Showing posts with label Atuk. Show all posts
Showing posts with label Atuk. Show all posts

Wednesday, July 29, 2015

Ceria di Aiďilfitri - 1

Assalamualaikum... bertemu lagi setelah sekian lama menyepi.

Setelah hampir 20 tahun jika biasanya aku meraikan aidilfitri hari pertama di kampong hubby yang punya keluarga amat kecil, tetapi tahun ini aku sekeluarga mengambil keputusan untuk beraya dulu di rumah bapak. Semuanya disebabkan Kak Reen hingga hari akhir puasa masih lagi dengan praktikalnya. Langkah terbaik itulah balik dulu rumah bapak yang lebih dekat. Untuk balik Batu Pahat terasa lewat pula. Apalagi  di rumah bapak hanya Mak Zah saja yang ada, rasa kasihan pula. Masak-masak petang akhir ramadhan tidak teringat langsung untuk dirakamkan. Mood gembira bersama bapak menutup ingatan dengan kamera dan telefon. Pagi Syawal baru masing-masing sibuk dengan kamera dan telefon.


Camera dan telefon bimbit - Rutin setiap kali selepas peluk-cium dan bersalaman pasti kamera menjadi alat utama untuk merakam kenangan. Mereka sibuk mengambil gambar tanpa sedar aku pula mengambil gambar mereka.
Kami - Moga jalinan kasih kami berpanjangan hingga ke jannah. Papa tidak sempat lagi menukar pakaian solat sudah diarahkan duduk.
Anak buah kami - Anak buah aku yang ada pada Syawal pertama bersama anak dara ku.
Sayang atok- Bersama atok tersayang. Boleh pula dengan tidak disangkakan bapak juga menempah baju warna biru juga.


Sepupu - Lagi mengejutkan semua anak buah sepupu aku berbaju biru seperti bapak dan kami sekeluarga.

Sungguh tidak dapat dinafikan Aidilfitri menjadi salah satu wadah untuk mengeratkan silaturrahim sesama umat. Saling hormat-menghormati, bersedekah, bermaaf-maafan dengan keikhlasan semua ini hikmah yang Allah berikan buat kita hambaNya. Tanda kesyukuran dengan kejayaan menjalankan ibadah di bulan ramadhan. Moga ibadah dilakukan tidak terhenti di bulan ramadhan saja bahkan diteruskan sehingga ramadhan yang akan datang. Ramadhan ditinggalkan, syawal dirai dengan kesyukuran.
 
~~ Lama sungguh blog tidak dijenguk. Ada waktu kita diberi ujian untuk membuat kita lebih dekat kepadaNya. ~~
 
 








Friday, January 4, 2013

Samsung Galaxy SIII - Terima kasih atuk

Telefon miliknya telah lama rosak. Memandangkan telefon bimbit tidak boleh dibawa ke sekolah kami biarkan saja. Masuk cuti sekolah boleh pula dia memberitahu atuknya. Kasih seorang atuk pada cucu boleh pula dia memberi sehingga 1K. Terkejut aku. Siap aku suruh bapak tarik balik, namun bapak tetap berkeras. Mengalir airmata aku kerana dulu sewaktu aku belajar usah kata 1K. Untuk bapak mencari duit 100 ringgit punyalah susah. Oleh kerana itulah hubby akur  dengan menambah wanga sendiri membawa anak daranya memilih pilihan hati mereka. Kini bila naik sekolah semua tinggal di rumah saja.

Housing maroon - Pilihan Yasmien

Warna cream - Pilihan Nurienne

Tinggal di rumah - Bila keduanya sudah balik ke asrama adik yang menggunakan keduanya. Mama/papa guna telefon yang buat baling kucing pun boleh pengsan.

Tunjuk - "Cantik kan mama". Memang cantik tapi kena ingat ada janji termetri. Semua ini tidak membantu kita di akhirat kelak. Ingat pesanan mama-papa.
~~ Sebagai ibu-bapa mahu melihat anak-anak rasa dihargai. Sekadar memberi dan menghadiahkan apa yang mereka suka. Menjaga anak remaja ada kalanya bagaikan bermain layang-layang lepas-tarik-lepas-tarik.~~



Saturday, December 22, 2012

Tabung duit bapak

Selepas kenduri arwah bibik kami mengemas bilik bapak. Tiba-tiba bapak menghulur dua tabung pada hubby untuk dikira. Cucu-cucu masing-masing sudah bising. "Atok kenapa bagi papa, bagi pada kita oranglah" Atuk mereka senyum saja. "Tunggu papa tukar dulu" Itu saja jawapan bapak. Oleh kerana malas untuk mengira sebaik balik ke JB hubby  terus ke bank. Duit tersebut hubby masukkan  ke dalam akaun tetapi hubby ganti balik pada bapak dengan duit hubby.

Selonggok - Hasil dari satu tabung yang semuanya siling 50 sen.

Tabung - Arnab berisi siling 50 sen dan unta penuh dengan siling 20 sen dan 10 sen. Tabung ini kini berada di rumah aku kerana bapak sudah tidak mahu menabung lagi katanya.

Ada lagi - Masukkan plastik hantar bank untuk di kira.
~~ Bukan anak-anak saja suka menabung bapak juga suka. Tetapi tabung bapak bila telah dikira akan jatuh ke tangan cucu-cucu. Sebenarnya bapak tidak menggunakan siling baki selepas berbelanja.~~

Friday, September 21, 2012

Bermain batu seremban

Bapak makan tidak banyak sekalipun sewaktu dia sihat. Namun  makan bapak biasa kena berulang-ulang dalam 2-3 jam dia akan mengambil sedikit makanan seperti biskut, roti dan sebagainya. Adik ada cara mahu mengambil hati bapak.

"Atuk tak nak makanlah, masih kenyang."
"Sikit aje ye tok." biasa adik akan memujuk.
"Nantilah bila atuk nak, atuk beritahu ye."
"Ini last tok, last." sambil tangan menyuap ke mulut atuk

Itu cara yang adik buat untuk bapak yang susah makan akhirnya membuka mulut mengalah walau sesuap-dua. Siap makan adik suakan pula dengan pil walau bapak sudah boleh buat tetapi adik suka kalau dapat menyuap atuknya. Dulu masa luka penuh sana-sini dia pandang jauh-jauh. Sekarang adik sudah kerap memicit dan mengurut walau aku tahu bapak sekadar mahu menggembirakan adik akan berkata adik pandai dan mengucapkan terima kasih. Kalau tarik jari-jari adalah bunyi.

Sewaktu peperiksaaan UPSR yang baru lalu murid tahun satu hingga tahun tiga sekolah adik diberi cuti. Adik gunakan masa itu untuk bermain dengan atuk. Dulu sewaktu zaman aku anak-anak selalu bermain dengan bapak kali ini dengan cucu pula. Main batu seremban (membunyikan bukan seperti menyebut bandar Seremban di Negeri Sembilan tapi bunyi seperti menyebut rembat) yang menggunakan lima biji dilambung-lambung. Bapak masih boleh bermain itu yang buat aku senyum lebar. Tangan bapak sudah agak kuat  walau lebam masih ketara lagi terutama di lengan  tangan kanan. Elok juga dijadikan sebagai senaman untuk tangan bapak buat masa ini.

Penat bermain adik berbaring disebelahnya sambil menonton televisyen. Senang hati aku melihat perubahan bapak.
Game 20 - Maksudnya kalau sudah ada yang menang sampai 20 kena berhenti main. Atuk tidak boleh duduk lama lagi.

Adik main - Sebenarnya adik tidak mahir lagi,  baru belajar cara bermain dari kawannya.

Giliran atuk - Selalu atuk cepat saja untuk sampai game 20 sebab dia hendak rehat cepat.




~~ Banyak permainan zaman aku dulu kelihatannya mula dimainkan oleh anak aku sekarang. Batu seremban, teng-teng, layang-layang dan congkak sedang jadi mainan mereka.~~ 



Thursday, March 29, 2012

Sambal belacan

Aku dengan sambal belacan tidak boleh dipisahkan. Tetapi anak-anak aku walau dari celik mata telah melihat sambal belacan bagaikan irama dan lagu dalam keluarga kami, belum ada lagi seorang pun yang pandai makan sambal belacan. Kalau sayur kangkung goreng belacan atau kailan goreng belacan pandai pula mereka makan. Bapak pula macam aku kalau timun, kacang botol, ulam raja atau apa saja ulam cecah sambal belacan itulah yang membuka selera kami.

Bapak siap berpesan lain kali kalau tumbuk sambal belacan guna cili besar kalau mahu anak-anak makan sama. Itulah bapak seboleh-boleh mahu cucu-cucunya menikmati sambal belacan, sedangkan mama dia bila menumbuk sambal belacan andai tidak ada cili padi tidak puas.


Sebekas - Aku bila membuat sambal belacan penuh satu bekas ini tahan 3-4 hari. Selepas makan, tidak habis masuk dalam peti-ais. Bekas ini azian yang bagi. Bila makan mesti ingat pada Muiz dan Muaz hero-hero dia.

Itu dia - Sambal belacan ini aku perahkan limau kasturi. Aromanya menangkap lubang hidung.

Sampingan - Ini 'sambal belacan' anak-anak aku. Berulam juga dengan timun tetapi cecahnya dengan yang ini.


Taman rekreasi Hutan Bandar - Sengaja aku tepek gambar ini. Makan di sini pun ada sambal belacan juga. Kalau ingin mencuba silakan ke sini. Dekat saja dengan RTM Johor.



~~Makan tengahari atau malam andai ada ulam dan sambal belacan sudah cukup membuat selera aku terbuka selalu. Namun bagus juga anak aku tidak pandai makan sambal belacan bila baru-baru ini doktor melarang dia makan belacan dan karangan laut.~~




Monday, January 2, 2012

Pertunangan Nurawirda dan Joe

Petang 31-12-2011 ketika sedang berkemas beg-beg baju untuk menuju ke rumah kakak aku, panggilan dari Ayu Citarasa Rinduan menjemput kami sekeluarga untuk makan malam bersama. Maaf sungguh kerana jemputan Ayu tidak dapat kami penuhi kerana 01-01-2012 ada majlis pertunangan anak gadis kakak aku. Petang itu kami bertolak dalam kegelapan mendung pekat tetapi terpancar sinaran mentari dan fenomena itulah yang membuat anak-anak teruja dapat menikmati keindahan alam. Lakaran pelangi indah di kaki langit terbentang jelas di Senai-Desaru Expressway. Tapi keindahan itu kemudian hilang ditelan hujan yang turun mencurah-curah hingga pemanduan terpaksa diperlahankan.

Maha besar Allah - Indah pelangi yang telah lama tidak dapat kami nikmati.

01-01-2012 - Majlis disempurnakan petang semalam. Perbincangan dibuat dan yang nyata tahun ini akan ada dua majlis pernikahan berlaku dalam keluarga kami. Satu anak bujang kakak Uda aku di Muar dan satu lagi anak gadis kakak yang ini.

Majlis - Beberapa gambaran ketika majlis pertunangan berlangsung.

Atuk dan nenek - Bapak dengan bibik juga gembira dihari pertuangan cucunya.

Senja 01-01-2012 - Petang lebih kurang jam 6:30 petang kami bertolak pulang. Pemanduan lebih lancar kerana tidak banyak kereta di lebuhraya walaupun gerimis. Menyaksikan keindahan alam sekali lagi ketika berada di jambatan lebuhraya. Mentari yang hampir terbenam di ufuk barat menandakan menjelang maghrib jarang benar dapat dinikmati. Ketika lalu di surau taman perumahan kami kelihatan jemaah sedang bersolat maghrib. Kami sudah lewat....


~~Dalam kata segala keperluan sekolah anak-anak telah lengkap surat terbaru dari pihak asrama sekolah Yasmien tertera cadar dan sarung bantal ada dalam senarai. Esok aku bercuti kerana menghantar Nurienne ke asramanya dan petang bolehlah aku menjahit sekejap. Pendaftaran Yasmien pada 09-01-2012.~~



Thursday, August 11, 2011

Tinggal kenangan...

Dulu masa aku kanak-kanak boleh dikatakan andai tiba cuti sekolah akan dihabiskan masa di Choa Chu Kang, Singapura. Perkampungan ini telah dijadikan tempat pengebumian umat Islam dikenali sebagai Pusara Aman. Di sinilah tempat permainan aku dulu dengan atuk dan nenek yang dua orang sebelum terpaksa berpindah ke Boon Lay Aveue. Nenek tiri tidak mempunyai anak tapi kami lebih sayang padanya. Nenek aku sebenar isteri kedua atuk. Nenek tiri meninggal dulu berbanding nenek aku yang sebenar.

Sewaktu dipanjat usia tua penyakit alzheimer atuk amat ketara sekali. Bila makan di warung yang dia gemari, selesai makan terus balik - tidak pernah membayar. Pakcik aku sudah memberitahu kepada tuan restoran apa saja yang atuk hendak makan beri saja dan dicatat dalam buku untuk pakcik bayar setiap hari Ahad. Selalunya bila dia menaiki lif selipar ditinggalkan di luar pintu, kemudian tiba di atas dia marah kerana selipar hilang katanya. Kalau hilang dan salah tingkat sudah berkali-kali, tetapi kebanyakan penghuni di blok sudah kenal dan biasanya akan dihantar balik.

Kalau mandi usah dikira dalam sehari dia boleh mandi berkali-kali selagi dia nampak pintu bilik air terbuka mesti dia akan mandi. Tapi yang menghairankan semua bacaan solat dia baca betul belaka. Solat juga bila diberitahu mesti akan ditunaikan. Puasa juga dia lakukan. Cuma jangan sesekali dia mendengar azan berkumandang. Kalau azan zohor bererti dia akan berbukalah waktu zohor. Kalau azan asar dia berbukalah waktu asar. Biasanya makcik aku yang kena menyediakan makanan untuk dia berbuka. Selepas berbuka bila kita katakan contohnya solat zuhor dia akan solat zuhor tidak pula dia solat maghrib. Waktu itu aku masih kanak-kanak tapi tahu atuk sudah nyanyuk. Fizikal atuk kuat tapi ingatannya tidak.

Kini segalanya tinggal kenangan. Atuk telah pergi menghadap Ilahi ketika usianya 109 tahun. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama kalangan mereka yang solleh.




~~~Orang-orang yang memiliki keuzuran seperti seperti atuk aku itu, gugur kewajipan puasa dari bahunya. Harus baginya berbuka puasa, namun wajib diganti dengan puasa pada hari lain (apabila hilang keuzuran nanti). Kecuali jika sakit atau keuzurannya berterusan hingga bila-bila, maka diberi kelonggaran kepadanya untuk menggantinya dengan fidyah (tanggungjawab anak-cucu). Firman Allah (bermaksud); “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang ia berbuka itu) pada hari-hari yang lain, dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin” (Surah al-Baqarah, ayat 184) ~~~