"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Politik kampus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik kampus. Papar semua catatan

Auku: Keberanian SMM bagai rempuh Gaza

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 9 Jun:
Keberanian Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut kebebasan bersuara dan akademik daripada kerajaan Umno BN dianggap seperti keberanian 12 sukarelawan Malaysia menuntut kebebasan daripada zionis Israel untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Demikian kenyataan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat pagi tadi pada suatu kenyataan media bersama SMM di lobi Parlimen.

"Kita anggap keberanian SMM ini menentang Auku serta menuntut kebebasan akademik ini sebagai keberanian merempuh Gaza yang dikepong zionis sekarang ini," jelas Dr. Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai.

Beliau yang juga Bendahari PAS Pusat berkata, walaupun keberanian SMM tersebut terpaksa dibayar dengan denda atau digantung hatta dipecat dari universiti menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), namun keberanian pertubuhan koliasi itu membawa Deklarasi Belia dan Mahasiswa Malaysia ke Parlimen mampu menggamit kesedaran ahli Parlimen untuk bersama-sama mahasiswa mempertahankan hak asasi mereka.

"Mereka (mahasiswa) ada yang didenda, dipecat hatta digantung, tetapi dengan deklarasi ini sudah tentu akan menggamit kesedaran kami sebagaimana dunia mulai sedar tentang kezaliman zionis Israel apabila bantuan kemanusiaan dihalang oleh mereka," ujar beliau.

Menyambut kenyataan Dr Hatta, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berjanji bahawa Pakatan Rakyat akan membawa isu tersebut di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, inisiatif Pakatan Rakyat mahu mengangkat deklarasi tersebut di Dewan Rakyat berasaskan pada prinsip bersama.

"Bertitik tolak pada prinsip bersama menghormati prinsip hak asasi manusia, demokrasi kampus, kebebasan akademik dan autonomi universiti, kita mengalu-alukan deklarasi ini untuk dibawa ke Dewan Rakyat," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengutuk karajaan Umno BN kerana menggunakan Auku untuk membunuh karisma serta aktivitisme mahasiswa sejak akta tidak adil itu diperkenalkan pada 1971.

Beliau turut mempertikai tindakan universiti mendakwa empat mahasiswa dari Fakulti Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia menggunakan Auku disebabkan mereka yang terbabit turun ke pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Bagi beliau, partisipasi mereka perlu dihormati memandangkan mereka adalah calon sarjana muda sains politik yang bakal mengisi tampuk kepemimpinan negara kelak.

Senada dengan Saifuddin, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong turut mempertikai kaedah kerajaan Umno BN menggunakan Auku untuk membendung aktivitisme mahasiswa.

Bagi beliau, tindak tanduk kerajaan itu seakan bertentangan dengan wawasan Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia ke-10.

Ini kerana, menurut beliau, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui kedua-dua dasar tersebut mahukan negara menuju kepada negara inovasi dan masyarakat bermaklumat.

"Bagaimana Malaysia boleh jadi inovatif dan rakyatnya berilmu kalau generasi mahasiswa dan belia yang belajar di universiti pun dilayan secara tidak demokratik dan bebas," soal beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan membuat penilaian semula kedua-dua dasar tersebut disebabkan insiden yang dialami oleh mahasiswa tanah air itu.

Tidak cukup dengan itu, beliau mencadangkan Dewan Rakyat menubuhkan suatu jawatankuasa khas di bawah Parlimen untuk menyiasat aduan mahasiswa sebagaimana yang dibukukan dalam deklarasi bertulis oleh SMM itu.

Sebelum pada itu, Pengerusi SMM, Mohd Shazni Munir turut menjelaskan bahawa penyerahan deklarasi tersebut dibuat sempena meraikan Hari Hak Asasi Mahasiswa yang sepatutnya diraikan pada 6 Jun yang lalu.

Katanya lagi, walaupun kerajaan Umno BN bertanggungjawab menggunakan Auku untuk memandulkan mahasiswa, satu salinan deklarasi akan tetap diserahkan kepada seorang wakil Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat pada petang ini.

Turut menyertai kenyataan bersama tersebut, Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), keempat-empat siswa UKM yang baru didakwa di bawah AUKU serta wakil-wakil pertubuhan mahasiswa yang mengganggotai SMM.

Enggan pindah, pelajar Unisel berdemo

Sekumpulan pelajar bioteknogi Universiti Industri Selangor (Unisel) hari ini berdemonstrasi di di Shah Alam bagi membantah tindakan universiti milik kerajaan Selangor itu memindahkan fakulti mereka ke kampus lain.

Kira-kira 50 pelajar daripada kampus Shah Alam itu yang kelihatan lengkap berpakaian makmal, berkumpul di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri kira-kira jam 10 pagi tadi.

Mereka berhasrat menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya membatalkan keputusan Unisel yang mahu memindahkan fakulti bioteknoginya ke kampus utama di Bestari Jaya.

Memorandum tersebut berjaya diserahkan oleh seorang pemimpin pelajarnya kepada setiausaha politik kepada menteri besar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Seorang pegawai universiti berkenaan ketika dihubungi mengesahkan mengenai demonstrasi pelajar tersebut.

Tambahnya, pihak universiti dijangka mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kontroversi tersebut petang ini.

-malaysiakini-

Pro-Aspirasi kekal di UM, Pro-Mahasiswa mahu ke mahkamah

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Feb 4: Kumpulan Pro-Mahasiswa sedang mengkaji kemungkinan membawa pertikaian keputusan pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) ke mahkamah selepas Naib Canselornya Prof Datuk Ghauth Jasmon petang semalam memutuskan pilihan raya baru tidak akan diadakan.

Pertikaian tercetus ekoran pengundian menggunakan sistem pengundian elektronik (e-undi) buat kali pertama di universiti itu.

Keputusan pengundian yang berlangsung Khamis lalu diumumkan semalam.

Pengumuman itu mengekalkan keputusan sebelum ini iaitu kumpulan Pro-Aspirasi memperoleh 21 kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) manakala Pro-Mahasiswa pula 17 kerusi.

Baki tiga kerusi dimenangi calon Bebas.

Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Mohd Shafie Hashim berkata pihaknya akan cuba menghubungi lagi Naib Canselor dan jika tiada perkembangan isu ini akan dibawa ke mahkamah.

“Semalam kami hendak jumpa beliau sekali lagi tetapi tidak dibenarkan untuk bertemu. Kami akan cuba lagi dan tiada kemajuan kami akan membawa isu ini ke mahkamah,” katanya.

Ekoran keputusan semalam, Kabinet MPP UM akan dibentuk dalam tempoh seminggu ini.

Naib Canselor dipetik sebagai berkata siasatan yang dijalankan oleh perunding yang dilantik pihak universiti dan juga perwakilan pelajar mendapati tidak ada masalah dengan sistem e-undi.

Ia berdasarkan laporan penuh siasatan ke atas sistem e-undi yang disediakan oleh konsultan teknologi maklumat lulusan Universiti Harvard.

Shafie pula berkata keputusan itu diumumkan dengan tergesa-gesa ketika ada elemen yang belum diteliti dengan sepenuhnya.

Menurut Ghauth, sistem e-undi tiada masalah kerana kedua-dua konsultan yang dilantik daripada pelajar dan pihak universiti melaporkan tiada sebarang kekurangan.

Kata beliau, semua bantahan yang dikemukakan oleh pelajar tidak memberi kesan kepada keputusan pengundian.

-malaysianinsider-

7 pelajar UPM dilucut kemenangan ke mahkamah?

PETALING JAYA, Feb 3: Tujuh pelajar, yang dipercayai dari kumpulan Pro-Mahasiswa, yang dilucutkan kemenangan tidak sampai 24 jam selepas memenangi kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), dijangka akan ke mahkamah untuk mencabar keputusan itu.

Jika tindakan itu diambil, ia dilihat sebagai kali pertama keputusan pilihan raya kampus bakal dicabar di mahkamah.

Ketujuh-tujuh pelajar berkenaan yang sedang mengadakan perbincangan peguam masing-masing dijangka membuat keputusan muktamad mengenainya selepas mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah.

“Usaha untuk menemui Naib Canselor belum berhasil dan kemungkinan kami akan menemui beliau dalam waktu terdekat.

“Jadi kami tunggu hasil pertemuan dahulu, apa yang hendak dilakukan oleh Naib Canselor... sama ada menerima kemenangan mereka ataupun mengadakan semula pilihan raya kampus bagi kerusi MPP,” kata bekas pengerusi kumpulan Pro-Mahasiswa UPM, Abdul Razak Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketujuh-tujuh pelajar berkenaan menerima surat dilucutkan kemenangan petang Rabu lalu dengan dinyatakan telah melakukan tiga kesalahan iaitu bertanding atas tiket secara berkumpulan, berkempen tidak mengikut tempoh ditetapkan dan berkempen menggunakan media baru seperti SMS, laman web atau blog.

Pilihan raya kampus UPM diadakan Selasa lalu.

Mereka merupakan sebahagian daripada 11 calon barisan yang dipercayai menganggap diri mereka kumpulan Pro-Mahasiswa yang memenangi kerusi MPP kali ini.

Pelajar-pelajar yang dilucutkan kemenangan ialah Muhammad Hazim Mohd Noh, Amirul Rahman Mohd Khozam, Muhamad Hanif Md. Radzi, Muhamad Rafi Abu Bakar, Nurul Hanisah M Yunus, Siti Hajar Zolqarnain dan Azlinda Abdullah.

Sebelum ini Presiden kumpulan Pro-Mahasiswa, Ahmad Faris Rakbi berkata ketujuh-tujuh pelajar berkenaan tidak akan mengemukakan rayuan.

“Mereka tidak akan membuat rayuan sebab kemenangan mereka dibatalkan selepas kami menang pilihan raya, malah kenyataan dibuat pihak pengurusan universiti tidak mengemukakan bukti kepada tuduhan-tuduhan yang dikenakan,” katanya lagi.

The Malaysian Insider difahamkan pengurusan mengambil tindakan itu ekoran bantahan yang diterima daripada kumpulan Pro-Aspirasi ataupun Penggerak Mahasiswa.

Calon-calon kumpulan Pro-Aspirasi mengulangi kemenangan besar mereka dalam pilihan raya kampus UPM kali ini.

Kumpulan Pro-Aspirasi memenangi 37 daripada 48 kerusi MPP yang dipertandingkan.

Kumpulan Pro-Mahasiswa hanya memenangi 11 kerusi berbanding 13 kerusi ketika sesi pengajian lalu.

-malaysianinsider-

Keputusan pilihan raya kampus UM diumum petang ini

PETALING JAYA, Feb 3: Keputusan rasmi pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) yang ditangguhkan minggu lalu akan diumumkan petang ini.

Pilihan raya diadakan Khamis lalu serentak dengan beberapa universiti lain.

Ini kali pertama keputusan pilihan raya kampus UM ditangguhkan pengumumannya hampir seminggu selepas hari pengundian.

Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata laporan penuh siasatan ke atas sistem undian elektronik (e-undi) oleh konsultan teknologi maklumat (IT) lulusan Universiti Harvard hanya akan diperoleh pagi ini.

“Keputusan rasmi akan diumumkan pada pukul 4 petang esok (hari ini) di Dewan Tunku Canselor,” kata beliau selepas menerima memorandum menyokong e-undi daripada Penggerak Mahasiswa semalam.

Menurut beliau, konsultan berkenaan dipilih atas permintaan kumpulan Pro-Mahasiswa dan pihak UM turut mempercayai kewibawaan mereka memandangkan Universiti Harvard telah lama menggunakan sistem tersebut.

“Pihak UM tidak akan mencampuri hasil siasatan sistem berkenaan dan akan menerima apa sahaja keputusan yang akan diumumkan,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah) Mohd Aizat Mohd Salleh meminta Kementerian Pengajian Tinggi segera mengarahkan keseluruhan universiti agar mengadakan bedah siasat terhadap perjalanan pilihan raya kampus secara keseluruhan bagi mengenal pasti penyelewengan dan kelemahan yang berlaku dalam pilihan raya kampus.

“Universiti-universiti yang menggunakan sistem e-undi di dalam pilihan raya kampus agar segera memansuhkan penggunaan sistem tersebut dan mengembalikan kepada sistem pengundian secara manual yang lebih telus.

“Universiti segera mengambil tindakan terhadap jawatankuasa pemilihan MPM yang didapati terbukti terlibat dengan penyelewengan, ugutan dan penindasan kepada mahasiswa,” katanya.

Tuntutan ini adalah bagi memastikan demokrasi kampus serta pilihan raya dapat diadakan dalam keadaan yang bersih, adil dan bebas daripada unsur-unsur penipuan dan ketidak adilan, kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan.

“Demi generasi kepimpinan mahasiswa yang akan datang lahir daripada proses pemilihan yang bersih dan adil,” katanya.
-malaysianinsider-

Penyelewengan PRK UKM:pengetua kolej gagal bagi penjelasan

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 2 Feb:
Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kesal dengan keengganan pengetua-pengetua kolej kediaman yang bertindak sebagai ketua pusat undi dalam pilihanraya kampus (PRK) minggu lalu untuk mengadakan sesi dialog berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam tempoh pembuangan dan pengiraan undi.

Seorang jurucakap Pro-M UKM berkata, meskipun pihaknya telah membuat desakan agar pengetua-pegetua kolej yang didakwa melakukan penyelewengan memberikan penjelasan,namun mereka enggan berbuat demikian tanpa sebarang alasan.

"Apa yang Pro-M kesalkan, kita mintak diadakan sesi dialog dengan pengetua-pengetua kolej, tapi mereka tidak mahu buat.

"Kita bukan mengharapkan sangat pun dari sudut menang dan sebagainya tapi kita nak berdialog dengan pengetua-pengetua kolej yang banyak buat penyelewengan.Kita nak dengar penjelasan daripada mereka.Itu matlamat utama kita,"kata sumber berkenaan ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Pro-M mendakwa, Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di beberapa kolej kediaman melakukan kesalahan sepanjang tempoh pembuangan dan pengiraan undi di kolej-kolej bertujuan memenangkan calon Aspirasi.

Hampir semua kolej kediaman dikesan melakukan penyelewengan antaranya Kolej Keris Mas,Kolej Burhanuddin Hilmi,Kolej Tun Hussien Onn,Kolej Ibrahim Yaakob,Kolej Ungku Omar,Kolej Ibu Zain,Kolej Pendeta Za’ba dan Kolej Dato’ Onn.

Di Kolej Ungku Omar sebagai contoh, Jawatankuasa Pelaksana Kolej berterusan mencatat nombor siri dan nombor matrik yang tercatat pada kertas undi walupun dibantah oleh calon dan wakil calon secara terhormat kepada pengetua yang bertindak sebagai ketua pusat undi dengan merujuk kepada buku Peraturan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UKM 2009.

Merujuk kepada Perkara 43(1) Peraturan Pemilihan MPP,kertas undi adalah rahsia dan hanya dapat dikeluarkan pada hari pembuangan undi sahaja.Calon dan wakil calon yang membuat bantahan telah ditekan dan dimarahi oleh pengetua berkenaan.Tindakan Jawatankuasa Pelaksana di peringkat kolej ini jelas dan nyata melanggar peruntukan dalam Peraturan ini walau dengan apa alasan sekalipun.

Tindakan ini juga tegas Pro-M,jelas sebagai usaha memberikan tekanan kepada pengundi-pengundi terutama pelajar-pelajar Tahun 1.Hal ini kerana perkara ini tidak berlaku sama sekali di Pusat Pembuangan Undi di Pusaneka yang rata rata pengundinya adalah tinggal di luar kampus.

Pihak Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) kolej bersama beberapa kumpulan pelajar yang memakai baju berlogo “Aspirasi” pula bertindak mengedarkan senarai nama-nama calon kepada pelajar-pelajar tahun 1 sebagai tekanan meraih undi kepada pengundi. Merujuk Perkara 23 Buku Panduan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2009,larangan memancing undi di dalam dan di sekitar tempat mengundi.Pelajar tidak boleh memancing undi di dalam dan sekitar tempat undi.Walaupun perkara ini telah dibantah calon dan wakil calon,namun perkara ini masih berlaku dan mereka pula dimarahi apabila membuat bantahan.

Sekumpulan pelajar yang memakai baju berlogo “Aspirasi” dilihat cuma mewujudkan pondok panas diluar pusat pengundian sebagai usaha meraih undi daripada pengundi pengundi terutamanya pelajar Tahun 1. Tindakan ini dilihat member tekanan kepada pengundi pengundi terutamanya palajar pelajar Tahun 1. Perkara ini bertentangan dengan Peraturan 48(3)(a) dan (b) yang mana larangan kepada mewujudkan pondok pondok panas dan usaha meraih dan merayu undi.

Sehubungan itu, Pro-M semalam menghantar surat bantahan kepada Jabatan Perkhidmatan Pelajar berhubung aduan itu dan pihak pentadbiran berjanji akan mengeluarkan keputusan rasmi pada jam 5 petang ini.

Sebelum ini, pihak pentadbiran berjanji untuk mengeluarkan keputusan rasmi semalam namun tidak berbuat demikian atas alasan Pro-M tidak melakukan prosedur bantahan yang betul.

Usaha Pro-M untuk berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik (TNC HEPA) Prof.Dato Dr.Mohamad Abdul Razak bagi mendapatkan penjelasan beliau juga masih gagal.

"Usaha kita untuk berjumpa denga TNC HEPA pun masih belum berjaya.Kita sudah tunggu di pejabat beliau, kena marah dengan pegawai,kena tengking walaupun TNC ada dalam bilik beliau,"katanya.

Pro-M turut menegaskan, sekiranya pihak pentadbiran masih gagal mengeluarkan keputusan rasmi petang ini seperti yang dijanjikan,pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak yang berkaitan.

Mahasiswa perlu bangkit lawan penyelewengan

Hisyamudin Che Ali
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) yang dianggotai oleh 92 mahasiswa yang dipilih dalam pilihanraya kampus tahun lalu, menyelar tindakan pihak Universiti yang menafikan hak mahasiswa dalam sistem demokrasi di negara ini.

MPMN ingin menyatakan dengan tegas bahawa Pilihanraya kampus (PRK) pada tahun ini jelas mempunyai banyak kepincangan dan kelompangan akibat penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak tertentu. Pilihanraya Kampus yang sepatutnya mendidik mahasiswa erti demokrasi, telah bertukar menjadi medan meragut hak mahasiswa terutamanya dalam soal berpolitik dan berorganisasi melalui Majlis Perwakilan Mahasiswa ini.

2. Kemenangan Pro Aspirasi secara mengejut di Universiti Malaya dan seterusnya mengekalkan penguasaan di kampus-kampus besar seperti UKM, UTM, USM, UPSI, dan lain-lain (Kecuali Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), adalah sesuatu yang sukar diterima. Hal ini kerana kemenangan Aspirasi diperolehi dalam keadaan wujudnya ketempangan nyata dalam Pilihanraya Kampus tersebut.

3. Bagi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), melihat pilihanraya kampus tidak ubah seperti gelanggang politik murahan pihak bukan mahasiswa yang inginkan kemenangan Aspirasi. Ini tidak lain dan tidak bukan demi kemandirian parti politik terbabit dalam pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

4. Terdapat bukti-bukti jelas dan nyata penyertaan UMNO dalam pilihanraya kampus dan ini dapat dilihat dalam kes pemberian bajet PRK oleh UMNO Johor kepada jentera Aspirasi Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) , sebanyak RM 20,000. Surat yang bertarikh 4 Januari 2010 ini telah ditandatangani oleh Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dan diberikan kepada Naib Canselor UTHM sendiri, Profesor Dato’ Mohd. Noh Dalimin. Ini bukti jelas keterlibatan UMNO dalam PRK pada kali ini. Sekiranya ini adalah fitnah dan juga rekaan semata-mata, MPMN mencabar pihak UMNO dan TNC UTHM untuk membuat penafian terbuka berkaitan perkara ini.

5. Juga ketempangan dalam perjalanan PRK itu sendiri seperti isu kecacatan e-voting yang menyebabkan berlakunya server down atau ganguan teknikal selama tiga jam di Pusat Mengundi kolej Ke-3, Universiti Malaya. Juga isu pembinaan pondok panas pihak pentadbiran UKM yang jelas menjadi serampang dua mata mereka untuk merayu mahasiswa mengundi Aspirasi serta isu pengumuman undian di Pusat Penjumlahan Undi bagi Fakulti Kejuteraan dan Alam Bina Tahun 3 yang tidak selari dengan pengumuman di tempat kira undi di kolej-kolej kediaman.

6. MPMN seterusnya mendesak semua pihak sama ada Pro Mahasiswa ataupun Aspirasi, yang menjadi mangsa pencabulan peraturan PRK oleh pihak Universiti, untuk membuat laporan perbuatan yang tidak sah (unlawful) itu kepada pihak yang sepatutnya seperti termaktub dalam buku peraturan perjalanan PRK di kampus-kampus masing. Sekiranya ia tidak berjaya dan pihak tersebut menafikan keadilan yang sepatutnya diberikan, maka mereka yang dinafikan haknya ini boleh menggunakan altenatif lain seperti mengadakan sidang media dan mendedahkan ketempangan yang berlaku. Juga boleh membuat laporan polis dan memohon kepada Mahkamah Tinggi agar mengeluarkan satu perintah deklarasi bahawa PRK yang dijalankan adalah tidak sah dan terbatal mengikut undang-undang yang digubal universiti serta bercanggahan dengan konsep keadilan asasi (nature of law). Walaupun tindakan ini akan dikatakan sebagai tidak mustahak dan membazirkan masa, tetapi ianya adalah penting kerana pihak yang melakukan kezaliman perlu diadili mengikut pentadbiran keadilan di Negara ini.

7. MPMN juga turut kesal dengan sikap Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 28 januari lalu yang telah membatalkan kemenangan 7 calon Pro Mahasiswa atas tuduhan berkempen secara berkumpulan dalam laman sosial Facebook. Bagi MPMN, tindakan pihak UPM jelas satu tindakan zalim dan menyalahgunakan kuasa kerana mereka tidak memanggil ketujuh-tujuh mahasiswa itu untuk membela diri. Jelas satu tindakan yang berat sebelah kerana mahasiswa terbabit dinafikan hak untuk membela diri (right to be heard). Tiada perbicaraan diadakan dan hukuman dijatuhkan berdasarkan anggapan semata-mata, bukannya hujahan undang-undang yang benar.

8. Maka MPMN mendesak ketujuh-tujuh mahasiswa terbabit untuk menfailkan kes mereka di mahkamah dan membuat semakan kehakiman terhadap tindakan UPM ini. Walaupun ia dilihat satu perkara kecil dan tidak perlu dibawa ke mahkamah, tetapi ia sebenarnya adalah satu pencabulan hak asasi. Sedangkan orang yang mengalami kemalangan kecil akan membawa tuntutan mereka ke mahkamah, inikan pula warganegara Malaysia yang bergelar mahasiswa, yang dizalimi dan dinafikan hak asasinya oleh pihak universiti yang mengamalkan undang-undang rimba (the laws of jungle) ini.

9. Selanjutnya, MPMN turut kesal dengan sikap Menteri bertanggungjawab, Dato’ Seri Khaled Nordin yang bersikap angkuh dan diktator kerana menempelak mahasiswa yang menuntut demokrasi tulen dilaksanakan di kampus-kampus. Kenyataan Menteri terbabit yang meminta pihak Universiti tidak melayan tuntutan mahasiswa yang dizalimi, jelas satu sikap pemimpin kuku besi dan tidak layak menjaga kementrian yang dipenuhi oleh cendiakawan-cendiakawan dan mahasiswa yang merupakan pelapis kepimpinan masyarakat. Justeru, MPMN mendesak Khaled Nordin meletak jawatan secara terhormat dan digantikan dengan Timbalan beliau, Dato’ Saifuddin Abdullah yang lebih terbuka dan pro demokrasi. Perlantikan Dato’ Saifuddin Abdullah dilihat akan ‘menyegarkan’ kembali dunia pengajian tinggi dan seterusnya membenihkan kembali demokrasi buat para mahasiswa itu sendiri.
10. Akhirnya, MPMN ingin melihat agar medan kampus dijadikan batu loncatan untuk melahairkan pemimpin masyarat yang benar-benar dapat memacu negara ini ke arah yang lebih berjaya berbanding hari ini. Melalui PRK inilah, maka pembinaan negara bangsa yang berjaya dapat direalisasikan. Jangan biarkan mahasiswa menjadi anti demokrasi, sekiranya kezaliman dan penyalahgunaan kuasa terus dilakukan oleh pihak berkuasa Universiti. Mahasiswa Malaysia sebenarnya tidak teragak-agak untuk mencontohi mahasiswa Indonesia dan Thailand, sekiranya mahasiswa terus diasak dengan kezaliman bertubi-tubi oleh pihak yang memerintah. Demontrasi jalanan, adalah merupakan pilihan terakhir mahasiswa bagi membetulkan kepincangan yang berlaku dalam sistem demokrasi di negara ini.

Yang benar,

HISYAMUDDIN CHE ALI
TIMBALAN PENGERUSI MPMN/
MANTAN AHLI MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UKM

PELAJAR TAHUN AKHIR FAKULTI UNDANG-UNDANG UKM
SESI 2009-2010.

Gagal selami mahasiswa, Menteri dianggap tak matang

Pengerusi pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM), Mohd Shafie Hashim menyelar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor UM semalam selepas kalah pada pilihan raya kampus (PRK) sebagai tidak matang.

Shafie sebaliknya mendakwa kenyataan Khaled itu membuktikan bahawa Menteri itu bukan seorang pemimpin rakyat dan mempunyai ego serta tidak ada prikemanusiaan terhadap penindasan.

“Jika begitu, sebenarnya Dato Khaled juga tidak matang kerana mengeluarkan kenyataannya tanpa menyelami apa yang mahasiswa rasai,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya hari ini.

Shafie berkata pro-M jelas dengan prinsip perjuangannya yang hanya mahu menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman terhadap apa sahaja yang berlaku.

Salah tetap salah

“Pro-M tidak bias (berat sebelah) pada mana-mana pihak, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar! Dalam konteks pilihan raya Kampus di UM kali ini, kita berhadapan dengan sistem E-votingyang masih baru dan diragui lagi ketelusan dan integriti yang tiada pada pengendalian dan pengurusan sistem berkenaan,” katanya.

Menurut Shafie lagi pro-M berhadapan dengan pentas perlawanan yang tidak adil sehingga berlaku banyak penindasan yang sangat teruk.

Katanyai, “menang kalah bukan ukuran, tetapi mahasiswa tegas dan tetap pendirian di atas perjuangan untuk mepertahankan kebenaran dan keadilan sehingga menumbangkan segala kezaliman dan penindasan.”

Pro-M tidak matang

Semalam, Bernama melaporkan Khaled sebagai berkata tindakan sekumpulan mahasiswa UM yang berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor selepas kalah pada PRK Khamis lalu sebagai tidak matang.

Katanya, kumpulan Pro-M perlu menerima kekalahan dan menghormati pilihan majoriti kerana PRK merupakan suatu proses demokrasi.

"Kalau tak berani terima kekalahan, buat apa nak bertanding," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan penyokong kumpulan Pro-M yang berhimpun dan membantah keputusan PRK yang memihak kepada kumpulan Pro-Aspirasi.

Mengenai desakan Pro-M supaya PRK diadakan semula melalui kaedah biasa dan menghapuskan sistem e-undi, Khaled berkata permintaan itu tidak dapat diterima sekiranya isu yang dibangkitkan itu tidak berasas.

Bagaimanapun, katanya, naib canselor universiti berkenaan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Ditanya kemungkinan kumpulan pelajar terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, beliau berkata perkara itu terserah kepada pihak pentadbiran universiti itu untuk menentukannya.

Keputusan PRK digantung

Kekecohan memuncak selepas pengumuman PRK malam Khamis yang lalu dengan beberapa kumpulan pelajar mendakwa berlakunya penyelewengan.

Kekecohan berlarutan sehingga pagi semalam yang menyaksikan rundingan lebih empat jam terpaksa diadakan oleh pentadbiran UM yang diketuai oleh naib canselornya Gauth Jasmon dengan kumpulan pelajar.

Turut hadir bersama rundingan semalam ialah bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad.

Menurut beliau, bagi mengendurkan ketegangan naib canselor bersetuju menggantung buat sementara semua keputusan pilihan raya kampus UM sementara meninggu siasatan lanjut dijalankan.

Gauth juga dikatakan bersetuju membenarkan kumpulan pro-M untuk melantik perunding bagi menguji sistem e-undi yang didakwa mereka dimanipulasikan.

Keadaan di Universiti Malaya tegang

Sekiranya semua tuduhan berkenaan berasas, Ghauth bersetuju pilihan raya kampus harus diadakan semula.

Ghauth juga berjanji akan menyiasat dakwaan yang timbalan naib canselor, Azarae Idris menyalah-gunakan kedudukannya dan terbabit memanipulasikan pilihan raya itu.

Selepas pengumuman butiran perbincangan itu, kumpulan pro-M berarak ke Dewan Tunku canselor untuk meraikan keputusan berkenaan.

Mereka juga menghempas sebuah komputer sebagai melambangkan bantahan terhadap pengundian e-undi dan membawa komputer itu berarak di seluruh kampus.

Pada masa yang sama, mahasiswa berkenaan turut membakar akhbar Kosmo yang didakwa membuat laporan tidak tepat berhubung jumlah kerusi yang dimenangi mereka.

Sebelum ini, lebih 200 pelajar dari kumpulan pro-M yang tewas khamis lalu juga mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Antara tuntutan awal mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.

Pada PRK itu, kumpulan pro-A berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.

-malaysiakini-

Saya puji keberanian mahasiswa hari ini

Herman Samsudeen
Selama ini kita sering diceritakan tentang kehebatan Mahasiswa zaman Anwar Ibrahim yang berani dan kebangkitan Mahasiswa Islam diera tahun-tahun 80-an. Namun tahun ini kebangkitan Mahasiswa yang berlaku dikebanyakan kampus tidak kurang hebatnya.

Walaupun mereka orang-orang muda, tetapi jiwa mereka cukup dewasa untuk mengenal erti hak dan tanggungjawab perjuangan. Sudah lama tidak mendengar Polis dipanggil ke dalam kampus untuk menghalang demontrasi Mahasiswa.

Apa yang berlaku di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sangat menarik kerana disana jelas sudah berbunga erti demokrasi. Walaupun ada usaha menghalang, namun demontrasi menentang keputusan Pilihanraya Kampus bagi dua Fakulti yang sepatutnya dimenangi oleh Pro-Mahasiswa telah berjaya membuka mata ramai pihak.

Jelas Mahasiswa yang hadir adalah golongan yang peka terhadap hak mereka, dan saya puji sikap berani mereka untuk nyatakan kebenaran walaupun dihalang dengan Polis dan pasukan FRU.

Keadaan sedikit berbeza di Universiti Malaya (UM), dimana lebih 200 Mahasiswa berdemontrasi dihadapan pejabat Naib Canselor dan akhir berjaya mendesak NC, Ghauth Jasmon keluar untuk mengadakan rundingan dengan wakil mereka.

Walaupun tegang, namun saya tidak dapat menolak untuk memuji tindakan NC UM yang ternyata berani dan sudi untuk berbincang. Ini sama sekali tidak berlaku di UKM kerana pihak pengurusan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis untuk menyelesaikan masalah mereka.

Di UPM pula, belum ada sebarang demontrasi dibuat walaupun pihak Universiti nekad membatalkan kemenangan calon-calon Pro-Mahasiswa yang menang atas alasan berkempen secara berkumpulan dan mengunakan medium Facebook untuk promosikan calon.

Setakat ini belum ada maklumat dari kampus lain. Begitu juga dengan isu ‘Rasuah’ Umno kepada NC Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) yang mengetuai Pilihanraya untuk memenangkan calon Pro-Aspirasi.

Kesimpulan yang saya boleh katakan hari adalah, Pro-Mahasiswa tetap menang dihati mahasiswa dan rakyat kerana mereka berjuang dalam keadaan pihak pengurusan Universiti yang mengelolakan Pilihanraya bersikap curang.

Malah campurtangan Umno memberikan imej yang buruk kepada Universiti yang ternyata sanggup menganiaya calon-calo Pro- Mahasiswa. Jelas Universiti berbelah bahagi antara kepentingan Umno dan Mahasiswa.

Inilah politik kampus, semoga perjuangan mereka akan kekal dan istiqamah sama seperti yang ditunjukan hari ini. Umno selalu bangga mengatakan mereka berjaya tumpaskan Pro-Mahasiswa di Universiti, tapi mereka selalu alpa dengan kemenangan ini, dan akhirnya bila keluar universiti, ramai bekas-bekas ahli kumpulan Pro-Aspirasi menyertai Pakatan. Ini kerana mereka sudah mengetahui kejahatan Umno yang sebenarnya.

P'raya UKM: 2 ditahan ketika berdemo

Dua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditahan ketika berdemonstrasi membantah keputusan pilihan raya kampus di dua fakulti universiti berkenaan.

Kedua-dua aktivis kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) itu - Muhammad Huzaifah Jusof Khadidi dan Muhd Zarimi Mohamad @ Abdullah - ditahan di masjid universiti berkenaan pada jam 3 petang tadi.

Mereka bagaimanapun dibebaskan 30 minit selepas itu dan diminta ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang petang ini untuk memberikan keterangan.

Difahamkan sebelum itu berlaku pergelutan kecil antara pihak polis dan kumpulan pelajar.

Seorang pemimpin kumpulan tersebut memberitahu
Malaysiakini, bermula jam 2.30 petang tadi, kira-kira 200 mahasiswa berdemonstrasi membantah keputusan pilihan raya kampus di dua fakulti.

Difahamkan pro-M menganjurkan demonstrasi tersebut bagi membantah keputusan pilihan raya di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Alam Bina yang didakwa tidak tepat.

"Mengikut kiraan kita, kita menang di kedua-dua fakulti tersebut, tetapi keputusan yang diumumkan berbeza," kata sumber berkenaan.

Kira-kira 30 polis mengawal keadaan sejak sebelum waktu solat Jumaat lagi.

Dalam pilihanrayanya semalam, pro-M tewas di tangan musuh tradisi pro-A. Mereka mendapat 15 kerusi berbanding 19 yang dimenangi pro-A. Bebas mendapat 1 kerusi.

Universiti tersebut mempertandingkan 35 kerusi.
-malaysiakini-

E-Voting 'pilot test' kecenderungan pengundi muda PRU-13

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 29 Jan:
Pro-Mahasiswa (Pro-M) mendakwa pengenalan sistem e-undi di Universiti hanya bertujuan membantu kerajaan membaca trend politik pengundi muda pada Pilihanraya Umum ke-13 kelak.

Menurut Pengerusi Pro-M Nasional, Mohd Shafie Hashim, strategi sedemikian dengan menjadikan Universiti sebagai ‘pillot test’ telah lama dilakukan oleh parti-parti pemerintah di negara maju.

“Ini baru kebarangkalian...Saya tidak mahu katakan pasti atau sebaliknya motif e-Undi ini sebenarnya untuk membantu Umno BN membaca trend pengundi muda,” jelasnya.

“Tetapi, parti-parti pemerintah di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sendiri sudah lama menggunakan cara ini, jelasnya.

Sekiranya kebarangkalian tersebut benar, beliau yang juga Pengerusi Pro-M Universiti Malaya (UM) memuji parti-parti pemerintah kerana mahir dalam memanfatkan teknologi tinggi.

“Kalau benar, kerajaan serta parti-parti pemerintah boleh dikata hebatlah sebab sudah pakai strategi berkapasiti tinggi yang lazim digunakan oleh negara-negara maju saja.”

“Ini baru kebarangkalian yang dikeluarkan oleh Unit Kajian Strategik (UKS) kita (Pro-M),” jelasnya.

Tambahnya lagi, penggunaan universiti untuk kepentingan parti-parti pemerintah sudah tentu memberi banyak kelebihan, berbanding pembangkang iaitu Pakatan Rakyat.

“Kerajaan dilihat terkehadapan jika benar menggunakan Universiti (sebagai ‘pillot test’), sedangkan parti-parti Pakatan Rakyat masih dilihat bekerja cara lama (iaitu) kenal pasti penyokong parti masing-masing, kemudiannya didaftarkan mereka sebagai pengundi baru untuk persiapan PRU13 kelak,” jelasnya.

Ditanya tentang kaedah membaca trend pengundian pengundi muda menggunakan e-undi, beliau menjelaskan bahawa data-data perolehan boleh disusun secara automatik mengikut demografi tertentu secara strategik.

“Secara relatif, data ini boleh disusun ikut demografi negeri, faham politik, latar belakang pendidikan dan tahap hidup selesa (sama ada) tinggal di kolej atau di luar (kampus).”

“Kalau keputusan e-undi menunjukkan (bahawa) majoriti mahasiswa (pengundi) peranakan atau bemastautin di Kedah umpamanya cenderung pada parti-parti yang memerintah negeri tersebut, maka ianyanya memberi isyarat (kepada kerajaan persekutuan) bahawa pengundi muda dalam PRU13 kelak mungkin lebih cenderung (pada) mengekalkan kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) yang sedia ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal kerana universiti yang sepatutnya bersifat autonomi akhirnya dijadikan perkakas politik oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Exco Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) turut mempersoal motif di sebalik pertemuan sulit antara ProA dan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustafa Mohammad yang dijangka akan diadakan pada malam ini.

“Malam ini, saya diberitahu (bahawa) akan ada suatu pertemuan tertutup (yang) melibatkan semua MPP Pro Aspirasi di kediaman peribadi Datuk Mustafa, di ibunegara,” jelasnya.

“TNC HEP (Profesor Madya Datuk Dr. Azarae Idris) dan semua staff universiti yang terbabit menjayakan sistem e-undi ini pun turut dijemput.”

“Adakah pertemuan tersebut untuk menjelaskan (laporan) trend undi muda di Universiti seperti yang saya perkatakan ini?” soal beliau.

Semalam, keputusan Pilihan Raya Kampus UM menyaksikan Pro-A mendapat 21 kerusi manakala Pro-M mendapat 17 kerusi.

Pelajar ugut lakukan demonstrasi jalanan

Pelajar Universiti Malaya (UM) dari kumpulan pro-Mahasiswa yang tewas pada pilihan raya kampus semalam mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Antara tuntutan mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.

Ketika ini, perbincangan sepuluh wakil pelajar berkenaan dengan Naib Canselor, UM, Ghauth Jamsoon dihentikan seketika untuk solat Jumaat.

Tengah hari tadi, suasana tegang sekali lagi menyelubungi kampus Um apabilaa lebih 200 mahasiswanya berarak dari Dewan Tunku Canselor ke pejabat Canselori.

Mereka berang selepas tewas dalam pilihan raya kampus yang diadakan semalam dan mendakwa berlakunya penyelewengan.

Mahasiswa berkenaan memakai lilit kepala putih dengan tertera perkataan 'bantah' dalam tulisan merah.

Mereka berjaya menyerbu serta mengepung pejabat Canselori dan memaksa perjumpaan dengan Ghauth.

Pada awalnya, ketegangan memuncak apabila pelajar mahukan dialog terbuka tetapi ditolak oleh naib canselor.

Sebaliknya,

dia mencadangkan perjumpaan tertutup dengan sepuluh wakil yang dipilih oleh pelajar berkenaan.

Turut berada di lokasi adalah kumpulan mahasiswa dari kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) yang berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas.



Bantahan e-undi di UM memuncak, pelajar berang

Suasana tegang menyelubungi Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur malam semalam apabila lebih 500 mahasiswa berkumpul dan bertelingkah berhubung keputusan pilihan raya kampusnya.

Lebih 300 pelajar daripada kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) melancarkan bantahan berhubung pengundian secara berkomputer atau e-undi sejurus selepas keputusan menunjukkan kumpulan pro-aspirasi (pro-A) kembali menguasai universiti ini.

Bantahan yang bermula jam 10.30 malam semalam berlanjutan selama sejam di pejabat canselori, UM.

Walaupun pihak keselamatan cuba menghalang perhimpunan itu tetapi mereka gagal berbuat demikian apabila jumlah yang terbabit semakin ramai.

Pelajar menuntut naib canselor, Ghauth Jamson turun bagi berbincang dengan mereka sambil melaungkan slogan seperti "NC turun", "bantah e-undi" dan "kita marah".

Walaupun pelajar dimaklumkan bahawa naib canselor dan timbalannya tidak berada di pejabat ketika itu, namun mereka tidak mempercayainya dan tetap menuntut berjumpa dengannya.

Seorang pegawai kemudiannya membawa seorang wakil pelajar ke bilik naib canselor bagi membuktikan bahawa pegawai-pegawai kanan universiti berkenaan telah meninggalkan pejabat mereka.

Kumpulan pelajar pro-M akhirnya bersetuju bersurai selepas pihak universiti berjaya menghubungkan mereka dengan naib canselor melalui panggilan telefon. Ghauth dilaporkan bersetuju berjumpa dengan kumpulan yang tidak puas hati itu hari ini pada jam 11 pagi nanti.

Pro-M berhimpun lagi pagi ini

Pada ucapannya, presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM Shazni Munir Mohd Ithnin berkata mereka akan terus berjuang supaya pilihan raya diadakan semula tetapi bukan secara e-undi.

Beliau juga berkata kumpulannya akan sekali lagi berhimpun di Dewan Tunku Cansellor hari ini mulai jam 9 pagi.

"Pilihan raya wakil pelajar bukan pilihan raya bagi melantik pengawas sekolah tetapi ia adalah untuk memilih kabinet bayangan bagi pemimpin masa depan,” katanya.

Dalam kekecohan malam semalam, pergelutan kecil juga berlaku di antara kedua-dua kumpulan mahasiswa berkenaan. Bagaimanapun kehadiran pegawai keselamatan universiti berjaya meleraikan keadaan.

Pihak polis juga menghantar anggotanya bagi memantau keadaan. Tiada tangkapan dibuat.

Pada keputusan yang diumumkan pada jam7 petang semalam, pro-M memperolehi 17 kerusi dan tewas dengan hanya kekurangan empat kerusi.

Kumpulan pro-A menyapu 21 kerusi manakala calon bebas memenagi tiga kerusi.Dua daripada calon bebas itu kemudiannya bertindak menyokong kumpulan Aspirasi.

Pada pilihan raya kampus yang lalu, kumpulan pro-M menang dengan hanya kelebihan satu kerusi.

-malaysiakini-

Pro-Aspirasi rampas semula Universiti Malaya

Kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) hilang penguasaan di Universiti Malaya (UM) apabila tewas di tangan musuh tradisinya pro-Aspirasi (pro-A) dalam pilihan raya kampus universiti berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, kekalahan tipis kumpulan itu akibat kemerosotan penguasaan kerusinya daripada 19 pada tahun lalu kepada 17 pada tahun ini.

Manakala pro-A - dikenali juga sebagai Penggerak Mahasiswa - hanya menambah 1 kerusi sahaja daripada 20 kepada 21 pada tahun ini.

Calon bebas pula mendapat tambahan kerusi daripada 2 kepada 3 pada tahun ini.

UM me
mpertandingan 41 kerusi - 32 fakulti dan 9 umum - dalam pilihan raya kampusnya kali ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Naib Canselor Prof Datuk Ghauth Jasmon di Dewan Tunku Canselor kira-kira jam 7 petang tadi.

Jawatankuasa pemilihan kampus membenarkan peluang kepada calon yang bertanding untuk membuat rayuan.

Hari ini, tiga kampu
s utama - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) - turut mengadakan pilihan raya kampusnya

Keputusannya dijangka diperolehi lewat malam ini.

Kelmarin, pro-M turut tewas dalam pilihan raya kampus di Universiti Putra Malaysia (UPM).
-malaysiakini-