Search This Blog

Showing posts with label TunMahathir. Show all posts
Showing posts with label TunMahathir. Show all posts

Tuesday, October 5, 2010

Azmin...Siapa Sebenarnya Yang Tersungkur?


Salam,

Azmin Ali menyindir Tun Dr. Mahathir sebagai pemimpin yang tersungkur apabila Tun dimasukkan ke hospital di Melbourne, Australia. Dilaporkan keadaan kesihatan Tun sudah semakin pulih, Tu dinasihatkan berehat. Yang panas di tanahair...marah kenyataan biadab Azmin.

Rasa dendam dan benci Azmin terhadap Tun membara hingga ke hari ini. Marah Azmin kepada Tun kerana menghalang perjalanan bosnya ke puncak kuasa lebih sepuluh tahun lalu masih belum terpadam. Begitu dendam dan bencinya Azmin kepada Tun yang menyebabkan bosnya 'tersungkur' di pintu pejabat PM....

Kalau pun Tun Mahathir tersungkur, beliau tersungkur sebagai negarawan yang akan diingati dan terus diingati sebagai bekas PM. Berbanding Azmin atau bosnya, yang tersungkur dan mungkin akan tersungkur lagi tanpa sempat berpaut di dahan kuasa. Malah Azmin pun belum tentu menang jawatan Tim Presiden PKR yang ditandinginya.

Eloknya tidak perlu dilayan biadabnya Azmin. Biarkan dia berpolitik untuk mengalihkan isu mesyuarat dan pemilihan PKR yang berantakan. Biarkan dia menutup malu dengan bersikap biadab....

Monday, September 28, 2009

Calon Menang di Bagan Pinang...


Salam,


Esok Umno akan mengumumkan calon yang akan diketengahkan untuk mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang. Sebelum calon yang akan menggalas tanggungjawab berat ini diumumkan, elok rasanya kita membaca apa yang disuarakan oleh para pemimpin.

Tun Mahathir, Bekas presiden Umno… "Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang.

"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu sama ada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya,''

Seterusnya Tun berkata … "Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini.

"Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno,"

Ku Li, bekas calon Presiden Umno, menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihanraya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, faktor calon memainkan peranan penting dalam pilihan raya tersebut kerana ia menjadi menjadi pertimbangan utama pengundi di kawasan berkenaan.

"Saya percaya akhirnya parti akan pilih calon yang paling sesuai, kita sepatutnya mengambil pengajaran dari pengalaman terdekat ini (Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir)

Kesimpulannya, pucuk pimpinan Umno kena berhati-hati dan menilai dengan wajar, sehabis pertimbangan sebelum mengumumkan calon. Supaya kerusi ini tidak terlepas ke tangan PAS dan Umno terus menggigit jari.


Biarlah calon yang dipilih itu, calon yang berwibawa, boleh menang dan menaikkan semula semangat dan imej Umno. Calon yang disukai rakyat, bukan disukai orang Umno sahaja.


Rasanya tidak berbaloi bagi Umno, menang di Bagan Pinang tetapi imej terus merosot...dek kerana tersalah pilih calon. Akhirnya menang di Bagan Pinang, tapi terus kalah selepas ini!


Wednesday, July 22, 2009

Kaki Dalam Kasut - Che Det


Salam, Dipetik tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad, tulisan yang cukup baik untuk memahami hubungan antara kaum di negara ini. Dinukilkan tulisan ini sepenuhnya untuk tatapan bersama.

1.
Di forum anjuran Gempita dan UMNO bertajuk Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di Zaman Liberalisasi dan Globalisasi, saya ditanya oleh seorang pensyarah Melayu dari UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apakah saya pernah fikir untuk meletak diri saya di tempat orang bukan Melayu (put yourself in the shoes of a non-Malay) bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini.

2. Saya percaya penyoal berpendapat orang bukan Melayu berasa amat tertekan dan kecewa dengan "ketidakadilan" terhadap mereka di Malaysia (oleh Kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu).


3. Saya tidak tahu samada penyoal ini pernah bertanya kepada tokoh bukan Melayu soalan yang sama iaitu perasaan orang Melayu akan keadaan di negara nenek moyang mereka yang mereka sudah jadi kaum yang secara relatif termiskin dan masih ketinggalan.


4. Jika beliau bertanya dan tokoh tersebut menjawab secara ikhlas, beliau akan dapati bahawa orang Melayu amat kecewa dengan kemiskinan relatif mereka sehingga terpaksa meminta-minta sepanjang masa dan juga ketinggalan dalam pelbagai bidang.


5. Mereka cuba yakin mereka adalah tuan di negara mereka tetapi mereka tahu sebenarnya mereka bukan tuan. Orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar.


6. Kerana mereka rela berkongsi negara mereka dengan kaum lain, kaum yang berasal dari tamadun yang lebih tua (4,000 tahun) dan lebih berjaya, hari ini yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari mereka.


7. Fikirkan hanya berkenaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Agihan kekayaan korporat dalam DEB ialah sebanyak 30% bagi bumiputra (walaupun mereka adalah 60% dari penduduk) dan 40% bagi kaum lain serta 30% bagi orang luar. Tetapi setelah diusahakan selama 39 tahun bahagian yang terdapat bagi mereka ialah 20%, sedangkan yang terdapat bagi kaum lain ialah hampir 50%, walaupun mereka hanya 26% dari jumlah penduduk.


8. Nilai harta milik bumiputra pula berjumlah 15% sedangkan yang baki dimiliki oleh bukan bumiputra disebabkan harta di bandar bernilai lebih tinggi dari di luar bandar.


9. Tokoh bukan Melayu yang cuba duduki tempat Melayu (in the shoes of the Malays) jika ikhlas, akan rasa kekecewaan Melayu melihat hampir semua perniagaan dan perusahaan serta kekayaan yang diperolehi darinya dimiliki oleh bukan Melayu. Segala estet rumah mewah juga diduduki oleh bukan Melayu. Sikit benar orang Melayu yang tinggal di estat mewah ini. Lebih ramai yang tinggal di kawasan setinggan.


10. Mungkin semua ini disebabkan kesalahan orang Melayu sendiri. Mereka tidak guna peluang yang disediakan bagi mereka. Ada yang salahguna peluang-peluang ini pun. Tetapi jika seorang pengayuh beca diberi sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.


11. Social engineering bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja. Sosialisme dan Komunisme juga merupakan sejenis social engineering untuk mengurang atau menghapus jurang antara yang miskin dengan yang kaya. Mereka juga tidak berjaya sepenuhnya walaupun mereka mengguna kekerasan yang dahsyat. DEB dilaksanakan dengan berhati-hati tanpa kekerasan, tanpa rampasan dan sering dipinda apabila menghadapi tentangan dari bukan Melayu. Apakah persepsi orang Melayu terhadap DEB?


12. Lihat sahaja sejarah perjuangan Melayu. Pada Pilihanraya 1955, diwaktu mereka menguasai 82% dari kawasan-kawasan pilihanraya, mereka rela memberi sejumlah yang tidak kecil dari kawasan - kawasan mereka kepada kaum lain dan mengundi calon dari kaum-kaum ini sehingga menang melawan calon Melayu lain (PAS).


13. Kemudian mereka anugerahkan satu juta kerakyatan tanpa syarat biasa kepada kaum lain sehingga peratusan rakyat Melayu jatuh dari 82% kepada 60%. Siapakah yang lain yang pernah lakukan yang sedemikian?


14. Pada ketika itu nama rasmi negara ialah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan Sabah, perkataan "Tanah Melayu" digugur dan cantuman negeri - negeri ini dinamakan Malaysia. Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara sendiri. Tidak pula mereka tuntut nama-nama lain digugur.


15. Tidak seperti di negara-negara yang membenar hanya bahasa kebangsaan mereka sahaja untuk semua sekolah nasional, orang Melayu bersetuju bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah bantuan Kerajaan. Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tidak menjadi bahasa kebangsaan seperti di negara-negara jiran dan di Eropah, Australia dan Amerika.


16. Dan banyaklah lagi korban yang dibuat oleh orang Melayu supaya kaum lain mendapat apa sahaja yang dituntut oleh mereka, demi keamanan dan perpaduan rakyat dan negara.


17. Apakah gamaknya perasaan tokoh yang meletak diri di tempat orang Melayu, terhadap semua korban ini? Apakah dia masih fikir yang orang Melayu harus korban segala-gala yang dituntut daripada mereka?


18. Dengan rencana ini saya tetap akan di cap sebagai racist oleh racist bukan Melayu. Tetapi kalau mereka sanggup menerima yang benar, mereka boleh banding korban orang Melayu pemilik asal negara ini dengan korban mereka untuk kepentingan negara ini.


19. Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju, agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hendaklah adil (fair) walaupun tidak sama (unequal). Janganlah hendaknya mana-mana pihak atau kaum tanggung beban kemiskinan yang keterlaluan, sementara kaum lain hidup mewah. Mengumpan sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah caranya - lebih-lebih lagi mengambil dari yang kurang berada untuk diberi kepada yang sudah lebih berada.


Thursday, April 30, 2009

Pak Lah Kenen Siapa Ni?


Salam, Agendadaily melaporkan:

Bagaimana pula dengan sidang Dewan Rakyat yang akan
berlangsung pertengahan Jun nanti? Tidakkah beliau sebagai bekas Perdana Menteri kekok nak duduk sebarang dengan ahli parlimen biasa nanti?

Kepada soalan ini,Pak Lah kata beliau tidak ada masalah kerana pernah jadi backbencer dulu. “Anda harus tahu dimana anda harus berada.Apabila anda enggan terima perubahan anda akan mula bercakap dan buat perkara yang tak betul dan tak kena.Itu masanya anda akan cetuskan masalah,”katanya membayangkan beliau enggan campur urusan pentabiran kerajaan selepas bersara.-25/4/2009


Iyalah Pak Lah, kalau dah bersara tu, buatlah cara bersara. Berehatlah. Sedar-sedarlah hendaknya cara orang pencen!


Kalau pun rasa nak menyumbang juga, buatlah cara yang betul. Aktif dalam Pengakap pun elok juga. Atau nak tanam pokok supaya bumi ni hijau. Atau menonton Astro Ceria dengan cucu!


Orang kata, jangan ada 2 ekor singa di atas bukit yang sama. Atau jangan ada dua kepala dalam One Malaysia.


Inikan 'SATU' Malaysia...baguslah kalau Pak Lah dah faham!


***************************

Tulisan ini mendapat respon yang pelbagai. Sama ada ia tidak difahami atau kerana memahaminya secara lurus bendul!

Adapun maksud tulisan ini ialah satu penghargaan kepada Pak Lah kerana menyedari dia bukan lagi seorang PM. Tulisan ini memetik temubual di Agendadaily.

Sewajarnya Pak Lah dihargai kerana selepas 'turun takhta' , beliau benar-benar berehat dan kembali menjadi rakyat biasa walaupun masih menjadi MP.

Berbeza dengan Tun Mahathir, yang hanya berehat seketika dan kembali mencampuri urusan pentadbiran. Malahan yang parahnya, kini Tun M dianggap PM bersama DS Najib! Sehingga kabinet yang dibentuk oleh DS Najib pun ditohmah sebagai hasil campur tangan Tun M - digelar pula Kabinet MAHAJIB.

Harapnya tulisan ini tidak difahami secara bendul! TK


Tuesday, April 7, 2009

Akhirnya Tun M Kembali...

Salam,

Seperti yang dilaporkan, akhirnya Tun Mahathir kembali ke pangkuan Umno. Sama ada tindakan Tun 'kembali ke pangkal jalan' ini akan membantu menguatkan Umno belum dapat dipastikan.

Tun telah menunaikan janjinya ketika bertindak keluar hampir setahun lalu, hanya akan kembali bila Pak Lah bukan lagi Presiden. Janji ini tertunai sembilan hari selepas DS Najib menjadi Presiden dan sehari selepas menjadi Perdana Menteri.

Istimewanya kepulangan Tun Mahathir kali ini, buat kali kedua, disambut oleh Presiden Umno sendiri. Sesuatu yang jarang berlaku...seorang yang keluar dan diterima semula dengan terbuka. Mungkin Tun dan Ezam serta beberapa orang bekas ahli PKR sahaja yang mendapat keistimewaan ini.

Kembalinya Tun kali ini diharapkan akan membawa sinar baru kepada perjuangan Umno. Paling dekat, diharapkan kemenangan BN ( dan Umno ) akan menjelma di 3 PRK malam nanti. Tun juga sudah pun menyertai kempen BN kali ini.

Tanpa menafikan jasa dan pengaruh serta populariti Tun, diharapkan juga Tun akan mampu meraih kembali sokongan orang Melayu kepada Umno dan bukan Melayu kepada komponen BN lain. Rasanya, bukan sedikit yang beralih sokongan sebelum ini gara-gara terpengaruh dengan Tun...bantahan, bangkangan, kritikan, sindiran, bidasan dan akhirnya bertindak keluar Umno.

Adakah mereka akan turut sama kembali menyertai Umno atau menyokong BN semula? Hmm entahlah...kita tengok malam nanti!

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin