Assalamualaikum,

Alangkah sedapnya jika boleh menyediakan sendiri pulut udang untuk keluarga tercinta. Selalunya jika beli di luar, tidak puas makan. Jika bukan kerana rasanya yang tidak sedap dan liat, sebab kedua adalah saiz pulut udang yang di jual sangat kecil. Alahai...dahlah kecil, kadang-kadang hanya separuh sahaja yang boleh di jamah kerana separuh lagi dah rentung pula ketika proses membakar.

Apa kata kita cuba masak sendiri di rumah? Tak susah sebenarnya proses tersebut dan bersama ini saya sertakan resepinya setelah 'blog walking' ke dapur kak Ummi Zahaidi

Puas hari buat sendiri kan...boleh letak banyak inti. 
PULUT UDANG SEDAP
Bahan Pulut
2 cawan beras pulut - rendam 2 jam
2 cawan santan pekat
sedikit garam
Beberapa helai daun pisang - layurkan atas api, lap dan kerat ikut saiz nak balut nanti
Lidi - kerat 1 1/2 inci

Cara Membuat:-

1. Basuh beras pulut dan toskan.

2. Masukkan ke dalam periuk dan campurkan santan dan garam. Masak dengan api sederhana dan kacau-kacau selalu. 
3. Bila kering, biarkan pulut benar-benar masak atas api paling kecil sebentar dan sejukkan.
4. Ambil daun pisang yang telah dipotong selebar 1 jengkal, letak pulut atas daun pisang, letakkan inti ditengah pulut dan gulung daun pisang biar kemas. 

5.Tekan bahagian hujung daun agar pulut kemas dan selitkan lidi. Buat hujung satu bahagian lagi. Panggang atas api sederhana dan balik-balikkan pulut selalu. 
6.Bila daun telah hangus dan garing sikit, bolehlah diangkat.


INTI
1/2 biji kelapa parut 
1 cawan udang kering - saya gunakan udang geragau kering 
2 biji bawang besar
5 batang serai 
1 sudu kecil kunyit serbuk 
5 tangkai cili kering (ikut kepedasan masing-masing)
1 sudu besar minyak masak 
Garam dan gula

1. Cara-cara : blender cili kering, bawang besar, serai, udang kering dan bawang dengan sedikit air. Setelah halus masukkan kelapa parut, blender sebentar. 

2.Tuang minyak ke dalam kuali yang di panaskan, masukkan adunan inti yang di blender tadi. Masukkan juga kunyit, garam, gula dan serbuk perasa. 

3. Kacau hingga masak dan kering sedikit.

* Lebih sedap jika masukkan juga sedikit udang hidup kedalam bahan membuat inti.

Assalamualaikum,

Apa khabar pembaca blog yang masih sudi jengah ke blog yang hampir bersawang ini? Terima kasihlah di atas kesetiaan anda semua. Hari ini saya ingin berkongsi resepi pulut mangga. Maklumlah di sebelah utara semenanjung iaitu di Perlis sekarang ni memang musim mangga harumanis. Memang sedap sangat di gandingkan dengan pulut. Sebelum ini memang sudah pernah saya masukkan resepi pulut mangga kesini tetapi kali ini istimewa sedikit kerana saya masak pulut mangga ini dengan menggunakan pemanggang Newage Cookware. 

Pernah dengar tak pemanggang Newage Cookware? Ianya seperti pemanggang ajaib yang lain juga tetapi lebih istimewa kerana saiznya yang besar dan agak dalam. Jadi mudah untuk memasak di dalam kuantiti yang banyak terutama sekali yang mempunyai keluarga besar dan memasak pula menu yang perlu di kacau seperti nasi atau bihun goreng. Ianya juga boleh di tanggalkan dan boleh di masak dengan menggunakan kedua bahagian pemanggang.

Banyak fungsi istimewa Newage Cookware ini. Silalah jenguk ke website milik saya juga iaitu di Dapurlangkawi.com . Jika nak order bolehlah buat di situ dan untuk tempoh terhad iaitu sehingga 31hb Ogos 2014, anda akan mendapat hadiah PERCUMA berupa ebook resepi masakan menggunakan pemanggang Newage Cookware yang bernilai RM 20 dari saya. Cepatlah bertindak selagi stok masih ada ye :)

PULUT MANGGA - Dengan pemanggang Newage Cookware
Bahan-bahan
2 biji mangga masak - saya pilih mangga harumanis
500gm beras pulut
air secukupnya
300ml santan di campur dengan sedikit garam
gula secukupnya (ikut selera)

Cara membuatnya :
1. Ambil pemanggang Newage Cookware dan tanggalkan penyambungnya. Masukkan beras pulut kedalam bahagian pemanggang yang agak dalam dan cuci beras tersebut. Gambar di bawah ini menunjukkan bahagian pemanggang yang dapat di tanggalkan.
2. Seterusnya masukkan air lebih sedikit sahaja dari paras beras pulut tersebut. Sila lihat gambar di bawah ini. Sambung semula pemanggang Newage Cookware ini dan tutup.
3. Nyalakan api dapur gas dan setkan kepada api yang paling kecil sekali. Biarkan sehingga pulut masak tetapi sekali sekala bukalah pemanggang untuk memeriksanya sambil di kacau. Untuk mendapatkan pulut yang cantik, boleh juga di renjis pulut yang sedang di masak dengan air atau santan cair dan tutup lagi sebentar sehingga pulut benar-benar masak. Ulangi cara begitu sehingga pulut masak sepenuhnya.
4. Lihatlah betapa cantiknya pulut yang di masak menggunakan pemanggang Newage Cookware. Pulutnya masak sekata dan tidak melekat. Yang penting sekali beras pulut tersebut tidak di rendam terlebih dahulu.
5. Untuk menghidangkan pulut mangga ini, sajikan dengan menabur sedikit gula dan tuang pula santan cair yang telah di masak dengan sedikit garam. Memang sedap sangat :)

PEMANGGANG NEWAGE COOKWARE

Assalamualaikum, 

Enaknya kuih bakar durian atau di sebelah utara semenanjung, masyarakat di sini menyebutnya bengkang durian. Apalagi saya membakarnya di dalam loyang muffin dan agak berkerak kuihnya, memang sangat sedap.

Di Langkawi sekarang banyak durian di jual di pinggir jalan dan bagi penggemar durian sudah  pasti  tercari-cari resepi untuk mempelbagaikan hidangan dengan raja buah ini. Apa kata cuba resepi kuih bakar seperti yang saya buat ini.

Kali ini saya mencuba resepi dari blog Bro Rozan & ternyata sungguh mudah cara membuatnya. Selagi ada kemahuan, pasti menjadi. Jom kita intai resepinya.
KUIH BAKAR DURIAN 
Sumber : Bro Rozzan 

Bahan-Bahan
260 gm tepung gandum
240 gm gula
400 ml santan pekat (dalam kotak)
450 ml air
4 biji telur saiz besar - kocok sedikit
2 sudu besar minyak sapi
sedikit bijan - (saya tambah)
1 sudu teh garam (atau secukup rasa)
pewarna kuning (pilihan - tak letak pun tidak mengapa)
secubit serbuk vanilli (saya letak 1 sudu teh esen vanilla)
250 gm isi durian (dilecek)

Cara:

1. Tepung, gula dan air disatukan dan kacau rata-rata.
2. Masukkan isi durian, santan pekat, telur, vanilli, pewarna, garam dan kacau terus.
3. Masukkan minyak sapi dan ratakan.

4. Panaskan loyang di dalam oven dan sapu sedikit minyak/minyak sapi.
5. Keluarkan loyang dan tuang adunan tadi ke dalamnya.Boleh juga di taburkan dengan sedikit bijan, jika suka.

6. Bakar selama 30-40 minit atau hingga kekuningan dgn suhu 180-200 darjah Celsius.

Assalamualaikum,

Sarapan apa agaknya ya? Alhamdulillah saya sekeluarga bersarapan bengkang ubi kayu pandan pagi ni. Dah lama tak buat sebarang kuih sendiri untuk sarapan pagi, tapi sekembalinya saya dari pejabat petang semalam terperasan ada ubi kayu yang saya beli dari pasar malam jumaat lepas masih elok terikat di dalam bungkusan plastik. Daripada di biarkan rosak saya tukarkan kepada kuih yang lazat untuk hidangan pagi ni. Alhamdulillah :)

Resepi ni saya ambil dari blog yatie, dan resepi asalnya dari Bro Rozan. Saya hanya buat separuh dari adunan iaitu seperti resepi di bawah ini. Sedap tau, paduan pes pandan dan ubi kayu memang benar-benar mantap. 

Oh ya, ada pembaca yang pernah bertanya...kalau bingka ubi kayu ni memang tidak menggunakan sebarang tepung ke? Atau resepi yang di kongsikan tu terlupa nak masukkan tepung. Jawapannya memang TIDAK menggunakan tepung, cuma ubi yang di parut sahaja dengan bahan-bahan lain :)
BINGKA UBI PANDAN
Bahan-Bahan (loyang 5x9x2 inci)

500gm ubi kayu yang telah di parut (perah dan buang semua kanjinya)
250 ml santan pekat (santan kotak)
75 ml air
125 gm gula
2 biji telur – pukul sedikit (saya guna telur gred A)
1/2 sudu besar minyak sapi - saya hanya guna mentega
1/2 sudu besar pes pandan
1/2 sudu teh garam
sedikit pewarna kuning (utk mendapatkan warna hijau yg lebih menarik)

Cara membuatnya :

1. Satukan ubi parut dan gula dalam sebuah mangkuk besar lalu masukkan minyak sapi/mentega dan telur. Gaul rata bahan-bahan ini.
2. Kemudian masukkan juga santan, pes pandan, air, garam dan pewarna kuning. Kacau lagi sehingga sebati.
3. Sapukan sedikit minyak pada dasar dan keliling loyang. Masukkan adunan ubi tadi kedalamnya. Bakar di dalam oven selama kira-kira 1 jam – 1 jam 10 minit dgn suhu 200/220 darjah Celsius. Oven hendaklah dipanaskan terlebih dahulu.

Assalamualaikum,

Ini adalah entry kedua dalam bulan April ni. Alamak, kemanalah mood berblogging ni pergi. Teruk benar reputasi kebelakangan ni. Hanya kata maaf dan terimakasih kepada pengunjung blog yang masih sudi bertandang di sini. 

Sayang awak semua tau kerana sudi masuk kesini mencari resepi dan mencubanya. Kesian juga kepada pembaca yang ingin 'copy paste' resepi-resepi tetapi terdapat sedikit kesulitan kerana buat sementara waktu saya terpaksa melumpuhkannya seketika di sebabkan ada pihak yang tidak bertanggung jawab mengambil gambar-gambar masakan di sini untuk kepentingan sendiri tanpa pengetahuan dan persetujuan saya. 

Baiklah, untuk perkongsian hari ini apa kata kita cuba memasak asam pedas ikan pari. Mungkin resepi ini lain sedikit dari resepi yang anda masak selalu tu. Bagi saya rempah yang di sangai(goreng sebentar tanpa minyak) itu buatkan asam pedas ni wangi dan sedap tau.Jom kita lihat...:)
ASAM PEDAS IKAN PARI 
3 ketul ikan pari - yang telah di potong 
Bahan Kisar (A)
15tangkai cili kering - di rebus sebentar hingga lembut
1 sudu besar pes asam jawa
1/2 inci belacan
5 ulas bawang merah - di tumbuk 
4 ulas bawang putih - di tumbuk
1/2 inci halia - di tumbuk 

Bahan yang di goreng tanpa minyak dan di tumbuk (B)
1/2 sudu besar jintan manis
1/2 sudu besar lada hitam 
1/2 sudu besar ketumbar 
Bahan (C)
1 biji tomato - di belah empat 
2 kuntum bunga kantan - di belah 
5 tangkai daun kesum 
2 batang serai - di ketuk
3 biji timun kecil - di potong
2 helai daun limau purut - buang urat di tengahnya
3 cawan air 
Cara memasak: 

1. Bersihkan ikan dengan air limau nipis untuk menghilangkan bau hanyir.

2. Sementara itu kisar cili kering dengan belacan dan ketepikan. Goreng bahan-bahan B seketika dan tumbuk kasar.
3. Masukkan sedikit minyak kedalam periuk, tumis bawang merah, bawang putih dan halia yang di tumbuk tadi serta serai yang di ketuk hingga wangi dan kekuningan.

4. Tuang pula cili yang di kisar tadi, rempah yang di tumbuk (Bahan B) kacau sebentar hingga cili masak dan masukkan pula air.

6. Masukkan isi ikan dan renihkan seketika.

5. Akhir sekali masukkan pula bunga kantan, daun kesum, tomato, daun limau purut dan renihkan hingga mendidih dan masak. Masukkan juga garam dan serbuk perasa (jika suka). Boleh juga imbangi rasa kuah dengan sedikit gula.

Assalamualaikum, 

Dah lama tak bersua ye. Sibuk benar kebelakangan ini dengan urusan di rumah, tugas harian di pejabat, menghadiri kelas dan menyiapkan assignment yang harus di hantar setiap bulan. Beginilah rutin sebaik sahaja menyambung pelajaran, masa agak terhad untuk tugas-tugas yang lebih penting walaupun memasak dan 'update' blog juga penting dan mendatangkan kepuasan bagi saya. 

Hari ini saya ingin berkongsi resepi kari kepala ikan che jah yang resepinya saya ambil dari blog Amie's little kitchen. Terimakasih K.Amie dan Che Jah untuk resepi yang sungguh lazat ini. Oleh kerana saya memasak untuk makan malam kari kepala ikan ini, saya sekadar menggunakan apa yang ada di dalam  peti sejuk sahaja dan tidak meletakkan kacang bendi dan terung kerana tak ada stok. Jika tidak mesti bertambah lazat lagi.

Baki kari yang tidak habis untuk hidangan makan malam itu saya panaskan hingga agak kering serta pekat dan cicah dengan roti ketika sarapan pagi. Memang layanlah... :)

KARI KEPALA IKAN CHE JAH 
 Sumber      Amie's little kitchen 
Resepi asal  Puan Che Jah Bakar

Bahan-bahan:
Kepala ikan bawal / jenahak / tenggiri dll - belah 2  
5 sudu makan rempah kari ikan - Amie gunakan rempah kari  ikan dan udang Baba's (saya pun guna jenama ini)
sejemput / secubit halba 
sejemput / secubit biji sawi
2 biji terung bulat - belah 4 - saya tak letak  
10 biji kancang bendi - saya tak letak 
tomato - saya tambah
1/4 cawan santan pekat
sedikit asam jawa - bancuh dengan 1 cawan air
1 pelepah daun kari - lurutkan
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris :
2 ulas bawang putih
2 biji bawang merah 
Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih 
2 ulas bawang merah - tumbuk
sejemput / secubit jintan putih
Cara memasak:

1. Goreng kepala ikan setengah masak dan ketepikan.

2. Gaul bahan tumbuk dengan rempah kari ikan hingga sebati - Amie tambah sedikit air.

3. Panaskan minyak dan goreng bahan hiris hingga layu dan berbau harum.

4. Masukkan bahan rempah kari, daun kari, halba serta biji sawi dan tumis kacau hingga terbit minyak.
5. Masukkan air asam jawa, terung dan kacang bendi dan biarkan sehingga mendidih - sekiranya kuah terlalu pekat atau air terlalu sedikit, boleh tambahkan sedikit air lagi.
6. Masukkan kepala ikan, tambahkan santan pekat. Biarkan seketika sehingga masak.

7. Perasakan dengan garam / gula / serbuk perasa (pilihan)

Assalamualaikum, 

Suka tak makan cendawan goreng? Pasti ramai yang suka kalau cendawan yang di goreng tepung itu ranggup dan tidak berminyak. Kalau makan kat restoran seafood yang menyediakan cendawan goreng tepung ni hasilnya memang ranggup, tapi bila kita buat sendiri di rumah, ada kalanya cendawan tersebut menjadi lembik dan berminyak.

Bila buat carian di google ada yang memberi petua cendawan itu tidak perlu di basuh   terlebih dahulu dan langsung sahaja salut dengan bancuhan tepung dan goreng. Tapi, sanggup ke tidak membasuh cendawan yang di beli dari pasar basah yang tidak di jamin kebersihannya? kadangkala saya lihat  peniaga hanya lambak cendawan yang di jual dan belum di kira lagi dengan  lalat yang berterbangan. Lainlah jika kita sendiri yang tanam cendawan tersebut, pasti kebersihannya terjaga.

Petua yang saya gunakan adalah membasuh cendawan itu terlebih dahulu dan perah agar keluar air basuhan yang di serap tadi. Jika cendawan itu agak lebar, bolehlah di siat-siat sedikit sebelum di celup ke dalam bancuhan tepung  dan mula menggoreng dengan minyak panas.

Selalunya nak cepat saya gunakan tepung segera yang di jual di pasaraya dan hasilnya tetap ranggup dan sedap. Tapi kalau tak ada tepung goreng di rumah, boleh juga mencuba resepi di bawah ni.
CENDAWAN GORENG TEPUNG YANG RANGGUP

Sumber : Puan Bee

Bahan-bahan 
1 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung beras
1 cawan air sejuk (dalam peti ais tu)
1 sudu besar mentega
Sedikit lada sulah
Garam secukupnya
250g cendawan - di basuh dan perah
1. Kisar bahan di atas hingga menjadi adunan dan tuang ke dalam mangkuk besar.
2. Panaskan minyak , cukup-cukup untuk goreng dan tenggelamkan cendawan tu , celup cendawan dalam tepung yang telah dikisar dan goreng sampai kekuning-kuningan. 
3. Angkat dan toskan. Boleh lah di hidangkan dengan sos atau mayonis. Saya suka gandingkan dengan sos cili thai.