Memaparkan catatan dengan label BIHUN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BIHUN. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Bagi penggemar bihun dan tauchu, ini adalah gabungan yang sangat tepat dan lazat. Bahan-bahan yang digunakan pun tidak banyak, semuanya mudah didapati. 

Anak-anak saya paling suka jika saya masakkan bihun goreng tauchu ini dan walaupun resipinya sangat mudah, saya kongsikan juga di blog ini untuk rujukan sesiapa yang ingin mencubanya.

Jom tengok... :) 

BIHUN GORENG TAUCHU
Bahan A
1/2 bungkus bihun - direndam hingga lembut dan toskan
2 sudu besar cili boh
4 sudu besar tauchu - dibilas dengan air, toskan dan lenyek dengan sudu
1 cawan udang - di kopek kulitnya  
Secekak taugeh 
Daun kucai secukupnya
1 biji tomato - di potong lapan 
Garam secukup rasa - jika tauchu kurang masin
1/4 cawan air

Bahan B - Ditumbuk lumat 
1 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih
segenggam kecil udang kering 

Cara memasak :

1. Tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk hingga naik bau, masukkan cili boh dan kacau hingga sebati 
2. Tambahkan tauchu dan kacau lagi.

3. Masukkan pula udang sambil dikacau hingga udang masak.
4. Seterusnya masukkan bihun kedalam bahan tumisan bersama 1/4 cawan air dan kacau hingga bihun lembut. 
5. Akhir sekali masukkan pula daun kucai, sawi, taugeh dan tomato yang dihiris. Kacau hingga sebati dan perasakan dengan garam jika bihun kurang masin. Setelah masak, matikan api dapur dan bolehlah dihidangkan.


Assalamualaikum,


Sup memang kegemaran anak-anak saya. Kalau makan nasi tiap hari pun jemu juga, jadi saya turutkan kemahuan anak-anak yang inginkan bihun sup sebagai hidangan makan malam hari ni. Nak aroma kuah bihun sup yang wangi dan menyelerakan bolehlah cuba tambahkan daun pandan dan serai ketika merebus daging. Jangan lupa letakkan juga gula batu untuk membangkitkan rasa manis tetapi jangan pula berlebihan bahan-bahan tersebut kerana ini akan menghilangkan rasa asli kuah sup itu sendiri. Sebagai panduan, bolehlah cuba sukatan bahan-bahan yang saya sertakan dibawah ini.


Selalunya bihun sup utara di hidangkan dengan sambal cili yang merah tu tetapi kali ini saya buatkan sambal kicap. Pedasnya sampai berair hidung...tapi sedapnya bukan main. Nak pula dalam cuaca mendung dan hujan disini. Memang sesuai menghirup kuah sup. 

Jom lihat resipinya... :) 

BIHUN SUP DAN SAMBAL KICAP 
1 kg daging 
1/2 kg tulang 
2 kuntum bunga lawang 
3 biji buah pelaga 
1 inci kulit kayu manis 
1 helai daun pandan - disimpul
1 batang serai - di ketuk 
1 batang celeri - di potong sepanjang 1/2 inci
2 inci halia - di ketuk 
5 ulas bawang putih - diketuk
1 sudu besar lada hitam - ditumbuk kasar
1 ketul gula batu - sebesar syiling 50sen
garam secukup rasa
1 kiub ayam
serbuk perasa - jika suka 
3 liter air

BAHAN UNTUK SAMBAL
10 tangkai cili padi
3 ulas bawang putih
jus dari 1 biji limau nipis
kicap manis secukupnya 
sedikit gula untuk mematikan rasa pedas cili padi

BAHAN LAIN
1 paket bihun 
1 sudu teh serbuk kunyit
Bawang goreng secukupnya 
lobak masin - di cincang 
daun bawang dan daun sup secukupnya

Cara memasak:

1. Bersihkan daging dan masukkan kedalam periuk bersama air.

2. Masukkan pula rempah-rempah, serai, daun pandan, batang celeri, halia, bawang putih dan lada hitam.

3. Rebus hingga lembut dan jangan lupa buang buih lemak yang timbul dipermukaannya.

4. Renih sehingga daging lembut dan perasakan dengan garam, kiub ayam, gula batu dan serbuk perasa (jika suka).

5. Untuk menyediakan bihun : Rendam bihun dengan air biasa dan masukkan serbuk kunyit. Setelah bihun lembut, celur dengan air panas dan toskan. Hidangkan dengan lobak masin, daun bawang/daun sup dan bawang goreng secukupnya.

6. Untuk menyediakan sambal kicap : Goreng sebentar bawang putih dan cilipadi tanpa minyak. Tumbuk hingga lumat dan masukkan kicap, sedikit gula dan jus limau kasturi.

Assalamualaikum,

Makan malam sebaiknya pilih menu yang ringkas-ringkas sahaja dan petang ini saya mengosongkan peti sejuk serta manafaatkan apa yang ada untuk hasilkan bihun goreng. Cuma taugeh dan sayur sahaja saya beli ketika pulang dari kerja tadi. Cendawan pun saya rendamkan stok shitake kering yang sentiasa ada di dapur rumah saya kerana anak-anak sangat suka dengan rasa cendawan ini. 

Jemu juga jika menu nasi tiap hari, kan? Malam ini kita layan menu bihun goreng cendawan pula. Yang ringkas sahaja, asalkan mengenyangkan :)

BIHUN GORENG CENDAWAN 

Bahan-Bahan 
400gm bihun - Di rendam hingga lembut
2 ulas bawang putih - di ketuk 
1 keping tahu - pilihan (di potong dadu)
50gm  sawi - di potong 
100gm sotong - boleh gantikan dengan lauk lain
Secekak taugeh 
6 butir cendawan shitake - di rendam hingga lembut dan potong 
1/2 batang lobak merah - di potong seperti mancis
2 biji telur 

Bahan Sos
1 sudu besar sos sotong - atau kicap cair 
1 sudu besar kicap manis 
1 sudu teh kicap pekat 
1/4 cawan sos cili
1/2 cawan air  
1 ketul kiub ayam 
garam secukup rasa - jika masih kurang masin

Cara membuatnya :

1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga wangi dan masukkan sotong dan tauhu. Masukkan juga cendawan sambil di kacau rata.

2. Tuang semua bahan sos sambil di kacau lagi.

3. Masukkan pula sayuran dan kacau sekadar sayur layu sedikit. 

 4. Seterusnya pecahkan telur ke dalam kuali dan biarkan hingga telur masak sedikit lalu di kacau agar bercampur dengan bihun yang di goreng.



5. Masukkan pula taugeh dan kacau (kaup balik)  sekadar ianya layu sedikit dan matikan api dapur.  


Assalamualaikum,

Salam pagi isnin untuk semua. Ini entry blog saya yang pertama untuk tahun 2015. Sebenarnya masaknya dah lama juga tapi saya tangguhkan segala entri blog untuk menghormati saudara-saudara kita di pantai timur yang di timpa ujian banjir besar baru-baru ini. Kesan banjir masih dapat di lihat dan begitu dasyat sekali. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. 

Baiklah, berbalik pada resepi ringkas hari ini. Bihun sardin ni saya masak sebagai sarapan pagi ketika kehabisan stok udang dan isi ayam di dalam peti sejuk. Komen anak-anak adalah, sangat sedap dan minta di buatkan lagi. Kadang-kadang menu yang ringkas beginilah yang anak-anak suka. 

Bagi yang ingin mencuba jom kita lihat resepinya. 

BIHUN GORENG SARDIN - Menu sarapan ringkas
300gm bihun - di rendam hingga lembut - toskan
1 tin sardin - saiz sederhana (di ambil isinya sahaja)
3 ulas bawang putih - di hiris 
3 tangkai cilipadi - di hiris
5 ketul cendawan shitake - di rendam dan hiris
1/2 batang lobak merah - di mayang 
Kobis & sawi secukupnya - di potong 
Bahan B (Di pukul dan jadikan telur dadar nipis)
1 biji telur 
1/2 sudu teh kicap cair 


Bahan C
Sos sardin yang di asingkan
1/2 cawan air 
2 sudu besar kicap cair 
1 sudu teh serbuk lada sulah 
1 kiub ayam

Cara memasaknya :

1. Panaskan minyak, tumis bawang putih dan cili padi sehingga wangi.

2. Masukkan isi sardin yang telah di lenyek kasar dan kacau lagi. Masak hingga agak garing.
3. Seterusnya masukkan air, kacau agar sardin dan bihun bercampur.

4. Masukkan sos sardin sambil  di kacau lagi hingga bihun menjadi lembut.
5. Masukkan pula kicap cair dan kiub ayam dan sayuran.

6. Seterusnya masukkan lada sulah, kacau sebentar dan matikan api dapur. Hidangkan dengan telur dadar yang di gulung.
Assalamualaikum,

Jika ada yang tengah diet tu, menu bihun sup tumis sangat sesuai di jadikan pilihan hidangan. Cuma kalau boleh minyak yang di gunakan untuk menumis di gantikan dengan minyak jagung atau minyak zaitun. Tapi yang tak diet macam saya ni pun sesuai juga...maklumlah kalau makan nasi tiap hari pun jemu. Sesekali hirup sup yang ada sayuran, udang dan sotong memang sedap. Bagi yang alah atau tak suka dengan makanan laut, boleh sahaja gantikan dengan ayam atau daging.

Bagi yang ingin ingin mencuba, jom kita lihat resepi yang sangat mudah ni. 
BIHUN SUP TUMIS
Bahan-bahan
200gm bihun - di rendam dengan air biasa hingga lembut dan toskan
2 ekor sotong - di bersihkan dan hiris
6 ekor udang - di kopek kulit - tinggalkan bahagian ekor
2 - 3 ulas bawang putih - di ketuk dan cincang 
1 tangkai sayur 'baby' bok choi (boleh gantikan dengan sawi)
1/2 batang lobak merah - di kupas dan hiris
3 cawan air
1 kiub ikan bilis
1 sudu besar kicap sotong thai 
2 sudu besar minyak masak 
lada sulah dan daun bawang untuk hidangan
Cara Memasak : 

1. Panaskan minyak masak kedalam kuali. Tumis bawang putih hingga kekuningan
2. Masukkan udang dan sotong kedalam tumisan dan kacau sehingga berbau wangi.
3. Seterusnya masukkan air, di ikuti oleh kiub ikan bilis, kicap sotong dan sayuran. Renih hingga masak dan rasa kuah tersebut. Jika sudah secukup rasa, masukkan pula bihun yang di toskan tadi dan masak sebentar lalu matikan api.
4. Hidangkan dengan cili potong yang di campur dengan kicap cair, hirisan limau nipis, taburan lada sulah dan serbuk cili Thai. 

#Bihun juga boleh di celur dengan air panas dan toskan sebelum di hidang dengan kuah bihun sup tumis tadi.

Assalamualaikum,

Menu makan malam yang ringkas dan sesuai dengan cuaca sejuk dan hujan gerimis di luar sana adalah bihun tomyam. Tak kira apa lauknya samaada di letak ayam, udang atau tomyam campur, menu yang satu ini sedap di nikmati ketika cuaca sejuk begini. Bagi penggemar masakan pedas seperti saya, selalunya di lebihkan sedikit cili padi di dalam kuah tomyam tersebut. Lagi pedas lagi nikmat :)

Baiklah bagi yang inginkan resepi, jom lihat langkah demi langkah memasak bihun tomyam udang yang saya sediakan ni.
BIHUN TOMYAM UDANG 
400gm bihun - di rendam sebentar dan celur di dalam air panas - Toskan
250gm udang saiz sederhana              
1 biji tomato  – di belah dua
½ cawan cendawan tiram di siat   
4 tangkai cili padi di ketuk 
2 batang serai di ketuk
½ inci lengkuas – di ketuk 
2 sudu besar bawang merah di cincang 
4 helai daun limau purut - di carik 
Bahan B
½ cawan susu cair 
4 cawan stok ayam (Boleh juga gunakan air biasa)
¼ cawan daun ketumbar
2 sudu besar pes tomyam

Bahan C
2 sudu besar sos ikan/sotong Thai
garam secukup rasa
5 sudu besar -jus limau kasturi 
pes cili - jika suka pedas

Cara Memasak

1. Masukkan stok ayam atau air kedalam periuk, campurkan dengan pes tomyam, lengkuas, serai, bawang merah, cili padi dan daun limau purut. Masak sebentar hingga berbau wangi.
2. Seterusnya perasakan dengan sos ikan/sotong, pes cili(jika suka), garam dan jus limau kasturi.

3. Setelah mendidih, ,masukkan pula udang dan cendawan tiram.
4. Kecilkan api, masukkan susu cair dan daun ketumbar.
5. Setelah kuah tomyam masak sepenuhnya, bolehlah di hidangkan dengan memasukkan bihun yang di celur tadi kedalam mangkuk dan tuang kuah kedalamnya.

Assalamualaikum,

Entri di malam hari. Hee...heee....tiba-tiba sahaja tekak ni rasa nak makan menu yang berkuah dan pedas. Nak keluar makan di gerai dah malas lewat begini. Balik dari kerja tadi kononnya malam ni tak nak makan lah memandangkan minggu ni dah puas mengadap segala ketupat dan rendang kerana masih ramai yang buat rumah terbuka. Rupanya tewas juga, dengan permintaan perut ni. Bila selongkar peti sejuk, hmmm...alhamdulillah bahan-bahan semua cukup untuk menu ringkas tapi sedap dan di sukai ramai iaitu maggi.

Jom lah layan resepi yang ringkas kat bawah ni. Semua orang pun tahu cara nak masak maggi ni, walaupun budak kecil kan. Tapi maggi yang letak sayur 'baby' bok choy ni memang sedap sangatlah bagi tekak saya. 
MAGGI KARI UDANG SAYURAN
Bahan-Bahan:
1 bungkus maggi perasa kari
2 ulas bawang putih - di ketuk
4 tangkai cili padi - di belah dua
1 sudu besar sos cili 
1 sudu besar cili kisar - Jika anda suka pedas 
4 ekor udang saiz sederhana
2 biji bebola ikan
4 tangkai sayur 'baby' bok choy - Jangan potong
1 biji tomato
1 sudu besar minyak masak
3 cawan air
Cara memasak:

1. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bawang putih dan udang yang telah di bersihkan tadi. Kacau hingga wangi.
2. Masukkan tiga cawan air dan renihkan seketika. Masukkan juga cili kisar, cili padi,  bebola ikan dan sos cili. Renihkan lagi hingga mendidih dan masukkan maggi serta perencahnya.
3. Seterusnya masukkan tomato yang di belah 4 dan sayur 'baby' bok choy sebentar sahaja sekadar sayur lembut serta matikan api.
4. Taburkan dengan daun bawang dan hidang segera ketika masih panas. 

Assalamualaikum,


Wah dah lama benar rasanya tidak 'update' blog tetapi nampaknya alhamdulillah masih ada pengunjung yang sudi lagi menjengah ke sini tiap hari. Terima kasih di ucapkan kepada pembaca setia dan saya amat saya hargainya.

Nampaknya sekarang ni kita masih berada di dalam bulan syawal dan ada yang merancang untuk mengadakan rumah terbuka untuk kenalan dan jiran tetangga. Bagi yang inginkan tips mengadakan rumah terbuka bolehlah melihat perkongsian di dapurlangkawi 

Baiklah hari ini saya ingin berkongsi resepi mee hoon goreng yang ringkas sahaja tetapi sedap. Sebelum itu pastikan anda cari mee hoon yang halal serta bersih pengilangannya ye. Bagi yang was-was bolehlah rujuk ke link ini untuk mengetahui status halal jenis-jenis bihun. 
MEE HOON GORENG
Bahan-bahan
400 gm mee hoon  - di rendam hingga agak lembut dan toskan
500 gm udang  - dikopek kulit (kulit udang direbus sebentar dengan 400ml air,
kisar dan tapis menjadi stok udang)
1 bungkus kecil bebola ikan - di belah dua
2 tangkai sayur sawi - di potong
separuh batang lobak merah - di potong mancis
secekak tauge - dibersihkan
1 kiub perasa ikan bilis 
2 sudu besar sos tiram
1/2 cawan sos cili
garam & gula secukup rasa
Bahan kisar :
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 sudu besar udang kering
1/2 inci belacan
5 tangkai cili kering - di rendam dahulu dengan air mendidih
Cara memasak

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar. Kacau hingga pecah  minyak.

2. Masukkan stok udang,sos tiram, sos cili, garam dan gula secukup rasa. Masukkan juga kiub ikan bilis, sayur sawi, bebola ikan, udang dan masak hingga agak mendidih.
3. Masukkan mee hoon, masak hingga air agak kering. Rasa mee hoonnya, jika sudah secukup rasa dan lembut masukkan lobak merah dan tauge. Kacau sekejap dan matikan api dapur. Sila tambahkan stok udang atau air jika mee hoon kurang lembut.

4. Jika suka boleh hidangkan dengan telur dadar , hirisan cili dan bawang goreng.

Assalamualaikum,

Resepi yang saya ingin kongsikan hari ini adalah bihun goreng sedap. Ini adalah resepi teman sepejabat yang sering menerima tempahan tiap kali ada acara atau majlis-majlis kecil yang lain. 

Sekali lihat bihun goreng semuanya sama sahaja kan. Bila di risik-risik rupanya bihun goreng yang saya klasifikasikan sebagai sedap ini terletak kepada sambalnya yang di masak terlebih dahulu sehingga pecah minyak dan di adun bersama bihun dan bahan-bahan yang lain ketika proses menggoreng.

Sambal ini selalunya di buat dalam kuantiti yang banyak dan di masukkan ke dalam bekas kedap udara, seterusnya di simpan ke dalam peti sejuk. Jika pulang dari pejabat mudah sahaja kerja memasak di mana cili tersebut boleh juga di gunakan untuk menggoreng nasi, mee, masak sambal tumis, asam pedas dan banyak lagi ikut citarasa dan kreativiti kita.

Jom kita lihat, bahan-bahan apa lagi yang di perlukan untuk bihun goreng ni.
SAMBAL / PES CILI 
(Masak dalam jumlah yang banyak & simpan untuk masak menu lain juga) 
40biji cili kering - di rebus dan tapis (agar bijinya keluar)
1/2 inci belacan 
2 labu bawang besar 
1 sudu besar minyak masak
1 keping asam gelugur
CARA MEMBUATNYA :

1. Kisar semua bahan-bahan kecuali asam gelugur. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan kisar dan masak hingga pecah minyak. Masukkan juga asam gelugur ke dalam cili yang di masak agar pes tersebut tahan lama.
2. Pes cili ini boleh di simpan di dalam peti sejuk dan menjimatkan kerja memasak.

BAHAN UNTUK BIHUN GORENG SEDAP
400gm bihun (sepaket) - di rendam di dalam air biasa hingga lembut dan toskan
100gm udang basah (boleh juga gantikan dengan isi ayam jika suka)
100gm sotong 
50gm  sayur sawi - di potong 
50gm kobis - di racik
secekak taugeh 
1/2 cawan sos cili 
1 sudu besar sos tiram 
1 sudu besar kicap pekat 
garam & gula secukup rasa 
Ajinomoto (jika suka) - Boleh gantikan dengan kiub ikan bilis 
1/2 cawan air 
BAHAN SAMPINGAN (UNTUK DI TABURKAN ATAS BIHUN)
Telur - di buat dadar
Tahu - di goreng dan hiris nipis

DI TUMBUK 
3 ulas bawang putih 
2 ulas bawang merah 

CARA MEMASAK

1. Tumis bahan yang di tumbuk hingga wangi dan masukkan dua senduk kecil (dalam 1/2 cawan) pes cili yang di masak tadi sambil di kacau.

2. Masukkan pula kicap pekat, sos tiram, sos cili, udang dan sotong. Kacau hingga sebati dan masukkan pula sedikit garam, gula  dan kiub ikan bilis dan air. Masak hingga mendidih.
3. Seterusnya masukkan bihun di ikuti dengan sayur-sayuran dan kacau hingga bihun lembut serta sebati dengan bahan-bahan yang di tumis tadi.
4. Akhir sekali masukkan taugeh dan kacau sebentar. Jika bihun telah secukup rasa bolehlah matikan api dan hidangkan.

Assalamualaikum,

Sarapan apa pagi ni? Saya cuma sempat menggoreng bihun yang ringkas atau ada orang kata bihun bodoh jer. Entah kenapa di panggil begitu ya? :D mungkin kerana resepinya ringkas dan senang membuatnya. Saya memang suka resepi yang ringkas begini kerana  menjimatkan masa.

Baiklah jom kita lihat resepi...walaupun kebanyakan orang tau masak bihun...saya ingin juga berkongsi resepinya di sini. Mungkin ada sedikit kelainan :)

BIHUN GORENG 
bahan-bahannya
1 bungkus bihun (di rendam dan toskan)
200gm udang - di buang kulitnya


100gm sawi
100gm kobis
1 cawan tauge
3 sudu makan minyak masak
1 batang lobak merah - di potong seperti mancis
1/2 cawan air
2 biji telur
cili merah sebagai hiasan

Bahan sos
2 sudu besar sos tiram 
5 sudu besar sos cili
1 sudu teh kicap pekat
2 sudu besar kicap cair (atau boleh juga gunakan kicap sotong)
1 kiub ayam maggi
2 sudu besar cili kisar  

CARA MEMBUATNYA

1. Panaskan minyak, tumiskan bawang putih dan udang hingga wangi.

2. Masukkan bahan sos dan air, biarkan mendidih. Masukkan kobis dan bihun. Kacau rata hingga sebati.

3. Apabila bihun sudah lembut, masukkan sawi dan taugeh. Gaul dan rasakan masinnya.

4. Telur pula boleh di pecahkan ke dalam kuali semasa sedang menggoreng bihun atau boleh juga di buat telur dadar...gulung serta potong kecil ketika menghidang.