Salam,
Bermula hari ini, sekali lagi PM datang ke Sabah melakukan lawatan. Difahamkan daerah pedalaman yang akan menjadi tumpuan kali ini, bertemu masyarakat bumiputera dan komuniti belia.
Sungguhpun ini bukanlah kali pertama PM datang ke Sabah, keterujaan dengan lawatan PM sentiasa tersemat di hati orang Sabah, terutama di kawasan yang belum beliau dilawati. Keterujaan ini berasas. Sebagai negeri penyumbang kemenangan yang diiktiraf fixed deposit, sudah tentu orang Sabah berharap mendapat perhatian yang lebih daripada pemimpin nombor satu negara.
Diharapkan lawatan PM ke daerah pedalaman akan membolehkan beliau melihat dan merasai sendiri jerih payah penduduk pedalaman meniti kehidupan, dalam banyak kekurangan. Pembangunan prasarana yang belum dinikmati, kemudahan yang belum sampai ke kawasan pedalaman dan kos hidup yang menghimpit.
Diakui di bawah pimpinan PM Najib, banyak perkembangan yang sudah berlaku. Banyak pembangunan dan kemudahan yang sudah disediakan. Harga barang keperluan seperti beras, gula dan petrol juga sudah diselaraskan. Memang tidak dapat dinafikan di bawah kepimpinan PM Najib, banyak keperluan rakyat di luar bandar sudah dipenuhi.
Bagi komuniti belia, keprihatinan kerajaan dan komitmen PM terserlah melalui pelbagai program yang sudah diatur untuk dilaksanakan. Malah pelbagai aktiviti pembangunan belia sudah pun terlaksana. Komitmen PM dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian dilaksanakan memang terserlah, khususnya dalam usaha mendekati belia.
Apa yang diharapkan, kehadiran PM kali ini akan menyuntik semangat baru di kalangan rakyat dan komuniti belia, khususnya di pedalaman. Semangat untuk terus maju dan meningkatkan diri, seiring dengan pelan tranformasi yang dilaksanakan kerajaan dalam pelbagai bidang.
Terima kasih PM Najib!