"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa Polis Tutup Kes Skandal Yusof Mahal ?

SURIATI MAHMUD KETUA Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat Semporna, Azizul @ Ajijul Sanarul, mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menjelaskan kenapa polis tidak menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang beliau buat pada 2008 berhubung Skandal
Seks Ahli Parlimen Labuan
 berdasarkan pendedahan Malaysia-Today.net.


Menurut Azizul, beliau membuat laporan polis pada 30 Julai 2008 di Balai Polis Semporna, namun sehingga kini beliau tidak dimaklumkan keputusan siasatan polis berhubung laporan yang beliau buat dan dipercayai polis telah menutup kes berkenaan.


Sehubungan itu, Azizul menggesa Tan Sri Ismail membuka semula laporan polis beliau, SED/RPT/3502/08 yang menyatakan bahawa;

“Pada Lebih kurang jam 4.00 petang, saya terbaca laporan laman web Malaysia-Today.net di sebuah kafe siber bertajuk 'Skandal Seks Ahli Parlimen Labuan'. Saya membuat laporan ini supaya polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Labuan mengambil tindakan di bawa undang-undang jenayah terhadap Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yusof Mahal kerana bersekedudukan dengan Norazlina Asaplee sejak tujuh tahun lalu dan bersubahat melakukan pengguguran haram.”

“Memandangkan kes ini adalah kes jenayah, maka demi menjaga maruah UMNO yang semakin tercalar ekoran tindakan pemimpin yang tidak Islamik dan khianat kepada bangsa sendiri, maka saya menggesa agar siasatan menyeluruh diadakan segera,” kata Azizul yang percaya Skandal Seks berkenaan masih berlaku sehingga kini.

Berikut ialah Risalah yang diedarkan oleh Cawangan Tampi-Tampi Darat untuk ahlinya dan diserahkan sesalinan kepada Sabahkini.net untuk dipaparkan kepada umum bagi memberi pengajaran kepada semua pihak agar menghindarkan diri daripada sebarang skandal yang memalukan Negara.
(Sila Klik Imej Untuk Lebih Jelas) Read more.

Isu KUIN: PR boleh hilang talian hayat


Belumpun reda isu 17 orang mahasiswa Universiti Malaya yang diborong dengan prosiding tatatertib AUKU, Solidariti Mahasiswa Malaysia sekali lagi mengecam tindakan Kolej Universiti Islam Insaniah Kedah (KUIN) yang mengenakan tindakan tatatertib terhadap enam orang mahasiswa yang disabitkan dengan pertuduhan dibawah peruntukan undang-undang kolej universiti tersebut.

Antara pertuduhan yang dikenakan kepada enam orang mahasiswa tersebut ialah, pertuduhan mengadakan perhimpunan, pertuduhan melakukan kenyataan terbuka, pertuduhan menggunakan pembesar suara dan pertuduhan menghasut mahasiswa lain keluar daripada Kolej tersebut.

Dalam prosiding yang berlansung pada awal hari ini (25/5/2011), keenam-enam mahasiswa tersebut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman seperti berikut:

1. Mohd Faiz B. Mohd Arshad: Digantung 2 semester pengajian.
2. Mohd Azlan Bin Mat Zain: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
3. Ahmad Remi Bin Mohd Arof: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
4. Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin: Surat Amaran dan Denda RM100.
5. Zukhilatif Bin Marzuki: Surat Amaran dan digantung 1 semester.
6. Muhamad Aiman B. Che Abd Razak: Surat Amaran dan digantung 1 semester. 

PENDIRIAN SMM
SMM mengecam sebarang bentuk halangan dan sekatan terhadap aktivisme mahasiswa.  Tindakan menghalang mahasiswa daripada mengeluarkan pandangan dan kritikan adalah bercanggah dengan perkara 10 perlembagaan Malaysia yang memberi kebebasan kepada isi rakyat untuk bersuara dan melontarkan pandangan mahupun kritikan.  Hal ini pernah dinyatakan oleh pakar perlembagaan Malaysia dari Universiti Islam Antarabangsa, Abdul Aziz Bari dalam kenyataannya
"Secara umum peruntukan ini menyatakan bahawa warganegara Malaysia adalah berhak (untuk) bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.  Mereka juga berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata.  Perkara 10 juga menyebut bahawa semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan.  Peruntukan ini sangat penting di sisi demokrasi kerana ia mengkanunkan hak-hak yang amat asasi dalam demokrasi."

Mahasiswa menegaskan bahawa hak untuk bersuara dan berkongsi pandangan adalah hak asasi semua pihak yang tidak boleh diganggu dan disekat.  Menurut John Stuart Mill, seorang ahli falsafah politik liberal dari Britain, kebebasan bersuara perlu dipraktikkan dalam tiga aspek berikut iaitu:

a. Hak untuk mencari maklumat dan idea
b. Hak untuk mendapatkan dan idea
c. Hak untuk menyebarkan maklumat dan idea

Mahasiswa berpendirian untuk menyokong aspirasi Timbalan Menteri II Kementerian Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah yang menekan konsep kebebasan partisipasi belia dalam politik arus perdana.  Hal ini dapat dilihat dalam penulisan beliau yang menyatakan:

"Belia mempunyai imaginasi tersendiri terhadap partisipasinya dalam politik.  Cara, corak dan citra politiknya mungkin berbeza dengan kita.  Kita perlu menyelami minda mereka bukan sahaja untuk memperbaiki kefahaman kita, tetapi lebih penting lagi ialah untuk menghakupayakan mereka agar dapat mengoptimumkan potensi politik mereka."
SMM merasakan Pakatan rakyat khususnya PAS tidak serius dalam menanggapi kemelut autonomi mahasiswa KUIN.  KUIN yang berada dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat seharusnya bertanggungjawab penuh dalam mewujudkan dan memelihara kuasa autonomi mahasiswa untuk dijadikan contoh kepada IPT lain.  Biarpun Gerakan Mahasiswa Insaniah bersama SMM sudah menghantar memorandum pada 13 Mei lalu kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi menuntut campur tangan PAS dalam kemelut mahasiswa Insaniah, namun belum ada respon terbuka yang memperlihatkan pihak PAS menangani isu ini secara serius.

SMM mengambil pendirian untuk menyifatkan Pakatan Rakyat sebagai terlupa bahawa mahasiswa sebagai entiti penting yang menentukan survival politik Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum akan datang.  Jika Pakatan Rakyat tidak serius dalam menyelesaikan masalah ini, mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk hilang percaya kepada PR dan memboikot PR dalam PRU13.

SMM juga berpendirian bahawa tindakan Menteri Besar Kedah Azizan Bin Abdul Razak (gambar kiri) yang seperti menutup mata terhadap isu mahasiswa KUIN ini sangat mencemarkan imej Pakatan Rakyat sekaligus bertentangan dengan aspirasi PAS sebagai sebuah parti yang mendokong prinsip kebebasan.  Tindakan sambil lewa Menteri Besar Kedah ini akan memberi kesan buruk kepada manifesto yang bakal diumumkan oleh Pakatan Rakyat kepada mahasiswa.  Rakyat akan menjadikan KUIN sebagai bukti betapa PR juga akan mengekang dan menyekat kebabasan rakyat sekiranya diberi mandat untuk memerintah Malaysia.

TUNTUTAN SMM
SMM menuntut agar Rektor Kolej Universiti Insaniah Prof. Jamil Bin Osman menggugurkan semua pertuduhan dan menarik balik hukuman yang dikenakan ke atas enam orang mahasiswa tersebut.  Tindakan KUIN ini melambang sikap prejudis pentadbiran terhadap aktivisme mahasiswa yang sepatutnya dihadapi dengan cara lebih profesional.

Mahasiswa menuntut Presiden PAS Abdul Hadi Awang (menasihati Menteri Besar Kedah iaitu Azizan Bin Abdul Razak agar menanggapi aktivisme mahasiswa secara profesional dengan mendesak KUIN agar bersikap lebih terbuka terhadap aktivisme mahasiswa.

Mahasiswa juga mendesak PAS agar menambil tindakan serius terhadap Azizan Bin Abdul Razak sekiranya isu mahasiswa KUIN ini tidak diselesaikan segera.  Hal ini kerana sekiranya PAS tidak mengambil tindakan tegas, perkara ini akan memperlihatkan sikapdouble standard PAS dalam berhadapan dengan konsep kebebasan bersuara.  PAS sebelum ini lantang mengkritik Barisan Nasional yang gemar menyekat aspirasi anak muda, oleh itu Pas sepatutnya mengendalikan isu ini dengan lebih serius. Tindakan Menteri Besar Kedah bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada PAS bahkan lebih besar lagi akan menyebabkan segala manifesto Pakatan Rakyat akan tercemar. 

Mahasiswa juga menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersikap proaktif dalam mengambil tindakan atau teguran terhadap mana-mana IPTA mahupun IPTS yang mengenakan sekatan melampau terhadap aktivisme mahasiswa.

*Kenyataan oleh Ahmad Syukri Ab Razab selaku Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), disokong

1.Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)a.Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)
b.Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA)
c.Pro Mahasiswa Nasional (PRO MN)
d.Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
e.Kelab Rakan Siswa Islam Malaysia (KARISMA)
f.Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
2.Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara
3.Legasi Mahasiswa Progresif UPSI (LMP)

Rakyat Perlu Yakin Dengan Kredibiliti PR - Aziz Bari

SHAH ALAM, 28 MEI: Penganalisis Politik Professor Dr. Abdul Aziz Bari berkata gagasan Pakatan Rakyat merupakan parti yang berani kerana berjaya meneruskan pemilihan pucuk pimpinan utamanya.
Ini, katanya kerana pemilihan itu diadakan dalam tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Malah, tindakan itu juga menunjukkan kematangan berpolitik setiap parti sekali gus menonjolkan sikap keterbukaan dan kefahamannya terhadap konsep sebenar demokrasi tanpa perlu mengganggu fokus utama Pakatan Rakyat dalam membawa perubahan.

“Berbanding dengan parti-parti dalam Barisan Nasional(BN), Pakatan Rakyat lebih berani untuk meneruskan sekali gus tidak menafikan proses demokrasi terhadap ahlinya. Ini juga menunjukkan ketelusan dan akautibiliti mereka dalam parti komponen Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Pada November 2010, PKR telah mengadakan pemilihan partinya sehingga mengakibatkan pelbagai isu dan kontroversi menyelubungi pemilihan terbabit.

Namun begitu, Aziz Bari percaya kematangan dan sikap percaya antara ahli parti yang ditunjukkan oleh PAS merupakan sesuatu perkara yang perlu dilihat rakyat dalam membina kemampuan parti Islam itu untuk terus mencapai matlamat mereka.

“Saya fikir perkara itu tidak timbul kerana setahu saya mereka tidak pernah menafikan untuk menagguhkan pemilihan tanpa sebab dengan erti kata lain mereka yakin dengan kredibiliti dan integriti ahli-ahli parti. Mereka yakin dengan kematangan ahli dan sistem pemilihan dalam parti. Ini merupakan satu perkara yang saya fikir sangat baik kerana kalau kita bandingkan dengan komponen BN jauh sekali. Dengan kata lain mereka percaya dengan diri sendiri,"ujarnya.

"Dibandingkan dengan komponen BN, mereka seolah-olah tidak percaya dengan kemampuan dan ketelusan dalam parti mereka sendiri. Ini perbandingan yang rakyat patut lihat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Aziz turut mengulangi keyakinan beliau bahawa sebarang keputusan yang berlaku dalam pemilihan Pas tidak akan mengganggu fokus Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya memandangkan ia bukan kali pertama Pas mengadakan pemilihan parti dan perkara ini boleh dilihat melalui cara ahli Pas berpolitik berbanding Umno dalam Barisan Nasional.

Ujar beliau lagi, kematangan Pas perlu dicontohi parti lain dalam usaha mengekalkan keharmonian dalam kalangan ahli parti dan parti komponen.

“Ya ini bukan kali pertama. Saya fikir benda ini dah berlaku sejak dahulu lagi. Ini merupakan satu bukti bahawa, satu parti yang cukup lama, yang tidak mendabik dada tetapi melakukan apa yang mereka sepatutnya lakukan. Ini merupakan satu perkara yang cukup baik,” ujarnya.

Muktamar Pas ke-57 akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun depan di Taman Melewar Kuala Lumpur.

Setakat ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi berjaya mengekalkan jawatan masing-masing tanpa sebarang tentangan.
-tvsnews-