KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tuduhan terhadapnya sebagai mulut
celupar seperti kenyataan daripada anak-anak muda di jalanan dan bukan
tindakan seorang pemimpin negara.
Menurutnya, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin
Yassin amat tidak wajar memandangkan beliau orang kedua pemimpin parti
dan negara.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada mulanya enggan mengulas, kerana tidak mahu melayan kenyataan seperti orang tidak cerdik itu.
Bagaimanapun, apabila ditanya lagi dia terus menjawab ringkas: “bukan taraf orang nombor dua untuk bercakap begitu”.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu
di pejabatnya petang semalam selepas mengadakan pertemuan dengan
pimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat berhubung Agenda Berkebajikan Wanita
Malaysia.
Katanya, kalau anak-anak muda di jalanan munasabah untuk keluar kenyataan sedemikian.“Tapi kalau orang nombor dua parti atau nombor dua pemimpin negara
memang bukan taraf dia,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan.
Kelmarin, pemimpin kedua parti Umno itu berkata Tuan Guru Nik Aziz
sebagai mulut celupar apabila mengatakan orang Melayu yang menyokong
Umno adalah mungkar.Hrkh