Artikel di bawah dipetik daripada FB Page JPJ Sila Mansuh Akta Bodoh Melarang Cermin Gelap. Hujah-hujah di dalam posting ini agak menarik dan meyakinkan. Mungkin JPJ dan Kementerian Pengangkutan boleh mengambil perhatian dan membuat pembetulan di dalam pendekatan mereka dan memperbaiki persepsi terhadap mereka selepas ini.
Page JPJ Sila Mansuh Akta Bodoh Melarang Cermin Gelap
mempunyai 16,757 pengikut
Ramai rakyat negara ini yang tidak menyukai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bukan kerana ia merupakan pihak PENGUATKUASA semata-mata, tetapi kerana peraturan-peraturan pelik dan tidak efektif yang diperkenalkan mereka. Peraturan-peraturan yang diperkenalkan ini bukan sahaja tidak membantu mengurangkan kemalangan jalan raya dengan AMAT berkesan sebaliknya telah menyebabkan rakyat dihukum dengan berat.
JPJ melalui admin FBnya telah cuba menjelaskan tindakan mereka. Namun bagi ramai rakyat negara ini, JPJ sebenarnya gagal memahami isu utamanya.
Isu utamanya:-
1. Persepsi - Kementerian Pengangkutan dan JPJ telah dilihat sebagai terlalu berlebih-lebihan dalam memperkenalkan sesuatu yang kononnya dapat menurunkan jumlah kemalangan jalan raya. Sesuatu itu termasuk, perkakasan seperti tali pinggang belakang dan AES, perkhidmatan seperti PUSPAKOM, undang-undang seperti cermin gelap dan nombor plat, hukuman seperti hukuman yang berat ke atas rakyat, termasuk dalam kes menghalang rakyat membaharui lesen kenderaan, lesen memandu dan terbaru hukuman berat dan keterlaluan ke atas pesalah cermin, dan penguat kuasaan pertaruan-peraturan ini yang menyusahkan sehingga mengakibatkan gejala rasuah. Pokok pangkalnya rakyat melihat terdapat matlamat wang ringgit dalam memperkenalkan segala `sesuatu' ini dan rakyat menjadi mengsanya.
2. Hukuman pesalah cermin gelap yang berat. Alasan oleh kerana JPJ tidak boleh menguatkuasakan undang-undang ini ke atas kedai aksesori, maka, JPJ PERLU MENGHUKUM RAKYAT adalah alasan yang tidak munasabah. Dalam hal ini, seharusnya, JPJ perlu bekerjasama dengan pihak yang boleh menguat kuasakan undang-undang ke atas kedai aksesori dan membuat undang-undang dan hukuman berkaitan. Menghukum rakyat adalah jalan pintas oleh JPJ dan mengenakan hukuman yang keterlaluan mengundang kemarahan rakyat seterusnya menggalakkan gejala rasuah sewaktu penguat kuasaan. Jika faktor yang menyebabkan kemalangan adalah kerosakan jalan raya, rakyat memerlukan pihak yang bertanggung jawab mengambil tindakan ke atas kontraktor atau pihak terbabit, bukan meminta JPJ menyaman rakyat yang melalui jalan tersebut dan berhadapan dengan risiko kemalangan.
3. Pengenalan hukuman ke atas kesalah cermin gelap sebagai tambahan kepada langkah-langkah sedia ada seperti tali pinggang keledar belakang, tali pinggang hadapan, AES dan sebagainya, memberi gambaran bahawa cadangan-cadangan JPJ untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya tidak begitu tepat. Mungkin JPJ perlu melihat semula statistik dan kajian-kajian yang ada dengan lebih teliti. Misalnya siapa golongan yang paling tinggi terlibat dengan kemalangan berdasarkan peratus ke atas jumlah semua kenderaan di atas jalan, asingkan statistik kemalangan dan kemalangan maut ke atas golongan penunggang motorsikal, kereta, pengangkutan awam seperti bas atau yang melibatkan kenderaan komersial seperti lori yang banyak menggilis penunggang motorsikal; seterusnya punca kemalangan, samada mengantuk, memandu laju, jalan raya yang rosak, ketiadaan lampu jalan, pemandu mabuk, kecuaian kenderaan lain misalnya lori dan bas dan sebagainya. Selepas analisis ini barulah dicadangkan kaedah dan tidak perlu semua kaedah ini disertai dengan undang-undang mewajibkan yang melibatkan perbelanjaan wang ringgit atau hukuman yang berat.
4. Alasan aduan nombor plat kurang jelas boleh dipakai jika nombor plat itu benar-benar tidak jelas. Masalahnya, kalau nombor plat itu jelas sekalipun, tetapi tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh JPJ, pemilik kenderaan tetap dihukum. Kedua, tidak jelas itu relatif kepada tahap penglihatan seseorang. Jika pengadu rabun atau rabun malam, sudah tentu plat tersebut tidak kelihatan jelas.
5. Lampu HID dan strobe light - saya tidak tahu siapa yang mempunyai masalah akibat tergaggu begitu kerap dengan lampu seperti ini. Setakat ini, saya jarang berhadapan dengan masalah ini ketika memandu. Mungkin ada yang boleh memberi pencerahan. Jika warna lampu isyarat (signal) dan lampu brek kereta ditukar kepada warna lain, itu boleh mengakibatkan kekeliruan dan kemalangan. Kalau hendak semak yang itu, silakan.
6. Penguatkuasaan undang-undang cermin gelap memang agak lapuk. Banyak negara-negara jiran yang lebih bermasalah dengan keselamatan pun tidak menguat kuasakan peraturan ini. Alasan yang diberikan oleh JPJ tetap alasan penguatkuasaan dan kehendak untuk mengenakan hukuman terhadap rakyat. Alasan ini juga bukan alasan yang kukuh sebaliknya hanya untuk memudahkan tugas penguatkuasa menyaman rakyat. Kes Allahyarham Noor Suzaily Mukhtar dirogol di dalam BAS bercermin gelap, bukan kereta. Silakan, jika hendak menguat kuasakan undang-undang ini ke atas kenderaan awam dan komersil yang becermin gelap. Rakyat cuma pelik, jenayah berlaku dalam BAS, tet5api hukumannya kepada pemandu KERETA.
7. Kementerian Pengangkutan dan JPJ selalu menggunakan alasan keselamatan jalan raya untuk memperkenalkan undang-undang, hukuman, gajet, perkakasan, perkhidmatan dan pelbagai perkara baru mengakibat peningkatan perbelanjaan wang ringgit. Malangnya, bila diminta statistik yang berkaitan, permintaan ini tidak pernah dipenuhi. Sebelum ini, ramai yang pernah meminta statistik kemalangan di kawasan-kawasan yang hendak diletakkan kamera AES. Sehingga sekarang, pihak Kementerian dan JPJ gagal memberikan statistik tersebut kepada pihak-pihak yang memintanya.
8. Dalam kes cermin gelap, yang patut dihukum adalah pemilik kedai aksesori (misalnya seperti larangan menjual rokok kepada kanak-kanak) dan pembekal atau pengimportnya. Jika ada kegunaan filem gelap di dalam bidang lain, misalnya pembinaan rumah, maka, undang-undang yang menguatkuasakannya perlu dibuat, termasuk log perbekalannya (seperti yang dikenakan ke atas klinik dan farmasi di atas larangan penjualan ubat batuk tertentu dan bahan-bahan yang mengandungi pseudoefedrin)
9. Sepatutnya Kementerian dan JPJ mencari jalan yang dapat mengurangkan beban rakyat, termasuk kos untuk mengambil lesen memandu dan mendidik rakyat di jalan raya. Bukannya mencari sebanyak mungkin jalan untuk menghukum dan membebankan rakyat. Sekiranya JPJ dan Kementerian Pengangkutan boleh memahami isu sebenar rakyat, maka admin FB JPJ tidak akan memberi jawapan seperti yang diberikannya.