Memaparkan catatan dengan label BURGER. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BURGER. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 


Bila anak bujang yang tingkatan dua balik bercuti dari asrama ada sahajalah projek memasak makanan ringan seperti menggoreng kentang@wedges sejuk beku hinggalah membuat burger sendiri untuk adik-adik. Selalunya dia masak waktu malam selepas saya pulang dari pejabat dan semestinya dengan pengawasan. Saya hanya benarkan dia menggunakan portable stove untuk membakar daging dan roti burger. Seronoknya alahai dapat masak dengan adik-adik di luar rumah. Riuh rendah jadinya nak boleh siap dan makan sebiji burger pun. Tapi puas hatilah kan dapat greenlight untuk masak sendiri.

Hari ini buat pertama kalinya saya tidak akan berkongsi resipi kerana dua sebab iaitu yang pertama gambar burger di blog kali ini bukan hasil air tangan saya tetapi di sediakan bahan-bahannya dan di masak oleh Haikal, anak bujang saya yang berusia 14 tahun, mama hanya siapkan props dan shoot sahaja dan yang kedua saya ingin kongsikan cara yang betul memasak burger yang saya fikir bagus sekali untuk adik-adik yang nak belajar masak sendiri atau untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Sumbernya saya ambil di SINI. Terimakasih kepada admin page Jom kerja di rumah, saya tak tahu siapa penulis asalnya dan tips ini dah lama berlegar di internet tetapi ia begitu bermanafaat hingga saya tergerak untuk berkongsi di blog ini. 

CARA MEMBUAT BURGER YANG SEDAP
Kategori Burger yang sedap mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:
  • Sedikit pedas
  • Sedikit manis
  • Sedikit berkrim
  • Sedikit berempah
  • Kaya dengan sos
  • Aroma yang sedap dan menyelerakan
  • Penampilan yang menggiurkan
  • Harganya mestilah murah dan berpatutan
KUALI
Sebaiknya dari jenis besi yang tebal. Memang harganya mahal sedikit, sebab ia lebih bagus kerana haba dari api akan lebih stabil dan menyeluruh. Sebelum masak cuci kuali dahulu dengan air dan sabun pencuci pinggan. Sesetengah peniaga burger (tak semua, ada yang bagus) tidak menjaga kebersihan atau basuh kuali dengan betul dan hanya simbah-simbah sahaja dengan air kemudian gosok dengan scraper.

API
Gunakan api kecil atau sederhana sahaja dan jangan sesekali masak burger pakai api besar. Nanti daging burger cepat hangus, jadi garing macam keropok dan rasanya tak best. 

MARJERIN
Sapukan marjerin nipis sahaja ke serata kuali, fungsinya agar kuali tak melekat ketika masak.
DAGING
Sebaiknya daging sudah di-defrost-kan (nyahbeku) terlebih dulu agar cepat masak. Tapi jika daging tu masih beku tak mengapa, letak sahaja di kuali, cuma jangan sesekali gatal tangan besarkan api kerana inilah penyebab daging burger keras, garing dan hangus. Biar sahaja daging tu jadi lembut dan masak perlahan-lahan. Tak payah sibuk-sibuk letak marjerin, nanti daging tu akan keluar minyak sendiri.                                                                                     
TEKNIK MENGGORENG
Balik-balikkan daging burger ketika memasak. Tak perlu sibuk-sibuk tekan daging tu, nanti semua jus daging akan hilang dan keras.

TEKNIK KETUK LUBANG
Teknik ini sangat bagus, sebabnya ialah selain dari membantu agar daging semuanya masak, ia juga jadi tempat untuk perencah meresap dan terperangkap. Selain itu juga, agar daging tetap tebal dan lembut serta lebih terasa apabila digigit dan dikunyah.

TEKNIK MEREMPAH
Setelah diketuk-ketuk sampai berlubang, sila pastikan daging telah masak kemudian tekan sikit daging tu untuk membuang minyak yang berlebihan. Tekan 2-3 kali saja – jangan terlebih pulak. Lepas tu bubuhlah perencah ikut step, iaitu:

Worchestershire Sauce – Lea & Perrins. Jangan letak banyak, ala kadar sahaja.
Kicap Perasa – Saya lebih suka brand Maggi.
Serbuk lada hitam - saya guna 
Serbuk Lada Sulah - belum pernah cuba
Serbuk Kari Daging- belum pernah cuba
Air Bawang Putih   - belum pernah cuba

Saya tak pernah gunakan serbuk lada sulah, serbuk kari daging dan air bawang putih seperti yang di nyatakan ketika membuat burger. Bolehlah cuba jika ingin kelainan. 

Lepas selesai letak perencah, anda balikkan daging sekali, lepas tu tekan sekali jer dan angkat. Letak kat roti yang telah disediakan. Sekali lagi ditekankan, pastikan memasak daging jangan over cook, nanti rasa dia hilang dan keras.

AIR BAWANG PUTIH
Ia bertujuan untuk mengelakkan daging jadi over dry. Air bawang putih akan menggantikan jus daging yang sebahagiannya telah hilang waktu proses memasak tadi. Cara buatnya senang sahaja. Kupas bawang putih lepas tu ketuk hingga hancur. Masukkan dalam botol, bubuh air dan goncang. Tak perlu bubuh garam.

ROTI BURGER
Lepas belah dua, sapu marjerin nipis saja tapi menyeluruh. Bakar roti di kuali di bahagian isi tengah saja. Bahagian kulit atas dan bawah jangan bakar, nanti berminyak dan lembik pulak. Jangan gatal-gatal tangan tekan roti tu waktu membakarnya. Lepas bahagian yang dibakar tu dah jadi perang sikit, angkatlah. Sebaiknya letak atas alas berjaring bukan di tempat yang rata seperti pinggan. Letak kat alas berjaring akan membuatkan hot air circulation pada roti lancar. Roti jadi gebu, garing dan mantap. Jika korang letak kat tempat flat, roti nanti jadi lembik.

SAYUR
Lepas roti dah dibakar, bolehlah letak sayur. Ada beberapa pilihan sayur. Salad, lettuce, kobis, tomato, bawang holland dan timun.

Salad, lettuce dan kobis – Sebaiknya hiris ler. Kobis tu paling bagus kalau dihiris halus-halus, baru lah mantap. Tomato juga perlu dihiris. Bawang pula boleh pilih sama ada nak hiris atau potong dadu. Timun lebih baik kalau timun jepun – lebih rangup dan tiada risiko liat dan pahit seperti timun biasa.


SOS CILI
Sebaiknya gunakan sos cili yang ada jenama di pasaran dan elakkan pakai sos cili murah, nanti rasa burger tak sedap.


SOS TOMATO
Kalau nak gunakan sos tomato, carilah yang rasanya kurang masam. Gunakan sedikit sahaja. 

SOS LADA HITAM 
Kalau letak ni pun bertambahlah sedapnya burger kita. Syaratnya pastikan sos lada hitam tu pedas-pedas manis sikit. Bolehlah adjust sendiri dengan kicap manis cap Kipas Udang + sedikit gula atau madu. Insya’Allah sedap.

MAYONIS
Mayonis yang paling sesuai ialah brand Ladys Choice. Tapi harganya mahal. Brand murah rasanya agak masam sedikit – masam tak bagus untuk burger citarasa Malaysia ini. Kalau nak jimat, beli jer mayonis peket jenama murah sikit. Lepas tu adjust dengan menambah gula castor atau gula icing sesudu dua dan gaul rata.

KEJU
Kalau nak letak keju pun boleh, cuma mahal le sikit.

TELUR
Telur ni untuk benjo sahaja mulanya. Tapi sekarang dah jadi trend burger tambah telur jadi burger special. Ada macam-macam fesyen dan teknik. Ada yang masak pakai acuan (old style), ada yang buat dadar lepas tu lipat dan ada yang buat dadar lepas tu bungkus daging burger.
Bagi saya, jika nak rasa telur tu benar-benar terasa ialah dengan mengunakan teknik acuan. Telur akan utuh dalam bentuk alaminya dan ketebalannya itulah yang menyebabkan rasa telur itu muncul. 

MADU
Boleh cuba letak madu pada daging burger dan guna madu murah sahaja seperi brand Tesco. Ingat, burger yang sedap harus berasa sedikit manis, sedikit pedas dan agak soggy/basah. Rasa masam akan merosakkan rasa burger.