Search This Blog

Showing posts with label Najib. Show all posts
Showing posts with label Najib. Show all posts

Thursday, February 16, 2012

Antara Kurta dan Nande....

Salam,

Kehadiran PM ke Perayaan Thaipusam di Batu Caves, yang kemudiannya ditegur oleh Mufti Perak, menjadi bahan puak pembangkang membelasah PM. Malah dikata sehingga menggadai akidah.

Kemudian diikuti pendedahan blogger kehadiran Anwar ke Perayaan Pesta Ponggal di Batu Gajah, Perak pula menjadi bahan membelasah Anwar.

Tan Sri Harussani mencerahkan tegurannya kepada PM, dengan menyatakan kehadiran PM tidak menyalahi hukum syarak, selepas PM memberikan penjelasan.

Bayangkan berapa banyak komen yang dilontarkan rakyat Malaysia - sama ada yang faham atau tidak - terhadap teguran Mufti Perak terhadap PM. Bayangkan juga berapa banyak komen dibuat terhadap perarakan kereta lembu Anwar Ibrahim.

Malahan, bayangkan bagaimana pandangan umum terhadap Islam sebagai agama rahmat dan kesejahteraan untuk semua umat manusia - ketika begitu kerasnya pandangan kita terhadap kehadiran seseorang pemimpin dalam majlis perayaan melibatkan kaum lain.

Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada insiden ini?

1. Pihak berkuasa agama termasuk para mufti wajar mendapatkan maklumat yang tepat tentang sesuatu perkara sebelum memberikan komen. Komen yang salah akan menyebabkan rakyat mendapat maklumat yang salah. Walaupun komen tersebut dapat dibetulkan, tapi bayangkan berapa banyak 'kerosakan' yang berlaku?

2. Para pemimpin wajar mendapatkan nasihat yang betul daripada para penasihat mereka, sebelum melakukan sesuatu tindakan apalagi jika melibatkan sensitiviti kaum dan agama.

3. Para pemimpin dan rakyat wajar menjaga adab dan berhemah dalam memberikan komentar terhadap sesuatu perkara. Komen yang tidak membina dan berniat provokasi wajar dielakkan.

4. Hubungan toleransi antara kaum dan agama wajar dipertahankan agar kehidupan harmoni yang terjalin selama ini dapat kita wariskan kepada anak cucu kita nanti.

Tuesday, February 14, 2012

Kenyataan Akhbar PERBEKK...

Salam,

Kenyataan akhbar Persatuan Belia Kg Kuridak, Beaufort ( PERBEKK )....

SELAMAT DATANG KE SIPITANG!

PERBEKK mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang ke Sabah kepada Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak, dan buat kali kedua ke Sipitang sejak kehadiran melancarkan Pesta GATA tahun lalu.

Perdana Menteri dijangka akan merasmikan acara pecah tanah bagi projek kilang baja urea ammonia Sabah (SAMUR) yang bernilai US$1.5 bilion (RM4.6 bilion) di Sipitang pada 16hb Februari ini.

Apa yang diharapkan dengan terbinanya kilang baja itu nanti akan membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan yang boleh direbut golongan belia, untuk menceburkan diri dalam bidang yang berkaitan. Sesungguhnya PERBEKK percaya para belia akan memenfaatkan peluang terhidang di depan mata ini, dan PERBEKK juga yakin bahawa PETRONAS khususnya yang melabur dalam projek besar ini akan membuka ruang untuk para belia.

PERBEKK percaya projek besar ini pasti akan terus menyemarakkan ekonomi di daerah Sipitang dan sekitarnya. Sebagai persatuan belia yang berorganisasi di Parlimen Sipitang, PERBEKK pasti limpahan kemakmuran yang dibawa oleh projek besar ini akan juga melibatkan para belia termasuk ahli PERBEKK.

PERBEKK mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS yang memilih Parlimen Sipitang sebagai lokasi membina kilang baja ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Perdana Menteri atas kesudian hadir bersama rakyat di Sabah, khususnya di Sipitang. Tanpa ragu lagi, PERBEKK menyokong penuh kepimpinan PM Najib untuk terus memimpin negara ke mercu kejayaan.

Monday, February 13, 2012

Najib bakal rasmikan acara pecah tanah di Sipitang

KOTA KINABALU 13 Feb. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan acara pecah tanah bagi projek kilang baja urea ammonia Sabah (SAMUR) yang bernilai US$1.5 bilion (RM4.6 bilion) di Sipitang Khamis ini.

Projek besar itu dimiliki oleh Petronas Chemicals Group Bhd. Pengurus besar pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Joseph Podtung berkata kehadiran SAMUR bertaraf dunia di Sipitang akan mewujudkan kesan positif ke atas industri kimia dan berkaitannya, termasuk pertanian, hotel dan katering, penyenggaraan kilang dan pengangkutan.

"Ia juga akan menyediakan syarikat dan para usahawan prospek perniagaan yang meluas dan menjana pekerjaan untuk tempatan, sekali gus menyemarakkan pertumbuhan ekonomi, terutamanya untuk komuniti tempatan di Sipitang,” kata beliau pada satu majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh Petronas Chemicals Group. — BERNAMA

Diucapkan SELAMAT DATANG kepada PM Najib, untuk sekali lagi ke Daerah Sipitang......

Tuesday, January 10, 2012

Anwar Menang, Mahkamah Pun Menang!

Salam,

Selepas berbulan-bulan diselubungi cerita kes liwat Anwar Ibrahim, akhirnya mahkamah membebaskan beliau daripada dakwaan tersebut. Maka bersorak-sorailah penyokong Anwar. Sewajarnya mereka meraikan 'kemenangan' tersebut, memandangkan sejak sekian lama mahkamah dan hakim Malaysia digambarkan tidak bebas, bersekongkol dengan Umno dan dikawal penguasa - istilah yang selalu digunakan Anwar Ibrahim.

Ya, sekian lama mahkamah dan hakim 'terhukum' oleh pandangan negatif segelintir rakyat yang melihat kebebasan kehakiman telah dihakis oleh pemerintah. Mahkamah dituduh membuat keputusan mengikut telunjuk para pemimpin. Tohmahan jahat ini semakin berkembang terutamanya apabila sesuatu kes tidak menyebelahi, maka hakim akan ditohmah tidak adil dan memihak.

Dakwaan mahkamah tidak bebas ini bukan sahaja dicanang di seluruh negara malah dijaja ke seluruh dunia. Berapa ramai pemimpin dunia yang sudah termakan dengan cerita ini?

Sebab itu, apabila Anwar dan penyokongnya bersorak gembira dengan keputusan mahkamah yang membebaskannya, maka sewajarnya mahkamah dan hakim pun bergembira meraikan kemenangan mereka. Mahkamah menang kerana kebebasan mereka diiktiraf oleh segelintir rakyat yang selama ini menafikannya. Jika mereka mahukan bukti tentang kebebasan mahkamah, mungkin inilah bukti tertinggi yang harus membuka mata dan mata hati mereka.

Apa yang diharapkan, selepas ini mereka yang selama ini memfitnah kebebasan mahkamah dan para hakim, tersedar dan berhenti daripada terus melakukan tohmahan liar. Mahu mereka memohon maaf? Rasanya tidak perlu...sebab mereka tidak akan memohon maaf!

Saturday, January 7, 2012

UMNO Lakukan Transformasi Untuk Raih Keyakinan Generasi Pasca Merdeka...Najib

Salam,

Seakan penat dan berbuih mulut PM selaku Presiden UMNO mengingatkan ahli UMNO tentang perubahan dan transformasi, terutamanya untuk berdepan dengan generasi muda pasca merdeka yang kritikal terhadap UMNO. Jika apa yang diingatkan oleh PM Najib didengar dan diambil perhatian oleh anggota UMNO di setiap peringkat, kelangsungan UMNO sebagai parti peneraju Insya Allah akan berkekalan. UMNO akan kekal relevan di kalangan generasi muda andai semua menunjukkan komitmen melakukan perubahan.

Jika anggota UMNO kekal dalam kepompong lama dan terus bangga dengan sejarah gemilang UMNO sebagai modal mendekati anak-anak muda, alamat semakin jauhlah UMNO dengan genetasi muda. Maka sebab itu, di samping berpaut dengan sejarah sebagai panduan, ahli UMNO di setiap peringkat mesti melakukan transformasi sepertimana diminta PM Najib...

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Anggota UMNO perlu berubah seiring keadaan semasa yang menyaksikan parti itu lebih demokratik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata mereka perlu berubah bagi meraih keyakinan generasi pasca merdeka.

“Mereka yang lahir pasca merdeka tidak merasai pengalaman lalu… mereka cuma nak tahu apa yang UMNO hendak buat hari ini dan akan datang, dan mereka tidak suka diingatkan bahawa budi yang lepas perlu dibalas,” katanya ketika berucap pada majlis perhargaan untuk media yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini Jumaat malam.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata parti itu tidak lagi boleh bersandar kepada sejarah semata-mata walaupun ia banyak berjasa kepada negara kerana generasi hari ini tidak dapat menyelami perkara tersebut.

“Walaupun ia (UMNO) begitu cemerlang dan tidak tertanding, tetapi kita kena bersikap realistik dan melihat ke hadapan kerana ada perubahan dalam landskap politik tanah air dan dunia,” katanya.

Beliau menegaskan UMNO mempunyai iltizam politik untuk menjadi parti terbaik dan pemimpin negara selepas memperoleh kepercayaan rakyat.

Sehubungan itu, Najib meminta anggota UMNO berusaha lebih gigih bagi membuktikan ia layak menjadi parti tunggak di negara ini.

“Saya akui kita masih ada ruang untuk membuat penambahbaikan selain membaiki kelemahan yang ada. Kita boleh lakukan perubahan daripada segi perlembagaan (parti) yang membawa kepada perubahan struktur dan membuat keputusan serta kepimpinan.

“Tetapi akhirnya, perubahan itu perlu dibuat oleh orang UMNO itu sendiri,” katanya pada majlis yang dihadiri 1,000 orang termasuk wakil media.

Sunday, January 1, 2012

Selamat Tahun Baru 2012....

Salam,

Ramai meramalkan tahun 2012 adalah tahun penentuan. Mementukan sama ada BN masih terus berkuasa atau Pakatan Rakyat akan melangkah ke Putrajaya selepas PRU13 nanti. Diramalkan pilihanraya akan diadakan tidak akan melebihi bulan Jun tahun ini.

Melihat kepada senario politik sepanjang tahun 2011, BN dan PR mempunyai peluang yang seimbang untuk memenangi pilihanraya. Ketika kelebihan silih berganti di antara kedua parti, cerita negatif juga tidak terlepas di antara keduanya. Parti manakah yang berjaya mengawal 'kerosakan' dalaman seharusnya muncul sebagai pilihan dalam kalangan pengundi atas pagar - yang memerhati dengan teliti perkembangan semasa.

Sementara pilihanraya belum tiba, eloklah BN dan PR melakukan gerak kerja parti masing-masing dengan berhemah. Gelanggang politik tidak memerlukan permainan kasar, hanya untuk memenangi kuasa. Rakyat pun sudah muak melihat tindak-tanduk penggiat politik yang melampaui batas, seolah-olah rakyat terlalu bodoh untuk membuat penilaian objektif. Berkempenlah dengan cara yang adil untuk mencanang kelebihan memilih parti masing-masing.

Namun seperkara yang dilihat kelebihan BN setakat ini berbanding PR, tentu sahaja pendekatan mesra rakyat yang ditunjukkan oleh PM Najib. Pendekatan berjumpa dengan seramai mungkin rakyat di peringkat bawah - dari pemandu teksi ke peniaga restoran, golongan belia sehingga ke peminat bola - nampaknya memang menarik. Rakyat berharap pendekatan ini diteruskan bukan setakat untuk menghadapi pilihanraya, malah diteruskan pada masa depan.

Kesungguhan PM Najib dalam melaksanakan tranformasi ekonomi, sosial dan politik seperti yang dijanjikannya juga cukup mengujakan. Pelbagai bantuan yang disalurkan demi kebajikan rakyat terbanyak amat disokong. Realitinya, slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan benar-benar diterjemahkan. Diakui memang banyak lagi yang perlu dilaksanakan, namun berdasarkan pendekatan yang dijalankan memang tidak dapat disangkal bahawa akan ada banyak lagi usaha memajukan rakyat dan negara selepas ini.

Diharapkan pada tahun 2012 ini negara akan terus makmur dan maju, dalam keadaan rakyat terus bertoleransi dan hidup aman harmoni...

Wednesday, June 29, 2011

Mengalu-alukan Lawatan PM ke Sabah.

Salam,

Bermula hari ini, sekali lagi PM datang ke Sabah melakukan lawatan. Difahamkan daerah pedalaman yang akan menjadi tumpuan kali ini, bertemu masyarakat bumiputera dan komuniti belia.

Sungguhpun ini bukanlah kali pertama PM datang ke Sabah, keterujaan dengan lawatan PM sentiasa tersemat di hati orang Sabah, terutama di kawasan yang belum beliau dilawati. Keterujaan ini berasas. Sebagai negeri penyumbang kemenangan yang diiktiraf fixed deposit, sudah tentu orang Sabah berharap mendapat perhatian yang lebih daripada pemimpin nombor satu negara.

Diharapkan lawatan PM ke daerah pedalaman akan membolehkan beliau melihat dan merasai sendiri jerih payah penduduk pedalaman meniti kehidupan, dalam banyak kekurangan. Pembangunan prasarana yang belum dinikmati, kemudahan yang belum sampai ke kawasan pedalaman dan kos hidup yang menghimpit.

Diakui di bawah pimpinan PM Najib, banyak perkembangan yang sudah berlaku. Banyak pembangunan dan kemudahan yang sudah disediakan. Harga barang keperluan seperti beras, gula dan petrol juga sudah diselaraskan. Memang tidak dapat dinafikan di bawah kepimpinan PM Najib, banyak keperluan rakyat di luar bandar sudah dipenuhi.

Bagi komuniti belia, keprihatinan kerajaan dan komitmen PM terserlah melalui pelbagai program yang sudah diatur untuk dilaksanakan. Malah pelbagai aktiviti pembangunan belia sudah pun terlaksana. Komitmen PM dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian dilaksanakan memang terserlah, khususnya dalam usaha mendekati belia.

Apa yang diharapkan, kehadiran PM kali ini akan menyuntik semangat baru di kalangan rakyat dan komuniti belia, khususnya di pedalaman. Semangat untuk terus maju dan meningkatkan diri, seiring dengan pelan tranformasi yang dilaksanakan kerajaan dalam pelbagai bidang.

Terima kasih PM Najib!

Thursday, March 31, 2011

Pemimpin Rakyat, Berjiwa Rakyat!


''Jangan ada tembok antara kita dengan rakyat. Kita mesti menjadi seorang pemimpin rakyat, berjiwa rakyat. Inilah tema kita untuk kita berjaya dalam sistem demokrasi di negara ini.
Salam,

Perdana Menteri DS Najib berterusan tanpa jemu menggariskan kriteria yang wajib dimiliki oleh pemimpin BN, demi memastikan mereka tidak alpa bahawa kuasa yang dimilik sekarang boleh hilang apabila rakyat sudah bosan dengan karenah pemimpin mereka. Terbaru semasa merasmikan AGM BAKTI, pandangan yang sama terus diutarakan.

Menurut Najib, pemimpin hari ini harus peka dengan perkembangan semasa. Harus sentiasa bersikap telus dan jangan sama sekali membohongi rakyat. Mungkin ada perkara yang mahu disorok dari pengetahuan rakyat, tetapi dengan kecanggihan tekonlogi maklumat hari ini, lama-kelamaan pasti akan terbongkar jua.

Elok rasanya jika seseorang pemimpin lebih terbuka dan berterus-terang dengan rakyat. Katakan perkara benar, jangan sesekali menganggap rakyat 'bodoh' dan tidak tahu. Pada era maklumat di hujung jari sekarang, tiada lagi perkara yang harus dirahsiakan dari pengetahuan rakyat. Apalagi sikap menipu, tidak jujur dan tidak amanah, semuanya hanya akan menunggu masa untuk diketahui rakyat akhirnya.

Najib juga dilaporkan mahu pemimpin mengurangkan protokol dalam perjumpaan dengan rakyat. Perjumpaan dengan rakyat atau pemimpin kecil di peringkat bawah harus kerap diadakan, untuk mencari jalan terbaik terhadap sesuatu perkara. Jika berkaitan dengan kemajuan dan keselamatan kampung, pastilah dengan JKKK. Jika berkaitan parti tentulah dengan Ketua Cawangan.

Protokol zaman feudal dengan para Laksamana, Temenggung dan Bendahara datang bersembah mengadap Raja pada masa yang ditetapkan, sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini. Seorang pemimpin harus sentiasa bersedia mendengar laporan dari para pembantu, pemimpin tempatan atau rakyat biasa setiap masa. Datang ke sesuatu kawasan hanya kerana ada acara dirasmikan bukan cara terbaik mendekati rakyat.

Sudahlah jarang bertemu, datang pula di kelilingi oleh para balaci, pencacai dan 'yang biasa-biasa' bersama dengannya sehingga rakyat tiada ruang untuk bersemuka dengan pemimpin harapan mereka. Akhirnya, wujud jurang pemisah di antara pemimpin dengan rakyat. Rakyat cuma mampu melihat pemimpin mereka dari jauh. Dan pemimpin tidak dapat mendengar rintihan, aduan atau denyut nadi rakyat.

Jika saranan PM Najib ini diambil peduli dan dilaksanakan oleh para pemimpin BN, sebagai pemimpin rakyat berjiwa rakyat, pasti BN akan terus mendapat sokongan padu rakyat. Perubahan yang dituntut oleh PM Najib di kalangan pemimpin BN, jika segera diambil tindakan, pasti suara sumbang di kalangan rakyat - sebahagiannya penyokong BN - tidak lagi kedengaran.

Harapnya, mereka akan mendengar!



Thursday, October 28, 2010

KAMI BANTAH...Hab Hiburan Malam!



“Secara prinsipnya, pusat hiburan, tidak kira di mana pun ia berada, tidak kira dibina oleh sesiapa pun, selagi ia bercanggah dengan hukum Allah, secara dasarnya ia tetap salah.

Salam,

Blog ini menyertai banyak kumpulan lain membantah cadangan ETP menjadikan Malaysia sebagai Hab Hiburan Malam bagi memacu industri pelancongan!

Ada banyak lagi cara untuk majukan industri pelancongan, bukan dengan budaya hiburan sahaja!

KAMI BANTAH!

Saturday, October 16, 2010

Terima Kasih PM...


Salam,

Seorang kawan menghantar sms, bertanyakan pandangan peribadi terhadap bajet yang dibentangkan oleh PM semalam. Agak lama juga mencari rumusan yang sesuai dengan bajet tersebut, untuk menjawab sms kawan tadi.

Akhirnya, rumusan yang sesuai ditemui dan sms dihantar kepada kawan tersebut tengah malam tadi. Dinukilkan seperti berikut: Bajet yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat. Semua sektor dan golongan mendapat menfaat. Sebagai rakyat, banyak insentif yang bakal diperolehi. Terima kasih kepada keprihatinan kerajaan yang mengambil kira suara akar umbi dalam bajet kali ini, khususnya perhatian kepada Sabah dan Sarawak.
Tanpa dapat disangkal, sememangnya bajet kali amat memuaskan. Walaupun dituduh sebagai bajet menjelang PRU, memancing sokongan rakyat dan sebagainya, namun ternyata akhirnya bajet ini memang 'Bajet Rakyat'!

Di atas kertas semua tercatat elok dan cantik, semua mendapat laba. Cuma terpulang kepada pihak pelaksana untuk merealisasikannya. Diharapkan tidak berlaku 'rumah siap pahat berbunyi', biarlah bajet rakyat ini sampai benar ke sasarannya.

Terima kasih PM...

Monday, September 27, 2010

Perlukah Umno Kepada Nazri Aziz?


Salam,

Umno yang terkejut dengan Tsunami politik pada PRU12, sudah mulai sedar dan melakukan perubahan yang bertujuan untuk menari kembali sokongan orang Melayu/Islam. Banyak usaha telah dilakukan oleh para pemimpin Umno, walaupun kesannya belum jelas kelihatan - terutama dalam siri kekalahan pada PRK.

Malangnya, usaha murni ini pasti akan digagalkan oleh segelintir ahli dan pemimpin yang bongkak dan sombong. Pemimpin yang perasan dan masih terbuai-buai dengan 'kehebatan' Umno sebelum ini. Lebih teruk lagi, usaha pembaikan Umno akan terjejas oleh pemimpin berjawatan Menteri yang bersikap bodoh sombong.

Contohnya, Nazri Aziz.

Apa perlunya mencabar PERKASA mendaftar sebagai parti politik dan berlawan dengan Umno, sedangkan PERKASA telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai NGO yang membela kepentingan orang Melayu?

Bukankah elok rasanya untuk PERKASA melakukan kerja dan UMNO serta Nazri Aziz juga melakukan kerja, yang kesemuanya demi kebaikan Melayu dan negara.

Tindakan Nazri Aziz secara berterusan 'menyerang' Tun Mahathir juga tidak kena pada tempatnya. Rasanya Nazri Aziz pun tahu kesan serangan kepada Tun pada PRU lalu telah menjejaskan sokongan orang Melayu kepada Umno.

Mungkinkah Nazri Aziz mahu melihat Tsunami lebih besar bakal berlaku pada PRU 13 nanti? Jika begitu niat Nazri Aziz - berdasarkan banyak kenyataan beliau sebelum ini yang telah menyinggung orang Melayu - elok rasanya Umno mengambil tindakan yang sesuai untuk beliau.

Friday, September 24, 2010

Belajar Dengan Namewee...


Ketua MCA Kedah, Chong Itt Chew berkata jika pengetua itu - Ungku Aznan Ungku Ismail, tidak dipindahkan ke sekolah lain, parti itu mungkin menganjurkan protes di depan sekolah berkenaan.

Salam,

Berkaitan kes Pengetua SMK Bukit Selambau, Sungai Petani yang dikatakan rasis, didakwa mengeluarkan perkataan perkauman di hadapan pelajarnya, menyebabkan Ketua MCA Kedah mengeluarkan amaran di atas.

Ogos lalu, Pengetua SMK Abdul Rahman Putra Kulai pula 'dihadapkan' dengan tuduhan Pengetua rasis. Laporan polis telah dibuat malah siasatan pun sudah dibuat. Apa nasib yang menimpa Pn. Siti Inshak Mansor dan Ungku Aznan Ungku Ismail belum diketahui. Menurut TPM, JPA yang berkuasa mengambil tindakan ke atas mereka.

Sambil menunggu siasatan selesai dan hukuman dijatuhkan, elok rasanya kedua-dua pengetua ini berjumpa dengan seorang rakyat Malaysia bernama Wee Meng Chee atau Namewee. Mereka boleh meminta tips daripada Namewee bagaimana cara untuk mengelak tindakan daripada pihak berkuasa.

Sebab memang terbukti, sehingga kini Namewee walaupun sudah beberapa kali melakukan 'kesilapan' dengan perbuatan dan perkataan yang ternyata rasis, cuma disiasat tanpa hukuman. Bagaimana cara beliau mengelak, elok dipelajari...

Wednesday, July 14, 2010

Iktibar Dari Piala Dunia.


Salam,


Temasya terbesar bola sepak Piala Dunia berakhir sudah. Seperti diketahui, Sepanyol telah menjadi juara. Kegembiraaan bagi pemenang, kekecewaan bagi yang kalah, semuanya telah berakhir.

Dalam seronok dan kecewa, banyak iktibar tersirat dari kejohanan ini yang boleh dipelajari. Untuk kita ambil pengajaran dan aplikasi dalam kehidupan seharian.


1. Kejuaraan yang digapai Sepanyol adalah hasil kesabaran mereka menunggu sejak sekian lama. Kesabaran mereka juga terserlah kali ini, dengan meningkatkan prestasi di setiap perlawanan sejak tewas dalam perlawanan pertama kepada Switzerland.


2. Belanda terkenal dengan permainan cantik, apa yang dipanggil 'total football'. Namun dalam bolasepak, permainan cantik tidak berguna jika kalah. Demikian juga, jika kejayaan hanya akan dikecapi


3. Brazil dan Argentina, dua nama besar yang ramai pengikut. Nama besar sahaja tidak memadai jika kalah bertarung. Maknanya, reputasi masa lalu tidak akan membantu menjamin kemenangan atau kejayaan.


4. England sebuah lagi pasukan yang dipenuhi warna-warni glamour. Sebelum kejohanan digambarkan sebagai pencabar utama kejohanan, yang ternyata palsu. Mereka tersungkur awal.


5. Empat tahun lalu, Itali dijulang selaku juara buat kali keempat. Kali ini mereka dimalukan

oleh pasukan kerdil seperti Slovakia. Ibarat roda, kali ini Itali terpaksa berputih mata melepaskan kejuaraan kepada pasukan lain.


Terdapat begitu banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada temasya empat tahun sekali ini bagi mereka yang mahu belajar. Pengajaran paling berguna tentulah di mana ada kemahuan di situ ada jalan, seperti yang ditunjukkan oleh pasukan Sepanyol. Kali pertama ke final terus mencatat nama sebagai pasukan kelapan menjuarai Piala Dunia.


Jumpa lagi 2014 di Brazil!


Monday, July 12, 2010

Kekal Bersatu! - Datuk Bung Mokhtar Radin.


Salam,

AMT Umno, Datuk Bung Mokhtar Radin mengingatkan ahli Umno supaya terus bersatu demi survival parti pada masa depan, khususnya dalam menghadapi situasi kritikal pada PRU13. Hanya dengan kesatuan jitu di kalangan ahli Umno sahaja yang mampu memastikan kuasa politik yang masih dipegang oleh orang Melayu dan Bumiputera terus terpelihara.

Berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Sipitang, Datuk Bung yang juga Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Kinabatangan, menegaskan bahawa nasib yang menimpa Golkar di Indonesia dan Kongres di India, sebagai parti yang berjuang memerdekakan negara tetapi akhirnya ditolak rakyat, tidak akan menimpa Umno jika ahli Umno kekal bersatu.

Umno juga tidak akan mengalami seperti mana pengalaman LDP di Jepun yang tewas dalam pilihanraya selepas lebih 50 tahun memerintah, jika ahli Umno dapat memainkan peranan masing-masing. Beliau menyeru sayap Pemuda dan Puteri untuk terus menggemblengkan usaha mendaftarkan golongan muda sebagai pengundi.

Dihadapan hampir seribu perwakilan dan pemerhati, Datuk Bung Mokhtar juga mengingatkan setiap wakil rakyat untuk terus bekerja dan turun padang menyelami rintihan rakyat. Pada masa sama, para pembantu wakil rakyat pula diingatkan supaya tidak 'takut' berhadapan dengan para pengundi dan bersikap lebih sudu dari kuah sehingga dibenci rakyat.

Saturday, July 10, 2010

Perpaduan Islam vs Perpaduan Melayu...


"Sebab itu, untuk menentukan keberkekalan kuasa politik yang kita miliki, kita kena bersatu. Kalau kita berpecah, kuasa politik yang menentukan kemajuan kita dalam bidang ekonomi, pelajaran akan hilang," Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Salam,

Soal perpaduan Melayu atau perpaduan Islam masih menjadi perdebatan, ibarat ayam dan telur yang mana dulu. Ramai yang terus berpolemik, perpaduan Islam mesti diutamakan berbanding perpaduan Melayu walaupun mungkin apa yang cuba dihasratkan oleh TSMY adalah perkara yang sama.

Dinukilkan komen seorang pengunjung blog ini untuk renungan bersama. Sama ada pandangan penulis ini benar atau tidak, masih boleh disetujui atau tidak. Namun sekurang-kurangnya pandangan beliau ini ada kebenaran itu diinsafi.

Salam, Kita sebenar terlupa bahawa di Malaysia apabila kita sebut sahaja Melayu secara otomatik kita kaitkan dengan agama Islam. Di Indonesia tiada bangsa Melayu, cuma bangsa Indonesia yang pelbagai ugama. Orang Arab pun, walaupun majoriti besarnya org Islam, tetapi ada juga yang bergama Kristian dan Yahudi. Justeru di dalam konteks Malaysia, apabila TPM menyebut tentang perpaduan Melayu, secara otomatisnya ia membawa makna kepada perpaduan umat Islam di negara ini. Memang terdapat bangsa bangsa lain yang menganut agama Islam di Malaysia. Tetapi secara perbandingan jumlahnya, majoriti besarnya adalam umat Melayu. Adalah juga menjadi kelaziman di Malaysia, apabila seseorang menjadi mualaf (embracing Islam), ia akan secara sedar atau tidak akan terikut ikut dengan budaya melayu, seperti pemakaian, pemakaian dan dalam beberapa hal adat istiadat. Dan kebanyakkan mereka juga akan mencari pasangan hidup daripada orang melayu. Apabila lahirnya zuriat, pendaftaran bangsa anak anak mereka akan di kategorikan sebagai 'MELAYU'. Justeru di dalam konteks Malaysia, perpaduan Melayu itu adalah perpaduan umat Islam. Cuma apabila ada perbezaan politik, sesebuah parti politik akan cuba memanipulasikan isu isu sensitif untuk membolehkan ia meraih sokongan. Kalau di kupas dari segi pengertian memanglah istilah perpaduan melayu dan perpaduan Islam itu berbeza. tetapi jika di lihat dari konteks malaysia dan survivaliti 'status quo' Melayu dan islam menjadi tonggak kedaulatan negara, 'perpaduan Melayu' mempunyai maksud tersirat yang lebih bererti. Tiada gunanya melaungkan perpaduan Islam , jika negara tersungkur di tangan puak puak yang berniat meminggirkan islam dan mematikan kuasa politik orang melayu. Seperti kata kata seorang pemimpin mereka 'THERE WILL BE NO ISLAMIC STATE IN MALAYSIA'..tepuk dada tanya selera..

Tuesday, July 6, 2010

Melayu hilang kuasa politik jika terus berpecah

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa orang Melayu berhadapan dengan kemungkinan hilang kuasa politik jika mereka terus berpecah-belah sesama sendiri.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kuasa politik yang diperolehi orang Melayu sejak negara merdeka adalah penting kerana ia telah membolehkan mereka maju dalam pelbagai bidang.

"Sebab itu, untuk menentukan keberkekalan kuasa politik yang kita miliki, kita kena bersatu. Kalau kita berpecah, kuasa politik yang menentukan kemajuan kita dalam bidang ekonomi, pelajaran akan hilang," katanya. Muhyiddin berkata demikian ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan Israk Mikraj Umno bahagian Pagoh di Masjid Kampung Parit Raja, Gersik, di Muar semalam.

Salam,

Masihkah orang Melayu memekakkan telinga daripada ingatan ini?

Parti Lain Kena Contohi MCA!


MCA arah semua bahagiannya terlibat dalam media baru

SEREMBAN 5 Julai - MCA telah mengarahkan semua bahagiannya agar melantik tiga hingga lima orang terlibat dalam media baru dalam menangani banyak berita dan khabar angin yang tidak berasas yang disebar luas oleh parti pembangkang, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Ini adalah supaya kita dapat memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang yang mana banyak berita dan khabar angin yang tidak berasas yang disebar luas oleh parti pembangkang.

“Jika ini tidak ditangani, lama kelamaan orang akan percaya dan ia akan menjadi satu kebenaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tung Hua di S2 Heights di sini, hari ini.

Salam,

Bagaimana dengan parti lain dalam BN, sudah melakukan tindakan sama atau masih belum bersedia berperang di alam siber?


Saturday, June 26, 2010

40 ulama muda sertai UMNO


KUALA LUMPUR 25 Jun – Seramai 40 orang terdiri daripada ulama muda dari seluruh negara hari ini menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penyerahan borang keahlian dilakukan di hadapan Galeri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO bermula.

Ia turut disaksikan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli MT yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Wakil kumpulan ulama itu, Dr. Fadlan Mohd. Othman, 35, berkata, penyertaan mereka bertujuan untuk bekerjasama dengan parti itu dalam perkara yang berkaitan keagamaan dan kerohanian.

“Banyak perbincangan telah dibuat (mengenai persetujuan untuk menyertai UMNO), cuma kita berharap penyertaan ini akan dapat menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan yang sedia ada dalam parti.

“Kemasukan ini bukan berlandaskan politik dan bukan bertujuan untuk melaga-lagakan mana-mana pihak.

“Kami optimis terhadap ruang-ruang yang boleh dilaksanakan untuk mendekati dan membina jati diri golongan muda,” kata Fadlan yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan borang itu.

Kita tunggu komen pihak sebelah sana...habislah durang ni kena belasah!

Wednesday, May 12, 2010

3 Sebab LDP Tumbang - Najib.


Salam,

Sempena Ulangtahun Umno ke-64, Presiden YAB DS Najib Tun Razak menukilkan 3 sebab kenapa LDP, parti utama di Jepun yang kalah dalam piliharaya umum negara itu. Ingatan diberikan untuk dijadikan "iktibar dan sempadan" kepada Umno dan parti komponen BN.

1. Corak politik dalaman parti itu yang terdapat terlalu banyak kelompok. "Politik kelompok diutamakan daripada berkhidmat untuk rakyat,".

2. Parti itu lebih mementingkan 'special interest group' daripada kepentingan rakyat jelata. "Kelompok yang ada kepentingan lebih diutamakan tetapi tuntutan rakyat tidak diberi keutamaan."

3. LDP memulakan proses reformasi tetapi tidak mempunyai iltizam politik untuk terus meneruskannya. "(Mereka) kembali kepada zon selesa dan mempertahankan status quo. Rakyat lihat (parti itu) jauh di hati rakyat, tidak merasa denyut nadi dan bukan (menjadi) parti yang segar dan dinamik."

Ketiga-tiga faktor ini jika tidak diambil iktibar oleh Umno ( dan komponen BN ), dikhuatiri apa yang melanda LDP di Jepun akan berlaku di negara kita. Simptom sudah ada, tinggal sama ada rakyat Malaysia akan seberani orang Jepun atau tidak.

Terpulanglah kepada ahli Umno untuk berubah dan menafikan realiti di Jepun daripada berlaku di sini.

Monday, May 10, 2010

Lesen Judi Piala Dunia Menyanggahi Fikiran Bertamadun - Dr. Asri


Salam,

Sebagai menjawab pertanyaan tentang pandangan blog ini terhadap cadangan kerajaan 'menghalalkan' judi Piala Dunia, pandangan blog ini selari dengan pandangan Dr. MAZA. Terima kasih.

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa pihak Kerajaan Pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus. Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut;

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa ‘tindakan pemerintah terikat dengan maslahah’. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri. Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi’i r.h:

“Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).

Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?! Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu. Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima. Al-Quran menyebut: (maksud)

“Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima. Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada ‘dilesankan’ atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan. Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

Baca seterusnya di sini.

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin