Showing posts with label Puteri. Show all posts
Showing posts with label Puteri. Show all posts

Friday, January 6, 2012

Tuntutan penggunaan gelaran `Tun', 'Meor' bagi waris keturunan `Megat', `Syed'


KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KETURUNAN MEGAT TERAWIS MALAYSIA
Dan
PERSATUAN KELUARGA JAMALULLAIL PERAK
Mewakili
Waris dan Kerabat Diraja serta Aristokrat Melayu Negeri Perak
Khamis, 5 Januari 2012
Putrajaya

PENGGUNAAN NAMA-GELAR ‘MEGAT’, ‘PUTERI’, ‘TUN’ dan ‘MEOR’

Pada hari ini satu mesyuarat telah diadakan di antara Persatuan Keturunan Megat 
Terawis Malaysia dan Persatuan Keluarga Jamalullail Perak mewakili Waris dan 
Kerabat Diraja serta Aristokrat Melayu Negeri Perak dengan Ketua Pengarah 
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Ibu Pejabat, Jabatan Pendaftaran Negara, 
Putrajaya. Turut hadir di dalam mesyuarat berkenaan adalah pegawai-pegawai 
kanan JPN yang berkaitan dengan pendaftaran nama individu.

Mesyuarat tersebut bertujuan untuk menyampaikan MEMORANDUM tuntutan 
hak penggunaan nama-gelar ‘Megat’, ‘Puteri’, ‘Tun’ dan ‘Meor’ bagi keturunan 
wanita daripada keluarga kami. Untuk makluman, mengikut adat istiadat Melayu 
khususnya di negeri Perak, penggunaan nama-gelar ini telah diamalkan sejak 
turun-temurun lagi. Bagi kes yang biasa, seseorang yang bernama-gelar akan 
mewaris nama-gelar tersebut melalui bapanya. Namun, sekiranya seorang wanita 
bergelar berkahwin dengan orang yang tidak bernama-gelar, penggunaan nama gelar ‘Megat’, ‘Puteri’, ‘Tun’ dan ‘Meor’ digunakan sebagai tanda mengenal pasti 
yang individu tersebut berketurunan dari satu keluarga diraja.

Memandangkan dewasa ini ramai yang tidak memahami syarat penggunaan 
nama-gelar tersebut, berikut adalah kriteria penggunaannya:

MEGAT dan PUTERI
1) Bapa bernama-gelar MEGAT; ATAU
2) Ibu bernama-gelar RAJA / TENGKU / TUNKU

TUN
1) Bapa bernama-gelar TUN; ATAU
2) Ibu bernama-gelar PUTERI

MEOR
1) Bapa bernama-gelar MEOR; ATAU
2) Ibu bernama-gelar SHARIFAH (keturunan SYED)

Kebelakangan ini, pihak JPN telah menafikan hak  penggunaan nama-gelar yang 
tersebut di atas atas alasan hanya keturunan bapa sahaja yang layak diwarisi. 
Gelaran daripada warisan ibu tidak dibenarkan. Kami menganggap tindakan ini 
sebagai satu penghinaan kepada kerabat diraja negeri Perak dan secara amnya
satu penghinaan kepada adat istiadat Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun 
lagi. Kami juga berpendapat bahawa adalah tidak wajar hak penggunaan nama gelar ini dinafikan sedangkan orang lain yang tidak berkaitan langsung dibenarkan 
pula menggunakan nama-gelar tersebut.

Mesyuarat dengan Ketua Pengarah JPN pada hari ini membincangkan tuntutan 
kami agar dapat menggunakan nama-gelar tersebut di kalangan ahli keluarga 
kami. Sebagai menunjukkan komitmen kami untuk membantu JPN dalam 
menjalankan tugas mereka dengan lebih baik  bagi perkara yang melibatkan 
penggunaan nama-gelar ini, kami telah sebulat suara membuat cadangan berikut:

1) Kesemua nama-gelar di atas dijadikan nama khas yang tidak boleh 
digunakan oleh mana-mana individu MELAINKAN mereka mengemukakan 
DUA dokumen daripada wakil sah keluarga berkenaan. Dokumen tersebut 
adalah:

a. Surat Pengesahan Waris Keturunan
b. Salasilah ‘customised’ bagi pemohon

2) Kesemua Wakil /Pakar Rujuk Salasilah serta spesimen tandatangan mereka 
akan dikemukakan kepada pihak JPN bagi tujuan pemantauan.

3) Kebenaran ini hanya diguna-pakai bagi kelahiran baru sahaja. Bagi waris 
keturunan yang sah dari kalangan orang dewasa pula, ia tertakluk kepada 
budi bicara JPN kerana pendaftaran asal mereka dengan tidak 
menggunakan nama-gelar tersebut dianggap sebagai penafian hak secara 
suka rela.

4) Sebarang kemusykilan tentang penggunaan nama-gelar perlu dirujuk 
kepada kerabat yang berkenaan.

5) Kami juga akan membantu pihak JPN untuk memberi penerangan kepada 
masyarakat khususnya para pegawai dan kakitangan JPN di pelbagai 
peringkat tentang kaedah penggunaan nama-gelar ini

Tuntutan ini dikemukakan secara kolektif oleh:

Waris keturunan Sultan Muzaffar Shah I, Perak
Sultan Perak yang pertama dan ‘forefather’ kepada kerabat diraja Perak

Waris keturunan Megat Terawis
Bendahara Perak yang pertama dan ‘forefather’ kepada kerabat Megat di Perak

Waris keturunan Syed Hussin Al-Faradz
Penasihat Perundangan negeri Perak dan ‘forefather’ kepada kerabat Syed di 
Perak

Nota:

Di bawah adalah: 

Salinan Memorandum kepada JPN

Salasilah keturunan Sultan Muzaffar Shah I, Perak

Salasilah keturunan Orang Kaya Bendahara Megat Terawis, Perak

Salasilah keturunan Syed Hussin Al-Faradz, Perak


Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi saya sebagai Penyelaras Jawatan Kuasa Kerja antara 3 kerabat ini di talian 017-9696430 atau melalui email megat.xiv@gmail.com

Sekian, terima kasih.

MEGAT ISKANDAR BIN MEGAT ZAHARUDDIN
Setiausaha Agung
Persatuan Keturunan Megat Terawis
Malaysia



Popular Posts