Showing posts with label Recipes. Show all posts
Showing posts with label Recipes. Show all posts

Saturday, September 14, 2024

Cempedak Goreng mudah

 Bahan

Cempedak

2 cawan tepung gandum - A

4 sudu besar tepung jagung - A

1 sudu teh garam-A

1 sudu teh baking soda- A

½ sudu teh serbuk kunyit

2 sudu besar minyak masak-B

1 biji telur - B

1½ cawan air - B


Cara-cara

1. Campurkan Bahan A dalam satu bekas kacau sampai sebati

2. Pecahkan telur dalam bekas lain, kacau beberapa kali, masukkan minyak masak dan air. Kacau lagi sampai semua bercampur.

3. Masukkan bahan cecair sedikit demi sedikit ke dalam bekas bahan kering sambil kacau sampai sebati.

4. Panaskan minyak masak secukupnya dalam kuali di atas api medium. 

5. Masukkan isi cempedak dalam bekas adunan tepung dan golek golek isi cempedak itu sampai bersalut keseluruhan.

6. Apabila minyak sudah panas. Masukkan satu demi satu isi cempedak menggunakan penyepit.

7. Goreng sehingga naik bau dan warna keemasan garing.

8. Angkat cempedak goreng dari kuali, toskan dan hidang


Monday, February 8, 2016

Pan Cake yang Gebu dan Fluffy

resepi pan cake ni dah lama mama simpan. Mama dapat resepi ni dari brother yang datang buat promotion kuali serba guna kat ahli-ahli puspanita kat ofis lama mama dulu. So sebab sedap betul la pancake yang dia buat masa demo tu sampai la ni mama akan masak pan cake guna resepi dia. Tq bro.

Bahan-bahan.

1 cawan tepung gandum*
1/2 sudu teh baking powder*
1/2 sudu teh soda bikarbonat*
1/2 sudu teh garam
1 sudu besar gula putih

1 biji telur
1 sudu teh esen vanila
1 cup susu segar
1 sudu besar cuka
1 susu besar minyak sayuran

Cara-cara.

1. Campurkan susu dan cuka dan ketepika selama 5 minit.
2. Ayak bahan bertanda * kedalam mangkuk dan masukkan garam dan gula ke dalam campuran tepung tersebut. ketepikan.
3. Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan pukul telur bersama esen vanila. Masukkan susu dan minyak. Kacau sebati.
4. Masukkan campuran tepung tadi ke dalam bekas berisi larutan susu. Kacau sehinga sebati.
5. Panaskan kuali diatas api sederhana dan sapurkan sedikit minyak/butter di permukaan kuali.
6. Tuang adunan pancake ke atas permukaan kuali mengikut saiz yang bersesuaian . Masak sehingga terbit bubble udara di permukaan pan cake. Terbalik kan dan masak seketikat dalam tempoh 1-2 minit. Angkat dan hidangkan.

Pan cake ni anak-anak suka makan panas-panas letak buter dan maple syrup. Honey dan jam pun sedap. Kakak suka letak nuttela dan adik dia letakkan whip cream atas pan cake tu lepas tu bila habis pan cake dia ratah whip cream pulak sampai habis sebotol sekali dia hadap.

Friday, January 29, 2016

Chocolate chip cookies ala famos amos gitewww...

Coklat chips cookies....sapa yang tak suka???? semua orang suka kan...ini adalah one of my comfort food. Tapi coklat chips cookies yang paling mama suka is of course la famos amos nyer tapi kat Kingston ni mana ada jual famos amos fresh dari oven. Yg dalam paket ada tapi bila try beli sekali tak sedap la... so mama pun cari la resepi kat mana-mana blog, website, FB kekawan dan maka terjadi la satu resepi fusion semua resepi-resepi itu. Mama ubahsuai ikut deria rasa mama dan anak-anak dan budget murah tak perlu nak beli macam-macam ingredient. Asal jadi dan sedap dan pastinya masak jer...habis...masak jer ...habis licin.

Biskut ni crunchy tapi tak keras...mama ubah suai resepi orang lain untuk suit Nina yang takde gigi tu ...kesian dia kunyah makanan dengan gusi je...so tekstur biskut ni memang lembut dan cair di mulut



Bahan-bahan

3 cawan tepung gandum*
1 cawan cornflakes/instant oat/nestum* (tumbuk kasi hancur tapi jangan giling sampai halus ye)
1/2 cawan kelapa kering* (optional kalu takde masukkan jer cornflakes
1/2 sudu teh soda bikarbonat*
1 cawan chocolate chip* (dark choclate atau milk chocolate is ok...kalu takde choc chips...ricik kasar jer cooking chocolate tu pun sodap)

1/4 cawan badam hancur* ( boleh ganti ngan pecan or walnut, or macadamia ...apa-apa kacang yang sesuai la...kacang tanah pun boleh... make sure tumbuk hancur dulu...saiz kasar ye... )

1/4 sudu teh garam*

1 cawan butter#
1 cawan gula perang #(jangan guna gula pasir yang putih tu)
1/2 cawan minyak sayuran
2 telur kuning ( telur putih tu simpan dulu nanti kita boleh buat pavlova  or macaron tak pun angel cake :) )
1 sudu teh vanila ekstrack



Cara-cara:
1 Campurkan bahan bertanda * dalam 1 bekas. Kacau bagi bercampur sama rata. ketepikan
2 Dalam bekas yang lain, pukul butter, minyak dan gula sehingga kembang dan masukkan telur dan vanila ...pukul lagi sehingga semua sebati.
3. Masukkan campuran tepung ke dalam bekas campuran butter tadi, Gaul dengan spatula/senduk kayu sehingga sebati.
4. Panaskan oven 350F
5. Alaskan loyang biskut dengan kertas minyak, dan sudukan doh cookies ke dalam loyang. Jarak antara doh atas loyang tu supaya bila  cookies ni masak ia kan melebar ke tepi. Cookies ni naik sikit je sebab tak letak baking powder.
6. Bakar dalam oven selama 10-12 minit. Sejukkan dulu sebelum makan.

Nota:
1.Untuk buat cookies jangan tambah air atau susu dalam adunan... nanti cookies akan jadi keras bila sejuk . If doh tu kejadiannya ter keras mna tau kan terlebih sukat tepung...sila tambah butter/minya sikit dulu ... gaul then kalu rasa nak lembutkan lagi tambah butter ...ulang la sampai puas hati.
2. Untuk dapatkan tekstur soft and chewy boleh tukar 1 cup gula perang tu kepada 1/2 cup gula perang dan 1/2 cup gula putih
3. Kalau la kat rumah tu takde kelapa kering atau cornflake tapi ada biskut marie or apa-apa jenis biskut kering...boleh tumbuk hancurkan biskut tu dan gantikan ke dalam resepi ni ..sukatan sama denganbahan ygan kita gantikan tu...improvise sikit takpe kan?!

Senang kan...cuba la buat.




Thursday, December 10, 2015

Super easy Portuguese Egg Tart

Semalam ada pot luck kat school...mama still tak tahu nak bawa apa ...tetiba teringat ada roti canai segera kat dalam peti ais..jeng jeng jeng... masak portuguese egg tart sedap ni... as we all know kan...untuk peminat egg tart ni ...portuegese egg tart kena buat guna pastry puff kan...so roti canai segera ni kan adik beradik pastry puff.



Bahan-bahan

1/4 cup cream*
1/4 cup gula*
2 egg yolk*
1 tbs tepung jagung*
1 cup susu segar*
1/4 tsp vanilla extract*
3 keping frozen roti canai
Muffin pan saiz besar

Cara-cara
a. Egg Custard filling
1. Campur semua bahan bertanda * di dalam mangkuk/periuk. Kacau sehingga semua bahan bercampur sebati.
2. Panaskan periuk yang mengandungi bahan * di atas api sederhana. Kacau tanpa henti selama 10 minit sehingga adunan sedikit likat. Jangan sampai pekat. 10 minit tu dah boleh tutup api dah.
3. Angkat periuk dari dapur dan rendamkan periuk tersebut ke dalam mangkuk berisi air (water bath). Kacau lagi adunan sehinggan suam.

b. Pastry puff
1. Panaskan oven 250C atau 385 F
2. Canaikan roti canai frozen dan tekap roti canai mengguna cookie cutter bulat besaiz muffin pan besar. Mama guna cawan plastik jer.
3. Oleskan muffin pan dengan minyak sayur atau butter. Letakkan roti canai yg telah diterap ke dalam setiap lubang muffinn. Ratakan doh roti canai ke seluruh permukaan membentuk small cup pastry.

c. Egg Tart
1. Masukkan filling ke dalam cup pastry di dalam muffin pan. Jangan isi penuh biarkan hampir 5mm dari permukaan atas pastry cup tu.
2. Masukkan ke dalam aoven dan bakar selama 30 minit.
3. Apabila telah masak dan kelihatan kulit hangus coklat di atas permukaan egg tart maknanya telah terjadi la kejadian egg tart itu.
4. keluarkan egg tart dari oven biarkan sejuk dulu sebelum makan yer.


Nota kaki:
1. Jangan lupa letak tepung jagung...sebab tepung jagung itu la yang mengstabilkan castard bila di bakar dengan api tinggi 250C
2. Jangan lupa masak sekejap cusrtard filling...sebab kalau tak masak isi akan jadi lembik (soggy)
3. Kenapa kena masak suhu tinggi...sebab susu hanya akan membentuk kulit di atas permukaan custard pada suhu tinggi, tanpa kulit susu ni...trademark portuguese egg tart tak akan terbentuk iaitu burn mark coklat tu..
4. Kenapa kena guna pastry puff untuk portuguese egg tart...sebab kulit pastry tart biasa akan hangus hangit bila dibakar dengan suhu tinggi
5. kat dapur takde cream...takpe..takpe...ganti jer ngan santan kelapa atau susu cair atau susu segar or susu tepung pun boleh la (make sure bancuh dulu eh)

resepi ni mama olah kan dari resepi kichentigress dan nota kaki tu juga di paraphrasing dari kitchentigress dan experience mama sendiri lah...ok lah...kita masak dulu lah.. eh?!

Saturday, October 17, 2015

Bubur nasi congee

Nak buat bubur nasi ni senang jer.

1 cawan beras dan 1 liter air. Masak atas dapur api medium. Letak 1 sudu kecil garam dan 1 sudu kecil minyak masak. Masak selama 1 jam.

Bila dah siap boleh dimakan dengan serunding ayam/daging atau taburkan ikan bilis dan bawang goreng atau makan dengan telur masin pun sedap.

Friday, September 4, 2015

Seri Muka paling simple dan sedap di makan ...

Seri muka ni mama buat sambil tengok tv je. Kaedahnya mudah je, tak perlu le nak rendam beras pulut tu 2 -3 jam. Mama kukus kuih ni pun guna kuali (wok) sebab takde pengukus. Make sure air panas paras separuh loyang kuih je...bukan apa takut air masuk loyang jadi seri muka masak pengat ler.

Bahan-bahan A:

3 cups beras pulut
2 cup santan pekat
1/2 tsp garam

Periuk berisi air panas mendidih diatas api sederhana (untuk double boiler)
Aluminium foil (untuk menutup loyang kuih)

Cara-cara:
1. Basuh beras dan rendam dalam air panas mendidih selama 15 minit. Selepas 15 minit buang air dan tos beras menggunakan penapis.
2. Campur garam ke dalam santan pekat.
3. Masukkan beras kedalam loyang kuih yang bersesuaian. Masukkan santan pekat setakat paras beras sahaja. Jika kurang santan boleh ditambah sedikit air sehingga mencecah paras beras. Sekiranya paras santan+air melebihi paras beras dikuatiri pulut akan masak lembik.
4. Tutup loyang kuih menggunakan aluminium foil. Masukkan loyang kuih kedalam periuk yang mengandungi air mendidih. Selepas 30 minit pulut akan masak.
5. Apabila pulut telah masak, keluarkan loyang daripada periuk. Tekan pulut mengunakan senduk sehingga pulut menjadi padat di dalam loyang. Ketepikan.

Bahan-bahan B

4 cups santan
4 biji telur
2 cups gula
1 cup tepung gandum
1/4 tsp esen vanilla
1 tsp garam
2 helai daun pandan (potong kecil)

Cara-cara
1. Campurkan semua bahan di dalam blender. Blender semua bahan sehingga hancur dan sebati
2. Tapiskan bahan yg telah di blender ke dalam loyang yang mengadungi pulut yg telah dipadatkan tadi.
3. Tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 45 minit - 1 jam sehingga masak.
4. Apabila masak sejukkan kuih seri muka terlebih dahulu sebelum memotongnya.

Wednesday, June 3, 2015

Nasi Kerabu di Perantauan

Dok di perantauan ni ...apa makanan yang teringin nak makan kena masak sendiri. Bahan-bahan pun terpaksa guna yang mana ada kat kedai kat sini. Hari ni tekak mama ni teringin sesangat nak makan nasi kerabu ala mek. Nasi kerabu mek ni  bila-bila je mek datang kuantan or kami balik tualang salak mesti habis seperiuk nasi.

Resepi

A. Nasi

3 cawan beras
4 cawan air
pewarna makanan biru dan merah (2 titik setiap warna)
sehelai daun pandan

Cara:
Cuci beras sehingga bersih. Masukkan air, pewarna makanan dan daun pandan. Tanak nasi sehingga masak.

B. Sambal Kelapa

1 cawan kelapa kering putih (dibasahkan semula dengan sedikit air)
3 ulas bawang merah#
1 inci halia#
1 batang serai#
1 bahagian ikan mckerel (dari tin mackerel in water)#
½ tbs gula#
½ tsp garam#

Cara:
1. Goreng kelapa kering yg telah dibasahkan sedikit diatas api kecil sehingga kering dan bertukar warna keperangan. Kelapa goreng akan mengeluarkan bau yang sangat harum.
2. Ricik serai halus-halus dan tumbuk bersama halia sehingga hancur. Masukkan bawang merah, tumbuk lagi sehingga bawang merah hancur. Kemudian masukkan isi ikan, garam dan gula, tumbuk sehinga semua bahan bersatu.
3. Keluarkan campuran halia, serai, bawang dan ikan yang telah siap ditumbuk tadi kedalam bekas.
4. Tumbuk kelapa kering bersama sedikit bahan# yang telah ditumbuk tadi berselang seli sambil menumbuk sehingga habis semua kelapa kering. Kelapa kering tidak perlu ditumbuk sehingga pecah minyak. Sekadar bercampur antara kelapa kering dan semua bahan # tersebut.
5. Masukkan sambal kelapa kedalam bekas dan gaul rata.

C. Tumis santan
1 cawan santan pekat (dari tin)
1 cawan air
4 ulas bawang merah*
2 ulas bawan putih*
1 inci halia*
1 tbs cili giling
1 keping asam keping
1 batang serai dititik
½ tbs gula#
½ tsp garam#
1 tsp budu
1 tbs minyak masak

Cara:
1. Blender hancur bawang merah, bawang putih dan halia
2. Panaskan minyak masak dan tumis bahan yang telah diblender sehingga keperangan dan naik bau. Masukkan cili giling dan tumis sekejap.
3. Masukkan santan, air, asam keping dan serai. Masak sehingga mendidih. Masukkan budu, gula dan garam. 
4. Masak lagi sehingga tumis santan sedikit pekat dan naik minyak.

D. Ulam-ulaman
Daun Salad, seleri, pudina dan dil di hiris halus dan dicampurkan dengan ricikan nipis sebatang carot.



Nasi kerabu kali ni mama hidangkan dengan keropok kering, telur masin, budu, ikan goreng dan sambal cili. Ikan yang dalam gambar tu adalah ikan yellow perch yang papa pancing. Isinya sangat sedap dan lembut ala-ala ikan kerisi. 

Selamat menjamu selera :)

Sunday, February 8, 2015

Pulut sekaya ...all time favourite ^^

Hari ni mama masak pulut sekaya...dalam peti ais tu still ada sebekas agar-agar santan tapi tekak terasa nak makan pulut sekaya la pulak. Disebabkan mama takde periuk kukus mama improvise sikit masak pulut sekaya ni ala double boiler hehehe. Boleh la asalkan pulut dan sekaya tu masak.



Bahan-bahan:
5 biji telur ayam
2 keping gula melaka (yg diameter kecil tu)
1.5 cups beras pulut
1 cup santan pekat
1/8 tsp garam
1/4 tsp esen vanilla
1/4 cup air

Periuk berisi air panas mendidih diatas api sederhana (untuk double boiler)
Aluminium foil (untuk menutup loyang kuih)

Cara-cara:
1. Basuh beras dan rendam dalam air panas mendidih selama 15 minit. Selepas 15 minit buang air dan tos beras menggunakan penapis.
2. Campur garam ke dalam santan pekat.
3. Masukkan beras kedalam loyang kuih yang bersesuaian. Masukkan santan pekat setakat paras beras sahaja. Jika kurang santan boleh ditambah sedikit air sehingga mencecah paras beras. Sekiranya paras santan+air melebihi paras beras dikuatiri pulut akan masak lembik.
4. Tutup loyang kuih menggunakan aluminium foil. Masukkan loyang kuih kedalam periuk yang mengandungi air mendidih. Paras air mendidih setakat separuh tinggi loyang sahaja. Tutup periuk dan biarkan air terus mendidih di atas api sederhana. Selepas 30 minit pulut akan masak.
5. Apabila pulut telah masak, keluarkan loyang daripada periuk. Tekan pulut mengunakan senduk sehingga pulut menjadi padat di dalam loyang. Ketepikan.
6. Untuk sekaya, panaskan 1/4 cup air diatas api sederhana, masukkan gula melaka dan kacau sehingga larut di dalam air. Apabila telah larut, tutup api dan biarkan larutan sejuk.
7. Pecahkan telur di dalam bekas berasingan. Pukul telur bersama esen vanila, dan masukkan larutan gula melaka yang telah disejukkan tadi kedalam bekas telur. Kacau sebati dan tapiskan campuran telur ke dalam loyang yang berisi pulut.
8. Tutup bekas kuih menggunakan aluminium foil. Masukkan loyang kuih kedalam periuk yang mengandungi air mendidih dan tutup periuk. Paras air mendidih setakat separuh tinggi loyang sahaja. Biarkan air terus mendidih di atas api sederhana selama 30 minit sehingga sekaya masak.
Siap

Tuesday, January 20, 2015

Kuah Yong Tau Foo

Alkisahnyer jadinya masak kuah yong tau foo ni sebab papa salah beli barang yg mama kirim. Papa pergi Asian Market so mama kirim keow teow tapi papa terbeli rice rolls. So apa nak buat dengan rice roll ni? ingat nak masak kuah laksam, takde santan pulak, nak buat kuah tteokbokki tak cukup bahan so mama buat kuah yong tau foo je la...

Bahan-bahan

2 cups air
2 tbs gula perang
1 tsp cili kisar (kalau nak lagi pedas boleh tambah lagi)
1/4 tsp belacan
1 tbs sos tiram
1/4 tsp garam
1 tbs tepung jagung dicampur 1/4 cup air (kacau sehingga jadi larutan air tepung jagung)

Cara-cara:
Panaskan air bersama gula perang sehingga larut. Masukkan cili, belacan dan sos tiram sehingga mendidih. Kemudian masukkan garam dan air tepung jagung. Kacau sehingga kuah menjadi sedikit pekat. Boleh tambah garam, gula dan cili lagi mengikut selera masing-masing. Siap :)

resepi ni mama adaptasi daripada banyak blog mengikut bahan yang ada kat dapur :P

Monday, September 29, 2014

Ikan Bass masak 3 rasa ...simple recipe

Papa bawak balik sekor ikan bass yg besar. rasanya dalam 1kg beratnyer. Papa cakap ikan ni bukan dia yg dapat tapi syed yg tangkap so  mama kena masak sedap, papa nak ajak syed dan rizal datang makan.

Mama decide masak ikan 3 rasa, rasa manis, masam dan pedas (masin include :P). So as ususal resepi mama ni simple dimple jek...tak sempat nak  buat kalu very complicated. Kena jimat masa sebab asignment bertimbun, term paper mama tak start reseach pun lagi, tesis nyer literature review baru siap rough draft huhuhuhu.

Dan resepinya adalah.....

Ikan Bass masak 3 rasa

Bahan Ikan:
1 ekor ikan yg dibasuh besih dan dilumurkan garam kunyit
Minyak sekuali untuk mengoreng
Cara:
1.  Panaskan minyak didalam kuali yang bersesuaian diatas api sedrhana selama 5 minit.
3. Apabila minyak panas, goreng ikan sehingga hampir garing di kedua belah bahagian ikan.
4. Angkat ikan dan letakkan diatas pingan yang dihias daun salad.


Bahan Sos 3 rasa

1 biji bawang besas dihiris memanjang
3 ulas bawang putih diketuk
1/2 inci halia di mayam halus
1 tbs sos ikan*
1 tbs sos tiram*
4 tbs sos cili*
1 tsp gula putih*
1 tbs cili giling* (kalu cili giling tu pedas, letak 1 tsp pun ok dah)
1/2 kiub ayam*
1/2 cup air
1 tbs minyak untuk menumis
Sebiji tomato dipotong dadu#
3 helai daun bawang dipotong kasar#
1 tbs jagung #
1 tbs peas#
2 tbs nenas dipotong halus#


Cara:
1. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia sehingga naik bau.
2. masukkan air dan bahan bertanda * sehingga mendidih.
3. Apabila sos mendidih , masukan semua bahan bertanda #. Kacau rata selama 3 minit.
5. Tuangkan sos 3 rasa ke atas ikan yg telah siap dihidang.


Senang kan :)

Nota:
Mama guna sos magi cili pedas manis. Kalu kat Malaysia boleh guna sos cili magi atau sos cili life. kalu guna sos cili brand lain mama takpasti rasanya jadi 3 rasa atau terlebih pedas. Mama pernah try guna sos cili masala. Memang rasanyer kureng.

Friday, September 12, 2014

Keropok Lekor made in Kingston

Mama teringin sesangat nak makan keropok lekor. Tapi mana la nak cari kat bumi Canada ni. Masa mama gi beraya kat Waterloo hari tu, alhamdulillah dapat makan keropok lekor. So mama pun mintak resepi ngan member mama, Yani dan sambil tu try gak la google resepi kat internet. Mama dah adaptasi dan simplified resepi untuk menyenangkan hidup mama so that bila-bila craving for keropok lekor, mama boleh siapkan dalam tempoh less 1 hour. Bestnyer!!

Bahan-bahan.

1 tin mackerel in water
1 cup tepung ubi kayu
1 tbs tepung gandum
1/2 tsp garam
2 tbs air ais

1 periuk air mendidih


Cara:
1. Isi air ke dalam periuk. Paras air 3/4 periuk dan didihkan diatas api sederhana.
2. Buang kesemua air dari tin mackerel, guna isi ikan je. Lenyek/ramas isi ikan tu sampai hancur.
3. Masukkan tepung gandum, ubi kayu dan garam kedalam, bekas yg berisi ikan. Gaul rata, renjiskan air sedikit demi sedikt sambil mengaul semua bahan sehingga semua bahan bercampur sebati dan menjadi doh. Kalau terlebih air dan doh menjadi lembik, tambah kan sedikit tepung ubi kayu sehingga mencapai kosistensi doh yang tidak melekat ditangan.
4. Bentukkan doh menjadi panjang berdiameter 1/2 inci. Panjang doh keropok tu buat la besesuaian dengan saiz periuk.
5. Masukkan doh keropok lekor ke dalam air mendidih. Doh yang masak akan timbul dipermukaan air. Masak selama 10 minit.
6. Angkat dan toskan .
7. Keropok lekor ready untuk digoreng. Kalau nak frozen, masukkan je keropok lekor dalam ziplock dan bekukan.



Senangkan :)

Wednesday, August 13, 2014

Kek Coklat Moist Sedap yg amat senang nak buat

Mama suka makan kek coklat! Kalau mama nampak orang jual kek coklat tu mesti mama akan beli sebab nak try rasa sedap ke tak. Kalau sedap mama akan repeat beli. Masa mama dok kat Kuantan dulu, mama ni tak pernah terfikir nak beli oven apatah lagi nak bakar membakar cake ni. tapi bila dok jauh diperantauan dan harga kek di bakery kat sini masyaAllah ...mahal nyer...so mama terpaksa la jadi pastry chef kat dapur kecik mama tu... jimat kos hehehehe

Resepi ni kawan mama share kat FB...mama dah masak berkali-kali dah guna resepi ni...buat cupcake pun boleh.





Bahan-bahan kek
1 cawan gula pasir
1 cawan serbuk koko
1 cawan butter atau minyak masak
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat manis
1 1/4 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
secubit garam
3 biji telur


Cara-cara
Campurkan gula pasir, serbuk koko, minyak masak, susu cair dan susu manis ke dalam periuk. 
Masak sebentar di atas api yang perlahan sehingga semua bahan larut. 
Tutup api dan biarkan larutan tadi suam sebelum mencampurkan ke dalam telur dan tepung.
Ayak tepung gandum, garam, soda bikarbonat dan baking powder. ketepikan.
Dalam bekas berasingan, pukul telur sampai kembang, dan campurkan dengan adunan koko. 
Gaul rata dan campurkan adunan tepung. Gaul sebati dan tuang ke dalam acuan.
Tutup acuan dengan aluminium foil supaya wap tidak masuk ketika mengukus. 
Kukus kek selama 45-60 minit dengan api yang perlahan.
Keluarkan kek dari kukusan dan biarkan sejuk sebelum diletakkan topping ke atas kek.

nota: 
1. kalau taknak kukus. bakar guna kaedah bain marie iaitu letak cake tin dalam loyang berisi air dan bakar pada suhu 150C selama 30 minit. 
2. Cara untuk memastikan kek telah masak, cucuk lidi sate kedalam cake, kalau lidi tu keluar bersih maknanya kek dah masak.

Bahan-bahan topping (coklat ganache)
150 g thickened/whipping cream
150 g coklat masakan1
5 g butter

Cara-cara
Campurkan coklat masakan dan thickened cream dalam satu bekas. 
Panaskan sehingga coklat masakan menjadi cair dengan menggunakan kaedah double boiling.
Kacau sehingga sebati, kemudian tambahkan butter.
Biarkan campuran sejuk seketika. Bila campuran telah suam, curah coklat ganache ke atas kek.

Saturday, July 5, 2014

Popiah basah

Popiah basah...yang penting sambal dia...kalau sambal menjadi...letak la sayur apa pun dalam Popiah tu sure sedapnyer....masalah mama kat sini bila nak buat Popiah basah tu kulit Popiah basah tak jual kat Kingston ni...nak buat sendiri tak berapa nak menjadi walaupun dok ngadap youtube belajar...ahhh. ..susah sangat mama buat kulit Popiah ala crepe je...hehehe



Resepi popia basah ni terbahagi kepada 3 bahagian:

A: Kulit Popiah
Nota: kulit ni mama buat ala crepe tau...sebab tangan mama ni tak tahan panas nak leser tepung atas kuali panas.

Bahan
2 cup tepung gandum
1 tbs tepung jagung
1 tbs tepung kastard (optional)
1 tbs tepung beras (optional)
1 biji putih telur
1 tbs cuka
1 tsp garam
6 cup air

Cara
1. Campur kan semua bahan kedalam bekas yang bersesuaian dan kacau sehingga tepung bercampur sebati menjadi lautan tepung. Sekiranya ada ketulan tepung, boleh blender larutan tersebut seketika.
2. Panaskan kuali flat. Satukan sikit butter. Curah kan  sesenduk kecik larutan tepung ke dalam kuali dan golekkan kuali supaya semua permukaan kuali di saluti larutan tepung.
3. Masak kulit popiah diatas api kecik selamat 5 minit. Apabila dah masak terus angkat. Tidak perlu di terbalikkan dan di masak sebelah atas kulit Popiah tersebut.
4. Ulang langkah 2 sehingga semua tepung habis.

B. Sambal

Bahan
1 biji bawang merah besar - diblender
5 biji bawang putih- diblender
2 tbs cili giling
1 tbs gula perang
2 tbs kicap manis
1/8 tsp garam
1/4 tsp belacan
1 tbs minyak utk menumis

Cara

1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan bawang putih yg telah diblender. Apabila naik bau masukkan cili giling. Tumis sehingga naik minyak.
2. Masukkan gula perang, kicap dan belacan. Kacau sehingga sambal pekat dan sedikit kering.

C: inti

Bahan
1 batang carrot yang disagat halus
1 mangkut kobis yg dipotong halus
1 biji bawang merah besar yang dipotong memanjang halus
3 biji bawang putih dipotong halus
2 tbs ikan bilis goreng
2 tbs bawang goreng
2 tbs kacang tanah yg di goreng dan di tumbuk kasar.

Cara
1.Gaul rata semua bahan untuk inti
2. Bentangkan kulit popiah. Sapukan sambal di seluruh permukaan kulit popiah kecuali 2 cm dari hujung kulit.
3. Letak kan 1 tbs inti dan lipat dan gulung popiah ke bentuk yg di kehendaki.
4. Ulang langkah 2.
5. Sebelum dihidangkan sapu sedikit sambal diatas permukaan popiah dan tabur sedikit kacang tanah.

Thursday, July 3, 2014

Roti Jala dan Kari Ayam

Roti Jala...bila sebut roti jala je terus teringat Cik Na bff Kakma yang pandai buat roti jala tu...mama ni bukan pandai sangat pun...pandai makan ada la...hehehe

Hari ni tergoogle resepi berbuk...terkeluar lah gambar roti jala so...menu berbuka hari ni adalah roti jala dicicah dengan kari ayam...oh so yummy!


Roti Jala

Bahan
3 cup tepung gandum
2 cup susu segar
1 cup air
1/2 tsp garam
1 tsp gula
2 tbs butter cair
3 biji telur
secubit kunyit atau yellow food coloring

Cara
1. Satukan semua bahan dalam blender kecuali tepung gandum. Blender semua bahan sehingga semua bercampur rata. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil blender. Teruskan blender semua bahan sehingga tepung habis.
2. Panaskan flat pan diatas api sederhana
3. Masukkan adunan dlm acuan. mama guna acuan 1 lubang je.
4. sapu sedikit butter di atas kuali dan jalakan aduanan keseluruhan permukaan kuali.
5. Apabila roti jala dah masak. Angkat ke atas pinggan, lipat dan gulung.
6. Ulang langkah 4 sehingga adunan habis.


Nota:
Kalau takde acuan...itu bukan masalah ...tebuk penutup air mineral yg 500ml tu...then guna botol tu as acuan roti jala...tadaaa!!!

Kari Ayam

500 g ayam dipotong sederhana
2 biji potato di potong dadu
1 batang carrot dipotong dadu kasar
5 biji bawang merah -diblender
3 ulas bawang putih-diblender
2cm halia-diblender
2 tbs rempah kari
1 tbs cili giling
1 batang kulit kayu manis
5 tangkai bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
2 cup santan pekat
2 cup air
1 tsp garam
1/2 tbs gula
1 tbs air asam jawa
1 tsp jus lemon
1/4 cup minyak utk menumis

Cara

1. Panaskan minyak. Apabila minyak sudah panas tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah diblender serta cili giling dan kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan bunga lawang sehingga naik bau dan warna keperangan.
2. Masukkan rempah kari, kacau rata dan tumis sehingga naik minyak dan berbau wangi
3. Masukkan ayam dan gaul rata ayam bersama rempah kari. Masukkan garam dan gula. Kacau rata dan masak sehingga ayam separuh masak.
4. Masukkan potato dan carrot. gaul rata
5. Masukkan santan dan air. Kacau rata. Dan biarkan sehingga mendidih. Kacau sekali sekala bagi mengelakan bahagian dasar berkerak,
6.Masukkan air asam jawa dan jus lemon dan kacau rata
7. Biarkan kari mereneh di atas api sederhana sehingga berbau harum semerbak kari.
8. Apibila kentang telah empuk. Tutup api dapur dan boleh dihidangkan


Monday, June 23, 2014

Singgang Ikan Tongkol

Suatu hari tu papa gi fresh co...kebetulan masa tu ada ikan tongkol frozen. Terus papa beli sebab papa tahu mama ni memang suka sesangat makan ikan tongkol aka ikan ayo tu.

Resepi first yang terfikir bila papa bagitau dia beli ikan ayo is masak singgang dan cicah dengan budu. Meleleh air liur bila imagine makan nasi lauk ikan ayo singgang ni. Sedapkan...

Bahan
500 gram atau 3 potong ikan ayo saiz sederhana
2 cawan air
2 keping asam keping
1/2 inci lengkuas dipotong nipis
2 ulas bawang putih dipotong nipis
2 biji cili padi dipotong dua* optional
1 tsp garam
1 tsp gula

Cara
Masukkan semua bahan didalam periuk. Masak diatas api sederhana sehingga mendidih. Siap!

Senangkan masak singgang ni :)


Monday, June 9, 2014

Semur Ayam

Semur ni masakan Indonesian bukannya masakan Kelantan ye. Asal nama semur ni dari perkataan smoor in dutch dialect. Semur Ayam ni lebih kurang sama dgn resepi ayam masak kicap yg selalu mek buat. Bezanya cuma masukkan serbuk buah pala dan bawamg goreng tumbuk. Anak2 suka makan apa sahaja yg diletak kicap, so semur ni biasanya kategori lauk yg laku la kalau mama masak. Banyak resepi utk semur ni sebab cara masakan mungkin berbeza ikut tempat. Resepi ni paling simple dan senang dibuat.

Bahan A
Separuh elor ayam dipotong 8
1 sudu besar garam
1 sudu besar serbuk kunyit
3 cup Minyak utk menggoreng

Cara A
lumurkan ayam dgn garam dan kunyit sehingga rata keseluruhan bahagian ayam
Panaskan minyak
Goreng ayam sehingga separuh masak
Angkat dan toskan

Bahan B
1 labu bawang merah besar *
3 ulas bawang putih *
1 inci halia *
Bahan bertanda* diblender dgn sedikit air

1 stick kulit kayu manis#
2 kuntum bunga lawang#
5 biji bunga cengkih#
3 biji buah pelaga#
10 biji lada sulah#
1 tsp serbuk buah pala#
1 biji bawang besar kuning di potong memanjang #

4 tbs kicap manis
2 tbs kicap masin
2 tbs bawang goreng di tumbuk kasar
2 biji potato di potong 4
1 biji tomato di potong baji
1 cup air

4 tbs minyak utk menumis

Cara
1. Panaskan minyak diatas api sederhana, dan tumis bahan * dan # sehingga naik bau wangi dan bawang bertukar warna ke perangan.
2. Masukkan kicap manis, kicap masin, air dan tomato. Kacau rata dan biarkan mendidih
3. Masukkan ayam dan tomato. Kacau rata dan masak sehingga masakan mendidih.
4. Biarkan ayam mereneh di dalam kuah selama 20 minit.
5. Angkat dan hidangkan apabila potato dah empuk.



Friday, May 16, 2014

Kek Chiffon Lemon

Kek chiffon adalah satu-satunya all time fav kek utk mama. Takde cake yg blh challenge even cake chocolate moist. Tapi masalahnya everytime mama buat kek ni masih tak dpt buat selembut tektur cake chiffon yg mama pernah makan kat Kuala Terengganu zaman muda remaja dulu. Anyway, walaupun tak mencapai standard tu, mama still masak sebab kat rumah ni ada lagi seorg yg hardcore chiffon cake. Siapa lagi kalau bukan Nina yg kurang gigi tu....

Bahan
4 biji egg yolk
4 biji putih telur
1/4 cup tepung gandum
1/4 tsp baking soda
1/4 tsp baking powder
1/4 cup gula aising
1/2 tsp cream of tartar
1/8 tsp garam
1/4 cup vegetable oil
1 tsp lemon jus
1/2 tsp lemon zest

Cara
Preheat oven 300 F
1. Sediakan dua bekas yg kering dan bebas minyak. Masukkan putih telur dan yolk dlm bekas yg berasingan.
2. Kacau egg yolk sehinga bebuih menggunakan whisker. Masukkan minyak ke dlm bekas yg berisi egg yolk dan kacau sehingga menghasilkan campuran seperti tekstur mayonis.
3. Di dalam bekas yg berasingan, ayakkan tepung gandum, baking powder, baking soda dan garam.
4. Masukkan campuran tepung yg telah diayak ke dlm bekas yg mengandungi egg yolk. Kacau sehingga sebati. Masukkan lemon jus dan lemon zest. Kacau sebati
5. Pukul putih telur sehingga berbuih. Masukkan cream of tartar. Pukul seketika dan masukkan gula sedikit demi sedikit. Pukul putih telur sehingga menghasilkan adunan bertanduk apabila whisker diangkat keluar dari adunan.
6. Masukkan separuh putih telur ke dalam bekas yg mengandungi egg yolk. Fold adunan sehingga sebati. Jangan kacau, gunakan kaedah kaut dan lipat.
7. Masukkan adunan tadi kedalam bekas yg mengandungi putic telur. Gunakan kaedah kaut dan lipat sehingga semua bercampur sebati dan tiada garisan putih kelihatan.
8. Tuangkan adunan ke dalam loyang yg bersesuaian. Loyang tidak perlu digris di dinding loyang. Cukup sekadar meletak kertas minyak di dasar loyang.
9. Masukkan loyang ke dalam oven dan bakar selama 30 minit.
10. Kek masak apabila ujian menggunakan pencungkil gigi yg dicucuk kedlm kek keluar bersih.
11. Keluarkan kek drp oven dan telangkupkan supaya kek tidak mendap/ turun.
12. Keluarkan kek daripada loyang apabila kek betul2 sejuk. Dan hidangkan.

Tuesday, May 6, 2014

Ikan Bakar Belacan cicah Air Asam

Sukanyer bila dapat makan ikan bakar...mama papa ni favourite la apa-apa seafood yg di grilled...masa dok Kuala Selangor dulu ...menu tetap ikan bakar...pastu bila pindah dok Kuantan...macam dok dalam 'syurga' ikan bakar...mana tak nye Planet Seafood kat depan rumah je..bila Sara Thai buka kat Balok..lagi la syok...bila dok kat Kingston ni...dapat je ikan tilapia..mesti papa akan bakar...lepas la rindu...

Ikan Bakar Belacan

Bahan
2 ekor Ikan Tilapia ( apa-apa ikan yg bersesuaian dgn selera)

2 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
Bahan bertanda * diblender terlebih dahulu

2 tbs cili giling/boh
1 tsp garam
1 tsp belacan
1 tbs gula

2 tbs minyak utk menumis.

Cara

1. Blenderkan bahan bertanda *
2. Panaskan minyak dan tumis bahan yg telah diblender sehingga keperangan. Masukkan belacan, cili, garam dan gula. Kacau rata dan masak sehingga keluar bau semerbak belacan. Dah masakla tu. Sejukkan seketika
3. Letakkan ikan di atas aluminium foil. Gaul rata bahan yg telah ditumis tadi keseluruh ikan.
4. Bungkus ikan dan bakar selama 45 minit pada 300F.
5. Bila Ikan dah masak, akan keluar bau harum belacan yg membuatkan perut minta nasi hehehe.

Air Asam

Bahan

1 tbs asam jawa
1/2 cup air
1/2 tsp garam
1 tsp gula
1 biji bawang besar (mayam kasar)
1 biji cili padi (potong halus)
1 tsp air limau nipis/lemon
1/2 tsp belacan
1 biji tomato (potong dadu)

Cara
1. Ramas asam jawa di dlm air dan tapis.
2. Campur kan  gula, garam bawang, cili, belacan, air limau dan tomato di dalam bekas yg berisi air asam jawa. Gaul rata dan kacau sehingga garam dan gula larut. Siap.


Thursday, April 17, 2014

Karipap Ranggup

Papa suka makan karipap. Everytime ada apa-apa event, bila mama minta pendapat papa apa nak bawak utk event tu mesti mama akan dpt jawapan yg sama. Karipap paling best! So jangan bosan bila buah tangan mama adalah karipap ek. Everytime buat karipap mesti teringat kenangan silam tolong mek buat karipap pusing inti ubi stelo (keledek). Upah tolong bukan dpt duit tapi mek akan belikan tudung baru :).
*Resepi ni utk Karipap Rangup bukan karipap pusing. Karipap pusing next time ye. Banyak resepi utk kulit karipap ni. Yg ini kalau goreng sampai ke petang kulit dia tetap tegang dan ranggup.



Bahan utk kulit karipap:

2 cups tepung gandum
1tbs tepung beras (optional)
1tbs tepung ubi kayu (optional)
1/4 cup minyak masak
1/2 cup air ais
2 tbs butter
1/2 tsp garam

Cara-cara:
1. Sukat gandum, tepung beras dan tepung ubi kayu dan ayak ke dalam bekas bersesuaian. Masukkan butter ke dalam camuran tepung dan gaul/ramas butter bersama tepung sehingga sebati dan tekstur menjadi seperti serbuk roti yg halus.
2. Panaskan minyak di atas api sederhana (electric stove no 5) selama 5 minit. Apabila minyak telah panas, tuangkan minyak ke dalam bekas gandum dan kacau dgn spatula/senduk kayu sehingga sebati.
*Peringatan:
Sila berhati-hati semasa mengendali kuali berisi minyak panas ni. Sebaiknyer bekas gandum diletakkan bersebelahan dapur utk memudahkan penuangan dan mengelakkan kecederaan tanpa sengaja.
3. Masukkan air ais ke dalam bekas tepung dan uli sehingga menjadi doh. Uli selama 10 minit.
(Mama guna bread maker so mama just masukkan air ais diikuti tepung dan pilih Dough. Biarkan je mesin tu menguli sehingga siap)
4. Apabila doh telah siap di uli, masukkan ke dalam plastik. Tutup kemas dan masukkan ke dalam peti ais selama 30minit - 1 jam.
5. Apabila doh dah sejuk. Keluarkan dan bahagikan doh ke 5 atau 6 bahagian. Golehkan setiap bahagian doh tu menjadi panjang , seperti keropok lekor (diameter max 2 inci). Potong doh yg dah digolekkan tu 1/2 inci tebal dan start canai guna rolling pin. Doh yg dicanai tu jangan terlalu nipis dan seeloknya bulat cantik supaya senang nak letak inti dan kelim tepi.

Bahan utk inti

10 biji potatos (dipotong dadu)
2 tbs serbuk kari (dibancuh dgn 1tbs air dahulu)
1 tbs cili giling
1/4 cup daging/ayam cincang
1 biji bawang besar (dipotong dadu)
3 biji bawang putih (di dadu halus)
1/2 inci halia (di mayam halus)
2 tbs minyak utk menumis
1/2 cawan air
2 tbs gula
3/4 tbs garam

Cara-cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik bau/keperangan.
2. Bancuh serbuk kari dgn 1 tbs air dan tumis bersama bawang sehingga pecah minyak
3. Masukkan cili giling dan air. Kacau rata dan masak sehingga mendidih.
4. Masukkan daging/ayam dan gula+ garam. Kacau rata. Biarkan sehingga daging masak.
5. Masukkan potato, kacau supaya daging dan potato bercampur sekata. Tutup kuali dan biarkan sehingga potato masak empuk. Jangan lupa kacau sekali sekala untuk mengelakkan bahagian bawah hangus. Biasanya dlm 30 minit inti ni akan masak, bergantung dgn kuantiti potato yg digunakan.
6. Biarkan inti sejuk seketika dahulu sebelum gunakan.

Apabila sudah siap, karipap ni boleh digoreng utk hidangan petang atau boleh dijadikan karipap frozen. Mama biasanya akan goreng sekejap karipap sebelum frozenkan. Takut melekat kalau simpan karipap raw. Kalau nak kurang berminyak boleh bakar sekejap dalam oven suhu 300F selama 10 minit. Then boleh pack untuk frozen.

Saturday, April 5, 2014

Nasi Lemak Ringkas...simply irresistible...

Every saturday mama akan masak nasik lemak. masak seperiuk penuh terus. blh mkn dari pagi sampai ke ptg. free flow. anak-anak tak sekolah, lapar je buka periuk makan la nasik lemak tu sampai kenyang. Mama masak mudah je dan yg pasti anak-anak dan papa suka.



Nasi Lemak

Bahan:
4 cup beras
1 tin santan segera (400ml)
400 ml air (sukat guna tin santan tu je)
2 helai daun pandan
1/2 inci halia (diketuk)
3 biji bawang merah (di mayam halus)
1 tsp garam
1 tbs gula

Cara:
Basuh beras di dalam periuk rice cooker sehingga bersih. Masukkan santan dan air. Ukur aras cecair berbanding beras. Pastikan paras air cukup utk jenis beras yg digunakan. Mama guna beras wangi so jumlah airsantan tu dah ok. tetapi kalau guna beras biasa mungkin kena tambah 1/4 cawan air. Kemudian, masukkan daun pandan, halia, bawang merah, gula dan ram kedalam periuk. kacau bagi semua bercampur rata. Masak menggunakan rice cooker. Bila masak nasi akan semerbak wangi.

Sambal untuk Nasi Lemak

Bahan
1 biji bawang merah besar*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
Bahan * dikisar menggunakan blender

1 biji bawang kuning besar (dimayam kasar)
4 tbs cili kisar/cili boh
1 keping asam keping atau 1 tbs air asam jawa
1tsp garam
2 tbs gula
1/4 cup ikan bilis
4 tbs minyak

Cara:
Panaskan minyak di dalam kuali diatas api sederhana. mama guna electric stove so mama guna api no 5. apabila minyak dah panas masukkan bahan yg telah diblender. Tumis dan kacau sehingga naik bau/keperangan. kemudian masukkan cili kisar dan bawang kuning. Masak sehingga mendidih. Selepas itu, masukkan asam keping, garam, gula dan ikan bilis. kacau rata. Kecilkan api ke no 2 dan biarkan sambal mereneh selama 20 minit di atas api kecil. kacau sekali sekala bagi mengelakkan sambal di dasar kuali hangit. Rasa dan tambah garam/gula mengikut citarasa masing-masing. mama dah ok dah macam tu.

Biasanya mama akan masak nasi dulu dan kemudian baru masak sambal. Sambil kacau sambal tu mama akan rebus telur, goreng bilis, potong timun atau basuh daun salad. By the time nasi masak, sambal pun dah masak. Boleh terus hidangkan panas-panas. Yummy!