"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: 'Sepanjang 50 tahun, ini kali pertama saya ke PPS'

Nor Fazlina Abdul Rahim
am@hmetro.com.my
 Sebahagian rumah di kampung Padang Siam, Tanah merah di sini yang dinaiki air sedalam 1.5 meter akibat hujan lebat berterusan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sebahagian rumah di kampung Padang Siam, Tanah merah di sini yang dinaiki air sedalam 1.5 meter akibat hujan lebat berterusan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tanah Merah: "Ini kali pertama saya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Panau sepanjang usia saya 50 tahun," kata mangsa banjir, Mohd Naram Mat Jusoh.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia mula berpindah tengahari semalam selepas paras air di halaman rumahnya mencecah 0.5 meter.

"Bimbang keadaan semakin buruk, saya bersama isteri dan lima anak berjalan kaki harung banjir sejauh 1.5 kilometer (km) sebelum menumpang kenderaan penduduk untuk ke PPS.

"Kampung saya iaitu Kampung Bukit Kuang dikategorikan tempat tinggi kerana hanya sekali dilanda banjir iaitu pada 2014.

"Namun ketika itu saya berada di Kuala Lumpur dan terselamat daripada berpindah ke PPS. Maka ini lah kali pertama saya merasai berpindah ke PPS," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelasnya, situasi air gelombang pertama kali ini agak cepat memandangkan dalam tempoh beberapa jam saja air sudah mencecah 0.5 meter.

Sementara itu, penduduk Kampung Batu Garam, Mek Yam Awang Hamat, 66, berkata sepanjang usianya ini kali kedua dia berpindah ke PPS selepas kediamannya dinaiki air semalam.

"Kali pertama saya berpindah adalah pada 2014 namun ketika itu air di halaman rumah mencecah lebih 1 meter namun belum memasuki dalam rumah.

"Namun semalam pertama kali paras air masuk ke dalam rumah menyebabkan saya dan cucu berpindah ke PPS," katanya.

Tiada ulasan: