Nurul Izzah Anwar di pejabat Jais Shah Alam untuk member kenyataan
mengenai forum Sabtu lepas, 9 November 2012. — Gambar oleh Choo Choy May
SHAH ALAM, 9 Nov — Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bertemu dengan
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin
untuk memberikan penjelasan dan menyerahkan transkrip ucapannya
berhubung dengan forum yang menjadi kontroversi kerana dikatakan beliau
menyokong kebebasan beragama termasuk kepada orang Melayu-Islam di
negara ini.
“Saya telah memberikan aduan yang menyatakan penjelasan perkara sebenar kepada pengarah Jais, Datuk Marzuki.
“Dan Alhamdulillah Jais telah memberikan kerjasama yang baik,”
katanya ketika ditemui oleh pemberita selepas bertemu dengan Jais.
Nurul Izzah ditemani oleh peguamnya, Fadlina Sidik bertemu dengan
pengarah dan tiga orang penguatkuasa Jais turut menyatakan kerjasamanya
kepada badan penguatkuasa Islam negeri Selangor tersebut.
Fadlina memberitahu pemberita bahawa saman terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog akan tetap diteruskan kerana memutarbelitkan kenyataan beliau dalam sebuah forum minggu lalu.
Semalam, Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk
Zulkifli Noordin menyatakan kesediaannya untuk menyediakan peguam kepada
Utusan Malaysia jika disaman oleh Nurul Izzah.