KUALA LUMPUR, 25 Ogos — Di sebalik kontroversi doa dan isu khutbah, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan mengapa salam baru — “Salam 1 Malaysia” yang turut didakwa mendoakan kesejahteraan rakyat termasuk masyarakat berbilang kaum tidak diharamkan jika ia bertentangan dengan hukum Islam.
Sehubungan itu, kata Asri (gambar), ahli-ahli politik tidak kira fahaman politik seharusnya mengelakkan fatwa-fatwa yang tidak konsisten yang beliau sifatkan sebagai “fatwa ala Taliban.”
Beliau percaya bahawa ekoran isu khutbah sekarang kemungkinan ada fatwa-fatwa baru akan dikeluarkan dan ia seharusnya tidak mencetuskan suasana “porak-peranda dan prejudis.”
“Demikian salam ciptaan baru ‘salam 1 Malaysia’ juga bermaksud kesejahteraan untuk semua termasuk bukan Muslim.
“Mengapa tidak diharamkan? Saya sekali lagi berpesan kepada diri saya sendiri yang amat daif ini: janganlah bersifat terpilih dalam berfatwa,” katanya.
“Salam 1 Malaysia” menjadi ucapan yang diamalkan sejak konsep 1 Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.
“Semua parti politik utama bagi orang Melayu dan Islam di negara ini iaitu Umno dan PAS hendaklah mengelakkan fatwa yang tidak serasi dengan keharmonian dan kehidupan negra ini, dalam konteks Malaysia... kerana Islam itu mengutamakan keamanan dan kedamaian,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.
Dalam tulisan terbaru di blognya, Asri menjelaskan, di Malaysia secara praktiknya, orang ramai sudah biasa dengan amalan memberi ucapan — terutama di media-media kerajaan — “assalamualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam”.
“Walaupun Nabi s.a.w — seperti riwayat al-Bukhari-dalam praktik baginda, jika ada bukan Muslim bersama dengan Muslim baginda hanya memberikan ‘assalamualaikum’ sahaja.
“Perkataan ‘assalamualaikum’ itu memang bermaksud ‘kesejahteraan ke atas kamu’. Namun, diulangi oleh amalan media kerajaan dan majlis-majlis kerajaan dengan ungkapan ‘salam sejahtera kepada yang bukan beragama Islam’,” katanya.
Justeru soal Asri, tidakkah “salam sejahtera kepada bukan beragama Islam” itu satu doa untuk mereka.
“Mengapa tidak difatwakan ia haram selama ini?” kata tokoh agama ini yang lazimnya melontarkan pandangan-pandangan dilihat ‘progresif’.