"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Kepala ditetak, perut dibakar

IPOH: Seorang lelaki tidak hanya ditetak berulang kali di kepala hingga mati, malah perutnya dibakar oleh penjenayah hingga hangus sebelum ditinggalkan di taman permainan kanak-kanak di sini, pagi semalam.

Mayat mangsa ditemui sekumpulan warga emas yang bersenam di taman permainan di Taman Dr Seenivasagam, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mayat lelaki dikenali sebagai M Daniel, 31, itu ditemui terbaring berlumuran darah tidak jauh dari papan selaju di taman permainan berkenaan. Mangsa yang masih lengkap berpakaian itu parah kesan tetakan senjata tajam di kepala, muka dan tangan termasuk kesan torehan pisau sepanjang 7.5 sentimeter di dahi.

Adik mangsa, M Donovan, 30, yang ditemui di Bilik Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam berkata, kali terakhir dia menemui abangnya itu kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya percaya mangsa dipukul sebelum dibunuh berdasarkan kesan kecederaan teruk ditetak senjata tajam di kepala, tangan dan muka.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, perut mangsa juga terdapat kesan terbakar.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.
-hmetro-

Wanita dibunuh kerana enggan terima lamaran

ALOR SETAR: Hanya kerana enggan berkahwin dengan teman lelakinya, seorang wanita berumur 23 tahun ditikam hingga mati di bilik sewaan lelaki itu di Taman Mahkota, Jalan Stadium di sini, malam tadi.

Mayat Ratna Sufizzah Riyanti Omar ditemui pada pukul 11 malam dengan kesan tikaman di perut, dada dan tangan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd. Jan berkata, kejadian dikatakan berlaku ekoran wanita itu menolak lamaran teman lelakinya yang berusia 50 tahun menyebabkan lelaki terbabit berang dan bertindak luar kawalan.
"Suspek yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di sini sejak sebulan lepas menyerah diri di balai polis di sini kira-kira pukul 1.30 pagi dengan membawa pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa setelah dinasihatkan oleh majikannya.
“Suspek mengenali mangsa sejak lima hingga enam tahun lepas. Suspek telah mempunyai keluarga di Johor,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
-Bernama-

Allong potong telinga dan ibu jari

TERLANTAR...Muthukrishnan kini dirawat di Hospital Selayang.
TERLANTAR...Muthukrishnan kini dirawat di Hospital Selayang.
KUALA LUMPUR: Sebahagian telinga kirinya dipotong, begitu juga ibu jari tangan kiri manakala kedua-dua tangan dan kakinya turut ditetak hingga hampir putus.

Itu penderitaan yang dilalui seorang peniaga akibat kekejaman ceti haram atau along menyebabkan dia terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang selama seminggu sebelum dipindahkan ke wad biasa, kelmarin.

A Muthukrishnan, 42, yang mengusahakan perniagaan daging kambing diserang tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai konco along di hadapan rumahnya di Bandar Baru Selayang, di sini, pada kira-kira jam 4 pagi, 23 April lalu.

Serangan ke atasnya disebabkan dia dikatakan gagal melunaskan hutang RM50,000 sedangkan dia sudah pun membayar lebih daripada RM60,000 sejak lima tahun lalu

Dalam kejadian serangan itu, mangsa yang menaiki motosikal untuk memulakan perniagaannya dihalang sebuah kereta tidak diketahui jenisnya.
-hmetro-

'Suami syaitan' belasah dan tikam isteri kerana kejutkan untuk solat Subuh

AMPANG: Seorang isteri kini terlantar dalam keadaan koma dan bertarung nyawa di hospital akibat dibelasah serta ditikam suaminya yang naik hantu selepas wanita itu menyuruhnya menunaikan solat Subuh.

Kejadian berlaku di rumah pasangan berusia 30-an terbabit di Pandan Indah Commercial Park, di sini, kira-kira jam 6 pagi semalam dan mangsa yang kehilangan banyak darah akibat cedera di perut kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku apabila suami mangsa yang tidur berang selepas dikejutkan isterinya dan disuruh mendirikan solat Subuh.

“Tindakan mangsa menyebabkan suaminya berang sebelum berlaku pertengkaran hampir 10 minit. Suaminya yang hilang pertimbangan membelasah mangsa lebih 30 minit sebelum mengarahkan mangsa jangan menyuruhnya bersolat.

“Biarpun dibelasah dan diugut demikian rupa, mangsa masih meminta supaya suaminya berubah selain menunaikan solat,” katanya.

Menurutnya, keengganan mangsa mematuhi arahannya menyebabkan suaminya bertindak lebih agresif dengan mengambil pisau dan menikam perut wanita itu.

“Mangsa terjatuh sebaik ditikam dan keadaan itu menyebabkan suaminya panik, apatah lagi selepas melihat isterinya berlumuran darah serta meraung kesakitan,” katanya.

Sumber itu berkata, bunyi bising akibat pertengkaran dan serangan suspek ke atas mangsa menarik perhatian jiran mereka, seorang lelaki berusia lewat 20-an yang bergegas ke rumah pasangan itu.

“Sebaik masuk ke rumah berkenaan yang pintunya tidak berkunci, jiran itu melihat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah manakala suaminya berdiri sambil memegang pisau.

“Terkejut dengan kehadiran jirannya, suspek segera melarikan manakala mangsa dibawa jirannya itu ke hospital dengan bantuan beberapa jiran lain,” katanya.

Difahamkan, sehingga petang semalam keadaan mangsa dilaporkan kritikal manakala suaminya yang menghilangkan diri kini diburu polis.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dilakukan.
-hmetro-

12 murid dakwa dicabul dua lelaki

KOTA TINGGI: Seramai 12 murid tahun lima dan enam sebuah sekolah di sini mendakwa dicabul dua lelaki yang mengendalikan sebuah kedai runcit berhampiran sekolah terbabit, sejak lima bulan lalu. 

Perbuatan terkutuk dua lelaki itu terbongkar setelah seorang daripada mangsa berkenaan melaporkan kejadian terbabit kepada guru sekolah. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, dua warga asing, berusia 21 dan 27 tahun itu, ditahan untuk membantu siasatan. 

Suspek dipercayai mengambil kesempatan mencabul murid terbabit sejak Oktober tahun lalu ketika mangsa membeli makanan ringan di kedai itu selepas tamat sesi persekolahan dan kelas tambahan. 

Muhammad berkata, berikutan aduan mangsa, guru sekolah terbabit telah mengumpulkan semua murid perempuan tahun lima dan enam untuk mengetahui kejadian sebenar. 

“Polis menerima laporan daripada pihak sekolah dan siasatan awal mendapati seramai 12 murid mendakwa pernah dicabul dua suspek itu sejak Oktober tahun lalu. Polis, dengan kerjasama guru, telah merekodkan percakapan mangsa. 

"Siasatan mendapati kejadian terakhir pada 15 Mac lalu,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Menurutnya, suspek pertama berusia 21 tahun dan mengendalikan kedai runcit itu sejak 2007. 

Kedai itu dipercayai milik penduduk tempatan, tetapi disewakan kepada suspek terbabit. 

Seorang suspek lagi adalah pembantu kedai, berusia 27 tahun. Siasatan awal polis mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

-sinarharian-

Tanam anak belakang rumah

DI SINI...Ashaari menunjukkan lubang tempat mayat bayi terbabit ditemui.
DI SINI...Ashaari menunjukkan lubang tempat mayat bayi terbabit ditemui.
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan di dalam lubang di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara, di sini, tengah hari semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu disedari seorang jiran pasangan terbabit selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan untuk menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.

Jiran pasangan itu, Mohd Ashaari Ulong, 56, berkata dia mengesyaki sesuatu dengan tindakan jirannya itu kerana tiba-tiba ingin meminjam cangkul dan menanam uri sedangkan bayinya lahir sejak 10 hari lalu.

“Pada masa sama, dia tidak pernah mendengar tangisan bayi dari rumah jirannya itu walaupun tahu isteri jirannya sudah melahirkan anak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, berikutan rasa was-was itu, dia enggan meminjamkan cangkul.

“Saya meminta anak buah saya meninjau kawasan rumah lelaki itu sebelum dimaklumkan ada kesan timbusan tanah di belakang rumah terbabit.

“Mungkin ada sesuatu ditanam, saya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan polis tiba untuk membuat siasatan. Saya terkejut apabila polis menemui mayat bayi lelaki ditanam dalam lubang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, bayi lelaki itu ditemui dalam lubang yang baru digali di belakang rumah suspek yang juga ibu bapa bayi berkenaan.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Berikutan itu, pasangan terbabit berusia 40-an yang ada kaitan dengan kejadian itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, polis sudah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan,” katanya.
-hmetro-

Jais serbu bilik asmara

TAHAN...gadis yang ditahan bersama lelaki bukan Islam di biliknya, kelmarin.
TAHAN...gadis yang ditahan bersama lelaki bukan Islam di biliknya, kelmarin.
SUBANG: Seorang gadis berusia 22 tahun ditahan bersekedudukan dengan seorang lelaki bukan Islam di sebuah bilik kecil yang disewanya di Kawasan Perindustrian Puchong Utama, di sini, malam kelmarin.

Gadis itu dicekup penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika berbaring bersama pasangannya dalam bilik berkenaan.

Dalam operasi bersepadu bermula kira-kira jam 11 malam itu, dua lagi wanita yang bersekedudukan dengan pasangan bukan Islam ditahan dalam bilik berasingan di kawasan sama.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan ketika ditemui berkata, semua wanita itu dipercayai sudah dua tahun menginap di bilik berkenaan.

BUKA...penguat kuasa MPSJ memecahkan pintu sebuah rumah dalam operasi, kelmarin.Katanya, mereka tinggal di bilik kecil yang diubah suai secara haram dari sebuah unit pangsapuri. “Setiap unit pangsapuri empat tingkat di Kawasan Perindustrian Puchong Utama itu memiliki tiga bilik tidur, namun pemiliknya mengubahsuai dengan meletakkan papan penghadang menjadikannya 10 bilik kecil.
 
BUKA...penguat kuasa MPSJ memecahkan pintu sebuah rumah dalam operasi, kelmarin.
“Kami mengesan taktik ini selepas mendapat maklumat jiran dan hasil pemeriksaan, tiga rumah di kawasan itu mengubah suai kediaman berkenaan kepada 10 bilik kecil setiap unit,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pemilik rumah terbabit menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM25,000.

Menurutnya, tindakan pemilik terbabit juga membahayakan nyawa penyewa di bilik kecil berkenaan sekiranya berlaku kebakaran atau struktur papan berkenaan runtuh.

Adnan berkata, penyewa hanya membayar RM150 sehingga RM170 sebulan dan ia tidak sepadan dengan risiko yang dihadapi mereka.

Katanya, semua bilik berkenaan akan diruntuhkan segera dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan jika ada unit kediaman di sekitar mereka yang diubah suai dengan cara sama.

Menurutnya, tiga gadis yang dicekup itu akan diserahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut.
-hmetro-

Mati ditikam kerana bercinta dengan isteri orang

ZULFA dicari pihak polis bagi membantu siasatan pembunuhan teman lelakinya.
SHAH ALAM: Seorang kerani sebuah pusat pengajian tinggi di sini yang koma selama dua hari akibat diserang dua lelaki meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.
Mangsa, Rashidi Mohd. Saman, 27, yang masih bujang dipercayai diserang ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar teman wanitanya, Zulfa Ismail atau Puteri, 20, yang tinggal di Padang Jawa pada pukul 10.17 malam, Ahad lalu.
Akibat serangan dua lelaki menggunakan pisau jenis celorek, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan teruk di kepala, dagu dan belakang.
Keadaannya dilaporkan kritikal apabila lengan tangan kirinya hampir putus dan tali perutnya terburai.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, polis tidak menolak kejadian bermotif dendam berikutan teman wanita mangsa yang berasal dari Malang, Indonesia merupakan isteri orang.

Dua pelanggan urut lari bogel

KUALA LUMPUR: Dua pelanggan lelaki cuba melarikan diri dalam keadaan berbogel selepas pusat urut dikunjungi mereka di Jalan Kuchai Lama, di sini, diserbu malam kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu gagal selepas ditahan sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, kira-kira jam 11.30 malam. Premis yang dipercayai berselindung di sebalik papan tanda sebuah pusat kesihatan dan refleksologi itu baru beroperasi beberapa bulan lalu dan mewajibkan pekerjanya mengenakan pakaian mencolok mata bagi menarik pelanggan.

Jurucakap polis berkata, bayaran RM100 dikenakan kepada pelanggan bagi urutan badan dan kaki manakala tambahan RM50 dikenakan bagi mereka yang inginkan urutan batin.

“Premis terbabit beroperasi dari jam 10 pagi hingga jam 12 tengah malam.

“Premis itu didapati diubah suai menjadi beberapa bilik kecil yang dilengkapi tilam,” katanya.

Katanya, dalam serbuan itu juga, enam wanita termasuk penjaganya yang berusia 27 hingga 39 tahun ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja dan dokumen sah.

Menurutnya, mereka terdiri daripada seorang warga Indonesia, seorang warga Thailand dan empat warga China.

Katanya, semua mereka memiliki pasport, tetapi menyalahgunakan pas lawatan sosial yang diberikan dengan bekerja sebagai tukang urut.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen,” katanya.
-hmetro-

Lagi remaja terlibat dalam rompakan ditembak mati

Seorang remaja bersenjatakan parang mati ditembak oleh seorang bekas mandur estet dalam satu cubaan merompak di Sungai Way di Petaling Jaya pagi ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Khaw Kok Chin, berkata remaja berusia 17 tahun itu sebelum itu telah mengugut pambantu rumah mandur itu supaya menyerahkan wang.

"Ketika itu bekas mandur berkenaan ternampak remaja terbabit lalu mengambil senapang patah dan melepaskan dua tembakan semasa remaja itu cuba menyerangnya," katanya kepada pemberita di Petaling Jaya hari ini.

Khaw berkata, dalam kejadian 9.40 pagi itu, tiga anggota keluarga bekas mandur itu berada di rumah.

Katanya, remaja itu dipercayai datang bersama empat rakannya berumur antara 17 dan 20-an untuk melakukan jenayah itu.

"Tiga daripada mereka menunggu dalam sebuah kereta mewah manakala seorang lagi menunggu di luar rumah ketika remaja itu memasuki rumah.

"Remaja itu terkena satu das tembakan di tulang rusuk manakala rakan-rakannya sempat melarikan diri," katanya.

Polis sedang mengesan semua mereka.
-Bernama-

Tikam mati rakan kerana babi hutan


IPOH: Gara-gara tidak berpuas hati dengan pengagihan daging seekor babi hutan yang diburu, dua beradik sanggup menikam rakan mereka sehingga mati di hadapan rumah mangsa di kuarters Ladang Sungai Samak, Hutan Melintang, Teluk Intan kelmarin.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, K. Perumal (gambar), 27, mati dalam perjalanan ke klinik setelah ditikam dengan pisau lipat oleh seorang daripada suspek berkenaan.
Difahamkan kejadian berlaku sebaik sahaja mangsa dan dua suspek yang berusia 24 dan 21 tahun selesai memburu babi hutan di hutan berhampiran ladang berkenaan.
Ketua Polis Daerah Teluk Intan, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kedua-dua rakan mangsa dikatakan tidak berpuas hati dengan pengagihan daging babi hutan berkenaan lalu pergi ke rumah mangsa pada malam berkenaan.
"Kedua-dua suspek naik berang apabila menjumpai sebahagian usus babi hutan di hadapan rumah mangsa.
"Mereka kemudian bersemuka dengan mangsa yang ketika itu sedang berehat di dalam rumah bersama isteri dan dua anak yang masih kecil untuk mendapatkan penjelasan," katanya ketika dihubungi semalam.
-kosmo-

Lelaki terjun bogel ditemui mati

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut apabila bertindak nekad terjun dari tingkat 11 dalam keadaan berbogel di Genting Court Setapak, di sini, malam tadi.


Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa berusia 30-an dan berasal dari Terengganu mati di tempat kejadian dipercayai parah di kepala. Difahamkan, hasil pemeriksaan polis di bilik sewa mangsa terdapat beberapa ubatan dari hospital dipercayai ubat untuk sakit jiwa.

Sumber berkata, mangsa ditemui seorang penduduk dalam keadaan tertiarap dipercayai selepas terjun menerusi tingkap bilik sewa rumahnya di tingkat 11.

-hmetro-

Wanita mati dikelar

SANDAKAN, 6 Nov: Seorang pekerja kilang waita ditemui mati dengan kesan luka di leher di sini hari ini. Mayat mangsa, Ana Aripe, 30, dijumpai dalam sebuah bilik mandi di kawasan rumah pekerja sebuah kilang papan di Kilometer 17.6 dekat sini.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa berkata, mayat mangsa ditemui oleh anak saudaranya apabila ingin menggunakan bilik mandi tersebut.


Menurutnya, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.


"Siasatan awal mendapati, terdapat kesan luka yang dipercayai bekas tikaman dengan benda tajam pada bahagian leher mangsa," katanya di sini hari ini.


Rosli berkata, polis kemudian menghantar mayat mangsa ke Hospital Duchess Of Kent untuk bedah siasat.


Katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.


Beliau menambah, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-utusan-

Suami cemburu pijak isteri hingga mati direman tujuh hari

BINTULU 2 Nov: Polis menahan reman seorang lelaki selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes isterinya yang mati akibat dipijak di sebuah rumah kongsi dekat Nyalau, Jalan Pesisir Pantai Miri-Bintulu pada Ahad lalu.

Lelaki yang berusia 33 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis daerah, Supritendan Sulaiman Abd. Razak berkata, siasatan awal polis mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh binaan dan berasal dari Dalat, Mukah bertindak memukul, menendang, selain memijak perut mangsa tanpa menggunakan sebarang senjata lain.

"Bagaimanapun, kita masih menunggu hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa yang dijangka dapat diketahui pada Khamis ini. Siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut bermotifkan cemburu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 10 malam Ahad lalu, seorang lelaki dikatakan membelasah isterinya dengan memijak mangsa sehingga meninggal dunia di tempat kejadian akibat cemburu.

Terdahulu, suspek dikatakan minum bersama empat rakannya di sebuah gerai berdekatan kediaman kongsi mereka sebelum rakan-rakannya itu pulang dan dia tinggal bersendirian.

Namun, sebaik sahaja suspek kembali ke rumah mereka, dia mendapati empat rakan lelakinya itu pula sedang minum bersama isterinya sehingga menimbulkan pertengkaran dan perang mulut dengan isterinya yang berusia 34 tahun itu.

Akibat tidak puas hati, mangsa dibelasah sehingga pengsan di hadapan anak tunggal mereka yang berusia tiga tahun serta rakan-rakannya sebelum disahkan meninggal dunia.
-utusan-

Kekasih terlarang rupanya isteri orang



DI rumah inilah arwah Muda cuba meminum air kelapa untuk cuba menghilangkan bisa racun yang memasuki badannya. Gambar kecil, Kuntum.
KUALA TERENGGANU: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dikatakan menjadi penyebab seorang penoreh getah berusia 27 tahun maut selepas dipaksa meminum racun kelmarin rupa-rupanya berstatus isteri orang.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, pihaknya telah menahan wanita itu, suami, 24, dan ibunya, 36, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, suami remaja itu ditahan Selasa lalu manakala ibu dan remaja tersebut ditahan ketika mereka datang untuk menemui lelaki itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, kelmarin.
Dengan perkembangan terbaru itu, jumlah mereka yang ditahan meningkat kepada tujuh orang.
Difahamkan, remaja perempuan itu yang sudah berkahwin tahun lalu menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa. Oleh kerana itu, dia dikatakan menjadi penyebab ahli keluarganya naik berang sehingga memaksa mangsa, Muda Mohd., 27, meminum racun pada 19 Oktober lalu.

Pelajar UiTM koma dibelasah teman lelaki


HABERI sedih ketika melawat Hizreen di Unit Rawatan Rapi Hospital Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang yang bakal menamatkan pengajian Disember ini koma selepas dipercayai dibelasah oleh teman lelakinya pada 22 Oktober lalu.
Mangsa, Hizreen Ieraqueen Haberi, 21, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Perbankan tidak sedarkan diri sejak hari kejadian akibat luka dalaman yang teruk di bahagian kepala.
Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Bapa mangsa, Haberi Hamzah, 49, yang merupakan seorang juruteknik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi berkata, dia menerima panggilan daripada teman serumah anaknya itu pada pukul 1.30 pagi 22 Oktober lalu di rumahnya di Semenyih, Selangor.
"Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan Hizreen, dia dikejarkan ke Hospital Machang kerana cedera dipukul oleh kawan lelaki yang dikenalinya.
"Keadaannya tenat dan saya diberitahu Hizreen dipindahkan ke HUSM.
"Daripada cerita rakan anak saya itu, kejadian tersebut berlaku lebih kurang pukul 10 malam pada 22 Oktober lalu di hadapan rumah sewa Hizreen berhampiran kampus UiTM Machang selepas mereka bergaduh," katanya.
Rakan anaknya itu mendakwa sebelum kejadian Hizreen dilihat bertemu dengan teman lelaki yang datang ke rumah sewa mereka dan berlaku sedikit pertengkaran.
-kosmo-

Gadis sunti maut selepas berasmara dengan tiga remaja lelaki atas bumbung


ANAK panah menunjukkan arah seorang budak perempuan berusia 12 tahun terjatuh dari tingkat enam ketika cuba turun melalui dinding sebuah apartmen di Petaling Jaya kelmarin. Gambar kecil menunjukkan keadaan mangsa selepas terjatuh.

PETALING JAYA: Seorang gadis sunti berusia 12 tahun yang menemui ajal selepas terjatuh dari tingkat enam Blok E dekat Apartmen Lestari di Damansara Damai di sini kelmarin dikatakan selalu berada di situ untuk melakukan perbuatan sumbang.
Perkara tersebut didedahkan oleh penduduk di situ yang sebelum ini sering melihat mangsa bersama beberapa remaja lelaki naik ke bumbung bangunan itu.
Menurut mereka, remaja perempuan berkenaan bukan penduduk di situ. Selain itu, dia juga sering dilihat terhendap-hendap setiap kali hendak ke bumbung bangunan tersebut.
Seorang penghuni yang enggan dikenali berkata, penduduk kemudian bersepakat untuk memasang perangkap bagi mengetahui aktiviti mereka.
“Alangkah terkejutnya kami apabila melihat mangsa sedang berasmara dengan tiga remaja lelaki di situ.
“Kami kemudian menyergah mereka menyebabkan mereka terkejut dan cuba melarikan diri. Ketika itulah mangsa cuba turun dengan memanjat dinding tetapi dia gagal lalu terjatuh ke tanah,” ceritanya ketika ditemui semalam.

Kencing muka isteri sambil lafaz talak tiga

KUALA LUMPUR: Hanya kerana masakannya tidak menepati selera, seorang isteri menerima deraan kejam dan tidak masuk akal apabila dibelasah, dicukur kepala hingga botak dan lebih mengaibkan, mukanya turut dikencing suaminya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Khamis lalu itu, suami terbabit yang berusia lewat 30-an turut menceraikan isterinya dengan lafaz talak tiga ketika kencing ke atas mangsa.

Isterinya yang tidak tahan dengan kekejaman lelaki itu selain berasa diri amat terhina membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, pada hari kejadian, menyebabkan suaminya ditahan keesokan harinya.

Sumber polis berkata, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu dan pernikahan mereka dilakukan di negara jiran tanpa mendaftarkan semula perkahwinan di sini.

Menurutnya, dalam laporan wanita terbabit yang juga berusia 30-an, kejadian itu bukan pertama kali menimpanya kerana dia mendakwa sering dipukul sejak setahun lalu walaupun melakukan kesalahan kecil.

“Menurut mangsa, dia selalu dibelasah sekiranya lewat membuka pintu ketika suaminya pulang bekerja. Malah, pada Jun lalu, mangsa melarikan diri ke selatan tanah air kerana tidak tahan dengan kekejaman suaminya.

“Namun, selepas seminggu di sana, suaminya datang memujuknya serta berpura-pura insaf,” katanya.

Bagaimanapun, kata sumber itu, ketenangan yang dikecapi mangsa hanya sementara kerana selepas dua minggu berada di rumahnya, dia kembali dijadikan tempat melepaskan geram oleh suaminya.

“Dia terus dipukul atas kesalahan kecil, malah ada kalanya mangsa tidak tahu-menahu kesalahan yang dilakukannya,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima laporan mangsa, polis melakukan gerakan memburu suami mangsa sebelum menahannya kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu ketika dia berehat di rumahnya. Lelaki itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penahanan lelaki terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.
-hmetro-

Anak dan menantu kebas RM 117,000 duit KWSP ibu

KUALA LUMPUR: Hancur luluh hati seorang ibu tunggal apabila mendapati wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah ratusan ribu ringgit yang baru diperoleh apabila bersara selepas puluhan tahun bekerja lesap dari akaun banknya.

Lebih menyedihkan apabila pesara kilang elektronik berusia lewat 50-an itu mendapat tahu orang yang melesapkan wang RM117,000 itu ialah anak lelaki tunggal kesayangannya selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah bank, di sini.

Mangsa yang hanya menyedari kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya hilang baru-baru ini, membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan Balai Polis Jinjang, dekat sini.

Menurut sumber, sebaik melihat wajah anak lelaki dan menantunya bergembira mengeluarkan wang menggunakan kad ATM miliknya, wanita terbabit menangis teresak-esak, menggeletar seluruh tubuhnya dan hampir pengsan.

“Wanita itu beristighfar panjang dan menjadi tidak keruan apabila rakaman terbabit menunjukkan anak dan menantunya berulang kali mengeluarkan wang simpanannya menerusi ATM daripada RM117,000 hingga tinggal RM15.44 sen,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa sedih dan kecewa dengan perbuatan anak serta menantunya dan hasratnya untuk membeli rumah menggunakan wang KWSP itu tidak kesampaian.

“Ketika mangsa membuat laporan, polis sudah mengesyaki kemungkinan keluarga terdekat melakukan perbuatan itu.

“Ini disebabkan dia kehilangan kad ATM yang disimpan di dalam tas tangannya. Bagaimanapun, wanita terbabit enggan menerima kemungkinan itu kerana menganggap anak tunggal kesayangannya itu tidak akan mengkhianatinya ,” katanya.
Berikutan itu, katanya, polis terpaksa meminta bantuan pihak bank untuk melihat rakaman CCTV pada tarikh pengeluaran wang berkenaan dilakukan.

Sumber itu berkata, berdasarkan rekod dan rakaman CCTV bank berkenaan, anak lelaki dan menantu mangsa membuat pengeluaran melalui ATM sebanyak 52 kali dan 16 kali transaksi pindahan bank dalam tempoh sebulan dengan jumlah transaksi maksimum RM5,000 sehari.

Difahamkan, lelaki berusia 30-an terbabit kini menyembunyikan diri dengan membawa isteri dan tiga anak selepas menyedari rahsia kemungkaran dan tindakan derhaka itu diketahui ibunya.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.