Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.
Showing posts with label Ikan. Show all posts
Showing posts with label Ikan. Show all posts

Tuesday, 11 June 2013

LONTONG DAN SAMBAL TUMIS BILIS


Assallamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Tiba-tiba pula tekak ni nak makan lontong dengan nasi impit dan juga sambal tumis. Siapalah yang nak tolong buatkan kalau tak dibuat sendiri kan. 

Sesetengah orang memanggil Lontong ni dengan panggilan Sayur Lodeh. Tapi rasanya  menu yang sama je. Mungkin lain tempat, lain panggilannya. Cara penyediaannya pun ada juga bezanya. Sesetengah resepi, kalau tak silap Nadz, di awal penyediaan perlu menumis bahan tumisan. Tapi cara Nadz buat ni tak ada tumis-menumis. Resepi dah pernah letak dulu tapi Nadz letak jugalah lagi di sini.

Ha, tengok! Snap gambar dengan periuk sekali...hihhiiii..Tak ada skill langsung..huhuuu...

LONTONG

Bahan-bahan :
  • 5 ulas bawang merah
  • 2-4 sudu besar udang kering (dibasuh, direndam dan toskan)
  • 2 inci kunyit hidup (boleh juga guna serbuk kunyit)
  • 3 batang serai - dititik
  • 4 cawan santan cair (1 liter)
  • 2 cawan santan pekat (500 ml)
  • 2 batang terung panjang - potong-potong ikut suka
  • 4 biji kentang - potong 8
  • 5 batang kacang panjang - dipotong-potong
  • 1 batang lobak merah - hiris memanjang atau hiris bulat serong
  • 2 keping tempeh - didadu besar-besar
  • Fucuk dan soo hoon - direndam hingga lembut dan toskan
  • 4 biji cili hijau - hiris
  • Garam secukup rasa

Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah bersama udang kering dan kunyit hidup.
  2. Masukkan bahan tumbuk dan juga serai yang diketuk bersama santan cair ke dalam periuk dan letakkan atas api dapur.
  3. Bila mula menggelegak, masukkan kentang. Biar separa empuk. Kemudian masukkan sayuran lain dan juga tempeh. Masak hingga sayuran lembut. Kemudian masukkan fucuk dan soo hoon serta cili hijau.
  4. Seterusnya masukkan santan pekat dan sentiasa kacau. Rasakan garamnya. Biar mendidih perlahan di atas api sederhana. Bila telah puas hati dengan rasanya, padamkan api dapur.
Cara Menghidang :
  1. Masukkan nasi impit (ikut la berapa banyak nak makan) ke dalam mangkuk.
  2. Sendukkan kuah lontong bersama isinya. Sudukan sambal tumis. Boleh dinikmati.
  3. Boleh juga dinikmati bersama rendang, serunding, kuah kacang dan juga telur rebus.


Sambal tumis ikan bilis

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS

Bahan-bahan :
  • 1/2 cawan ikan bilis - basuh dan toskan
  • 20 tangkai cili kering - rebus, basuh dan toskan
  • 4 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci belacan
  • 1 labu bawang besar - dimayang
  • Air asam jawa secukupnya mengikut citarasa
  • Garam dan gula 
Cara penyediaan :
  1. Kisar cili kering yang telah direbus tadi bersama dengan bawang merah, bawang putih dan belacan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan kisar dengan api sederhana hingga naik minyak dan cili garing. Kalau sebelum tumis ni, nak goreng dulu ikan bilis pun boleh. Guna saja minyak bekas menggoreng ikan bilis ni untuk menumis bahan kisar.
  3. Masukkan air asam jawa secukup rasa mengikut citarasa. Ni ikutlah selera masing-masing ye sebab sesetengah orang suka rasa lebih masam dalam sambal tumisnya. Sesetengah pula suka sedang-sedang saja. Masukkan juga garam dan gula.
  4. Masukkan ikan bilis dan bawang besar yang telah dimayang. Kecilkan api dapur dan biar sambal mereneh hingga agak pekat. Perasakan masin, masam dan manis sambal. Tambah apa yang perlu mengikut citarasa.
Oh, by the way nak bagi tau. Setiap kali masak lontong, Nadz memang buat banyak sebab MIL Nadz memang suka lontong. Sama ada ajak MIL datang makan di rumah atau tapau dan bawa ke rumah dia. Kalau masak nak bawa balik kampung arwah datuk hubby, MIL mesti pesan suruh simpankan untuknya sedikit.

Nadz masak lontong dan sambal tumis ni bersama dengan rendang ayam berkerisik dan juga lemang segera. Tapi resepi rendang ayam berkerisik dan juga lemang segera tu Nadz masukkan kemudian yer di entry lain. Penat pula rasanya ibu buyung ni bertenggek depan lappy lama-lama. Lenguh segala urat pinggang dan pinggul..hihihii...

SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 14 May 2013

GULAI KUNING IKAN TONGKOL

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Gulai kuning ikan tongkol ni merupakan lauk yang biasa dimasak dan dipadankan dengan nasi dagang atau nasi berlauk di sini. Memang kalau di pagi hari tu, ramai peniaga yang berniaga nasi kerabu, nasi dagang, nasi berlauk, nasi lemak selain dari pelbagai jenis kuih-muih di tepi-tepi jalan di daerah Kelantan ni. 

Sebenarnya ada pelbagai versi juga resepi gulai kuning ikan tongkol ni. Tapi apa yang Nadz paparkan di sini adalah cara yang dianggap paling mudah untuk disediakan. Maknanya cara yang paling ringkas dan keperluan bahan-bahan pun tidaklah rumit.

Jom semak resepi ringkas ni.

GULAI KUNING IKAN TONGKOL
By : Nadz @ovenkecil.blogspot.com

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ikan tongkol 
  • 2-3 keping asam gelugor
  • 2 cawan santan
  • 1 batang timun
  • Garam
Bahan kisar :
  • 5 ulas bawang merah
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 3-4 biji cili merah - nak lebih pedas, tambah cili padi sikit
  • 1 inci kunyit hidup
Cara penyediaan :
  1. Ikan tongkol dibersihkan dan dipotong ikut suka.
  2. Masukkan ke dalam periuk bahan kisar bersama santan dan juga asam keping. Biar hingga menggelegak sambil dikacau-kacau agar tak pecah minyak.
  3. Masukkan ikan dan garam. Rasa masinnya. 
  4. Masukkan timun batang yang telah dihiris kecil. Tunggu seketika tapi jangan lama sangat. Nanti timun tu lembik sangat.
  5. Hidangkan bersama nasi panas.
NOTA NADZ: 
  • Kepekatan santan tu boleh disesuaikan ikut selera. Kalau ikut resepi asal, gulai ni bisanya pekat santannya tapi now days ramai juga yang menyediakannya dengan kadar kepekatan santan yang sederhana.
SELAMAT MENCUBA!

Monday, 10 September 2012

ASAM PEDAS IKAN TENGGIRI (KAK ANYMZ)

ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Semoga semua pengunjung yang sudi menjenguk blog ini sihat sejahtera hendaknya. Kali ni Naz nak tayang menu asam pedas kak Anymz. Lebih kurang sama je macam asam pedas yang Naz selalu buat cuma tang serai tu, biasanya Naz ketuk je. Tak pernah pula dikisar. Anyway, Naz memang suka asam pedas sebab dah biasa makan dari kecil lagi. Kuah tu Naz suka buat banyak dan pekat biar ada baki yang boleh dipanaskan dan dimakan dengan roti..hehehee...

Okey, mari kita lihat resepi kak Anymz nie...

ASAM PEDAS KAK ANYMZ
TRIED BY: Naz @ovenkecil.blogspot.com

Bahan-bahan:
  • 1/2 ekor ikan tenggiri batang-akak guna 6 keping-bersihkan gaul sedikit dgn serbuk kunyit dan ketepikan
  • 1 batang terung panjang-di belah dua dan di kerat 4.rendam dlm air sejuk sebentar (Naz ganti bendi)
  • 15 tangkai cili kering-di kisar
  • 1 labu bawang besar-di kisar
  • 3 ulas bawang putih-di kisar
  • 2 batang serai-di kisar
  • sedikit belacan-jika suka-di kisar
  • 3 batang daun kesum-ambil daunnya
  • 2 batang bunga kantan-di belah dua
  • 1 kiub pati ikan bilis
  • garam secukup rasa
  • 1 mangkuk air asam jawa-agak2 le
  • 1 st serbuk kunyit
  • minyak untuk menumis

Cara-cara:
  1. Panaskan minyak di dalam periuk.
  2. Tumis bahan2 kisar hingga naik bau.
  3. Setelah terbit minyak,masukkan serbuk kunyit,garam dan kiub ikan bilis.
  4. Masukkan air asam jawa.
  5. Masukkan juga ikan dan daun kesum.
  6. Bila sudah mendidih masukan terung yang sudah di toskan airnya dan juga bunga kantan.
  7. Jerang hingga terung masak.
  8. Renihkan sebentar dengan api perlahan dan tutup api.
  9. Sedia untuk di hidangkan.
SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 24 July 2012

SAMBAL GORENG TEMPOYAK IKAN BILIS


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Alhamdulillah masih lagi diberi kesempatan untuk mencoret resepi di blog yang suam-suam kuku ini..hehehee..

Kali ini Naz nak masukkan resepi yang memang menjadi kegemaran Naz. Sambal goreng tempoyak ikan bilis ini memang selalu mak Naz buat kalau ada stok tempoyak. Dari kecil lagi Naz dah biasa makan sambal ni. Ayah dan adik-beradik yang lain pun memang gemar sangat sambal goreng tempoyak ni. Buat pedas-pedas sampai berdesing telinga masa makan lagi best! Tapi siapa yang nak buat, adjust lah ikut tahap kepedasan masing-masing yer. Nanti ada yang berlari-lari keesokan hari tak sempat-sempat nak pergi toilet..heheheeee...


Mak Naz kalau masak sambal tempoyak ni, tak ada resepi standard pun. Air tangan seorang ibu kan. Main campak-campak pun, sedap sampai rasa tak cukup. Jadi resepi ni Naz cuba olah sendiri supaya ada asas cara membuatnya. Memang senang sangat pun. 

SAMBAL GORENG TEMPOYAK IKAN BILIS

Bahan-bahan:
  • 1-2 genggam ikan bilis
  • 3 biji cili merah
  • 1-2 genggam cili padi (boleh adjust ikut tahap kepedasan yang diingini)
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang besar (dimayang)
  • 3-5 sudu besar tempoyak
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak 
Cara-cara:
  1. Basuh ikan bilis dan toskan. Goreng hingga garing, angkat dan ketepikan.
  2. Tumbuk bawang merah, bawang putih bersama cili merah dan cili padi.
  3. Panaskan sedikit minyak bekas menggoreng ikan bilis tadi. Tumis bahan tumbuk hingga betul-betul garing. Masukkan bawang besar yang dimayang. Goreng hingga layu sambil mengacau sambal agar tidak hangit.
  4. Masukkan tempoyak dan gaul rata. Rasakan garam dan gulanya. Bila telah sebati matikan api dapur.
  5. Tunggu hingga sambal suam atau sejuk baru masukkan ikan bilis dan gaul rata. Tujuan masukkan ikan bilis apabila sambal telah sejuk ialah untuk mengekalkan kerangupan ikan bilis di dalam sambal. Kalau digaul semasa sambal masih panas, ikan bilis akan lemau.
  6. Nikmati dengan nasi panas. 

NOTA NAZ: 
  • Sambal goreng tempoyak ni memang sedap sangat kalau dibuat pedas-pedas. Biasanya Naz memang suka sambal yang betul-betul kawww!! Jadi ikutlah lidah masing-masing ye.
  • Bahan-bahan di atas tu hanya sebagai garis panduan saja. Boleh saja diubah suai supaya menjadi lebih sedap mengikut selera masing-masing.
  • Kalau gantikan ikan bilis dengan udang pun sedap.
SELAMAT MENCUBA!

Tuesday, 3 April 2012

SINGGANG IKAN KEMBUNG


ASSALLAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA.

Menu ikan kembung singgang jer hari ni. Nak masak yang versi pedas macam asam rebus tu, nanti anak-anak tak boleh makan pula. Malas pula rasa nak masak lauk yang lain. Jadi masak aja la singgang ni. Ada cili padi yang direbus sekali tu, kalau nak pedas bolehlah ditenyeh dalam pinggan nasi nanti.

Resepi yang sangat mudah. Semua bahan direbus jer. Kalau di Kelantan, singgang ikannya tak letak kunyit. Warnanya nanti jernih saja. Macam Naz dah biasa letak samada kunyit hidup atau serbuk kunyit biar bewarna kuning kuahnya.

SINGGANG IKAN KEMBUNG

Bahan-bahan :
  • 3 ekor ikan kembung - disiang dan dibersihkan
  • 2 batang serai - diketuk
  • 3 ulas bawang putih - dimayang
  • 3 ulas bawang merah - dimayang
  • 1 inci halia - dihiris
  • 1 inci lengkuas -dihiris atau boleh diketuk sahaja
  • 1-2 keping asam gelugor
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 3 biji cili padi
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • 1/2 sudu teh gula - untuk seimbangkan rasanya sekiranya perlu

Cara-cara :
  1. Masukkan air dan semua bahan lain ke dalam periuk kecuali ikan, garam, gula dan cili padi. Rebus hingga mendidih.
  2. Kecilkan api dan masukkan ikan, garam, gula dan cili padi. Reneh hingga ikan masak. Rasakan kuahnya biar terasa masin dan masamnya.
  3. Sedia untuk dihidang.
SELAMAT MENCUBA!

Monday, 31 October 2011

ASAM REBUS TEMPOYAK IKAN KEMBUNG


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Lauk asam rebus memang menjadi kegemaran Naz dan hubby. Cuma kali ini, Naz letak tempoyak di dalam kuahnya. Resepi ni biasa bonda buat di kampung. Cuma kalau resepi dari ibunda ku ini, tak adalah sukatan-sukatannya. Memang dari kecil lagi Naz dah makan lauk asam rebus tempoyak ni. Sedap bagi yang menggemari tempoyaklah. Buat kuahnya pedas-pedas dan pekat. Makan pula dengan nasi panas. Perghhhhh... Meleleh-leleh peluh dibuatnya.

Naz suka buat kuahnya banyak. Boleh letak dalam mangkuk lain dan dihirup. Bestnyer.. hehehe.. Resepi yang amat mudah jer ni.

ASAM REBUS TEMPOYAK IKAN KEMBUNG

Bahan-bahan :
  • 4 ekor ikan kembung - disiang dan dibersihkan
  • Bendi - ikutlah nak letak berapa pun
  • 2 keping asam gelugor
  • 3 batang serai - dititik
  • 3-4 cawan air
  • 1/2 - 1 cawan tempoyak segar 
  • Garam dan gula secukup rasa
Bahan-bahan kisar :
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 25 biji cili padi - yang ni ikut tahap kepedasan yang anda inginkan
  • 2 batang cili merah (kalau tak ada stok, tak bubuh pun)
  • 1 inci kunyit hidup
Cara-cara :
  1. Masukkan bahan-bahan kisar ke dalam periuk bersama air dan serai. Masukkan juga asam gelugor dan tempoyak. Biar hingga menggelegak.
  2. Kemudian masukkan ikan. Bila ikan hampir masak, masukkan bendi dan garam. Masukkan gula sekiranya perlu. Rasakan ikut selera masing-masing.
SELAMAT MENCUBA!

Sunday, 23 October 2011

SUP IKAN MERAH


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Masak yang simple jer untuk hari ini. Sup ikan merah yang memang menjadi kegemaran encik hubby. Naz pun suka juga ikan merah ni bila dibuat sup tapi nak beli selalu ikan merah ni....huhuhu..tak le jawabnya. Bukan main mahal lagi harganya. Sesekali boleh la..hehehe..

Ok, lauk main campak-campak je ni. Campak-campak pun, masuk juga dalam entry blog ni supaya esok-esok bila anak-anak mula memasak, lauk campak-campak ni lah yang sesuai untuk dibuat sebagai permulaan.

SUP IKAN MERAH

Bahan-bahan :
  • 1 atau 2 keping ikan merah - dibersihkan dan dibasuh dengan air asam jawa
  • 3 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 cm halia
  • 1 sup bunjut ikan (kalau tak ada, pakai sup bunjut biasa je tapi tambahlah kulit kayu manis, buah pelaga dan buah keras)
  • 1 biji kentang - dibelah 4 atau 8
  • Air yang mencukupi
  • Minyak untuk menumis
  • Sedikit daun sup
Cara-cara :
  1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia bersama.
  2. Panaskan sedikit minyak masak di dalam periuk. Bila panas, tumis bahan tumbuk serta rempah dari paket sup bunjut kecuali sup bunjut hingga berbau wangi.
  3. Masukkan air, sup bunjut dan kentang. Biar hingga menggelegak dan kentang empuk.
  4. Masukkan ikan dan garam. Bila ikan telah masak, rasakan garamnya. Tutup api.
  5. Hidangkan sup ikan merah dengan hirisan daun sup. Enak dimakan bersama nasi panas dan ditemani sambal belacan.
SELAMAT MENCUBA!

Monday, 12 September 2011

GULAI TEMPOYAK IKAN KELI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Gulai tempoyak is always my favourite. My hubby pun memang suka sangat gulai tempoyak ni. Sekarang dah berjangkit pula pada anak-anak. Cuma gulai tempoyak ni, kalau nak lagi kaww, kena buat pedas-pedas tapi since anak-anak pun nak makan, kenalah buat yang kurang pedas. Risau juga kalau sakit perut dia orang makan lauk yang pedas menyengat.

Gulai tempoyak ni juga famous dimasak menggunakan ikan patin. Since di dalam peti ais yang ada ikan keli je, so Naz masak guna ikan keli jer la. But not bad. Sedap jer masuk ke tekak sampai kena beringat-ingat masa makan tu jangan tambah nasi lagi. Maklumlah baru jer lepas menaikkan berat badan sempena musim perayaan ni. Kang, tambah-tambah makan, tambah gumuksss pula nanti.. hehehe... Tapi tak pe..tak pe.. Makan je lah kan. Lepas tu, setiap hari gi lah jogging ker, aerobic ker, cycling ker kan..kan..kan... hehehe.. Ada siapa-siapa nak ikut pergi jogging setiap pagi???

GULAI TEMPOYAK IKAN KELI

Bahan-bahan :
  • 1 ekor ikan keli sederhana besar 
  • 4 sudu besar tempoyak - boleh letak lebih lagi ikut citarasa
  • Cili padi - ikut tahap kepedasan yang dikehendaki
  • 2 biji cili merah - tak letak pun tak apa
  • 2 inci kunyit hidup - kalau tak ada, boleh guna serbuk kunyit jer
  • 2 batang serai - dititik
  • 8 - 10 tangkai daun kesum - dicuci & ambil daunnya saja
  • 2 - 3 cawan air
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara :
  1. Ikan keli disiang dan dibasuh bersih. Rendam seketika di dalam air asam jawa untuk menghilangkan hanyir. Kemudian toskan dan lalukan air bersih. Kerat kepada 3  atau 4 bahagian setiap ekor.
  2. Tumbuk cili padi dan cili merah bersama kunyit hidup. Masukkan ke dalam periuk bersama air, dan juga serai. Masukkan juga tempoyak. Biar hingga menggelegak.
  3. Bila menggelegak, masukkan ikan yang telah dikerat-kerat tadi bersama daun kesum. Masak atas api sederhana hingga ikan masak sepenuhnya. Masukkan garam dan gula mengikut citarasa. Biar lauk mereneh (guna api slow la yer) seketika dalam 15 minit supaya rasa tempoyak tu sebati dengan ikan. Baru lagi best! Tutup api.
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday, 5 January 2011

ASAM PEDAS IKAN TENGGIRI


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

ASAM PEDAS IKAN TENGGIRI

Sumber : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
5 keping ikan tenggiri (dibersihkan dan dibasuh)
6 Tbsp cili kering mesin (boleh tambah lagi untuk lebih pedas dan kuah lebih pekat)
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
3 inci halia
2 inci belacan
2 batang serai (diketuk)
2 tangkai daun kari
Daun kesum secukupnya
Beberapa batang bendi (ikutlah banyak mana nak letak)
3 - 4 Tbsp asam jawa (dibancuh dengan air)
Air secukupnya
Garam
Minyak untuk menumis


 Cara-cara :
1.  Mesin bawang  merah, bawang putih, belacan dan juga halia bersama cili kering.
2.  Panaskan minyak di dalam periuk.  Tumis bahan mesin bersama daun kari dan serai.  Biar hingga naik bau dan pecah minyak.
3.  Masukkan air asam jawa dan air.  Bila mendidih, masukkan ikan.
4.  Masukkan bendi dan juga daun kesum.  Rasakan garamnya.  Setelah masak tutup api.  Hidangkan.

NOTA :
Kalau suka boleh juga dimasukkan buah tomato dan juga bunga kantan.

Tuesday, 28 December 2010

ASAM REBUS IKAN


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Wah!  Lamanya bercuti.  Blog pun dah bersawang ni..hehehe..  Okey tak nak membebel panjang-panjang..  Resepi Asam Rebus Ikan ni, mak yang ajar cara membuatnya.  Kalau di rumah Naz, menu ni memang kegemaran hubby, my son dan Naz sendiri.  Jadi kepada sesiapa yang tidak pernah memasaknya dan ingin mencuba, diucapkan selamat mencuba resepi yang simple sangat ni..

ASAM REBUS IKAN

Sumber : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
3 ekor ikan kembung (boleh diganti dengan ikan lain seperti ikan tenggiri atau ikan parang)
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
10 biji cili padi (tambah atau kurangkan mengikut citarasa)
2 inci kunyit
2 inci belacan
2 batang serai
2 keping asam gelugur
5 batang bendi (boleh tambah lagi sekiranya suka)
2 - 3 cawan air

Cara-cara :
1.  Ikan disiang, dibasuh dan ditoskan.
2.  Tumbuk atau kisar cili padi, bawang merah, bawang putih, kunyit dan juga belacan.  Masukkan ke dalam periuk bersama air dan serai yang diketuk. 
3.  Didihkan di atas dapur.
4.  Bila kuah mendidih, masukkan ikan dan asam gelugor.  Rasakan garamnya.
5.  Masukkan pula bendi yang telah dibasuh. Biar seketika hingga bendi kelihatan layu sedikit.  Tutup api dan hidangkan bersama dengan nasi.

NOTA :
Resepi ini dikategorikan sebagai resepi sihat sebab memasaknya dengan kaedah merebus saja.  Lagipun tiada penggunaan minyak di dalam resepi ini..  Sesuai sangat untuk yang ingin berdiet cara sihat..

Friday, 11 December 2009

KARI IKAN SARDIN


Resepi kari ikan sardin ini, cedok dari dapur ummizaihadi. Ummi, Naz copy & paste jer ye.. Makan kari ikan sardin ini bersama roti jala aka roti kirai untuk sarapan pagi. Dah puas pulak makan daging semenjak hari raya haji hari tu. Saja tukar selera dengan kari ikan pulak. Kalau nak resepi roti jala, sila cari di bawah label "Kuih-muih" ye!

KARI IKAN SARDIN
Bahan-BAHAN
:-
1 tin besar sardin - ambil isinya saja
1 1/2 cawan santan cair * dibancuh bersama jadikan pes
1 paket (6 sudu besar) serbuk kari ikan *
1 sudu besar cili kisar *
1 sudu kecil serbuk ketumbar *
1 cawan santan pekat
3 biji kentang - kupas dan potong kiub
2 biji tomato - belah 4 setiap 1 biji
garam secukup rasa

Bahan Tumis:-
4 ulas bawang merah - tumbuk
2 ulas bawang putih - tumbuk
2 cm halia - tumbuk
2 batang serai - ketuk
1 sudu kecil halba campur
2 pelepah daun kari
1 biji buah keras – tumbuk

Cara Memasak:-

1. Panaskan minyak dan masukkan bahan tumis dan kacau hingga naik bau.
2. Masukkan pes rempah tadi. Perlahankan api dan masak rempah hingga naik minyak. Kacau-kacau selalu.
3. Bila rempah telah pecah minyak, masukkan ubi kentang. Kacau rata dan masak kentang hingga 3/4 empuk kemudian masukkan ikan sardin. 4. Kacau sebentar dan masukkan santan cair dan garam secukup rasa. Biarkan mendidih dan perlahan api.
5. Bila kentang telah benar2 empuk, masukkan belahan tomato dan tutup api.

Sunday, 30 August 2009

IKAN MASAM MANIS



Ikan masam manis atau Sweet sour fish.
Bahan-bahan :
Ikan (any type)
2 labu bawang merah*
4 ulas bawang putih* (* dihiris/dimayang)
1 inci halia*
1/2 cawan sos tomato
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
1/2 - 1 cawan air (ikut banyak mana kuah diperlukan)
Sedikit lobak merah(dihiris memanjang)
1 biji buah tomato(dipotong 6)
Gula
Garam
Minyak masak
Cara :
  1. Ikan dibersihkan dan lumur dengan garam dan kunyit. Goreng hingga garing. Ketepikan.
  2. Tumis bahan-bahan yang dimayang sehingga layu.
  3. Masukkan sos tiram, sos tomato , sos cili dan air sebanyak mana diperlukan. Biar seketika.
  4. Masukkan lobak merah, buah tomato, gula dan garam.
  5. Apabila kuah kelihatan pekat, tutup api.
  6. Curahkan kuah ke atas ikan yang telah digoreng tadi...Siap untuk dihidang..

Friday, 28 August 2009

IKAN MASAK TAUCU

Bahan-bahan :

4 ekor ikan (apa jenis pun tak pe)

1 labu bawang besar*

3 ulas bawang putih* (* dimayang/dihiris)

1 inci halia*

1 biji cili hijau*

4 sudu besar taucu

1 cawan air

1 sudu kecil gula

Minyak masak



Cara-cara :


  1. Ikan dibersihkan dan gaul dengan kunyit & garam. Goreng hingga garing dan ketepikan.

  2. Tinggalkan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bahan mayang hingga naik bau.

  3. Masukkan taucu, air dan gula dan biarkan hingga mendidih dan kelihatan pekat sedikit.

  4. Kemudian curahkan ke atas ikan yang telah digoreng tadi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...