Search This Blog

Showing posts with label umno. Show all posts
Showing posts with label umno. Show all posts

Tuesday, April 24, 2012

Bacaan Menjelang PRU13....

Cukuplah, jangan lagi berdusta!

BUKAN sebab pakatan pembangkang kuat tapi UMNO yang tak mahu menang - frasa ini semakin kerap didengar. Ia diluahkan kerana kekecewaan terhadap sikap sesetengah pemimpin bahagian yang terlalu asyik mencatur strategi dan melobi untuk menjadi calon dan mengejar kepentingan lain.

Sedangkan seharusnya keutamaan mereka kini ialah menggerakkan seluruh kekuatan bagi menentusahkan siapa juga calon Barisan Nasional (BN) menang di kawasan bahagian itu. Tetapi yang dapat dilihat ialah mereka hanya pintar menggunakan segala sendi politik untuk menumbangkan sesama sendiri tetapi mudah layu dan kelu apabila berhadapan dengan musuh politik sebenar.

Kita tidak hairan jika ini masih berlaku di negeri deposit tetap BN seperti Johor, Sarawak ataupun Sabah. Tapi sikap ini terus leluasa di negeri yang kini dipimpin pakatan pembangkang. Tidak serikkah mereka?

Kita sepatutnya sudah melihat satu gerakan transformasi politik besar-besaran di peringkat bahagian di Kelantan, Selangor dan Kedah serta beberapa bahagian di negeri lain yang kedudukan politiknya masih belum stabil. Tepuklah dada, apakah itu yang dirasai dan berlaku?

Kalaupun berlaku, ia tidak seperti diharapkan. Masih banyak lompang yang perlu diperbetulkan sedangkan pilihan raya umum sudah terlalu dekat. Keyakinan majoriti rakyat bahawa hanya UMNO dan BN mampu memimpin negara ini harus dibalas bukan sekadar dengan kata-kata dan slogan.

UMNO mesti berubah. Kata-kata keramat yang sudah usang itu mesti diterjemahkan segera. Pemimpin peringkat bahagian adalah orangnya yang memikul amanah di barisan depan untuk menggerakkan misi transformasi parti. Jangan gadaikan ikrar itu. Jangan hampakan harapan rakyat.

Apakah maknanya transformasi jika ada bahagian sanggup berdusta dan sengaja menutup peluang calon boleh menang untuk bertanding? Bukan zamannya lagi untuk pemimpin terlalu taksub dan menggunakan segala hujah bahawa 'hanya saya calon boleh menang'.

"Anda rasa UMNO telah berubah?" tanya seorang aktivis yang dekat dengan sumber risikan dan kepimpinan tertinggi UMNO dalam satu majlis baru-baru ini.

Mungkin pertanyaannya bersifat provokasi dan sekadar mahu menguji. Tetapi jawapan daripada khalayak mudah diduga - mereka belum yakin dengan perubahan di dalam UMNO. Maksudnya masih banyak yang perlu dilakukan oleh pemimpin bahagian dan juga negeri.

"Kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi sebenarnya ok. Cuma di peringkat bahagian agak kurang. Mereka lebih sibuk promosi nak jadi calon," rungut seorang pemimpin cawangan di Selangor.

Dalam nada berterus-terang beliau mengambil contoh program mendaftar pengundi. Dalam bulan Januari, mengikut angka yang diperolehinya, BN Selangor hanya mengumpul 7.000 pengundi baru, sedangkan Pas dapat mendaftarkan seramai 17.000 orang.

"Ini pun dengan bantuan NGO. Bahagian tak bergerak aktif, janji nak bayar RM10 pun belum bayar lagi," dakwanya yang membuat kesimpulan dari segi pendaftaran pengundi. BN masih kalah dengan pakatan pembangkang.

Kegagalan

Sebagaimana kegagalan bahagiannya, beliau turut merujuk kegagalan Pemuda UMNO mendaftarkan kira-kira 40,000 ahlinya yang layak mengundi. Tiada alasan yang boleh diberikan kecuali kelemahan jentera parti sendiri.

"Kita kata satu undi itu penentu, benarkah?" katanya yang kini terpaksa membuka pintu kepada badan bukan kerajaan lain seperti Perkasa, Jati dan Pekida dalam program-program bersama rakyat walaupun ia kurang digemari oleh kepimpinan tertinggi bahagian.

Bagaimanapun beliau yang juga ahli jawatankuasa bahagian semasa ditanya namanya turut disebut-sebut sebagai calon Parlimen, menegaskan bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.

"Tetapi jika tidak dicalonkan saya akan terus bantu. Dari dulu pun begitu, semua calon BN mesti kita menangkan. Kita kena ada jiwa perjuangan untuk parti," katanya yang mengaku bukan calon pilihan bahagian.

Semangat seperti itulah yang mesti dicontohi, mendahulukan kepentingan parti melebihi diri sendiri. Sedang kesepakatan pakatan pembangkang lebih banyak mendatangkan kecurigaan dan kekecewaan rakyat, UMNO dan BN tidak boleh leka. UMNO dan BN kena tunjukkan ia adalah sebuah entiti terbaik untuk terus memimpin rakyat negara ini.

Jangan contohi sebuah negeri itu yang hampir semua pemimpin utama bahagian masih bertegas mahu menjadi calon sedangkan laporan daripada banyak sumber termasuk risikan tidak memihak kepada mereka. Jika belum berperang sudah tidak peduli dengan suara akar umbi, bagaimana mereka mahu menawan negeri itu?

Jangan pula contohi kerenah sesama warlord di sebuah negeri kecil yang masih gagal memadam api amarah dan terus berseberangan sehingga bertentangan mata pun tak boleh. Jika di peringkat parti masih gagal menunjukkan peri pentingnya perpaduan, bagaimana mereka mahu memikat hati rakyat?

Sebenarnya jika pemimpin bahagian jujur dan tidak berdusta, jalan yang ditempuh untuk menyekat kemaraan pakatan pembangkang akan menjadi lebih mudah.

Jika inilah yang berlaku, majoriti dua pertiga sudah tentu berada dalam genggaman. Dan tidaklah sukar sangat mempertahankan negeri yang sedia ada serta bertambahlah semangat untuk merampas kembali kawasan yang ditawan.

Mereka di bahagian tentu tahu benar siapa calon boleh menang itu. Sama ada calon itu berada dalam kepimpinan bahagian, di persekitaran atau orang luar, merekalah yang lebih mengetahui. Ukurlah diri sendiri. Adakah mampu menyaingi kemampuan calon lawan dan seterusnya memenuhi kehendak rakyat yang semakin kompleks itu?

Masanya semakin suntuk. Mengapa perlu mempertontonkan arogansi jika ia hanya membawa petaka kepada kepentingan yang lebih besar? Insaflah, masih ramai orang di negara tercinta ini menaruh harap kepada UMNO untuk terus menjadi tulang belakang kepada perjuangan asas memartabatkan agama, bangsa dan negara. - warungpolitikmm@gmail.com

Saturday, January 7, 2012

UMNO Lakukan Transformasi Untuk Raih Keyakinan Generasi Pasca Merdeka...Najib

Salam,

Seakan penat dan berbuih mulut PM selaku Presiden UMNO mengingatkan ahli UMNO tentang perubahan dan transformasi, terutamanya untuk berdepan dengan generasi muda pasca merdeka yang kritikal terhadap UMNO. Jika apa yang diingatkan oleh PM Najib didengar dan diambil perhatian oleh anggota UMNO di setiap peringkat, kelangsungan UMNO sebagai parti peneraju Insya Allah akan berkekalan. UMNO akan kekal relevan di kalangan generasi muda andai semua menunjukkan komitmen melakukan perubahan.

Jika anggota UMNO kekal dalam kepompong lama dan terus bangga dengan sejarah gemilang UMNO sebagai modal mendekati anak-anak muda, alamat semakin jauhlah UMNO dengan genetasi muda. Maka sebab itu, di samping berpaut dengan sejarah sebagai panduan, ahli UMNO di setiap peringkat mesti melakukan transformasi sepertimana diminta PM Najib...

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Anggota UMNO perlu berubah seiring keadaan semasa yang menyaksikan parti itu lebih demokratik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata mereka perlu berubah bagi meraih keyakinan generasi pasca merdeka.

“Mereka yang lahir pasca merdeka tidak merasai pengalaman lalu… mereka cuma nak tahu apa yang UMNO hendak buat hari ini dan akan datang, dan mereka tidak suka diingatkan bahawa budi yang lepas perlu dibalas,” katanya ketika berucap pada majlis perhargaan untuk media yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini Jumaat malam.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata parti itu tidak lagi boleh bersandar kepada sejarah semata-mata walaupun ia banyak berjasa kepada negara kerana generasi hari ini tidak dapat menyelami perkara tersebut.

“Walaupun ia (UMNO) begitu cemerlang dan tidak tertanding, tetapi kita kena bersikap realistik dan melihat ke hadapan kerana ada perubahan dalam landskap politik tanah air dan dunia,” katanya.

Beliau menegaskan UMNO mempunyai iltizam politik untuk menjadi parti terbaik dan pemimpin negara selepas memperoleh kepercayaan rakyat.

Sehubungan itu, Najib meminta anggota UMNO berusaha lebih gigih bagi membuktikan ia layak menjadi parti tunggak di negara ini.

“Saya akui kita masih ada ruang untuk membuat penambahbaikan selain membaiki kelemahan yang ada. Kita boleh lakukan perubahan daripada segi perlembagaan (parti) yang membawa kepada perubahan struktur dan membuat keputusan serta kepimpinan.

“Tetapi akhirnya, perubahan itu perlu dibuat oleh orang UMNO itu sendiri,” katanya pada majlis yang dihadiri 1,000 orang termasuk wakil media.

Monday, February 28, 2011

PRU13 sudah hampir tiba...


Salam,

Berjumpa seorang kawan lama dari sebuah daerah di Pantai Timur Sabah baru-baru ini. Terima kasih kepada Facebook yang menemukan kami selepas lebih sepuluh tahun terputus hubungan. Kerana lama tidak berjumpa, banyak cerita dibualkan. Macam-macam...

Yang menarik hati bila kawan ni mengajukan soalan : Bila Pilihanraya Umum?

Saya jawab: sepatutnya penggal ke-12 ini akan berakhir pada Mac 2013. Yang pasti pilihanraya akan berlangsung di Kerdau dan Merlimau. PRU DUN Sarawak pula saya kata akan diadakan sebelum bulan Julai ini. Bila tarikhnya, tiada siapa pun tahu.

Kawan ni kata, pilihanraya umum hampir tiba. Makin dekat sudah katanya. Saya tanya, macamana kau tau?

Kawan ni kata: Sekarang ni para pemimpin termasuk para YB rajin masuk kawasan. Banyak acara diadakan di sana-sini. Boleh katakan setiap hujung minggu, pasti ada sahaja acara dilakukan. Memang nampak sibuk, memang meriah. Bagai tak cukup muka surat akhbar melaporkan aktiviti ni.

Saya jawab: Ini bukan petanda yang jelas pilihanraya akan tiba. Pemimpin yang bertanggungjawab memang begitu, akan berusaha mendekati rakyat sepanjang masa, tanpa mengira pilihanraya dekat atau lama lagi. Lagi pun saya kata, baguslah kalau banyak acara diadakan. Mudahlah rakyat dan wakil rakyat berdamping dan saling berhubung. Banyak masalah boleh diselesaikan.

Kawan ni tetap tidak puashati. Dia tetap menekankan yang pilihanraya ni memang sudah dekat. Katanya, silap-silap tahun ni juga. Saya kata, mana mungkin tahun ni....mustahil.

Cuba bayangkan, kata kawan ni. Kalau acara peringkat kampung secara kecil-kecilan, yang tidak melibatkan orang kenamaan, malah tidak menjemput YB pun disinggahi YB, bukan itu tanda pilihanraya sudah dekat? Acara ni katanya setiap tahun diadakan, tidak pernah ada YB singgah pun...

Biasanya, kata kawan ni, kalau YB baik semacam ja, mesti pilihanraya hampir tiba. Adalah maksudnya tiba-tiba ja rajin singgah. Dulu macam tidak pernah nampak pun.

Saya kata baguslah YB singgah. Nanti dia tidak singgah, kau mengata juga... Saya menasihatkan dia melupakan perkara tersebut. Tunggu ja bila tarikh pilihanraya. Bila sudah sampai, jangan lupa pergi mengundi.

Kepada jentera pilihanraya BN dan PAS di Kerdau dan Merlimau, jadikan PRK ini sebagai proses demokrasi yang mesti dihormati. Selamat berkempen!

Tuesday, February 22, 2011

20 Tahun UMNO di Sabah...


Salam,

Pagi ini menerima sms seorang saudara yang mengingatkan rupanya hari ini adalah ulangtahun ke-20 Umno melebarkan sayapnya ke Sabah. Ibarat seorang anak, usia Umno di Sabah sudah meningkat dewasa.

Bermula sebagai pembangkang, bermula tahun 1994 Umno di Sabah hari ini, sudah menerajui kerajaan negeri. Sejak 16 tahun lalu menjadi parti pemerintah, banyak perkembangan dan kemajuan yang telah dibawa oleh Umno. Politik pembangunan yang diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam konteks Sabah banyak memberi menfaat kepada negeri ini.

Banyak bukti yang terbentang di depan mata tentang kisah kejayaan kesan kemasukan Umno ke Sabah. Pembangunan, kestabilan politik, kemakmuran dan sebut apa sahaja, tentu ada peranan Umno di sana. Paling ketara tentulah sumbangan Umno Sabah – dan BN Sabah – mempertahankan kerajaan BN untuk terus berkuasa selepas PRU 2008.

Walaupun ada suara sinis yang memperkecilkan kewibawaan pemimpin Umno Sabah, tentang kepimpinan Umno Sabah yang tidak ‘bebas’ membuat keputusan sendiri, wajib merujuk ke KL / Putrajaya berbanding pada era USNO, Berjaya dan PBS, di mana kepimpinan bebas membuat keputusan.

Namun ia bukanlah penghalang kepada kepimpinan untuk membuat keputusan yang terbaik kepada rakyat. Rakyat pula selesa dengan senario sedia ada, dan sokongan rakyat ini diterjemah melalui kemenangan cemerlang Umno dalam setiap pilihanraya – kecuali 1994. Diharapkan sokongan padu ini akan berterusan pada PRU yang akan datang demi menjamin kesinambungan pembangunan dan kemakmuran negeri untuk terus dinikmati generasi mendatang.

Sempena 20 tahun Umno di Sabah, sewajarnya pemimpin dan ahli Umno di Sabah terus menginsafi bahawa ‘kuasa’ yang sedang dinikmati kini tidak akan kekal lama malah boleh terlepas ke tangan orang lain, jika perangai buruk seperti cantas-mencantas, hasad dengki dan amalan berpuak-puak tidak dihindari.

Banyak catatan sejarah di serata dunia untuk diambil iktibar, apabila rakyat sudah jemu dan bosan dengan sesebuah parti yang lebih banyak bermain retorik daripada tindakan dan pemimpinnya pula ‘memekakkan telinga dan membutakan mata’ terhadap rintihan rakyat, akan tiba masanya rakyat bangkit memberi pengajaran.

USNO, Berjaya dan PBS tumbang buka kerana kegagalan parti tetapi tersungkur akibat kelalaian pemimpin yang sudah mabuk kuasa dan kualiti ahli yang semakin merudum. Inilah yang harus dipelajari oleh sekalian pemimpin dan ahli Umno di Sabah…

Monday, February 14, 2011

Transformasi Politik Pemuda Umno...


Salam,

Sebahagian daripada usaha transformasi politik Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno ialah berjumpa semua Ketua Bahagian Umno dari seluruh negara Sabtu lalu. Pertemuan ini sebagai susulan pertemuan dengan Ahli Parlimen dan ADUN Sarawak baru-baru ini.

Dilaporkan Najib antara lain meminta Ketua Umno Bahagian meleraikan kekusutan di bahagian masing-masing, mengurangkan masalah dalaman parti, termasuk amalan cantas-mencantas. Najib juga meminta supaya parti terus mendekati pengundi muda agar terus menyokong parti.

Malangnya, di peringkat Pemuda Umno Bahagian khususnya di Sipitang, seruan Presiden parti ini bagai tidak diendahkan. Malam Sabtu lalu juga, dillaporkan Ketua Pemuda Sipitang melakukan kejutan yang langsung tidak disangka. Tiga orang pemegang jawatan utama parti: Penolong Setiausaha, Penolong Bendahari dan Ketua Penerangan telah dipecat!

Tanpa penjelasan lanjut, tindakan pemecatan ini dilakukan dalam satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian. Tiada sebab diberikan kenapa tindakan drastik ini dilakukan. Bagai satu tradisi - seperti juga 'rejim' Ketua Pemuda yang lalu - Ketua Pemuda Bahagian meneruskan tindakan melakukan pemecatan sesuka hati.

Seakan hilang arah dan mabuk kuasa, Ketua Pemuda Umno Sipitang nampak gayanya sudah 'beraja di mata, bersultan di hati'. Mungkinkah atas dasar sebagai anak pembesar negeri, seorang Ketua Pemuda boleh melakukan apa sahaja? Mengurus parti seperti mengurus syarikat sendiri? Ramai ahli parti tertanya-tanya...

Jika beginilah caranya seorang Ketua mentadbir parti, lagaknya seperti seorang CEO syarikat sdn bhd memecat ahli lembaga pengarah, maka tidak hairanlah jika setahun lalu pengerusi Tetap Pemuda Umno Bahagian bersama Ketua Pemuda Cawangan yang merupakan penyokong kuat beliau, bertindak nekad keluar parti dan menyertai pembangkang. Malah tidaklah pula menghairankan jika pemuda di peringkat bawah, terus bersikap sinis kepada parti keseluruhannya.

Sebelum nanah menjadi barah, kita berharap kepimpinan parti di peringkat bahagian dan negeri bertindak berani, melakukan sesuatu agar imej Umno tidak tercemar, gara-gara tindakan seorang pemimpin yang mengamalkan konsep 'ikut suka aku'. Sudahlah tiada usaha dilakukan menarik pengundi muda yang sepatutnya digerakkan pemuda, imej parti pula hendak dirosakkan.

Agaknya, beginikah caranya apabila seorang ahli bisnes bermain politik?

Monday, January 31, 2011

Teruskan Gerak Kerja Menjelang PRU 13!

Salam,

Tahniah diucapkan kepada YB baru DUN Tenang, Azahar Ibrahim yang menang bergaya. Majoriti bertambah berbanding PRU 2008 lalu. Petanda yang cukup baik untuk BN menghadapi PRU yang akan datang.

Kejayaan ini tentulah hasil usaha gigih seluruh jentera, daripada pekerja parti yang bertungkus lumus mahu pun oleh mereka yang bukan pekerja parti tetapi bekerja demi memastikan kelangsungan momentum kemenangan BN. Penghargaan untuk mereka ini wajar jangan dilupakan.

Berdasarkan kemenangan ini, sewajarnya BN boleh melangkah lebih yakin menghadapi PRK Merlimau, seterusnya menghadapi asakan pembangkang pada PRU 13 nanti. Gerak kerja ke arah itu harus diteruskan, malah harus dilipatgandakan.

Elakkan sama sekali sikap alpa. Jauhi sikap lupa diri. Penyakit utama BN selama ini ialah sikap lupa diri. Pantang dapat menang bergaya, selalunya habis semua lupa. Buktinya 2008. Mentang-mentang menang besar PRU 2004, main belasah ja menghadapi PRU 12. 'Tunggul kayu' pun diletak jadi calon. Dengan kepercayaan, asal logo BN pengundi pangkah.

Syukurlah di bawah kepimpinan Datuk Najib, dengan usaha gigihnya selama ini, nampaknya kesedaran rakyat mulai ketara. Harap momentum ini berterusan. Formula meletakkan calon yang boleh menang mesti diteruskan, demi kemenangan.

Tahniah BN, tahniah Tok Ai!

Tuesday, March 30, 2010

Auta Samy Vellu...


"Saya telah bagi tahu siapakah nama calon kepada Perdana Menteri. Beliau terima, beliau akan siasat dan panggil saya sebelum beliau keluar negeri," BH Online

Salam,

Bunyi macam bagus. Samy Vellu serahkan nama calon MIC kepada Pengerusi BN, DS Najib Tun Razak untuk pertimbangan. Maknanya, belum ada keputusan calon yang mana akan bertanding mewakili BN di Hulu Selangor. Samy Vellu faham tentang ini.

Sememangnya keputusan siapa dan parti apa akan bertanding dalam PRK ini nanti bakal diputuskan oleh BN Pusat. Sehingga ke saat ini, belum diketahui. Masih terbuka untuk diperdebatkan walaupun kerusi tersebut kouta MIC. Umno Hulu Selangor minta diberi peluang.

Namun, beberapa hari lalu, Samy Vellu sudah pun umumkan calon 'kitar semula' G.Palanivel, Timbalan beliau dalam MIC bakal dicalonkan. Pengumuman yang sudah pun mendahului keputusan. Nampak sangat auta Samy Vellu ni.

Hari ini pengundi dan rakyat tidak bercakap soal kouta, tapi bercakap peluang untuk menang. Jika calon dari MIC sudah ketara tidak diterima - buktinya PRU 2008, 3 DUN BN menang tapi di Parlimen BN kalah - mengapa memperjudikan peluang untuk menang?

Semuanya terserah untuk diputuskan. Namun, kehendak dan denyut nadi pengundi Melayu yang majoriti di Hulu Selangor perlu juga diambil kira. Janganlah diturutkan sangat auta Samy Vellu. Kalau ikut dia, MIC tetap mahu menang. Tapi faktanya, MIC gagal menarik pengundi India!

Kalau sudah begitu, mengapa tidak diberi sahaja peluang kepada Umno mencuba nasib?

Friday, March 26, 2010

Umno Kena Berani!


Salam,

Seawalnya diucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Zainal Abidin Ahmad, MP Hulu Selangor yang telah kembali ke Rahmatullah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama para solehin.

Kematian ini membawa bersama kekosongan kerusi P.94 Hulu Selangor, yang mesti diisi dalam tempoh 60 hari. SPR akan bermesyuarat Jumaat depan.

Kerusi ini asalnya dimenangi oleh MIC pada 2 PRU yang lalu, walaupun Melayu adalah pengundi majoriti. Atas dasar kouta, MIC melalui G.Palanivel telah diberi peluang namun tewas tipis pada PRU 2008. Allahyarham menewaskannya dengan majoriti 198.

Kali ini Umno Bahagian Hulu Selangor dilaporkan melobi untuk mendapatkan kerusi ini daripada MIC. Ketua Bahagian Mohamed Idris Abu Bakar kata ia kehendak akar umbi.

Mungkin ada kebenarannya. Mengapa tidak diberi peluang Umno mencuba dalam PRK yang bakal diadakan bagi menunjukkan memang akar umbi mahu melihat Hulu Selangor diwakili Melayu Umno. Sebagaimana mereka menunjukkan pada PRU lalu kehendak mereka diwakili oleh Allahyarham.

Memang perit dan sukar untuk pucuk pimpinan Umno membuat keputusan. Memang tidak mudah. Namun sudah sampai masanya bagi Umno bertindak berani, meletakkan calon Umno sesuai dengan slogan Umno Juara Rakyat.

Kalau nak ikut kouta pun, tapi tidak boleh menang...tidak guna juga. Blog ini menyokong usaha Umno Hulu Selangor!

Wednesday, February 24, 2010

Jangan Jadi Burung Unta...


Sedangkan hakikatnya, jika ahli Umno masih liat untuk berubah, masih memperlihatkan sikap buruk, masih selesa dengan situasi sekarang...pasti akan tiba rakyat akan menghukum mereka!

Salam,

Tulisan saya dua hari yang lalu, nampaknya mengundang pelbagai reaksi daripada beberapa orang ' sahabat'. Ramai yang bersetuju dengan apa yang diutarakan, sementelahan ramai pula yang memahaminya di luar konteks.


Sebenarnya, tulisan itu adalah ulasan terhadap apa yang disuarakan oleh YAB TPM, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Kita bersetuju dengan pandangan Tim. Presiden Umno bahawa dalam tempoh sebelum PRU 13 yang semakin mendekat, Pergerakan Pemuda dan Puteri harus terus bergerak memahami aspirasi anak muda yang bakal menjadi hampir separuh daripada jumlah pengundi.


Malangnya wujud kecenderungan dalam kalangan pimpinan kedua-dua sayap ini untuk menafikan hakikat teguran Muhyiddin ini. Seorang sahabat AJK Pemuda menafikan tiada usaha dilakukan. Namun realitinya, usaha yang dilaksanakan setakat ini memang belum memadai. Jauh dari mencukupi.


'Kegagalan' gerakan memahami aspirasi orang muda dapat dilihat dengan tiadanya program yang bersesuaian dengan mereka. Menarik minat anak muda hanya dengan aktiviti sukan seperti bolasepak dan sepak takraw, bukanlah jawapan kepada kebimbangan Muhyiddin.


Kebimbangan Muhyiddin berasas. Jika Umno gagal memahami aspirasi anak muda, dibimbangi mereka akan terus menjauhi Umno lantas memangkah parti lawan. Bayangkan jika anak muda ahli Umno tidak mengenali Ketua Pemuda mereka, bagaimana kita mengharap anak muda yang bukan ahli Umno mengenali pimpinan pemuda. Tak kenal maka tak cinta, bagaimana anak muda mencintai Umno jika mereka tidak mengenali pimpinan pemuda Umno?


Situasi inilah yang sepatutnya difahami oleh pimpinan pemuda, bukannya menafikan sesuatu yang sudah jelas kelihatan dan diperkatakan ramai orang. Pemuda serta Puteri gagal memahami aspirasi anak muda, sehingga perlu ditegur oleh TPM. Ini hakikat yang nyata.


Harapnya pimpinan pemuda yang 'ditegur' oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dan blog ini, berlapang dada dan bersikap proaktif. Jangan membenam kepala ke dalam pasir seperti burung unta, tetapi bertindaklah segera!


Monday, February 22, 2010

Catatan Untuk Tan Sri Muhyiddin...

Bercakap kepada pemberita, beliau memberitahu, UMNO akan berusaha untuk memahami aspirasi golongan muda dalam usaha menarik mereka menyokong BN dalam pilihan raya akan datang. Baca di Utusan.

Salam,

Seharusnya dalam tempoh pilihanraya yang semakin hampir, kurang 36 bulan lagi, Umno sekarang bukan lagi 'berusaha untuk memahami' tetapi sudah sampai ke peringkat untuk bertindak. Usaha sewajarnya sudah dimulakan untuk mendekati golongan muda agar kebencian mereka kepada Umno dapat dihapuskan.

Tindakan bersepadu di kalangan Pemuda dan Puteri terutamanya seharusnya sudah digerakkan. Dua sayap ini harus mendahului gerak langkah mendekati golongan muda kerana sepatutnya orang mudalah yang memahami aspirasi anak-anak muda.

Namun mendukacitakan, di kebanyakan tempat anak-anak muda masih ramai yang tidak mengenali siapa Ketua Pemuda atau Ketua Puteri mereka. Usaha untuk menambah ahli Umno dari kalangan anak muda cuma cantik di atas kertas. Tiada program dijalankan, kalau ada pun cuma program syok sendiri!

Begitu ramai anak muda yang tidak pernah didekati pun oleh pimpinan pemuda dan puteri. Ramai juga yang mengeluh, walaupun proses keahlian sudah dipermudahkan namun masih sulit untuk menjadi ahli. Puncanya kerana ada pimpinan sengaja tidak mahu menambah ahli dengan alasan akan menyusahkan. Bimbang tewas dalam pemilihan parti akan datang.

Amatlah sesuailah pandangan Tan Sri Muhyiddin yang meminta pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat menghapuskan segala bentuk persengketaan dan perbalahan dalaman yang dilihat menjadi punca kelemahan parti. Umno tidak lemah, cuma sikap buruk dalam kalangan ahli Umno sahaja yang menyebabkan Umno kelihatan lemah tidak bermaya.

Sikap buruk seperti label-melabel, cantas-mencantas dan perbalahan di kalangan 'VIP Umno' adalah sebahagian penyakit Umno di peringkat bawah. Akibatnya, anak muda yang membenci penyakit Umno ini, turut sama membenci Umno hanya kerana perlakuan segelintir ahli dan pemimpin Umno. Seekor kerbau dipenuhi lumpur dan daki, habis sekawan dibenci orang!

''Jika tiada perubahan dilakukan, kita (UMNO) tidak mampu bertahan,"

Perubahan yang diharapkan nampaknya masih jauh dapat dilihat. Tanpa menafikan sebilangan yang telah berubah, masih ramai yang masih seronok. Umno kekal memerintah walaupun dengan majoriti yang tidak sampai 2/3. Masih ramai yang beranggapan, pengalaman buruk di bawah pemerintahan pembangkang seperti di Selangor dan P.Pinang akan menginsafkan pengundi untuk kembali menyokong Umno.

Sedangkan hakikatnya, jika ahli Umno masih liat untuk berubah, masih memperlihatkan sikap buruk, masih selesa dengan situasi sekarang...pasti akan tiba rakyat akan menghukum mereka!

Friday, February 5, 2010

Apabila Nik Aziz Mengajak Umno...

Salam,

Bagai tidak percaya, Datuk Nik Aziz Nik Mat khabarnya mengajak Umno bermuzakarah demi perpaduan Islam. Seperti sudah letih pulak Tok Guru ni 'berlawan' dengan Umno.


Eloklah kalau begitu. Perpaduan Islam tentulah lebih mahal harganya daripada ideologi politik kepartian. Lihat komuniti Cina, berbilang parti tapi tetap satu suara bila menyentuh kepentingan bersama mereka.


Sebab itu, dalam banyak hal komuniti Cina tetap akan berasa untung siapa pun yang menguasai kerajaan. BN atau Pakatan Rakyat yang memerintah komuniti ini tetap tidak akan ketinggalan. Pulau Pinang contohnya, Gerakan ditewaskan penggantinya dari DAP tetap Lim Guan Eng.


MCA, Gerakan dan DAP memang saling berbalah. Ada sahaja perkara yang tidak dipersetujui, yang mereka tidak sependapat. Namun bila tiba hal yang memerlukan mereka senada, mereka akan meninggalkan baju parti mereka untuk saling bekerjasama.


Tidak salah untuk Umno dan PAS berbeza pendapat. Memang lumrah berparti begitu, namun apabila tiba saat untuk bersatu, mengapa harus tidak senada? Sewajarnya atas semangat persaudaraan, cadangan Nik Aziz ini sangat dialu-alukan.


Cuma rasa macam tidak percaya pulak, cadangan ini datang selepas tidak berapa lama dulu dia berkata Jahanam Umno! Atau mungkin ini bukan cadangan dia tapi kes wartawan tersalah lapor.Harapnya tidak begitu...



Wednesday, November 11, 2009

Dr. Asri Masuk Gelanggang?


Salam,


Jika benar Dr. Asri berhasrat menjadikan gelanggang politik sebagai medan dakwah, jika beliau terus dihalang bersuara, adalah satu langkah yang silap.


Kewibawaan dan ketokohan beliau sebagai ikon yang diterima ramai, tanpa mengira ideologi politik - pasti akan tercalar. Sebagai ahli politik, tentulah suaranya nanti adalah suara parti yang diwakilinya.


Tidak kira, sama ada beliau memilih PAS atau Umno sebagai wadah perjuangan, beliau pasti tidak akan dapat mengelak untuk menyampaikan dakwah dari kaca mata organisasi di mana dia berteduh.


Implikasinya, dakwah yang akan disampaikan nanti sudah tentu tidak akan diterima semua orang. Jika dia bersuara sebagai ahli politik Umno, mahukah ahli PAS atau PKR menerima pandangannya, walaupun mungkin apa yang disuarakannya adalah suara kebenaran.


Setakat ini, begitulah situasinya. Politik pertentangan yang diamalkan selama ini menjadikan apa sahaja yang datang dari pihak lawan mesti ditentang. Kebenaran tidak lagi dijadikan neraca penimbang, sebaliknya kemenangan dijadikan matlamat sehingga menghalalkan segala cara!


Ummah akan kehilangan tokoh yang mampu menegur kesilapan - tidak kira di pihak pemerintah atau pembangkang - kerana selepas menjadi ahli politik tentu Dr. Asri akan menjadi milik parti.


Rasanya, eloklah bersabar dan berlapang dada. Biarlah soal politik diuruskan oleh orang politik, sementara dakwah diteruskan oleh orang seperti Dr. Asri.

Thursday, October 15, 2009

Sertai Pindaan Dengan Perubahan Sikap dan Minda...


Salam,

Pindaan perlembagaan Umno hari ini selesai sudah dengan persetujuan sebulat suara oleh para perwakilan. Dilaporkan, pindaan yang dicadangkan diterima tanpa perbahasan.

Yang menjadi cabaran bagi Umno selepas ini tentulah bagaimana mengimplementasi 'roh' pindaan ini. Di atas kertas pindaan ini memang cantik. Segala kepincangan yang berlaku sebelum ini sehingga Umno 'dibenci' bukan sahaja oleh ahli, malah rakyat yang bukan ahli bakal berakhir.

Soal kouta umpamanya, sejak diperkenalkan telah menjadi duri dalam daging dalam Umno. Berapa ramai ahli Umno yang telah menjadi mangsa kepada peraturan ini, kebanyakannya dek kerana manipulasi oleh pemegang jawatan yang selalunya menggunakan kouta sebagai senjata mengalahkan lawan sebelum masuk ke gelanggang.

Namun pindaan beberapa fasal dalam perlembagaan ini sahaja belum memadai. Komitmen ahli keseluruhannya dan pimpinan di peringkat pertengahan - seperti di bahagian - ditagih untuk melaksanakan tuntutan pindaan ini. Jika sikap dan minda masih belum mahu berubah, bagaimana cantik pun pindaan belum tentu berjaya.

Sikap sombong dan bermegah-megah serta bergaya mewah di kalangan ahli sehingga Umno kelihatan kelab ekslusif untuk 'orang berduit' jika tidak dikikis pasti tidak akan berjaya menarik minat golongan marhaen yang 'tidak berduit'. Percakaran sesama sendiri, permusuhan sesama ahli Umno, cantas-mencantas dan minda tertutup yang melihat teguran sebagai musuh yang mesti dilenyapkan adalah 'racun' kepada usaha transformasi Umno.

Semangat dan roh pindaan perlembagaan ini wajib disertai dengan keikhlasan untuk melihat Umno sebagai hak semua ahli dan orang Melayu, wajib diikuti dengan perubahan sikap dan minda di kalangan semua ahli Umno!

Insya Allah jika ini berlaku, Umno akan kekal sebagai pilihan utama orang Melayu dan kekal dihormati rakyat!

Wednesday, October 14, 2009

Mampukah KPI Muhyiddin Dicapai?

( Gambar Utusan )


Salam,


Ts Muhyiddin Yasin malam tadi melontarkan cabaran kepada 3 sayap Umno: Wanita, Pemuda dan Puteri. Beliau meletakkan KPI politik untuk dilaksanakan dalam tempoh 2 tahun ini, iaitu menambah bilangan anggota baru, mendaftar pengundi baru dan membentuk jaringan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Soalnya, mampukah KPI ini dicapai?


Kita optimis jika seruan Muhyiddin supaya segala perangai ‘hodoh’ seperti menjadi batu api, batu ronson, kaki cucuk, talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam dan si Kitol yang lidah bercabang, langkah menyilang...dibuang oleh setiap ahli, KPI ditetapkan akan mampu dipenuhi.


Bukan rahsia lagi, ada pimpinan sayap di Bahagian atau Cawangan tidak mahu menambah bilangan ahli baru atas alasan menyusahkan. Malah timbul ungkapan, kalau 100 cawangan ini pun sudah memeningkan kepala, apakan pula yang berlaku jika ada 200 cawangan, dengan andaian penambahan ahli baru akan menambah cawangan yang layak bersidang.


Bayangkan ada sayap Bahagian yang jumlah cawangannya tidak sampai 20 cawangan. Setiap kali mesyuarat perwakilan tahunan diadakan jumlah perwakilannya tidak sampai pun 100 orang. Memang mudah menguruskannya, namun ramai anak muda di luar sana tidak tahu pun kewujudan sayap-sayap ini!


Menarik seramai mungkin pengundi baru dan membuat hubungan dengan NGO pasti juga akan memberikan cabaran kepada ketiga-tiga sayap ini untuk melaksanakan gerak kerja dalam tempoh yang ditetapkan. Wanita, Pemuda dan Puteri mesti ke hadapan dalam segenap bidang dan menjuarai segala permasalahan masyarakat.


Mungkin tempoh ‘bulan madu’ bagi pemegang jawatan utama di Pusat, Bahagian dan Cawangan sudah berlalu. Kini tiba masa untuk bekerja dengan lebih sistematik dan tersusun, bukannya asal ada program tanpa wujud target! Malah lebih buruk lagi, ada sayap Bahagian yang lesu dan tidak bermaya, tanpa ada program kecuali mesyuarat perwakilan tahunan.


Rakyat dan ahli Umno akan menilai prestasi ketiga-tiga sayap ini sama ada KPI yang ditetapkan berjaya dilaksanakan atau tidak. Kalau KPI ini tidak dapat dilaksanakan, apa kita mahu buat dengan Ketua sayap-sayap ni?


Tuesday, October 13, 2009

Belajar Dengan Orang Cina...



Salam,

Malam tadi dalam slot berita, Datuk Nik Aziz MB Kelantan memuji politik orang cina yang katanya agak ke hadapan. Beliau mengulas keputusan EGM MCA Sabtu lalu yang menolak Tee Keat dan Soi Lek. Nik Aziz menyarankan orang Melayu belajar berpolitik dengan orang Cina.


Elok benar nasihat Nik Aziz ni disampaikan ke semua peringkat penyokong PAS. Biar semua ahli PAS, terutamanya pimpinan seperti Salahuddin Ayub atau Mahfuz Omar faham politik cina. Elok benar mereka membaca pandangan orang Cina, ahli politik otai bernama Tan Seng Giaw, Tim. Pengerusi DAP Kebangsaan yang lebih rasional.

Berbanding ahli PAS lain yang tidak mampu berlapang dada akibat kekalahan teruk di Bagan Pinang, lantas menyalahkan sistem dan orang lain atas kekalahan tersebut. Membaca analisa cina DAP ini - yang menjadi sekutu kuat PAS - membenarkan pujian Nik Aziz kepada politik orang cina.

Orang Melayu takat nak 'politik hentam' sesama sendiri aja la...Asyik dia aja nak menang!

Monday, October 12, 2009

Umno, Menang dan Islam Tulen


Salam,

Umno berjaya mengekalkan kerusi Bagan Pinang. Kemenangan bergaya ini pasti menjadi bualan dan kegembiraan oleh semua peringkat ahli Umno. Pasti kegembiraan ini akan terpancar semasa Perhimpunan Agung Umno yang bakal bermula esok.

Dalam keriuhan meraikan kemenangan dan berjaya mempertahankan kerusi ini, hendaknya seluruh pimpinan dan ahli Umno membaca, meneliti, memahami dan menginsafi tulisan Dr Mohd Asri Zainal Abidin, yang disiarkan dalam laman web beliau minggu lalu.

Dipetik tulisan bekas Mufti Perlis ini :

Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih dahulu akui bahawa saya bukan ‘orang politik’ untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO.

Islam itu sebagai ad-din dalam kehidupan masyarakat Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.

Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja: “UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen!” UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera.


Bagi yang belum berkesempatan membaca, sila klik DI SINI.

Adalah diharapkan pemahaman yang jelas terhadap lontaran idea Dr MAZA ini akan membantu Umno memulakan gerak kerja tersusun, memastikan Umno terus menjadi pilihan orang Melayu/Islam.

Seharusnya momentum yang bermula di Manik Urai tempohari dan kebangkitan di Bagan Pinang ini, tidak terhenti di sini. Biarlah ia berterusan dan laba yang lumayan akan dituai pada PRU13 nanti, Insya Allah!

Tuesday, October 6, 2009

Sembang Tiga Sekawan...

Salam,


Di anjung sebuah surau, sambil menunggu waktu Isyak, tiga orang sekawan bersembang. Macam-macam hal dibualkan, dari cerita Tsunami di Samoa, gempa di Sumatera sehinggalah ke PRK Bagan Pinang.


Pak Samad: : Eloknya PAS tak payah bertanding di Bagan Pinang. Bagi ja Isa Samad menang.


Haji Sulaiman: Hish, mana boleh Pak Samad. Tak boleh dibiarkan Umno ni menang percuma. Kena ada lawan.


Wak Lebai menyampuk : Yalah Pak Samad, PAS tak menang pun takpe, ini perjuangan dakwah.


Pak Samad: Kawasan ni kampung halaman Isa Samad, ramai saudara mara dia di sana. Dia pun pemimpin lama berjasa, bekas MB pulak tu. Banyak kelebihan Isa ni nak menang.


Wak Lebai: Atas kertas memang Isa calon favourite. Tapi dalam keadaan Umno lemah sekarang ni, tak mustahil berlaku kejutan. Orang Cina sama India dah tentu undi PAS.


Pak Samad : Kalau PAS menang pun tak jadi apa pun. Kerajaan Mat Hassan tak tergugat pun, masih ada majoriti di DUN. Patutnya PAS tak payah bertanding, sokong ja Umno demi kesatuan Islam.


Haji Sulaiman yang berdiam diri sejak tadi mula bersuara: PAS kena tentang Umno selagi dasar perjuangan Umno ni belum berubah, perjuangan kebangsaan Melayu. PAS pulak perjuangkan Islam.


Pak Samad : Kan Umno pun perjuangkan Islam macam PAS jugak? Cuma Umno berjuang bil-hikmah, tak bising-bising macam ayam, bertelur sebiji riuh sekampung.


Wak Lebai : Islam Umno ni tak ori, Islam plastik. Dulu Islam Hadhari, sekarang ni buat mazhab baru pulak, mazhab 1Malaysia.


Pak Samad: Hish wak ni, janganlah pulak nak memandai. 1Malaysia ni bukan mazhab. Ini gagasan PM kita, nak satukan rakyat Malaysia. Tanpa mengira parti, bangsa atau agama.


Haji Sulaiman : PAS dan Umno ni sampai bila pun kena berlawan. Dasar perjuangan berbeza sangat. Satu ke kiri, satu ke kanan. Macamana tak berlawan ?


Pak Samad: Tapi Haji, dasar perjuangan PAS dan DAP pun sangat berbeza, macam langit dan bumi. Macamana pulak tu, dengan Umno PAS kena berlawan, tapi dengan DAP boleh pulak PAS berkawan?


Belum sempat soalan Pak Samad dijawab, azan Isyak pun berkumandang. Haji Sulaiman, Wak Lebai dan Pak Samad bangun mengambil wuduk.



Wednesday, September 30, 2009

Isa Samad Taruhan BN di Bagan Pinang!


Salam,


Sempena PRK Bagan Pinang yang bakal menjelang minggu depan, kebetulan pula masih dalam suasana Hari Raya, elok rasanya para tukang kempen dari parti yang bertanding membaca ingatan mimbar jumaat minggu lalu.


Khutbah jumaat ini disediakan oleh Bahagian Penyelidikan & Informasi, JHEAINS, disampaikan pada minggu lalu di seluruh Sabah.


Bagaimanapun, berkali-kali Ramadhan ditempuhi, namun kehidupan umat sesudah Ramadhan tidak banyak berubah. Semangat beramal ibadah dan persaudaraan misalnya terpupuk dan disuburkan semasa puasa Ramadhan, dan kemudiannya disemarakkan dalam kegembiraan merayakan Aidilfitri seolah mulai menurun bilamana Syawal melambai pergi.


Masjid semakin lengang, budaya suka berhibur meluap kembali, perpaduan kembali merenggang akibat pelbagai persoalan, malah nilai-nilai murni yang menjadi rutin kehidupan semasa puasa dan Aidilfitri tidak lagi bersemarak. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan bahawa mereka belum lulus di dalam menghayati, mengaplikasi dan melestari nilai-nilai murni yang digarap melalui pelaksanaan pelbagai amal ibadah di bulan Ramadhan.


…Syawal bukan sekadar medan atau masa untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kesukaan belaka. Tetapi kesempatan mencorak diri menuju yang lebih baik ke depan khususnya dalam mempererat tali silaturrahim demi memantapkan ukhuwah islamiah.


…Sesungguhnya banyak fitnah dan ujian yang dihadapi oleh umat Islam di zaman mutakhirin ini. Perselisihan faham, perpecahan dan perbuatan adu domba sesame Muslim sangat membimbangkan merugikan umat secara keseluruhanya. Ini kerana memberi ia memberi ruang dan peluang kepada golongan anti Islam memanipulasi keadaan bagi memporakperandakan lagi umat Islam, yang matlamat akhirnya adalah untuk melenyapkan Islam dan penganutnya daripada peta dunia.


…. Dalam menghadapi situasi sebegini, kita amat mendambakan kepekaan dan kebijaksanaan para pemimpin Islam bagi menanganinya kerana ia dikhuatiri akan menyemarakkan api kebencian antara agama hatta menggugat keharmonian dan kententeraman rakyat berbilang kaum. Kesedaran sebagai satu kesatuan umat Islam perlu disuburkan kembali, dan bukannya saling tuding-menuding jari mengenai punca kemelut kerana ia akan hanya mengeruhkan lagi suasana konflik.


Semoga apa yang disampaikan oleh para khatib ini akan membantu mengeratkan ikatan persaudaraan di kalangan kita. Biarlah PRK Bagan Pinang dingati sebagai pertandingan untuk mencari wakil rakyat, bukan medan mencaci dan mengaibkan serta menjarakkan lagi perpecahan di kalangan saudara Islam hanya kerana ideology politik!


Monday, September 28, 2009

Calon Menang di Bagan Pinang...


Salam,


Esok Umno akan mengumumkan calon yang akan diketengahkan untuk mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang. Sebelum calon yang akan menggalas tanggungjawab berat ini diumumkan, elok rasanya kita membaca apa yang disuarakan oleh para pemimpin.

Tun Mahathir, Bekas presiden Umno… "Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang.

"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu sama ada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya,''

Seterusnya Tun berkata … "Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini.

"Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno,"

Ku Li, bekas calon Presiden Umno, menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihanraya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, faktor calon memainkan peranan penting dalam pilihan raya tersebut kerana ia menjadi menjadi pertimbangan utama pengundi di kawasan berkenaan.

"Saya percaya akhirnya parti akan pilih calon yang paling sesuai, kita sepatutnya mengambil pengajaran dari pengalaman terdekat ini (Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir)

Kesimpulannya, pucuk pimpinan Umno kena berhati-hati dan menilai dengan wajar, sehabis pertimbangan sebelum mengumumkan calon. Supaya kerusi ini tidak terlepas ke tangan PAS dan Umno terus menggigit jari.


Biarlah calon yang dipilih itu, calon yang berwibawa, boleh menang dan menaikkan semula semangat dan imej Umno. Calon yang disukai rakyat, bukan disukai orang Umno sahaja.


Rasanya tidak berbaloi bagi Umno, menang di Bagan Pinang tetapi imej terus merosot...dek kerana tersalah pilih calon. Akhirnya menang di Bagan Pinang, tapi terus kalah selepas ini!


Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin