oleh: Mat Zain Mat Isa
Belum apa-apa lagi, kemasukan sekumpulan anak muda lulusan agama ke dalam Umno minggu lalu telah mencalitkan imej negatif kepada parti itu. Biar pun media arus perdana kroni Barisan Nasional (BN) sedaya mungkin cuba memanipulasi peristiwa itu bagi memberikan gambaran positif buat Umno, cerita dan ulasan mengenai detik dianggap bersejarah itu turut mempamerkan sebaliknya.
Jumaat (25 Jun) lalu, kumpulan yang mendakwa mewakili 40 ulama muda itu menyerahkan borang keahlian Umno kepada presiden parti, Dato’ Seri Najib Razak. Menurut jurucakap kumpulan itu, penyertaan mereka bukan berlandaskan politik, tetapi lebih didorong sikap optimis terhadap ruang-ruang disediakan Umno untuk mereka menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan dalam parti sekular itu.
Secara zahirnya kehadiran kumpulan anak muda itu dialu-alukan pelbagai peringkat dalam Umno. Bagaimana pun, disedari atau tidak, berita kemasukan mereka telah menyediakan modal dan ruang lebih luas buat parti lawan kembali menempelak Umno.
Pertama, tidak sebagaimana diuar-uarkan sebegitu hebat sebelumnya, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak ikut serta bersama kumpulan tersebut. Meski pun beliau tetap diura-urakan bakal menjejaki kumpulan ini menyertai parti asabiyyah itu, Asri sendiri dalam reaksinya tetap menegaskan pendiriannya yang belum terfikir menyertai mana-mana parti politik.