Memaparkan catatan dengan label BUKU RESIPI - 2. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BUKU RESIPI - 2. Papar semua catatan
Assalamualaikum,

Salam petang jumaat yang penuh barokah. Hari ini saya nak review secara ringkas buku resipi Menu Hari-Hari, iaitu buku resipi saya yang kedua. Buku ini mengandungi 100 jenis resipi ringkas dengan gambar menu yang mengujakan. Buku ini dibahagikan kepada menu sarapan, tengahari dan malam.

Untuk petang ini saya ingin kongsikan salah satu resipi yang ada dalam buku ini iaitu resipi capati bagi kategori sarapan pagi.

Untuk pembaca blog yang ingin memiliki buku resipi menu hari-hari bolehlah dapatkan di kedai buku terpilih ataupun pembelian secara online di link ini: Karangkraf / bookjannah.com /malaysia.kinokuniya.com / mphonline.com . Sungguh mudah, semua urusan dihujung jari anda.

CAPATI 
Bahan-bahan 

1 cawan tepung atta ataupun tepung gandum 
½ sudu besar minyak sapi – untuk proses menguli 
¼ cawan tepung gandum – ditabur ketika meleperkan doh 
½ cawan air
secubit garam

Cara membuat :

1. Didalam mangkuk besar, campurkan tepung dan garam. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil gaulkan tepung dengan jari.

2. Seterusnya uli tepung selama 10minit. Pada peringkat ini doh mungkin kelihatan tidak rata dan melekit.

3. Tutup doh dengan kain lembab dan rehatkan selama 15minit.

4. Keluarkan doh, lembabkan tangan dengan minyak sapi dan uli doh selama 5 minit lagi hingga licin.

5. Potong doh kepada 5 bebola kecil dan taburkan tepung gandum ke atasnya sebelum menggelek hingga nipis.

6. Bakar di atas kuali leper sambil ditekan perlahan hingga masak di kedua-dua bahagian. Hidangkan dengan kuah kari atau kuah dal.

Resipi KARI SARDIN ALA MAMAK ada dibawah ini atau untuk tutorial bergambar boleh klik di SINI 

KARI SARDIN ALA MAMAK
Bahan A ( di tumbuk)
1 Labu bawang besar 
1/2 inci halia

Bahan B (Tumis)
3 sudu besar minyak masak
1 sudu besar serbuk cili 
1/2 sudu teh serbuk kunyit 
1 sudu teh halba
1 sudu teh biji sawi 
2 pelepah daun kari 
3 tangkai cili kering - di potong 3

Bahan C 
2 biji kentang - di kupas dan potong berbaji
1/2 sudu besar asam jawa adabi
Garam dan gula secukup rasa

Cara Memasak:

1. Panaskan kuali, masukkan minyak masak.
2. Seterusnya tumis biji sawi, halba, cili kering dan daun kari. Kacau hingga berbau wangi dan kekuningan.
3. Masukkan pula bahan yang di tumbuk tadi (Bahan B) dan kacau lagi.
4. Seterusnya masukkan serbuk kunyit, serbuk cili dan kacau hingga terbit minyak.
5. Tambahkan 1 1/2 cawan air, kentang dan garam secukup rasa. Apabila kuahnya telah pekat, masukkan pula sardin bersama 4 sudu besar sosnya dan renihkan hingga masak sepenuhnya.

Ada banyak lagi resipi ringkas dan lazat dalam buku ini. Dapatkan sekarang dipasaran!

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, kita telah diberi peluang untuk melangkah ke tahun 2016 dan meninggalkan 2015 dengan berbagai cerita suka dan duka. Semoga tahun ini memberikan lebih kejayaan dan kita dikurniakan kesihatan yang baik dan berada didalam lingkungan keluarga yang bahagia. Semoga juga tahun 2016 ini memberi anjakan yang lebih positif kepada ekonomi dan suasana politik semasa di Malaysia seperti yang diharapkan oleh setiap warganegara yang mahukan perubahan.

Sebagai pembuka tirai 2016 juga saya amat gembira sekali kerana 'buah hati' kedua iaitu buku resipi MENU HARI-HARI dijadualkan berada dipasaran pada bulan ini.  Buku MENU HARI-HARI ini menyajikan 100resipi mudah citarasa masyarakat Malaysia hasil kombinasi kepelbagaian masakan Melayu, Cina, India, Barat dan digarap kemas dengan foto begitu menarik sekali oleh team Grup buku Karangkraf.

Memang menjadi trend dan mudah mencari resipi di google dan media sosial sekarang ini tetapi lebih praktikal memilikinya dalam bentuk buku sebagai koleksi atau hadiah untuk yang tersayang. 


Selain dari dijual di kedai-kedai buku, amatlah mudah sekali untuk membuat pembelian secara online dengan melayari http://mall.karangkraf.com/ atau WhatsApp ke nombor 011-29061240.

Buku kedua ini amat bermakna kepada saya kerana memang mencabar memasak bersendirian tanpa pembantu didapur kecuali seorang adik angkat yang datang ketika sesi penggambaran bermula dan membantu mencuci kelengkapan yang digunakan untuk memasak sebelumnya.


Penggambaran juga dijalankan di rumah singgah saya di Subang dan oleh kerana rumah tersebut jarang saya kunjungi maka alatan memasak agak terbatas disitu. Ada juga bahan masakan yang susah untuk dicari disana saya terbangkan khas dari Langkawi bersama pinggan mangkuk yang sesuai untuk sesi penggambaran. Mencabar tapi amat menyeronokkan sekali bekerja dengan team grup buku Karangkraf iaitu editor dan Jurugambar yang sangat 'sporting'. Rasa seperti berada di lingkungan keluarga sendiri.


Saya amat syorkan anda miliki buku ini dan bahagiakan keluarga anda dengan masakan dari air tangan sendiri dan bantu jimatkan perbelanjaan keluarga dengan menyajikan masakan di rumah. 

InshaAllah resipi yang ditampilkan juga setaraf, malah lebih enak dan menyihatkan daripada yang disajikan di gerai atau restoran kerana anda juga bebas menggunakan minyak terbaik dan kurangkan gula atau garam dalam masakan. 

Dapatkan Naskah anda hari ini!