Showing posts with label JKR. Show all posts
Showing posts with label JKR. Show all posts

Monday, 1 July 2013

NAIKTARAF JALAN PAN BORNEO SARAWAK AKAN SIAP PADA 2015

-KERAJAAN AKAN FOKUS DALAM USAHA MENAIK-TARAFKAN JALAN PAN BORNEO SIBU-BINTULU-MIRI YANG DIJANGKA SIAP DALAM TEMPOH DUA TAHUN INI-

SUMBANGAN: Fadillah (kiri) menerima replika cek sumbangan bernilai RM10,000 daripada wakil Persatuan Nelayan Negeri Sarawak untuk Tabung Mangsa Kebakaran Kampung Datu, Lama, Sibu sambil disaksikan oleh Mokhtar (tengah)
Kerja-kerja menaik taraf laluan Jalan Pan Borneo menghubung­kan Sibu, Bintulu dan Miri merupakan fokus utama kerajaan yang dijangka siap menjelang 2015.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof yang dilaporkan Utusan Borneo sebagai berkata, la­luan itu diberi keutamaan kerana memberi impak positif kepada kerajaan terutama pelaksanaan Koridor Tena­ga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di tiga kawasan terbabit.

“Beberapa bahagian kerja-kerja menaik taraf di Bintulu dan Miri sudah siap.

“Diharapkan kerja-kerja menaik taraf dapat disiapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya se­lepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Sarawak semalam.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) ber­janji untuk menaik taraf Jalan Pan Borneo dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) namun pelaksanaan­nya dijalankan secara berper­ingkat dalam tempoh lima tahun.

Selain laluan di Sibu, Bin­tulu dan Miri, Fadillah men­jelaskan bahawa tumpuan kerajaan seterusnya adalah untuk menaik taraf laluan antara Serian dan Betong serta mewujudkan laluan memotong.

“Pelaksanaan kerja me­naik taraf Jalan Pan Borneo akan siap secara berpering­kat. Kita perlu menunggu pengumuman bajet yang diluluskan.

“Kerja menaik taraf akan disiapkan bergantung ke­pada bajet yang diluluskan,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut­nya, beliau bukan orang yang layak mendedahkan jumlah peruntukan yang dipohon kerajaan negeri dan ia hanya akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila membentang­kan Belanjawan 2014.

“Peruntukan bajet yang diluluskan mungkin lebih atau kurang dan kita tidak pasti perkara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk membatal­kan kontrak dan pendaftaran kontraktor sekiranya gagal menyiapkan projek.

“Kira-kira 10 peratus kon­traktor gagal menyiapkan pro­jek seperti yang dikehendaki,” kata Fadillah.

Terlebih dahulu dalam ucapannya, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mengingatkan kontraktor yang dilantik oleh kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek bagi mengelak daripada kegagalan dan dipersoalkan oleh rakyat.

Dia berkata rakyat akan mempersoalkan dasar kerajaan jika kontraktor yang telah dilantik gagal melaksanakan projek.

Justeru tegasnya, kontraktor perlu melaksanakan sebaik mungkin projek yang telah diamanahkan agar tidak dipersoalkan oleh rakyat jika berlaku kegagalan.

“Kerajaan komited dalam membantu kontraktor khasnya Bumiputera dalam pelaksanaan apa sahaja projek seperti jalan, bangunan dan sebagainya.

“Dengan sejumlah peruntukan yang besar, jika terdapat masalah disebabkan kecuaian kontraktor, rakyat akan menuding jari kepada kerajaan.

“Sebab itu, pelbagai bentuk kursus diadakan oleh kerajaan menerusi pelbagai agensi bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran para kontraktor,” katanya.

Kursus tersebut merupakan anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dengan kerjasama Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dan PKMM Negeri Sarawak.

Fadillah menambah, kerajaan pusat berkemungkinan besar akan memperuntukkan sejumlah RM3 bilion tahun depan bagi projek-projek infrastruktur.

Justeru beliau berharap para kontraktor khasnya Bumiputera merebut peluang membida projek-projek berkenaan meskipun hanya membabitkan projek berskala kecil.

Sementara itu Pengarah PKK Yahaya Hasan berkata hasil daripada tinjauan mendapati terdapat segelintir kontraktor Gred G1 hingga G7 bertindak memberi subprojek kepada pihak ketiga.

Katanya jika terbukti, pihak PKK tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada kontraktor terlibat selain menarik balik lesen.

Mengulas mengenai kursus selama dua hari itu, ia dihadiri seramai 120 orang kontraktor daripada Gred G1 hingga G7 dan kontraktor-kontraktor akan diberi 20 mata CCD bagi tujuan pembaharuan lesen di peringkat CIDB manakala kursus ini akan diguna pakai untuk memperbaharui Sijil Taraf Bumiputera kontraktor PKK.

Kursus ini juga merupakan salah satu usaha PKK dalam memberi pengetahuan kepada kontraktor berhubung pengurusan dan pengukuran kuantiti dalam projek pembinaan.

Setakat ini PKK Negeri Sarawak telah menjayakan enam siri kursus di seluruh daerah di negeri ini.

Pada akhir kursus, kontraktor akan diberikan surat pengesahan kehadiran berkursus dan sijil kursus masing-masing yang akan dimuat naik dalam portal PKK iaitu pkk.kkr.gov.my dalam masa seminggu dari tarikh akhir kursus.

Turut hadir Presiden PKMM Datuk Mokhtar Samad dan Yang Dipertua PKMM Negeri Sarawak Abang Naseer Abang Hadari.

-UnReportedNews™®

Friday, 7 June 2013

PASUKAN PENYIASAT BEBAS SIASAT TRAGEDI RUNTUHAN

-MAYAT LELAKI YANG DIKENALI SEBAGAI TAJUDDIN ZAINAL ABIDIN BERJAYA DIKELUARKAN LEWAT MALAM TADI! AL FATIHAH-

Fadillah
Sebuah pasukan penyiasat bebas terdiri kumpulan pakar akan diwujudkan untuk mengenal pasti sama ada runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang baru-baru ini  disebabkan ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), kompetensi pekerja ataupun masalah lain.

Menteri Kerja Raya Datuk Haji Fadillah Yusof berkata punca sebenar insiden runtuhan  perlu segera dikenalpasti lagi mengelak kejadian seumpamanya berulang dan kita kena kaji keseluruhan insiden untuk dijadikan rujukan jangka panjang dan ekiranya melibatkan kelemahan daripada segi SOP maka kita kena cari jalan untuk tambah baik.

Fadillah yang ditemui UnReportedNews™®  di Bandaraya Kuching sebentar tadi mengatakan walaupun aspek keselamatan di tapak pembinaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Kementerian Sumber Manusia, namun pihaknya masih perlu menjalankan siasatan memandangkan semua lebuh raya di negara ini dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di bawah kementeriannya.

Sementara itu, Bernama melaporkan mayat lelaki yang terperangkap dalam timbunan runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dalam pembinaan di Batu Maung, di sini, berjaya dikeluarkan pada pukul 8.45 malam Jumaat.

Mayat dikeluarkan anggota pasukan keselamatan dan terus dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Seorang ahli keluarga pengsan setelah mengeluarkan mayat mangsa yang 
terperangkap dalam runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua 
Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di  Batu Maung,  Jumaat. 
-fotoBERNAMA
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mangsa dikenali sebagai Tajuddin Zainal Abidin, 45 dan tinggal di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.

Beliau berkata mayat itu dicam oleh isteri dan abang mangsa di tempat kejadian setelah Tajuddin yang menaiki kereta jenis Kelisa tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.

Mayatnya ditemui dalam keadaan tunduk di tempat duduk pemandu dan keretanya remuk akibat dihempap tanjakan konkrit itu.

"Pada sebelah petang tadi, abang mangsa ada datang ke lokasi dan membuat pengecaman berdasarkan pakaian yang dipakainya itu adalah adiknya dan selepas mayat dikeluarkan, isteri mangsa sekali membuat pengecaman dan mengaku lelaki yang memakai pakaian itu adalah suaminya," katanya pada sidang media di sini malam Jumaat.

Abdul Rahim berkata bagaimanapun pengecaman bagi mengenal pasti identiti mangsa akan dibuat di bilik mayat HPP dan bedah siasat dijalankan pada pukul 10.30 malam ini.

Katanya operasi mencari dan menyelamat diteruskan berikutan beberapa maklumat yang di perolehi memaklumkan ada mangsa lain terlibat dalam kejadian runtuhan berkenaan.

"Kita tidak pasti sama ada maklumat (ada beberapa mangsa lain terlibat)yang dapat itu tepat atau tidak tetapi operasi akan diteruskan..

Setakat ini hanya satu laporan polis yang kita terima kehilangan anggota keluarga iaitu dari keluarga mangsa (Tajuddin)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Shoki Hamzah berkata pihaknya akan menggunakan unit anjing pengesan (K-9) esok bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat.

"Unit K-9 Kuala Lumpur akan datang membantu kita esok bagi mengesan mangsa yang mungkin masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan berkenaan," katanya.

Katanya setakat ini kerja-kerja pembersihan lokasi berlaku runtuhan berkenaan sedang dijalankan dan ia akan diteruskan sehingga selesai.

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List