Showing posts with label sejarah kumpulan. Show all posts
Showing posts with label sejarah kumpulan. Show all posts

Friday, October 29, 2010

Sepuluh

Bulan ini (Oktober/10) sepuluh tahun yang lalu, kumpulan Dewangga Sakti telah ditubuhkan di tepi Sg Pusu oleh Mohsen dan Zul. Mereka mengadakan persembahan pertama bersama beberapa orang yang lain dengan iringan kumpulan gamelan UIAM.
Begitulah mereka bermain tanpa hala tuju yang jelas. Hanya semata-mata berekesperimen dan ingin membuat sesuatu yang mereka fikir lain. Mungkin selepas lima tahun barulah jalan menjadi semakin jelas dan muzik yang mereka corakkan menemui titik temu.
Selama hampir dua tahun persembahan yang mereka adakan adalah tanpa bayaran. Malah mereka sebenarnya yang mengeluarkan bayaran terutama ketika menganjurkan sendiri siri-siri persembahan mereka di sekitar kampus pada tahun 2001.
Bayaran pertama mereka adalah daripada pereka logo Dewangga Sakti sendiri iaitu Asri Al Baker pada tahun 2002 ketika majlis perkahwinan beliau di Seremban. Ketika itu ahli seramai sepuluh orang termasuk seorang penyajak yang semakin terkenal sekarang dengan sajak spontan (dan gila!). Ketika zaman awal ,bilangan ahli pernah mencecah 15 orang. Bekas ahli juga sudah mencecah 20 orang sehingga ke saat ini.
Selepas sepuluh tahun, masih banyak rancangan tergendala dan belum dilunaskan.
Mudah-mudahan ,kami terus istiqamah dengan muzik yang kami cuba perluaskan.

Wednesday, February 11, 2009

Jumpa teman lama

Semasa di awal penubuhan , kami mempunyai beberapa anggota wanita yang bermain gamelan. Kemudian, seorang penyanyi wanita juga pernah bersama kami pada tahun 2002/2003. Begitu juga pemain violin dan keyboard. Semuanya tidak kekal lama atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Tetapi elok juga tidak ada anggota wanita ini sebab latihan kami selalunya berlangsung sehingga awal pagi dan ketika kami overdose dengan muzik,kami akan berlatih dan berbincang sehingga menjelang Subuh.
Minggu lepas, ketika kami ke majlis MASKARA anjuran Sindiket Soljah di Rumah Pena, kami bertemu anggota lama yang merupakan bekas penyanyi wanita kami pada tahun 2002/2003 dahulu. Ketika itu dia masih di tahun pertama universiti kami dan telah direkrut oleh Mohsen untuk menyertai DS yang melihat susuk seorang psiko yang ada pada gadis tersebut (sekarang sudah berkahwin). Di MASKARA, teman lama kami ini membacakan sajak-sajaknya dan juga menyanyi.
Habis sahaja beliau membuat persembahan dan keluar ,kata-kata hikmat biasa beliau terhambur melihat kami berdua di sana. Raof berkata, "perangai masih seperti dahulu". Tapi mungkin kali ini dia sudah semakin yakin dan matang. Maklumlah,sudah berkahwin! ha ha
Itulah dia Fynn Jamal yang aktif di sekitar Lembah Klang membacakan puisinya yang pelik-pelik.
Nota: Nanti aku cuba cari gambar dia menyanyi dengan kami dahulu.

Wednesday, November 21, 2007

Main Catur lah!

Tahun 2002.
Ketika itu aku sudah hampir dua tahun menamatkan pengajian universiti. Dewangga Sakti dijemput (bukan dijemput sebenarnya tetapi menjadikannya sebagai tradisi) membuat persembahan di bawah program gerila yang dinamakan Malam Nur Akar yang dimulakan setahun sebelumnya.Ya! Program ini sebenarnya dikendalikan oleh teman-teman di dalam kumpulan sendiri dan merayakan kepelbagaian muzik selain nasyid di kampus. Kononnya menghidangkan satu alternatif baru kepada masyarakat kampus akan adanya muzik selain nasyid yang sah diperlakukan dengan halal di kampus kami berhampiran Sungai Pusu.
Kali ini program ini sudah menjadi edisi ketiga jika tidak silap dan menjadi program dengan biayaan paling kecil dan minima.Kebanyakan props,flyers dan belanjawan dikeluarkan sendiri oleh AJK dan tidak mendapat dokongan yang kuat daripada pihak berwajib.Ini kerana gitar masih haram di sini (pada masa itulah).
Pada masa itu antara kumpulan yang membuat persembahan adalah kumpulan Angklung Malam,gamelan dan deklamasi puisi serta tarian gelek(sebenarnya tidak!he!he!).
Tempat persembahan adalah di depan Moot Court,Kuliyyah Undang Undang.
Program tamat tanpa kekacauan atau tunjuk perasaan pada jam 11 malam.Kami menamatkannya dengan penuh keseronokan dan perasaan keangkasaan.
Tiba-tiba kami didatangi oleh seorang pengawal keselamatan yang katanya menerima aduan tentang kebisingan yang dihasilkan di situ.Entah siapa yang membuat aduan kami tidak tahu.
Kami sedang makan ketika itu dan program telah selesai.
Tiba-tiba penasihat kami dan pegawai unit kebudayaan,Bung Faisal memecahkan kesunyian," Kalau tidak mahu bising,main catur lah!"
He he
(Betul juga kata Bung tu.Selepas itu kami pun bermain catur sehingga waktu Subuh bersama pakcik guard!)

Thursday, July 05, 2007

Sebelum keluarnya ulat sutera


Ketika dua orang anak muda pertengahan 20an dan awal 20an menubuhkan kumpulan ini, tiada nama diberikan. Cuma konsep sahaja muncul. Konsep awalnya pada tahun 2000 ketika dua anak muda ini, Mohsen dan Zul berbincang adalah untuk bereksperimen dengan muzik gamelan di universiti. Memandangkan Mohsen merupakan pemain gendang kumpulan gamelan universiti, ruang untuk bereksperimen muncul dan beberapa ahli dikumpulkan.
Menurut pelan awal dan ideologi kumpulan, gamelan mesti menjadi teras dan instrument lain seperti gitar ,dram hanya menjadi perantaraan atau tempelan kepada muzik mereka. Menurut manifesto awal kumpulan tidak bernama ini yang bertempat di Mahallah Ali,(kolej kediaman mereka), mereka berhasrat ingin lari dari norma muzik semasa. Ketika itu alat muzik bertali masih diharamkan permainannya di kampus dan risiko untuk dirampas adalah tinggi.
Alangkah berbezanya muzik mereka ketika ini dengan penggunaan gambus,violin dan instrument lain (tiada gamelan lagi). Setelah menamatkan pengajian (ada yang tamat pada tahun 2000,2002 dan 2003), mereka tidak berekperimen dengan gamelan lagi kerana keterbatasan untuk menggunakan instrument berhantu itu dan ketidakfahaman pihak tertentu untuk melihat projek ini berkembang. Kali terakhir mereka bereksperimen dengan instrument ini adalah pada Januari 2004 setelah dijemput untuk membuat kolaborasi dengan pasukan gamelan universiti. Setelah itu, atas alasan tidak munasabah projek itu dihentikan. Lagipun ,mereka bukannya bayar yuran universiti!
Bercerita tentang nama, pada bulan Januari 2001,satu nama pelik telah diberikan kepada kumpulan ini. Namanya Kumpulan Kesenian Kulit Kambing dan Kerbau. Sekarang baru disedari akronimnya adalah KKKKK. Nasib baik bukan KKK! Sebulan selepas itu,mereka menamakannya sebagai Dewangga untuk persembahan pertama anjuran sendiri di tapak parking kereta CELPAD.Tempat ini mereka namakan ‘Sound Garden’. Banyak kejadian aneh berlaku ketika itu. Saron baron dan pekin kelihatan terbang ketika latihan. Kemudian,ulat sutera telah keluar daripada tangan Mohsen dan Zul ketika membuat persembahan. Beberapa penonton telah pengsan kerana merasa panas dengan persembahan mereka.
Nama itu berubah lagi pada bulan Mei 2001 ketika persembahan kedua mereka di tempat yang sama. Dewangga telah menjadi Dewangga Sakti dan dengan nama ini mereka menyertai beberapa pertandingan anjuran Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia(MAKUM) di Memorial Tunku Abdul Rahman dan UPM. Niat mereka ketika menyertai pertandingan hanyalah untuk memporak perandakan majlis kerana menyedari kemahiran mereka yang terbatas. Ketika di UPM, mereka ditemubual oleh sebuah stesen televisyen yang agaknya keliru dengan kehadiran sebuah kumpulan daripada sebuah universiti yang terkenal hanya dengan muzik nasyid dan seangkatan dengannnya. (sebenarnya mereka tidak tahu universiti ini mempunyai pengganas yang memainkan muzik diharamkan di tivi seperti death metal,punk,hardcore dan muzik indie yang lain dengan membuat persembahan di gig seluruh pelusuk Semenanjung dan anggota kumpulan ini pun terlibat dengan kumpulan-kumpulan tersebut)

Dengan nama ini,maka bermulalah serangan ulat sutera.
Sudah tujuh tahun berlalu dan pendekatan mereka sudah berbeza. Selama tujuh tahun juga, hampir dua puluh orang telah datang dan pergi daripada kumpulan ini. Di atas ikrar yang dilafazkan, misi mesti diteruskan!
Hidup Gombak dan jajahan takluk Kesultanan ghaibnya!

Wednesday, March 14, 2007

Seni gamel




Seni gamel

Saya rasa saya telah mendengar gamelan sejak sekian lama tetapi tidak ada ransangan yang kuat untuk terus mendengarnya.Seawal tahun 94,saya diperkenalkan dengan kaset gamelan –Gamelan for Dance Music yang diterbitkan oleh WEA.Ketika itu saya sedang mengikuti pengajian di peringkat matrikulasi. Baru saya tahu rupa-rupanya guru saya,Allahyarham Fadzil Ahmad menjadi penerbit untuk album ini dan pengarah muziknya adalah Pak Osman yang ketika itu bertugas di Kompleks Budaya Negara(KBN).
Semasa saya di universiti, saya langsung tidak tahu bahawasanya universiti mempunyai ensemble gamelan yang cukup aktif mengadakan persembahan. Mungkin kerana selain aktiviti pergi ke kelas,saya menghabiskan banyak masa saya dengan aktiviti luar di Central Market, Campbell dan Kompleks Pertama. Ini pasti ada hubungkait dengan penglibatan saya dengan muzik bertema berat yang amat aktif di luar. Pada masa itu, saya seolah-olah terpisah dengan kehidupan kampus.
Balik dari kelas, saya akan menghabiskan masa dengan kegemaran saya iaitu tidur. Malah saya akan mengelak untuk pergi ke kafe berdekatan kelas kerana saya tidak sukakan suasana yang bising dan dipenuhi manusia. Hakikatnya,muzik yang saya dengar saban hari setiap masa dan waktu di bilik adalah muzik yang amat berat dan boleh dikategorikan menghina universiti. Saya dan teman-teman seperti remaja brutal dari Bota, Meor dan lelaki jawa dari Batu Pahat, Chip telah membentuk satu jaringan yang cukup kuat di kampus untuk peminat-peminat muzik sedemikian.Pesanan CD,tshirt,majalah dari luar negara dan koleksi Cd terbaru adalah di dalam jagaan kami.
Ketika itu gamelan langsung tidak menjengah hati dan perasaan saya. Segala-galanya bermula bila saya sudah kemaruk filem dari Indonesia pada tahun 99. Setelah saya, Kimmy dan Said membeli filem-filem seram, filem aksi pula menjadi pilihan. Filem Saur Sepuh adalah di antara filem awal yang kami tonton dan saya merasa amat terpengaruh dengan filem ini.(kawan saya menggunakan saur sepuh sebagai nama emailnya kerana keterujaan) Ketika saya menonton filem ini, fikiran saya sudah terbang dengan imaginasi tidak terbatas kerana muzik yang ditampilkan mempunyai adunan gamelan dan rentak yang cukup mistikal. Ya! Saya memang menggemari sesuatu yang mistikal.

Saya mengambil keputusan untuk memasukkan intro filem ini ke dalam latar belakang lagu yang telah saya gubah untuk kumpulan muzik berat gergasi saya itu yang mana ceritanya berkisarkan tentang perang Pasir Salak. Malangnya ketika di studio, saya tidak dapat memasukkan intro ini kerana bunyinya yang amat rendah(saya hanya menggunakan Hi Fi untuk merakamkan intro ini ke dalam kaset). Saya amat kecewa! Saya terasa seperti satu semangat telah direntap dari jiwa saya.Tiga hari saya tidak makan.

Rupa-rupanya kekecewaan itu ada rahmatnya. Perkenalan saya dengan mutan pelik bernama Naeman telah menemukan saya dengan seorang lagi lelaki pelik bermain dram untuk sebuah kumpulan punk. Lelaki itu rupa-rupanya bermain gendang dengan ensemble gamelan universiti. Oh ya! Pada masa perkenalan itu, saya sudah membeli CD ‘Seru’ –koleksi persembahan tradisi Kelantan yang dimainkan master musician dari Kelantan-antaranya muzik daripada makyong dll terbitan Angin Dwipa Production yang diuruskan Datuk Azanin,seorang primadona di dalam bidang tarian Melayu.Nah! Sekali lagi saya teruja dengan bunyi rebab dan serunai di dalam album ini.

Di satu hening malam di tahun 2000, saya telah didatangi oleh lelaki pelik ini (bukan mutan) yang mencadangkan supaya kami bergabung untuk satu projek khas gamelan. Hah! Saya bukan salah dengar ya! Bukan gamelan sahaja tetapi digabungkan instrument lain seperti gitar ,dram,seruling dsbnya. Nampaknya lelaki pelik ini mempunyai wawasan yang menarik. Boleh dipertimbangkan. Saya pula pada masa itu sudah menghadapi krisis identiti secara muzikal kerana sejak 99, saya sudah gila lagu keroncong dan menghabiskan masa mendengar Best 104 sensasi selatan setiap malam yang pada ketika itu tamat jam 12 tengah malam diikuti doa. Pilihan saya tentunya Kartina Dahari (yang saya miliki CDnya) dan pastinya pilihan dari seberang –Gesang dsbnya.

Pada masa itu sesiapa yang melewati bilik kami yang dibuka 24 jam sehari akan terasa pelik. Sekejap lagu yang amat berat-thrash,death metal, black metal,gothic dsbnya dicampur pula dengan lagu-lagu mistikal makyong, keroncong dan seangkatan dengannya. Di satu partition lain, tiba-tiba kedengaran lagu Hail Amir,Uji Rasyid, Ramli Sarip, Sweet Charity, Kembara. Menjelang petang dan malam ada pula bacaan Al Qur’an yang selalunya oleh rakan kami dari Kedah (yang juga mendengar lagu yang berat).Itu belum dicampur sesi busking remaja kesepian dari Klang (dan kawannya yang kadang-kadang berkunjung) untuk lagu-lagu dari Blues Gang, Kembara dan juga jeritan gitar elektrik berjenama Jackson memecah kesunyian malam.
“Apa diorang ni dengar?”,mungkin itu reaksi sesiapa yang melewati pintu bilik kami di tingkat bawah tersebut. Bilik yang dilewati hatta menjelang subuh kerana mereka semua seperti batman.
Saya pula kadang-kadang bosan dengan soalan ini ketika saya menunggu bas ke KL ,”Mana mahu pergi? Jamming ke?”
Apa dia ingat hidup saya untuk jamming sahaja.
(pastinya saya memakai topi untuk menyorokkan rambut saya dan kebanyakan teman saya yang melepasi paras bahu)
Berbalik kepada cerita gamelan, keterujaan pertama saya adalah ketika mendengar kaset yang dibeli teman dari Indonesia iaitu kumpulan Sambasunda.Albumnya bertajuk Sundabali dan menggabungkan muzik gamelan Sunda dan Bali.Pada ketika itu,saya langsung tidak tahu kewujudan banyak jenis gamelan.Inilah pendedahan pertama dan saya amat terperanjat dengan nilai kreativiti dan penerokaan yang mereka buat dengan muzik gamelan. Bukan sahaja laju tetapi penuh emosi dan membuai perasaan. Baru saya percaya kata-kata Sapto Raharjo, antara penggiat gamelan di Indonesia yang mengatakan gamelan adalah spirit (semangat) dan objek (instrument) itu hanya alat yang menjadi pengantaranya.

Penghujung Oktober tahun 2000, teman saya yang pelik itu bersama saya dan seorang lagi teman bermain muzik dan mencari melodi gamelan di bilik gamelan di tingkat 4. Ketika kami bermain pada jam 1:30 pagi, tiba-tiba angin bertiup kencang dan ada bayangan seperti orang berjalan di luar bilik. Ketika itu kami mencari ilham untuk lagu bertajuk Inderapura.

Pertengahan tahun 2001, saya didedahkan dengan persembahan Rentak dan Gerak yang dihadiri oleh kumpulan gamelan dari Indonesia ,KuaEtnika yang diketuai oleh Djaduk Feryanto. Inilah persembahan gamelan yang membuka mata saya tentang kepelbagaian rentak permainan. Saya rasa persembahan ini amat spiritual. Teman saya dari Kosovo dan Yugoslavia amat teruja dan tidak menyangka akan wujudnya muzik sebegini di dunia. Saya kerana sungguh seronok mengulang datang untuk malam kedua.




Satu lagi kumpulan dari Indonesia yang menggegarkan dengan gamelan adalah Kiai Kanjeng yang diketuai oleh Emha Ainun Nadjib. Mereka menggabungkan gamelan dengan instrumen lain speperti gitar,bass,dbnya. Senikata mereka amat spiritual dan banyak lagu selawat di dalam lagu-lagu dendangan mereka. Ketika di UK,mereka mempersembahkan lagu 'Wild World' lagu asal Cat Steven (sekarang dikenali Yusof Islam) yang digubah dengan gamelan. (Persembahan itu juga dihadiri oleh Yusof Islam)

Kumpulan dari Malaysia yang meransang minat saya dengan gamelan tentulah kumpulan Rhythm in Bronze yang diketuai oleh Sunetra Fernando.Kesempatan membeli CD dan menyaksikan persembahan mereka di Actors Studio,MTc dan Dewan Filharmonik membuka mata tentang keupayaan mereka yang cuba membuatkan gamelan lebih kontemporari dan mengandungi banyak elemen lain. Mungkin ada yang mempersoalkan kredibiliti mereka dan kalangan ‘purist’ mengatakan mereka mencemarkan gamelan tetapi sepanjang yang saya tahu hanya ada dua CD gamelan untuk rujukan di Malaysia yang boleh didapati. Salah satunya adalah kumpulan ini.
Kalangan yang mempertikaikannya perlu tampil dengan banyak gubahan gamelan baru dan didokumentasikan untuk khalayak yang lebih luas. Jangan nanti, dokumentasi gamelan Melayu wujud dalam rakaman pendokong dari luar.
Seluruh kumpulan gamelan di tanahair perlu menerbit dan mendokumentasikan persembahan mereka. Selain lagu lama, mari bikin gubahan baru untuk menjawab persoalan zaman. Sesuai dengan semangat yang ada pada setiap zaman!

Nota: Oh ya! Lelaki pelik itu adalah partner-in-crime saya di dalam Dewangga Sakti sekarang. Asalnya bermain perkusi,akhirnya menjadi penyanyi! Namanya Mohsen.Tidak ada kena mengena dengan filem Mukhsin yang ditayangkan sekarang!
Nota 2: Latest addition to Dewangga Sakti's family-Nur Amirah Balqis (date of birth Dec 4th 2006)


Thursday, March 30, 2006

Malam Nur Akar

Sebelum lebih jauh,apa ni? Malam Nur Akar?
Ya.Ia nostalgia ketika Dewangga Sakti mula-mula ditubuhkan dan bereksperimen. Ketika itu, kebanyakan ahli masih menuntut di UIA. Tinggallah seorang penganggur terhormat yang ketika itu berulang-alik menjalani latihan di UIA.Ketika itu tahun 2001. Masa mungkin sudah terlalu lama memisahkan tetapi kisah ini bagai baru bermula.
Mencari platform untuk membuat persembahan amat sukar ketika itu.Maklumlah gitar 'diharamkan' ketika itu di UIA. Tidak ada pekeliling rasmi tetapi tangan-tangan berkuasa sibuk memerhati dan ada kalanya merampas gitar-gitar pelajar.Mungkin tidak lagi sekarang kerana gitar sudah dimainkan di majlis-majlis rasmi UIA ketika konvo dsbnya.Malah pihak universiti juga sudah membeli instrumen muzik untuk studio di sana.
Mohsen yang berada di tahun ketiga jurusan psikologi dan Zul dengan kerjasama banyak pihak yang bosan dengan keadaan itu membuatnya secara gerila dan mementaskan persembahan mereka secara terbuka dengan budget yang minima dan kadang-kadang(eh!selalunya) mengeluarkan wang sendiri untuk kos persembahan.
Persembahan pertama masih diingati; dibuat di parking lot CELPAD penghujung Februari 2001 dengan penampilan kumpulan gamelan UIA, Dewangga Sakti,Angklung Malam,beberapa penyajak dan teater jalanan (Mali and gang). Bermula ceritera. Cable tidak cukup panjang dan banyak extension cable terpaksa digunakan(dicilok dari bilik rakan-rakan!punya la daif). Di pertengahan persembahan Angklung Malam,tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Puas menyelidiki apa yang terjadi! Mali dan grup teater jalanannya menyelamatkan keadaan dan mementaskan 'Road walk'.
Setelah diselidiki,rupa-rupanya ada hamba Tuhan memasak air di extension cable tersebut(50 meter ke punca elektrik).Argghh!