"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Subky Latif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Subky Latif. Papar semua catatan

Banjir besar adalah bala besar

SUBKY LATIF
SEMUA setuju betapa hujan yang melanda seluruh negara hujung tahun dan awal tahun baru berhari-hari adalah rahmat. Dan semua setuju bahawa banjir terbesar sejak merdeka kali ini adalah bala daripada Allah. Lagi besar banjirnya, lagi besarlah bala.

Rahmat hujan itu adalah rahmat kepada semua, Islam dan bukan Islam, manusia dan lain-lain makhluk. Bala juga sama terhadap yang kufur dan yang beriman. Bagi yang kufur memang ia bala yang sewajarnya setimpal dengan kekufurannya. Bagi yang beriman ia tempias atas kekufuran orang lain, ia tetap ujian kepadanya.

Saya terfikir apakah dosa kita semua atau apakah dosa orang lain yang kita terpaksa hadapi? Tidak bala kiranya semua tidak berdosa.

Tidak mungkinkah kerana memperleceh orang yang hendak kembali kepada Islam menghina hudud yang amat menjolok mata sama ada yang Islam dan yang bukan Islam adalah antara kewajaran banjir besar itu diturunkan.

Dulu ada juga bala tetapi tidak sebesar bala banjir ini. Bala dulu kerana sistem tidak mahu Islam termasuk hudud saja tetapi semua tidak terlibat menghina hudud dan memperleceh Islam. Semua tidak sedar sistem tidak Islam dipaksa ke atas kita. Sekarang kebanyakannya terlibat memperleceh hudud dan peraturan Islam.

Saya terasa begitu dan adakah betul seperti yang disangka itu. Saya diam mulanya. Tetapi ada yang sudah kata ia justeru menentang dan menolak Islam termasuk hudud, berterang menggalakkan apa yang Allah dan Nabi-Nya larang.

Tetapi bala itu bukan dihadapi oleh yang menolak Islam saja. Yang berjuang untuk mendaulatkan Islam seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah ikut jadi mangsa bala juga.

Jika rahmat adalah untuk semua, maka azab juga dirasai oleh semua. Banjir besar zaman Nabu Nuh dulu bukan justeru Nabi Nuh bukan nabi. Baginda maksum tetapi baginda juga ikut mengalami azab itu. Ditentang oleh isteri dan anaknya. Kebanyakan keluarganya binasa. Sekali baginda diselamatkan tetapi jangan kata baginda tidak mengalami kepatuhan atas bala besar itu.

Demikian juga yang dihadapi Nabi Luth. Bala untuk kaumnya ikut memusnah rumah tangga dan hartanya dan isterinya, terpaksa meninggalkan rumah bersama anak-anak dini hari. Makan tak tentu dan tidur tak tentu. Sekalipun baginda diselamatkan tapi jangan kata baginda tidak mengalami sebarang kepayahan.

Jika perjuangan Kelantan mahu menegakkan Islam menjadi mangsa yang paling teruk, bukanlah kerana dosanya, tetapi gara-gara keburukan daripada tentangan terhadap Islam akan dirasai oleh semua. Kepayahan yang mereka hadapi adalah kerana buruknya hidup di tengah masyarakat yang menentang Allah.

Yang menolak Islam itu tidak semesti dari Kelantan dan Terengganu saja tetapi yang ada di Kuala lumpur, Pulau Pinang dan lain-lain yang menjadi rakyat Yang Dipertuan Agong dan setia kepada kerajaan boleh menjejaskan semua yang berada di wilayah itu di mana-mana saja tidak kira beriman atau tidak.

Kepayahan yang dialami oleh para nabi dan orang-orang yang beriman, bukan kerana salah mereka tetapi itu payahnya hidup di tengah dunia yang menolak ketentuan Allah. Bagi menyelamat sekalian manusia beriman dan tidak, maka hendaklah ada dalam kalangan manusia itu berusaha menegakkan kalimah Allah sekali pun antaranya akan menjadi mangsa atas bala yang Allah timpakan atas alam.

Gara-gara bala yang disasarkan kepada yang engkar dialami sama ada oleh yang tidak engkar, tetapi azabnya hanya setakat yang kita dapat dilihat di dunia tetapi di akhirat mereka mendapat rahmat yang besar. Akan bala yang dihadapi oleh yang engkar kadang-kadang terlepas di dunia tetapi tidak terlepas di akirat.

Janganlah azab di dunia dan azab di akhirat. Memang mendaulatkan Islam itu penuh ujian. Ujian dan amaran besar ini adalah ditujukan kepada bukan Islam dan Islam supaya percayakan Allah Yang Esa.

PM Turki duduk dekat rumah saya...

Subky Latif
PERDANA Menteri baharu Turki yang menggantikan Recep Tayyip Erdogan iaitu Ahmet Davutoglu pernah saya jumpa beberapa kali semasa dia menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), masa itu kampusnya di Petaling Jaya.

Saya tidak perasan adakah dia pernah menjadi jiran saya kerana dia tinggal selang beberapa buah rumah dari rumah yang saya pernah tinggal di Taman Za’ba, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Saya mengenalinya sesudah saya pindah dari rumah itu. Saya mula mengenalinya bila seorang kawan Tajuddin membawa saya singgah di biliknya di UIAM Petaling Jaya. Kami berbual kira-kira 10 minit. Masa itu saya tahu dia penyokong parti Islam di negaranya, Refah Partisi pimpinan Necmattin Erbakan dan Erdogan adalah ketua pemuda dan ketua Refah di Istanbul.

Ada beberapa kali saya terserempak dengannya lepas itu.

Suatu hari enam orang pengembara Turki jadi tetamu saya. Mereka bertanya apakah saya kenal Ahmet Davutoglu, pensyarah UIAM? Saya kenal tetapi tidak tahu di mana dia tinggal.

Melalui konteks yang ada, saya dapat hubungkan mereka dengan pensyarah itu. Dia mempelawa pengembara itu bermalam di rumahnya.

Kami hantar mereka ke rumahnya dekat rumah yang saya pernah tinggal. Rumah yang saya tinggal itu adalah rumah biras saya. Dia tinggal di rumah itu semula apabila dia balik berkhidmat di Kuala Lumpur. Saya selalu ke rumah biras itu dan beberapa kali terserempak dengan keluarga Turki itu.

Apabila anak saya jadi anak ang kat keluarga Turki untuk belajar di Istanbul, sebelum saya hantar anak itu ke sana, saya pergi jumpa Ahmet di rumahnya bertanya beberapa perkara yang perlu sebagai persediaan ke sana.

Orang yang mengambil anak saya jadi anak angkat itu adalah antara pengembara Turki yang saya hantar bermalam di rumahnya di Taman Dr Ismail. Dia meyakinkan saya bahawa orang yang menjadi keluarga angkat anak itu adalah orang baik. Seorang daripadanya, Yusuf Karaca adalah guru kepada Erdogan semasa bersekolah dulu.

Erdogan dan Ahmet Davutoglu memanggilnya, ‘Hojam’ iaitu Cikgu.

Itulah perkenalan saya sepintas lalu dengan Perdana Menteri baharu Turki itu. Dan saya tidak pernah menyangka pensyarah yang saya pernah jumpa kirakira 20 tahun dulu akan menjadi Perdana Menteri Turki, sebuah negara yang sedang membangun pesat untuk menjadi negara maju sekarang, menyaingi negara maju Eropah yang lain. Ahmet Davutoglu itu jika ‘dibahasa- Melayukan’ ialah Ahmad bin Daud.

Dengan Perdana Menteri Ahmet itu jadi empat orang Perdana Menteri Turki yang saya kenal dan pernah jumpa tetapi saya tidak pasti mereka ingat dan kenal saya lagi.

PM pertama saya dihubungi ia lah Abdullah Gul yang kemudiannya jadi Perdana Menteri dan Pre siden Turki. Masa itu dia adalah pengiring dan jurubahasa kepada Erbakan, Presiden Refah Partisi yang kurang mahir berbahasa Inggeris tetapi mahir bahasa Jerman.

Abdullah minta saya selidik tentang sebuah mesin cetak terpakai buatan Jerman di sebuah syarikat di Brickfields, Kuala Lumpur. Dia beri nombor telefonnya. Saya hubungi syarikat itu. Nasihatnya baiklah beli mesin itu terus dari Jerman. Saya pun maklumkan perkara itu kepada Abdullah Gul.

Apabila saya menemani Ustaz Hadi Awang ke satu pertemuan anggota-anggota Parlimen parti Islam negara-negara Islam dengan menteri Jerman Barat di Bonn, saya bertemu pertama kali dengan Erbakan dan Abdullah Gul. Dua hari dua malam kami bersama dalam beberapa majlis di Bonn. Saya beritahu Abdullah, sayalah orang yang dihubunginya tentang mesin cetak terpakai dulu.

Erbakan kemudin jadi Perdana Menteri dan Abdullah jadi menteri di Jabatan Perdana Menteri. Saya pernah jumpa keduaduanya se bagai Perdana Menteri dan menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam Muktamar Refah di Ankara.

Setelah semua parti yang ditubuhkan Erbakan, Erdogan dan Abdullah Gul tidak bersama Erbakan lagi. Kedua-duanya membentuk parti baru AKP, Erdogan jadi Presiden dan Abdullah jadi timbalannya.

Parti mereka menang majoriti besar, pertama kali dalam masa berpuluh-puluh tahun sejarah politik moden Turki. Erdogan tidak masuk pilihan raya kerana masih dalam ‘idah’ hukuman jenayah, tidak boleh menjadi penjawat awam. Abdullah jadi Perdana Menteri. Saya jumpa dan ucap tahniah kepadanya dalam jamuan meraikannya jadi Perdana Menteri di Ankara.

Empat bulan kemudian, ‘idah’ jenayah Erdogan tamat. Dia bertanding dalam satu pilihan raya kecil, menang dan jadi Perdana Menteri, Abdullah Gul turun jadi Menteri Luar.

Dalam pemilihan Presiden Turki di Parlimen, Erdogan dicalonkan tetapi terdapat banyak tunjuk perasaan menentangnya, lalu Abdullah Gul jadi calon ganti jadi Presiden.

Saya tidak pernah jumpa Erdogan sesudah jadi Perdana Menteri tetapi pernah beberapa kali jumpa sebelum dan semasa jadi Datuk Bandar Istanbul. Pertemuan pertama diatur oleh gurunya Yusuf Karaca atas kedudukan dia ketua Parti Refah di Istanbul dan saya Pesuruhjaya PAS Kuala Lumpur. Kami jumpa setengah jam kerana dia hendak mengetuai satu tunjuk perasaan.

Sebelum Erdogan jadi Datuk Bandar, saya pengalaman wajib putus air tiga kali seminggu di Istanbul.

Lepas dia jadi Datuk Bandar dengan izin Allah banyak hujan di Istanbul dan salji pula tebal. Bekalan air cukup. Tiada catuan, tetapi Erdogen melancari projek menggerusi air dari su ngai di bawah bumi Istanbul bagi memastikan air cukup untuk bandar raya itu.

Semasa saya sekeluarga ke Istanbul selepas dia jadi Datuk Bandar, dia memberi peluang kami sekeluarga pusing keliling Istanbul dengan bas mini bandar raya. Dia bercadang melawat Kuala Lumpur. Dia minta saya dapat jemputan rasmi dari Datuk Bandar Kuala Lumpur. Saya cuba jumpa Datuk Bandar Tan Sri Kamaruzaman Sharif sampai akhir tidak dapat.

Setelah dipecat daripada jawatan Datuk Bandar Istanbul, Erdogan dan isterinya datang sehari ke Kuala Lumpur. Saya, Ustaz (Allahyarham) Fadzil Noor dan Nasir Yusuf, hosnya di Kuala Lumpur makan tengah hari di HOTEL ITM depan kampus UiTM Shah Alam.

Dia dijatuhkan hukum jenayah dan dipecat daripada Datuk Bandar kerana mendeklamasikan sajak Islam yang selalu dideklamasikan pelajar sekolah. Apabila dia jadi Perdana Menteri saya tidak pernah jumpa lagi.

Ahmet Davutoglu tidak kedengaran lagi terutama selepas Anwar Ibrahim menghadapi tuduhan liwat satu. Tiba-tiba saya lihat nama dan gambarnya sudah jadi menteri luar Turki. Selalu namanya tersiar di sana sini sebagai menteri negara yang menempah nama semula dalam politik dunia.

Dalam krisis perang saudara di Syria, acap dia ke Damsyik bagi menjadi orang tengah tetapi tidak banyak yang dapat dibuat.

Sehari sebelum Abdullah Gul tamat jadi Presiden, Parti AKP memilih Ahmet Davutoglu jadi ketua nya. Apabila Erdogan melepas jawatan Perdana Menteri untuk jadi Presiden bagi menggantikan Abdullah Gul, Ahmet jadi Perdana Menteri.

Semasa ke Istanbul dulu, untuk membeli baju biasa harganya berjuta-juta Lira. Nilai Lira masa itu dari pagi ke petang bertukar beberapa kali.

Sekarang orang tidak membawa duit berjuta-juta lagi ke pasar.

Inilah Turki yang dipimpin bersama Erdogan dan Ahmet (bin Daud) Davutoglu yang pernah saya tengok muka mereka 20 tahun lalu.

Di Perak ADUN PR disambar, di Selangor ADUN PAS disambar

SUBKY LATIF 
JUSTERU yang buruk, yang huduh dan yang khianat itu dibangsakan untuk PAS saja, seolah-olah yang lain itu elok, betul dan dipercayai belaka.

Kita ini semuanya manusia. Semua ada salah dan semua ada silap. Semua ada kebaikan dan semua ada kecantikan. Atas itulah kita berbeza supaya kita berkenalan antara satu sama lain.

Saya hendak mengelakkan daripada mengata orang lain salah dan kita saja yang benar. Cuma hendak mengenangkan nasib yang menimpa PAS yang menjadi ujian baginya.

Dulu kita membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dengan PAS partner minoriti menjadi Menteri Besar. Kita amat rukun. Tiba-tiba tiga ADUN Pakatan Rakyat disambar BN hingga kerajaan itu tumbang. Kita semua kata tindakan BN itu khianat, merampas kuasa dan antara kita kutuk kejadian itu.

Sampai hari ini kita hiba atas nasib itu.

Dan sekarang PAS malang lagi. Dua ADUN-nya disambar oleh sekutunya sendiri iaitu PKR. Adakah kejadian di Perak itu tidak sama dengan kejadian di Selangor, sekali pun kejadian di Selangor adalah urusan rumah tangga PR sendiri?

PKR tentu ada alasan kerana PAS dikira buat tidak betul padanya. Tetapi BN juga boleh beri alasan kerana sebelumnya PKR sambar ADUN-nya dari Bota. Saya tidak mahu memihak kepada BN dalam pengkhianatannya kepada kerajaan PR Perak itu.

Yang saya hendak kenangkan ialah tentang sambaran di Selangor. Adalah benar PAS mempertahankan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Dalam apa keadaan PAS menjadikan Khalid sebagai ahlinya walaupun PAS perkenan pada prestasinya memerintah Selangor. Kita percaya Khalid lebih dekat dengan PAS daripada pimpinan PKR. Tetapi mengambil Khalid daripada PKR adalah tidak beradab dan tidak etika terhadap sekutu sendiri.

Sekarang Khalid sudah dicerai talak tiga oleh PKR. Apakah PAS wajar ambil janda PKR itu? Tunggu idahnya empat bulan sepuluh hari. Jika takut janda berhias itu disambar BN tidak boleh kita selamatkan dia dengan demikian boleh menyelamatkan satu kerusi PR di Parlimen? Tapi Khalid bukan jenis orang jual diri sama ada menyertai parti lagi atau tidak.

Tetapi PKR balas apa yang BN buat pada pakatan di Perak pada PAS di Selangor. Hingga ini tiada bantahan rasmi daripada PAS atas perbuatan sekutunya dan yang ada orang bawah yang kecewa dengan kejadian itu.

Apa kata kalau yang disambar itu ADUN DAP? Apakah DAP boleh sabar dan boleh terima? Dan apakah DAP gembira dengan pencurian terhadap ADUN PAS itu?

DAP sudah banyak pengalaman ADUN dan MP-nya dicuri orang sejak ia berpolitik. Apa rasanya apabila Richard Ho, MP-nya dari Lumut tahun 1969 dicuri MCA? Itu pengalaman pertamanya. Senang-senang Richard Ho jadi menteri selepas itu. Kita simpati pada DAP.

Kalau PKR boleh sambar YB PAS, apakah ia tidak boleh sambar YB DAP satu hari nanti? DAP jangan jadi seperti pelepah atas seronok tengoh pelepah bawah jatuh.

Betapa pilu PAS atas dua ADUN-nya yang disambar, tetepi tidak bercadang untuk menuntut seperti Quraisy dalam perjajian Hudaibiyah, menuntut orang Mekah yang lari ke Madinah dipulangkan. Madinah tidak menuntut orang lari ke Mekah dipulangkan. Biarlah mereka gembira dengan orang Mekah.

Tetapi patutkah setelah tidak dapat MP Sabah dan Sarawak 16 September 2008, ia sambar ADUN sekutunya? Begitukah orang bersekutu, sedang yang buruk dikatakan hak PAS, dan yang lain semuanya elok?

Saya bukan suruh berpecah. Tetapi buatlah perkara yang tidak boleh berpecah. Iaitu semua ada silap dan semua juga ada eloknya.

DNA babi, dua-dua betul

SUBKY LATIF
TERDAPAT perbezaan pendapat tentang DNA babi, halal atau tetap haram, antara ulama terbilang dunia Sheikh Yusuf Qardawi dan majoriti ulama Malaysia.

Segala-galanya berpunca daripada dua jenis coklat Cadbury yang dikatakan terpalit DNA babi. Lalu coklat itu ditarik dari pasaran bagi laluan Jakim menguji sahih atau tidaknya ia berzat babi. Agensi Jakim mengambil sampel dari kilang bagi menguji kaji dan mendapati tiada yang meragukan. Ia halal.

Berikut kejadian di Malaysia itu Mekah dan lain-lain komuniti Islam mengadakan uji kaji juga.

Al-Qardawi pun pengeluarkan pandangan bersandarkan ilmu Islam betapa sesuatu yang haram seperti babi itu apabila melalui transformasi lalu hilang keasliannya, maka tidak lagi sama kedudukan hukumnya.

Mengikut hukum fiqh, hal yang seperti itu dipanggil istihalah. Ia tidak haram lagi.

Ramailah ahli agama kita menolak pandangan al-Qardawi itu. Dan ada juga cendekiawan yang maju seperti Dr. Maza, bekas Mufti Perlis menerima pandangan al-Qardawi itu.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Tan Sri Shukur memberi pandangan tengah, mengakui sandaran al-Qardawi. Ada betul dan kebenarannya.

Beliau berpandangan kaedah istihalah itu tidak dapat dipakai di Malaysia setidak-tidaknya buat masa ini kerana Malaysia masih banyak pilihan. Kita tidak darurat sehingga kita tiada pilihan lain.

Eropah dan Amerika boleh kaedah itu dipakai kerana bahan halal payah didapati, maka barang yang sudah melalui transformasi yang telah berubah keasliannya, gugur haramnya.

Tan Sri Shukur tidak menolak kaedah itu boleh diterima pakai di negeri-negeri seperti itu.

Tetapi keadaan di Malaysia berbeza. Bahan halal memenuhi pasaran dan kita banyak pilihan, maka kaedah itu tidak terpakai di sini. Pakailah apa yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa.

Perkembangan tentang babi ini telah menambah fahaman kita tentang hukum-hukum dalam Islam khususnya yang terpalit dengan babi.

Dr. Shukur telah memberi hujah yang kuat mengapa Malaysia tidak memerlukan kaedah istihalah. Dan dalam hal berita tentang pandangan Dr. Qardawi itu adalah umum. Ia tidak memuatkan hujah bila dan di mana kaedah itu boleh dipakai.

Apa pun dipercayai Dr. Qardawi boleh menerima penjelasan Dr. Shukur. Kita bersyukur kita mendapat pencerahan daripada kedua-dua tokoh agama itu.

Bagaimana pun coklat itu sudah boleh dimakan sama ada kita mengikut fatwa Dr. Qardawi atau keputusan yang ditemui Jakim bahawa ia bersih daripada sebarang palitan babi, tetapi penggemar coklat itu di Malaysia tidak terpengaruh sangat dengan kedua-dua keputusan. Yang mempengaruhi mereka ialah tekak mereka.

Pertama was-was daripada berita awal ia dikatakan terpalit babi. Amat sukar was-was itu hendak dihapuskan. Kedua, apabila mereka cuba memakannya, mereka teringat berita awal mengenainya, maka tekak mereka kembang, tak terdaya menelannya dan kalau pun dipaksa menelan juga, tidak mustahil akan muntah.

Nasihat saya ialah mulai sekarang tukar saja jenama coklat itu. Gunakan resepi yang sama. Pastikan kilang itu kalis unsur babi.

Dan kedua, Jakim sendiri wajar mengadakan makmal sendiri dan pakarnya sendiri, menyelidik setiap produk yang memohon logo halal. Jakim tidak lagi sekadar mengeluarkan logo halal dan setiap yang halal itu datang dari penemuan makmalnya sendiri. Setiap syarikat mesti menyerahkan sempel produknya dua kali setahun. Pembaharuan permit mesti berdasarkan penemuan uji kaji yang baru.

Nasib baik Karpal mati

SUBKY LATIF
TAHNIAH kepada Ramkarpal Singh Deo dan Pakatan Rakyat atas kemenangan majoriti besarnya dalam PRK Bukit Gelugur yang boleh dikira tiada perlawanan itu.

Meskipun majoritinya sedikit merosot berbanding dengan majoriti mendiang Karpal setahun lalu, tetapi ia adalah kemenangan besar yang lebih bererti DAP/Pakatan Rakyat tidak susah lagi untuk menghadapi Barisan Nasional.

Tiada orang BN yang sedia bertanding di kerusi Karpal sekalipun Karpal sudah mati. BN tidak meletakkan calon bukan justeru apa-apa stretegi tetapi BN dan kerabatnya seperti sudah mati di Bukit Gelugur. Rupanya bukan Karpal saja yang mati, BN juga sudah mati di situ. Dengan matinya Karpal tahulah semua BN juga mati.

MCA dan Gerakan selalunya berebut kawasan. Sejak lebih 30 tahun MCA minta diberi kerusi lebih di Pulau Pinang supaya ia dapat membukti ialah pemimpin Cina dalam BN. Demikian juga Gerakan di samping mempertahankan pimpinan Cina di Pulau Pinang, ia minta diberi kerusi lebih di seluruh negara supaya ia dapat jadi parti Cina yang utama dalam BN.

Di Bukit Gelugur kedua-duanya berebut tidak mahu kerusi. Maka BN untuk berlaku adil perkenan supaya tiada siapa bertanding supaya tidak ada parti dalam BN yang taraniaya di kawasan yang ditinggalkan oleh mendiang Karpal.

PRK itu diadakan kerana Karpal meninggal dunia. Bukan kerana Karpal hilang kelayakan untuk kekal sebagai Anggota Parlimen. Karpal sebenarnya sudah didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan berkata tidak sopan ke bawah Duli Sultan Perak. Hukum yang dijatuhkan, dia tidak layak lagi duduk di Parliman.

Kerusinya belum kosong kerana dia memfailkan rayuan. Nasibnya menunggu mahkamah rayuan itu senipis kulit bawang. Kulit bawang boleh koyak dan boleh tidak koyak.

Jawapannya ialah Bukit Gelugur bersedia untuk mengadakan PRK selepas saja selesai PRK Kajang. Tetapi apakah harapan BN untuk merampas kawasan itu kiranya mahkamah menolak rayuan Karpal? Harapannya lagi nipis seperti kuling bawang, tetapi memang tiada harapan.

MCA dan Gerakan mendoakan mahkamah moga-moga menerima rayuan Karpal supaya mereka tidak berdepan dengan malu dipukul mati dalam PRK Bukit Gelugur. Dengan puluhan ribu majoriti Karpal Mei 2013 dulu, tiada mungkin untuk mengurangkannya di bawah 10 ribu.

Walaupun kerabat Pakatan menyumpah terhadap keputusan mahkamah mensabitkan kesalahan Karpal dan lebih menyumpah apabila hukumannya tidak lagi melayakkannya kekal berada di Parlimen, tetapi apabila Karpal merayu, giliran BN pula terutama Umno akan menyumpah kalau rayuan Karpal ditolak.

Jika Pilihan Raya Kecil diadakan kerabat BN akan bertelagah tidak mahu bertanding. Jika bertanding, masing-masing akan menghabiskan duit. BN tidak boleh tidak pasang poster seperti Pemilu di Indonesia. BN tidak boleh tidak berbelanja. Belanjanya besar. Siapa hendak memberi duit.

Di luar Bukit Gelugur mungkin ada saudagar memberi sumbangan. Di Bukit Gelugur siapa hendak memberi sumbangan. MCA sendiri terasa rugi hendak mengeluarkan duit. Gerakan tidak mahu memikul beban MCA itu. Nescaya habislah duit BN yang didapatinya dari baksis projek-projek mega.

Dan semua kerabat BN yang turun ke Bukit Gelugur akan menyumpah dengan keputusan mahkamah. Kerja mahkamah adalah untuk menentukan keadilan, tetapi ia boleh menyusahkan BN, Umno, Timbalan Perdana Menteri dan lain-lain.

Mahkamah telah terselamat dari takwil semua pihak apabila Karpal maut dalam kemalangan jalanraya. Nasib baik Karpal mati. Jika tidak orang akan membicarakan mahkamah di luar mahkamah.

Kemangkatan Sultan Perak: Penyingkiran Nizar usah disentuh

Subky Latif
ADALAH wajar segala kebaikan Almarhum Sultan Azlan Shah disebut apabila menyentuh balasingkawa kemangkatan baginda. Dalam memperingati Almarhum pastikan yang baik itu disepakat oleh semua.
Yang tidak disepakati seperti penyingkiran Datuk Seri Nizar Jamaluddin elok tidak disentuh. Apabila ia disentuh, ia mengundang komen pihak yang mengira penyikiran itu tidak tepat dalam menyelesaikan krisis rampasan kuasa di Perak terhadap kerajaan Pakatan Rakyat oleh Barisan Nasional.

Beberapa ulasan mengkagumi baginda dalam isu itu termasuk oleh pakar/profesor undang-undang. Rakyat jelata bangga beroleh seorang Sultan, satu-satunya di dunia, pernah menjadi Ketua Hakim Negara dan banyak penghakiman baginda dihormati.

Tetapi Almarhum adalah manusia yang ada kekurangannya. Sebagai seorang hakim tertinggi pandangannya tentang undang-undang diberi perhatian oleh semua, tetapi tidaklah setiap keputusan diakui semata-mata kerana ia dibuat oleh seorang hakim yang berprestij. Pengiktirafan tentang penghakiman bergantung kepada ketepatannya, bukan kerana kedudukan sebagai bekas Ketua Hakim Negara.

Nabi Daud AS adalah raja dan hakim yang adil tetapi ada penghakimannya yang dikira adil tetapi boleh dibaiki lagi.

Kes seorang peladang mengadu tanamannya habis dimusnahkan binatang ternakan seorang gembala. Gembala mengaku ternakannya memusnahkan kebun pengadu. Keputusan baginda ialah binatang ternakan diserahkan kepada peladang sebagai ganti rugi. Kira-kira ia satu keputusan yang adil.

Tetapi Nabi Sulaiman AS, putera Nabi Daud mengira keputusan itu tidak tepat. Lalu dianjurnya supaya di samping ternakan itu diserahkan kepada peladang dan hak atas hasilnya, maka ladang pekebun itu diserahkan pula kepada penternak untuk dimajukan. Apabila ladang itu mengeluarkan hasil semula, kebun itu diserah semua kepada tuannya dan semua ternakan dipulangkan balik kepada penternak.

Jika Nabi pernah membuat keputusan kurang tetap tentulah manusia biasa, sepintar mana pun, boleh membuat kesilapan.

Dalam kes penyingkiran Nizar, kita tidak boleh berpegang kepada peruntukan perlembagaan dan undang-undang saja. Faktor keadilan dan suasana yang berlaku perlu diambil kira. Jika undang-undang Allah yang sempurna seperti hudud Rasulullah SAW tidak laksanakan hukum atas pengakuan seorang wanita yang berzina atas sebab keselamatan masa depan anak yang dikandungnya, dan Khalifah Umar al-Khatab tidak potong tangan jiran miskin yang mencuri makan dari jiranannya kerana kelaparan, maka undang-undang ciptaan manusia juga ada ruang pengecualian.

Dalam kes Pakatan Rakyat Perak hilang majoriti disebabkan oleh empat ADUN hilang serentak beberapa ketika dan apabila muncul mengaku tidak lagi menyokong kerajaan Nizar. Dari sudut perlembagaan memang Pakatan sudah hilang majoriti, tidak layak lagi meneruskan pemerintahan. Tetapi dari segi peraturan juga Menteri Besar juga tidak boleh dipecat oleh sesiapa termasuk Raja yang melantiknya dulu.

Bagaimana tiga ADUN Pakatan boleh hilang serentak? Apakah perundangan tidak wajib menyiasat kejadian itu? Ikut hilang serentak ialah ADUN BN Bota yang secara sukarela jadi ADUN Pakatan, kembali ke pangukuan BN selepas hilang. Apakah tiada ruang dari sudut keadilan orang-orang diminta memberi keterangan/kesaksian mengapa mereka derhaka?

Dengan berpegang kepada perlembagaan saja, apakah hakim telah melaksanakan keadilan? Atau dengan berpegang pada perlembagaan, tidak mungkin keadilan diabaikan? Kebijaksanaan juga penting dalam menegakkan keadilan. Nabi kecualikan hukum atas penzina dan Saidina Umar RA tidak tidak potong tangan pencuri atas sebab kebijaksanaan.

Raja berperlembagaan boleh tidak mendengar nasihat PM/MB, tetapi ia diangap ganjil. Tidak ganjilkah Nizar dipecat tanpa peruntukan yang jelas dan tidak ganjilkah nasihat Nizar agar DUN dibubarkan diketepikan? Ternyata aspek keadilan dan kebijaksanaan tidak diperhatikan dalam kejadian di Perak itu.

Bagi yang hidup menyebut hal yang tidak disepakati dan tidak jelas tentang Almarhum ternyata tidak bijaksana.

Alangkah bertuahnya kalau saya jadi rakyat Brunei

Subky Latif

Allah jadikan tahun ini 1 Rejab serentak dengan 1 Mei. Bertuah bagi sekalian rakyat dan penduduk Brunei Darussalam kerana Kod Syariah mula dikuatkuasakan hari itu.Pelaksanaannya adalah secara berperingkat-peringkat tetapi tuahnya mulai dinikmati serentak.

Alangkah nikmatnya jika saya dapat menjadi penduduk Brunei. Mulai 1 Mei itu ibadat saya berganda pahalanya. Solat lima waktu sudah tidak sama dengan solat sebelumnya. Macam orang solat solo, pahalanya tidak sama dengan solat berjemaah.

Pahala solat berjemaah 27 lebih pahalanya daripada solat solo. Ia solat dalam negara yang tidak mengamalkan perundangan Islam.
Belum pun nikmat keamanan dirasai dan jenayah terbendung, tanpa disedari pahala solatnya sudah berganda. Bila ada pula solat sunat, zikir, bersedakah dan apa juga ibadat, maka tidak muat bujam pahalanya.

Belum buat apa yang lain sekadar senyum saja kepada orang yang ditemui pada pagi itu sudah berpahala banyak kerana senyum itu pada sesama orang Islam adalah sedekah. Setiap sedekah ada pahala.

Brunei sudahlah kaya, mungkin masih ada lagi rakyat yang miskin, moga-moga selepas 1 Mei ini mulai minima yang miskin wang ringgit, tetapi semuanya kaya dengan pahala. Percayalah negara itu sedang menuju kehidupan yang makmur dan bahagia di dunia dan akhirat.

Bukan kesultanan tiada cabaran untuk melaksanakan hudud, ia dikritik keras oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB adalah badan penyelaras keamanan dan keselamatan dunia, patutnya ia penal Syariah, mungkin tidak untuk melaksanakan tindakan mengikut Islam tetapi untuk mendapatkan nasihat apa baiknya jika suatu masyarakat itu melaksanakan Islam.

Dengan adanya penal Syariah itu PBB lagi menjadi pengecam kepada umat Islam untuk hak asasi dan hak kebebasan beragamanya.

Tindakan PBB itu menjadikan ia suara Yahudi dan Nasrani.

Syukur Brunei beroleh seorang sultan atau ulil amri yang tegas dan berani. Baginda berasa terpanggil dengan segala nikmat yang Allah anugerah kepada negara, rakyat dan baginda, melaksanakan perintah Allah, melaksanakan aturan dan peraturan Islam dalam pentadbiran dan pemerintahan.

Tentu ia juga akan ada masalah, kerumitan dan kekurangan dalam pelaksanaan perundangan itu. Semoga ahli-ahli ilmu Islam di seluruh dunia khususnya jiran-jirannya di Asia Tenggara dapat membantu dengan khidmat nasihat dan lain-lain.

Ada negara mahu dan mengaku menjadi negara Islam contoh, tetapi Brunei mulai ke depan bagi menjadi contoh kepada yang lain.

Ia tetap memerlukan bantuan, terutama negara-negara OIC, termasuk PBB dan rakan-rakannya di seluruh dunia bagi menjamin kelicinan pelaksanaan.

Secara diplomasinya Brunei tetap memerlukan jaminan dan bantuan sesama manusia, tetapi percayalah, dengan kepercayaan kepada bantuan Allah, Allah pelihara negara itu.

Kalau saya tidak boleh jadi rakyat Brunei, mungkin saya boleh jadi penduduk tetap bagi menumpang nikmat dan anugerah Allah atas pelaksanaan peraturan Islamnya.

Jika saya tidak boleh nikmat menjadi penduduknya, maka saya masih terbuka untuk apa yang jiran Brunei boleh dapat daripada nikmat sebagai “daulah Darussalam” atau negara bayangan syurga di dunia.

Sudah tentu nikmat Brunei itu akan dapat dirasa juga oleh jiran-jirannya baik negara Islam mahu pun negara sekular lain, baik oleh umat Islam dan bukan Islam di negara-negara jirannya.

Brunei tidak gopoh membuat perisyiharannya. Ia tentu sudah belajar dari Indonesia yang memberi otonomi kepada Aceh melaksanakan Syariah. Ia sudah belajar daripada umat Islam Mindanau bagaimana Bansamuro sebelum diberi otonomi melaksanakan syariat di bawah MILF, dan ia juga belajar enakmen yang diluluskan di Kelantan dan Terengganu tentang perundangan itu.

Dengan menghalusi semua perkembangan itu Brunei yakin kepada Allah, memasyhurkannya pada 1 Rejab dan 1 Mei. Malaysia bolehlah menghalusi pelaksanaan di Brunei itu supaya Kelantan nanti tidak banyak menghadapi masalah.

Khalid baru muncul sebagai ahli politik

Subky Latif
Sejak menjadi menteri besar Selangor pada 2008 Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menyerlahkan dirinya sebagai orang politik. Dia lebih dilihat sebagai seorang pentadbir yang mahu menjadikan Selangor sebagai sebuah syarikat besar.

Sejak itu, beberapa kali PKR mengadakan pilihan pimpinan, tidak pernah dia cuba untuk merebut jawatan penting yang bertaraf naib presiden ke atas. Malah kedudukan sebagai ketua PKR Selangor pun dilepaskan kepada orang lain.

Sebagai menteri besar dan orang politik dia hanya mendapat sokongan sederhana saja daripada partinya dan tidak pula dia berbuat sesuatu bagi mendapat sokongan padu kepadanya. Dia terbuka kepada kritik orang daripada partinya.
Jika dia tidak kalis kritikan partinya, maka apa pula yang diharapkan daripada musuh partinya – Umno dan BN – yang menjadi pembangkang di Selangor. Politik Umno mewujudkan pelbagai jenama NGO menceceh apa saja yang dibuat oleh kerajaan Selangor. Apa yang dihadapi Datuk Seri Nizar Jamaluddin selama menjadi menteri besar Perak, maka itulah yang Khalid hadapi.

Semua kebangkitan dan kecaman itu mati tiba-tiba di Perak apabila rampasan kuasa berlaku. Datuk Seri Najib Razak turun untuk memimpin Umno dan BN Selangor untuk menjadikan Khalid seperti Nizar. Tetapi politik Najib di Selangor disembelih oleh Khalid apabila Adun BN selepas PRU13 merosot daripada PRU 2008.

Gara-gara penyembelihan politik itu Najib meninggalkan Selangor sebagai panglima yang kalah.

Ikut tersembelih ialah panglima Najib di Selangor, Datuk Seri Noh Omar dilucutkan daripada Kabinet, terpaksa berpuas hati dijadikan pengganti Najib sepenuh masa sebagai ketua Umno Selangor. Paling teruk tersembelih ialah bekas Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed sebagai setiausaha Umno Selangor yang selama lima tahun hari-hari membalun Khalid.

Dia bukan sekadar disembelih daripada kerusi Parlimennya bahkan tiada apa-apa lagi dalam Umno Selangor.

Dalam masa sebulan yang terakhir ini Khalid baru muncul sebagai orang politik susulan dua perkembangan besar di Selangor iaitu PRK Kajang dan MOU penstrukturan semula air di Selangor antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Penentangnya dalam PKR menyebut melalui PRK Kajang itu memungkin dia tidak menjadi menteri besar. Calonnya di Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut menjadi penggantinya. Dia tidak menunjukkan dia kecewa dan susah hati dengan desas-desus kedudukannya itu malah dia cuba menjadi pengarah PRK yang terbaik untuk memenangkan partinya di Kajang.

Dia cuba mengelakkan politik Anwar mati di Kajang, kerana jika Anwar mati di Kajang, maka politiknya di Selangor pun mati. Sebagai orang yang dikatakan akan digantikan selepas PRK itu dia tidak akan sabotaj Anwar seperti yang politik Umno lakukan terhadap pencabar dalam parti sendiri.

Masa itu jugalah dia menawarkan diri menjadi calon timbalan presiden PKR menjelang bulan puasa nanti. Dalam masa tidak banyak dikritik dulu dia tidak rebut jawatan penting parti. Masa dia dikritik kuat oleh rakan dalam partinya, baru dia hendak merebut jawatan kedua selepas Anwar yang pastinya akan jadi presiden parti nanti.

Masa kempen inilah dia mengejutkan semua orang dengan bersetuju menandatangani MOU tentang air di samping Langat 2 yang jadi panas sebelum ini. Dia mencapai persetujuan dengan kerajaan pusat dan memberi laluan kepada pembinaan loji yang terbengkalai sebelum ini.

Dengan perkembangan terbaru itu Khalid dibidas oleh pemimpin dan penyokong partinya tetapi dia dibela oleh semua orang Umno baik berjawatan atau tidak. Umno kata, isu air di Selangor selesai dan orang Selangor tidak akan mati dahaga selepas ini.

Kajang adalah tempat yang terdekat dengan tapak Langat 2 itu, pengundi Kajang tentu bersyukur dengan MOU itu, sepatutnya memberi undi kepada parti Khalid.

Politik Khalid ialah dia dikecam musuh ketika partinya mempertahankannya tetapi ketika partinya mengkritiknya, dia dibela oleh musuhnya, BN. Dia sudah jadi orang politik sekarang.

Tun Musa Hitam telah beritahu saya...

Subky Latif
APA yang Tun Musa Hitam beritahu dalam forum di Kota Bharu betapa Tun Dr Mahathir Mohamad belum berangkat ke China semasa kejadian Memali telah beliau beritahu saya semasa dia masih Timbalan Perdana Menteri lagi.
Petang hari berkenaan saya ke pejabatnya, saya tanyakan tentang itu. Isu itu masih panas ketika itu. Jawabnya, Dr Mahathir masih belum berangkat ke China. Dia ada dalam negara.

Musa kata kepadanya, dia patut batalkan lawatan ke China, pergi selesaikan dulu isu Ibrahim Libya terbunuh di Memali.
Bagi Musa, bukan dia tidak boleh hadapi angkara itu tetapi lebih baiklah Dr Mahathir menanganinya kerana yang berlaku itu adalah di negerinya.

Saya fikir Musa ada alasan supaya Dr Mahathir balik ke negerinya dan sebagai pemimpin rakyat dia patut berada di tengah-tengah mereka ketika kejadian menumpahkan darah yang menyebabkan berbelasbelas orang mati dan puluhan lagi cedera.

Tapi jawab Dr Mahathir, kata Timbalan Perdana Menteri itu, dia tidak boleh batalkan lawatan ke China itu kerana dia sudah buat banyak temu janji dan pertemuan dengan pihak sana.

Balas Musa, biasa orang batalkan lawatan kerana adanya kejadian yang besar dalam negara.

Tentulah bukan Mahathir saja orang yang tunda kunjungan ke China jika mengambil tindakan itu. China pun ada pengalaman demikian.

Mahathir berkeras dia hendak ke China juga. Lalu dia tinggalkan kecelakaan itu untuk dihadapi oleh orang lain.

Apabila Mahathir ditanya tentang keterangan Musa di Kota Bharu itu, dia kata dia sudah lupa kerana ia sudah lama.

Jika Mahathir lupa bukan justeru Melayunya bangsanya mudah lupa.

Manusia adalah daripada salur galur bahasa Arab yang maksudnya pihak yang mudah lupa. Ia bahasa Tuhan yang membangsakan manusia itu makhluk bersifat lupa.

Nabi Adam yang dihukum buang ke dunia ini adalah kerana lupanya akan amaran secara langsung kepadanya supaya jangan dekati pokok yang kita tahu namanya khuldi. Kalau tidak lupa bukan manusia namanya. Ia jadi malaikat.

Bukanlah Melayu saja mudah lupa seperti yang doktor itu pernah madah. Doktor itu juga pelupa.

Memanglah menahan seseorang di bawah ISA diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri. Tetapi menangkapnya bukan kerja menteri.

Itu kerja polis. Polis tidak dapat menangkapnya. Itu kelemahan polislah.

Bukan menangkap Ibrahim Libya itu saja kerja menteri itu. Banyak kerja yang kementerian itu yang dia kena buat. Maka lamalah Ustaz Ibrahim tidak dapat ditangkap.

Kerana dia tahu dia orang yang dikehendaki polis, maka dia tidak bebas ke sana ke mari. Meskipun dia selalu keluar juga dari Memali, tetapi keluar orang tidak bebas. Sudah terhad kebebasannya.

Tetapi Musa beritahu, setiap kali mesyuarat Umno, orang Umno minta juga dia ditangkap. Akhirnya dia baharui perintah tangkap itu. Tapi dia tidak suruh buat macam yang berlaku itu.

Pandai-pandai mendapatkannya supaya dia dapat ditangkap hiduphidup. Bukan ditangkap hidup atau mati.

Katanya masa itu, dia tidak terima tanggungjawab atas kejadian itu tetapi akauntibili ‘yes!’

Saya tidak arif untuk mentafsirkan perbezaan atas kedua-dua perkataan itu.

Boleh dikatakan Musa tidak bercakap secara terbuka atas kejadian baik semasa dalam kerajaan mahupun selepas bersara daripada politik.

Tidak dia membela dirinya dan tidak juga dia menyalahkan pihak lain.

Tetapi apabila ada percubaan banyak pihak dalam Umno untuk menyalahkannya atas perkara itu, antaranya jika saya tidak silap ialah Naib Ketua Pemuda suatu masa dulu, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Musa mengingatkan, jangan cuba salahkan kawan!

Mungkin kalau dia hendak menjawab, akan banyak kawan-kawannya yang cedera.

Apa pun yang penting apabila Musa menerangkan di mana Dr Mahathir pada masa kejadian itu, dari segi rekodnya, dia masih belum meninggalkan negara untuk berangkat ke China.

Memang tersebar cakap-cakap bahawa doktor itu tidak ada dalam negara masa kejadian itu berlaku. Apa maksud politik cakap-cakap itu tersebar?

Pertama kerana kemungkinan kejadian buruk itu tidak berlaku kalau dia ada dalam negara. Kerana dia tidak dalam negaralah ia berlaku.

Ekoran maksud ini ialah orang lain ada dalam negara tidak tahu untuk mengelak keburukan itu.

Apabila Perdana Menteri keluar negara tanggungjawab Perdana Menteri terserah kepada Timbalan Perdana Menteri. Apa lagi pada masa itu sekadar tiga-empat hari PM tiada dalam negara, maka TPM Musa pun disebut Pemangku Perdana Menteri.

Setelah Musa keluar daripada kerajaan tiada lagi Pemangku Perdana Menteri selain daripada dia cuti dua bulan. Saya tidak ingat selama mana dia menjalani rawatan pemintasan jantung kali pertama, adakah Ghafar Baba jadi pemangku?

Maka mengatakan dia tiada dalam negara semasa kejadian Memali itu, seolah-olah mahu menyerahkan kelemahan kejadian itu secara tidak langsung kepada TPM Musa.

Kedua dari aspek negatifnya mengadakan dia tidak ada dalam negara ialah dia mahu melarikan diri daripada sesuatu tindakan yang mendatangkan keburukan.

Memangnya tersebar desas desus, kononnya apabila ada tindakan kurang menyenangkan, maka dia keluar negara. Yang menyangka begitu pun ada apa tujuan politik daripada sebaran dan sangkaan demikian tidak mudah dipastikan.

Yang tidak tahu di mana dia masa itu bukan sekadar orang awam saja, pensyarah universiti bertaraf profesor madya Agus Yusuf pun tertanya- tanya. Dengan kedudukannya dalam dunia akademik, dia sepatutnya jelas hal-hal seperti ini. Maka bagi menenangkan hatinya dibangkitkan perkara itu di depan Musa.

Agus mungkin sudah tahu, tetapi dibangkitkannya itu bagi menenangkan dirinya seperti yang Nabi Ibrahim a.s. ingin daripada Allah tentang bagaimana orang mati boleh dhidupkan semula di hari kiamat. Allah tanya beliau apa ia tidak yakin dengan kuasa Allah.

Jawabnya, bukan tidak yakin tetapi untuk menenangkan dirinya.

Musa sudah terangkan di mana dia. Tetapi dia tidak mahu ke Kedah untuk menghadapi rakyat yang gelora masa itu. Dia biarkannya orang lain menanganinya. Baginya bertemu dengan pegawai-pegawai China lebih aula daripada menghadapi pembunuhan dan pertumpahan darah itu.

Atau dia melihat kejadian itu kecil. Banyak lagi kerja yang lebih besar.

Dan apabila dia kata, sudah lupa, adakah dia betul-betul lupa atau dia buat-buat lupa. Seperti dikata tadi, manusia itu adalah makhluk mudah lupa. Tetapi kemajuan pendidikan, ada pakar yang boleh mengingatkan apa yang dia lupa.

Soalnya adakah kita pakar seperti itu? Jika Wawasan 2020 berjaya, antaranya meneroka bidang pelajaran yang lebih maju. Apabila ia dicapai, maka akan ramailah pakar yang boleh merawat orang yang lupa. Orang gila pun ada hospitalnya, masakan tiada kini bagi tidak lupa semua dan tidak ingat semua. Lainlah yang di peringkat nyanyuk.

Jenaka kisah pilot fanatik Anwar

SUBKY LATIF
Kisah Keptan Zahari, pilot MH370 yang dikatakan kecewa atas hukuman ke atas Anwar Ibrahim sebagai punca pesawat penumpang itu ghaib adalah satu jenaka yang tersebar luar dalam media antarabangsa.

Moral jenaka itu adalah demi memberi kesan nagatif kepada Anwar dan pilot itu sendiri.

Gara-gara fanatiknya kepada Anwar lalu dia tidak dapat menerima keputusan mahkamah memenjarakan Anwar hingga dia melakukan apa saja hingga menyebabkan pesawat yang dipandunya hilang sekonyong-konyong.

Dia mungkin trauma, mungkin hilang fikiran atau gila, dan mungkin juga diserang sakit jantung, boleh mengancam keselamatan pesawat dan jiwa penumpang dan sekalian anak kapal.

Antara pengikut Anwar yang cuba digambarkan ialah ada orang yang macam ini yang boleh buat apa saja dan orang Anwar ini boleh menggemparkan dunia.

Antara penyokong Anwar itu memang ada yang fanatik seperti juga penyokong Mahathir dan penyokong Najib. Penyokongnya yang lain itu tidak pula sampai tidak dapat mengawal perasaan. Tidak penyokong di kalangan pemandu teksi lampu trafik dan melanggar pokok atau tiada pemandu lori memandu laju hingga melanggar kenderaan lain dan masuk gaung.

Kapten kapal terbang penumpang biasanya telah diuji mental dan fisikalnya. Tidak mudah panik dan dicabar. Cukup ketahanan dan kesabarannya. Tinggi disiplin dan tanggungjawabnya. Payah untuk memikirkan mungkin seorang seperti boleh jadi begitu sekalipun dia fanatik Anwar.

Tetapi tidak pula mustahil ada pemain boleh yang dipercayai sihat, tumbang dan mati ketika bermain. Ada orang segar sekonyong-konyong sakit jantung ketika menonton Muhammad Ali kalah tinju di TV. Tidak mustahil pilot itu boleh trauma atau gila kerana keputusan hakim itu.

Hang Jebat dulu mengamuk dan derhaka kerana tidak dapat terima hukuman yang dikenakan kepada Hang Tuah. Walaupun orang kutuk Hang Jebat tapi ada yang marah pada Raja kerana tak usul periksa menjatuhkan hukum dan ramai yang salahkan Temenggung kerana memfitnah Hang Tuah.

Jika betul keptan itu fanatik dan boleh gila dengan hukuman yang dipertikai itu, apakah kita boleh salahkan orang yang tiba-tiba gila bertindak menghilangkan pesawat dan semua muatannya?

Apakah kita mesti marah kepada orang fanatik saja atau kita boleh pulangkah kepada hakim yang buat keputusan menyebabkan keptan itu gila atau diserang sakit jantung?

Bolehkah hakim dan mahkamah berpuas hati membuat hukuman yang tidak popular yang boleh mengakibatkan pesawat penumpang hilang dan dunia jadi haru biru?

Orang kata, orang politik memang gila dan gila kuasa, sanggup bunuh dan buat apa saja asal dapat kuasa dan kekalkan kuasa termasuk memahkamahkan Anwar. Pendakwa memang kerjanya mahu menang bicara kerana malu besar kalau kalah.

Maka sekarang semua orang jahat dan ada kelemahannya termasuk yang mendakwa dan yang didakwa. Maka keadilan itu dipercayakan kepada mahkamah dan hakim. Justeru mereka dihormati dengan Yang Arif.

Hukum atas Anwar sudah dibuat. Adakah hakim betul? Atau tidak betul? Ia dipertikai. Yang pertikai itu pun bukan tidak boleh dipertikai pula. Tetapi keputusan hakim itu dikatakan telah menyebabkan kapten gila.

Maka boleh hakim terlepas tanggungjawab atas kapal terbang hilang itu, kerana puncanya ada pilot tidak dapat terima keputusan itu dan berlakulah apa yang berlaku. Bolehkah hakim seronok dengan keputusannya dan boleh tidur mengenangkan sekalian keluarga penumpang tidak tidur-tidur kerana bimbangkan nasib penumpang dan anak kapal.

40 pistol dan keris Taming Sari

Haji Subky Abdul Latif
Dalam Hikayat Hang Tuah disebut betapa aibnya Laksamana itu apabila mendapati keris panjang Taming Sari di pinggangnya didapati hilang semasa majlis penghadapan Seri Bentara Majapahit.

Dia tidak takut dirinya dan rombongan Sultan Melaka terancam tetapi jika audit Betara Majapahit mendapati senjata hilang, ia amat memalukan panglima terbilang Melaka itu.

Maka dia bertindak segera. Bila Seri Betara minta tunjuk kerisnya, Hang Tuahpun menunjukkan keris yang menyerupai keris di pinggang Patih Gajah Mada. Patih Gajah Mada pun meraba keris di pinggangnya. Tidak ada senjatanya.
Demikian pantasnya Hang Tuah bertindak setelah mengetahui senjata di pinggang telah dicuri orang. Usaha Patih Gajang Mada untuk memalukan Hang Tuah gagal apabila dia bertindak mencuri balas keris Patih Gajah Masa.

Hang Tuah peka bila senjatanya hilang, maka sayogialah Menteri Dalam Negeri peka apabila 40 pistol dalam jagaannya hanya diketahui hilang selepas laporan Ketua Audit Negara dibentangkan.

Sekadar sepucuk pistol saja hilang di Balai Polis, katalah ditelan sawa, cukup untuk semua petugas di Balai Polis itu dari Ketua Balai hingga tukang cuci disiasat dan dikenakan tindakan.

Sekalipun kemudian didapati ada sawa sekitar balai itu dan disahkan pistol yang hilang ada dalam perutnya. Balai dipersalahkan bagaimana ia boleh dimasuki sawa?

Maka kisah 40 pistil ghaib tidak boleh ditangani, bagaimana cara menghadapi peletupan mayat Altantuya.

Jika didapati sepucuk pistol dimiliki oleh seseorang tanpa lesen, cukup untuk mendakwanya hukuman bunuh, maka kementerian dalam negeri boleh dikenakan tindakan gantung gaji semua orang di kawasan atau bangunan 40 pistol itu disimpan termasuklah menteri dan ketua setiausahanya.

Buatlah seperti dikenakan kerajaan Amerika, semua jabatan kerajaan tutup dan semua kaki tangan tidak dapat gaji kerana kongres gagal meluluskan bajet.

Saya tidak pasti adakah laporan Ketua Audit Negara tentang bom yang digunakan bagi meletupkan mayat Alltantuya? Bom yang digunakan dikatakan hanya ada dalam simpanan pihak keselamatan saja. Adakah audit dibuat tentang bom itu? Adakah bom yang hilang atau semua bom itu tidak luak?

Kalau ada bom yang hilang, maka jangan didiamkan! Kalau ada semuanya, maka kementerian wajar menyiasat, siapa lagi yang memiliki bom yang tidak dibenarkan dimiliki oleh sesiapa selain dari pihak keselamatan?

Dalam apa keadaan pistol yang banyak itu tidak boleh hilang. Tidak siapa boleh memiliki senjata api tanpa pertanggungjawab yang besar. Polis yang dibenarkan membawa pistol mesti menjaganya lebih dari menjaga isterinya sendiri. Ia seperti menjaga nyawanya sendiri.

Pistol itu dalam semua masa misti ada bersamanya seperti Hang Tuah tidak boleh lekang keris dari pinggang. Dalam keadaan dia hendak keluar tanpa pistol, maka pastikan ia tidak boleh terdedah kepada orang lain.

Pistol yang banyak itu hilang dalam suasana negara sedang berhadapan pembunuhan tembak menjadi-jadi di sana sini.

Kita katakan pistol itu sangat senang diseludup dari sempadan negara jiran. Maka tindakan hendaklah diambil terhadap orang dan kenderaan yang keluar masuk negara.

Tetapi dengan pendedahan 40 pistol hilang dalam simpanan, tidakkah mungkin pistol yang hilang itulah yanag digunakan oleh sekalian penjenayah yang menembak di sana sini itu?

Ketua Audit Negara juga perlu ditanya masa bila audit dibuat yang mendapati pistol itu hilang? Adakah semasa menteri sebelum ini? Atau ia diaudit selepas PRU 13?

Cuai tidak jadi asalan yang cukup kerana yang hilang bukan sepucuk. Andaian pertama, ia adalah gara-gara pengkhianatan. Dan bukan mustahil pengkhianatan bermotif politik bagi mengaibkan orang politik yang bertanggungjawab di kementerian, apa lagi dalam perlumbaan ke puncak kekuasaan. Tugas seterusnya terletak kepada PAC.

Mukhriz macam tidak beradab

Subky Latif
Demi berpolitik dan menunjukkan ada kuasa, Dato’ Mukhriz yang baru menjadi Menteri Besar itu boleh bertindak apa saja bagi menidakkan langkah yang diambil oleh Menteri Besar Tan Sri Azizan Razak dulu.

Ketika beliau menemui Tan Sri Azizan di hospital sebaik mengambil alih kuasa, semasa Azizan masih boleh bercakap lagi, pesannya pada Mukhriz, usahakan apa jua kiranya menyambung pengurusan kolej Insaniyah yang kurang dana itu.

Tanpa bantuan kerajaan pusat, Tan Sri Azizan berjaya membangunkan kampus baru Insaniyah yang tersergam di Kuala Ketil dan dapat membangunkan fakulti perubatan untuk pelajar dalam dan luar negeri dengan modul menerapkan unsur rawatan Islam. Apabila mereka menjadi doktor nanti mereka ada pengetahuan tentang adab dan rawatan Islam.

Terserahlah kepada kerajaan baru menentukan tindakan selanjutnya.

Maka Mukhriz pun menggunakan kebijaksanaannya memindahkan kampus Insaniayah ke kampus lama dan berusaha menjual kampus Kuala Ketil itu kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk membidanya.

Dia mulanya tidak bersedia mengambil tanggungjawab atas apa yang dirancang oleh pentadbiran dulu dan mahu manyambung usaha kerajaan yang mengasaskan institusi itu sebelum itu.

Yang dialami oleh pelajar yang terpaksa pindah ke kampus lama, adalah natijah yang terpaksa ditanggung apabila berubahan kuasa berlaku. Orang politik Maciavelli boleh menghalalkan apa saja dan boleh mengharamkan apa saja. Ia boleh tidakkan apa saja oleh pentadbiran lalu.

Tetapi sebagai orang Melayu yang mengaku menjunjung Raja, baik Melayu lama mahupun Melayu baru yang pernah diwawaskan oleh ayahndanya, sayugialah memelihara adab-adab Melayu beraja itu.

Mukhriz boleh persetankan apa yang Azizan buat tetapi Mukhriz tidak boleh perkecilkan apa yang raja pernah cemar.

Azizan tidak mempolitikkan apabila memberi penghormatan ke bawah Duli Yang Dipertuan selaku Sulltan Kedah untuk merasmikan kampus baru di Kuala Ketil itu. Sebagai orang politik Azizan boleh mengambil faedah politik merasmikan sendiri kampus itu. Tetapi adab orang Melayu Islam yang memuliakan raja dan raja itu pula adalah ketua agama Islam di negeri, maka Yang Dipertuan Agong telah mencemar duli melakukan perasmian kampus itu.

Dan adalah tanggungjawab mulia Raja menunaikan tugas itu. Insaniyah dan kampusnya bukan hak Azizan dan kerajaan partinya lagi tetapi ia adalah kepunyaan Sultan, rakyat dan kerajaan baik parti mana saja yang memerintah.

Mukhriz boleh benci Azizan dan boleh benci PAS, tetapi Mukhriz mesti beradab kepada Raja. Tidak sampai setahun Seri Paduka mencemar duli merasmikan kampus itu, kampus itu hendak dijual. Maka kehadiran Raja dulu tidak memberi apa-apa erti. Sekalipun kehadiran baginda dulu sebagai Sultan Kedah, tetapi baginda adalah Yanag Dipertuan Agong.

Untuk melaksanakan tanggungjawab itu, baginda telah meninggalkan lain-lain tugas Yang Dipertuan Agong.

Tidaklah dikira terlepas pandang Mukhriz itu memperkecil kehadiran Raja dulu sebagai menderhaka, tetapi ia cuma anak bekas Perdana Menteri yang tidak beradab.

Mungkin yang Azizan atur dulu berpolitik tetapi apabila Raja perkenan turun padang ia bukan politik lagi. Azizan barang dijauhkan Allah tidak memperalatkan Raja menetapkan baginda merasmikannya.

Sepatutnya seorang Menteri Besar beraja, dia jaga adab. Sebenci mana dia pada Aizan dan Pakatan Rakyat, dia patut jaga acara rasmi yang Raja perkenan tidak dibakul sampah. Jika ada tidak kena pada kehadiran Raja, dia mesti cari jalan supaya kehadiran Raja itu dilihat mulia.

Mukhriz perlu jaga juga nama baik bapanya, supaya jangan orang kata anak Perdana Menteri pun tak tahu adab.