Showing posts with label SPDP. Show all posts
Showing posts with label SPDP. Show all posts

Thursday, 31 March 2016

PRN11 Sarawak: Henry Sedia Sokong Nansian


Datuk Henry Harry Jinep bersedia memberi sokongan kepada Datuk Peter Nansian Ngusie jika dipilih sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Namun pada masa sama, Henry yang ditampilkan oleh Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) untuk bertanding di kerusi tersebut juga mengharapkan agar Nansian turut melakukan perkara yang sama jika beliau (Henry) dipilih.

“Saya akan menyokong jika beliau (Nansian) dipilih tetapi begitu juga saya mengharapkan pihak lain untuk melakukan perkara yang sama kepada saya bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemu bual selepas Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di kawasan DUN Tasik Biru di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.

Terdahulu, Adenan dalam ucapannya telah menyeru agar Henry dan Nansian bersumpah untuk memberi sokongan kepada sesiapa sahaja antara mereka berdua yang dipilihnya sebagai calon BN untuk bertanding di DUN Tasik Biru pada PRN nanti.

Dalam pada itu, Henry optimis akan dipilih sebagai calon namun beliau menyerahkan segala keputusan kepada Adenan selaku pengerusi BN Sarawak.

“Saya fikir beliau (Adenan) telah melihat kedua-dua pihak dan adalah jelas bahawa SPDP mempunyai kekuatan kerana bergabung serta bersatu dengan semua parti komponen BN lain,” katanya.

Berhubung perjuangannya untuk bertanding di DUN Tasik Biru sekali gus mengetepikan Nansian selaku penyandang kerusi tersebut selama empat penggal sejak 1996, Henry berkata ia adalah demi mempertahankan hak parti.

“Saya dan Nansian adalah sama-sama dalam satu pihak iaitu BN tetapi bagi kami dalam SPDP, ia adalah hak kami berlandaskan prinsip BN.

“Ini (Tasik Biru) adalah kerusi kami dan kami perlu memperjuangkan hak kami,” tegasnya.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Kumpulan Putra Sentosa itu menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dari segi hubungan dengan Nansian.

“Kami banyak mengambil gambar bersama dan senyum antara satu sama lain,” katanya. - Utusan Borneo

-UnReportedNews™®

Wednesday, 30 March 2016

Masalah Empat Parti Diselesai Sebelum Penamaan Calon


Masalah yang melibatkan empat parti di negeri ini akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu menegaskan bahawa masalah berkenaan melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta Parti Demokratik Progresif (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

“Perkara (masalah antara parti) ini akan diselesaikan sebelum penamaan calon… mereka akan menyelesaikan masalah antara satu sama lain, sama ada SPDP dan TERAS atau SUPP dan UPP.

“Bagi calon terus BN, sama ada mereka perlu meletak jawatan, perkara ini juga tetap akan terus diselesaikan walau apa sekalipun,” katanya pada sidang media semasa mengumumkan calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Ditanya mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Adenan yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus berteka-teki dengan tarikh berkenaan dan membayangkan beliau akan berjuma Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Abdul Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

“Dalam masa terdekat (perjumpaan dengan Tun Taib)… tidak ada guna untuk kita membuat spekulasi sekarang kerana ia semakin dekat,” tegasnya.

Malahan kata Adenan beliau bertemu dengan Tun Taib untuk mendapatkan perkenan bagi pembubaran DUN dan selepas itu ia bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan.

“Selepas mendapat nasihat daripada Yang di-Pertua Negeri bagi pembubaran DUN, speaker DUN akan memaklumkan kepada SPR tentang perkara ini dan dari situ SPR akan mengambil alih bagi menentukan tarikh PRN,” katanya.

Sementara itu Adenan turut mengumumkan senarai nama 11 calon dikemukakan oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) termasuk dua daripadanya adalah kerusi baharu.

Antara 11 calon berkenaan Tan Sri Datuk Amar James Masing bagi DUN Baleh, Datuk John Sikie Tayai (Kakus), Datuk Mong Dagang (Bukit Begunan), Wilson Nyabong Ijang (Pelagus), Liwan Lagang (Belaga), Malcom Mussen Lamoh (Batang Ai), Alexander Vincent (Ngemah) dan SnowdanLawan (Balai Ringin).

Sementara muka baharu, Christopher Gira calon di Tamin manakala dua calon bagi kerusi baharu, Majang Reggie (Samalaju) dan Chuk Pai Ugon (Murum).

“Mereka adalah antara sebahagian daripada pasukan saya sebagai calon Barisan Nasional yang dikemukakan PRS dan diterima saya,” katanya. - Utusan Borneo

-UnReportedNews™®

Tuesday, 29 March 2016

SPDP Beri "Laluan" Kepada TERAS Di DUN Tasik Biru?



Kehadiran Dato Henry Harry Jinep (SPDP) pada "Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Bersama YAB Ketua Menteri Sarawak" di Redeems Centre anjuran TERAS baru-baru ini telah mengundangkan 1,001 kemusykilan.

Ini adalah kerana selain dari Datuk Peter Nansian (TERAS) yang merupakan ADUN Tasik Biru sekarang, Henry juga telah digembar-gemburkan berpotensi menjadi calon bagi kerusi DUN tersebut pada PRN Sarawak Ke-11 nanti.

Lebih menghairankan, Henry terus menghampiri dan bersalaman dengan Petar Nansian dengan mesra sekali di hadapan Ketua Menteri.

Umum tahu SPDP dan TERAS kini diibaratkan berada didalam medan peperangan bagi memastikan calon masing-masing yang akan mewakili BN Sarawak pada PRN11 Sarawak dan kehadiran Henry pada majlis berkenaan dilihat seakan-akan persis "merestui" Peter Nansian dijadikan calon BN Tasik Biru .

Terdapat desas-desus mengatakan SPDP sedang dalam cubaan memujuk TERAS agar "berbahagi" kerusi di antara mereka setelah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Hai Adenan Satem mengumumkan Hajah Rosey Yunus dan Datuk Paulus Palu Ngumbang (kedua-duanya TERAS, yang juga merupakan ADUN Bekenu dan Batu Danau sekarang) sebagai calon BN yang akan mempertahankan kerusi mereka.

Kini hanya ada TIGA kerusi yang menjadi rebutan SPDP-TERAS iaitu Tasik Biru, Marudi dan Pakan (yang kini diwakili oleh Datuk Peter Nansian, Datuk Sylvester Entri dan Tan Sri Datuk Sri William Mawan dari TERAS) yang calonnya belum diumum oleh Ketua Menteri disamping tiga DUN lain; Ba'Kelalan, Kerian dan Meluan (yang dikuasai pembangkang) dan DUN Serembu (DUN Baharu). 

Ada juga suara-suara nakal menyatakan SPDP tidak mahu "berputih-mata" dan menginginkan untuk dijadikan calon pada beberapa kerusi berkenaan.

Henry apabila yang ditanya pemberita akan kehadirannya disana menyatakan, selain mendapat jemputan ke majlis tersebut dari Pejabat Ketua Menteri, beliau juga hadir atas dasar semangat Sambutan easter dan sebagai seorang Kristian.

Walauapapun, kehadiran Henry dimajlis tersebut seakan menberi sedikit harapan kemelut diatara SPDP-TERAS boleh diselesaikan dengan baik agar BN Sarawak dapat menghadapi PRN11 secara mantap dan bersatu. -UnReportedNews™®

*Saya tulis "Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Bersama YAB Ketua Menteri Sarawak" anjuran TERAS adalah kerana antara tetamu VVIP pada majlis tersebut adalah Peter Nansian -Timbalan Presiden TERAS :)

Tuesday, 1 March 2016

Keengkaran Komponen Parti BN Sarawak Terima Formula "BN Plus" Adenan Akan Bawa Padah?


Baru-baru ini, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) secara terang-terangan tidak bersetuju dengan idea untuk meletakkan calon terus Barisan Nasional (BN) bagi kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.

Timbalan Presiden SUPP Datuk Seri Richard Riot Jaem, menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Ketua Wanita SUPP Datin Jennifer Chee Moinie berkata, jika benar perkara itu berlaku maka ia amat tidak adil bagi ahli dan penyokong parti.

“Berikutan proses persempadanan semula terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Bengoh yang kini dikenali sebagai Mambong merupakan kerusi tradisi SUPP sejak tahun 1970-an lagi dan ia juga tidak selaras dengan formula perkongsian kuasa BN yang tidak bersetuju untuk meletakkan calon BN terus di Mambong."

“Ini kerana kerusi itu adalah milik parti komponen BN yang sedia ada dan menjadi penghinaan kepada mana-mana parti komponen .. mengapa meletakkan calon BN terus apabila kita mempunyai calon-calon kita sendiri daripada parti-parti komponen?

“Jika ini berlaku, ia boleh melemahkan peluang BN untuk memenangi kerusi itu,” katanya pada ‘BN Unity Dinner’ yang dihadiri oleh lebih 50 ahli parti komponen BN di Mambong.

Riot yang juga dipetik di akhbar Utusan Borneo sebagai berkata, sebagai timbalan presiden dan ketua Unit Bumiputera SUPP, beliau telah diberi mandat oleh Ketua Menteri untuk menyelesaikan isu SUPP selain mencadangkan calon yang bersesuaian bagi Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Saya harus akui tugas itu tidak mudah tetapi keputusan perlu dibuat ... bagi SUPP pada persidangan perwakilan tahunan pada bulan Ogos 2015, para perwakilan telah meluluskan resolusi bahawa parti menolak cadangan UPP (Parti Rakyat Bersatu) mengenai isu rundingan kerusi.

“Parti telah memberitahu bahawa ia akan bertanding di semua 19 kerusi tradisi SUPP serta dua kerusi baharu,” kata Riot lagi.

Petikan dari penulisan Dr. Awang Azman Awang Pawi di Utusan Malaysia bertarikh Februari 07, 2016 menyatakan, BN Sarawak sebenarnya kini sedang bergelut dengan krisis dalam politik sesama komponen mahupun "rakan mesra" BN selepas SUPP berpecah dan serpihan dalam parti membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang terajui oleh Datuk Seri Wong Soon Koh yang pernah menerajui SUPP.

Manakala, ketidaksehaluan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengakibatkan ianya turut berpecah dan melahirkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang kini diterajui oleh Tan Sri William Mawan yang pernah menjadi Presiden SPDP.

Kedua-dua parti ini mendakwa menjadi "rakan mesra" BN dan hal ini sudap pastinya menimbulkan masalah dalam pembahagian kerusi. 

Parti SUPP dan SPDP berkeras mahu mengambil kerusi yang merupakan hak parti tersebut manakala ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menyertai parti TERAS dan UPP pula mahu bertanding atau meletakkan calon mereka atas tiket parti serpihan tersebut.

Sudah pasti, agak sukar untuk menangani konflik tersebut dan dalam majlis ulang tahun SUPP ke-56, Presiden SUPP, Senator Sim Kui Hian berikrar tidak akan menyerahkan 19 kerusi yang merupakan kerusi asal SUPP dan jelas ini merupakan suatu reaksi yang agak keras.

Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing juga menyatakan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana bukan ahli SPDP untuk mengambil kerusi milik asal SPDP dan sudah pastinya, ini akan merumitkan keadaan di Sarawak.

Pertandingan tiga penjuru boleh berlaku sekiranya tidak ada kompromi antara parti SUPP dengan UPP mahupun SPDP dengan UPP dan malah pertandingan empat penjuru juga berlaku sekiranya parti DAP dan PKR tidak ada persefahaman pada saat-saat akhir. 

Meskipun BN mempunyai peluang yang cerah, namun undi pasti merosot atau merudum mahu pun tewas.

Bagi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sudah pastinya mahu membuktikan rakyat Sarawak memberi mandat sepenuhnya kepada beliau pada pilihanraya yang pertama yang beliau menjadi KM pada PRN11 Sarawak nanti.

Menurut Dr. Awang lagi, strategi Adenan dapat dilihat apabila beliau dengan tegas menyatakan akan memastikan hanya satu calon BN dalam 82 kerusi yang dipertandingkan oleh BN. 

Hal ini bermakna UPP dan TERAS turut mendapat pembahagian kerusi walaupun kurang disenangi oleh SPDP dan SUPP. Beliau sedar formula yang pernah digunakan oleh Taib kurang sesuai kerana ketika era tahun 1980-an DAP tidak begitu dominan manakala PKR belum lagi ditubuhkan.

Ketika ini lawan sengit ialah DAP dan PKR. Difahamkan perundingan dengan parti komponen BN akan terus berlangsung sehingga pada saat-saat akhir penamaan calon. 

Adenan sendiri secara terus terang pernah menyatakan, jika BN Sarawak mahu menang pada PRN11 Sarawak, semua pihak, termasuk SUPP, UPP, SPDP dan TERAS harus mengikut formula yang beliau ilhamkan nanti.

Persoalannya kini, apakah SUPP, UPP, SPDP dan TERAS akan akur akan arahan Adenan atau sebaliknya? Kita tunggu.. -UnReportedNews™®

Wednesday, 3 February 2016

PRN11 Sarawak : Serahkan Kembali Kerusi DUN Bekenu Kepada PBB


BEKENU: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu mahu kerusi terbabit yang kini masih milik Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dikembalikan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Veteran PBB Bekenu Mansor Mahdar, 61, berkata ini penting bagi meredakan keadaan politik di kawasan itu yang kini masih tegang dengan status sebenar kerusi itu ekoran penyandangnya ‘melompat parti’.

“Sebagai jalan penyelesaian, kerusi itu harus dikembalikan kepada PBB kerana faktor utamanya kebanyakan pengundi di kawasan itu adalah penyokong kuat PBB,” kata-nya di sini, semalam.

Mansor berkata sekiranya rundingan pertukaran kerusi itu berjalan lancar maka pihak terbabit akan menamakan beberapa calon berpotensi mewakili Barisan Nasional (BN) di situ.

Antara calon yang disebut-sebut berpotensi ialah Datu Jumastapha Lamat, Kaunselor Annuar Ahmad, Sarkawi Suhaili dan Ali Usop Sual.

Mansor berkata dengan kedudukan PBB Bekenu semakin kukuh maka sudah cukup untuk pihaknya menggerakkan jentera pilihan raya bagi memberi kemenangan kepada calon PBB.

“Secara peribadi meletakkan calon PBB di kerusi Bekenu bukan kerana ada agenda tersembunyi tetapi disebabkan kawasan berkenaan padat dengan penyokong PBB dan keberangkalian untuk menang adalah besar,” jelasnya.

Beliau juga setuju dengan keputusan mesyuarat jentera pilihan raya PBB Ranting Bekenu mahu kerusi DUN Bekenu diserahkan kepada PBB.

“Kami sentiasa memberi sokongan padu bagi membolehkan calon BN menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti dan kali ini biarlah calon PBB sendiri bertanding di sini (Bekenu),” jelasnya.

Cadangan itu adalah langkah terbaik memastikan kestabilan politik di DUN Bekenu sekali gus merancakkkan pembangunan di kawasan luar bandar.

Untuk rekod, kini berlaku perebutan kerusi antara SPDP dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) tetapi ahli-ahli PBB Bekenu mahu kerusi DUN tersebut diserahkan kepada parti asalnya, PBB.

Sehubungan itu, keputusan bagi status sebenar kerusi DUN Bekenu hanya di tangan Pengerusi BN Sarawak merangkap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem. - UB

-UnReportedNews™®

Saturday, 6 December 2014

KM Janji Wakil Rakyat SPDP Baru Dalam Kabinet Sarawak Selepas Rombakan


Satu rombakan Kabinet negeri akan dibuat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 nanti dan beberapa orang wakil rakyat Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang baru dijangka akan disenaraikan di dalam Kabinet negeri.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem dalam ucapannya berjanji akan menyenaraikan beberapa orang wakil rakyat di dalam Kabinet Negeri setelah mengadakan rombakan kabinet selepas PRN Sarawak ke-11 nanti.

Adenan, yang juga Pengerusi BN Negeri berkatan demikian dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali SPDP di Bintulu hari ini.

"Jawatan Kabinet tidak boleh diberikan kepada wakil-wakil SPDP sekarang kerana wakil rakyat yang bersama-sama dengan SPDP telah meninggalkan untuk menyertai parti lain."

Dalam PRN Sarawak ke-10 yang lepas, SPDP bertanding lapan kerusi dan memenangi enam, iaitu Bekenu, Tasik Biru, Marudi, Batu Danau, Pakan dan Meluan sementara tewas dalam pertandingan di Ba'Kelalan dan Krian.

Lima daripada wakil rakyat, iaitu Hajah Rosey Yunus (Bekenu), Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie (Marudi), Paulus Gumbang (Batu Danau) dan Tan Sri Datuk Seri William Mawan (Pakan), yang juga bekas Presiden SPDP telah menyertai parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) manakala Wong Judat (Meluan) menyertai parti Pekerja Sarawak (SWP). 

Hampir semua bekas wakil rakyat SPDP (kini Teras) memegang jawatan dalam Kabinet Sarawak sekarang.

Baru-baru ini, Presiden Teras Tan Sri Datuk Seri William Mawan telah membuat permohonan agar Teras menyertai BN pusat.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden BN dan Pemangku Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing.

-UnReportedNews™®

Tuesday, 5 August 2014

JANGAN NAK MENYIRAM MINYAK KE DALAM API, KM AKAN SELESAIKAN KEMELUT BN SARAWAK DALAM MASA TERDEKAT

MALAYSIA BOOK OF RECORDS: Adenan, Jamilah, Dr Annuar, Abang Johari dan Fadillah bersama-sama memotong pulut panggang terbesar dan terpanjang yang berukuran 22sm diameter, 5.5m panjang serta seberat 160kg pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Sibu semalam. — Gambar Bernama
Terdapat beberapa pihak termasuk dari parti komponen BN Sarawak sendiri bagaikan agak tidak senang dengan cara Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Haji Adenan Satem menangani kemelut yang kini melanda SPDP dan SUPP.

Berselindungkan di sebalik Page Facebook, (malas aku nak spesifikasikan secara terperinci buat masa ini) admin-admin page ini bagaikan cuba membakar amarah rakyat Sarawak khususnya penyokong-penyokong Barisan Nasional Sarawak dengan pelbagai sentimen seperti KM "masih sanggup menerima "pembangkang", Presiden Teras Tan Sri Datuk Sri William Mawan dan Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh" ke dalam kabinet BN Sarawak.

Adenan lebih arif dengan permainan politik Sarawak ini, jauh lebih dari admin-admin tersebut maka sepatutnya (jika benar anda penyokong setia BN yang tiada niat jahat yang lain), beliau harus diberi peluang dan masa yang secukupnya untuk melaksanakannya dengan cara beliau sendiri.

Janganlah ada pula pihak, lebih-lebih lagi dari parti komponen BN Sarawak sendiri yang cuba mengeruhkan lagi keadaan yang mungkin akan merugikan kita sendiri dan memberi kelebihan kepada pembangkang.

"NAKPA COBA DIPOLAH KO YA POK?"

SIBU: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berharap pertelingkahan yang berlaku antara Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dengan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) akan diselesaikan dalam masa terdekat bagi menjamin kebaikan kerajaan negeri.

“Pertelingkahan antara SPDP dan TERAS serta pertelingkahan SUPP dengan UPP sedikit sebanyak melemahkan pendirian parti.

“Akibatnya ia akan melemahkan pendirian bangsa itu sendiri dan pembangkang yang mendapat manfaatnya,” katanya.

Sehubungan itu Adenan berharap beliau diberi masa untuk menyelesaikan masalah yang terjadi antara SPDP dan TERAS serta SUPP dan UPP.

“Saya akan selesaikan masalah antara SPDP dan TERAS serta masalah SUPP dan UPP. Tetapi, bagi saya masa kerana saya tidak dapat selesaikan masalah tersebut secara serentak,” katanya pada Majlis Ramah- Tamah Aidilfitri di sini semalam.

Namun Adenan menambah kata, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak menghadapi sebarang masalah sesama parti pada masa ini.

Pada majlis sama Adenan turut meluahkan rasa terima kasih kepada rakan kabinet kerana sentiasa memberi sokongan kepadanya sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negeri Sarawak.

“Tanpa sokongan diberi oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Alfred Jabu dan Datuk Amar Abang Johari, Datuk Amar Awang Tengah, Tan Sri James Masing, Tan Sri William Mawan Ikom dan Dato Sri Wong Soon Koh pasti sukar untuk saya menguruskan pentadbiran negeri dengan telus,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa Sarawak tidak pernah menyertai Malaysia kerana tiada negara bernama Malaysia sebelum September 1963 dan Malaysia hanya menjadi kukuh selepas Sarawak, Sabah dan Singapura bersetuju bergabung membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata kerajaan meluluskan 600 ekar tanah untuk mewujudkan kampung moden dalam masa beberapa tahun.

Pada majlis itu, Adenan menyerahkan replika cek bernilai RM500,000 kepada Dr Annuar untuk infrastruktur perkuburan Islam baharu di Kemunyang serta RM500,000 lagi untuk menaik taraf Masjid An-Nur Sibu.

Hadir sama isteri Adenan Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan Menteri Muda Promosi Pendidikan Teknikal Datu Len Talif Salleh. (sumber

-UnReportedNews™®

Sunday, 27 July 2014

TERAS AKAN TENTANG SPDP PADA PILIHAN RAYA JIKA PERLU

-KATA "BN FRIENDLY", TAPI BERTEKAD NAK MENENTANG PARTI KOMPONEN BN SARAWAK YANG SEDIA ADA DALAM PILIHANRAYA NANTI .. HMM .. MACAM CAKAP TAK SERUPA BIKIN JER! KEKEKE!!!-


KUCHING: Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Tan Sri William Mawan Ikom berkata beliau bersedia untuk melakukan apa sahaja demi mempertahankan parti.

Malah, menurut Mawan, mereka bersedia mencabar Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang jika itu yang mereka perlu lakukan.

Bagaimanapun, beliau berkata, parti akan menyerahkan segalanya kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang menjadi ketua mereka.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada parti bersedia untuk sebarang pertandingan secara terus menentang parti komponen BN pada PRN akan datang khususnya SPDP.

“Bayangkan apabila sesuatu itu dapat dipakejkan semula, ia mencerminkan kebolehan kami yang amat tinggi untuk menggerakkan sesuatu. Sebab itulah kami wujud. Saya rasa kami berhak wujud dan pergi jauh,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial berkata, TERAS lebih daripada sekadar mesra BN.

“Kami berada dalam BN dan akan sentiasa bersama BN, jadi tiada siapa yang boleh mengatakan bahawa kami tidak mesra BN.

“Dan setakat ini kami kukuh sepenuhnya dalam kabinet,” ujar Mawan.

Maka itu, katanya, ahli dan rakan dalam BN seharusnya berhenti berdendam terhadap mereka kerana mereka adalah rakan dan bukan musuh.

“Saya ingin menyampaikan mesej ini kepada saudara, ahli atau rakan dalam BN bahawa mereka tidak harus takut terhadap kami.

“Mereka tidak harus bimbang mengenai kami kerana kami bukan musuh anda tetapi rakan. Untuk bertindak sebaliknya bermakna mewujudkan lebih banyak masalah,” tegasnya.

Sebagai parti serpihan SPDP, katanya, adalah semula jadi bagi TERAS untuk menghadapi konfrontasi secara terus daripada bekas parti, tetapi bukan parti lain.

“TERAS adalah lebih daripada parti serpihan SPDP dan kita mungkin akan menyaksikan konfrontasi secara terus. Kita boleh memahami keadaan ini tetapi anda tidak boleh menghalang kami daripada menjalankan tugas kami.

“Dan jika boleh apa sahaja yang ada dalam SPDP kita mahu ia diambil alih oleh TERAS.

“Bagi SPDP untuk berkonfrontasi secara terus dengan kami, kami dapat memahaminya tetapi mereka yang tiada urusan dengan kami tetapi melemparkan hinaan dan dakwaan saya rasa adalah tidak wajar,” ujarnya. (sumber)  

-UnReportedNews™®

Friday, 20 June 2014

BARISAN NASIONAL SARAWAK KINI DALAM DILEMMA?


Ditelan mati emak, diluah mati bapa, begitulah gambaran UnReportedNews™® meninjau perkembangan lanskap politik Barisan Nasional (BN) Sarawak terkini dengan kewujudan parti baru iaitu Parti Tenaga Rakyat (TERAS).

Masakan tidak, tika dan saat ini, TERAS sedang "mengintai" ruang dan peluang untuk menyertai BN Sarawak namun umum tahu (seperti yang tersirat dalam perlembagaan BN) untuk menjadi parti komponen baru BN, ianya perlu mendapat "restu" dari semua parti-parti komponen BN.

Untuk empat parti komponen BN Sarawak yang sedia ada, selain dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bagaikan memilih untuk "berdiam diri" mengenai perkara ini, Parti Demokratik Progressif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan lantang telah menyuarakan pendirian mereka yakni mereka tidak akan sesekali menerima TERAS sebagai rakan parti komponen BN Sarawak mereka, malah mereka juga bertekad jika perlu, mereka tidak akan teragak-agak "menentang" TERAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan dalam setahun dua ini.

Secara umum, TERAS dilihat bukanlah sebuah parti yang calang-calang kerana ianya diketuai oleh bekas Presiden SPDP yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri Datuk Sri William Mawan Ikom serta dianggotai oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti dan bekas Pengerusi SUPP Sibu Dato Seri Wong Soon Koh, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri, Menteri Muda Pendidikan Awal Rosey Yunus dan Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr. Jerip Susil, Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Adun Pelagus George Lagong.

Sejujurnya, pandangan UnReportedNews™® yang tidak seberapa ini, dalam hal ini, berpegang kepada perinsip adalah jalan yang terbaik sekali dimana sesuatu perlembagaan dan undang-undang yang dicipta oleh manusia itu sendiri haruslah di patuhi. Yang tidak dibolehkan seharusnya tetap tidak dibolehkan, jangan kerana sesuatu situasi atau keadaan maka undang-undang atau perlembagaan itu di "bengkok"kan dan tidak berlandaskan dengan undang-undang atau perlembagaan yang sedia ada.

Mungkin pandangan UnReportedNews™® ini akan mendapat reaksi yang negatif dari sesetengah pihak namun ini adalah realiti kerana sekiranya BN Sarawak tidak mematuhi perlembagaan mereka sendiri, ianya mungkin akan menjadi "benchmark" serta memulakan "trend yang baru" pada masa yang akan datang dimana sekiranya ada ahli-ahli parti komponen BN yang tidak bersependapat lagi, mereka akan dengan senang-lenang keluar dari parti komponen BN yang sedia ada untuk mewujudkan sebuah parti yang baru sebelum memohon kembali sebagai sebuah parti komponen BN.

Walaubagaimanapun, UnReportedNews™® tetap yakin Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem menpunyai resolusinya yang tersendiri dalam permasalahan ini di mana beliau akan "menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak" untuk menyelesaikannya dengan cara yang bijaksana bagi pihak-pihak yang berbalah agar tidak merugikan BN Sarawak dan sebaliknya, akan menguntungkan pula pihak pembangkang.

-UnReportedNews™®

Wednesday, 11 June 2014

JAMINAN MP BARAM TIDAK AKAN SERTAI TERAS & SETIA KEPADA SPDP/BN

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Baram Anyie Ngau hari ini menjelaskan bahawa beliau masih menganggotai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan setia terhadap kepimpinan Ketua Menteri yang baharu, Tan Seri Adenan Satem.

Wakil rakyat Barisan Nasional bagi penggal pertama itu berkata beliau tidak pernah bercadang meninggalkan SPDP atau memohon untuk menyertai parti lain.

"Saya ingin menjelaskan di sini kedudukan saya sebagai wakil rakyat bagi Baram... ada khabar angin yang menyatakan bahawa saya sudah meninggalkan SPDP. Saya masih menganggotai SPDP dan wakil rakyat BN. Tak mohon untuk sertai mana-mana parti selain SPDP.

"Saya menyokong Ketua Menteri Sarawak yang baharu dan Pemangku Presiden baharu SPDP (Datuk Seri Tiong King Sing) kerana kami di bawah payung BN," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, Isnin.

Bulan lepas, Ngau dan sepuluh lagi wakil rakyat BN dilaporkan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) bersama-sama bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dan pemimpin kanan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Wong Soon Koh.

Ditanya kehadiran beliau pada sidang akhbar TERAS, Ngau berkata: "Maafkan saya, saya masih terlalu baharu dalam politik," dan enggan mengulas lanjut. -BERNAMA

-UnReportedNews™®

Tuesday, 10 June 2014

PRS, SPDP & SUPP MENENTANG TERAS SERTAI BN, PBB?!


Impian Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) pasti menemui ‘jalan mati’.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing yang memberitahu, tiga daripada empat parti komponen BN di negeri ini tidak menyokong parti itu menyertai BN.

“PRS, SPDP dan SUPP menentang TERAS menyertai komponen BN dan hanya PBB yang belum membuat kenyataan secara umum mengenai perkara ini.

“Bagaimanapun, untuk menjadi komponen BN ia memerlukan 100 peratus persetujuan semua pihak (parti komponen lain), namun permohonan TERAS untuk menyertai BN hanya menemui jalan mati,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kelmarin.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata TERAS akan menjadi tentangan kepada SUPP dan SPDP pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“TERAS akan menentang SUPP (19 kerusi DUN) dan SPDP (lapan kerusi) menggunakan simbol masing-masing dan parti yang menang akan menyertai BN.

“Itulah formula yang diguna pakai untuk BN Plus 1983 lalu seperti PBDS menentang SNAP dahulu,” jelasnya.

Namun, beliau memberitahu bahawa pemenang yang sebenar adalah pembangkang kerana berjaya menghuru-harakan BN sendiri. (sumber)  

-UnReportedNews™®

Monday, 19 May 2014

FITNAH KE ATAS TERAS BERMULA?

-BELUM APA-APA LAGI, PARTI TERAS TELAH DI FITNAH SEBAGAI PARTI RASIS YANG BERKEPENTINGAN UNTUK KAUM DAYAK SAHAJA! DENGKI LAH TU! KEKEKE!!!-


Surat layang ini dikatakan telah diedarkan di Bandaraya Kuching memburukkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang baru di anggotai bekas Presiden Parti Demokratik Progressif Sarawak (SPDP) yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri Datuk Sri William Mawan Ikom.

Surat tersebut secara terang-terangan memburukkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan komuniti dan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sibu Dato Seri Wong Soon Koh serta tidak menggalakkan ahli-ahli SUPP menyertai TERAS dengan alasan berbaur perkauman.

Sekata ini, TERAS dianggotai Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri, Menteri Muda Pendidikan Awal Rosey Yunus,  ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan ADUN Pelagus George Lagong.


Sementara itu, siang tadi Pengerusi SPDP Bahagian Pending Athanasius Audie Chua berserta semua ketua sayap wanita, pemuda, putera dan puteri SDPD Bahagian Pending telah meletakkan jawatan secara rasmi untuk mengikuti langkah Mawan menyertai TERAS.

"Setakat ini 86 ahli SPDP Bahagian Pending telah mengembalikan kad keahlian SPDP mereka untuk menyertai TERAS," kata Audie sambil menegaskan penyertaan mereka ini bukanlah untuk "mencari musuh" namun  atas dasar kepercayaan dan kesetiaannya kepada kepimpinan Mawan.

-UnReportedNews™®

Saturday, 17 May 2014

"PENGKHIANATAN" DALAM SPDP TELAH DIKESAN AWAL OLEH G5?

-JIKA DIKAJI KEMBALI PUNCA MENGAPA G5 MENINGGALKAN SPDP DULU, IANYA MENJURUS KEPADA KETIDAKSENANGAN MEREKA KEPADA PEMIMPIN NOMBOR DUA SPDP YANG DIKATAKAN SERINGKALI TINDAKANNYA MENJANGKAUI MAWAN, PRESIDEN SPDP SENDIRI! KEKEKE!!!-


Bekas Presiden Parti Demokratik Progressif Sarawak (SPDP) yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri Datuk Sri William Mawan Ikom perlu bersyukur kerana mempunyai sahabat-sahabat politik yang setia, yang sentiasa menyokongnya walau dalam apa keadaan pun.

Syabas buat Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri, Menteri Muda Pendidikan Awal Rosey Yunus dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, iaitu empat dari anggota G5 kerana bukan saja begitu ikhlas bergabung kembali dengan Mawan malah  merelakan Mawan mengetuai parti baharu mereka iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Setakat ini, TERAS juga dianggotai oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan komuniti dan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sibu dan ADUN Pelagus George Lagong.

UnReportedNews™® dimaklumkan oleh sumber dalaman SPDP iaitu rancangan "penyingkiran Mawan" sebenarnya telah lama dikesan olah anggota-anggota G5 (termasuk bekas MP Mas Gading Datuk Tiki Lafe) dan ianya dimulakan dengan menyingkir "mereka-mereka" yang setia dengan Mawan dalam Pemilihan Agung SPDP yang lampau menjurus dengan tindakan G5 meninggalkan SPDP.

Dikatakan juga, Mawan sebenarnya telahpun diberi "amaran" mengenai perkara ini namun beliau tidak mengendahkannya kerana begitu yakin dia dapat "mengawal" keadaan sehingga ianya sudah terlambat.

Dalam masa yang sama, "pengkhianat-pengkhianat Mawan" dalam SPDP dikatakan juga telah mengatur langkah untuk mencari penganti-panganti empat orang ADUN dan seorang MP G5 namun rancangan mereka terbantut setelah Mawan menerima empat ADUN G5 untuk kembali ke SPDP.

Oleh kerana tiada pilihan yang lain, "pengkhianat-pengkhianat" SPDP terpaksa membuat satu lagi rancangan untuk "menyingkirkan" Mawan dari jawatan Presiden dalam Pemilihan Agung SPDP yang dijadual berlangsung minggu hadapan untuk memastikan rancangan mereka berjaya.

Syabas dan tahniah kepada Mawan dan TERAS, lebih-lebih lagi dengan respon yang begitu positif yang telah ditunjukkan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Saten di atas sokongan terbuka TERAS kepada Barisan Nasional Sarawak.

Namun, secara jujur UnReportedNews™® berpendapat, Mawan seharusnya juga membuka pintu untuk menerima bekas MP Mas Gading Datuk Tiki Lafe agar menyertai TERAS agar TERAS terus menjadi lebih mantap dan di terima oleh rakyat Sarawak.

PS: Admin UnReportedNews™® mendaftar sebagai pengundi di Bintulu, mohon maaflah jika keadaan berterusan sebegini, tak jadi kawan nak mengundi pada PRU nanti .. KEKEKE!!!

-UnReportedNews™®

Friday, 16 May 2014

RAHSIA SEBENAR MENGAPA MAWAN TINGGALKAN SPDP?

-TINDAKAN TERSEBUT DIKATAKAN DI AMBIL UNTUK MENGELAKKAN BELIAU DISINGKIR DALAM PEMILIHAN AGUNG SPDP YANG TELAH DIJADUAL BERLANGSUNG PADA MINGGU HADAPAN-


Tindakan Presiden Parti Demokratik Progressif Sarawak (SPDP) yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri Datuk Sri William Mawan Ikom melepaskan jawatannya telah dikatakan untuk menjaga air mukanya sendiri.

Terkini, sumber dalaman telah memaklumkan UnReportedNews™® bahawa terdapat desas-desus mengatakan terdapat satu rancangan untuk "menyingkirkan" Mawan dari jawatan Presiden dalam Pemilihan Agung SPDP yang dijadual berlangsung minggu hadapan.

Difahamkan juga, rancangan untuk menyingkirkan Mawan telah didalangi oleh beberapa "orang kuat" SPDP sendiri kerana tindakan Mawan menerima kembali anggota-anggota G5 ke pangkuan SPDP tidak berapa lama dahulu.

Semalam, Mawan menyatakan keputusan itu dibuat berikutan kemelut yang melanda SPDP yang diterajuinya 10 tahun yang lalu menemui jalan buntu diikuti dengan pengumuman enam Menteri kabinet negeri Sarawak keluar parti mengikuti langkah Mawan.

Selain Mawan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan komuniti dan pengerusi parti Rakyat Bersatu Sarawak cawangan Sibu, Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda kemudahan Awam, Datuk Sylvester Entri, Menteri Muda Pendidikan Awal, Rosey Yunus dan Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr. Jerip Susil, Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Adun Pelagus George Lagong turut membuat keputusan keluar parti.

Pengumuman ini dibuat dalam sidang media tergempar yang diadakan sejurus berakhirnya persidangan dewan undangan negeri Sarawak semalam juga telah menyatakan mereka akan bergabung untuk membentuk sebuah parti baharu iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List