Showing posts with label BEBOLA. Show all posts
Showing posts with label BEBOLA. Show all posts

Monday, August 6, 2012

Kari Bebola Ikan

Ramadhan ramadhan yang lepas bundo buat menu berbuka untuk satu bulan. Dari satu hari puasa hinggalah petang raya.  Dan petang raya menu berbuka semestinyalah ketupat, rendang dan yang sewaktu dengannya.
Ramadhan tahun ini, bundo tak sediakan menu.  Semuanya ikut selera bantai sajalah labu!!!

Selalunya semasa sahur bundo akan tanya ahli rumah nanti berbuka nak makan apa. Suara yang paling ramai itulah menu untuk hari itu. Tapi ada juga masanya yang menu cadangan itu terbabas. Sebabnya bila pergi ke pasaraya, benda lain pula yang bundo jumpa haha.. Nasiblah kan.

Satu hari bundo buat kari bebola ikan. Anak-anak yang tengok, nampak macam pelik bila bundo buat fishballs masak kari. Tapi bila makan, rasanya sedap.  Betul. Tapi bebola ikan yang bundo beli tu memang besar-besar.  Bukan macam yang kita selalu bubuh dalam mee goreng tu. Setiap biji besarnya lebih kurang macam bola pimpong.



Masak kari semua orang tahu kan?  Tak payahlah bundo bagi resepi. Cuma bundo masukkan serai sebatang yang diketuk dan beberapa helai daun limau purut.  Bundo campurkan juga dengan 7 atau 8 batang kacang panjang dipotong anggaran 2 inci.

Kalau dah kehabisan idea nak masak lauk apa, cubalah masak kari bebola ikan.  Cari yang besar besar.  kalau tak silap bundo, bundo beli jenama KAMI.




Sekian.  Selamat berbuka puasa.

ibundo

Monday, May 28, 2012

Bebola Daging Telur Puyuh

Salam hari isnin.  Memandangkan bundo dah beberapa hari tak masak, bundo hidangkan je lah lauk minggu lepas. Tak payahlah nak mintak seketul sebab dah habis haha.. memang dasar kedekut.

Sebenarnya bundo jalan-jalan makan angin sampai kembung hingga tak ingat nak balik rumah sejak hari sabtu. Petang-petang kang baru nak balik.  Rindu dah rasanya nak berlari-lari anak dalam dapur. Berkungfu dengan periuk kuali sudip bagai. Apalah agaknya sibibik masak dua tiga hari ni.  Pandai-pandai kau lah bik.



Selalunya kalau bundo beli telur puyuh, bundo buat sambal je. Dah gerenti laku.  Tapi haritu bundo mimpi apa ntah teragak pula nak main balut-balut dengan daging cincang. Sebab beberapa kali tengok dalam buku resepi dan dalam majallah. Nampak glemer je telur puyuh tu bila berposing terbelah. Terguda tau.. Tapi tercabar keimanan jugalah bila bundo goreng dia merekah.  Daging mengecut dan menampakkan telur yang di dalam tu.

Rupanya cara untuk menjadikan proses penggorengan berjaya ialah, pastikanlah anda balut tebal-tebal dengan daging. Kalau balut asal balut je, alamatkan menangislah korang.



Bahan:
20 biji telur puyuh direbus dan buanglah kulitnya

400 gm daging cincang ramli.
1/2 biji bawang besar
1 sudu kecil lada hitam
1 biji telur
sedikit serbuk stok ayam/daging
sedikit garam
1 sudu besar tepung gandum
1 tangkai daun sup dicincang halus halus.

Campurkan kesemua bahan di atas. Ambil sekepal daging dan leperkan di tapak tangan.  Masukkan telur di dalamnya dan bungkus kemas. Pastikan daging yang membaluti telur tidak terlalu nipis. Nanti bila digoreng habis terbukak, menangis tak berlagu pula nanti.
Buat seperti itu sehingga habis.
Panaskan minyak dan goreng hingga kekuningan.



Untuk kuah:
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 biji bawang besar dipotong bulat
2 biji cili hijau/merah
2 biji ubi kentang dipotong wedges
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar tepung jagung dibancuh sedikit air

Goreng ubi kentang.  Ketepikan.
Tumis bawang merah dan bawang putih. Masukkan sos-sos.  Tambah sedikit air dan masukkan tepung jagung.
Masak hingga pekat.
Sebelum dipadamkan api, masukkan bawang besar, cili, kentang dan bebola telur puyuh.

Selamat menjamu selera.


ibundo

Sunday, May 20, 2012

Bebola Tempe Masam Manis

Suka makan tempe tetapi muak dengan cara memasaknya?
Memanglah macam tu kan. Setiap kali makan tempe tetapi tetap dengan cara yang sama, pasti muak.  Sesekali mahu juga kelainan.



Bundo cuba mempelbagaikan cara memasaknya.  Bebola tempe ini adalah salah satu. Mungkin kalau masa mengizinkan, bundo tunjukkan cara lain yang pernah bundo cuba.  Cuma dulu semasa membuatnya tidak pula teringat nak ambil gambar.  Nanti nantilah ...



Untuk resepi kali ini, lihatlah bahan-bahannya:
Untuk bebola
angaran 24 biji

1 bungkus tempe (tempe yang dalam plastik tu)
75 gm daging cincang
1 keping tahu
1 keping roti dibuang tepi dan di rendam dalam sedikit air
1 biji bawang besar yang bersaiz kecil (kalau saiz besar, letak 1/2 biji sahaja)
1 tangkai daun sadri dicincang halus
4 sudu besar tepung
1 biji telur
1 sudu kecil serbuk pati ayam
1 sudu kecil serbuk lada sulah
secubit garam




Cara membuat bebola:

1. Daging cincang dilembutkan kalau frozen.  Ketepikan.
2. Tempe dihiris halus.
3. Bawang dicincang halus.
4. Tahu diramas.
5. Masukkan tempe, tahu, bawang, telur, roti dan sedikit air ke dalam blender.  Kisar halus.
6. Gaulkan bahan blender bersama daging.  Gaul rata.
7. Tambah daun sadri yang dicincang halus, serbuk lada sulah, serbuk pati ayam, garam dan tepung.  Gaul sebati. Adunan mestilah seperti kita membuat cekodok pisang.  Sekiranya cair sebab terlebih letak air semasa blender, tambah sedikit tepung.
8.  Panaskan minyak dan sudukan adunan ke dalam minyak seperti membuat cekodok.  Kalau nak cantik bulat, copot je dengan tangan. Goreng sehingga kekuningan. Angkat dan tos.




Bahan kuah:

3 ulas bawang merah dihiris nipis
1 ulas bawang putih dihiris nipis
sedikit halia muda dihiris mancis
1 labu bawang besar dipotong bulat
Carrot
Tomato
1-2 batang cilli merah dihiris
1 batang celery dipotong-potong
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos plum
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
air secukupnya



Cara:
Panaskan sedikit minyak.  Tumis bawang. Masukkan semua sos dan tambah air.
Bubuh carrot dulu sebab dia lambat empuk. Apabila hampir empuk, masukkan tepung jagung.
Kemudian masukkan bahan lain termasuk bebola.




Selamat mencuba dan selamat berhujung minggu bersama keluarga tersayang.

ibundo


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...