Showing posts with label soup. Show all posts
Showing posts with label soup. Show all posts

Tuesday, October 21, 2014

Sup Keledek Omputih Style

Salam.
Semasa  jenjalan di alam maya aku terjumpa foto yang nampak sangat menarik dan aku tertarik. Ternyata ia hanya gambar semangkuk sup keledek. Tapi kesannya pada aku, aku ingin menghasilkan foto yang hampir serupa.
Lantas aku siapkan beberapa keperluan untuk menghasilkan sup keledek dengan versi aku sendiri. Aku sisihkan beberapa bahan yang tidak perlu dan tambah beberapa bahan lain sesuai dengan selera kita orang melayu.



 

Aku mendapat hasil seperti yang aku mahukan.
Aku meletakkan mangkuk sup di depan anak aku.  Dengan mulut tejuih dia geleng geleng kepala tanda taknak. Aku kata, rasalah sikit.  Dia ambil sikit dan jilat di hujung sudu.
Eee taknak ar. Macam bubur baby je.
Ahak...
Dah namanya pun sup style omputih. Mushroom soup itu pun lebih kurang tu jugak kan.




Bahan:
1 cawan keledek yang telah dipotong cube
1/2 cawan carrot yang telah dipotong cube
6 keping cendawan tiram
6 ekor udang dibuang kulit
3 cawan stok ayam (atau 1 cube stok ayam+3 cawan air)
3 sudu besar santan kotak
1 biji cili api (pilihan)
garam secukup rasa

Cara:
-Rebus keledek, carrot dengan air saja sehingga empuk
-Masukkan cili api, udang dan cendawan tiram
-Masukkan santan dan sedikit garam
-Padamkan api, masukkan bahan ke dalam blender dan blender halus. (boleh juga tinggalkan beberapa ketul kiub keledek di dalam periuk)  Hati-hati kerana ia masih panas.
-Masukkan kembali bahan blender ke dalam periuk.  Jerang semula sehingga mendidih. Padamkan api.
-Semasa menghidang, taburkan dengan sedikit kacang (tak kesahlah kacang apa) dan daun bawang/sup.






Siapa yang nak berdiet tu elok juga makan sup macam ni.  Kenyang dan berkhasiat.

ibundo


Saturday, June 29, 2013

Stew bebola daging bersayur

Pada kebanyakan masa, kita suka ambil jalan mudah dan senang. Contohnya kalau mahu makan bebola daging,  kita beli saja yang sudah siap dan senang didapati di pasaraya. Alasan kita memang banyak: nak cepat, senang, malas dan macam-macam. Tapi ada masa masanya kita ketepikan rasa malas dan kita buat sendiri. Selalunya kita pasti akan lebih berpuas hati.

Tak adalah sesusah mana pun nak buat bebola ni.
Kalau nak sedap, kita beli sendiri daging segar yang tidak berlemak dan kisar sendiri.  Itu bagi mereka yang ada pengisar daging. Bagi yang tak ada, beli sajalah daging kisar yang tersedia ada. Cuma negatifnya, daging kisar yang sedia dijual itu banyak mengandungi lemak lemak yang kita tak nak.

Bundo bagi resepi bebola yang mudah.

200 gm daging kisar
2 ulas bawang putih ditumbuk halus
1 sudu teh stok ayam
1/2   sudu teh serbuk lada sulah
1 sudu besar tepung gandum
1 biji telur
garam secukup rasa

Gaul semua bahan hingga sebati.
Bulat-bulatkan mengikut saiz yang dikehendaki.
Panaskan air dalam periuk dan bila mendidih, masukkan beberapa biji bebola ke dalam air. Masak sehingga bebola terapung.
Boleh juga kalau nak goreng. Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan.
(Bundo goreng  sehingga agak-agak kekuningan)



Untuk stew:

Bebola daging
1 tin sup tomato kimball
1 biji bawang besar didadu kasar
2 ulas bawang putih dicincang halus
1 cube stok daging
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil oregano
1 sudu kecil celery kering
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
Beberapa batang cili api (kalau suka)
3-4 cawan air ( air boleh ikut sukatan yang kita rasa sesuai)

(Banyak sayuran adalah mengikut  selera sendiri)
Baby carrot
Tomato cherry
Celery
Capsicum merah dan hijau
Cendawan chitake


Panaskan minyak zaitun secukupnya.
Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga wangi.
Masukkan sup tomato dan air.
Masukkan cube daging, lada hitam, celery, oregano dan garam.
Apabila mendidih, masukkan sayur-sayuran dan bebola.
Pekatkan kuahnya dengan bancuhan tepung jagung.



Macam tu lah.
Selamat mencuba dan selamat berhujung minggu.



Salam dari
ibundo

Saturday, August 25, 2012

Sup temtayur

Sekarang ni nak pandang rendang pun dah rasa muak. Tapi kalau dah namanya raya dan bersillih ganti pula  ke jemputan rumah terbuka, pastinya rendang jugalah yang terhidang. Dalam waktu waktu sekarang, telur goreng mata kerbau dan sambal sardin lebih menambat selera. Ataupun goreng saja ikan kembung dan celur pucuk ubi cicah sambal belacan.  Pun lagi ummph..

Tengahari tadi bundo cuma masak celur celur tempe, tahu dan sayur (temtayur). Bundo buatkan sambal kicap cili api. Bundo tak payah makan nasi dah.  Hirup-hirup kuah yang telah ditambah dengan sambal kicap dan makan temtayur saja. Burp.. alhamdulillah.  Perut pun rasa lega dan tidaklah berat sangat.




Bahan yang diperlukan pun amatlah mudah.  Semua yang tersedia ada dalam peti ais.

1 bungkus tempe
1 kotak tauhu lembut (gunakan tauhu apa pun boleh)
Beberapa kelopak kubis panjang
secekak bayam
1 biji tomato
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
beberapa hiris daging ayam
1/2 cube pati ayam
air secukupnya
garam secukupnya
daun bawang dan bawang goreng untuk tabur




Cara:
-Tempe didadu besar
-Tauhu didadu besar
-bawang merah dan bawang putih dihiris nipis
-sayur dipotong ikut selera
-Masukkan tempe dan bawang ke dalam periuk bersama air. Rebus sampai mendidih.  Masukkan cube pati ayam dan garam.
-Masukkan sayur dan tauhu. Biar mendidih sebentar dan padam api.

Sambal kicap:
1 sudu besar cili api yang telah ditumbuk
1/4 cawan kicap masin
1 sudu besar jus limau
secubit gula kalau suka

Campurkan semua bahan dan gaul rata.



Petang dan malam ini bundo ada jemputan open house. Kena ingatkan diri supaya makan seadanya.
Sekian.


ibundo


Thursday, May 17, 2012

Sup Wanton Sayur-sayuran

Salam hari kamis.  Kepada yang berpuasa sunat diucapkan selamat menjalani ibadah puasa dengan sempurnanya.

Hari ini kita nak mengesup. Sup 'wanton'.  Sebut 'wanton' itu dengan sedikit sengau dan bunyi 't'nya di orang-putihkan..haha.. Atau kalau nak senang, ikut sajalah lidah melayu.. wantan.

Sup ni enak dihirup-hirup dan diratah-ratah begitu saja. Bagus juga untuk dibuat lauk bagi orang yang berpantang. Bukan pantang nampak ya.. Bukan juga pantang jumpa.  Tapi pantang orang lepas melahirkan. Banyakkan lobak putihnya untuk menambahkan air susu. Begitulah kata bidan terjun yang baru terima cucu dua minggu lalu ni.



Untuk buat sup ini, benda pertama yang perlu dibuat ialah pergi beli kulit wantan kerana tapa kulit wantan maka tidaklah juadah ini menjadi seperti namanya. Kan gitu!!!
Maka perlu juga diisytiharkan bahawa kulit popia tidak boleh digunakan ya anak-anak bundo sekelian.



Maka bahan-bahannya adalah seperti berikut:

Untuk wantan
1 bungkus kulit wantan
2 keping ikan tenggiri saiz besar
1/2 labu bawang besar ditumbuk halus
1 biji bawang putih ditumbuk halus
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1/4 sudu kecil garam
sedikit carrot dihiris nipis dan dicincang halus
sedikit daun sup/saderi dicincang halus
1 sudu besar tepung gandum

Caranya:
Ikan diambil dagingnya sahaja dan ditumbuk halus. Ramas-ramas dengan tangan sampai hancur pun okay juga.
Ambil sekeping kulit wantan, letak satu sudu inti di tengah-tengah dan bungkuslah mengikut citarasa anda. Rekatkan tepi kulit dengan air supaya tidak terbuka.  Buat sampai inti habis.
Susun di dalam pengukus yang telah dipanaskan.  Kukus sekejap saja. Apabila nampak inti sudah mengeras, angkat. Lebih kurang 5 minit.
(nota:  bundo kukus dulu supaya segala isi tidak bertaburan sekiranya dimasukkan terus ke dalam sup)



Bahan sup:
(bundo tidak bubuh bahan rempah yang terlalu berat supaya rasa rempahnya sederhana saja)
1 sudu besar rempah sup
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil serbuk lada sulah
sayuran seperti:
carrot
lobak putih
kubis panjang
brocolli
etc etc ikut lah apa yang ada dalam peti ais tu.
stok ayam secukupnya (kalau tak ada, gunakan air yang ditambah dengan satu ketul stok ayam)



Tumbuk bawang putih dan bawang merah.  Campurkan dengan rempah sup yang telah digaul dengan sedikit air.
Panaskan minyak di dalam periuk.  Kalau boleh, gunakan extra virgin olive oil.  Kalau tak ada, pakailah minyak apa-apa pun. Bila berbau wangi, masukkan air stok ayam.  Biarkan mendidih.
Kemudian masukkan sayur-sayuran dan wantan. Rebus sebentar saja.  Padamkan api semasa sayur masih lagi rangup kerana proses masak masih berterusan walaupun kita dah padam api.



Sekian.  Mehlah sini bawa mangkuk.  Mangkuk kecit je tau...


ibundo


Friday, September 23, 2011

Sup Penne

Kelmarin hati ada sedikit 'down' sebab buat satu resepi rekaan tak berapa menjadi.  Rasa dia okay tapi tang rupa ada sikit kalah. Silap silap tengok ada rupa macam lempeng. Tapi kalau diambil gambar dari sudut yang bersesuaian, tak adalah nampak teruk sangat. Masalahnya petang tu hujan. Pukul enam dah macam nak maghrib. Flash kamera pula dah habis bateri. Snap gambar betul-betul benda tu macam baru kena panah petir.
Nantilah buat lagi sekali sebab resepi tu kena tulis kat sini.  Kalau main letak dalam kepala, sah-sah tahan dua tiga minggu.

Harini dah Jumaat? Beruntung siapa yang bernama Jumaat.  Tiap-tiap hari , hari Jumaat... haha apa bendalah yang bundo bebelkan pepagi ni.

Jom tengok resepi sup penne ni.  Elok untuk emak-emak yang dah tak tahu apa yang nak dimasak untuk anak-anak.

1 mangkuk penne yang telah siap direbus empuk
2 ketul ayam yang bertulang, potong kecil
10 biji? batang?(hantam sajalah laboo) kacang peas
1/2 batang carrot
sedikit capsicum merah dipotong ikut suka
2 ulas bawang putih dicincanng halus
1 biji bawang besar di dadu kasar
1/2 cawan susu cair
1 cube stok ayam
air secukupnya



Panaskan sedikit minyak.  Tumis bawang putih.  Setelah berbau wangi, masukkan bawang besar. Kacau.  Masukkan ayam dan gaul.  Masukkan pula air secukupnya.  Agak-agaklah.  Jangan sampai pula banjir periuk tu. Apabila mendidih masukkan stok ayam, penne. Tambah dengan susu cair. Biarkan mendidih lagi baru masukkan sayur-sayuran. Rasakan garam.


Ada rasa lemak-lemak berkrim sup ni.

Sekian.

ibundo

Saturday, July 9, 2011

Sup Sempoi

Nama pun dah sup sempoi mestilah buatnya pun sempoi kan? Sedap dihirup dan dimakan macam tu saja.


Bahan utama sebenarnya boleh dilihat di dalam gambar.
Chicken balls
Sausages
Jejari ketam
Brocolli
Cili merah
Carrot

Bahan tumis:
3 ulas bawang merah
1 ulas  bawang putih
1/2 sudu kecil lada hitam
1/2 sudu kecil jintan manis
1/2 sudu kecil jintan putih
sedikit hirisan halia muda

Tumbuk dengan lesung semua bahan tumis di atas.  Panaskan sedikit minyak dan tumis sehingga naik bau. Masukkan air. Bila mendidih masukkan bahan-bahan kecuali brocolli. Masukkan ia kemudian sekali semasa hampir padamkan api. Kalau suka, boleh tambah 1 cube stok ayam.

Sekian

ibundo

Friday, June 17, 2011

chicken mushroom brocolli soup

Sup ini rasanya ala-ala mushroom soup yang kat kedai tu.  Sedap dimakan dengan roti biasa atau roti garllic atau apa-apa roti pun.  Hirup macam tu pun sedap.


Hidangan untuk dua ata tiga orang:

Sekeping dada ayam.
3 cawan air (boleh tambah air kalau tak cukup)
1 sudu besar butter
2 sudu besar tepung gandum
10 biji cendawan butang (lebih pun tak apa )
1 kelopak besar brocolli
1/2 biji bawang besar didadu kecil
1 cube stok ayam

1. Ayam didadu kasar dan direbus dengan tiga cawan air. Masukkan cendawan dan brocolli. Bila masak, padamkan api dan tapis. Ketepikan.
2. Panaskan butter.  Masukkan tepung dan kacau sentiasa.  Bila berbuih, masukkan air ayam tadi sedikit demi sedikit sehingga habis. Kacau sentiasa supaya tidak berketul.
3. Masukkan bawang, cube stok ayam, ayam, cendawan dan brocolli yang ditapis tadi.
4. Bila kuah agak pekat, padamkan api. Biarkan seketika.
5. Bila agak suam, masukkan kesemua ke dalam blender dan kisar halus.
6. Masukkan kembali ke dalam kuali dan panaskan sehingga sampai kepada kepekatan yang diingini.  Sekiranya terlalu pekat, boleh ditambah air.
Rasakan masinnya.

Boleh juga dibubuh sedikit daun parsley.


ibundo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...