Memaparkan catatan dengan label KERABU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KERABU. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Pernah dengar tak siput kabung? Siput kabung adalah sejenis siput laut yang mirip kepada siput kupang tetapi isinya kecil sedikit, lebih lembut dan agak manis. Jika ditempat lain saya tak pasti ada atau tidak siput ini atau mungkin ada nama lain yang diberikan. Jika di pantai perairan Langkawi siput ini memang mudah didapati dan sekarang adalah musimnya.

Selalunya siput kabung dipelbagaikan dalam masakan seperti digulaikan dengan betik mengkal, goreng kicap, dijadikan jemput-jemput dan kerabu juga. Hari ini saya nak kongsikan resipi kerabu siput kabung dan bagi yang susah nak dapatkan siput ini boleh je gantikan dengan siput lain. Gantikan dengan udang kertas atau sotong yang direbus juga sedap tau. 

Jom kita tengok resipi dibawah ni. 
KERABU SIPUT KABUNG 
Bahan-bahan
500gm isi siput kabung - Rebus sebentar dan toskan
1 labu bawang besar 
3 tangkai pucuk gajus & 5 tangkai kacang botol@ kelisa 
1 sudu besar kerisik 

Bahan tumbuk 
5 tangkai cili merah 
7 tangkai cili padi 
1 inci belacan 
Garam & gula secukup rasa
2 biji limau kasturi - diambil jusnya dan gaul dengan bahan tumbuk

Cara membuatnya:

1. Rebus sebentar isi siput kabung dan toskan. Ketepikan seketika.

2. Bawang besar, kacang botol@kelisa dan pucuk gajus dimayang halus.

3. Didalam mangkuk besar campurkan kacang kelisa, bawang besar, pucuk gajus, kerisik dan sambal yang telah ditumbuk tadi sambil digaul rata.

4. Tuang bahan yang digaul tersebut kedalam bekas isi siput kabung dan gaul hingga sebati. Rasa sekali lagi masam, masin, pedas dan manis campuran kerabu tersebut dan adjust ikut selera anda. 
Sekian perkongsian kerabu siput kabung yang sungguh simple dan selamat mencuba.

Assalamualikum,

Salam satu ramadhan 1438Hijrah untuk semua pembaca blog yang sudi masuk ke sini. Juadah apa yang disediakan untuk keluarga awal ramadhan ini agaknya ye. Kebetulan kali ini 1 ramadhan jatuh pada hujung minggu dan ini memberi kesempatan untuk wanita bekerjaya membuat perancangan yang secukupnya untuk menyediakan juadah. Maklumlah bukan semua yang bernasib baik bekerja di Jabatan yang memperuntukkan cuti awal ramadan, contohnya saya yang bekerja di sektor swasta ni. Jadi hari ini kebetulan cuti mingguan dapatlah memperuntukkan masa untuk keluarga sebaik-baiknya.

Ramadhan kali ini juga memberi kegembiraan kepada saya sekeluarga kerana dua orang anak diasrama pulang menyambut puasa selama 2 minggu sempena cuti sekolah. Maka berbagai-bagai jenis masakanlah yang diminta dan hari ini anak dara sulung teringin nak makan kerabu mangga muda waktu berbuka tadi. Jadi saya masukkanlah entry kerabu mangga muda malam ini kepada yang ingin mencubanya. 

Untuk menghormati bulan ramadhan yang mulia ini, entry blog akan saya publish pada waktu malam dan niatnya hanya sekadar memberi idea kepada sesiapa yang ingin menyediakan sendiri hidangan untuk keluarga. Resipi yang akan dikongsikan pun yang mudah-mudah sahajalah dan tidak mengambil banyak masa untuk disediakan.

Jom lihat resipi 

KERABU MANGGA MUDA
2 biji mangga muda - disagat 
1/2 batang lobak merah - disagat
3 tangkai kacang panjang - di hiris 
7 tangkai cili padi 
2 sudu besar udang kering - rendam dalam air panas dan toskan
2 labu bawang besar - di mayang
1 sudu gula pasir - Boleh juga guna gula melaka
2 biji limau kasturi - ambil jusnya
sedikit sos ikan (jika letak sos ikan, jangan letak garam lagi, nanti terlebih masin)
kacang tanah goreng - ditumbuk kasar

Cara membuat:

1. Mangga dikupas dan dihiris halus-halus memanjang ataupun disagat.

2. Campurkan bawang besar, cili padi , gula, sos ikan, udang kering, air perahan limau kasturi dan pastikan secukup rasa dan gula larut. Kalau inginkan rasa lebih sebati bolehlah tumbuk kasar bahan-bahan ini (seperti membuat somtam)

3. Seterusnya masukkan mangga, lobak merah, kacang panjang dan kacang tanah. Gaul hingga sebati, dan bolehlah dihidangkan.
Assalamualaikum, 


Pernah makan tak kerabu tembikai? Rasanya kerabu ni lebih dikenali di utara semenanjung Malaysia atau tepatnya di Kedah dan Perlis. Tetapi mungkin juga ada tempat di negeri-negeri lain sinonim dengan kerabu ini yang tidak saya ketahui. Kerabu ni sebagai pembuka seleralah dan penyediaannya sangat simple. Selalunya ia digandingkan dengan nasi panas bersama lauk pauk yang lain. 

Bagi saya keenakan kerabu ini adalah kombinasi rasa manis, masam dan pedas. Resipi asal tidak letak lemon tetapi saya suka kerabu ini ada rasa masam sedikit dan harmoni dengan kepedasan cili padi.

Tembikai untuk buat kerabu ini sebenarnya adalah pemberian seorang penjual tembikai yang mempunyai kebun yang diusahakan sendiri. Kebetulan saya berhenti membeli dua biji tembikai dipinggir jalan ketika perjalanan ke airport Langkawi semalam dan penjualnya bermurah hati memberi sebiji lagi tembikai yang agak kecil secara percuma dan cadangkan saya memasak sayur tembikai atau buat kerabu. Yang paling mudah dan cepat pada fikiran saya ketika itu adalah kerabu dan inilah hasilnya. 

Jom kita lihat bagaimana nak hasilkan kerabu tembikai berlemon ni.

KERABU TEMBIKAI BERLEMON
Bahan-bahan
Sebiji tembikai saiz kecil dipotong empat - guna 1/4 daripadanya
7 tangkai cili padi 
1/2 inci belacan - dibakar 
secubit garam 
5 ulas bawang merah - dimayang 
1 sudu teh perahan lemon 

Cara membuatnya :

1. Kikis isi tembikai dengan sudu dan masukkan kedalam mangkuk. Sejat air tembikai dan ambil isinya sahaja untuk mengelakkan daripada kerabu terlebih berair.

2.  Ramas belacan bersama air lemon dan masukkan garam. 

3. Tuang bahan tersebut kedalam bekas berisi hirisan bawang merah dan cili padi sambil digaul.

4.  Seterusnya masukkan isi tembikai tadi kedalam bahan tersebut dan gaul lagi hingga rata. Pastikan secukup rasa dan bolehlah dihidangkan dengan nasi panas beserta lauk-lauk yang lain.


Assalamualaikum,


Ada tak pembaca blog yang tak suka makan ulam-ulaman? Rugi kalau tak suka tau...kerana selain daripada penawar kepada berbagai jenis masalah kesihatan, ulam-ulaman juga sedap jika dipelbagaikan dalam hidangan, seperti diurap, campurkan dalam pecal/gado-gado ataupun dibuat kerabu dan gandingkan dengan nasi putih. Bagi masyarakat barat pula mereka memang suka makan sayuran mentah iaitu hidangkan dalam bentuk salad, malah saya sering lihat pelancong barat yang mencuba ulam-ulam tempatan kita bila melancong kesini. Rugilah kalau kita sendiri tak suka atau teringin mencuba, kan.

Bagi saya ulam-ulaman paling sedap jika jika dibuat kerabu, iaitu campurkan dengan kerisik. Dah banyak resipi kerabu berasaskan kerisik dalam blog ini, tetapi hari ini saya ingin kongsikan juga kerabu ulaman bagi yang ingin mencubanya. Rasanya tak perlu juga saya sediakan langkah demi langkah untuk membuatnya kerana ianya amat simple sekali. Kalau suka, bolehlah masukkan bahan tambahan seperti udang rebus ataupun isi ikan bakar kedalam kerabu ini. Jom...check resipi dibawah ni :)   
KERABU ULAMAN
Bahan A - Dimayang 
4 batang kacang botol@kelisa
Secekak taugeh - bersihkan
5 tangkai kacang panjang
4 tangkai daun selom 
1 labu bawang besar 

Bahan B - Ditumbuk lumat 
5 tangkai cili padi 
1 biji cili merah 
sedikit belacan - di bakar 
5 sudu besar kerisik
garam secukup rasa

Bahan C
1 biji limau nipis - ambil jusnya
2 sudu beras - sangai hingga wangi dan tumbuk halus 

Cara penyediaan :

1. Bersihkan semua ulaman dan mayang halus bersama dengan bawang besar. Untuk taugeh, boleh juga celurkan sebentar dengan air panas dan toskan. Ada juga yang tidak suka celur dan masukkan taugeh mentah. Ikutlah selera kita macamana.

2. Tumbuk semua bahan B hingga lumat dan masukkan jus limau nipis serta beras yang disangai tadi.

3.  Masukkan semua ulaman kedalam mangkuk besar dan gaul dengan bahan-bahan yang di tumbuk tadi. 

4. Suaikan rasanya dan sedia untuk dihidangkan.

Assalamualaikum, 

Anak-anak saya sangat suka makan Crab stick. Selalunya saya campurkan kedalam sayuran ataupun masak bersama telur dadar. Walaupun masak dengan apa cara sekalipun, memang sedap Crab stick ini.

Hari ini saya ingin berkongsi resipi yang mudah dan sedap sebagai pembuka selera. Boleh diratah begitu sahaja bagi yang sedang diet ataupun makan dengan nasi putih panas-panas pun sedap. Bukan saya sahaja yang menggemarinya...anak-anak pun suka. Kerabu Crab Stick ini lengkap dengan kombinasi rasa lemak, manis, masin dan pedas. Cubalah buat...pasti tertawan dengan rasanya.

Resipi ada di bawah ini :)  
KERABU CRAB STICK 
Bahan-bahan
16 batang crabstick (pek mini) 
2 sudu besar mayonis
2 sudu besar jus limau kasturi
1 ½ sudu besar sos ikan 
1 sudu besar gula
6 tangkai cili padi 
2 tangkai daun ketumbar 
2 tangkai daun bawang 
4 ulas bawang merah 
2 batang serai - ambil bahagian putih dan mayang halus
8 biji tomato Cherry - dibelah dua
kacang goreng secukupnya untuk hiasan

Cara membuatnya :

1. Celur Crabstick kedalam air mendidih, dan potong nipis. Jika nak carik-carikkan crabstick sebelum celur pun boleh. Kalau saya celur dahulu, kupas crabstick dan gunting.  

2. Hiris Cili padi, daun ketumbar, daun bawang dan bawang merah. Ketepikan seketika.

3. Masukkan gula, jus limau kasturi, sos ikan dan mayonis kedalam mangkuk berisi Crab stik dan gaul sebati. Masukkan juga hirisan cilipadi, daun ketumbar, daun bawang dan bawang merah dan tomato.

4. Setelah digaul sebati dan secukup rasa, bolehlah dipindahkan kedalam pinggan dan hidangkan. Tabur dengan kacang goreng.


Assalamualaikum, 

Entry tertunggak, kerabu nangka muda dengan isi ikan bakar. Sebenarnya dah lama saya buat kerabu ini dan tersimpan didalam folder di laptop. Bila check hari ini, eh! masih ada lagi rupanya resipi yang tidak publish dalam blog.

Kerabunya seperti biasa yang saya buat sebelum ini juga dan bagi yang suka pedas bolehlah lebihkan cili padi untuk mendapatkan rasa yang lebih kick. Bagi yang nak try buat tu, bolehlah ikut resipi dibawah ini. Kalau tak nak guna isi ikan bakar, boleh juga gantikan dengan perut lembu yang di rebus terlebih dahulu ataupun kerang juga sesuai.

KERABU NANGKA MUDA DENGAN ISI IKAN BAKAR
Bahan-bahan
300gm nangka muda - direbus hingga empuk dan toskan 
2 ekor ikan kembung - gaul dengan garam dan dibakar
1/2 sudu besar lada hitam - ditumbuk kasar
tomato ceri secukupnya 
1 labu bawang besar - dihiris bulat 
1 sudu besar santan pekat

Bahan-bahan - Ditumbuk lumat
3 tangkai cili merah 
5 tangkai cili padi 
1/2 inci belacan 
asam jawa 
1 sudu besar kerisik 
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Toskan isi nangka muda yang telah direbus dan masukkan kedalam mangkuk besar. Campur bersama isi ikan yang telah diasingkan dari tulangnya.
2. Masukkan bahan-bahan yang telah ditumbuk kedalam mangkuk tersebut bersama bawang besar yang telah dihiris.
3. Seterusnya masukkan tomato dan gaul kesemuanya.
4. Akhir sekali masukkan santan pekat dan lada hitam yang telah ditumbuk tadi. Gaul rata dan hidangkan.

Assalamualaikum,


Tengahari ini kita layan Som Tam pula untuk hidangan tengahari. Som Tam atau kerabu Thai ini memang sangatlah sedap walaupun meratah begitu sahaja tanpa nasi. Rasanya yang masam, manis, pedas dan masin itu ditambah dengan kerangupan kacang goreng, kacang panjang dan betik muda yang diparut...hmm sukar digambarkan. Kena rasa sendiri baru tahu. :)

Selalunya di Thailand atau restoran Thai mereka gunakan sejenis lesung yang diperbuat dari kayu untuk menumbuk bahan-bahan somtam ini. Tetapi kalau tak ada lesung tersebut boleh juga gunakan lesung batu seperti saya ni, tetapi janganlah ditumbuk kuat-kuat sangat takut nanti hancur pula betik muda tu. Tumbuk sebagai syarat agar  semua  bahan-bahan bercampur sahaja.

Baiklah, kalau nak buat sendiri dirumah bolehlah cuba resipi ni...;) 

SOM TAM - Sedap
Bahan-bahan
4 sudu besar udang kering - bersihkan
3 sudu besar kacang goreng 
2 ulas bawang putih 
secubit garam
5 tangkai cilipadi 
2 tangkai kacang panjang - potong pendek
1 biji tomato - di potong (boleh juga gunakan tomato cherry)
Jus dari 1 biji limau nipis
Betik muda di parut memanjang - saya guna hanya separuh dari betik saiz sederhana
2 sudu besar sos ikan Thai
3 sudu besar gula thai (boleh juga gunakan gula kabung/melaka)

Cara membuat :

1. Goreng kacang dan udang kering tanpa minyak hingga agak garing dan ketepikan seketika. Kupas betik muda dan parut memanjang.
2. Di dalam lesung, tumbuk bawang putih dan secubit garam dan masukkan juga udang kering, cilipadi dan 1 sudu besar kacang goreng.
3. Masukkan juga kacang panjang, tomato, jus limau, sos ikan dan gula kabung . Tumbuk kasar sahaja agar gula larut, jangan sampai hancur.Bahan tumbuk tersebut seharusnya ada rasa seimbang iaitu masam, manis, masin dan pedas. Jika rasanya kurang bolehlah ditambah bahan-bahan lagi.
4. Seterusnya masukkan betik muda yang telah diparut dan tumbuk lagi sambil di alih-alihkan dengan sudip sehingga bercampur dan sebati dengan bahan yang ditumbuk tadi.
5. Taburkan dengan baki kacang goreng dan hidangkan bersama nasi serta lauk lain.
Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua. Hari minggu begini ada yang menghabiskan masa mengemas stok-stok barangan dapur. Kadang-kadang bingung juga ye, jika ada stok pasta yang masih tersimpan tetapi dalam jumlah yang sedikit. Nak goreng untuk sekeluarga pun tak berbaloi. Selain daripada di masukkan ke dalam sup, boleh juga di buat kerabu dan rampaikan dengan makanan laut seperti udang dan kerang. Jika nak gantikan dengan daging pun boleh juga tetapi lebih enak jika di gaul dahulu daging dengan sedikit garam dan bakar seketika. Hiris nipis daging tersebut dan bolehlah di campurkan ke dalam kerabu pasta ni.

Hari ini saya buat kerabu pasta jenis spiral dan campurkan dengan isi kepah dan udang yang di rebus terlebih dahulu. Memang sedap sangat di gandingkan dengan nasi panas. Ratah begitu sahaja pun sedap juga tau. Jom kita lihat resipinya :)

KERABU PASTA 
1/2 cawan pasta - saya guna jenis spiral
2 sudu besar udang kering - rendam dalam air panas
5 tangkai cili padi 
½ cawan tomato cherry - di hiris 
1 labu bawang besar - di hiris
sedikit lobak merah - di parut
3 tangkai daun ketumbar
4 ekor udang - di rebus dan kupas kulitnya
1 cawan isi kepah atau kerang - siap rebus
¼ cawan kacang yang telah di goreng 
1 sudu besar bijan - di goreng sebentar

Bahan B
2 Sudu besar sos ikan 
2 1/2 sudu besar jus limau nipis 
2 sudu teh gula 

CARA MEMBUATNYA

1. Masak air di dalam periuk hingga mendidih. Masukkan secubit garam dan 1/2 sudu besar minyak dan pasta. Masak hingga lembut dan toskan.
2. Campur semua bahan B dan kacau sehingga gula larut. Ketepikan seketika.

3. Sementara itu tumbuk kasar cili padi dan udang kering. Masukkan ke dalam mangkuk besar bersama tomato, bawang besar, daun ketumbar dan lobak merah.
4. Masukkan pula isi kepah/kerang dan udang di ikuti oleh pasta. Gaul dengan bahan B hingga semua bercampur.
5. Tabur kacang goreng serta bijan dan bolehlah di hidangkan.

Assalamualaikum, 

Pernah makan kerabu buah gajus atau di sebelah utara semenanjung ni orang menyebutnya buah jangguih. Kalau saya masa zaman kanak-kanak dulu kurang menggemarinya tetapi di usia sekarang suka pula dengan rasa kerabu ni yang kelat-kelat manis, lemak dari isi ikan dan pedas dari sambalnya. Agaknya generasi baru ramai yang tidak tahu kewujudan kerabu ini yang menjadi kegemaran di suatu masa dahulu. 

Membuat kerabu ini sangatlah mudah. Pastikan buah gajus yang di hiris nipis di perah terlebih dahulu untuk membuang rasa kelat dan setelah itu bolehlah di rampai dengan sambal kerisik dan isi ikan.

Nak tahu resipinya, jom kita lihat. 

KERABU BUAH GAJUS
Bahan A 
Bahan-bahan 6 biji buah gajus yang telah masak - Jangan pilih yang terlalu lembik
1 tangkai pucuk gajus - di hiris 
1/2 labu bawang besar - di hiris nipis
1 ekor ikan kembung di rebus - ambil isinya
1 sudu besar kerisik

Bahan B - Tumbuk lumat
2 tangkai cili besar 
3 biji cili padi 
1/2 inci belacan - di bakar sebentar 
sedikit asam jawa
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Bersihkan buah gajus, asingkan dari bijinya dan hiris nipis. Setelah itu perah buah yang telah di hiris untuk menghilangkan rasa kelat.


2. Masukkan isi buah gajus kedalam mangkuk besar dan gaulkan dengan bahan yang telah di tumbuk dan kerisik.


3. Setelah itu masukkan bawang besar yang telah di hiris dan gaul lagi. 


4. Akhir sekali masukkan isi ikan dan gaul lagi hingga sebati dan hidangkan bersama nasi putih.


Assalamualaikum, 

Kerabu adalah pembuka selera dan selalunya di gandingkan dengan makanan tengahari. Ianya sinonim terutama sekali dengan selera masyarakat Asia. Salah satu daripada kerabu yang membuka selera adalah kerabu tanghoon.

Sangat mudah menghasilkannya dan boleh juga di campur dengan udang dan sotong rebus. Kali ini saya hanya mencampurkan sotong rebus ke dalam kerabu ini dan kunci kepada kesedapannya adalah kita harus pandai mengimbangkan rasa pedas, masin, manis dan masam di dalam sos yang di hasilkan.InsyaAllah resipi yang di berikan di bawah ini sudah secukup rasa. 
KERABU TANGHOON - Pembuka selera
Bahan A
Secekak tanghoon - Anggaran 1 cawan tanghoon selepas di celur
5 ulas bawang merah - di hiris nipis
1/2 batang lobak merah - di sagat memanjang   
10 biji tomato cherry di belah empat - atau 1 biji tomato biasa di cincang 
8 ekor sotong - saiz kecil di hiris dan rebus sebentar
5 tangkai cili padi - di hiris
2 tangkai kacang panjang - di potong pendek
Bahan B - Untuk Sos
3 sudu besar kicap sotong 
3 sudu besar jus limau kasturi/limau nipis
2 sudu besar gula 
1 tangkai daun ketumbar di cincang - jika suka
1 ulas bawang putih - di cincang halus

Bahan C
Serbuk cili Thai - pilihan untuk di taburkan ke atas kerabu

Cara membuat :

1. Masukkan semua bahan B untuk sos di dalam sebuah mangkuk dan kacau hingga gula larut. Ketepikan seketika.

2. Rendam tanghoon kedalam air biasa selama 5 minit hingga lembut. Setelah itu celur di dalam air mendidih selama 10 saat dan toskan. 
3. Seterusnya masukkan semua bahan-bahan A kedalam mangkuk besar dan tuang sos yang di hasilkan tadi ke atasnya lalu di kacau hingga sebati.

4. Setelah kerabu siap bolehlah di taburkan sedikit serbuk cili ketika menghidangnya. Sedap di gandingkan bersama nasi panas sebagai pembuka selera.

Assalamualaikum,

Kerabu memang menjadi hidangan pembuka selera dan salah satu darinya adalah kerabu ikan tongkol. Sekarang dah mudah untuk membakar ikan menggunakan 'magic pan', jadi bila-bila masa sahaja kita boleh menikmati kerabu ikan tongkol yang sedap ini.

Resepinya mudah dan ringkas sahaja tetapi di jamin anda makin berselera untuk menjamah nasi dengan menggandingkannya bersama kerabu ini. 

Jom kita lihat resepinya...
KERABU IKAN TONGKOL 

Sumber : watierman - MyR
Bahan-bahan ( Untuk 3-4 orang satu hidangan )

1/2 ekor ikan Tongkol sederhana besar (saya guna 2 ekor ikan saiz kecil)
2 labu bawang besar
2 biji cili merah
5 biji cili api (boleh tambah kalau suka pedas)
sedikit air asam jawa dicampur dengan secubit belacan dibancuh
secubit garam ikut selera anda (saya gantikan dengan kicap sotong Thai)
air perahan limau kasturi/ limau nipis
Tomato cherry - Ini saya tambah
Cara-cara

1.  Ikan tongkol dicuci bersih dan dibelah dua, lumurkan sedikit garam pada ikan dan dibakar.
2. Biar ikan masak sebelah baru dialihkan ke sebelah lagi.
Sementara menunggu ikan masak bolehlah menghiris nipis bawangbesar, cili merah dan cili api.

3. Bila ikan dah masak perisi ikan macam nak buat kuah laksa
Campurkan dengan bahan yang dihiris tadi.
4.Gaulkan bersama dengan air asam & belacan, garam secukup rasa atau kicap sotong dan perahkan limau kasturi. Dah siap bolehlah di hidangkan.


Assalamualaikum,

Pernah makan kerabu bunga betik? Bagi yang tidak pernah merasa pasti tertanya-tanya tak pahitkah kalau bunga betik di buat kerabu? Sebenarnya bunga betik ni rasanya pahit-pahit lemak tapi bagi yang ingin menghilangkan rasa pahit bolehlah memasukkan beberapa keping asam gelugur ketika merebusnya. Bagi saya ulam yang pahit-pahit lemak seperti bunga betik dan pucuk mengkudu memang menjadi kegemaran. Malah anak-anak saya pun suka, hidangan ala-ala kampung ini.

Selain daripada pembuka selera khasiat bunga betik itu sendiri baik untuk kesihatan dan salah satunya adalah sebagai penawar darah tinggi & diabetis.

Bagi yang inginkan resepinya, jom kita lihat...
KERABU BUNGA BETIK
Bahan-bahan
Bunga betik secukupnya (saya gunakan dalam anggaran 200gm - di bungkus siap dari pasar)
1/2 inci belacan - di bakar terlebih dahulu 
5 biji cili merah (besar) 
5 tangkai cili padi  
1 sudu teh asam jawa
2 sudu besar kerisik
2 ekor ikan kembung - di rebus dan ambil isinya
Garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar - di hiris nipis

Cara membuatnya:

1. Rebus bunga betik hingga bertukar warna kekuningan dan toskan airnya. Untuk mengurangkan rasa pahit, bolehlah memasukkan 2 keping asam gelugur ketika merebusnya.
2. Tumbuk cili merah, cili padi, belacan dan asam jawa hingga halus dan gaulkan dengan kerisik. Masukkan juga garam dan sedikit gula. Suaikan rasa.
3. Ambil isi ikan yang di rebus tadi dan gaulkan juga dengan sambal yang baru di tumbuk.
4. Akhir sekali gaul bunga betik, bawang besar yang di mayang dengan sambal dan hidangkan dengan nasi panas.