"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilik klinik buang pesakit mati dan kanak-kanak 3 tahun tepi jalan

 BHarianonline 

PHNOM PENH: Pemilik sebuah klinik bersalin tidak berlesen di Kemboja didakwa atas pelbagai kesalahan kerana membuang mayat pesakit yang meninggal dunia selepas disuntik dengan bahan yang tidak diketahui.

Pasangan terbabit mengaku membuang mayat Nam Chanthou, 41 dan meninggalkan anak saudara mangsa yang berusia tiga tahun bersendirian di kawasan sama.

Mereka membuangnya di semak di sepanjang jalan yang lengang hampir empat kilometer (km) dari klinik mereka di wilayah Takeo di selatan Kemboja.

Jurucakap pejabat pendakwa raya berkata, Sun Marina, 39, dan suaminya, Hieng Songhak, juga dikenali sebagai Nget, 37, mengendalikan Klinik Bersalin dan Rawatan Songhak Marina tanpa lesen di perkampungan Boeung Ponhea Kuk.

Pada 18 November, Marina memberikan suntikan kepada mangsa dan dia kemudian mengalami reaksi teruk dan meninggal dunia ketika masih berada di premis itu.

Marina dan suaminya mengaku mengangkut mayat mangsa bersama anak saudaranya yang berusia tiga tahun ke kawasan hutan berhampiran Chambak untuk 'menyembunyikan mayat' terbabit.

Pada 21 November, polis daerah Bati membawa suspek ke mahkamah. Selepas menyoal suspek dan meneliti bukti, pendakwa raya mahkamah wilayah Takeo mendakwa Marina dengan empat kesalahan iaitu membunuh tanpa rela, mengamalkan perubatan tanpa lesen, menyembunyikan mayat dan penyeksaan serta layanan kejam sehingga membawa kesan yang teruk kepada mangsa.

Suaminya didakwa mengamalkan perubatan tanpa lesen, bersubahat menyembunyikan mayat dan penyeksaan serta perlakuan kejam yang menyebabkan impak teruk kepada mangsa. Pihak berkuasa bertindak menutup klinik itu 19 November lalu. - AGENSI

Tiada ulasan: