Memaparkan catatan dengan label BISKUT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BISKUT. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Perkongsian resipi  biskut nestum cinta hati dan 4 tips yang betul menyimpan biskut untuk dicuba. Jom tengok resipi yang saya sediakan dibawah ini :) 
BISKUT NESTUM CINTA HATI
Bahan A
260gm mentega
40gm shortening
100gm gula icing
2 sudu teh esen vanilla

Bahan B 
280gm tepung gandum 
40gm tepung jagung
100gm nestum - dikisar halus

Hiasan: Kuning Telur, Nestum dan  potongan ceri 

Cara membuatnya :

 1. Panaskan oven pada suhu 150C.

2. Pukul mentega, shortening, gula icing dan esen vanilla hingga berkrim. Masukkan bahan pula bahan B dan uli hingga menjadi doh.

3. Canai dan terap dengan acuan. Sapu dengan telur dan tabur nestum dan ceri diatasnya.

4. Susun di dalam dulang pembakar yang telah digris terlebih dahulu. Bakar pada suhu 150C selama 25 - 30 minit atau sehingga biskut masak.


5. Sejukkan dan bolehlah disimpan dalam bekas kedap udara.

Gambar Ehsan Google

4 TIPS MENYIMPAN BISKUT AGAR KEKAL RANGUP
1.DINGINKAN BISKUT TERLEBIH DAHULU
Ketika baru dikeluarkan dari oven, biasanya biskut agak lembik. Biarkan beberapa saat dalam udara terbuka hingga biskut dingin baru masukkan ke dalam bekas kedap udara. Jika disimpan ketika masih suam atau di campur dengan biskut lain di dalam satu bekas, biskut akan mudah rosak dan lemau.
2. PASTIKAN BEKAS UNTUK MENYIMPAN BISKUT BENAR-BENAR KERING
Pastikan bekas menyimpan biskut benar-benar kering agar biskut tetap rangup. Lap bekas tersebut dengan tuala dapur yang bersih dan angin-anginkan beberapa saat atau jemur di bawah terik matahari agar benar-benar kering. Jika bekas menyimpan lembab, biskut akan mudah berkulat.
3. GUNAKAN BALANG  YANG KEDAP UDARA
Pilihlah bekas menyimpan kedap udara atau balang dengan penutup yang dilengkapi dengan penutup khusus untuk biskut lebih tahan lama dan kekal ranggup.
4. MASUKKAN BUNGKUSAN KECIL GARAM DALAM BALANG KUIH
Selain memakai silica gel dalam bungkusan, kelembapan udara dalam balang juga boleh di kurangkan dengan garam. Bungkus 1-2 sudu teh garam dengan kain bersih lalu masukkan ke dalam balang dan susun biskut di dalamnya. 
Assalamualaikum, 

Selain menjadi kegemaran anak-anak iaitu digandingkan dengan susu ketika sarapan pagi, coco crunch juga sesuai dijadikan sebagai kudapan ataupun pengganti biskut ketika lebaran. Bagi yang gemarkan rasa coklat, bolehlah mencuba resipi coco crunch coklat bergajus dibawah ini. 

Tips untuk meranggupkan coco crunch coklat bergajus ini adalah pastikan coklat masakan suam terlebih dahulu barulah disira (masukkan coco crunch dan jagus panggang). Sungguh mudah dan pasti anak-anak gemar rasanya. Jom lihat resipi dibawah ini dan selamat mencuba :) 
COCO CRUNCH COKLAT BERGAJUS
Bahan-bahan
200gm coklat masakan 
1 sudu besar shortening  
150gm coco crunch 
50gm biji gajus panggang – dicincang kasar
Cawan kertas secukupnya

Untuk Hiasan
Coklat rice secukupnya 

Cara membuatnya :

1. Cairkan coklat masakan dengan shortening  menggunakan kaedah double boil .

2. Setelah coklat cair, matikan api dapur dan biarkan coklat agak suam baru masukkan coco crunch dan biji gajus.  

3. Kacau hingga bercampur dan masukkan kedalam cawan kertas.

4. Tabur coklat rice dan biarkan biskut sejuk dan bolehlah disimpan kedalam balang kedap udara.

Assalamualaikum. 

Saya masih dalam proses release resipi dan gambar yang masih tersimpan dalam draft dan berikut adalah perkongsian Biskut Badam Hitam Manis untuk petang ini. Abaikan sampul duit raya aidilfitri yang digunakan sebagai backdrops dalam gambar sebab photoshoot ini adalah untuk Majalah Saji keluaran bumper raya pada tahun ini.
BISKUT BADAM HITAM MANIS 
Bahan-bahan
200gm mentega – potong kiub
100 gula icing 
1 sudu teh esen vanilla

Bahan diayak
25gm serbuk coklat
40gm tepung beras
120gm tepung gandum
¼ sudu teh soda bikarbonat
3 sudu besar serbuk badam

Cara membuatnya :

1. Lapik loyang dengan kertas kek.

2.Putar mentega dan gula icing hingga kembang. Masukkan esen vanilla sambil diputar lagi dan masukkan bahan yang diayak sedikit demi sedikit hingga semua bercampur.

3. Tutup adunan dengan plastik dan masukkan kedalam peti sejuk (chiller) selama lebih kurang 20minit supaya mudah dibentuk. 

4. Setelah itu bentukkan doh seperti bebola dan leperkan menggunakan garfu didalam loyang. Tabur tepung pada garfu tiap kali digunakan untuk mengelakkan daripada adunan melekat. Hiaskan dengan potongan badam diatas biskut.

5. Panaskan oven pada suhu 170’c terlebih dahulu dan bakar biskut selama 10 hingga 15minit . Setelah masak sejukkan biskut diatas redai dan bolehlah dihiasi dengan coklat putih.

Assalamualaikum, 

Salam jumaat yang penuh barokah. Saya teruskan dengan perkongsian Biskut Mentega Rangup, pada hari ini. Biskut ini sangat simple, rangup dan cair dimulut.   

Jom tengok resipi dibawah ini :) 
BISKUT MENTEGA RANGUP
Bahan-bahan
250gm mentega
60gm gula icing
1 sudu teh esen vanilla
250gm tepung gandum

Cara membuatnya :

1.Panaskan oven pada suhu 180’c dan lapik loyang dengan kertas kek.

2. Masukkan mentega kedalam mangkuk besar dan pukul dengan mixer hingga berkrim. Masukkan pula gula icing, esen vanilla dan pukul  lagi hingga adunan menjadi putih dan berkrim.

3. Masukkan tepung  gandum dan kacau dengan spatula hingga menjadi adunan. Seterusnya masukkan adunan tersebut kedalam plastik segitiga yang  telah dipasang acuan berbentuk bintang bersaiz 1cm.

4. Picit adunan keatas loyang mengikut bentuk yang disukai. Lakukan dengan cepat kerana adunan akan menjadi semakin keras dan sukar untuk dipicit.

5. Bakar selama 10 hingga 12minit atau sehingga biskut menjadi agak keperangan. Sejukkan diatas redai sebelum disimpan kedalam bekas kedap udara.
Assalamualaikum, 

Walaupun lebaran telah berlalu diharap perkongsian resipi Biskut Badam Lebaran ini masih lagi bermanafaat dan sesuai bagi yang ingin mencubanya. Iyelah tak semestinya tunggu lebaran atau musim perayaan untuk buat biskut, kan. Hari-hari biasa pun boleh juga mencuba.

Jom lihat resipi yang saya sediakan dan kenali juga 5 teknik membuat biskut dibawah ini. 
BISKUT BADAM LEBARAN
Bahan-bahan
250gm serbuk badam
220gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
95gm gula icing
½ sudu teh garam halus
100gm minyak jagung
50gm mentega cair

Untuk Hiasan
1 biji telur – dipukul ringan
Badam untuk hiasan

Cara membuatnya :

1. Panggang serbuk badam pada suhu 150'c didalam oven selama lebih kurang 5 minit sambil dikacau. Keluarkan dari oven dan sejukkan.

2. Didalam mangkuk besar masukkan tepung gandum, baking powder dan garam halus. Masukkan juga gula icing dan serbuk badam. Kacau agar semuanya bercampur.

3. Masukkan pula minyak dan mentega cair dan kacau adunan hingga menjadi doh. Jika adunan agak kering, boleh tambahkan lagi sedikit minyak.

4. Panaskan oven pada suhu 180'c dan lapik loyang dengan kertas kek. Canaikan adunan kepada ketebalan 1cm dan terap dengan acuan kegemaran.

5. Atur biskut didalam loyang dan hias dengan sapuan telur dan badam diatas biskut.

6. Bakar biskut selama lebih kurang 15 -  18minit atau sehingga  biskut masak. Setelah biskut masak sejukkan diatas redai dan bolehlah disimpan kedalam balang kedap udara.

KENALI 5 TEKNIK MEMBUAT BISKUT  
Gambar Ehsan : Google

1. CREAMING METHOD: Lemak dan gula dipukul bersama terlebih dahulu selama 1-2 minit. Masukkan telur dan bahan kering secara perlahan ke dalam adunan gula-lemak, lalu kacau dengan menggunakan spatula atau senduk. Untuk adunan ini, gunakan mentega bersuhu ruang, agar lebih mudah tercampur dengan gula.
Ciri: Menghasilkan tekstur biskut lebih ringan.

2. RUBBING IN METHOD: Digunakan dalam membuat biskut seperti shortbread. Lemak dimasukkan ke dalam bahan kering (tepung gandum, gula icing, dan rempah-rempah). Lemak yang digunakan harus dingin, agar adunan terbentuk cantik seperti yang diingini. Kadang-kadang susu, telur, dan air digunakan untuk melembapkan adunan.
Ciri: Tekstur biskut berat dan agak padat serta keras 

3. THE MELTED METHOD: Mentega dicairkan terlebih dahulu dan dicampur dengan gula. Bahan kering dimasukkan ke dalamnya, sambil diuli hingga terbentuk adunan.
Ciri:  Tekstur biskut yang rangup 

4. THE ALL IN ONE METHOD: Dengan menggunakan bantuan food processor, semua bahan dicampur menjadi satu. Biasanya digunakan untuk membuat biskut dengan adunan yang ringan dan lembut, dengan perbandingan bahan basah lebih banyak dari bahan kering.
Ciri: Tekstur biskut yang lembut  dan sangat rapuh contohnya biskut lidah kucing.

5. THE WHISKED METHOD: Bahan kering dimasukkan secara perlahan ke dalam adunan gula dan telur yang sudah dipukul hingga putih. Telur yang digunakan kadang-kadang hanya bagian putihnya saja.                                                                             Ciri: Tekstur biskut ranggup tetapi di bahagian dalam sangat lembut dan mudah cair di mulut. 
Assalamualaikum,

Masih dalam proses perkongsian resipi-resipi yang masih tersimpan di dalam draft. Resipi biskut pandan kasih bertaut ini belum ada didalam entry blog fiza's cooking tetapi pernah disiarkan dalam Majalah Saji keluaran Bumper raya tahun ini. Turut disertakan 8 tips asas menghasilkan biskut bagi yang masih baru belajar. Jom lihat perkongsian dibawah ini.
BISKUT PANDAN KASIH BERTAUT
Bahan-bahan
200gm mentega
120gm gula icing 
200gm tepung gandum
50gm serbuk badam
80gm tepung jagung
Secubit garam halus
1 sudu teh pes pandan

Cara membuatnya :

1.Ayak tepung, tepung jagung dan garam halus. Masukkan serbuk badam, kacau rata dan ketepikan seketika.

2.Putar mentega, gula icing dan pes pandan sehingga kembang dan bercampur rata. Masukkan campuran tepung tadi sedikit demi sedikit hingga menjadi doh.

3.Canai adunan kepada ketebalan 0.5cm dan terap dengan acuan kegemaran.

4. Atur biskut didalam loyang yang telah dilapik kertas kek terlebih dahulu dan hias dengan topping seperti coklat rice ataupun coklat chips.


6. Bakar biskut selama lebih kurang 20minit pada suhu 170’c. Setiap oven berbeza jadi sesuaikan dengan oven masing-masing.  Sebelum itu panaskan oven sebentar.

8 TIPS MENGHASILKAN BISKUT
Gambar Ehsan Google

1. Pemilihan Tepung
Sebaiknya tepung yang digunakan untuk membuat biskut adalah tepung protein rendah seperti tepung gandum kerana ia akan menghasilkan biskut yang ranggup disebabkan sedikit membentuk gluten berlaku.

Selain tepung gandum, boleh juga tambahkan tepung jagung untuk mendapatkan tekstur biskut yang rapuh.

2. Ayak bahan Kering
Mengayak bahan kering itu penting untuk dilakukan agar tidak ada gumpalan terbentuk disaat proses mengadun. Semua bahan kering seperti seperti tepung, serbuk penaik, gula halus dan garam diayak terlebih dahulu agar tercampur rata. 

3. Jangan putar adunan terlalu lama
Sebaiknya bahan yang kandungan utamanya berasaskan lemak seperti margerin dan shortening jangan diputar terlalu lama bersama dengan mentega. Kalau terlalu lama, biskut yang dihasilkan akan terlalu melebar dan hasilnya biskut kurang cantik.

Gula dan bahan yang berlemak tadi sebaiknya di pukul agar bercampur sahaja kecuali dalam resipi menyatakan mentega atau margarin harus dipukul bersama dengan gula halus sampai tercampur rata dan lembut, contohnya pada pembuatan shortbread.

4. Mencampur Adunan
Ketika menambahkan bahan kering kedalam campuran bahan berlemak dan gula, lakukanlah secara bertahap, sedikit demi sedikit. Kemudian kacau menggunakan  senduk kayu atau spatula secara perlahan agar adunan tidak mengeras. Sebaiknya jangan guna mixer ketika mencampur bahan kering ini, untuk menghindari adunannya over-mixed.

5. Olesi Permukaan Loyang
Permukaan loyang sebaiknya disapu margerin agar biskut yang dihasilkan tidak melekat, boleh juga lapisi loyang menggunakan kertas surih/baking atau silikon yang tahan panas. Boleh juga tabur tepung setelah sapu loyang dengan margerin, tapi harus diingat, tepung yang ditaburkan jangan banyak-banyak, cukup tipis aja, agar tekstur biskut yang dihasilkan tidak berubah.

6. Suhu Oven
Suhu oven yang sesuai digunakan adalah sekitar 150-170°C dan ketika proses biskut dibakar pastikan loyang tidak dialih kedudukan kerana biasanya suhu di dalam oven itu tidak rata.

7. Sejukkan biskut sebelum disimpan
Setelah selesai, jangan lupa untuk memindahkan biskut yang sudah dikeluarkan dari oven ke atas cooling wire, agar biskut dingin dengan sempurna. Jika biskut yang masih panas diletakkan bertindih-tindih, wap panasnya dapat mempengaruhi kerangupan biskut.

Perlu juga diingat biskut yang sudah keluar dari oven masih terus mengalami proses kematangan. Biskut dianggap sudah masak sempurna jika sudah benar-benar sejuk.
Assalamualaikum, 

Rajin tak kita update blog? Ini entry kedua untuk hari ini tau. Hihihi...sementara masih ada sikit-sikit lagi aura rajin ni baiklah guna sepenuhnya. Saya nak habiskan segala gambar dan resipi yang masih banyak  tersimpan dalam draft. Dari terperuk je, baiklah dikongsi bersama...mungkin ada yang tergerak untuk mencuba.

Resipi pada petang ini adalah  biskut susu pekat manis. Hanya 3 bahan je digunakan (tak termasuk coklat rice untuk hiasan) dah boleh jadikan adunan biskut. Untuk adik-adik yang baru belajar nak buat biskut sesuai sangatlah mencuba. Bolehlah tambah-tambah lagi bahan atau hiasan lain ikut kreativiti masing-masing ye. 

Jom tengok resipi biskut susu pekat manis yang simple dibawah ni. Jangan lupa try tau. ;)

BISKUT SUSU PEKAT MANIS 
Bahan-bahan
120ml susu pekat manis 
110gm mentega 
200gm tepung naik sendiri
Coklat rice – untuk hiasan

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 170’c.

2.Putar susu pekat manis dan mentega selama lebih kurang 1 minit dengan mixer (kecepatan sederhana).

3.Masukkan tepung  naik sendiri sedikit demi sedikit. Kacau dengan spatula dan jika masih lembik boleh tambahkan sedikit lagi tepung.

4. Ambil adunan, canai dan terap dengan acuan yang sesuai.

5. Sediakan Loyang yang disapu margerin dan taburan tepung, lalu atur biskut dan hiasan dengan topping yang sesuai.

6. Bakar biskut selama lebih kurang 20minit. Setiap oven berbeza jadi sesuaikan dengan oven masing-masing. 

Assalamualaikum,

Lebih kurang seminggu lagi umat islam akan menyambut kedatangan Hari Raya Aidil Adha @ Hari Raya Korban. Walaupun pada hari Raya ini lebih kepada tumpuan melakukan ibadah korban, tradisi kunjung mengunjung tetap juga diteruskan dan sedikit sebanyak kenalah ada sejenis dua biskut untuk dihidangkan kepada tetamu selain daripada hidangan istimewa yang lain. 

Hari ini saya ingin berkongsi resipi biskut telur masin yang saya buat pada hari Raya Aidilfitri yang lepas. Resipi ini saya ada kongsikan didalam Majalah Saji keluaran Bumper sebab itulah tiada disediakan langkah demi langkah seperti biasa.

Jom kita lihat resipi dibawah ini dan selamat mencuba :) 

BISKUT TELUR MASIN
Bahan-bahannya
250gm tepung gandum
20gm tepung jagung
¼ sudu teh baking powder
1/8 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu besar susu tepung
4 butir kuning telur masin
170gm mentega – dilembutkan
80gm gula icing
½ sudu teh garam halus

Untuk Hiasan
1 biji telur – dipukul ringan
Bijan putih dan hitam secukupnya

Cara membuatnya :

1.Kukus kuning telur masin dan setelah masak , sejukkan dan  lenyek dengan garfu.

2. Ayak tepung gandum, tepung jagung , baking powder, soda bikarbonat dan susu tepung. Ketepikan seketika.

3. Putar mentega dan gula icing menggunakan mixer sehingga gebu.

3. Perlahankan kecepatan mixer, masukkan bahan yang diayak tadi sedikit demi sedikit (3 peringkat) dan masukkan juga telur masin. Campurkan hingga menjadi doh.

4. Masukkan doh kedalam plastik dan simpan didalam petisejuk (chiller) selama 30minit. Setelah itu  canaikan adunan kepada ketebalan 1cm dan terap dengan acuan kegemaran.


5. Atur biskut didalam loyang yang telah dilapik kertas kek terlebih dahulu dan hias dengan sapuan telur dan tabur bijan keatas biskut.

6. Bakar biskut selama lebih kurang 10 -  15minit atau sehingga  biskut masak. Setelah biskut masak sejukkan diatas redai dan bolehlah disimpan kedalam balang kedap udara.
Assalamualikum, 

Haa...hari ini menu yang acah-acah suasana hari raya sedikit iaitu Biskut Arab Susu. Padahal baru minggu lepas saya buat biskut ini untuk anak bawa pulang ke asrama dan habiskan susu tepung yang masih berbaki. Kalau biar tersimpan lama-lama pun lemau dan keras je dalam balang, ada baiknya lah buat biskut. Lagipun resipi biskut arab susu ni sangat-sangat mudah. Campur je semua bahan...bulat-bulatkan, letak ceri dan bakar dalam oven. 

Bila biskut dah masak, golekkan dalam gula icing sampai gebu ye sebab adunan dalam biskut ni tak gunakan gula. Kalau kurang disalut dengan gula icing memang kurang manislah jawabnya. Gambar dibawah ini agak kurang 'berbedak' sedikit kerana saya hanya ayak gula icing keatas biskut sebelum sesi fotografi.

Resipi Biskut Arab Susu ini saya ambil dari blog yatiememories. Terima kasih ye yati kalau membaca entry ini dan izinkan saya berkongsi resipi disini pula :). Jom kita lihat bahan-bahannya dan selamat mencuba.

BISKUT ARAB SUSU 
Bahan-Bahan
2 cawan  susu tepung (Saya guna susu NESPRAY)
2 cawan minyak Sapi (tak perlu di cairkan dulu)
Sedikit garam
7 cawan tepung gandum(di ayak)
Ceri merah dan hijau secukupnya - potong kecil-kecil
Gula aising ( Untuk digaul biskut bila dah masak sahaja)

Cara membuatnya :

1. Campurkan susu tepung, minyak sapi dan sedikit garam. Gaul hingga sebati.

2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh.

3. Bentukkan doh menjadi bulat-bulat kecil, hias dengan ceri dan bakar hingga masak (15- 20min) pada suhu 180' C.

4. Bila biskut dah masak, sejukkan sebentar dan gaul dengan gula aising.

Assalamualaikum,


Biskut Kelapa Salju ini saya benar-benar rekomen pembaca cuba membuatnya kerana ianya sangat sedap dan diakui oleh teman-teman sepejabat yang memang penggemar biskut ini sejak gigitan pertama ketika saya minta untuk mencubanya. Rasanya yang lemak-lemak manis kombinasi kelapa parut kering sungguh memikat selera.

Jom lihat resipi dibawah ini, tapi sebelum itu maafkan saya tidak sertakan langkah demi langkah cara membuatnya kerana ini adalah resipi yang saya hasilkan khas untuk Majalah Saji untuk bulan ini.

BEBOLA KELAPA SALJU
Bahan-bahan
1 cawan mentega - lembutkan
2/3 cawan gula icing
¼ sudu teh garam halus
2 sudu teh esen vanilla
3 sudu besar tepung jagung
2 cawan tepung gandum
1 cawan kelapa parut kering
1 ½ cawan gula icing untuk disalut pada biskut

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 170’c, lapik loyang dengan kertas kek dan ketepikan seketika.

2.Putar mentega bersama gula icing dan garam halus hingga berkrim. Masukkan pula  esen vanilla, tepung jagung dan kelapa parut kering sambil diputar lagi.

3. Akhir sekali masukkan tepung gandum  dan kacau dengan spatula hingga bercampur. Jika adunan agak lembik, boleh masukkan sebentar kedalam peti sejuk agar mudah dibentuk.

4. Ambil 1 sudu besar adunan, bentuk bulat dan atur didalam loyang yang dilapik kertas kek. Bakar dalam 16 – 18minit atau sehingga dibawah biskut keperangan.

5. Bila biskut telah masak dan masih suam golek kedalam gula icing dan pindahkan ke atas redai. Setelah biskut sejuk sepenuhnya, golek sekali lagi kedalam gula icing untuk salutan yang sekata dan bolehlah disimpan kedalam bekas kedap udara.
Assalamualaikum, 

Selain daripada biskut yang manis-manis, biskut yang agak pedas juga tidak kurang enaknya dan sesuai untuk menjadi penghias meja di saat lebaran. Salah satu daripadanya adalah biskut serunding. Gambar dan resipi biskut yang saya buat ini pernah tersiar di di dalam Majalah Saji sebelum ini dan alhamdulillah saya sempat juga ambil gambar langkah demi langkah cara membuatnya.

Jom kita lihat resipi, mungkin ada yang ingin mencuba untuk hari raya kali ini.  

BISKUT SERUNDING
Bahan-bahannya
100gm mentega – lembutkan
20gm gula icing
60gm tepung gandum
60gm tepung jagung
1/8 sudu teh baking powder
Secubit garam halus
1 sudu besar bijan – di goreng sebentar tanpa minyak
30gm serunding daging yang dikisar + ½ sudu teh serbuk cili

Untuk Hiasan
1 biji telur – dipukul ringan
Bijan secukupnya

Cara membuatnya :

1.Panaskan oven pada suhu 170’c dan lapik loyang dengan kertas kek.

2. Putar mentega dan gula icing menggunakan mixer sehingga gebu (jangan terlebih putar, sekadar gula icing larut sahaja).


3. Masukkan tepung gandum, tepung jagung, baking powder dan garam halus yang telah diayak sedikit demi sedikit kedalam adunan dan kacau rata.


4. Seterusnya masukkan serunding  dan bijan kedalam adunan dan uli menjadi doh. Doh ini agak lembut, jadi masukkan kedalam plastik dan simpan dalam 30minit kedalam peti sejuk (chiller)  sehingga doh sesuai untuk dibentuk.



5. Canaikan adunan kepada ketebalan 1cm dan terap dengan acuan kegemaran.


6. Atur biskut didalam loyang yang telah dilapik kertas kek terlebih dahulu dan hias dengan sapuan telur dan tabur bijan keatas biskut.

7. Bakar biskut selama lebih kurang 15minit atau sehingga  biskut masak. Setelah ittu sejukkan diatas redai dan bolehlah disimpan kedalam balang kedap udara.
Assalamualaikum,

Biskut Marble Shortbread adalah sejenis lagi biskut yang mudah untuk dibuat kerana tidak perlu diterap satu-satu menggunakan acuan biskut, cukup bakar didalam satu loyang dan bila dah sejuk hiaskan dengan coklat masakan dan coklat putih. Cuma tips untuk mendapatkan biskut marble shortbread yang sempurna hendaklah gunakan acuan shortbread yang siap menggunakan pemotongnya supaya biskut lebih senang dipotong. 

Bakar adunan biskut dengan acuan pemotong dan setelah biskut masak keluarkan pemotong perlahan-lahan dan biarkan biskut sejuk dalam 10minit sebelum hiaskan dengan coklat masakan.

Resipi biskut marble shortbread ini saya ambil dari fotopages Rinnchan dan ubah sedikit bahan-bahannya.

BISKUT MARBLE SHORTBREAD 
Bahan-bahan: 
220gm mentega 
70gm gula caster 
250gm tepung gandum 
2 sudu besar tepung beras (diayak bersama tepung gandum) 
1/4 sudu teh garam 

Coklat Hiasan 
200gm coklat masakan 
1 sudu besar shortening 
* Dicairkan melalui kaedah `double-boil` 

50gm coklat putih 
* Dicairkan melalui kaedah `double-boil` 

Cara membuatnya :

1. Pukul mentega dan gula hingga kembang. Masukkan tepung dan uli hingga menjadi doh. Jika agak melekit di tangan tambah sedikit tepung gandum. 

2. Kemudian sapukan mentega cair pada loyang bersaiz 10x10 dan lapiskan dengan kertas minyak.

3. Setelah itu canaikan doh di dalam loyang, cucuk dengan garfu. Tekan alat pemotong ke dalam adunan biskut dan bakar pada suhu 160 darjah celcius selama 25 minit. 

4. Bila biskut masak, keluarkan alat pemotong perlahan-lahan dan biarkan sehingga biskut sejuk (dalam 10minit) sebelum dihias dengan coklat.

5. Cairkan coklat masak + shortening, kemudian tuang atas biskut yang telah disejukkan tadi.


6. Cairkan coklat putih, masukkan ke dalam piping beg dan lorekkan atas coklat masakan. Tarik coklat putih dengan lidi untuk dijadikan corak batik.

7. Masukkan semula alat pemotong kek ke dalam biskut dan sejukkan dalam fridge selama 10minit atau sehingga coklat telah keras.


8. Bila coklat dah beku, keluarkan alat pemotong dan pisahkan biskut sebelum menyimpan ke dalam bekas kedap udara. 
Assalamualaikum,

Biskut Semperit Susu Berkeju sempat menjadi resipi tular di media-media sosial pada tahun 2014 dan ini merupakan biskut favourite anak sulung saya. Tekstur biskut yang mencair dimulut dan sedap sangat.

Saya sempat buat satu adunan sahaja sebelum ini kerana permintaan anak untuk dibawa pulang ke asrama hari minggu yang lepas dan kabarnya dah habis pun dinikmati bersama teman-temannya. InshaAllah sehari dua lagi saya bercadang untuk buat lagi sempena lebaran. 

Resipi Biskut Semperit Susu Berkeju yang sedap ini saya ambil dari blog anna qawina. Terima kasih juga kepada Marizah Miza yang upgrade resipi semperit susu kepada versi cheese. izinkan saya share sekali lagi disini untuk sesiapa yang ingin mencubanya.

BISKUT SEMPERIT SUSU BERKEJU 
Sumber : Annaqawina / Marizah miza

Bahan-bahan: 
250gm susu pekat manis 
250gm butter lembut (tapi jangan terlalu lembik) 
500gm @ 540gm tepung jagung  
3 sudu besar adunan keju (resepi di bawah)   

Adunan Keju : 
(Pukul sebati semua bahan sampai pekat,simpan dalam peti ais boleh tahan selama 2 minggu) 
125gm cream cheese di biar lembut suhu bilik
2 sudu besar susu pekat
1/4 cawan susu cair 
1/4 cawan fresh cream (cair) 

Cara-cara : 

1. Pukul sebati susu pekat manis, butter dan adunan keju. Tak perlu pukul sampai kembang atau putih gebu.  Pukul guna senduk je.

2. Masukkan tepung jagung sedikit demi sedikit, sambil digaul sebati. Jika anda suka biskut yang lembab-lembab teksturnya, guna hanya 500g tepung jagung. Jika anda ingin tekstur biskut yang rangup tapi tetap cair dimulut, masukkan 540g tepung jagung. Jika suka biskut semperit susu berkeju bewarna, bolehlah titiskan warna kegemaran didalam adunan. 

3. Picitkan atas dulang yang dialas baking paper/oles dengan mentega. Tekankan ceri merah@coklat chips di atasnya.

4. Bakar dalam oven yang dipanaskan terlebih dahulu, 170C untuk 12-15 minit atau hingga bawah/tepi biskut nampak mula keperangan. Sejukkan dan simpan didalam bekas kedap udara. 

Tip: Untuk biskut, tak perlu dipukul sampai kembang seperti membuat kek, kecuali ia dinyatakan dalam resepi. Ini kerana apabila butter dan gula@susu pekat manis dipukul hingga kembang/gebu, kita masukkan udara ke dalam adunan. Apabila adunan ini dibakar, udara dalam adunan akan mengembang dan ini akan menyebabkan biskut turut mengembang. 
Assalamualaikum,

Wah...lama rasanya tidak update sebarang resipi. Kurang rancak sedikit ramadhan kali ini kerana kesihatan agak merosot di uji dengan demam selesema sebelum ini dan minggu ini sakit gigi pula yang tak tertahan-tahan denyutannya, sedangkan gigi yang sakit itu adalah gigi bertampal dan tak ada tanda-tanda terkeluar pun tampalannya. Memang benar-benar menguji kesabaran menjalani ibadah puasa di bulan yang mulia kali ini. Tapi sebagai sebagai hambaNya saya ikhlas dan redha dengan ujian yang sedikit ini. Masih ada lagi orang yang lebih besar di uji oleh Allah s.w.t di bulan puasa ini tanpa sedikitpun berkeluh kesah.

Di media-media sosial pula saya lihat teman-teman blogger begitu rancak berkongsi resipi biskut raya dan saya sempat juga buat yang simple-simple tapi dalam bulan ramadhan ini saya mohon maaf kerana tak semua resipi yang saya sempat sediakan langkah demi langkah cara membuatnya. 

Untuk resipi biskut raya yang pertama, jom kita lihat resipi biskut almond coklat dibawah ini :
BISKUT ALMOND COKLAT
Bahan A
220 gram mentega
210 gram gula icing
100gm shortening
1 sudu teh esen vanila

Bahan B
350 gram tepung gandum
135 gram tepung beras
25 gram serbuk koko
90 gram badam kisar
1 sudu teh emplex

Bahan C
Coklat masakan untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :

1.Masukkan semua bahan A kedalam mangkuk besar dan pukul hingga sebati dan gula larut.

2.Masukkan pula kesemua bahan B dan kacau hingga semua bercampur menjadi adunan.

3.Canai dan terapkan dengan acuan kegemaran, atur biskut didalam loyang dan bakar pada suhu 150'c  selama lebih kurang 25 minit. Bila biskut dah masak, sejukkan di atas redai.

5.Setelah itu lorekkan dengan coklat masakan dan setelah kering, simpan dalam bekas kedap udara. 
Assalamualaikum, 

Nampaknya ramai dah pulang ke kampung untuk menyambut lebaran tahun ini. Pagi ini kita di kejutkan dengan cerita sedih kemalangan maut yang telah meragut nyawa 7 sekeluarga dalam kejadian yang berlaku dekat RKT KESEDAR, Renok, di Gua Musang - Kuala Krai. Takziah kepada keluarga yang ditinggalkan dan bagi yang memandu untuk pulang kekampung tu berhati-hatilah dijalanraya dan pandulah dengan berhemah. Nasihat ini untuk diri sendiri juga dan harapnya kita semua selamat sampai ke destinasi.

Untuk entry blog hari ini pula saya ingin kongsikan resipi biskut mentega kacang yang saya buat 5 hari lepas tetapi baru hari ini masuk ke blog kerana agak sibuk dengan persiapan persalinan hari raya untuk anak-anak dan anak yang bongsu juga kurang sihat kerana demam selsema. Jadi bila sibuk uruskan keluarga ni, masa agak terhad untuk berblogging. Hari ini ada masa bolehlah tepek resipi. Saya suka biskut ni sebab kurang manis dan terasa mentega kacangnya. Kalau suka manis bolehlah lebihkan sedikit lagi gula aising, tapi bagi saya 150gm gula aising pun dah sedap.

Jom tengok resipi dibawah ni :) 
BISKUT MENTEGA KACANG 
Bahan-bahan
700gm tepung gandum
150gm gula aising
250gm mentega kacang (Jenis halus berkrim)
1/4 sudu teh garam halus
240ml minyak jagung
2 biji kuning telur (Untuk disapu permukaan biskut)
Kacang goreng dikupas kulit untuk hiasan diatas biskut

Cara membuat:

1. Campur tepung gandum, gula aising, mentega kacang dan garam halus kedalam mangkuk besar. Jika mentega kacang sudah agak masin, jangan letakkan garam. Saya guna mentega kacang lady's choice jadi ianya lebih sedap jika dimasukkan 1/4 sudu teh garam halus. Gaul kesemuanya hingga rata.

2. Seterusnya tuang minyak jagung kedalam bahan tepung tersebut sedikit demi sedikit dan uli hingga sebati.

3. Gelek adunan dan terap dengan acuan yang sesuai. Atur dalam loyang, tekan kacang ditengah biskut sebagai hiasan dan sapu dengan kuning telur.

4. Bakar didalam oven pada suhu 150'c selama lebih kurang 25minit (Bergantung kepada oven masing-masing - setiap oven berbeza)