"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label PRK Hulu Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Hulu Selangor. Papar semua catatan

Tawaran RM50,000 kepada peneroka rasuah

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 27 April:
Timbalan Presiden Keadilan Rakyat, Senator Dr Syed Husin Ali (gambar) menempelak Umno-BN yang menjanjikan RM50,000 kepada penduduk di Felda Sungai Buaya jika mereka mengundi untuk memenangkan parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, Ahad lepas.

Sambil menganggapnya sebagai suatu bentuk rasuah, beliau mempertikaikan tindakan yang telah dan akan dilakukan Umno-BN bagi mengotakan janji mereka kepada peneroka di Felda tersebut.

"Ia satu kes rasuah yang perlu ditekankan iaitu tawaran RM50,000 kepada peneroka-peneroka di Sungai Buaya, kerana tanah di kawasan tersebut telah dibeli oleh Syarikat Etika yang telah ditutup," katanya pada sidang media Pakatan Rakyat di lobi Dewan Negara hari ini.

Jelasnya, dalam hampir 20 tahun peneroka Felda itu tidak dibayar apa-apa dan kini mereka dijanjikan RM50,000 dengan RM1,000 telah dibayar tunai walaupun pada ketika membeli tanah tersebut dahulu, syarikat Etika telah membayar RM1,000.

“Jadi kira-kira RM850,000 masih belum dibayar. Persoalannya sekarang ini siapakah yang akan membayar RM50,000 itu dan siapa akan tanggung RM850,000 yang belum dibayar?

"Walaupun Najib berjanji akan bayar, daripada mana punca wang diperolehi sama ada wang parti atau kerajaan atau pihak yang lain," tegasnya.

Ujarnya, apa yang nyata ia adalah tawaran tersebut adalah berupa korupsi kerana ada yang ditawarkan dengan wang RM250, RM500 dan RM1,000 kepada keluarga Melayu dan India dan kesemuanya itu menjadi bukti.

Pada 23 April lalu, Najib mengumumkan pembayaran pampasan tanah atas pembelian tanah sebanyak RM50,000 kepada 100 bekas peneroka Felda Sungai Buaya, yang membawa kepada jumlah RM5 juta. Setiap daripada mereka memperolehi RM1,000 pada peringkat awal yang merupakan hasil penantian 15 tahun.

Pada sidang media yang sama, beliau turut menyenaraikan beberapa faktor kekalahan parti itu.

"Kita percaya, kekalahan disebabkan beberapa faktor iaitu rasuah dan dalam kenyataan terbaru selepas pilihan raya kecil berakhir, Najib menafikan terdapat unsur rasuah dengan memberikan contoh pembinaan jejambat," katanya lagi.

Selanjutnya, Syed Husin berkata pihaknya kini dalam proses mengambil tindakan undang-udang dengan melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini adalah satu perkara yang sangat-sangat serius sehingga calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim bersama peguam-peguam Pakatan Rakyat untuk menyelidik dan mengambil tindakan undang-undang terhadap rasuah yang berlaku dan perkara ini akan dilaporkan kepada SPRM walaupun kurang percaya kepada keberkesanannya," katanya lagi.

Mengulas mengenai pencapaian dalam pilihan raya kecil tersebut, beliau menganggapnya sebagai baik.

"Di kawasan Felda, undi Pakatan telah meningkat menyebabkan majoriti Umno-BN di Hulu Bernam dapat dikurangkan iaitu Pakatan mendapat 5,400 dan BN 7,200. Di Batang Kali jurang perbezaan majoriti semakin dikurangkan dengan Pakatan kira-kira 10,600 dan dan Umno-BN mendapat 11,600 undi.

"Umumnya prestasi Pakatan adalah baik, walaupun kami kalah, kami akan bekerja dengan keras lagi untuk memastikan kemenangan," ujarnya lagi.

Sementara itu, Senator Ir Zamri Yusuf berkata bagi kawasan yang mengalami penurunan iaitu di Felda Sungai Buaya yang melibatkan pemberian rasuah (janji RM50,000) dan ugutan kerana yang dibayar itu hanya RM1,000 setelah syarikat yang sepatutnya membayar RM49,000 itu muflis, hanya akan dapat jika memberi kemenangan kepada BN.

"Bila kita pertikaikan hal ini Najib mengalih isu kepada pelan transformasi sedangkan ianya perkara yang berasingan kerana isu ini adalah membabitkan ugutan dan paksaan," katanya.

Trend itu jelas dapat disaksikan Zamri sendiri semasa dua hari terakhir kempen apabila terdapat seorang penduduk di kampung terbabit keluar dengan membawa sebilah parang yang diletak di dalam raga motosikalnya bagi menghalang penyokong Pakatan Rakyat melaksanakan tugasan kempen kerana bimbang akan kehilangan RM49,000 yang dijanjikan Umno-BN.

"Ini merupakan salah satu kesalahan besar pada pilihan raya kali ini," ujarnya.

Pilihan Raya Kecil Catatan 25 April 2010 Di Ulu Selangor

Azizi Abdullah

Berkampung di Kuala Kubu Baru, menziarahi Batangkali, meninjau ke Kelompang, terkejar-kejar ke Felda Gedangsa dan lain-lain, terlajak ke Ulu Yam untuk mengikuti perkembangan pilihanraya Ulu Selangor sangat memenatkan.

Masjid Kuala Kubu Baru temuak air dari tangki najis. Tandas terpaksa beratur dan bandan sudah jadi kambing hapak.

Mereka ini tidak mendapat apa-apa pun upah, tapi bersedia berkerja.

Tiba-tiba sekitar 9 malam 25 April 2010 sudah dapat tahu PKR kalah. Ketika itu baru terdengar berdengung - ngiung siren menjerit menghantar menteri ke tempat pengisytiharan calon yang menang.

Tapi seronok. Bersama puak pembangkang dalam pilihanraya kecil memang seronok, walaupun berak tak ketahuan hala dan keadaan serba tidak selesa.

Ketika mengamin bacaan Fatihah Imam Masjid Kuala Kubu Baru setiap maghrib dan Isya tertanya-tanya juga hati, adakah sekian ramai yang ‘mengaminkan’ bacaan Fatihah itu pihak pembangkang sahaja? Jawabnya tidak. Pihak Barisan sendiri pun ada. Tapi bagaimana mereka mengaminkan Fatihah? Demikian jahatnya hati berbisik.


Mereka tidak tahu apapun apa yang mereka pegang.

Ternyata politik memberi berbagai tafsiran, termasuk dalam memahami agama. Tapi yang pasti ialah betapa ramai yang memahami politik tidak memahami tuntutan agama.

Saya percaya kemenangan BN dengan majoriti 1725 berbanding tahun 2008 pihak PR hanya mendapat 128, ramai dari kalangan Umno (bukan MIC atau MCA) sangat mengembirakan walaupun gembira itu bagi mereka tidak tahu apa maknanya dan gembira itu sampai ke mana. Yang pasti Umno bergembira kerana Kamal menang, kerana Kamal dari MIC itu komponen Barisan.

Saya sendiri yang termangu-mangu di celah-celah ribuan petugas dan orang di Kuala Kubu Baru termangu-mangu, apakah sebenarnya yang mengembirakan mereka (Umno?)

Rupa-rupanya yang mengembirakan mereka, tidak ada apa-apa selain dari calon Kamal menang kerana kerja berbaloi dengan apa yang mereka kerjakan di samping menunaikan perentah yang menabur wang.


Sudah berlalu dan orang tua ini tidak tahu untuk apa turun mengundi.

Lebih dari itu mereka tidak merasa ada apa-apa nikmat dan boleh berbangga.

Saya juga masih terfikir sekarang, apakah pengundi Melayu seramai 24,997 yang memangkah Kamal sehingga menang, sama dengan pengundi Melayu di dalam 23,272 yang memihak kepada Zaid?

Begitu juga, apakah Melayu yang ada dalam angka 23,177 di tahun 2008 yang lalu yang memihak kepada Allahyarham Dr. Zainal Abidin, sama dengan Melayu yang ada dalam 22,979 yang memihak kepada G. Palanivel?

Yang sangat mengejutkan ialah kaum Cina yang memberi sokongan 100% kepada PKR. Barangkali bukan saja saya yang tersentak, tetapi pengundi Melayu yang menyokong Kamal juga tersentak, terutama pengundi Melayu di felda-felda.

Bagaimanapun ada jawapan yang mungkin bukan jawapan bersifat cerdik pandai atau penganalisis politik. Hanya sanya itulah gambaran jauh dekat, tinggi rendah, mentaliti pengundi Melayu. Itulah sahaja sukatan yang mampu diukur oleh orang Melayu yang dianggap layak bertateh ke saluran 1,2.

“Islam apa minum arak?” itulah mentaliti orang Melayu, terutama perempuan-perempuan di pihak Barisan Nasional, sambil menjulang gambar calon India (MIC) untuk menarik sokongan pengundi yang hendak masuk ke perkarangan mengundi.


Yang di pandang bukan orang tapi masa depan.

Tapi saya tidak pula mendengar itu di kawasan Felda. Di sana terdengar ucapan rasa syukur kerana penantian sekian lama, kini sudah terletak di tapak tangan, selain menunggu bankdraf RM50,000.

Jadi apa yang digusarkan apabila BN dapat merampas semula dari PKR?

Tapi apapun yang sangat jelas betapa orang Melayu masih dalam keadaan mengeliat membaca nasib bangsanya dan masih menunggu sesebuah janji. Kelemahan inilah yang digunakan oleh sesiapa saja untuk mengekalkan kuasa. Hal ini akan terjadi juga kepada PR jika PR memerintah sekalipun sekiranya sikap dan cara berfikir orang Melayu tidak berubah dan mahu diubah oleh pemimpin.

Golongan orang Melayu seperti di Felda, atau pekebun kecil, penoreh, peniaga kecil sebenarnya takut kepada kehidupan yang mereka alami sekarang dan kesenangan, masa depan bagi mereka berada kepada orang yang berkuasa.

Saya tidak berhasrat tidak menghormati kemenangan BN. Tetapi tentu sekali sedih kerana orang Melayu mengambil sikap ‘sedar’ dalam keadaan terdesak dan memiliki kesedaran dalam keadaan sedang tetapi akan ‘berpada-pada’ ketika ia digula-gula.

Kenapa bangsa Cina tidak begitu? Saya melihat ini kerana tanggung jawab pemimpin kedua-dua bangsa ini berlainan. Peranan dan tanggung jawab pemimpin Melayu terhadap bangsanya hanyalah tanggung jawab mengekalkan kuasa, bukan mencerdikan bangsa. Pintu kekritisan, pintu berfikir, malah apa lagi pintu bertindak tidak pernah dibuka. Jika hendak terbuka, ia cepat-cepat dipalam.

Ulu Selangor hanya pada nama sebagai kawasan terpencil dan ketinggalan. Sebenarnya tidak. Tetapi apabila beberapa ribu orang Melayu yang tinggal di daerah yang dikatakan ‘ulu’ ini, di sinilah kesempatan diambil agar orang Melayu tidak bangkit. Orang Melayu akan di suruh diam-diam dan jika hendak bangkit juga, satu sogokan mestilah diberi.

Ternyata hal ini menjadi. Ternyata orang Melayu terima. Maka jika ini menjadi permulaan analisis, elok sekali hal ini dibetulkan.

Malam terakhir penerangan PKR di Mini Stadium sangat baik. Prenuh dengan huraian fakta dan hujah. Tetapi fakta dan hujah yang baik tidak semestinya diterima dengan baik. Kegagalan PKR dan juga Pas ialah tidak membaca dari peristiwa yang lalu, 50 ribu yang hadir bukan pengundi. Jadi untuk apa mereka menyemak kawasan ceramah sahaja?


Yang dipegang ini ialah iklan ayam sembelih.

Ketika pulang saya berhujah dengan kawan-kawan. Ceramah memang baik tapi kita gagal memberi rakyat faham apa itu servis caj, sebab pembeli yang membeli tidak mengambil nilai atau harga barang tetapi membeli dengan kuantiti barang. Kenaikan minyak dulu, rakyat bukan membeli minyak menggunakan liter, tetapi menggunakan ringgit. Dia membeli RM10, RM5 sedangkan dia tidak tahu nilai RM10 atau RM5 itu banyak mana?

“Islam apa minum arak!” saya tetap ingat laungan wanita Umno di peti undi Kelompang. Dan waktu yang sama saya akan tetap ingat, bagaimana wanita Umno itu memeluk poster Kamal, calon MIC yang seolah-olah kalau tak Islam, apapun diizinkan.

Zaid rekod kelebihan undi 6 ganda di DUN KKB

Zaid menerima sokongan padu daripada komuniti Cina di dalam PRK Hulu Selangor.

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 27 April: Pakatan Rakyat, yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor kelmarin, telah mencatatkan peningkatan kelebihan undi membabitkan kawasan Dewan Undangan (DUN) Kuala Kubu Baru, yang majoriti pengundi merupakan masyarakat Cina.

Peningkatan ketara undi itu dikatakan telah menghalang Barisan Nasional (BN) daripada memperoleh majoriti lebih besar.

BN mengharapkan majoriti lebih 6,000 undi.

Calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim memperoleh lebih 2,030 undi berbanding calon BN P. Kamalanathan.

Zaid dan Kamalanathan masing-masing menerima 7,194 dan 5,164 undi daripada pengundi bahagian DUN Kuala Kubu Baru.

Dua tahun lalu calon Pakatan Rakyat, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad hanya mencatatkan lebih 344 undi dari bahagian itu.

Pada 8 Mac 2008 Allahyarham Zainal memperoleh 6,146 undi untuk menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menerima 5,802 undi.

Kuala Kubu Baru merupakan salah satu daripada tiga kerusi DUN yang terdapat dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor yang menyaksikan pilihan raya kecil ekoran kematian Zainal bulan lalu.

Di DUN Kuala Kubu Baru, 45.1 peratus daripada 18,040 pengundi adalah kaum Cina dan diikuti oleh Melayu 30 peratus, India (22 peratus) dan Orang Asli pula 1.7 peratus.

Antara daerah mengundi yang memihak kepada Pakatan Rakyat ialah Kampung Baru Cina, bandar Kuala Kubu Baru sendiri, Kampung Baru Rasa, pekan Rasa, Kampung Baru Batang Kali, Ladang Kerling dan Hulu Yam Lama.

Analisis awal menunjukkan Pakatan Rakyat menerima peningkatan undi daripada masyarakat Cina sehingga menimbulkan persoalan mengapa pengundi kaum ini tidak memberi sokongan kuat kepada BN.

Ekoran situasi itu Perkasa meminta kerajaan pusat BN menangguhkan bantuan dan peruntukan kepada masyarakat Cina.

Peratusan undi kaum Cina di Hulu Selangor kepada BN dikatakan kurang daripada 30 peratus, lebih kecil berbanding prestasi tahun 2008.

Bagaimanapun BN memenangi bahagian Batang Kali, yang menawarkan 29,026 pengundi, daripada “penguasaan” Pakatan Rakyat dua tahun lalu.

Kali ini calon BN menerima 11,820 undi berbanding Zaid 10,519 yang bersamaan dengan perbezaan 1,301 undi di Batang Kali.

Dua tahun lalu Zainal menguasai undi kawasan DUN Batang Kali dengan menerima 11,407 berbanding Palanivel 9,618 undi. Kelebihan undi Zainal dari kawasan itu ketika itu ialah 1,789 undi.

Seramai 59 peratus pengundi di Batang Kali merupakan orang Melayu, India pula 20 peratus, Cina (19.7 peratus) dan Orang Asli 1.1 peratus).

Bahagian DUN Hulu Bernam yang lazimnya dianggap sebagai kubu sokongan bagi Umno terus memperlihatkan arah aliran undi kepada calon BN.

Hulu Bernam menyumbangkan undi dari kawasan Felda, antaranya membabitkan daerah mengundi Kampung Sungai Dusun dan Kampung Sungai Tengi Selatan.

Zaid pula memperoleh sokongan daripada pengundi di daerah mengundi Kampung Baharu Kalumpang dan Kampung Hulu Bernam.

Dalam pilihan raya kecil kelmarin, calon BN menerima 7,246 undi di Hulu Bernam berbanding 6,855 undi diterima Palanivel dua tahun lalu, meningkat 391 undi.

Bagaimanapun undi diterima calon Pakatan Rakyat kali menurun 31 undi berbanding 5,470 pada Mac 2008.

Hulu Bernama terdiri daripada 17,434 pengundi dengan 66.4 peratus merupakan pengundi Melayu, Cina (17 peratus), India (15 peratus) dan Orang Asli pula 0.5 peratus).

-malaysianinsider-

BN bukan lagi parti masa depan - Mustafa

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 27 April:
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Barisan Nasional (BN) bukan parti masa depan selepas hanya menang di kawasan terkawal seperti Felda dan kawasan miskin seperti Orang Asli.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat yang diwakili calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim memenangi kawasan bandar dan pinggir bandar serta kawasan masyarakat Cina yang terdedah kepada banyak media.

“Saya yakin, ini kemenangan sementara BN dan kita akan menang dalam pilihan raya umum sebagaimana Pendang dan Ijok,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, sebentar tadi.

Justeru, katanya angin perubahan yang dikatakan oleh pemimpin Umno/BN tidak berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu.

Ini, ujarnya kerana tidak berlaku pengurangan undi kepada calon Pakatan Rakyat daripada PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

Pada pilihan raya kecil itu, Zaid mendapat 23,272 undi berbanding 23,177 yang diperolehi allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada pilihan raya umum lalu yang berjaya menewaskan Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi
.

BN yang menang, Perkasa Pulak Mabuk Taik......alahai.....

 Al-Brangi
Semasa di Surau tadi, ada dua tiga kerat Umno karat sedang bersembang-sembang pasal PKR kalah PRK Hulu Selangor semalam. Pada mulanya saya malas nak campur, sebab dua tiga kerat itu adalah Umno totok, tapi bila dah berlebih-lebih sangat kutuk macam tak ngaji tinggi, mulalah telinga jadi panas.

Yang sorang tu kata, "Aku sokong Brahim 'Perkasa' tu kata, tangguh dulu bantuan pada kawasan kaum cina yang tak sokong BN."

Bercakap sesedap hati dia je. Dia ingat dia sorang je bayar cukai. Orang Umno ni ingat, Malaysia ni dia punya ke? Khazanah negara ni Umno punya ke? Segala Agensi Kerajaan ni Umno punya ke?

Hulu Selangor buktikan BN sudah tidak ada harapan

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 27 April: Jika trend pengundian di Hulu Selangor berterusan hingga pilihan raya umum ke-13 nanti, Barisan Nasional (BN) tidak ada harapan lagi untuk memerintah semula Selangor, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu (gambar).

"Jika trend pengundian dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April lalu menyeluruh di seluruh negara dan kekal sedemikian sehingga pilihan raya ke-13, Pakatan Rakyat (PR) akan kekal sebagai Kerajaan Negeri Selangor.


"Ia juga bermakna Pulau Pinang akan terus diperintah PR, Perak akan terlepas lagi dari cengkaman BN dan mungkin Negeri Sembilan juga akan terlepas dari cengkaman BN," katanya.


Walaupun tidak menolak kemungkinan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor akan terlepas daripada PR, Mohamad menjangka lebih banyak kerusi Dun di negeri itu akan dapat dikuasai oleh PR dengan trend pengundian seperti itu.


Beliau juga melihat pilihan raya kecil Hulu Selangor itu memperjelaskan lagi bahawa isu dan sentimen perkauman amat dominan di kalangan para pengundi Melayu.


"Para pemimpin Umno berjaya memberikan gambaran kepada majoriti pengundi Melayu bahawa BN itu Melayu dan Melayu itu BN. Sebab itulah mereka mengundi BN," katanya.


Beliau juga melihat cabaran yang lebih besar kepada PAS di masa akan datang untuk menyedarkan rakyat mengenai pengkhianatan Umno dan BN terhadap orang-orang Melayu sejak negara belum mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.


"Saya menyatakan begitu kerana majoriti pemimpin dan ahli PAS adalah orang-orang Melayu dan oleh kerana itu, PASlah yang memikul cabaran paling besar untuk menyedarkan orang-orang Melayu tentang tipu muslihat Umno yang menggunakan perkauman sempit untuk mengekalkan kuasa mereka," katanya.
Orang-orang Melayu, katanya, hendaklah dibebaskan daripada pemikiran sesat yang menyandarkan kepentingan Islam dan Melayu kepada Umno.


"Bertawakkal hendaklah kepada Allah, bukan kepada Umno. Malangnya, ada di kalangan pemimpin politik Melayu pun yang meletakkan Umno sebagai tempat bertawakkal kononnya untuk menjaga kepentingan Melayu dan Islam," kata Mohamad.


Beliau tetap optimis PR akan terus menawan hati rakyat jika para pemimpinnya memperlihatkan pentadbiran kerajaan yang bersih dari rasuah dan penyelewengan, hidup sederhana dan tidak bermewah-mewah dengan wang rakyat serta menjimatkan perbelanjaan negeri-negeri yang diperintah untuk dipulangkan kepada rakyat dan kepentingan mereka.


Mohamad juga mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin dan ahli-ahli PAS di peringkat kawasan-kawasan yang bekerja bersungguh-sungguh untuk membantu PR dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor itu.

Umno maki saya, Tok Guru nasihat bersabar - Zaid

Dzulfikar Mashoor
HULU SELANGOR, 24 April:
"Saya dicerca dan dimaki oleh Umno, Tok Guru (Nik Aziz) dua kali telefon saya dan menasihati saya, bersabar, bersabar, bersabar dan kita berdoa," kata calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa terharu atas sokongan moral yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

"Saya amat gembira sekali, saya berasakan begitu terharu dengan sokongan Tok Guru," ujarnya lagi sambil memandang muka Nik Aziz pada sidang media di Rumah Rehat Daerah Kuala Kubu Baru, malam tadi.

Bercakap pada sidang media itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta seluruh pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor mengundi calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, esok sebagai menolak politik perkauman Umno/BN.

Dengan menolak politik perkauman sebagaimana yang dituntut dalam Islam, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, manusia tidak akan menghadapi masalah walaupun mereka terdiri oleh pelbagai bangsa.

"Dalam Islam menyebut, semua manusia berasal daripada seorang bapa dan seorang ibu, bapa namanya Adam, ibu namanya Hawa, bila saya sebut tentang bangsa manusia, maka tidak timbul masalah bangsa," jelas beliau.

"Daripada Adam dan Hawa inilah lahirnya anak cucu, bertaburan di seluruh dunia, ada yang jadi Arab, ada yang jadi Melayu, ada yang jadi Cina, ada yang jadi Australia dan ada yang jadi Afrika, sebab itulah tak timbul masalah bangsa."

Bertitik tolak atas asas menolak politik perkauman tersebut, beliau menjelaskan tujuan beliau turun berkampung di Hulu Selangor sehingga selesai tempoh berkempen, hari ini.

"Saya datang sini untuk berkempen Pakatan Rakyat. Saya datang bukan dengan nama bangsa Melayu, saya datang dengan nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

"Insya Allah, saya harap demo (kamu) semua boleh mengundi Pakatan dan Datuk Zaid," jelas beliau lagi.

Ditanya tentang politik adu domba menyerang peribadi Zaid, Nik Aziz menganggap Umno/BN mengamalkan politik budak-budak yang bersifat bodoh.

"Ini kerja budak-budak, dia (Umno/BN) tak boleh lawan hujah (maka) dia serang peribadi (Zaid). Ini suatu perkara yang memalukan, memalukan politik Malaysia.

"Macam budak-budak kecillah, kalau boleh bertumbuk, dia akan bertumbuk. Kalau tak boleh tumbuk, dia lari mencebik (menjelir lidah). Itu semata-mata nak lepaskan," ujarnya.

Pilihan Raya Kecil Mengapa pengundi Cina mesti memberikan undi kepada Zaid Ibrahim

Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini memberikan 7 alasan mengapa pengundi Cina mesti memberikan undi kepada Zaid Ibrahim. Alasan tersebut ialah :

1. Hegemoni Umno di dalam BN sebagaimana ditunjukkan pada perbahasan parlimen ketika usul menghadapkan Anwar Ibrahim kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen, di mana hanya ahli Parlimen Umno sahaja dibenarkan mewakili BN.

2. Usul Bekas Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat Transport Minister Ong Tee Keat ditolak kerana berlakunya pilihanraya kecil Hulu Selangor

3. Timbalan Perdana Menteri menyatakan Melayu pertama (Malay First), namun tiada pemimpin MCA yang menentang.

4. Tiada seorang pun pemimpin MCA bangun menentang PERKASA yang mengamalkan perkauman sempit.

5. Kerajaan Pusat (BN) menolak penambahan sekolah jenis kebangsaan Cina.

6. Kerajaan Pusat (BN) tidak mahu mengiktiraf 'Unified Examination Certificate' yang dikeluarkan oleh Sekolah Persendirian Cina.

7. Penerbit rancangan 'talkshow' NTV7, Joshua Wong meletakkan jawatan kerana memprotes campurtangan politik yang mencemarkan kebebasan media.

Rasuah Bermaharajalela Di Hulu Selangor

Dzulfikar Mashoor

Walaupun Umno/BN dalam pusingan akhir berkempen melambakkan wang rasuah kepada para pengundi, calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mengingatkan jentera dan rakyat supaya terus komited menolak gejala rasuah.

“Sekali lagi, saya nak ingatkan kita (Pakatan Rakyat) tak perlu bimbang, kita tak perlu takut untuk terus memupuk kepercayaan kepada pengundi.

“Rakyat di Hulu Selangor pun, saya yakin tidak bersedia menerima rasuah,” jelas beliau pagi tadi di Pusat Media dan Informasi, Kuala Kubu Baru.

Beliau yang juga seorang Koordinator Pakatan Rakyat berkata, sekiranya kuasa rasuah dan politik wang Umno berkesan dalam pilihan raya tanah air, maka sudah tentu kesemua 222 kawasan Parlimen di Malaysia telah pun dimenangi oleh Umno/BN.

“Kalau rasuah boleh memenangkan mana-mana calon BN, maka kesemua Parlimen jadi milik mereka, mengapa ada ahli Parlimen pembangkang sekarang ini,” soalnya.

Tambahnya lagi, keputusan rakyat memilih kesemua 80 ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) sebenarnya demi menyelamatkan Malaysia daripada terus dibinasakan oleh gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Bercakap di depan lebih 20 wartawan di sini, beliau sendiri terpaksa mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan ketidakbebasan mahkamah di Malaysia serta penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara zalim.

Dalam pada itu, beliau dilihat seakan menyindir Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran berleluasanya amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa pada pilihan raya kali ini.

“Nampaknya saya dalam pilihan raya kali ini terpaksa berlawan dengan individu yang dianggap terkaya di Malaysia (Nazir), adik kepada Najib,” jelas beliau dalam nada yang kesal.

“Saya juga terpaksa berdepan dengan Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, itulah yang saya perlu hadapi kalau mereka amalkan rasuah di Hulu Selangor.”

Sebelum itu, Ketua Strategik PKR, Tian Chua mendedahkan tentang beberapa kes sogokan bernilai RM1,000 kepada keluarga tertentu di Hulu Selangor yang membabitkan individu yang dipercayai jentera Umno/BN.

“Keluarga tertentu ada yang dah terima sejumlah RM1,000 dan ada yang menerima lebih dari itu,” jelas beliau.

Dengan dua hari lagi untuk berkempen, beliau menasihatkan supaya jentera Umno/BN kembali mengamalkan kempen politik yang lebih beretika dan bermaruah kerana pilihan raya kecil kali ini diadakan bukannya untuk memilih Ketua Cawangan Umno.

Sebaliknya, menurut beliau, pilihan raya kali ini untuk memilih seorang ahli parlimen yang benar-benar berani lagi ikhlas untuk mewakili rakyat Hulu Selangor di Dewan Rakyat kelak.

Turut menyertai Zaid dan Tian adalah Fuziah Salleh, Pengarah Pilihan Raya PKR dan Latheefa Koya, Ketua Penerangan PKR.

Pilihan Raya Kecil Betulkah Umno geli-geleman dengan arak?

Mat Zain Mat Isa

Memang tidak sayugia bagi mana-mana orang mendakwa semua pemimpin Umno terlibat dengan pengambilan najis . Malah satu tuduhan amat berat jika ada yang mengatakan sebahagian besar pemimpin besar-besar dalam Umno ada tabiat suka minum arak. Selain ia sukar dibuktikan dengan saksi dan fakta, ia juga satu generalisasi agak keterlaluan.

Orang Umno pada asalnya hanyalah Melayu. Sebab itu tidak ada yang tidak Melayu di dalam Umno, melainkan hanya Melayu. Bermula dengan syarat keahliannya hinggalah kepada isu-isu diperjuangkannya, semuanya hangit dengan semangat Melayu.

Oleh kerana di negara kita ini sudah ratusan tahun orang Melayu diautomatikkan sebagai Islam, maka pada asasnya kita boleh kata orang Umno itu Islam. Sebab itu mereka sangat marah apabila timbul isu kafir-mengkafir suatu ketika dulu.

Walau pun ketika itu para pemimpin Umno lantang menolak hukum Tuhan, mencerca ulama, malah secara terbuka menganjurkan perkara maksiat dan dosa besar, mereka tetap mendakwa mereka orang Islam yang taat. Pantang dilabelkan mereka kafir, hampir kiamat dunia dibuatnya.

Isu kafir-mengkafir itu hanya dihentikan manipulasinya oleh Umno setelah seorang demi seorang para ustaz yang lantang mengkafirkan Umno dulu berhijrah menyertai Umno. Mudahnya Umno memaafkan mereka.

Sensitiviti orang Umno terhadap label kafir juga semakin menurun. Apatah lagi setelah mereka sedar syarat keahlian parti itu tidak memestikan hanya orang Islam layak menyertainya.

Dalam beberapa dekad kebelakangan ini pula konsep Melayu dalam keahlian Umno itu diperluaskan menjadi bumiputera. Antara sebabnya ialah setelah parti tua itu merasa semakin kehilangan sokongan dan dokongan bangsa Melayu. Ia terpaksa meliberalkan takrif Melayu itu bagi membolehkan kaum-kaum lain membantu menongkat parti itu daripada terjelepuk ke tanah.

Maka munculllah Bumiputera Sabah, Siam Perlis dan Serani Melaka dalam parti Melayu bernama Umno. Sejak itu, apabila ada pihak mengatakan ada orang Umno makan babi, minum arak atau buat maksiat, orang Umno tidak cepat melenting macam sebelumnya.

Mereka boleh rasionalkan dakwaan itu sebagai ditujukan kepada kaum bukan Islam dalam parti mereka. Walau pun mereka tahu kata-kata itu sebenarnya turut ditujukan kepada orang Umno yang Melayu beragama Islam.

Memang bukan semua orang Umno terlibat dengan dosa besar, khususnya tabiat meminum arak. Tetapi rakyat ada beberapa catatan agak memalukan mengenai penglibatan parti Melayu itu dengan minuman tersebut.

Sebagai tulang belakang pemerintahan negara, Umno tidak boleh berlepas tangan dari segala urusan kerajaan. Antaranya ialah meluluskan industri pengeluaran arak dalam negara, sehingga Malaysia yang terkenal sebagai negara Islam contoh, juga di masa sama termasyhur sebagai salah sebuah negara pengeluar arak dunia.

Pengiktirafan itu terbukti apabila Guinness Anchor, syarikat pengeluar jenama arak tersohor pada September lalu memilih negara kita sebagai salah satu lokasi sambutan sedunia meraikan ulangtahun ke-250 kejayaan industri arak jenama tersebut. Barangkali ada para pemimpin Umno kembang hidung apabila Kuala Lumpur diletakkan sebaris dengan Dublin dan New York selaku ibukota penganjur minuman memabukkan itu?

Tahap pengambilan arak di negara kita juga dikatakan antara yang tertinggi di dunia. Jumlah tong arak digunakan dalam setahun dinisbahkan kepada jumlah penduduk menghasilkan purata penggunaan arak yang mengalahkan sebilangan negara maju di Barat.

Sebetulnya tabiat meminum arak di kalangan rakyat negara kita bukan amalan baru. Suatu ketika dulu kita difahamkan arak menjadi minuman rasmi di majlis-majlis kerajaan. Hanya setelah PAS berada di dalam Barisan Nasional (BN), tradisi bercanggah dengan ajaran agama itu berjaya dihentikan.

Wajar diakui jasa parti Islam itu mengusulkan kerajaan menghentikan tradisi menghidangkan arak di majlis rasmi kerajaan. Cadangan itu diterima setelah dibahas dan dibantah keras pemimpin BN lain, termasuk dari Umno.

Malah kita diberitahu, bagi meraikan kaki-kaki botol itu, kerajaan membenarkan arak dihidangkan di bilik khas. Agaknya keadaan ketika itu samalah sebagaimana kaedah mengadakan bilik khas untuk perokok di beberapa premis tertentu sekarang ini.

Pernah seorang pemimpin PAS yang ketika itu turut dilantik menganggotai kabinet bercerita bagaimana sinisnya para pemimpin Umno memperli pemimpin PAS dalam hal itu. Kata pemimpin Umno itu, “you (pemimpin PAS) tak boleh masuk bilik ni ya (bilik khas peminum arak), ia eksklusif untuk kami. Tempat you di bilik lain.”

Kes itu antara yang menyerlahkan keakraban pemimpin Umno dengan minuman memabukkan itu. Sebab itu apabila ada seorang menteri besar Umno pada dekad 80-an dulu ke majlis rasmi kerajaan terhoyong-hayang dalam keadaan mabuk dan memakai pakaian ala-Mexico, cerita memalukan itu hanya menjadi bahan tawa. Umno sedikit pun tidak rasa terganggu dengan episod ala-Mantoya itu.

Seorang pemimpin Umno lain di ibukota yang pernah dilantik menjadi timbalan menteri, tidak sah menyebut namanya tanpa menambah perkataan “Brandy” di belakangnya.

Apakah kes-kes sebegitu sudah menjadi lipatan sejarah dan para pemimpin Umno kini sangat geli geleman dengan arak? Bukan mudah untuk rakyat percaya hakikat itu!

Nik Aziz: Serangan peribadi 'kerja bodoh'

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan menyerang peribadi calon PKR Datuk Zaid Ibrahim sebagai perbuatan "orang yang tidak ada modal" untuk berkempen dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Mursyidul am PAS itu menyifatkannya sebagai satu "kerja bodoh dan kebudak-budakan".

"Calon ini (Zaid adalah) calon parti, Kalau Umno ada modal, serang parti lah, jangan serang tubuh (peribadi individu). Ini kerja bodoh, ini kerja budak-budak.

"Ini calon parti. Parti A dan Parti B. Parti A lawan Parti B. Parti B lawan parti A. Jangan serang peribadi.

"Macam budak budak kecil lah, kalau dia boleh bertumbuk, dia bertumbuk. Kalau tak boleh bertumbuk, dia jebeh (menjelir lidah), dia meludah. Itu semata-mata nak lepas geram, tanda dia tak boleh jawab," katanya sambil menjelir lidahnya sedikit menyebabkan kira-kira 50 wartawan termasuk hadirin ketawa.

Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung perbuatan menyerang peribadi Zaid yang didakwa seorang peminum arak tegar dan berjudi, dalam kempen pilihan raya.

"Ini satu perkara yg memalukan. Memalukan politik Malaysia," katanya di Kuala Kubu Baharu malam ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Zaid, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pemimpin DAP Lim Kit Siangdan naib presiden PKR Azmin Ali.

Dalam sidang media yang sama juga, Nik Aziz turut menempelak Jabatan Agama Islam (JAIS) yang melarang pemimpin politik berceramah di masjid untuk kepentingan politik.

"Siapa ajar tak boleh cakap politik dalam masjid. Allah memerintah manusia dengan keadilan. Keadilan ada urusan politik, dibaca dalam al-Quran, dalam masjid," katanya sambil membaca sepotong ayat al-Quran.

"Allahu Akbar, kita azan, ini politik. Mengajak orang ramai pergi ke masjid, ini politik... Ini kerja-kerja saki baki ajaran penjajah barat yang mengasingkan ajaran agama dan politik... Ini adalah ajaran karut yang ditinggalkan oleh Inggeris yang diterima oleh manusia Muslim. (Saya) rasa dukacita," katanya.

Dalam sidang media yang sama, Zaid yang juga bekas menteri kabinet menjelaskan bahawa beliau amat menghormati kealiman dan ketinggian ilmuan menteri besar Kelantan itu.

Menurutnya, beliau amat terharu apabila Nik Aziz menelefonnya sebanyak dua kali dari Mekah, memintanya bersabar ketika berdepan dengan serangan peribadi terhadapnya di Hulu Selangor.
-malaysiakini-

Chegu Bard Ditahan Polis

SB sedang memeriksa kenderaan yang dinaiki Sofi
Pegawai polis sedang menerangkan tentang penahanan Chegu Bard
Chegu Bard dan rakan-rakan sedang dibawa berjumpa dengan pegawai penyiasat

Sebentar tadi Chegu Bard dan rakan-rakan SAAM di tahan polis berkenaan 1 laporan yang di buat oleh polis semasa penamaan calon tempoh hari.

Umno/BN takut poster gergasi Teoh Beng Hock

Dzulfikar Mashoor
HULU SELANGOR, 23 April:
Takut ‘mood’ pengundi Cina pergi kepada Pakatan Rakyat, beberapa pemuda yang mendakwa diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diarahkan untuk menurunkan sehelai kain rentang gergasi mendiang Teoh Beng Hock di Kuala Kubu Baru menuju Batang Kali.

Sejurus kain rentang tersebut diturunkan, Lee Kai Loon, Ketua Penerangan AMK meminta kumpulan terbabit menjelaskan atas arahan siapa gambar gergasi mendiang Beng Hock tersebut diturunkan.

Mewakili kumpulan terbabit, Saiful Rizza berkata, beliau mendapat arahan rasmi daripada Pegawai Daerah (DO) Nor Hisham Ahmad Dahlan untuk menurunkan gambar gergasi tersebut.

Namun, beliau gagal memberikan nombor telefon Nor Hisham tersebut apabila segelintir orang tempatan berbangsa Cina mendesak beliau untuk bercakap sendiri dengan pegawai daerah tersebut.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut dilihat berkali-kali menafikan bahawa kumpulannya itu sebenarnya membantu secara tidak langsung jentera Umno/BN di Hulu Selangor.

Suasana tiba-tiba menjadi kecoh apabila rakan-rakan Saiful bertindak mahu merampas kain rentang gergasi yang sedang dilipat oleh beberapa penduduk tempatan terbabit.

Melihat kejadian itu, Kai Loon sekali lagi tampil mempersoal kewajaran mereka menurunkan gambar Beng Hock.

“Mengapa takut dengan gambar Beng Hock? Kawan saya ini sudah mati dibunuh.

“Kenapa perlu takut dengannya? ” beliau bertanya sambil diperhati oleh Tuan Wai, pegawai polis.

Menurut Saiful, kain rentang tersebut berunsur provokasi serta tiada kaitan dengan calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, iaitu Datuk Zaid Ibrahim (Pakatan Rakyat) dan P. Kamalanathan (MIC).

Dakwa Kai Loon lagi, alasan yang diberikan Reza itu adalah tidak munasabah kerana gambar mendiang Beng Hock hanya satu saja di situ.

Sedangkan, menurut Kai Loon, gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh didapati di sepanjang jalan di Parlimen Hulu Selangor, walaupun kedua-dua pemimpin BN tersebut bukanlah calon di P.094.

Tambah Kai Loon lagi, gambar gergasi itu dinaikkan oleh orang tempatan yang mungkin tidak berpuas hati dengan inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis sendiri ketika menyiasat kes kematian misteri mendiang Teoh sebelum ini.

Mendengar hujah Kai Loon, Saiful bersama empat pegawai yang lain membatalkan niat untuk merampas kain rentang gergasi tersebut.

Mereka kemudiannya meninggalkan tempat kejadian tanpa membuktikan bahawa tindakan mereka menurunkan kain rentang tersebut adalah atas arahan rasmi pegawai daerah.

Seorang warga emas, Yap Ah Peng, 56, yang sejak dari awal menghalang kumpulan terbabit menurunkan gambar gergasi mendiang Teoh memberitahu Harakahdaily bahawa beliau telahpun menasihat kumpulan terbabit supaya tidak menurunkan gambar gergasi Teoh.

“Ini orang Cina punya agama, kalau satu orang sudah mati, dia punya semangat tidak boleh dikenang.

“Maka, orang awam tidak boleh ganggu ganggi (gambar) dia sebab itu kita sudah memberi amaran kepada dia supaya jangan turun gambar kita naikkan,” ujarnya.

Seorang penduduk tempatan, Ah Sang yang lain pula memberitahu Harakahdaily bahawa tulisan Cina pada gambar gergasi Beng Hock tersebut bukanlah berunsur provokasi.

“Tulisan itu adalah ‘Berilah keadilan kepada Teoh Beng Hock’ dan ‘Siapa dia pembunuh sebenar mendiang Teoh’,” ujarnya.

Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Zainuddin dalam suatu kenyataan media yang lain turut bersetuju dengan beberapa pertikaian oleh penduduk terbabit.

“Gambar ini bukan PKR yang naikkan, bukan BN yang naikkan, kalau selepas ini rakyat nak naikkan gambar (mendiang) Altantuya (sebagai) mesej protes pada pihak tertentu sekalipun, baik SPR, BN dan Pakatan Rakyat tidak boleh halang. Ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kali ini, ia mungkin protes pihak tertentu saja,” jelas beliau.

53% Melayu Sukar Berubah.

mohdnoorawang
Pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi tamat tempuh kempen kedau parti yang berkempen. Walaupu medai milik pengampu kerajaan BN/UMNO mendahului kemenangan sebelum hari buang undi. Dari pergerakan polar dan mod pengundi bangsa Melayu di Hulu Selangor yang mendominan kemenangan calun yang bertanding teramat sukar memembri undi kepada PKR. Dengan lain perkataan pengundi Melayu di Hulu Selangor tetap memberi undi dan sokong BN/UMNO/MIC/MCA.

Jika kaum Melayu tidak bangkit di Hulu Selangor kearah reformasi politik yang terbuka peluang PKR untuk menawan semula kerusi Parlimen Hulu Selangor tidak akan berjaya. Bukan memperkecilkan pehak pakatan rakayat /PKR, hakikatnya jelas dan memang menjadi halangan utama jika bangsa Melayu tidak memberi undi kepada calun PKR dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor. Untuk memperolehi kemenangan yang mudah PKR perlu memperolehi 55% hingga 60% pengundi Melayu mengundi PKR sebagai jalan selamat untuk PKR.

Dengan hati pasrah kami merayu seluruh pengundi di Hulu Selangor terutama bangsa Melayu agar keluar mengundi beramai pada hari mengundi dan memeberi undi calun PKR. Bagai kaum atau Bangsa China yang cerdik politik dan bangsa India yang faham politik secara terbuka ayuh berilah sokongan dan undi kepada calun PKR. Jika bangsa Maelayu, Bangsa China dan Bangsa India berkabung tenaga tangan dan memangkah calun PKR, nescaya tumbanglah BN/UMNO/MIC/MCA sebagai sebuah parti rasuah yang berkiblatkan Yahudi.

Pengundi hantu: 201 Pengundi yang berumur 90 tahun ke atas diragui

Syed Mu’az Syed Putra

HULU SELANGOR, 23 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang ini mendakwa kewujudan pengundi hantu di bahagian Parlimen Hulu Selangor — dua hari sebelum hari pengundian — selepas mendapati terdapat kepincangan dengan maklumat diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh, pihaknya telah mendapat senarai pengundi yang berumur 90 tahun ke atas dalam Parlimen Hulu Selangor yang tidak diketahui sama ada masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

“Kita telah mengenal pasti 201 nama dalam daftar pemilih yang berumur 90 tahun ke atas dalam Parlimen Hulu Selangor yang kita tidak tahu masih hidup ataupun tidak.

“Kita telah mengesahkan sebanyak 10 nama yang telah disahkan meninggal dunia tetapi masih ada dalam daftar pemilih, malah kita telah mengesahkannya dengan keluarga mereka.

“Jadi ini menunjukkan satu lagi kepincangan dan ketidaktelusan SPR yang sebelum ini telah mengatakan bahawa daripada Disember 2009 hingga April 2010, mereka telah mengemas kini dan membersihkan sebanyak 558 nama dari daftar pemilih,” katanya pada sidang media di Kuala Kubu Baru dekat sini.

Beliau berkata SPR telah mengeluarkan data-data pengundi yang telah mati selain telah berurusan secara terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai perkara itu.

Fuziah Salleh.

“Tetapi kita masih menemui 201 nama pengundi yang berumur 90 tahun ke atas yang kita tidak tahu mereka masih hidup ataupun tidak.

“Kita berpendapat individu yang berumur 90 tahun ke atas pasti sudah tua, tidak sihat ataupun sudah meninggal dunia.

“Jadi kita terpaksa memastikan status mereka dengan turun kebawah untuk berjumpa dengan keluarga bagi mengesahkannya,” katanya.

Ahli Parlimen Kuantan itu berkata pihaknya tidak yakin dengan SPR sebab itu terpaksa mengambil tanggungjawab untuk mengenal pasti status pengundi-pengundi yang terbabit.

“Kita tidak yakin dengan SPR sebab itu kita kena pastikan dengan turun ke bawah dan berjumpa mereka.

“Ini bukan fokus tetapi kita kena tunjukkan penipuan SPR kepada umum dan kita masih mengenal pasti pengundi-pengundi ini.

“Selain itu, kita memberi amaran kepada SPR bahawa kita mempunyai semua maklumat tentang perkara ini.

“Kita juga nak memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) supaya jangan berani membawa masuk hantu-hantu untuk datang mengundi kerana kita sedang mengawasi,” katanya lagi.

-malaysianinsider-

Bekalan elektrik terputus di tapak himpunan Felda

Harakahdaily
HULU SELANGOR, 23 April:
Tiga kawasan Felda di Hulu Selangor terputus bekalan elektrik sejak jam 1 tengahari tadi. Ia dibimbangi kalau-kalau ia dibuat untuk mensabotaj program Himpunan Anak-anak Peneroka Felda yang sedang berjalan di Desa Maju, Felda Sungai Tengi.

Ekoran ketiadaan bekalan elektrik itu, beberapa program yang dirancang dalam perhimpunan ini terpaksa dibatalkan.

Namun begitu, pihak penganjur perhimpunan ini, iaitu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) telah menguruskan generator bergerak untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik ini.

Malam ini, tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat akan turun memberikan ceramah di majlis perhimpunan yang diadakan di pusat atau medan Felda Sungai tengi ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bergabung dengan Haji Muhamad Sabu di samping calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim akan memberikan ucapan masing-masing.

Besok, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan merasmikan perhimpunan ini. Beliau akan disertai sama oleh datuk Dr Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco kerajaan negeri.

Dua kertas kerja akan dibentangkan di perhimpunan yang menurut sumber sangat dibimbangi oleh jentera pilihan raya BN.

Ini kerana, Anak, pimpinan Mazlan Aliman ini sangat memahami masalah di Felda dan bakal menaikkan semangat peneroka Felda untuk membetulkan kesilapan yang dibuat oleh Felda.

Salah satu kertas akan dibentangkan oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud yang berjaya memberikan RM11 juta kepada Peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan yang berjaya dalam saman mereka terhadap Felda.

Beliau akan memberikan tafsiran sebenar Akta GSA 1960 yang mengawal pergerakan Felda. Ia dibuat berdasarkan keputusan mahkamah terhadap saman yang beliau kendalikan bagi pihak peneroka Fekda Kemahang itu.

Kertas beliau akan diulas pula oleh aktivis yang pernah ditahan ISA kerana isu Felda iaitu Haji Suhaimi Said yang juga seorang peguam.

Satu lagi isu yang akan dibincangkan dalam himpunan ini adalah isu perahan di kilang kelapa sawit Felda. Ia akan dibentangkan oleh Razali Ithnin, bekas pegawai kanan MPOB.

Turut dibawa ke Felda ini adalah para pejuang isu Felda dari kawasan seluruh negara, Antaranya dari Lurah Bilut, Cahaya Baru dan lain-lain.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan memberikan ucapan penutup malam esok. Beliau dijangka membuat beberapa pengumuman penting untuk Felda.

Zaid di belakang, perlu 85% undi Cina

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini berkata kaji selidik dalaman menunjukkan bahawa calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim masih ketinggalan di belakang Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Katanya, P Kamalanathan masih mendahului kerana sokongan pengundi Melayu dan India.

Justeru, Zahid memerlukan sekurang-kurangnya 85 peratus undi masyarakat Cina jika ingin memenangi kerusi berkenaan.

Bercakap pada sidang media di Kuala Kubu Baharu, pagi ini, Lim berkata PKR berjaya mendapat 63 peratus undi Cina pada pilihan raya umum 2008.

“Saya menggesa bukan sahaja pekerja parti tetapi juga penyokong Pakatan bagi membantu mendapatkan undi itu," kata Lim.

Sasaran itu dikatakan sebagai antara yang tertinggi diletakkan oleh DAP selepas kejayaan menyakinkan lebih 80 peratus pengundi Cina di Bukit Gantang untuk menyokong calon PAS pada pilihan raya kecil April 2009 lalu.

Pertandingan dilaporkan semakin sengit dengan kehadiran berulang kali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Lim juga merayu kepada 8,000 ahli MCA di Hulu Selangor untuk 'berkorban diri mereka untuk kebaikan bersama' sambil memetik pepatah Cina berdasarkan lapan perkara.

-malaysiakini-

PKR yakin dapat sokongan majoriti pengundi Cina

PKR yakin tidak menghadapi masalah untuk mendapat sokongan majoriti pengundi Cina yang merupakan 26.3 peratus daripada 64,500 pengundi di Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil parlimen tersebut Ahad ini.

Hulu Selangor mempunyai 16,964 pengundi Cina, manakala pengundi Melayu berjumlah 34,020 atau 52.74 peratus, manakala pengundi India berjumlah12,453 pengundi atau 19.31 peratus.

Menurut petugas PKR, calon mereka Datuk Zaid Ibrahim mendapat sokongan majoriti pengundi Cina sepanjang kempen pilihan raya kecil setakat ini.

Berikutan itu, menurut mereka lagi, jentera PKR dan Pakatan Rakyat kini menumpu dan menggiatkan kempen bagi meraih sokongan pengundi Melayu dan India terutama di gugusan Felda, estet serta sekitar Hulu Bernam.

T
erdapat empat gugusan Felda di Hulu Bernam - Felda Soeharto, Felda Gedangsa, Felda Sungai Tengi dan Felda Sungai Tengi Selatan - yang majoritinya didiami pengundi Melayu.

Sementara itu, tinjauan
Malaysiakini di kalangan pengundi pula mendapati mereka berpendapat Zaid dan P Kamalanathan dari BN, bersaing sengit dan peluang untuk memang adalah 50-50.

"Kalau kalah pun, kalah tipis, kalau menang pun, menang tipis. Tak ada yang menang majoriti," kata seorang pengundi yang juga peniaga yang mahu dikenali sebagai Ali.

Ketika ditemui di premis perniagaannya, Ali menjangka majoriti pengundi India di Kuala Kubu Baharu akan memberikan sokongan kepada PKR kerana mereka dikatakan tidak senang dengan kepimpinan MIC di situ.

Katanya, ini berdasarkan rungutan para pelanggannya yang mahukan calon yang terbaik dan mesra rakyat yang kerap turun bertemu dan menyelami masalah rakyat.

Manakala seorang lagi pengundi yang mahu dikenali sebagai Ravi pula sependapat dengan Ali bahawa pilihan raya kecil itu menyaksikan persaingan hebat antara BN dan PKR.

Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN Datuk G Palanivel tewas kepada calon PKR Datuk Zainal Abidin Ahmad, dengan majoriti tipis 198 undi.

Bagaimanapun, ketiga-tiga kerusi DUN - Hulu Bernam, Kuala Kubu Baharu dan Batang Kali - dimenangi oleh BN.
-malaysiakini-