Alberta (Kanada): Seorang remaja di Alberta melecur teruk dan patah gigi selepas rokok elektronik buatan China meletup ketika digunakan.
Ty Greer, 16, dari Lethbridge, Alberta selatan, cuba menghisap rokok elektronik Wotofo Phantom itu apabila ia tiba-tiba meletup pada wajahnya menyebabkan mangsa mengalami lecuran tahap pertama serta kedua selain menyebabkan dia terpaksa melakukan dua rawatan saluran akar.
Dalam satu kenyataan semalam, ayah remaja itu berkata: “Muka anak saya terbakar menyebabkan dua giginya hancur dan belakang tekaknya serta lidahnya melecur.
“Mujur dia memakai cermin mata, jika tidak dia mungkin buta. Saya mahu rokok elektronik yang tidak mempunyai piawaian diharamkan untuk kanak-kanak bawah umur.
“Melihat wajah anak terbakar seperti itu memang pengalaman mengerikan.”
Alberta antara wilayah di Kanada yang tidak meletakkan had usia untuk pembeli rokok elektronik.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan orang ramai dengan kumpulan Action on Smoking and Health turut mendesak peraturan persekutuan serta wilayah dipinda.
- sumber: hmetro