Search This Blog
Tuesday, March 30, 2010
Auta Samy Vellu...
"Saya telah bagi tahu siapakah nama calon kepada Perdana Menteri. Beliau terima, beliau akan siasat dan panggil saya sebelum beliau keluar negeri," BH Online
Salam,
Bunyi macam bagus. Samy Vellu serahkan nama calon MIC kepada Pengerusi BN, DS Najib Tun Razak untuk pertimbangan. Maknanya, belum ada keputusan calon yang mana akan bertanding mewakili BN di Hulu Selangor. Samy Vellu faham tentang ini.
Sememangnya keputusan siapa dan parti apa akan bertanding dalam PRK ini nanti bakal diputuskan oleh BN Pusat. Sehingga ke saat ini, belum diketahui. Masih terbuka untuk diperdebatkan walaupun kerusi tersebut kouta MIC. Umno Hulu Selangor minta diberi peluang.
Namun, beberapa hari lalu, Samy Vellu sudah pun umumkan calon 'kitar semula' G.Palanivel, Timbalan beliau dalam MIC bakal dicalonkan. Pengumuman yang sudah pun mendahului keputusan. Nampak sangat auta Samy Vellu ni.
Hari ini pengundi dan rakyat tidak bercakap soal kouta, tapi bercakap peluang untuk menang. Jika calon dari MIC sudah ketara tidak diterima - buktinya PRU 2008, 3 DUN BN menang tapi di Parlimen BN kalah - mengapa memperjudikan peluang untuk menang?
Semuanya terserah untuk diputuskan. Namun, kehendak dan denyut nadi pengundi Melayu yang majoriti di Hulu Selangor perlu juga diambil kira. Janganlah diturutkan sangat auta Samy Vellu. Kalau ikut dia, MIC tetap mahu menang. Tapi faktanya, MIC gagal menarik pengundi India!
Kalau sudah begitu, mengapa tidak diberi sahaja peluang kepada Umno mencuba nasib?
Monday, March 29, 2010
Chua Soi Lek Yang Hebat....
Melihat laluan kerjaya politik Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam tempoh 2-3 tahun kebelakangan ini bolehlah diberi tabik spring. Beliau memang hebat, daripada seorang yang pernah terpinggir dan dipinggirkan, hari ini beliau keluar sebagai wira pemenang.
Kehebatan beliau terserlah dengan kemenangan menewaskan penyandang jawatan malah bekas Presiden MCA. Undi yang diterima beliau pun cukup meyakinkan. Soal kemenangan beliau akan dapat menyelesaikan kemelut politik MCA, masih belum dapat dipastikan. Tentu beliau ada strategi tersendiri.
Yang heboh diperkatakan orang soal imej moral beliau yang tercemar gara-gara skandal video seks, yang menyebabkan beliau kehilangan jawatan politik sebelum ini. Sehingga kini, kesan kerosakan tersebut masih dirasai dan disebut di mana-mana.
Maka ramailah yang membuat telahan bahawa seseorang yang terpalit dengan kes moral, boleh membuat come back, seperti yang dibuktikan Dr Chua. Malahan boleh pula mengambil jawatan yang baik dan tertinggi seperti Presiden.
Sebaliknya, ramai pula yang meramal kes moral beliau akan menjadi penghalang Dr Chua untuk menjadi pemimpin yang berkesan. Beliau dikatakan akan dihantui kes tersebut dan tidak mampu mengendalikan parti dengan baik. Sebagai pemimpin dikatakan Dr Chua harus menjadikan moral sebagai keutamaan supaya menjadi teladan anak-anak buah.
Memang benar, pemimpin yang imejnya tercemar apalagi dalam isu moral seharusnya bersikap gentleman. Bagaimana pemimpin menjadi ketam mengajar anaknya berjalan betul sedangkan dia sendiri berjalan tidak betul? Namun dalam kes Dr Chua, perwakilan yang memilih beliau bukan tidak tahu dengan imej beliau. Semuanya mengenali beliau sebelum ini. Ertinya, mereka yang setuju berpemimpin sedemikian rupa.
Lagipun dalam politik Malaysia, apalah soalnya berpemimpin seperti Dr Chua? Sukar untuk mendefinisikan soal moral dalam konteks politik kita...sebab politik kita memang dipenuhi wajah yang moralnya diragui malah yang tidak bermoral pun ramai!
Friday, March 26, 2010
Umno Kena Berani!
Salam,
Seawalnya diucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Zainal Abidin Ahmad, MP Hulu Selangor yang telah kembali ke Rahmatullah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama para solehin.
Kematian ini membawa bersama kekosongan kerusi P.94 Hulu Selangor, yang mesti diisi dalam tempoh 60 hari. SPR akan bermesyuarat Jumaat depan.
Kerusi ini asalnya dimenangi oleh MIC pada 2 PRU yang lalu, walaupun Melayu adalah pengundi majoriti. Atas dasar kouta, MIC melalui G.Palanivel telah diberi peluang namun tewas tipis pada PRU 2008. Allahyarham menewaskannya dengan majoriti 198.
Kali ini Umno Bahagian Hulu Selangor dilaporkan melobi untuk mendapatkan kerusi ini daripada MIC. Ketua Bahagian Mohamed Idris Abu Bakar kata ia kehendak akar umbi.
Mungkin ada kebenarannya. Mengapa tidak diberi peluang Umno mencuba dalam PRK yang bakal diadakan bagi menunjukkan memang akar umbi mahu melihat Hulu Selangor diwakili Melayu Umno. Sebagaimana mereka menunjukkan pada PRU lalu kehendak mereka diwakili oleh Allahyarham.
Memang perit dan sukar untuk pucuk pimpinan Umno membuat keputusan. Memang tidak mudah. Namun sudah sampai masanya bagi Umno bertindak berani, meletakkan calon Umno sesuai dengan slogan Umno Juara Rakyat.
Kalau nak ikut kouta pun, tapi tidak boleh menang...tidak guna juga. Blog ini menyokong usaha Umno Hulu Selangor!
Wednesday, March 24, 2010
Macam Budak-budak...
Salam,
Perangai budak-budak, akan merajuk apabila tidak mendapat sesuatu yang dihajati. Tidak mendapat permainan dikehendaki, pasti akan menangis. Merajuknya sampai sanggup tidak menjamah makanan.
Sama macam perangai ADUN Titi Tinggi, YB Yip Sun Onn. Meletak jawatan sebagai ADUN sebab merajuk tidak dilantik Exco Perlis. Buruk perangai kalau orang tua yang merajuk.
YB Yip ni mungkin tidak faham. Di DUN Perlis cuma ada dua kerusi milik MCA. Takkan dua-dua nak jadi exco. Dapat satu pun kira untung. Ni meletak jawatan pula sebagai ADUN, memang tidak wajar.
Sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, tindakan meletak jawatan atas kepentingan peribadi menampakkan perasaan tamak haloba dan peribadi yang berjiwa kerdil. Orang sibuk nak pulihkan MCA yang sedang berkecamuk sekarang, dia pula sibuk memenuhi agenda peribadi.
Ada kalanya, karenah budak-budak ni tak perlu dilayan sangat. Makin dilayan, makin besar kepala. Biar sahaja...kalau dia terus letak jawatan, letak calon Umno dalam PRK. Senang cerita...
Monday, March 22, 2010
Tindakan Tegas Untuk Majikan Lalai!
Mungkinkah nyawa kuli tidak berharga di mata bos?
Bukan sekali dua, malah sudah berulangkali kes pekerja maut kerana terhidu gas beracun - karbon monoksida - ketika menjalankan kerja pembersihan di ruang yang sempit tanpa pengudaraan yang sempurna.
Kejadian terbaru di tapak pembinaan Loji Penapis Air, Kg Lawa Beaufort seharusnya membuka mata pihak yang berkenaan. Dalam kejadian ini, nyawa 6 kuli melayang. Satu faktor yang ketara dalam kejadian ini ialah kegagalan pihak pengurusan @ majikan mengambil tindakan wajar.
Urutan kejadian yang menyedihkan ini bermula apabila 2 orang kuli masuk ke kawasan tangki untuk kerja pembersihan. Selepas dua jam, 2 orang lagi menyusul untuk meninjau kerja rakan mereka yang terdahulu. Diikuti kemudiannya oleh 2 orang lagi rakan mereka. Kesemua mereka maut.
Hanya selepas 6 orang terkorban, baharulah majikan memanggil bomba untuk mengeluarkan mayat mangsa. Apakah kerana kuli ini adalah PTI yang tiada pas kerja, maka nyawa mereka tidak berharga di mata majikan?
Pihak Jabatan Tenaga Kerja dan agensi berkaitan wajar bertindak tegas terhadap majikan. Bukan sahaja dalam kes ini, malah kepada semua majikan yang lalai. Ternyata dalam kebanyakan kes, majikan gagal mengambil langkah keselamatan yang perlu.
Dalam banyak keadaan, kuli sering menjadi mangsa...
Sunday, March 21, 2010
Kegilaan Manusia Berduit...
Salam,
Dilaporkan nombor plat kenderaan TAY 1 dibeli dengan harga RM 220,000.00, mengatasi plat nombor TAN 1 yang dibeli RM 200,090.00 sebelum ini.
Berdasarkan laporan tersebut, plat nombor yang didaftarkan di Terengganu nampaknya terus menjadi buruan di kalangan manusia berduit. Contohnya TAX 1 dibeli dengan harga RM 165,000.00.
Bayangkan untuk memasang nombor plat TAY 1, manusia berduit ini sebenarnya boleh membeli lebih kurang lapan buah kereta Perodua Viva atau membina enam buah rumah PPRT!
Kegilaan manusia berduit dapat dilihat dengan pembelian plat nombor yang cantik dan bergaya. Tentunya juga dipasang di kereta yang canggih dan ekslusif.
Ada duit semua boleh jadi....
Thursday, March 18, 2010
Terjahan 'Parti Bebas'!
Salam,
Sekali diberi kesempatan, wakil rakyat Bebas YB Zahrain Hashim terus menggunakan peluang membuka rahsia sekian lama terpendam. Terus membelasah temberang 'bakal' PM 16 September 2008 di Dewan Rakyat.
Rupanya nama Seri Paduka Baginda YDPA dan Panglima ATM diguna untuk meyakinkan 'barisan kabinet' menjelang penubuhan kerajaan baru masa tu. Wah, padan la semua nga-nga mulut nak tunggu detik angkat sumpah.
Kesian...bayangkanlah kalau kawan-kawan sendiri pun dia sanggup tipu, inikan pula rakyat jelata yang entah siapa-siapa ja. Bunyi macam bagus, rupanya ekor bergelumang tahi. Tau pula malu...terus cabut bila tembelang dah kena pecah.
Kalau orang Umno yang kata, bolehlah cakapa auta. Ini pendedahan best-friend sendiri, takkan nak diam ja. Kalau setakat nak jawab dengan jeritan penipu atau kecewa sebab tak dapat tender, orang sekarang dah tak makan lagi la dengan alasan gitu tu.
Sebagai 'bakal PM', kita rasa Anwar patut jawab atau nafi pendedahan wakil Bebas ni. Janganlah cabut pula...kita tunggu jawapan. Macam YB Zul kata, 'Parti Bebas' ni betul-betul buat orang terkejut la....
Friday, March 12, 2010
Dari Putrajaya Ke Sungai Buloh...
Salam,
Wah semenjak dipecat dari PKR, tembakan bertalu-talu YB Zul terhadap PKR semakin kuat dan tepat ke sasaran. Syukurlah, nampaknya YB Zul semakin jelas dengan hala tuju perjuangan PKR dan Pakatan yang semakin jauh terkandas.
Harapnya rakan-rakan yang lain, yang masih mengintai peluang dalam PKR supaya segera bertindak. Menunggu terlalu lama pun tidak berguna, khuatir kapal dinaiki terus karam!
Jika pilihan raya diadakan sekarang PKR akan kalah teruk – Zulkifli Noordin
KUALA LUMPUR 10 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu muhasabah diri dan mengelak daripada menyalahkan pihak lain sebagai dalang dalam setiap krisis dalaman yang dihadapinya.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, pimpinan parti itu tidak perlu terlalu cepat melatah dengan menuduh UMNO kononnya telah menawarkan sejumlah ganjaran kepada ahli-ahli Parlimen PKR yang bertindak keluar parti.
“Adalah lebih baik PKR dan pakatan pembangkang melihat muka masing-masing di cermin, bermuhasabahlah daripada menyalahkan orang lain di atas kekurangan dan kelemahan sendiri,” katanya dalam program NST Live Chat secara maya selama kira-kira dua jam hari ini.
Zulkifli berkata, masalah kronik yang melanda PKR segalanya berpunca daripada peranan firaun kecil yang disifatkan sebagai anai-anai yang merosakkan keteguhan parti secara perlahan-lahan.
Beliau berkata, sekiranya tiada langkah drastik dilakukan dan ‘firaun kecil’ dibiarkan terus menguasai parti, PKR tidak perlu menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 untuk hancur.
“Malah jika diadakan PRU sekarang, saya pasti PKR akan kalah teruk, mereka sedang menggali kubur sendiri dengan cita-cita besar menuju ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti bakal beralih arah ke Penjara Sungai Buloh!” katanya.
Mengulas mengenai tindakan beliau menarik diri daripada mewakili Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam permohonan qazaf, Zulkifli berkata, ia merupakan tindakan profesional yang langsung tiada kaitan dengan kepentingan peribadi.
“Seorang peguam perlu memiliki hubungan baik penuh profesional dan kepercayaan dengan pelanggan bagi membolehkan pembelaan dilakukan secara penuh jujur,” katanya.
Wednesday, March 10, 2010
Alfatihah....Semoga Allah Mencucuri Rahmat.
Salam,
Dititipkan sekudus doa, semoga Allah mencucuri rahmat kepada hamba-Nya telah kembali ke pangkuan-Nya.
1. Syeikh Al-Azhar, Syeikh Mohamed Sayed Tantawi, tokoh ulama Sunni terkenal yang meninggal dunia di Riyadh Arab Saudi selepas diserang sakit jantung.
Dilaporkan almarhum berada di Riyadh untuk menerima satu anugerah oleh Kerajaan Arab Saudi. Jenazah almarhum dikebumikan di perkuburan al-Baqi, Madinah.
2. Allahyarham Cikgu Aman Abas, guru dedikasi dan komited yang berkhidmat sejak dari awal perkhidmatannya di SMK Gadong, Beaufort. Allahyarham meninggal dunia pada usia 45 tahun.
Pemergian beliau pasti adalah kehilangan besar kepada dunia pendidikan khususnya di peringkat sekolah. Jasa bakti yang ditaburkannya pasti menjadi kenangan abadi kepada seluruh werga.
Alfatihah....
Monday, March 8, 2010
Perosak Kestabilan Rakyat (PKR)? - Harimau
Tandus idea melihat politik Malaysia. MCA tak habis-habis bergolak ketika parti mereka semakin lemah, DAP semakin kuat. Bukan fikir nak kuatkan parti, asyik berebut siapa nak jadi Presiden. Eloknya tendang ja MCA ni...
PKR pula tak nak terima hakikat. Asyik salahkan wakil rakyat yang keluar parti. YB Zul habis kena belasah selepas kena pecat. Semua kisah peribadi dijaja, sedang dulu mereka ni cukup mulia di mata PKR. Keluar ja terus jadi najis...hampas!
Baik baca tulisan Harimau Menaip - bagus juga idea 'mamat' ni. Selamat membaca...
Ramai yang tertanya-tanya, mengapa ramai sangat Ahli Parlimen dan ahli-ahli Pakatan Rakyat yang menyeberang titian lahanat sejak akhir-akhir ini? Kelihatan pula, kelemahan dan kekeldaian mereka didedahkan secara bersiri dan berterusan oleh rakan-rakan blogawan Pro Pakatan Rakyat. Mudah sungguh mencari salah bekas-bekas PKR ini. Nampak sangat, mereka TIDAK LAYAK bergelar calon Pilihanraya sejak hari pertama lagi. Siapa yang pilih mereka sebagai calon agaknya?
Asal sahaja kekecohan melanda, pasti ada nama PKR disebalik insiden tersebut. Siapa agaknya yang bersalah?
Anwar Ibrahim sebenarnya tidak layak menjadi Ketua dan pembantu-pembantu beliau adalah terlalu baghal untuk menyedari kebangangan ketua mereka itu.
Kita semua menyalahkan Pak Lah dan KJ kerana kejatuhan BN dan pengagihan kekayaan kepada kroni-kroni. Mengapa pula kita tidak menuding kelima-lima jari kepada Anwar Ibrahim kerana kegagalan dan kepunahan dalaman Parti Keadilan Rakyat?
PR menjadi kuat kerana ahli-ahli BN menyokong mereka dalam senyap. Mereka menyangka Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri.
Sekarang semuanya tinggal angan-angan bagi Anwar. Umur beliau semakin lanjut. PKR tiada pemimpin yang berkarisma untuk menggantikan Anwar. DAP sudah nampak ini semua. DAP bukan cina bodoh!
Kestabilan dan keamanan yang dikecapi Rakyat kerapkali digoncang dengan isu-isu politik baik dari PR mahupun dari UMNO. Dari mata rakyat, PKR paling kerap menjadi dalang.
Untuk apa agaknya parti ini ditubuhkan? Mungkinkah sudah tiba masa untuk dikuburkan? Setidak-tidaknya, Anwar perlu bersara. He is nothing jika Cina Ah Siang yang menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.
Mungkinkah Anwar akan mengulang kata-kata Mahathir iaitu "Perjuangan Belum Selesai"? Ingat! Anwar is nothing!
Nota kaki: Ahli PKR adalah ahli yang direject dari parti yang lain.
Apa Hal Dengan Si Karpal Ni?
Karpal Singh marah benar dgn Zulkifli Nordin dan YB PKR yang keluar parti. Dicabarnya mereka tidak hadir sidang Parlimen supaya kerusi kosong. Apa punya bengap si Karpal ni mencabar untuk perkara yang tiada faedah. Langsung tiada kaitan dengan DAP pun.
Sama juga bengap dengan Presiden Azizah yang marah dengan YB Zul. Sama juga main cabar kosongkan kerusi. Semua nampak macam cerdik bila cabar YB keluar atau dipecat kosongkan kerusi. Alasan, mereka menang kerana parti.
Agaknya Karpal atau Azizah ni lupa, dulu 16 September bukan main seronok durang nak tubuh kerajaan dengan harapan lompatan MP BN. Tiada pula bunyi nak kosongkan kerusi dulu baru lompat. Inilah masalah meracau bila harapan makin samar!
Kita tolong ingatkan Karpal, Azizah serta seluruh penyokong durang. Semua ni terjadi sebab video ni...Tu la dulu, Karpal suruh Anwar bertaubat, tak nak dengar. Kan masing-masing dah bawa diri!
Klik gambar di atas untuk tengok video faktor PKR kelam-kabut sekarang...Selamat Menonton!
Saturday, March 6, 2010
Kesian PKR II : Berapa PKR Dibayar Pecat YB Zul?
Orang sudah tahu semua ADUN dan AP yang keluar mempunyai masalah kewangan ataupun masalah disiasat oleh SPRM. Namun tidak dinafikan ada juga masalah pribadi dengan pimpinan parti atau kerajaan negeri. Boleh dikatakan semuanya menemui PM Najib Razak dan ada kalanya isteri beliau, Rosmah Mansor, sebelum bertindak keluar. ( Agendadaily )
Salam,
Akhirnya, wayang kulit YB Zul dengan PKR berakhir. Kesudahannya, PKR memecat YB Zul atas 'kesalahan berulang-ulang' beliau. Memang satu yang pahit terpaksa dilakukan oleh PKR, kehilangan seorang YB selepas beberapa orang YB keluar parti.
Walaupun YB Zul diberi peluang 14 hari untuk merayu, dilaporkan beliau tidak akan merayu. Pendirian YB Zul dihormati, berani berpegang dengan prinsip. Memang sejak dari awal lagi, YB Zul tidak sesuai dengan aspirasi parti yang liberal dan tanpa hala tuju seperti PKR.
Nampaknya YB Zul tewas juga kepada Firaun Kecil PKR. Apa pun, diucapkan tahniah kepada YB Zul yang 'tegar' dengan pendiriannya. Tidak perlulah kosongkan kerusi Parlimen Kulim tu, menyusahkan ja nanti nak mengundi...
Sebelum ini, jika ada ahli yang keluar parti pasti akan dituduh dibeli Umno atau menghadapi masalah peribadi dan kewangan. Tidak pula diketahui bagaimana ulasan Dr Syed Husin terhadap perkembangan terbaru ini.
Terfikir, berapa la agaknya Lembaga Displin PKR 'dibayar' untuk memecat YB Zul ? Atau kalau menurut Azmin, tentu Lembaga Displin PKR ini sudah berjumpa Datin Seri Rosmah, isteri PM lebih awal sebelum ini.
Friday, March 5, 2010
Belia Terkandas : Syabas Saudara Jamawi Jaafar!
Salam,
Berikutan 'kegemparan' isu belia Sabah terkandas di ibu negara dengan menumpang berteduh di rumah kebajikan rumah ibadat dan ketiadaan pekerjaan, Exco Pemuda Umno Malaysia Saudara Jamawi Jaafar telah mengambil inisiatif menjejaki dan meyelami permasalahan yang berlaku.
Selaku Ketua Pemuda Umno Tenom, usaha gigih Jamawi menangani kemelut ini sangat membanggakan. Dilaporkan selain membantu mencarikan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan dan kemahiran belia ini, Jamawi juga telah membantu sebilangan belia yang kehilangan kad pengenalan untuk mendapatkan pengenalan diri di Jabatan Pendaftaran Negara.
Sebilangan belia yang tidak lagi mahu bekerja di ibu negara telah diusahakan untuk dihantar kembali ke kampung halaman di serata pelusuk Sabah. Menurut Jamawi, kebanyakan kes yang berlaku adalah kerana belia ini tertipu dengan janji manis majikan dan agensi pekerjaan yang membawa mereka bekerja di ibu negara.
Daripada insiden ini, banyak pengajaran yang boleh diambil. Terutama kepada belia yang berhasrat merantau bekerja di ibu negara atau mana-mana negeri di Semenenjung supaya lebih berhati-hati pada masa depan. Tidak salah untuk mencari rezeki dan menimba pengalaman, namun harus dipastikan agensi yang menawarkan pekerjaan adalah agensi yang sah, bukan jenis mengambil kesempatan.
Di pihak kerajaan negeri pula, fungsi Rumah Sabah di Kuala Lumpur wajar dimantapkan sebagai 'Rumah' untuk anak-anak Sabah di Semenenjung membuat rujukan apabila timbul masalah. Mungkin yang biasa dan berpengalaman ke ibu negara tidak timbul sebarang masalah, namun bagi belia dari pedalaman terutamanya yang pertama kali menjejakkan kaki di rantau orang, kewujudan Rumah Sabah pasti dapat membantu.
Apapun syabas diucapkan kepada Saudara Jamawi yang bertindak proaktif membantu belia terkandas ini!
Thursday, March 4, 2010
Kesian PKR....
Seperti yang diketahui umum, impian beliau menjadi mimpi ngeri. Kerajaan yang hendak ditubuhkan tidak kesampaian. Mimpi tinggal mimpi, yang menjadi kenyataan ialah perubahan pimpinan kerajaan persekutuan tapi bukan Anwar sebagai PM!
Seakan terkena badi, semenjak itu pelbagai masalah menimpa kepimpinan PKR. Di sebalik semakin ramai nama besar politik tanahair menyertai PKR, bukan sedikit pula yang 'kecewa' dan 'lari' dari perjuangan keadilan yang dihebohkan.
Salam,
Daripada sebuah parti yang memberikan Harapan Baru kepada rakyat Malaysia, daripada sebuah parti yang gah melaungkan slogan Dari Permatang Pauh Ke Putrajaya, malah pernah menjadikan 16 September 2008 sebagai tarikh mengambil alih kerajaan, hari ini PKR bergolak dan berantakan.
Semakin hari semakin ramai pula yang meninggalkan parti ini. Dari ahli biasa,ahli berjawatan penting hingga ahli bergelar Yang Berhormat. Pelbagai alasan diberi, sebagaimana pelbagai tuduhan dilemparkan kepada mereka yang keluar, yang jelas kelihatan kekecewaan mereka terhadap parti.
Ramai berharap PKR atau Pakatan menjadi alternatif kepada BN. Ya, di atas kertas memang semuanya nampak cantik, tapi dalam pelaksanaannya...memang hancur! Bayangkan daripada pelbagai jenis aktivis : NGO, sosialis, liberal, bekas Umno, bekas MIC dan sebagainya berhimpun di bawah satu bumbung. Masing-masing dengan kepentingan sendiri dan berharap ia tercapai.
Apakah nasib PKR akan menjadi seperti nasib Parti Negara atau Semangat 46? Jika soalan ini ditanya dengan penyokong PKR, pasti akan menimbulkan kemarahan mereka. Masih terlalu awal melihat nasib PKR, namun melihat perkembangan yang berlaku, bukanlah sesuatu yang mustahil PKR akan beransur-ansur lemah dan tidak mampu lagi menjadi 'Harapan Baru'!
Ditambah lagi dengan respon yang diberikan oleh pimpinan PKR di atas tindakan keluar parti ini, yang mengamalkan sindrom penafian. Menafikan hakikat bahawa semakin ramai yang hilang kepercayaan kepada perjuangan 'retorik' PKR. Perjuangan yang semakin jauh tersasar daripada harapan rakyat.
Malah yang lebih teruk, menuding jari pula ke arah lain dengan menyalahkan PM Najib dan Umno sebagai punca segala permasalahan. Dulu ketika menjadi pembangkang, memang mudah bagi PKR ( dan DAP serta PAS ) menyalahkan pihak lain. Namun kini, selepas diberi peluang memerintah di P.Pinang, Selangor, Kedah ( dulu di Perak ), kelihatan bagaimana PKR gagal mengawal keadaan.
Melihat perkembangan yang berlaku sehari dua ini, timbul juga rasa kesian dengan PKR dan para penyokongnya. Kesian melihat mereka yang 'gagah' berbicara soal PRU 13, soal BN akan ditewaskan dan PKR akan memimpin Putrajaya dengan Anwar sebagai PM...rupanya hilang 3 kerusi!
Nasib la PKR...
Tuesday, March 2, 2010
PKR : 10 Wakil Rakyat Bakal Keluar Parti?
Salam,
Selepas Mohamad Fairus Khairuddin dan YB Tan Tee Beng, berdasarkan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehuddin Hashim, ada 10 orang lagi wakil rakyat bakal keluar parti. Apa sudah jadi dengan PKR?
Mungkin video ini boleh membantu kita mencari jawapan kepada pergolakan yang berlaku dalam parti ini. Selamat menonton!
Klik Sini : VIDEO SOALAN UNTUK ANWAR IBRAHIM ( SIRI 10 )
Monday, March 1, 2010
Dedikasi Untuk Syafiah Humairah...
Salam,
Bagaimanakah seorang ibu boleh membiarkan anak berumur 3 tahun dicucuh dengan rokok, ditendang seperti bola dan dipijak perutnya? Bagaimanakah seorang ibu boleh membiarkan penyeksaan begini kepada zuriat yang dilahirkannya? Dilakukan pula oleh seorang yang hanya bertaraf ’kekasih’?
Sukar untuk difahami, bagaimanakah semua aksi penderaan begini boleh dilakukan oleh manusia bertamadun. Di kala binatang pun boleh berkasih sesama sendiri, saling sayang-menyayangi. Bagaimanakah pula manusia boleh hilang kewarasan dan akal fikiran sedemikian rupa?
Untuk ’kejahatan’ yang telah dilakukan, sewajarnya hukuman yang paling berat dikenakan kepada pelakunya. Pengajaran setimpal wajib dijatuhkan kepada manusia berjiwa binatang ini, kerana sememangnya dia tidak mengambil iktibar daripada sekian banyak kejadian seumpamanya sebelum ini.
Ibunya....wajar juga dijatuhkan hukuman setimpal kerana kegagalannya melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu. Sebagai ibu, sepatutnya dia berperanan mengasuh dan mendidik anaknya. Bukannya membiarkan orang lain mendera zuriat sendiri, walaupun orang tersebut adalah kekasih hati!