Sekadar gambar hiasan. Tiada kait mengait dengan cerita. Tetapi inilah gambar ros jepun yang saya tanam. Semakin hari semakin subur, sampai dah tak terbendung.
Saya nak cerita mengenai pekara yang berlaku sewaktu saya bekerja di Terengganu baru-baru ini.
Perjalanan yang jauh memang memenatkan, sampai sahaja di hotel saya telah mendapat bilik yang ditempah oleh pengurusan opis saya. Masuk sahaja di bilik telah timbul perasaan tak puas hati. Saya selalunya akan bekerja di luar kawasan lima atau enam kali setiap tahun tapi tak pernah mendapat bilik yang teruk sebegini.
Esoknya satu lagi kejadian memeranjatkan berlaku, sewaktu sarapan, makanan saya dipijak-pijak oleh lipas bukan sekali tapi dua kali. Bila diberitahu kepada pelayan, dia cuma tepiskan sahaja lipas tersebut dengan tangannya. Walaupun hotel tersebut bukan lima bintang (tapi empat bintang), takkanlah teruk sangat sampai tahap macam itu.
Disebabkan tak tahan sangat dengan keadaan hotel, saya dan rakan sekerja berjumpa dengan pihak pengurusan, walaupun ada minta maaf, diorang boleh kata lain kali kalau tak nak datang pun tak apa. Pihak pengurusan kata apa yang boleh mereka buat untuk selesaikan masalah, itupun setelah mereka menyedari salah seorang rakan sekerja merakam segala perbualan kami.
Akhirnya, kami telah diberi bilik yang lebih baik daripada bilik sebelumnya dan sewaktu sarapan kami tak jumpa lagi dengan encik lipas. Tapi selepas ini memang kami telah letak tanda pangkah pada hotel ini, takkan kami jejaki lagi kecuali dalam keadaan darurat.
Tibalah hari untuk pulang, dengan hasil tangkapan yang sungguh lumayan di Pasar Payang, saya terpaksa biarkan pintu bilik terbuka luas untuk membenarkan semua beg saya dapat keluar dengan aman untuk menuju ke lif. Di pertengahan jalan, saya terfikir kalau saya tak tutup pintu bilik nanti ada pula barang yang hilang dan saya akan dituduh mencuri barangan hotel dan sekaligus kena bayar barangan tersebut.
Saya pun patah balik dan tutup pintu bilik.Tiba-tiba seorang pekerja hotel pangkat tinggi (agaknya la sebab dia pakai kot) bagitau salah seorang penduduk bilik berhampiran telah tertinggal barang. Saya pun ambil barang tersebut yang berupa beg alatan solek yang lutsinar.
Semasa dalam kenderaan, saya periksa beg tersebut untuk memastikan pemilik sebenar, saya dapati di dalamnya ada sikat, krim kecantikan, alat-alat solek yang lain, seutas rantai 91.6, empat utas gelang emas dan lain-lain barang. Saya rasa pekerja hotel tak perasan semua barangan kemas tersebut. Kalaulah dia nampak, tak taulah saya.
Saya anggarkan berat gelang (padu bukan geronggang) tersebut 25 gram setiap satu dan rantai tersebut kira-kira 30 gram. Cuba bayangkan berapa banyak duit yang saya boleh dapat kalau saya jual kesemua barangan kemas tersebut. Memanglah saya boleh ulang lapan kali pergi Pasar Payang dan beli macam-macam lagi yang saya mahu.
Tapi saya tak buat macam tu, saya pulangkan balik pada tuannya yang sebenarnya tak menyedari dia tertinggal beg tersebut. Beliau balik awal daripada saya dan sewaktu dihubungi beliau masih dalam perjalanan tapi sudah jauh meninggalkan Kuala Terengganu.