Wednesday, 30 March 2016

Masalah Empat Parti Diselesai Sebelum Penamaan Calon


Masalah yang melibatkan empat parti di negeri ini akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu menegaskan bahawa masalah berkenaan melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta Parti Demokratik Progresif (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

“Perkara (masalah antara parti) ini akan diselesaikan sebelum penamaan calon… mereka akan menyelesaikan masalah antara satu sama lain, sama ada SPDP dan TERAS atau SUPP dan UPP.

“Bagi calon terus BN, sama ada mereka perlu meletak jawatan, perkara ini juga tetap akan terus diselesaikan walau apa sekalipun,” katanya pada sidang media semasa mengumumkan calon Parti Rakyat Sarawak (PRS) selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Ditanya mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Adenan yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) terus berteka-teki dengan tarikh berkenaan dan membayangkan beliau akan berjuma Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Abdul Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

“Dalam masa terdekat (perjumpaan dengan Tun Taib)… tidak ada guna untuk kita membuat spekulasi sekarang kerana ia semakin dekat,” tegasnya.

Malahan kata Adenan beliau bertemu dengan Tun Taib untuk mendapatkan perkenan bagi pembubaran DUN dan selepas itu ia bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan.

“Selepas mendapat nasihat daripada Yang di-Pertua Negeri bagi pembubaran DUN, speaker DUN akan memaklumkan kepada SPR tentang perkara ini dan dari situ SPR akan mengambil alih bagi menentukan tarikh PRN,” katanya.

Sementara itu Adenan turut mengumumkan senarai nama 11 calon dikemukakan oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) termasuk dua daripadanya adalah kerusi baharu.

Antara 11 calon berkenaan Tan Sri Datuk Amar James Masing bagi DUN Baleh, Datuk John Sikie Tayai (Kakus), Datuk Mong Dagang (Bukit Begunan), Wilson Nyabong Ijang (Pelagus), Liwan Lagang (Belaga), Malcom Mussen Lamoh (Batang Ai), Alexander Vincent (Ngemah) dan SnowdanLawan (Balai Ringin).

Sementara muka baharu, Christopher Gira calon di Tamin manakala dua calon bagi kerusi baharu, Majang Reggie (Samalaju) dan Chuk Pai Ugon (Murum).

“Mereka adalah antara sebahagian daripada pasukan saya sebagai calon Barisan Nasional yang dikemukakan PRS dan diterima saya,” katanya. - Utusan Borneo

-UnReportedNews™®

No comments:

Post a Comment

You can comment whatever you want here but UnReportedNews™® will not be responsible if in the occasion that any legal action are to be taken on the person commenting in by other parties. :)

-UnReportedNews™®

UnReportedNews™® Hot Sizzling Malaysian Counterparts List