Assalamualaikum
Selamat berhujung minggu untuk semua pembaca yang sudi masuk ke blog ini. Perkongsian resipi untuk petang ini adalah muffin epal hijau. Walaupun epal buah yang di import, ia agak sinonim dengan selera masyarakat Malaysia dan dipelbagaikan juga dalam hidangan harian seperti dibuat jus, salad, kerabu, kek dan juga muffin. Lagipun harganya pun murah. Kalau di Langkawi ni sebiji epal hijau boleh didapati dengan harga semurah 90sen dan rasanya di luar Langkawi boleh dapat harga lebih murah daripada itu kerana di sini memang rata-rata harga barang yang dibawa masuk melalui kargo dari tanah besar harganya agak tinggi sedikit disebabkan pemborong terpaksa menanggung kos pengangkutan.
Baiklah berbalik kepada resipi muffin epal hijau ni, tidaklah sesukar mana pun.Sama juga dengan resipi muffin-muffin yang lain cuma adunan muffin epal hijau agak pekat. Tapi jangan risau, sebaik sahaja dibakar teksturnya akan menjadi gebu dan semestinya sangat enak.
Jom lihat resipi yang saya sediakan dibawah ini :)
MUFFIN EPAL HIJAU
Bahan A
1 ½ cawan gula
2 biji telur
1 cawan minyak masak (Guna minyak sayuran lebih sihat)
1 sudu teh esen vanilla
Bahan B - Diayak
3 cawan tepung gandum
1 sudu teh garam halus |1 sudu teh baking soda |1 sudu teh kulit kayu manis
Bahan C
3 cawan epal - dikupas dan cincang halus
Gula perang secukupnya untuk ditabur atas muffin
Cara membuatnya :
1.Panaskan oven pada suhu 180’c dan siapkan cawan muffin.
2.Kacau gula,telur,minyak dan esen vanilla dengan spatula@hand whisk sehingga gula hancur.
3.Didalam bekas lain, ayak tepung gandum, garam halus, baking soda dan kulit kayu manis.
4.Seterusnya masukkan bahan yang diayak tadi sedikit demi sedikit kedalam bahan basah dan kaup balik hingga bercampur (jangan terlebih kacau kerana muffin akan menjadi keras).
5. Masukkan pula epal cincang dan kaup balik sekali lagi.
6.Adunan menjadi agak pekat, tapi jangan risau kerana hasilnya selepas dibakar gebu dan lembut. Sudukan adunan tersebut kedalam cawan muffin yang telah disediakan dan tabur gula perang diatasnya. Bakar pada suhu 180’c (api atas dan bawah) selama 20-24minit.