kurang suka sebab setiap kali mahu berwudhuk menjadi masalah pula.

Bola elastik - Bagaikan mainan anak-anak juga diberikan untuk aku picit 'love' merah ini. Dulu di rumah ada 'love'merah ini dapat ketika kempen derma darah pejabat hubby. Setiap seorang diberi sebungkus makanan juga pen dan 'love' merah ini. Tetapi waktu itu kami tidak tahu kegunaannya entah kemana sudah perginya. 
Sudah agak lama juga ibu jari tangan aku ini tidak boleh buat 'good' seperti jari tangan kiri. Sebelum ini bila aku buat 'good' jari boleh melentik ke belakang tapi kini tegak saja. Menggenggam boleh. Ada ketikanya berdenyut sakit dibahagian palm. Itulah sebabnya aku berjumpa doktor dan akhirnya terpaksalah menjalani physiotherapy sejak bulan lepas.  Temujanji seterusnya pada 22-01-2017.

~~ Sedikit nikmat Allah sudah ditarik balik pada diriku sebagai peringatan.~~


Friday, December 23, 2016

Tempuh segala ujian dengan tabah

Empat tahun lepas tiga orang anak bersekolah. Semua pakaian sekolah aku jahit sendiri dengan tabah. Cuba bayangkan jika seorang anak tiga pasang baju, ada tiga anak mestilah kena sembilan pasang. Untuk sekolah agama juga tiga pasang bermakna tahun sebelum ini berbelas pasang baju sekolah aku kena jahit. Belum termasuk tudung yang selalunya setiap seorang juga tiga helai. Sekolah kebangsaan dan pagi pula tidak sama warna. Pengawas sekolah pagi warna biru muda tapi pengawas sekolah agama warna pink. Masuk tahun 2014 tinggal Kak Meen dan adik saja. Ada yang aku jahit dan ada yang aku beli siap. Malangnya baju beli siap biasanya jahitan tidak kukuh/mudah tetas.

Tetapi untuk tahun ini hanya adik seorang, aku sudah jadi malaslah pula. Kalau dulu tabah menjahit sebab mahu berjimat. Tapi bila tinggal adik seorang mulalah terdetik beli saja baju yang sudah siap lebih senang. Untuk tudung sajalah aku jahit😃. Dari dulu jika tudung anak-anak lebih suka mama jahit sendiri. Kenalah mama bertabah sebab tudung beli biasanya bahagian hujung depan akan terjongkit tidak sama jika jahit sendiri nampak terletak elok.

Ukur - Mudah saja jahit tudung. Selepas di segtigakan kain bertindan, gunting keliling dan pin paras mana untuk ruang muka. Macam kita buat telekung solat. Ini lagi mudah sebab kecil dan tidak perlu kekek di dagu dan pelapik atas kepala.

4 helai - Siap sudah bergunting dan berjahit untuk ruang muka tinggal jahit tepi keliling saja. Aku letih sebab baru balik dari menjenguk anak buah yang masih koma. Tetapi memandangkan sudah tidak ada masa aku gigih luangkan sejam juga buat ini. Hujung minggu ini kena balik Batu Pahat pula sebab ada kenduri aqiqah.
Mama Leha - Tabah dan cekal kakak aku seorang ini. Ujian terlalu besar buat orang yang baik sepertinya. Business Amway/shaklee/Avon/ serbanika/benih pokok bunga dan sayur semuanya terpaksa ditanggalkan untuk sementara. Mujur juga orang bawahannya cergas dan mampu menggalas. Duduk di hospital pun masih mendapat panggilan pelanggan yang mahukan produknya.  Untuk nursery pokok bunga pula jiran sebelah pun pandai tolong jual bila ada pelanggan datang. Abang ipar pula sentiasa ulang-alik ke HSI saban hari.
Sudah sebulan dan seminggu kini anak buah aku terlantar. Majlis pengantin anak buah pada minggu lepas Mama Leha sekeluarga saja yang tidak ada. Sewaktu di meja hidangan kami semua sama-sama teringat sehingga masing-masing mengalirkan airmata. Doa kami semua titipkan setiap waktu buat anakanda Muhamad Haikal ini. Anak yang baik, besar pula ujiannya. Walaupun Mama Leha punya kewangan yang kukuh tapi setiap bulan sebaik mendapat gaji tidak kurang RM700/- dia beri pada mamanya ini. Selepas solat maghrib setiap hari tidak lepas dengan Al-Quran, tetapi itulah apabila Allah mahu menguji siapa pun tidak mampu menepisnya. 

~~ Semoga keluarga kami mampu dan redha atas ujian ini semua.~~


Wednesday, November 30, 2016

Akhirnya aku terkulai




~~ Bila tidak berupaya terasa bagaikan malaikat maut kian mendekat.~~

Wednesday, November 23, 2016

Selagi masih bernafas dan nadi berdenyut - 3

Bumi Johor kini boleh dikatakan kian kerap ditimpa hujan. Jika tidak turun di waktu malam, ia akan gugur di waktu pagi atau petang. Supermoon tempohari juga kami tidak berpeluang untuk melihatnya. Namun kami tahu kebesaran Allah tidak ada siapa yang mampu untuk menidakkannya. Ombar besar yang amat jelas kelihatan di pantai Danga Bay dan pantai Pontian baru-baru ini sudah cukup untuk membuat kami gerun. Melimpah-limpah air laut dengan ombak yang tinggi sehingga ke jalan-jalan raya. Bunyi desiran angin yang kencang sudah membuat kami membayangkan seandainya keadaan ini pun tidak mampu kami tepis apa lagi jika tsunami yang melanda. Allahuakbar!!

Begitulah juga tsunami yang menggegar jantung hati Mama Leha (kakak aku) apabila pagi-pagi lagi ketika mahu menghadirkan diri untuk bermesyuarat telefon bimbitnya berbunyi memberi khabar kurang enak. "Puan ini ibu En Haikal?" Sebaik mengiakan, dihujung talian menyampaikan berita yang menggegar jantung Mama Leha. Setelah diberitahu kedudukan kemalangan itu terus saja Mama Leha dan abang ipar menuju ke destinasinya. Anak buah aku ketika itu menahan sakit sehingga rumput di sebelahnya dicabut-cabut hingga licin, sambil menanti ambulan. Itu yang membuat kakak dan abang tidak sabar terus saja dibawa ke hospital terdekat menggunakan keretanya. Secara kebetulan anak sulung Mama Leha (seorang staff-nurse) sedang berseminar di hospital  tersebut. Waktu itu belum pun sejam berada di seminar tetapi membantu dan memudahkan si kakak untuk terus saja membawa adik lelakinya ke dalam. Si adik sudah pengsan dan diberikan bantuan pernafasan. Haikal anak buah aku kemalangan dengan kereta seorang anak gadis baru mendapat lesen. Keadaan jalan sedang dalam pembinaan projek rapid membuatkan mungkin dia tidak cekap. Signal arah lain masuknya bertentangan. Laju pula apa lagi berdentumlah. Dia sudah memohon maaf tapi bagai aku katakan apa yang Allah tulis di Loh Mahfuznya kita tidak tahu. Redhalah atas ujianNya.

Hasil dari diagnosed yang dilakukan ada pendarahan di otak. Operation perlu dilakukan segera. Memandangkan hospital di situ kurang kelengkapan, terpaksa petang itu dihantar ke HSI (Hospital Sultan Ismail). Kedudukan HSI dengan tempat aku bertugas amat dekat oleh itu selepas selesai discussion bersama pelanggan terus saja aku tinggalkan pejabat menuju ke HSI. Sewaktu mahu menziarahi anak buah aku inilah aku mendapat panggilan MRSM adik belajar. Itulah sebabnya aku terus terdetik pasti ada salah-silap yang tidak kami sedari sehingga Allah memberikan dugaan ini kepada aku dan kakak aku serentak. Kalau Mama Leha ditimpa ujian pada pagi hari aku pula di waktu petangnya.

Sehingga kini adik masih lagi bersolat duduk manakala anak buah aku masih koma di HSI. Operation kepala sudah dilakukan. Apa yang sedih 1/4 bahagian tempurung kepala yang asal terpaksa dibuang memandangkan bank untuk menyimpan tempurung kepala di HSA sudah terbakar. Jika bank itu tidak terbakar masih boleh disimpan sementara menanti sembuh boleh disambung semula. Ujian Allah tidak siapa mampu menahan. Semoga ada sinar di sebalik kegelapan seketika yang Allah berikan buat keluarga kami. Perancangan untuk kami sekeluarga berkumpul pada 26/27 November ini terpaksa dibatalkan atas nasihat Abah Din satu-satunya abang kami.

Tarik nafas - Tarik nafas dan hembus perlahan. Sesak membaca entri di atas lihat gambar ini.  Soursop atau durian belanda ini dijual dengan harga RM22/- sekilo. Sungguh aku tidak sangka begitu mahal harganya sebab di rumah kampung kami ada kalanya hingga jatuh ke tanah tidak termakan. Boleh dijadikan business kalau ada tanah.

~~ Dugaan Allah ini semakin mendekatkan ukhuwah kami sekeluarga. Biarlah ketika ketawa dan menangis kami bersama. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa yang tidak kami sedari.~~


Tuesday, November 22, 2016

Selagi masih bernafas dan nadi berdenyut - 2

Sambungan dari entri di bawah...

Pemanduan yang agak laju membuatkan sebaik azan isyak berkumandang kami sudah hampir untuk memasuki pintu pagar MRSM adik belajar. Terus menuju ke sick-bay dan menelefon guru hal-ehwal pelajar yang menghubungi aku petang tadi. Sebentar saja menanti guru itu pun tiba menemui kami dan dibawa bertemu dengan adik. Melihat aku datang apa lagi airmata adik terus sajalah mengalir laju. Aku peluk dan gosok perlahan kepala dan belakang adik. Ada dua orang teman adik, guru home-room dan warden bersama adik ketika itu. 

Apa yang terjadi pada adik adalah satu kemalangan tidak sengaja. Waktu itu adalah pembelajaran seni dan merupakan masa terakhir sebelum balik. Memandangkan minggu depannya (sekarang) adalah minggu peperiksaan, oleh itu masing-masing tekun membuat ulangkaji. Sistem pembelajaran adik adalah sistem floating class. Apabila sudah hampir balik, bermain adalah perkara biasa buat anak lelaki. Mereka bukan nakal tetapi lumrah sebagai anak remaja. Seorang balik duster (pemadam papan) dan seorang sambut. Anak perempuan pula lumrahnya selagi belum selesai berbincang tidak berganjak termasuklah adik. Ketika mahu menyambut duster itulah seorang anak lelaki tergelincir lalu terlanggar rak-rak yang menempatkan hasil seni yang kedudukannya di belakang adik lalu menimpa belakang adik dengan anak lelaki itu sekali tertiarap di atas rak tersebut. Bermakna bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Selain ditimpa rak tersebut juga tertimpa dek kawan kelasnya yang tertiarap di atas rak itu.

Akibat dari kejadian itu masing-masing tergamam dan sekuat tenaga ramai-ramai membangunkan semula rak tersebut. Tetapi malangnya sebaik rak diangkat adik tidak mampu bangun. Dua kali cuba bangun tetap terduduk kembali. Kecohlah satu maktab. Panggilan ambulan dibuat, malangnya pihak hospital kehabisan ambulan. Lalu pihak maktab menelefon JPAM untuk menghantar adik ke hospital. Prosedure JPAM sudah pasti amat membantu adik yang dibaringkan dengan papan sekeping, diikat bagaikan tidak boleh bernafas (kata adik) dan diusung dengan stretcher masuk ke dalam ambulan JPAM dan terus ke bilik x-ray hospital. Alhamdulillah kata pihak hospital tidak ada yang patah tetapi otot adik tercedera. Namun dek kerana wad hospital penuh adik dibawa balik ke maktab untuk didudukkan di sick-bay. Mana mungkin aku sanggup mendengarnya. Sebaik mendengar berita itu terus saja sebagai mama dan papa pasti kalau boleh terbang mahu saja aku terbang membawa adik balik. Apa lagi kerana kemalangan itu pihak maktab membeli satu wheel-chair khas buat adik.

Malam itu juga kami membawa adik balik. Wheel-chair yang pihak maktab beli tidak kami bawa walaupun pihak maktab mahu kami bawa untuk kegunaan adik. Kami menolak dengan baik dengan alasan sebab di rumah ada wheel-chair almarhum bapak. Sabtu dan Ahad KPJ tidak ada klinik (lalu bertahan menggunakan ubat bekalan hospital) tetapi pada hari Isnin papa membawalah adik ke KPJ. Berjumpa lagi dengan doktor yang sama sewaktu adik terkoyak tisu di Hari Sukan Malaysia tempohari. Sekali lagi x-ray barulah kami berpuas hati.  Untuk insiden kali ini adik diuji agak berat. Menguap pun sakit, menelan makanan pun sakit, semua sebelah kiri adik mendapat tempias sakitnya. Tambah buat mama dan papa kecut bila membuang air pun berdarah. Setelah diagnosed segala kecederaan yang adik alami, doktor memberikan adik cuti sakit sehingga 24-11-2016. Mana mungkin adik mahu kerana peperiksaan akhir tahun baru akan bermula minggu akhir sekolah (semalam). Terpaksa akur sebelum peperiksaan bermula aku hantar adik pulang ke asramanya. 

Pihak maktab memberikan adik kelonggaran untuk tidak ke prep dan surau yang memerlukan adik turun-naik tangga. Bilik adik yang asal di tingkat 4, kini adik ditempatkan di block terdekat. Duduknya di tingkat bawah sekali berhampiran bilik air dan dewan makan. Untuk duduk di sick-bay adik takut sebab biliknya luas dan duduk bersendirian. Kini adik belajar malam di bilik/dorm dengan berteman seorang kawan/kakak senior. Semoga adik mampu menggalas semua ini dengan kuat dan sabar. Mujur tinggal minggu ini saja.

Terima kasih kepada anakanda Yani (kawan adik), Kak Sarah (senior form 5) yang membantu menemankan adik di dorm. Membantu memasangkan ubat patch di belakang adik setiap pagi dan petang. Terima kasih juga buat anak-anak yang membantu mamacik menurunkan semua barang-barang adik dari tingkat 4 ke bilik bawah sekarang. Tidak ketinggalan Pengetua Maktab, guru hal-ehwal pelajar, guru hal-ehwal akademik, guru home-room, warden dan semua kawan-kawan adik.

Buat anakanda yang tidak sengaja terjatuh mamacik dan keluarga tahu anak tidak sengaja dan semoga jadi pengajaran buat semua. Jangan rasa bersalah kerana semua ini sudah tertulis di loh mahfuz Allah. Waktu belajar yang Allah beri peluang gunakan sebaik-baiknya.

Terapi  mata - Penat membaca entri di atas - maaf.  Sewaktu menghantar adik balik kami singgah di tapak projek hubby di Kluang.  Memandangkan sudah tengahari terus singgah di satu restoran ini. Milik anak muda yang menjual nasi beryani. Mak Zah makan beryani ayam. Kami yg lain semua memilih beryani kambing. Sedap.

~~ Selamat menghadapi peperiksaan dengan sedikit dugaan Allah. Semoga adik mampu memberikan yang terbaik sebagaimana Pengetua katakan pasti adik boleh seiring dengan semangat yang adik ada.~~

Monday, October 17, 2016

Seketika ujian melanda

Hari Sukan Negara minggu lepas disambut meriah di sana-sini. Bukan saja di padang-padang awam bahkan di semua sekolah tidak ketinggalan menyahut seruan baik tersebut, termasuklah maktab adik dan seterusnya adik pun terlibat sama. Sayangnya dalam kegembiraan itu tercatat memori duka buat adik. Ketika bermain bola jaring larian adik terhenti kerana perlanggaran dengan pihak lawan. Bukan musuh apa pun, tetapi lawan sewaktu permainan tersebut. Ketika adik terjatuh seorang lagi pelajar pula terlanggar dan menghempap kaki adik. Langsung terus terjelepuk hingga berdukunglah ke van maktab hingga dibawa terus oleh pihak maktab ke hospital.

Petang itu baru mama dan papa mendapat berita kurang enak. Adik di dudukkan di Sick Bay Maktab. Setelah di x-ray doktor memberitahu tisu pelipat kaki adik koyak. Ketika melawat adik kelihatan kaki adik agak bengkak, mengeras dan panas. Sewaktu ziarah adik kaki tidak berbalut langsung. Mama-papa yang tidak arif menyangkakan tidaklah serious. Lalu setelah pujuk-pujuk adik kami tinggalkan seperti biasa. Tetapi memandangkan pelajar tingkatan satu di asrama duduknya di tingkat 4 sudah pasti suatu yang amat menyulitkan buat adik untuk ke dewan makan, ke surau, ke dewan prep dan ke sekolah. Bila adik menelefon mengatakan tidak tahan sehingga tidak turun makan mama sudah tidak sedap hati. Mendapat nasihat dari jiran sebelah yang bertugas di KPJ pula mengatakan tisu koyak memang tidak boleh di balut tetapi kena berehat lebih kerana jika terus bergerak tisu koyak ada risiko lebih buruk.
Bekal - Memandangkan sudah tahu adik tidak selesa berjalan lalu mama bawalah bekal dari rumah untuk dimakan bersama-sama. Mama siap bawa bekal kicap dalam botol sebab ada asam pedas siakap kesukaan adik.
Nasihat dari jiran itulah lalu semalam akhirnya aku akur meredah pagi selepas subuh ke Maktab adik. Membawa surat permohonan untuk membawa adik balik ke JB untuk kami membuat tindakan susulan ke KPJ, satu-satunya hospital pilihan keluarga kami. Pagi ini adik akan pergi dengan papanya ke sana. Semoga ada alternatif segera yang boleh membuat adik cepat sembuh.

Solat - Kami bersolat di surau adik. Ada kerusi sudah bersedia untuk dijadikan tempat adik duduk.

Rukhsah solat duduk - Beginilah adik bersolat. Dia tidak sedar sewaktu gambar ini dirakam dari belakang oleh Kak Reen.

Berdoa - Semua gambar Kak Reen yang ambil sebagai kenangan. Bagaimana adik mulakan bersolat dengan berdiri. Sebaik rukuk dan hingga akhir adik akan duduk di kerusi begini. Rukhsah solat duduk bagi yang boleh berjalan adik ada belajar hanya belum pernah dilakukan. Inilah masanya digunakan apa yang telah dipelajari. Kini kaki adik sebelah kanan tegak saja. 

~~ Melihat almarhum atoknya solat duduk tidak lama tempohari kini adik merasa bagaimana tidak selesanya bersolat dengan duduk.~~


Thursday, October 13, 2016

Kismis mama sudah habis

Budak tidak tahu apa dia kebaikan dan khasiatnya. Apa yang mereka tahu sedap dimakan. Bila habis di dalam balang yang selalu dimakan mudah baginya bertanya "Mama belum beli lagi ke, kismis dah habis tau." Itulah yang dia tahu. "Makan dulu kurma dan biskut yang ada." Itulah jawapan Mama Zakie mereka ini. Sebenarnya aku terlupa membelinya sewaktu shopping minggu lepas. Esoknya datang mengaji mengadu pula kepada Kak Meen. Tetapi Kak Meen menjawab nakal "Adik suruh ibu adik belilah." Aku senyum saja. Tapi anak cerdik senang saja jawapannya "Kismis mama beli sedap. Ibu tak pernah beli." Bertuah betul anak 4 tahun yang cerdik memberikan jawapannya.

Ada dinyatakan di dalam kitab At-Tib An-Nabawi yang merupakan perubatan nabi dinyatakan dalam hadis yang bermaksud " Sebaik-baik makanan adalah buah zabib (kismis) kerana ia mampu menghilangkan keletihan, menguatkan urat-saraf, meredakan kemarahan, mencerahkan kulit dan mengharumkan bau hidung dan mulut."

Kudapan - Biasanya aku masukkan dalam bekas-bekas begini untuk memudahkan anak-anak membuka dan nampak isi di dalamnya. Kismis sudah habis belum dibeli lagi.
Pilihlah - Warna hijau dalam balang itu dapat 5 goodie-bags masa majlis kahwin, tuang semua dalam bekas. Sama juga botol yang baru kosong di dalamnya kekacang dpt dari hubby attend seminar. Koko crunch itu dapat dari hamper orang bagi. Kurma itulah yang sekarang aku ganti kismis yg  habis buat sementara waktu. Itulah hikmahnya ada anak-anak yang datang ke rumah, jika tidak siapa yang akan makan semua ini.
Kudapan ini aku sediakan sementara menanti giliran membaca bolehlah mereka menikmati ini. Begitu juga selepas habis mengaji sebelum ibu/ayah mereka datang menjemput. Budak-budak bila ada kawan yang sudah menjamah yang lain pasti akan ikut sama. Hanya selepas mereka balik kita kenalah periksa kerana pasti ada bekas yang tidak di tutup rapat.

~~Kismis mengandungi mineral berbentuk kalsium dan fosforus, glukos dan fruktos, vitamin A dan vitamin B.~~

Thursday, September 29, 2016

Nilai RM1/- jangan samakan dengan RM1K

Sampai di tempat dituju masih banyak ruang parking yang kosong. Hati dan mata sepakat mahu memilih mana yang berkenan di hati. Terlihat ruang parking yang ada pokok boleh melindungi dari panas. Melonjak gembira kerana jauh di sudut hati terfikir pasti belum ramai orang lagi. Waktu itu lebihkurang jam 7:30 pagi. Tetapi sebaik pintu dibuka untuk mengambil nombor aduhai berderet sudah yang menanti.  





Namun kenalah pasrah dan redha sebab dengan bayaran RM1/- dapat ubat bagaikan percuma. Hanya yang agak terkilan di hati mengapa doktor yang bertugas langsung tidak melihat apa yang aku tunjukkan. Terus khusyuk mengadap komputer sambil mendengar apa yang aku jelaskan dari apa yang ditanya olehnya. Kesudahan sebelum keluar bilik konsultansi diminta membuat temujanji dengan kaunter receptionist untuk rujukan ke physiotherapy. Kena berbaik sangka kerana setiap manusia mempunyai emosi yang berbeza. Pagi lagi mungkin mood belum betul-betul sempurna. Harap-harap tidak berterusan sehingga ke petang. Akur apabila tarikh 30 Oktober 2016 yang diberikan. Tetapi hari Selasa lepas aku mendapat panggilan tarikh itu kena anjak lagi sehingga 13 November, 2016. Sabarlah. 

~~ Sakit dan menyembuhkan atas kuasaNya. Kita sekadar mampu berusaha.~~


Monday, September 5, 2016

Ulaman dan tanaman

Tinggal di kawasan perumahan yang halamannya hanya sekangkang kera tidak menghalang untuk aku bercucuk-tanam apa yang termampu. Tidak dapat banyak sedikit pun jadilah. Walaupun duduknya rata-rata di dalam pasu dan berasak-asak tetap juga gigih mahu menjadikan apa yang ditanam dapat dinikmati.
Daun kesom - Anak Johor kalau tidak kenal daun kesom rasanya pasti janggal. Daun yang memberi aroma menyelerakan setiap kali periuk di dapur ada masak asam pedas dan laksa inilah dia. Walau berkongsi pasu dengan pokok bunga ros tetapi ia tidak menghalang untuk kedua-duanya memberikan yang terbaik buat tuannya.
Pucuk beruas - Salah satu ulaman yang anak-anak juga pandai makan. Mungkin sebab ketika dalam pantang aku juga menjadikan pucuk ini sebagai sayuran. Salah satu tips untuk membanyakkan air susu inilah juga. 

Pucuk beruas 2 - Ini juga sama tetapi lagi muda. Ada kalanya aku masukkan ke dalam masakan ikan asam pedas. Buat keluarga kami memang salah satu pembuka selera. Aku tanam pokok ini juga bersama dengan kelompok pokok bunga tetapi di tanam terus di atas tanah bukan di dalam pasu.  Semakin di cantas semakin banyak pucuk muda akan berhasil.
Sambung nyawa - Jangan pula ingat dengan makan ulam ini usia kita akan panjang. Tetapi entah dari mana dapat nama ini aku pun tidak tahu. Tetapi ianya sudah menjadi salah satu ulaman dalam keluarga kami. Boleh dikatakan setiap rumah adik-beradik kami ada tanam pokok ini. Ada dikatakan ulaman ini dapat mengurangkan kolesterol dan darah tinggi. Sejauh mana kebenarannya tidaklah aku ketahui. Mudah ditanam. Kerat saja batangnya cacakkan pasti akan bertunas.
Belalai gajah - Pokok Belalai gajah ini (sebelah kanan) aku tanam berkongsi pasu dengan pokok bunga puding (sebelah kiri). Bagaikan pelindung pokok bunga puding ini membuatkan pokok belalai gajah kian galak suburnya. Mudah saja tanam belalai gajah ini. Potong batangnya dan cacakkan. Tidak sampai seminggu sudah bertunas. Sedap untuk dijadikan ulaman walau dikatakan boleh mencegah cancer. Namun tidaklah aku tahu akan kebenarannya.
Ada orang makan kerana khasiatnya, tetapi sejujurnya aku makan kerana aku suka akan rasanya. Mungkin sebab aku anak jati kampung sudah dididik makan berulam, Sebab itulah ulaman merupakan salah satu hidangan sentiasa ada di dalam set hidangan meja makan kami walaupun sekadar timun atau daun salad. 

~~ Ulaman makan dengan sambal belacan pasti terangkat!~~



Monday, August 15, 2016

Kampung vs bandar

Membeli telur kampung di pasaraya brand Nutriplus kelihatan putih mulus. Kepada yang telah menjejakkan kaki ke Mekah/Madinah pasti ingat yang rata-rata telur di sana berwarna putih tidak seperti telur di tempat kita yang agak coklat sedikit cengkerangnya. Melihat putih itulah aku  terpikat untuk membeli. Tercatat pula diluar kotak "telur kampung omega". Tiba di rumah jelas telur kampung omega ini jauh lebih besar dengan telur ayam kampung yang aku bawa dari rumah bapak.
Telur kampung - Putih itu telur kampung omega yang aku beli. Dua lagi telur kampung origin dari kampung ku nan damai:)
Mencuba - Hari minggu sendirian aku mencuba untuk makan telur setengah masak.
Berbeza - Duduk di dalam alat stim dengan masa yang sama. Putih telurnya mempunyai kekentalan yang sama tetapi kuning telur ayam kampung ku nan damai sudah bulat dan isi di dalam cair. Nikmat lemak. Omega di pasaraya bagaikan telur biasa yang aku buat kek.
Bersatu - Apa pun dua-dua aku telan sebaik curah sedikit kicap tanpa pepper pun boleh saja. Saja-saja mahu membuat perbandingan rasa dan saiz antara keduanya.
Besar dan kecil tidak menjadi soal tapi nikmat dan kelazatan tetap berbeza. Untuk aku yang berasal anak kampung pasti dapat merasa perbezaan antara telur kampung dan bukan. Begitu juga ayam kampung dan ayam bandar buat kami lidah anak kampung dapat merasa perbezaannya.

~~ Kampung atau bandar tetap ada kelebihannya. Hanya yang terbaik jika dapat menikmatinya tanpa kos itulah lebih indah terasa. ~~



Wednesday, July 27, 2016

Setokin istimewa

Niat asal bukan mahu membeli tetapi oleh kerana sipenjual bagaikan tersepit dicelah serba-salah dek hutang yang agak lama tidak terbayar sekurang-kurangnya jika diambil ini dapat ditolak sedikit wang pinjaman itu. Hubby sebenarnya memberi pinjam sedikit kewangan kepadanya bukan kerana mahu membeli ini, tetapi kasihan melihat bebanan yang ditanggung olehnya. Memberi pinjam pun dengan kata bila-bila ada duit bayarlah kalau tidak pun hubby sudah halalkan kerana tahu duit itu bukan untuknya sendiri tapi untuk keluarganya. 

Yes to V-Ken - Ketika hubby membawa balik dan menunjukkan kepadaku aku pun hairan. Kali pertama melihat dan tidak sangka isinya adalah sepasang setokin
Hitam - Sepasang setokin yang nilainya melebihi RM200/- Kali pertama aku memakai setokin yang semahal ini. Gelihati jugalah sebab dipakai pun bila mahu tidur saja.
Brochure - Kebaikan yang dinyatakan melalui borchure di dalam kotak tersebut
Baru menggunakannya dua hari aku belum nampak lagi apa kebaikannya. Tetapi yang jelas aku tidak boleh simpan wudhuk lama. Biasa selepas solat subuh terus aku simpan wudhuk sehingga solat dhuha . Tetapi sehari-dua ini asyik ada saja angin yang tidak sabar-sabar mahu keluar sebelum aku bersolat dhuha. Hubby kata andai ianya baik mungkin kami akan membeli untuk pergelangan tangan pula yang harganya tidak sampai RM200/- lebih murah dari setokin ini.

~~ Membeli dengan tujuan membantu tidak sama dengan membeli sebab diperlukan.~~


Friday, April 1, 2016

Projek sunnah Mekaray Ventures

Rumahku kini sudah tidak ada pembantu. Jika hari sekolah dan hari bekerja kosonglah rumah di waktu siang. Sekiranya ada titipan yang memerlukan pengesahan atau tandatangan pasti pengakhirannya kami kena mengambilnya di pejabat penghantaran terdekat. Begitulah dengan penghantaran product Mekaray Ventures (MV) yang dihantar oleh teman blogger Zul Fattah buat diriku ini. 

Sorry - Sebenarnya 30-03-2016 lagi barang sudah tiba di rumah tetapi dikembalikan ke pejabat GDEX berhampiran sebab rumah kami kosong. Nasib baik pejabatnya dekat saja dengan rumah kami
Mekaray Ventures - Triple-M inilah yang dikirimkan buat diriku. Terima kasih Zul Fattah bagi peluang untuk kakak menikmatinya.
Tersusun - Cantik tersusun di dalam kotak. seenak rasa yang telah kami nikmati.
Sachet - Bancuhlah dengan air panas untuk menikmatinya. Malam tadi sudah aku bancuh satu sachet dan pagi ini juga satu sachet. Kesegaran terasa bukan saja enak di tekak tetapi juga selesa di badan.
Zul baru berkecimpung dengan MV tetapi sudah boleh menarik nafas lega. Kepada yang mahu turut jejak langkahnya boleh klik di sini dan silalah bertanya padanya. 
Pemilihan Zul untuk berkecimpung dalam bidang ini ternyata langkah yang tepat. Sebelum meninggalkan kerjaya yang digenggam beliau ada menyatakan samada langkah dibuat betul atau sebaliknya. Aku yang pada mulanya cuak tidak menyangka penghujungnya ada sinar indah telah diraih olehnya. Tahniah Zul! Dari kejauhan ini kakak mendoakan moga product/projek sunnah terbaik ini mempu memberi kebaikan umat sejagat umumnya dan memberi kejayaan buat Zul. Terima kasih sekali lagi dari kami sekeluarga.

~~ Buat teman-teman yang ingin mencuba sila hubungi Zul di sini. Atau email zulfattah91@gmail.com ~~


Wednesday, May 6, 2015

Colours with our healthy life




~~ Good taste with nice colours.~~

* pictures from whatsapp received

Tuesday, April 21, 2015

Indahnya anugerah kasih dan sayang

Boleh dikatakan setiap pagi Sabtu dan Ahad apabila aku menuju tempat beriadah, hati kecilku akan diusik rasa terharu. Melihat sepasang warga emas yang didakap penuh kasih dan sayang. Si suami dengan penuh sabar memimpin isterinya sehingga tiba di tempat peralatan riadah. Di tempat aku beriadah ini ada berbagai alat disediakan pihak Majlis tempatan. Isterinya akan beriadah di sini saja. Bila si isteri sudah selesa di tempat itu barulah dia menuju track larian yang biasa kami gunakan untuk berjogging. Uncle ini masih kuat berlari atau berjalan cepat mengalahkan aku. Usianya aku rasa dalam lingkungan 60an. Isterinya bermula dari kena stroke kini sudah boleh memapah menggunakan tongkat berkaki empat. Sebelah kakinya dulu diheret kini sudah boleh menapak perlahan. Gigihnya mereka menjaga kesihatan kerana dia melakukannya setiap pagi. Apa lagi kedudukan padang ini berada di hadapan rumahnya saja. Si suami memberikan terapi dengan penuh kasih sayang sehingga melompat longkang kecil pun dia akan pegang sungguh-sungguh isterinya. Memberi isteri minum pun botol air dia yang pegangkan. 

Balik - Aku belum selesai lagi mereka sudah balik. Biasanya jam 7:15 lebih kurang mereka sudah berpeluh-peluh dan balik rumah.
Itu manusia dengan anugerah kasih dan sayang. Binatang pun tidak kurangnya bila si Kecik (kucing mendatang di rumah) diberi kasih dan sayang oleh adik dan Kak Meen akhirnya dia menjadi begitu manja. Sampai aku terjerit-jerit bila dia yang masih belum faham mahu mendekat ke kaki aku ini. Petang hari Sabtu lepas ketika adik sedang menonton televisyen tiba-tiba si Kecik menggonggong burung merpati yang menjerit mohon dilepaskan. Semakin Kak Meen menjerit makin dia mendekat. Konon bangga menunjuk kepada tuannya dia berjaya membawa hadiah tapi tidak tahu tuannya punyalah gerun dan kasihan melihat burung yang terkepak-kepak mohon dilepaskan. Aku apatah lagi terus masuk bilik, tinggalkan semua itu atas budi bicara anak.

Mangsa - Akhirnya merpati ini menjadi mangsa Kecik. Mati juga sebab tempat yang digigit di bahagian leher. Nasib awaklah merpati. Namun matimu tidak ada dakwa dan dakwi. Melainkan menjadi saksi di sana kelak.

Tanam - Anak dara  yg semadikan burung merpati sambil teringat kisah Habil dan Qabil dengan kisah burung gagak yang ditanam. Menjadi sejarah yang akhirnya manusia tahu bila meninggal perlu dikebumikan. 

Kecik - Inilah dia kucing yang memberi hadiah kepada tuannya. Ada rasa dikasihi mahu membalas budi tapi budi yang mahu dibalas sebenarnya menyalahi kehendak si tuan. Inilah binatang ada otak tetapi tidak berakal.

~~Sebaik saja lahirnya seseoang insan, Allah akan kurniakan secara semulajadi rasa kasih dan sayang.  Tidak kiralah ianya manusia mahupun binatang rasa kasih dan sayang itu akan dapat dilihat samada dengan mata kasar mahu pun jauh di sudut hati.~~