"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan maut. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan maut. Papar semua catatan

Kemalangan ngeri: Kepala mangsa putus dan tercampak keluar dari kereta

Mangsa putus kepala kemalangan di Rembau
Kelihatan anggota bomba dan penyelamat serta anggota polis mengangkat mayat seorang pemandu yang maut selepas kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Km39.1 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Kota kira-kira pukul 11 pagi dekat Rembau hari ini. - Foto Bernama
REMBAU: Seorang lelaki putus kepala apabila keretanya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Km39.1, Jalan Seremban-Tampin di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi ketika R.Sivakumar, 39, dalam perjalanan dari arah Tampin menuju Seremban.

Jurucakap polis berkata mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan dan cuba memotong beberapa kenderaan lain dihadapannya sebelum bertembung dengan treler berkenaan.

"Tubuh mangsa tersepit di tempat duduk sementara kepalanya putus dan tercampak keluar dari kereta," katanya.

Pemandu treler berkenaan yang berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Mizan Md Dom memgesahkan kejadian itu. 
-Bernama-

Lihat dengan mata sendiri isteri digilis hingga badan hancur

TANAH MERAH: Menyayat hati bagi seorang suami menyaksikan sendiri isterinya digilis kenderaan tiga kali ketika cuba melintas jalan untuk bersarapan bersama ahli rombongan persatuan surau dekat Masjid Kampung Panglima Bayu, di sini, pagi semalam.

Kejadian di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli pada jam 7 pagi itu menyebabkan pesara jururawat, Kamariah Osman, 63, terbunuh dalam keadaan ngeri apabila badannya hancur dengan kedua-dua kaki terputus akibat digilis kenderaan yang datang dari kedua-dua arah.

Suaminya, Yahya Ahmad, 66, yang turut rebah selepas kali pertama dirempuh sempat bangun dan menyelamatkan diri ke bahu jalan dalam keadaan cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Tanah Merah (HTM).

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan dirempuh dua kali oleh kereta dari arah Tanah Merah ke Jeli dan kali ketiga oleh sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan ketika berhenti di garisan kembar di tengah jalan bersama suaminya.

Menurut ahli jawatankuasa persatuan surau itu, Agil Mohamad, 74, rombongan seramai 36 orang itu ingin bersarapan di kedai makan seberang jalan sebelum meneruskan perjalanan untuk beli-belah di Rantau Panjang.

Katanya, sebelum itu mereka sempat menunaikan solat Subuh bersama di masjid berhampiran.

“Saya cuma hairan apabila dia sekali lagi mengambil wuduk walaupun selesai solat Subuh. Ia menyebabkan mereka berdua tertinggal di belakang ketika kami ingin melintas ke kedai makan di seberang jalan,” katanya.

Katanya, rombongan persatuan surau dari Kemaman, Terengganu itu bertolak jam 12.30 tengah malam semalam dan tiba di masjid pada jam 5.30 pagi.

“Sebaik selesai solat Subuh, kami ingin bersarapan di kedai makan seberang jalan. Kamariah dan suaminya menyangka kami akan meneruskan perjalanan, menyebabkan mereka berdua menaiki bas semula.

“Menyedari ahli rombongan tiada dalam bas, mereka kemudian turun untuk melintas jalan. Kami yang berada di kedai makan tidak sedar kejadian itu sehingga terdengar jeritan orang ramai,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abd Aziz Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tidak dapat dikesan apabila melarikan diri sejurus kejadian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Muka hancur, otak bersepai diseret treler

BEGINILAH keadaan motosikal berkuasa tinggi milik Haslihan [gambar kecil] yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya DUKE, Gombak semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan syarikat perisian komputer maut selepas digilis dan diseret kira-kira dua kilometer oleh sebuah treler di Kilometer 1.9 Lebuh Raya Duta-Hulu Klang (DUKE) di sini semalam.

Mangsa, Haslihan Abdul Hadi, 34, yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 itu dipercayai terbabas sebelum jatuh di jalan raya.

Menurut jurucakap polis, kejadian berlaku pada pukul 3.15 petang dan mangsa dalam perjalanan dari Hulu Klang menuju ke Gombak.

"Pada masa sama, sebuah treler yang dipercayai datang dari arah belakang gagal mengelak dan merempuh mangsa," katanya ketika ditemui.

Haslihan bersama motosikalnya dikatakan terseret di lorong tengah lebuh raya sementara pemandu treler yang melanggarnya terus meninggalkan mangsa selepas kejadian.

Mangsa yang terperosok di bawah motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian muka dan kepala.

"Kemalangan itu menyebabkan kepala mangsa pecah dan mukanya hancur. Kami terpaksa mengutip serpihan otak dan daging mangsa yang hancur atas jalan," katanya.

Mangsa merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Alam Shah di sini dan berasal dari Klang itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
-kosmo-

13 maut pesawat terhempas di kawasan setinggan

DUA anggota bomba mengangkat atap zink di sebelah mayat-mayat yang ditemui.
MANILA, Filipina: Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk dua kanak-kanak maut manakala 20 lagi cedera apabila sebuah pesawat kargo terhempas dan mengenai sebuah sekolah di bandar Paranaque di sini semalam sejurus selepas berlepas, kata beberapa pegawai.

Datuk Bandar Paranaque, Florencio Bernabe berkata, pesawat dua enjin itu terbakar selepas ia mengenai bangunan Sekolah Rendah F. Serrano.

Menurutnya, ketika kejadian, bangunan tersebut kosong kerana cuti hujung minggu.

Seorang pegawai polis Inspektor Dennis Sirilan berkata, api merebak dengan cepat ke penempatan setinggan di sekeliling sekolah berkenaan.

Seorang lagi pegawai polis, Ketua Inspektor Enrique Sy berkata, juruterbang dan pembantu juruterbang terbabit terkorban manakala mangsa yang lain terdiri daripada penduduk penempatan setinggan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang anggota polis di sini Rogen Rodriguez berkata, dia bergegas pulang untuk membantu jiran-jirannya selepas mendapat berita kebakaran itu tanpa menyedari bahawa saudara perempuannya, Maricel Garado adalah antara yang terkorban.

"Dia baru keluar rumah untuk mencari anaknya. Sebahagian serpihan pesawat yang meletup itu mengenainya dan dia terbunuh," kata Rodriguez.

Seorang jurugambar AFP di lokasi kejadian memberitahu, kebakaran itu memusnahkan kawasan seluas 2,000 meter persegi di kawasan setinggan berkenaan.

Ketua Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina, Ramon Gutierrez memberitahu, juruterbang terbabit membuat panggilan kecemasan sebelum kejadian tetapi pesawat itu tidak sempat mendarat di sebuah lapangan terbang di sini.

Menurutnya, pesawat itu berpatah balik selepas berlepas untuk mengambil kargo di Pulau Mindoro.

Punca nahas masih disiasat.
-Agensi-

Sebak lihat kepala putus

PORT DICKSON: “Saya sebak melihat keadaan mayat mangsa yang kepala terbelah dan putus terhimpit dalam kereta yang remuk teruk,” kata seorang kontraktor yang juga saksi terawal kemalangan maut mengorbankan lima sekeluarga di Kilometer 19.6 Jalan Pantai, Pasir Panjang, dekat sini, semalam.

Hardi Jamu, 37, berkata dia melihat lima mangsa yang berada dalam kereta berkenaan tidak bergerak dan percaya mereka sudah meninggal dunia akibat parah.

“Saya berkejar mendapatkan beberapa lagi mangsa dalam kenderaan lain untuk memberi bantuan selain cuba menahan kenderaan yang lalu lalang bagi mengelak mereka terbabit kemalangan ngeri itu.

“Keadaan kelam-kabut dan orang ramai yang berada di kawasan sekitar serta pengguna jalan raya lain datang memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, lima sekeluarga yang menaiki Proton Wira dari Port Dickson maut selepas kenderaan dinaiki berlanggar sebuah trak tentera.

Mereka yang maut ialah Mohd Said Lakan, 58, isterinya, Rosnani Buyong, 50, anak mereka, Nordiana, 30, menantunya, Saipol Naaim Mat Dan, 36, (pemandu kereta) dan cucunya, Muhammad Harith Firdaus Saipol Naaim berusia empat tahun.

Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah kereta yang datang dari Port Dickson menghala Linggi memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh belakang trak tentera yang menuju Port Dickson menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh Proton Wira dinaiki lima sekeluarga berkenaan.

Dua lagi kenderaan terbabit iaitu sebuah Perodua Myvi dan Kia Spectra. Empat mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak dan mereka dikejarkan ke Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Menceritakan kejadian itu, Hardi berkata, ketika kejadian, dia berada di simpang di depan lokasi nahas itu untuk keluar membeli barangan.

Katanya, tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat sebelum melihat sebuah kereta melanggar sisi belakang trak tentera menyebabkannya hilang kawalan.

“Trak tentera itu kemudian terlanggar Proton Wira dan terbalik sambil menyeret Proton Wira itu ke tepi jalan.

“Sejurus kemudian saya terdengar beberapa lagi dentuman dipercayai akibat kemalangan susulan di belakang trak tentera berkenaan,” katanya.

Menurutnya, selepas melihat keadaan pemandu dan penumpang Proton Wira berkenaan, dia segera pergi ke beberapa lagi kenderaan yang turut terbabit dalam kemalangan untuk memberikan bantuan.

“Saya dan beberapa pengguna lain serta orang ramai yang berada di tempat kejadian memberikan bantuan kepada mangsa yang cedera sebelum mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

“Pasukan bomba dan polis yang dihubungi datang ke lokasi tidak lama selepas kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit,” katanya.

Hardi berkata, pemandu dan beberapa anggota tentera dalam trak tentera itu, bagaimanapun tidak cedera serius.
-hmetro-

3 maut kemalangan babit 9 kenderaan

BAHAU: Tiga lelaki terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga lori, tiga kereta dan tiga motosikal di simpang tiga berhampiran lampu isyarat Jalan Bahau-Mahsan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt. Mohd. Sabri Muhamad berkata, mereka yang mati di tempat kejadian ialah pemandu treler Abdul Halim Omar, 33, dan kelindannya, Nordin Amat, 45, kedua-duanya dari Labis, Johor, serta penunggang motosikal, seorang pelajar Kolej Komuniti Jempol, Muhammad Izwan Noorazman, 20, dari Taman Keramat, Kuala Lumpur.
"Mayat mereka dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini.
Mohd. Sabri berkata, dalam kejadian pada 11.20 pagi tadi, sebuah treler yang sarat dengan muatan kayu getah tiba-tiba merempuh dua buah lori kosong, tiga kereta, tiga motosikal dan sebuah kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat itu kerana lampu merah.
Katanya akibat rempuhan itu, Abdul Halim dan Nordin yang tersepit dalam treler yang dinaiki mereka mati di tempat kejadian manakala Muhammad Izwan terperosok di bawah treler itu.
"Kemalangan itu dipercayai berpunca apabila pemandu treler berkenaan yang menurun jalan bukit di situ tidak dapat mengawal kenderaannya lalu merempuh semua kenderaan itu yang sedang berhenti di lampu isyarat tersebut,” kata Mohd. Sabri.
Katanya, lima orang yang cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah. Mereka terdiri Mohd Afiq Ghazali, 21, Muhd Faiz Mohd Nasaruddin, 26, dan Mohd Haidir Nordin, 20, kesemuanya dari Kolej Komuniti Jempol, serta Ariffin Ahmad, 50, dan Loh Kim Hoon, 34.
-Bernama-

Kutip cebisan daging anak

PASIR MAS: Seorang bapa menguatkan semangat untuk mengutip cebisan daging dan tulang anaknya yang maut dalam kemalangan di Buluh Melintang, jam 8.30 malam kelmarin. 

Seman Ishak, 45, berkata, perasaan sayu menyelubunginya apabila banyak cebisan tulang dan daging anaknya, Siti Noor Suliana, 14, hancur setelah terlibat dalam kemalangan itu. 

Ketika dia tiba di tempat kejadian, anak keempat daripada sembilan beradik bersama sepupunya berada dalam keadaan kritikal dan amat menyayat hati. 

“Saya paksa diri untuk gagahkan diri mencari cebisan daging dan tulang anak untuk dibawa ke hospital bagi membolehkan doktor menyambung semula bahagian tubuhnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Seman berkata, sebelum kejadian, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kangkong, ada memaklumkan kepada isterinya mengenai hasrat untuk menemani sepupunya membeli burger. 

Menurutnya, anaknya keluar bersama sepupunya untuk membeli burger kira-kira satu kilometer dari rumah, namun hajat mereka tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan. 

Katanya, akibat perlanggaran dengan kereta, anaknya cedera parah pada bahagian kepala, terputus bahagian kaki dengan tulangnya hancur pada bahagian paha. 

Mangsa katanya, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun katanya, anaknya disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di kepala. 

Sepupu Noor Suliana yang patah tangan, paha serta sakit pada bahagian dada dirawat di hospital sama. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim ketika dihubungi mengesahkan mengenai kemalangan menimpa pelajar terbabit.

-sinarharian-

Penunggang motosikal kecai digilis di Lebuh Raya Utara Selatan

IPOH, 4 Feb: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berkecai selepas digilis beberapa kenderaan di KM 269.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dalam satu kemalangan malam tadi.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh DSP Mohd Rodzi Rejab berkata mayat Mohd Ridzuan Abdul Wahab, 25, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, ditemui orang ramai kira-kira pukul 8 malam yang kemudian membuat laporan polis.

Mohd Ridzuan yang menunggang motosikal dalam perjalan dari utara ke selatan dipercayai terjatuh selepas bergesel dengan kenderaan lain di lebuh raya itu dan digilis beberapa kenderaan lain, katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata turut cedera dalam kejadian itu ialah seorang lagi penunggang motosikal yang merempuh Mohd Ridzuan.

Bagaimanapun Irwan Fahmi Mat Ariff, 22, seorang anggota tentera yang berasal dari sini hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun, katanya.

Beliau berkata kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes langgar lari dan polis meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan. 
-Bernama-

Remaja mati digilis lekat di tayar lori

NGERI...mayat mangsa  yang maut digilis sebuah lori tanah di Jalan Kampung Banai, Jitra.
NGERI...mayat mangsa yang maut digilis sebuah lori tanah di Jalan Kampung Banai, Jitra. 
JITRA: “Saya terdengar jeritan remaja itu memanggil ‘mak’ sebaik terhumban daripada motosikalnya sebelum meninggal dunia digilis lori membawa muatan batu dari arah bertentangan.

“Apabila menghampiri kawasan itu, saya mendapati dia sudah meninggal dunia dan mayatnya dalam keadaan cukup ngeri,” kata seorang saksi kemalangan di Jalan Kampung Banai, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, mangsa, Mohamed Hafiz Mohamed, 14, yang menunggang motosikal meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Rashid, 40-an, berkata dia yang menunggang motosikal bersama anak perempuannya berusia 11 tahun berada kira-kira 50 meter di belakang remaja terbabit.

Katanya, ketika melalui selekoh tajam di kawasan itu, motosikal ditunggangi remaja itu terbabas sebelum merempuh sebuah lori di depannya.

“Remaja itu terhumban di atas jalan sebelum digilis lori berkenaan. Saya dan beberapa penduduk kampung berhampiran berusaha menarik remaja itu yang melekat di bawah tayar lori,” katanya.

Menurutnya, pemandu lori itu melarikan diri kerana bimbang dipukul orang ramai.

Katanya, kawasan itu menjadi laluan utama lori membawa muatan batu dan tanah dari kawasan bukit berhampiran menuju ke Bukit Pinang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Siasatan awal mendapati, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai terbabas di selekoh tajam sebelum terjatuh di atas jalan dan digilis lori terbabit.

“Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dikeluarkan dari bawah tayar kira-kira sejam kemudian. Berdasarkan siasatan, remaja berasal dari Bukit Pinang itu tidak memiliki lesen dan masih di bawah umur.

“Pemandu lori berusia 32 tahun itu sudah diambil keterangan selepas dihantar penduduk kampung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk menyerah diri,” katanya.

Mayat Mohamed Hafiz kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Jitra sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan, kelmarin.
-hmetro-

Mangsa nampak asap sebelum kemalangan

Salah seorang pelancong Thai yang terselamat dalam kemalangan maut semalam di laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands ternampak asap di bahagian luar tepi bas pesiaran sebelum ia terbabas.

"Sewaktu bas menuruni kawasan bukit itu, anak saya menceritakan yang dia nampak asap di bahagian luar tepi bas berkenaan," kata Nasir Ismail, 51, yang anaknya Areena Songserm (nama Islam Areena bt Nasir) antara 10 yang cedera.

Nasir berkata, Areena memberitahunya apabila bas merempuh pembahagi jalan dan terus terbalik di dalam longkang besar, dia cuma ingat yang dia cuba merangkak keluar.

Nasir tiba kira-kira 9 pagi tadi di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk melawat Areena yang mengalami cedera ringan di bahagian kepala dan badan dan kini dirawat di wad biasa hospital.

"Anak saya beritahu, selepas dia merangkak dan dapat keluar dari badan bas, dia kata dia masih dapat melihat asap pada bas berkenaan. Bagaimanapun dia tidak dapat pastikan tahap kelajuan bas terbabit semasa sedang menuruni kawasan bukit itu," katanya kepada pemberita.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana anaknya masih hidup walaupun senarai yang dikeluarkan semalam menunjukkan anaknya yang merupakan pelajar tahun tiga jurusan Undang-undang di Walailak University, Nakhon Sithamarat terkorban.

Seramai 27 orang, kebanyakannya pelancong Thai, terbunuh apabila bas itu terbalik dalam kejadian 11.40 pagi semalam.

Aida Muhamad, 36, bersyukur emak saudaranya Darunee Songserm (nama Islam Dariah Ismail) berada dalam keadaan stabil walaupun sedang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya Darunee mempunyai pengalaman sebagai pemandu pelancong sejak 10 tahun lepas.

"Saya rasa ibarat mati hidup semula, apabila polis memberitahu mak saudara saya terselamat dalam kemalangan tersebut...dan syukur alhamdulillah semuanya selamat," katanya.

Sementara itu, anak sulung Darunee, Faisal Ismail, 40, berkata melihat keadaan ibunya yang kini berada di ICU beliau hanya berdoa dan menyerahkan pada takdir.

"Saya tiba di sini semalam (12 tengah malam) terus ke rumah mayat untuk menuntut mayat (ibu) tetapi tidak dibenarkan sebab bilik mayat dah tutup, tetapi syukur hari ini dapat tahu ibu saya masih hidup," katanya.

Faisal yang bekerja sebagai pemandu pelancong dan guru bahasa Inggeris di Patani menganggap kejadian ini adalah sejarah dalam keluarganya.

Aswadi Abdulullah, 31, yang merupakan saudara kepada pemandu bas yang maut, Omar Shahidan, berkata Omar pernah bercerita sebelum ini mengenai Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai ini tidak selamat dan tidak sedap hati bila melaluinya.

Aswadi berkata, arwah menceritakan tentang minyak yang terdapat di jalan tersebut dan nyaris menjadi mangsa disebabkan permukaan jalan yang licin.

"Tetapi beliau tidak menuduh terdapat unsur khianat dari perbuatan itu ataupun sebab-sebab lain, melainkan menyatakan perkara buruk akan berlaku sekiranya tiada pemantauan pihak berkuasa.

"Saya juga seorang pemandu bas dan saya minta pihak berwajib memantau perkara ini... dan jangan hanya menuding jari kepada pemandu bas selepas berlakunya kemalangan," katanya.

Aswadi berkata beliau berpendapat Omar tidak memandu secara melulu kerana bas yang dipandunya membawa pelancong dari luar negara.

Jelasnya, pasaran pelancong dari negara jiran Thailand itu amat memberangsangkan dan pemandu mungkin kehilangan pekerjaan sekiranya tidak menjalankan tugas dengan baik.

"Omar mengambil alih tugas membawa pelancong ini dari sebuah hotel di ibu negara dan membawa mereka ke Cameron Highlands sebelum menghantar mereka pulang ke Kuala Lumpur semalam," katanya.

Jenazah Omar dituntut keluarganya malam tadi dan dibawa pulang untuk disemadikan di Taman Seri Manis, Kangar manakala mayat pemandu pelancong, Soontorn Kian, 38, pula dibawa ke Alor Setar.
-Bernama-

Penerbangan Khas Ke Bangkok Bawa Pulang Mayat Mangsa Kemalangan Bas

IPOH, 21 DIS: Kedutaan Thailand sedang menguruskan supaya satu penerbangan khas dari sini ke Bangkok dapat dilakukan bagi membawa pulang mayat 24 rakyatnya yang terbunuh dalam kemalangan bas di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.

Duta Thailand ke Malaysia Thana Duangrana, yang ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, berkata pihaknya berharap penerbangan khas itu dapat dilakukan secepat mungkin.

Katanya pihak kedutaan akan memohon kepada kerajaan Thailand supaya sebuah pesawat khas dapat diterbangkan ke Malaysia bagi tujuan itu.

Beliau berkata pihaknya akan membuat persediaan termasuk mempercepatkan urusan dokumentasi supaya penerbangan khas itu dapat disegerakan. Katanya beliau akan mengusahakan supaya penerbangan khas itu dilakukan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini.

Kemalangan terburuk itu berlaku pada 11.40 pagi semalam apabila sebuah bas dua tingkat membawa 37 pelancong dari Thailand sedang menuruni bukit. Tiga rakyat tempatan terdiri pemandu bas, penolong pemandu dan seorang pemandu pelancong turut terbunuh.

Suasana di hospital kelihatan sibuk bagi urusan dokumentasi mayat tetapi kaunter khidmat polis yang dibuka sejak kemalangan itu berlaku agak tenang. Setakat ini waris kepada mangsa yang maut dan cedera mula hadir ke Jabatan Forensik untuk menuntut mayat dan mendapatkan maklumat mengenai anggota keluarga mereka yang terlibat. Seorang petugas jabatan berkenaan berkata pihaknya juga masih menunggu maklumat daripada polis.
-Bernama-

Tercampak sebelum diseret badan bas

REMUK...keadaan bas yang terbabit

dalam nahas ngeri di Jalan Simpang

Pulai-Cameron Highlands, semalam.
REMUK...keadaan bas yang terbabit dalam nahas ngeri di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, semalam.  
IPOH: “Kejadian berlaku begitu pantas dan saya melihat beberapa penumpang tercampak keluar selain ada antara mereka diseret badan bas yang menggelongsor lebih 50 meter,” kata Monat Rahen, 19, antara saksi terawal kemalangan terburuk dalam sejarah negara yang mengorbankan 27 nyawa, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, 24 pelancong Thailand dan tiga rakyat tempatan terbunuh manakala 10 lagi parah apabila bas persiaran dua tingkat dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, berhampiran Kampung Juang, di sini.
Foto
BANTU...pasukan penyelamat merawat mangsa yang cedera di tempat kejadian, semalam.
Foto
ANGKAT...anggota Jabatan Pertahanan Awam membawa keluar mayat mangsa daripada bas terbabit.
Foto
RAWAT...seorang mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh, semalam.
Foto
TINJAU...Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Chong Ha (kiri) bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan (dua dari kiri) melawat tempat kejadian.
Foto
LANGGAR...batu pembahagi jalan pecah akibat dilanggar bas pesiaran.
Monat berkata, sebelum kejadian dia yang memandu Proton Satria bersama seorang di sebelahnya, melihat bas terbabit yang datang dari arah bertentangan meluru laju ketika muncul dari selekoh tajam di depannya.

Melihat keadaan itu, dia memperlahankan kenderaan kerana tidak sedap hati melihatkan keadaan badan bas dua tingkat itu yang tidak stabil dan senget seperti mahu terbalik.

“Firasat saya benar-benar berlaku apabila bas itu merempuh konkrit pembahagi jalan menyebabkan ia terbalik ke laluan bertentangan dan menggelongsor sebelum terhumban ke dalam longkang satu meter,” katanya.

Menurutnya, jarak kereta dipandunya dengan tempat bas itu terhumban ke dalam longkang kira-kira 50 meter.

“Tindakan saya memperlahankan kelajuan menyelamatkan nyawa saya dan rakan kerana jika tidak pasti kereta kami dihimpit bas itu kerana kenderaan kami berada di depan sekali ketika kejadian,” katanya.

Monat berkata, selepas memberhentikan kenderaannya, dia bersama rakan segera ke tempat kejadian dan hatinya sayu apabila melihat ramai penumpang bergelimpangan atas jalan.

“Sebahagian besar mereka parah dan sudah tidak bergerak, dipercayai sudah meninggal dunia. Saya mengangkat beberapa mangsa yang parah ke tepi jalan,” katanya.

Seorang lagi saksi yang menaiki bas henti-henti yang ketika itu berada tidak jauh di belakang kereta dinaiki Monat, Muhammad Shafwan Mohd Nan, 17, berkata dia tidak berani membantu mangsa kerana begitu ngeri melihat keadaan beberapa penumpang terutama yang tercampak atas jalan dan diseret bas.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tasik Damai, di sini, berkata dia menaiki bas itu bersama tiga rakannya untuk bercuti ke Cameron Highlands.

“Bas kami berhenti mengejut sebelum pemandu memberitahu berlaku kemalangan. Saya bersama rakan turun untuk menghulurkan bantuan selepas melihat dari jauh terdapat ramai orang bergelimpangan atas jalan.

“Bagaimanapun, saya membatalkan hasrat itu kerana terlalu takut melihat keadaan mangsa yang bergelimpangan dan tersepit dalam bas dalam keadaan mengerikan.

“Saya percaya kebanyakan mangsa sudah meninggal dunia selain kaki dan tangan mereka patah, malah kepala beberapa mangsa juga pecah dengan otak bertaburan atas jalan. Keadaan ketika itu begitu menyayat hati dan menakutkan,” katanya.
-hmetro-

List Of The Victims Of The Cameron Highlands Bus Accident

IPOH, Dec 20:The police have issued the names of 25 Thai nationals and two Malaysians who were among the 27 people killed in a tour bus accident at Km15 of the Cameron Highlands-Simpang Pulai Road at 11.40 am Monday.

1. Omar Shahidan, 48 (male, Malaysian bus driver)

2. Soontorn a/l Kian, 38 (male, Malaysian tour guide of Siamese descent)

3. Charcart Knagsuwan, 48 (male)

4. Thanvaraj Poolsang, 36 (female)

5. Nutthiya Inyyim, 50 (female)

6. Poonporn Poolsaene, 41 (male)

7. Sumruay Swatphet, 48 (male)

8. Putharee Akkrarachaw Wanont, 42 (female)

9. Ponethanest Akkrarachaw Wanont, 45 (male)

10. Suchanchida Chaiaueai, 40 (female)

11. Sriwai Swatphet, 42 (female)

12. Prinya Prassakulchai, 48 (female)

13. Chutima Throukool, 25 (female)

14. Thitisak Pongtanarat, 51 (male)

15. Junpen Pongtanarat, 50 (female)

16. Phayong Kruanjinli, 59 (male)

17. Ekachai Na Bangxang, 64 (male)

18. Mantana Phromduag, 51 (female)

19. Rungnada Klungsawan (female)

20. Darunee Songserm (female)

21. Isariya Thiangtham, 25 (female)

22. Ampaiwan Thiangtham, 50 (female)

23. Maliwan Mekmahaprom, 53 (female)

24. Achara Wiwat, 36 (female)

25. Natkritta Poolsaeng, six, (female)

26. Weera Chuntanagon (male)

27. Areena Songserm (female)

-BERNAMA-

Saksi nampak mayat bergelimpangan di jalan raya

IPOH, 20 Dis: Seorang pelajar berkata dia melihat mayat bergelimpang di atas jalan raya sejurus selepas bas pesiaran yang membawa pelancong Thailand terbabas di km15 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai menyebabkan 28 terbunuh hari ini.
“Saya juga nampak ada kanak-kanak terbaring di longkang dipercayai tercampak dari bas,” kata Mohamad Shafwan Mohd Nan, 17, yang mengikuti rombongan sekolahnya dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands.

Mohamad Shafwan berkata ketika sampai di tempat kejadian, beliau nampak beberapa mangsa yang cedera dan berlumuran darah keluar dari bas yang terbalik itu.
Dua puluh tujuh pelancong Thailand dan seorang pemandu bas yang dikenali sebagai Omar Shahidan dari Kangar, Perlis, terbunuh apabila bas pesiaran itu terbalik ke dalam longkang ketika turun dari pusat peranginan itu pada 11.40 pagi tadi.

Seramai 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan dua lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
The wreckage of a double-decker bus is seen on the Cameron Highlands-Simpang Pulai expressway today. The crash claimed 28 lives and was the deadliest in Malaysian history. — Bernama pic
Mereka yang cedera dibawa dengan ambulans ke hospital manakala mayat dibawa dengan lori polis dan Jabatan Pertahanan Awam.

Setakat ini, polis telah mengesahkan mangsa yang mati adalah 12 lelaki dan 15 wanita manakala identiti seorang lagi belum dikenal pasti.

Wartawan dan jurugambar yang bekejar ke tempat kejadian terpaksa berjalan tiga kilometer ke tempat kejadian kerana laluan itu telah ditutup kepada semua lalulintas bagi memudahkan kerja menyelamat.

Usaha untuk mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku semasa kejadian agak sukar kerana semua penumpang lain dan dua lagi rakyat Malaysia iaitu pembantu pemandu dan pemandu pelancong mengalami cedera parah.

Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, yang mempunyai banyak cerun, dibuka kepada lalu lintas pada tahun 2003 dan merupakan laluan alternatif ke Cameron Highlands selain jalan dari Tapah.

Ia juga digunakan bagi mereka yang mahu pergi Gua Musang melalui Lojing di Kelantan. 
-Bernama-

Kemalangan bas terburuk negara

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Kemalangan bas di Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai hari ini yang meragut 27 nyawa adalah yang paling dahsyat dalam sejarah negara.

Dalam nahas pada 11.10 pagi tadi, 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan seorang lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Kemalangan terburuk melibatkan sebuah pas sebelum ini berlaku pada 13 Ogos 2007, apabila 20 orang terbunuh dan sembilan cedera di KM229 Lebuh Raya Utara-Selatan, di Bukit Gantang dekat Taiping.

Berikut kemalangan bas yang berlaku tahun ini, tidak termasuk nahas pagi tadi.

16 DIS – Empat kakitangan Jabatan Penjara Tawau terbunuh apabila bas jabatan itu terbabas lalu terjatuh dalam gaung di Kampung Moyog, 35 kilometer dari Penampang dekat Kota Kinabalu.

14 DIS – Seramai 14 orang pekerja kilang cedera apabila bas kilang yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Km 156.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Nibong Tebal, Pulau Pinang, selepas bergesel dengan sebuah treler yang turut terhumban ke dalam parit.

11 DIS – Tiga pelajar Institut Kemahiran Mara Jasin, Melaka parah apabila bas yang mereka naiki terbabas dan terbalik di kilometer 304.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Gopeng, Perak.

4 NOV – Seorang maut dan dua cedera parah selepas bas ekspres yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik ke dalam sebuah tali air di Kampung Sungai Miang, di km20 Jalan Pekan-Nenasi, Pahang.

29 OKT – Tujuh penumpang maut dan 39 cedera termasuk 17 parah apabila sebuah bas terlibat dalam kemalangan di KM36 Lebuhraya Karak ke Kuala Lumpur.

10 OKT – 13 penumpang maut dan 40 cedera apabila bas ekspres terlibat kemalangan di KM223 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat-Rembau.

2 SEPT – Lapan belas orang cedera apabila bas persiaran yang dinaiki terbabas dan terbalik di Km 35.1 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur.

27 OGOS – Seorang pemandu bas ekspres terbunuh manakala tiga cedera parah dan enam cedera ringan apabila bas yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Km306.2 Lebuhraya Utara-Selatan.

17 APRIL – Seorang penumpang patah tulang rusuk manakala enam yang lain cedera ringan apabila sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Johor Baharu ke ibu negara terbabas di KM32 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Kulai Jaya, Johor.

20 MAC – 40 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila kenderaan berkenaan terbabas dan terperosok ke dalam tali air di Km 42 Jalan Kuantan-Kemaman.

4 FEB – 15 penumpang bas Ekspres Konsortium yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur nyaris maut selepas bas berkenaan melanggar dua kenderaan lain di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang. 
-Bernama-

Korban nahas bas di Simpang Pulai meningkat 28

KEMALANGAN maut yang membabitkan bas persiaran Thai di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, pagi tadi kini meningkat kepada 26 orang. Ketika nahas, bas itu membawa 37 orang dengan 34 pelancong Thai manakala tiga rakyat tempatan.
IPOH: Dua puluh tujuh pelancong Thailand dan seorang rakyat Malaysia terbunuh selepas bas pesiaran yang mereka naiki terbalik ke dalam longkang di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, jam 11.40 pagi tadi.

Seramai 22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan dua lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa bas itu sedang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur kerana rombongan pelancong itu dipercayai akan mengambil penerbangan pulang ke Bangkok.

Katanya siasatan awal mendapati pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum bas terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik dalam longkang.

Katanya, polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan pada tengah hari telah mengerakkan 100 anggota penyelamat dalam operasi menyelamat.

Rakyat tempatan yang terbunuh itu dipercayai pemandu atau pembantu pemandu bas terbabit.

Menurut sumber Tourism Malaysia pula, seramai 44 pelancong Thai menyertai pakej pelancongan ke Cameron Highlands menggunakan bas dua tingkat milik San Express Holiday dengan nombor pendaftaran AFX 2266 itu yang didaftar di Perak tetapi berpusat di Changloon, Kedah.
Pengarah Urusan syarikat itu, Sor Eng Hock yang kini berada di Bangkok kerana urusan perniagaan, ketika dihubungi berkata bahawa sebelum ini tidak pernah berlaku kemalangan melibatkan syarikat itu.

"Tak sangka jadi macam ini. Saya tak tahu punca...saya kena balik dan bincang," katanya.

Syarikat yang didaftarkan pada 2007 itu mempunyai enam bas.

Ditanya mengenai bentuk bantuan kepada mangsa, Sor berkata syarikat akan merancang sesuatu.

"Buat masa ini saya amat sedih...saya memang terkejut. Saya tak tahu nak fikir atau buat apa-apa. Tapi kita akan rancang sesuatu untuk mangsa," katanya.
-Bernama-

Lima sekeluarga maut dalam kemalangan ngeri di Port Dickson

NGERI..kemalangan maut membabitkan 4 kereta dan satu trak askar sehingga menyebabkan lima maut di tempat kejadian di KM19.6 Jalan Pantai, Pasir Panjang, Port Dickson, awal pagi tadi. - Foto Dzulkeffli Mustapha
 PORT DICKSON, 5 Dis: Lima sekeluarga terbunuh manakala enam yang lain termasuk anggota tentera cedera dalam satu kemalangan ngeri yang membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 19.6 Jalan Pantai-Pasir Panjang-Linggi dekat Kampung Bukit Tembok di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Baljeet Singh berkata, mereka yang terbunuh dikenali sebagai Mohd Said Lakan, 58, isterinya Rosnani Buyong, 50.
Kedua-duanya berasal dari Hulu Langat, Selangor.

Turut terbunuh anak perempuan mereka Nordiana Mohd Said, 30, suaminya Saipul Naaim Mat Dan, 36 dan anak mereka Mohammad Harith Firdaus Saipul Naaim, 4, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mereka mati di tempat kejadian akibat kecederaan yang teruk di kepala dan anggota badan dalam kejadian pukul 11.15 pagi, katanya.

Sementara itu, pasukan bomba dan penyelamat di sini mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan kesemua mayat yang tersepit.

Mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson.

Tiga lagi termasuk pemandu sebuah kenderaan yang lain turut cedera tetapi identiti mereka tidak diketahui.

Katanya, kenderaan yang dinaiki oleh keluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Port Dickson ke Melaka dan diekori oleh sebuah kenderaan lain yang dinaiki oleh sepasang suami isteri bersama anak mereka.

Lori tentera terbabit pula datang dari arah Kem Terendak, Melaka menuju ke markas tentera di Port Dickson dan diekori oleh dua buah kenderaan lain, katanya.

Salah sebuah kenderaan yang datang dari arah Port Dickson dipercayai memotong kereta keluarga malang itu tetapi tergesel bahagian belakang lori menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan lalu dirempuh oleh kenderaan yang dinaiki lima sekeluarga itu,” katanya.

Akibatnya, lori tentera seberat 3 tan itu terbalik ke sisi dan dan tiga anggota tentera mengalami kecederaan ringan, katanya.

Setakat ini, maklumat mengenai mereka juga tidak diketahui.

Dua buah kenderaan yang mengekori belakang lori itu gagal menghentikan kenderaan mereka lalu merempuh belakang lori terbabit, katanya. 
-Bernama-

Bekas Jurulatih Basikal Kebangsaan Daud Ibrahim Maut Dalam Kemalangan

REMBAU: Bekas jurulatih basikal kebangsaan yang juga jaguh lumba basikal negara, Daud Ibrahim meninggal dunia apabila kereta yang dipandunya dilanggar dari belakang oleh sebuah treler di Kilometer 232.6, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, awal pagi ini.

Jurucakap polis berkata Daud, 63, yang beralamat Jalan Daud, Muar, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 pagi ketika Allahyarham dan juga treler berkenaan yang membawa kontena, sedang dalam perjalanan menghala arah selatan.

Pemandu treler Ja'afar Abu Bakar, 44, berkata kereta di hadapannya secara tiba-tiba keluar dari lorong kecemasan dan terus masuk ke lorong pertama menyebabkan beliau gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta itu, menyebabkan ia remuk.

Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau mengambil masa kira-kira lapan minit untuk mengeluarkan mayat Allahyarham yang tersepit.

Allahyarham yang memenangi pingat emas Sukan Asia dan Sukan SEAP dalam acara berbasikal, pernah diberi penghormatan untuk menyalakan obor Sukan SEA ke-21 di Stadium Nasional di sini pada 2001.

Allahyarham yang membuat penyertaan sulungnya pada Sukan SEAP 1969 di Rangoon, mula menempa nama apabila meraih pingat emas dalam acara 1,600m di Sukan Asia pada 1970.

Setahun kemudian, beliau terus menguasai acara lumba basikal pada Sukan SEAP di Kuala Lumpur dengan meraih lima pingat emas, dan Allahyarham juga pernah mengambil bahagian dalam Sukan Komanwel ketujuh di Christcurch, New Zealand pada 1974 dan Sukan Olimpik 1972 di Munich. 
-Bernama-