Showing posts with label AYAM. Show all posts
Showing posts with label AYAM. Show all posts

Tuesday, December 16, 2014

Ayam Kung Pao

Kalau tengok resepi Rasa Malaysia, banyak yang menarik.
Tengahari tadi masak ayam kung pao ni. Boleh tahanlah. Selalunya bahagian daging macam ni kalau dimasak memang gerenti tak berusik tapi bila dipotong kecil kecil laju pulak orang makan.

Nak share resepi di sini kalau ada sesiapa yang nak cuba dan cari kelainan.



3 ketul dada ayam
3 sb roasted peanut (aku taruk almond)
8 biji cili kering dipotong dua@tiga
3 sb minyak masak
5 keping hirisan nipis halia
2 ulas bawang putih dihiris
1 tangkai daun bawang (aku taruk daun ketumbar)

Untuk perapan:
1 sb tepung jagung
2 sb kicap
1 sk minyak bijan

Untuk sos:
1 1/2 sk kicap cair
1 sb kicap pekat
1 sk gula ( tak bubuh)
1/4 sk cuka
2 sb air
1 sk tepung jagung





Cara:
1. Hiris ayam potongan cube atau  memanjang, cuci dan toskan kering. Perap dengan bahan perapan selama 30 minit.
2. Campurkan bahan sos dalam mangkuk dan ketepikan.
3. Panaskan kuali dan masukkan 2 sb minyak. Goreng ayam sehingan 70% masak, angkat dan ketepikan.
4. Basuh kuali, panaskan semula dan masukkan 2 sb minyak. Masukkan halia dan bawang putih kemudian cili. Masak sehingga beraroma wangi.
5. Masukkan ayam.
6. Masukan kacang panggang. Kacau rata dan masukkan pula bahan sos.  Kacau sehingga rata.
7. Akhir sekali masukkan daun bawang atau ketumbar.




Sekian.

p/s Lately aku banyak benda yang nak dibereskan.  Aku jadi orang yang tak banyak cakap hiiii...

ibundo


Saturday, November 1, 2014

Bundo's Roast Chicken Briyani

Salam. Agak lama juga gambar sup omputih di bawah tu tak bergerak-gerak.
Lebih seminggu kot.

Ahad minggu lalu semasa parking kereta di pasar borong sri kembangan, aku bertanya hasben menu dinner untuk petang tu. Hasben jawab buat je lah apa-apa asal makan. Teringat yang aku dah lama tak masak nasi briyani, aku cadang nak masak nasi briyani untuk makan malam. So, aku beli 3 ekor ayam saiz kecil dan siap dipotong empat bahagian.

Haritu pasar borong memang agak lengang.  Banyak parking space. Tak payah nak berebut
dan bertunggu-tunggu pun. Agaknya orang masih di kampung masing-masing bercuti sempena perayaan deepavali. Aku je yang dah lama tak berbondong-bondong balik kampung macam diorang.

Pendek cerita, balik rumah sambil masak untuk lunch, sambil aku marinade ayam untuk aku panggang belah petang. Aku suka perap lama-lama biar rasa spices dia masuk sampai ke dalam. Lepastu aku masukkan je besen berisi ayam yang aku marinade tu dalam freezer. Masuk dalam freezer sebab peti ais aku dah nak termuntah dengan bermacam mendaalah.
Ye la, takdelah nak suruh ayam tu beku. Sekali sekali keluarkan kejap sambil balik-balikkan ayam.  Lepastu masukkan balik dalam freezer.

Tapi tengahari tu lepas zohor aku sakit. Pinggang aku sakit. Sakit sampai aku terpaksa pergi hospital. Dan bila sampai hospital, lepas jumpa doktor, lepas cek itu cek ini, doktor masukkan aku dalam wad. Besoknya pula doktor yang lain masukkan aku dalam bilik bedah dan keluarkan beberapa ketul batu karang dari dalam buah pinggang aku. Empat hari aku duk hospital.
Begitulah ceritanya kenapa sup omputih aku tak begerak-gerak.




Sebenarnya aku dah terlupa tentang ayam yang aku dah marinade dan dah pun beku dalam freezer. Sehinggalah anak aku bertanya ayam apa yang ada dalam besen dalam freezer tu. Baru aku teringatkan nasi briyani aku yang sepatutnya aku buat ahad lepas.
So, pagi-pagi tadi lepas subuh aku keluarkan ayam supaya dia defrost.
Tengahari, dengan pertolongan anak dan bibik, aku selesaikan tugas yang tertangguh hampir seminggu.

Bahan marinade ayam:
ekor ayam dipotong 4 (aku masak 3 ekor)
1 sudu besar halia yang telah diblender
4 ulas bawang putih ditumbuk lumat
1/2 tin kecil tomato puri
2 sudu besar rempah briyani
3 sudu besar minyak zaitun
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil parsley kering
1 sudu kecil oregano

Gaul semua bahan dan perap bersama ayam. Perap sekurang-kurangnya 2 jam.
Kemudian bakar dalam oven.
Nota: Air yang dikeluarkan ayam semasa ia dibakar, enak untuk dijadikan sos.


Bahan nasi:
rangka 1 ekor ayam (kalau tak ada, bahagian tulang ayam pun okay)
500 gm beras basmathi
3 sudu besar penuh majerin/butter
1 biji bawang besar dihiris nipis
3 ulas bawang putih dihiris nipis
1 inci halia dihiris
2 sudu besar rempah briyani
1/2 tin kecil tomato puri
1 tin susu cair
1  batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum cengkih
3 biji buah pelaga

1. Rangka ayam direbus.  Air mestilah cukup untuk dibuat sup dan untuk masak nasi.
2. Panaskan majerin. Tumis bawang putih, bawang merah, halia dan rempah tumis sehingga masak. Kemudian masukkan rempah briyani. Gaul sebentar dan tutup api.
3. Bersihkan beras. Masukkan tomato puri, susu cair dan bahan yang telah ditumis.
4. Tambah dengan air rebusan ayam sehingga cukup untuk memasak nasi. Masukkan garam.
5. Tanak nasi seperti biasa. Boleh tambah daun pandan atau daun ketumbar untuk menambah wangi nasi.



Salsa:
2 batang timun
1 biji bawang besar
3 biji tomato
1 sudu kecil gula
garam
1/2 biji lemon diambil jusnya

1. Timun dibuang biji dan dipotong dadu kecil
2. Tomato dibuang biji dan dipotong dadu kecil
3. Bawang didadu
4. Gaul semua bahan

Sambal:
8 biji cili api
5 batang cili besar hijau
1 biji bawang sederhana besar
1 tangkai daun ketumbar
garam secukupnya
1 sudu besar gula
1/2 biji lemon diambil jusnya

Blender semua bahan. Masukkan ke dalam mangkuk




Ayam aku tu kan..perghhh sodaappp. Agaknya sebab seminggu kena perap.  Memanglah rasanya semua masuk dalam daging dalam tulang pun.

Sekian.


Ibundo

Tuesday, September 30, 2014

Ayam Goreng Oats

Salam.
Jumpa lagi.
Sekejap ada sekejap hilang.
Seperti juga mood masak yang sekejap ada sekejap tak ada.

Harini teragak nak mengangkat kamera untuk menangkap hasil di dapur.  Lama mendalah tu terperosok saja. Skill pun dah makin merosot nampaknya. Sama merosotnya skill masak..err..



Untuk masakan ini, resepinya:

1/2 ekor ayam dipotong kecil
(gaul dengan garam dan kunyit)
2 sudu besar penuh mentega
10 helai daun limau purut dihiris hiris
10 biji cili api dipotong (lebihkan kalau mahu pedas)
2 batang serai ambil bahagian yang lembut, dihiris nipis
1 cawan oats (tambah kalau mahu lebih)



Cara:
-Panaskan minyak.  Goreng ayam, angkat dan toskan minyaknya.
-Panaskan mentega.  Masukkan daun limau purut, serai dan cili api.  Goreng sehingga layu dan naik bau.
-Masukkan pula oats. Goreng sehingga kekuningan dan oats rangup.
-Masukkan ayam goreng tadi. Gaul rata sekejap dan padamkan api.




Resepi ni lebih kurang macam udang nestum.  Yang beza cuma dibubuh daun limau purut dan hirisan serai. Harum semerbak bau daun limau semasa ia digoreng.
Sedap jugaklah. Memang sedap pun.  cubalah.



Sekian.  Tak taulah untuk berapa lama  gambar ni akan tersadai di sini hiii...

ibundo

Wednesday, August 20, 2014

Ayam lemak briyani

Salam.
Selamat hariraya idulfitri yang masih lagi berbaki beberapa hari.
Selamat berpuasa sunat Syawal bagi mereka yang masih menyelesaikan puasa sunat.
Rasanya masih ramai juga yang sibuk dengan rumah terbuka dan kenduri kahwin yang datang silih berganti pada hujung minggu.

Resepi ayam lemak briyani.
(Ketika menulis ini, aku teringatkan ayam kampung yang emak bela semasa hayatnya.  Ketika itu mak masih sihat. Nasi lebihan, hampas kelapa mak tabur di depan reban ayam dan bertebaranlah ayam ayam itu berlari mendapatkan emak dan mematuk-matuk makanan yang bertabur di atas tanah. Ada kalanya kaki mak dipatuk dan emak menjerit geli.
Sekiranya aku anak beranak pulang ke kampung, sudah pasti dua tiga ekor ayam tumbang disembelih abah. Masak ayam cili api emak adalah yang terbaik di alam maya ini.
Betapa aku rindukan emak......)


Okay....terbawa-bawa sebentar dek emosi.

Bahan:
1 ekor ayam
1 kotak santan kara (atau santan sebiji kelapa)
4 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 cm halia diketuk
1 cm lengkuas diketuk
2 batang serai diketuk
3 sudu besar pes cili kering (gaul dengan sedikit air dan jadikan pes)
8 biji cili api ditumbuk halus
2 sudu besar rempah briyani
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 keping asam keping





Panaskan sedikit minyak.
Tumis bawang merah dan bawang putih hingga naik bau.
Masukkan pes cili kering dan cili api. Biarkan betul-betul masak.
Masukkan halia, lengkuas dan serai. Gaul sebentar.
Letak pes rempah briyani dan kunyit.  Gaul rata.
Masukkan ayam dan biar air ayam kering.
Masukkan santan, garam dan asam.






Sekian. Tulis pendek je sebab masih dalam mood raya..hihi..

ibundo




Friday, November 8, 2013

Ayam Qaseh

Salam hari jumaat.  Sudah sampai kita ke hujung minggu dan semakin hampir ke hujung tahun. Banyak perkara yang telah kita lalui sepanjang tahun ini.  Banyak juga masakan yang telah kita buat untuk keluarga tercinta.
Semuga air tangan kasih sayang kita makin mengeratkan jalinan ikatan kekeluargaan.

Sempena kasih sayang, bundo namakan masakan ini ayam qaseh. Sangat sesuai untuk menambat hati suami dan anak-anak.



Bahan:
1 ekor ayam
1 biji kelapa diambil santannya
(atau 1 kotak santan kara ditambah air secukupnya)
 2 biji kentang dibelah 4 setiap biji
4 ulas bawang merah ditumbuk kasar
2 ulas bawang putih ditumbuk kasar
1/2 inci halia dihiris memanjang
2 sudu besar pes cili kering (cili kering diblender)
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk belacan
1 batang serai diketuk
1 kuntum bunga kantan
2 batang daun kesum
4 helai daun limau purut dibuang tulangnya
1 sudu besar jus asam jawa




Cara:
Tumis bawang putih dan merah, halia sehingga wangi.
Masukkan pes cili, serbuk kunyit dan serbuk belacan . Goreng masak.
Tambah serai. Gaul dan masukkan ayam.
Bila ayam bertukar warna dan airnya kering, masukkan santan.
Masukkan pula kentang, bunga kantan, daun limau purut dan daun kesum.
Bubuh garam. Bila kentang empuk, masukkan air asam jawa.
Biar kuah agak pekat.




 Sekian untuk hari ini.

ibundo





Monday, October 7, 2013

Ayam masak kantan

Salam.
Seem ages since I last wrote. Almost forgotten how to put  words into sentences and how to arrange the sentences to form understandable phrases. I guess I've been gone too long.

My love for food and photography is still the same.  No less.
Just that I have lost some of the rhythms that I once had. Nonetheless every now and then when I feel the situation is appropriate , I just had my fun time.  Like I did when I cooked this dish.




I call it ayam masak kantan because the sauce is full of bunga kantan flavour.
Cooking this dish is no far different from cooking masak lemak cili api. Just a little bit of alteration here and there, it becomes a completely different version.
I love it.  Love the taste. Love the aroma too.



You need:
1 whole chicken cut into small sizes
1 box of santan or extraction of coconut milk from 1 coconut.
15 bird eye chilis (cili api) *
5 shallots (bawang merah)*
2 garlics *
1 inch galangal (lengkuas)
1 inch ginger
2 lemon grass (serai)
1/2 in tumeric * (or you can use tumeric powder)
2 potatoes, quatered
1 stalk bunga kantan cut into halve
6 pieces of kafir lime leaves (daun limau purut)
1 tsp chicken stock powder
1 asam keping




- In a mortar pounder, grind those marked * until becomes a fine paste. You can also used blender but make  sure not to put in much liquid.
- Flatten galangal, ginger and lemon grass with the head of the mortar pounder.
- Heat enough oil. Fry the grounded paste until fragrance.
- Put in galangal, ginger, lemon grass and kafir lime leaves. Stir until cooked and fragance.
- Put in the chicken and cook until it changes colours.
- Pour in santan, stir.
- Put in potatoes and bunga kantan
- When potatoes are soft, put in asam keping.
Dont forget your salt.




Well, as easy as that.
See you at the dinner table.


ibundo

Monday, August 19, 2013

Ayam sesame

Haih... lamanya tak update.
Hope it's still not too late to wish everyone selamat hari raya. Agaknya masih ramai yang sibuk menerima tetamu dan juga memenuhi undangan rumah terbuka.
Ada juga yang bertanya bundo; bila nak buat open house.
Well, I guess age has taken its toll. Dah tak larat.. as simple as that.
Kalau nak datang beraya, you are most welcomed. Masak je apa yang patut kan..




Sebenarnya dah jemu makan ayam tapi bila tengok dada ayam berketul-ketul dalam freezer, got to do something with it. Dada ayam dan bahagian yang berdaging, memang tak laku kalau dibuat gulai. Kenalah kreatif sikit supaya bahagian tu tak nampak boring dan tasteless.
I prefer to buy just thighs or drumsticks rather than the whole chicken tapi mahallah pulak.





Resepi:
(Reduce it to suit your own portion)

5 ketul dada ayam dipotong nipis memanjang
5 biji bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dicincang halus
1 inci halia dipotong julien
2 sudu besar  bijan di sangrai kekuningan
5 biji cili api dipotong serong
1 sudu besar minyak bijan
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos hoisin
1 sudu besar kicap hitam
1 atau 2 sudu besar jus lemon
sedikit daun bawang dan daun ketumbar dipotong pendek





Panaskan sedikit minyak jagung. Tumis bawang putih, merah dan halia sehingga naik bau.
Masukkan ayam.  Gaul sekejap sehingga bertukar warna.
Masukkan segala sos dan minyak bijan.
Gaul (ayam mengambil masa yang singkat untuk masak. Jangan overcook).
Masukkan cili api dan jus lemon.
Masukkan separuh potongan daun bawang dan ketumbar. Gaul dan padamkan api.
Letak di dalam piring dan taburkan dengan bijan dan lebihan daun bawang serta ketumbar.




Makan sementara masih panas dengan nasi putih yang berasap.

Sekian. Once again, selamat hari raya.


ibundo

Friday, July 19, 2013

Ayam Masak Merah Lemak

Dah hari kesepuluh.
Sekejap saja kan? Terasa macam laju sangat masa berlalu.
What have we achieved for the past ten days.
Kadang-kadang kena menung-menungkan juga sama ada kita ni dah jadi lebih baik daripada semalam. Ataupun sama saja.
We know ourselves better.


Ni my recipe dah bertahun-tahun.
Kalau buat nasi 'special', bundo kawenkan dengan lauk ni.
One of the many lauks yang kita boleh gandingkan dengan nasi minyak ke, nasi jagung ke, nasi briyani ke...
Senang nak buat.  Even my maid pun pandai buat.
Bahannya lebih kurang macam buat ayam masak merah, cuma yang ni letak santan atau susu cair.



1 ekor ayam
3 biji kentang dipotong 4 atau 6
1 biji bawang besar (blender)
4 ulas bawang putih (blender)
2 cm halis hiris halus
1 senduk gulai (besar) pes cili kering
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih
1 kotak santan (atau santan dari satu biji kelapa)
3 cawan air ( kalau pakai santan kotak)
4 sudu besar penuh tomato puree (1/2 tin kecil tomato puri)
1 tin kecil kacang pea
baby carrot secukupnya
baby tomato secukupnya


Ayam dibersihkan, digaul sedikit kunyit dan garam dan digoreng 3/4 masak.  Ketepikan.
Kentang digoreng masak.  Ketepikan.
Ambil sedikit minyak gorengan ayam, tumis pes bawang merah, bawang putih dan rempah 4 sekawan sehingga naik bau. Masukkan cili, pes tomato dan goreng hingga masak.
Masukkan santan kotak dan air.
Apabila mendidih, masukkan pula ayam, carrot, kentang.
Masak sehingga kuah pekat dan masukkan kacang peas dan separuh airnya betul-betul sebelum padamkan api.



Itu saja.  Selamat berbuka.


ibundo

Thursday, April 25, 2013

Ayam Tambatan Hati

Salam pagi khamis. Banyak benda nak buat harini. Siapa yang tak bizi kan? Semua orang terkejar-kejar berlumba dengan masa yang berjalan tak menoleh ke belakang. Kita je yang berjalan selalu tertoleh-toleh hmmm..
Ahad ni sukan tahunan kindy bundo yang tertangguh sebab spr batalkan tempahan stadium tempohari akan berlangsung. Kali ni dibuat di stadium ukm.  Alhamdulillah..
Rumah bundo ni dah penuh dengan hadiah. Ramai parents yang bermurah hati membuat sumbangan wang dan hadiah untuk cabutan bertuah. Hadiah amat lumayan.
Pertengahan May pula satu lagi main family event akan berlangsung. Bizi bizi bizi.. tapi sempat jugalah masak-masak.

Resepi kali ni? Jom layannnn....


Bahan:
1 ekor ayam
1 inci lengkuas *
1 inci halia *
1 biji bawang besar *
3 ulas bawang putih *
2 batang serai *
1 biji bawang besar dipotong bulat

1 sudu kecil serbuk lada sulah
10 biji cili api diketuk-pecah
6 helai daun limau purut dibuang tulang dan dikoyak
2 sudu besar kicap pekat manis
1 cawan susu cair
1 cawan air
1 sudu besar jus lemon

Cara:
1. Ayam dilumur sedikit kunyit dan garam.  Goreng 3/4 masak.  Ketepikan.
2. Kisar bahan yang bertanda *.
3. Panaskan minyak secukupnya dan tumis bahan kisar sehingga masak.
4. Masukkan air, susu, ayam dan bahan-bahan lain. Tambah garam secukup rasa.
5. Masak sehingga kuah agak pekat.



Sekian.  Semuga hari anda ceria hari ini dan juga hari-hari seterusnya.


ibundo

Monday, April 8, 2013

Ayam kicap berempah

Salam buat semua.
Satu entry yang ringkas sebab nak kena selesaikan banyak perkara.



Bahan:
1 ekor ayam
1 inci lengkuas (lebih kurang) diketuk
1 inci halia diketuk
2 batang serai diketuk
4 helai daun limau purut dibuang tulang
10 ulas bawang merah ditumbuk pecah-pecah kasar
3 ulas bawang putih ditumbuk pecah-pecah kasar
1 sudu besar pes cili kering
1 sudu besar rempah briyani
2 sudu besar kicap masin cap kipas
1 cawan air (boleh tambah kalau tak cukup)
1 sudu besar jus lemon



1. Ayam dibersihkan, dilumur sedikit garam dan kunyit dan goreng 3/4 masak. Ketepikan.
2. Tumis bawang merah, bawang putih, lengkuas dan halia sehingga wangi. Masukkan pes cili dan goreng sehingga cili masak,
3. Masukkan pula rempah briyani dan serai.  Goreng sehingga masak.
4. Tambah air, kicap dan masukkan ayam.
5. Masukkan daun limau purut, jus lemon dan garam secukupnya.
6. Masak sehingga kuah agak pekat.

Silalah....


ibundo

Friday, March 15, 2013

Ayam nanas lemak tumis

Kelmarin bangun tidur mata tiba-tiba bertukar jadi biru. Hah, terperasan jadi biru. Terus tangkap cakap omputih. Bermonolog cakap omputih.  Bergaduh dengan kucing pun cakap omputih. That explains why I wrote omputih in previous n3 haha.

Janggal jugaklah sebab dah selalu cakap melayu dan merapu-rapu. Sebenarnya kan kalau kita nak capture ramai readers diluar dari dunia mesia ni, memang elok bebenaulah kalau kita amalkan tulisan kita dalam BI kan. Ramai je mereka yang di negara sejuk mejuk tu yang nak tau akan cara masakan kita di sebelah sini. Writing in english is surely a big bonus.



Resepi harini?
Ayam lagi.
Mak dan abah dulu ada bela ayam.  Macam yang bundo cerita dulu lah. Ayam tu tak adalah banyak mana pun. Cukup untuk buat bising semasa bertelur dan memekak berkokok pagi-pagi mengejutkan tuan rumah untuk sembahyang subuh. Tidur pun ikut suka hati masing-masing.  Ada reban, ayam ni lebih suka tidur atas pokok. Peliknya tak berdebab pulak jatuh.

Masa nak bagi makan, mak selalu teriak kuurrrrrrr!!!... bertaburan diorang datang. Makan tak susah.  Hampas kelapa.  Nasi yang tak habis dimakan. Semua dibelasah dek ayam. Jarang abah beli dedak makanan ayam. Dah ayam pun memang pandai cari makanan sendiri kan.  Kais sana kais sini dapatlah cacing.  Berebut-rebut bila dah dapat sekor.

Bila bundo dah berkeluarga, abah selalu sembelih ayam kalau kami balik kampung. Memang berpesta makan ayam kampung lah.  Apa lagi kalau tak masak lomak cili api. Masa tu ayam belaan mereka dah mula berdisiplin sikit.  Malam-malam sopan je masuk reban, tidur.   Mungkin sebab takut kena baham dengan biawak atau musang.  Abah pun dah beli dedak untuk ayam makan. Kesian agaknya ayam kurus kering sebab makan cacing je haha.

Pernah satu hari ayam abah mati sekor (ke dua?) sebab terlebih makan dedak. Halnya anak lelaki bundo yang tiga orang (masa tu) yang tengah naik dan ligat nakalnya, menabur dedak satu kampit kat belakang dapur. Apa lagilah, memang riuh rendah ayam ayam tu menerima rezki yang tak disangka-sangka.  Sejak tu, tiap kali kalau bundo bagitau yang kami nak balik kampung, abah dah ready awal-awal menyorokkan dedak ayam di tempat yang paling tinggi yang tak tercapai dek budak 3 orang itu.

Begitulah cerita ayam. Teringat pulak kat jalil hamid dengan lagu ayam dia.



Ok, resepi.  Kalau dapat ayam kampung memang best ni.

1 ekor ayam kampung
1/2 biji nanas saiz kecil dipotong tiga segi
1 biji kelapa diambil santannya (asingkan pekat dan cair)
1 inci lengkuas *
1/2 inci halia *
1/2 inci kunyit hidup (tambah sikit kalau tak cukup kuning) *
3 biji buah keras *
8 ulas bawang merah *
3 ulas bawang putih *
10 biji cili api (kurangkan kalau takut pedas) *
1 sudu besar pes cili kering
2 batang serai dititik
5 helai daun limau purut dibuang tulangnya

Cara:
1. Blender bahan yang bertanda *.  Ketepikan.
2. Potong nanas.  Ketepikan.
3. Panaskan 3 sudu besar minyak masak (lebihkurang).  Tumis bahan yang telah diblender sehingga masak.
4. Masukkan ayam dan biarkan sehingga air ayam keluar dan kering sedikit.
5. Masukkan santan cair. Masak sehingga ayam separuh empuk. Masukkan juga garam, serai dan daun limau purut.
6. Tambah santan pekat dan nanas.
7. Kalau nanas tidak cukup masam, tambah sekeping asam gelugur.
8. Masak sehingga ayam empuk dan kuah agaak pekat.




Makan dengan nasi impit pun sedap.
Sekian.....


ibundo

Tuesday, February 12, 2013

Ayam Kicap Bundo

Salam.
Rumah bundo ni memang selalu masak ayam.  Jadi tak heranlah kalau bundo asek tayang menu ayam haha.
Tapi budak-budak kat rumah ni tak muak-muak makan ayam. Kalau tak ayam, telur.  Kalau tak telur, sambal.  Senang betul hidup. Kalau masak ikan, sampai naik rentung ikan tu asek kena panaskan atas dapur. Ye lah.. tak habis, masuk peti ais. Kemudian reheat. Masuk peti ais balik.  Reheat balik.  Mana tak rentungnya hiii..  Akhirnya rezki si Jordan kucing bundo.



Ayam ni masak petang tadi. Sebenarnya nak masak lain tapi dah mata terpandang ayam, ambil je lah ayam. Sambal nasi lemak belen diorang bawak pergi piknik kat hulu langat pagi tadi, ada semangkuk. Cukuplah untuk buat rasa pedas-pedas sebab ayam tu  masak kicap, memang lah takde pedasnya. Kalau makan tak ada yang pedas, tak kaw.




Okay, resepi.
Bahan:
1 ekor ayam

untuk rebusan ayam:
1 sudu kecil lada putih
1 inci halia diketuk
1 inci lengkuas diketuk
2 batang serai diketuk
6 helai daun limau purut dibuang tulangnya
3 helai pucuk daun kunyit dipotong pendek
Anggaran 3 cawan air
1 sudu kecil serbuk stok ayam
secubit garam
secubit serbuk kunyit





Untuk goreng kicap:
3 ulas bawang merah ditumbuk kasar
3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
2 biji bawang merah sederhana besar dipotong bulat
4 biji cili api dipotong dua
1 batang daun bawang dipotong pendek
1 batang daun saderi dipotong pendek
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar kicap cair
1 sudu kecil gula
1 sudu besar jus limau kasturi/ lemon
2 keping hirisan halia dipotong julien



Cara:
- Masukkan ayam ke dalam periuk.  Tambah air sehingga ke paras ayam. Masukkan bahan-bahan untuk rebusan ayam.  Rebus ayam bersama bahan-bahan sehingga airnya tinggal separuh.
- Keluarkan ayam dan ketepikan air rebusan untuk kegunaan kemudian.
- Panaskan minyak.  Goreng ayam sebentar.  Sebentar saja agak-agak 3, 4 minit. Ketepikan.
- Keluarkan minyak dari kuali dan tinggalkan sedikit untuk menumis.
- Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga wangi.  Masukkan sos tiram, kicap pekat dan kicap cair.  Gaul rata.
- Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan tambahkan dengan air rebusan ayam.  Masukkan sekali semua serba serbi yang ada dalam air rebusan itu.
- Tambah jus limau, gula, cili api dan rasakan masinnya.  Balancekan semua rasa.  Boleh tambah kicap, kalau kurang masin.
- Akhir sekali sebelum api ditutup, masukkan bawang potong, daun bawang dan daun saderi.



Jomlah makan!!!!

ibundo

Monday, February 11, 2013

Ayam Aneka Rempah AROMA

Hujung minggu yang panjang... ah seronoknya. Kepala kurang berserabut dengan kerja-kerja yang menimbun. Kurang sedikit. Realitinya kerja tak pernah pupus selagi nadi berdenyut.

Semalam bundo ke sogo bersama anak-anak. Biasalah, bapa anak-anak lebih rela duduk di rumah daripada sama-sama menyibukkan diri dalam aktiviti pandang-pilih-letak-cari lagi-sampai melepek. Biasalah perempuan. Kalau bukan begitu, bukanlah perempuan yang menyoping namanya. Akhirnya dapat juga apa yang dicari dan lawaknya, dapat juga apa yang tidak dicari.  Biasalah tu kan?

Sogo penuh dengan manusia. Sampai ke anak tangga manusia melepak.  Terasa macam berada di negara asing bukannya negara sendiri kerana rata-rata mereka yang melepak itu bukan orang kita. Teringat masa dulu-dulu ketika bundo masih muda.  Waktu tahun baru cina seperti ini kuala lumpur sunyi sepi. Lengang. Kedai yang dibuka boleh dibilang dengan jari. Shopping complex memang mati terus sampai tiga empat hari. Sekarang?

Lalu di stall menjual majalah bundo berhenti sebentar, mengambil majalah Aroma, menyelak mukasurat dan menunjukkan kepada anak yang belum melihat. Sebenarnya sudah beberapa hari berkira-kira untuk membuat satu n3 berkenaan dengan ini. Setidak-tidaknya sebagai tanda besar hati bundo kepada pihak Aroma yang telah sudi menampilkan bundo dengan resepi entah hape-hape memenuhi beberapa helai mukasurat dalam Aroma februari itu. Memang kebetulan semasa dihubungi bundo sibuk tahap gaban. Memang tidak ada masa langsung untuk memasak resepi-resepi baru. Namun pihak Aroma berpuas hati saja dengan resepi-resepi yang telah pernah bundo siarkan di dapur ibundo. Terima kasih.

Di bawah ini salah satu resepi yang dimasukkan. Bundo kongsikan di sini kerana bundo belum pernah kongsikannya bersama anda di sini.






1 ekor ayam
3 sudu besar rempah kari
2 sudu besar rempah kurma
2 sudu besar rempah briyani
250 gm santan pekat
2 cawan santan cair
2 batang serai dititik
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunya lawang
3 biji buah pelaga
4 kuntum bunga cengkih
8 biji buah kurma dibuang biji
Segenggam bawang goreng

Bahan dikisar halus:
6 biji cili kering
3 biji buah keras
1 inci lengkuas
1 inci halia






Cara:
1.       Tumis bahan kisar dan rempah empat sekawan sehingga wangi.  Kemudian masukkan rempah-rempah yang telah digaul dengan sedikit air.  Masak sehingga rempah garing.
2.       Masukkan ayam, serai dan masak sehingga air ayam kering.  Kemudian masukkan santan pekat dan santan cair.
3.       Tambah garam.  Apabila kuah agak pekat, masukkan buah tamar dan bawang goreng.






Dapat juga melihat wajah sheila yang cantik comel di majalah ini. I love you shiela. Resepi-resepi dan foto-foto dari blog shiela selalu menggoda keimanan bundo.



Semalam baru sempat membeli majalah RASA mac dan di dalamnya dipaparkan airtangan beberapa bloggers otai yang sangat disegani di alamaya ini.  Belilah...




Wednesday, February 6, 2013

Stew Ayam

Masakan ayam bundo ni nampak macam kari pun iye.  Macam asam pedas pun iye jugak. Tapi sebenarnya bundo buat stew, terpengaruh dengan stew amie masa pergi melawat ke dapur dia.  Cuma stew bundo ni stew  yang biasa-biasa bundo buat. Biasalah.. resepi campak-campak hantam-sajalah-labu.
Cakap pasal labu, lama dah bundo tak masak guna labu.  Sejak brpp brpp asek berangin. (sejak kebelakangan ini keliling bundo ni penuh dengan hangin).




Oleh sebab tak boleh duduk lama-lama depan lappy ni, bundo terus jelah cakap pasal resepi. Anak-anak bundo kalau nak masak, geledah jelah kat dalam dapur ni.

Bahan:
1 ekor ayam
3 ulas bawang putih dicincang halus
2 biji bawang besar (sederhana besar) didadu besar
2 sudu besar pes cili kering
5 sudu besar tomato  puree
3 biji ubi kentang dibelah 4 setiap satu
1 batang carrot dipotong tebal
1 batang celery dipotong tebal (daunnya diambil)
4 sudu besar kacang peas
800 ml stok ayam (atau 800ml air + satu cube stok ayam)
4 helai daun selasih
1 sudu kecil gula
garam secukupnya





- Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga layu dan wangi.
- Masukkan pes cili.  Goreng sehingga masak.
- Masukkan ayam. Masak sehingga bertukar warna.
- Tambah tomato puree, ubi kentang, carrot,  dan air stok ayam.
- Apabila mendidih masukkan pula daun selasih dan daun celery.
- Celery dimasukkan bila kuah agak pekat.
- Masukkan pula kacang peas sejurus sebelum api dipadamkan.
- Jangan lupa garam dan sedikit gula.




Kuah ni nampak merah sebab ada pes cili dan tomato puree. Ada rasa pedas-pedas, masam-masam dan manis-manis.





Sekian. Jom makan!!!







Saturday, February 2, 2013

Opor Ayam Berkentang

Selamat hujung minggu buat semua. Kemana harini? Berjalan-jalan bersama keluarga? Shopping shopping atau di rumah saja bersantai-santai.  Pastinya yang bersantai hanya suami dan anak-anak sedangkan kita bersilat-silat mengemas itu ini, masak bagai. Betullah kata orang.  Setinggi mana pun kita ni belajar kalau dah perempuan memang tak boleh lari daripada kerja-kerja rumah tangga.

Mmm.. kalau tak tau nak masak apa harini, jom masak opor ayam bersama bundo. Pasti tak mengecewakan.



Bahan:
1 ekor ayam
1 biji kelapa diasingkan santan cair dan santan pekat.
3 biji kentang 
2 batang serai dititik
5 helai daun limau purut dibuang tulangnya
2 helai daun salam
1 keping asam keping
5 biji cili api diketuk
1 sudu kecil serbuk stok ayam
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk lada putih
1/2 sudu kecil serbuk jintan manis
bawang goreng untuk ditabur sekiranya suka

bahan kisar:
6 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
5 biji buah keras
1 inci  lengkuas
1 inci halia




Cara:
- Campur bahan kisar bersama serbuk jintan manis, serbuk ketumbar dan serbuk lada putih.
- Panaskan sedikit minyak.  Tumis bahan kisar sehingga harum.  Masukkan daun limau purut, daun salam, cili api dan serai.
- Tambah ayam.  Masak ayam sehingga airnya habis keluar.
- Masukkan santan cair. Masak sehingga ayam separuh masak. Masukkan pula kentang, stok ayam dan santan pekat.
- Apabila kentang empuk, tambahkan asam keping.
- Kuah mestilah agak pekat. Pandai-pandailah adjust supaya santan tidak terlalu banyak.





Untuk tujuan fotografi ni bundo letak kuahnya sikit saja. Padahal kuanya banyak je lagi dalam periuk tu.
Oh ya.. kalau suka, taburlah dengan bawang goreng semasa menghidang.  Ia akan menambahkan aroma.



Sekian.  Selamat berhujung minggu dari bundo yang sekejap ada sekejap tak ada ni....




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...