Memaparkan catatan dengan label AISKRIM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AISKRIM. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Sudah menjadi trend sekarang banyak cara kreatif di gunakan untuk menghidangkan makanan. Yang jadi kegilaan baru adalah aiskrim pasu. Kalau tengok 'presentation' aiskrim yang di hidangkan dalam pasu yang di gunakan untuk tanam pokok tu, walaupun bersih...jujurnya rasa macam tak sanggup nak telan. Di tambah pula dengan serbuk oreo yang kelihatan seakan-akan tanah sebenar. 

Oleh kerana anak gadis saya teruja sangat nak buat aiskrim dalam pasu, saya gunakan mangkuk tembikar yang seakan-akan cawan. Biasalah anak-anak ni bila benda baru menjadi 'trend' memang mereka tak nak ketinggalan. Cuma daun pudina tak ada jadi saya gantikan dengan bunga plastik. Itupun letak di hujung 'straw' minuman sahaja sebagai hiasan. 

AISKRIM PASU
Bahan-bahan

Beberapa biji pasu kecil - saya guna mangkuk tembikar 
Aiskrim secukupnya - perisa ikut citarasa sendiri
kek cawan atau kek span biasa yang di potong mengikut saiz dasar pasu
1 bungkus kecil biskut oreo - di buang inti dan hancurkan
straw minuman secukupnya
Daun pudina - boleh gantikan dengan bunga plastik (steril terlebih dahulu)

Cara membuat:

1. Masukkan kek cawan kedalam pasu dan tekan ke dasarnya.
 2. Cucuk straw di tengah-tengah kek sebagai tempat untuk meletak bunga nanti.
 3. Sudukan aiskrim perisa kegemaran keatas kek.
 4. Taburkan pula serbuk oreo ke atas aiskrim dan ratakan.
 5. Seterusnya letakkan daun pudina atau bunga (saya gunakan bunga plastik) ke dalam lubang straw dan hidangkan.

Assalamualaikum, 

Cuaca panas betul sehari dua ini. Apalagi tinggal di pulau yang di kelilingi lautan seperti di tempat saya. Ada kalanya wap panas yang bertiup bersama angin dari lautan terasa begitu menggigit dan membahang sekali. Ketika cuaca panas begini, pengambilan buah-buahan segar sangat bagus selain daripada air putih. Saya ada buatkan aiskrim buah campuran untuk anak-anak kerana dalam cuaca begini mereka suka benar membeli aiskrim yang manis di buat dari air berkarbonat di kedai runcit kawasan perumahan saya sekembalinya dari sekolah.Kandungan gula yang tinggi dalam aiskrim tersebut tentulah tidak baik untuk kesihatan. 

Aiskrim buah campuran yang kita buat sendiri di rumah lebih segar dan menyihatkan serta mudah pula di sediakan.

Jomlah kita lihat resepinya...
AISKRIM BUAH CAMPURAN
Bahan-Bahan
1/2 biji buah tembikai tanpa biji
1 biji buah kiwi - di kupas kulitnya dan potong nipis
1 biji buah oren sunkist - di kupas kulitnya dan potong dadu 
3 sudu makan madu atau gula yang dicairkan - Pilihan 
Cara membuatnya:

1. Sediakan acuan aiskrim. Atur buah kiwi dan oren sunkist berselang seli dalam acuan tersebut.
2. Kisar buah tembikai di dalam blender dan jika suka bolehlah dicampurkan dengan madu atau gula yang di cairkan. Jika tembikai tersebut sudah manis dan gemarkan rasa asli buah tidak perlu masukkan gula atau madu tersebut.
3. Tuang jus tembikai tersebut ke dalam acuan aiskrim tadi dan sejukkan di dalam peti ais hingga benar-benar beku iaitu lebih kurang 6 jam.

4. Setelah beku lalukan sedikit air suam di atas acuan aiskrim untuk memudahkan aiskrim tanggal dan hidangkan segera.
# Jenis buah-buahan bolehlah di ganti mengikut kesukaan dan pilihan anak-anak.  

Selain dari aiskrim di pasaran dengan pelbagai rasa menarik, bagi peminat aiskrim juga boleh membuatnya sendiri di rumah. Pernah rasa aiskrim labu kuning? Saya beri nama resepi ini 'Pumpkin Ice cream'. Dengar lebih komersil kan? :)

Sabar je lah...dalam cuaca panas begini terliur di buatnya. Rasanya lemak-lemak berkrim ..resepinya ada saya sertakan sekali. :)
PUMPKIN ICE CREAM
Bahan-bahan
400gm labu kuning, di kupas, kukus hingga empuk dan haluskan (di lecek)
1 tin susu cair
130ml air masak
3 sudu makan gula pasir
100gm kismis di rendam air mendidih hingga lembut, saringkan.

Cara-cara

1. Campur labu, susu cair dan gula. kacau hingga larut. Masukkan ke dalam bekas tertutup dan bekukan dalam freezer. Bagusnya guna bekas dari tin kerana lebih cepat beku.

2. Keluarkan ais yang sudah beku dari dalam freezer, haluskan dengan blender. Bekukan lagi dalam freezer, jika inginkan tekstur aiskrim yang lembut ulangi proses beberapa kali.

3. Setelah di blender kali terakhir, campurkan kismis dan kacau rata.

4. Masukkan kembali ais ke dalam bekas tertutup, bekukan sekali lagi dan bolehlah di hidangkan. 

Dulu waktu zaman kanak-kanak, suka sangat beli aiskrim ni. Selalunya ada orang masuk jual di kampung. Aiskrimnya di potong dan cucuk dengan lidi. Ada berbagai perisa seperti durian, kacang merah dan jagung. 


Apa kata kita cuba buat sendiri aiskrim ni di rumah. Boleh je di isi kedalam bekas ais cube dan cucuk dengan lidi ketika menghidangkan nya...untuk mengimbau nostalgia lama.   :)

AISKRIM POTONG- PERASA KACANG MERAH
BAHAN
200gm gula pasir
3sudu besar susu tepung
350ml air

BAHAN B
2sb paras tepung ubi
2sb paras tepung jagung
50ml air
-campurkan tepung-tepung dengan air - kacau rata.

BAHAN C
80gm susu pekat
500ml santan pekat
250gm kacang merah dalam tin di lecek
sedikit pewarna merah

Cara-cara
1. Guna kaedah whisk supaya tidak berketul-ketul dan sentiasa di kacau supaya tekstur aiskrim halus di atas api yang sederhana.

2. Masak bahan A sehingga gula larut. Masukkan bahan B sampai didih. Masuk kan bahan C. Bila mendidih, matikan api.

3. Tuang dalam acuan ais krim atau ice-cube tray.

4. Bila dah sejuk, masukkan ke dalam freezer dan bekukan.